Lem'alar

The Nineteenth Gleam

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

RISALAH IQTISAD Risalah ini adalah berkenaan dengan iqtisad (berjimat cermat), qana‘ah (meresa cukup) israf (membazir) dan tabzir (pembaziran). بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau...” (al-A‘raf, 31) Ayat yang mulia ini memberikan satu pengajaran yang amat penting dan penuh bijaksana tentang arahan untuk berjimat cermat dan larangan pembaziran. Perkara ini terbahagi kepada tujuh aspek.

§2

Sesungguhnya Allah s.w.t. yang Maha Pencipta dan Maha Mengasihani meminta manusia bersyukur dan memuji atas segala nikmat, kurniaan dan pemberian-Nya.Hal ini demikian kerana sifat israf (membazir) adalah bertentangan dengan sifat iqtisad. Sifat israf (membazir) amat bercanggah dengan sifat kesyukuran kerana israf (membazir) itu merupakan satu penghinaan terhadap nikmat yang diberi. Manakala sifat iqtisad atau jimat cermat pula merupakan satu bentuk kesyukuran dan penghormatan terhadap rahmat Ilahi yang tersembunyi di sebalik kebaikan, nikmat, keberkatan dan kesihatan tubuh badan yang mampu menjauhkan diri daripada perbuatan meminta-minta.Iqtisad juga adalah satu cara yang kukuh untuk kita merasai nikmat-nikmat yang zahirnya tidak kelihatan. Oleh kerana israf (membazir) itu bertentangan dengan semua hikmah yang disebutkan di atas, maka akibatnya amatlah buruk.

§3

Sesungguhnya al-Fatir al-Hakim telah mencipta tubuh badan manusia seumpama sebuah istana yang sempurna dan bagaikan sebuah bandar yang tersusun. Dia juga menjadikan deria rasa yang terdapat dalam mulut umpama seorang pengawal yang setia. Manakala urat saraf dan saluran darah sama seperti wayar telefon dan telegraf yang melaluinya berlaku komunikasi antara deria rasa dengan perut yang terletak di tengah-tengah badan manusia. Deria rasa itu menyampaikan isyarat tentang segala bahan yang masuk ke dalam mulut, dan menahan serta menghalang segala benda yang memudaratkan dan tidak diperlukan daripada memasuki badan dan perut dengan berkata kepadanya ‘Dilarang masuk’, lalu membuangnya keluar. Ibarat membuang segala benda yang tidak bermanfaat daripada tubuh badan, diludah keluar dengan penuh penghinaan, kerana tidak memberi manfaat bahkan memudaratkan dan pahit. Oleh sebab deria rasa yang terdapat dalam mulut berperanan sebagai pengawal maka perut pula menjadi ketua dan pentadbir dari sudut pengendalian sistem badan.Umpamanya, jika sesuatu hadiah yang diberikan kepada raja bernilai seratus dinar, maka hanya lima peratus daripada nilai hadiah itu sahaja yang layak diberikan kepada pengawal, tidak boleh lebih daripada itu. Hal ini agar pengawal itu tidak terpedaya lalu melupakan tugas hakikinya dan membenarkan sesiapa sahaja yang memberi sogokan yang lebih besar merempuh istana dan melakukan kerosakan. Berdasarkan peranan ini, kita andaikan bahawa di hadapan kita sekarang terdapat dua jenis makanan. Satu jenis terdiri daripada bahan yang berkhasiat, seperti keju dan telur, yang harganya beberapa ringgit, manakala yang kedua terdiri daripada kuih muih yang mewah bernilai berlipat ganda. Kedua-dua jenis makanan tersebut sama sahaja sebelum masuk ke dalam mulut, memberi faedah kepada tumbesaran tubuh badan. Bahkan mungkin keju yang berharga satu ringgit itu boleh memberikan khasiat yang lebih baik dan lebih bermanfaat berbanding kuih muih tadi. Oleh itu, tiada perbezaan di antara kedua-duanya melainkan dari sudut melayan deria rasa yang terdapat dalam mulut, yang hanya mengambil masa tidak sampai setengah minit pun. Oleh itu, maka hendaklah diketahui betapa besarnya kemudaratan akibat israf (membazir) dan betapa jahilnya tindakan membelanjakan berpuluh-puluh ringgit, berbanding beberapa ringgit, untuk memperoleh kelazatan yang seketika.Demikianlah juga halnya jika pengawal istana itu diberikan ganjaran sebanyak sembilan kali ganda daripada hadiah yang diberikan kepada raja, maka pemberian tersebut sudah pasti akan menyebabkan pengawal itu berasa takbur dan gelojoh sehingga mendorongnya untuk berkata: “Akulah pemilik istana ini!”. Justeru, sesiapa yang memberikan hadiah atau kemewahan kepada pengawal itu lebih daripada sepatutnya, maka dia akan dibenarkan masuk ke dalam istana. Tindakan ini akan menyebabkan kerosakan kepada peraturan yang ada. Umpama menyalakan api dengan marak dan menyebabkan tuannya berteriak meminta pertolongan sambil berkata: “Tolonglah panggilkan doktor, suruhlah dia kurangkan kesakitanku, dan hilangkan kepanasanku.” Maka sifat iqtisad dan qana‘ah amat selari dengan hikmah Ilahi. Kedua-duanya menganggap deria rasa seperti pengawal dan memberikan ganjaran yang setimpal dengan tugasnya.Sifat israf (membazir) pula adalah bertentangan dengan hikmah Ilahi. Orang yang boros akan segera menerima kesan yang menyakitkan akibat daripada sifatnya itu. Umpama, perut yang menerima percampuran pelbagai jenis makanan yang menyakitkan sehingga menyebabkan hilangnya selera yang sebenar terhadap makanan lalu dia hanya makan dengan selera yang palsu dan dibuat-buat dengan mempelbagaikan jenis makanan sehingga menimbulkan masalah penghadaman dan mengundang penyakit.

§4

Pada aspek kedua yang lalu, kita telah berbicara tentang deria rasa yang berperanan sebagai pengawal. Perkara ini memang ada pada orang-orang yang lalai, yang tahap kerohanian mereka belum sempurna dan belum mampu menzahirkan makna syukur yang sebenar. Adalah tidak wajar bagi seseorang melakukan pembaziran seperti mengeluarkan belanja sepuluh kali ganda daripada harga sebenar untuk sesuatu makanan semata-mata untuk memenuhi kehendak deria rasa yang tugasnya hanya sebagai ‘pengawal’. Tetapi deria rasa bagi orang-orang yang bersyukur dengan sebenar-benar syukur; ahli hakikat dan yang mempunyai pandangan mata hati yang mendalam, pancaindera tersebut berada pada kedudukan seumpama seorang penyelia dan pemeriksa kepada dapur-dapur rahmat Ilahi (sebagaimana dijelaskan dalam perbandingan yang terdapat pada “Kalimah Keenam”). Segala proses yang berlaku pada pancaindera tersebut (lidah yang merasa), seperti proses mengenal pasti dan menilai pelbagai nikmat Ilahi melalui neraca halus lagi teliti serta sensitif yang bilangannya sebanyak jenis-jenis makanan yang ada, semuanya bertugas menyampaikan maklumat-maklumat nikmat tersebut kepada badan dan perut sebagai satu bentuk kesyukuran. Maka, ia adalah satu bentuk kesyukuran maknawi. Oleh itu, tugas deria rasa tidak terbatas kepada penjagaan tubuh badan dari sudut fizikalnya sahaja, bahkan ia juga melaksanakan tugas yang lebih ‘tinggi’ kedudukannya berbanding dengan tugas perut, kerana ia turut menjaga dan memelihara hati, roh dan akal. Perlu diketahui, ia juga boleh menikmati kelazatan dengan syarat tidak israf (membazir) ketika ia melaksanakan tugas bersyukur secara ikhlas atas segala yang ditakdirkan baginya, dengan niat mengenal pasti dan memerhati pelbagai jenis nikmat Ilahi dengan merasai dan menyelami keenakannya, dilakukan mengikut syarak dan tidak menjerumuskannya ke jalan kehinaan dan perbuatan meminta-minta. Maksudnya kita boleh menggunakan lidah yang mempunyai deria rasa itu untuk bersyukur kepada Allah s.w.t. ketika kita mahu membeza-bezakan antara makanan yang lazat. Terdapat sebuah peristiwa yang juga merupakan keramat Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang berhubung dengan hakikat ini; seorang wanita tua yang penyayang mempunyai seorang anak lelaki tunggal yang dididik oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Pada suatu hari, wanita tua yang dihormati menziarahi anaknya. Beliau melihat anaknya sedang memakan sekeping roti kering yang sudah berubah warnanya. Anaknya itu juga sedang melakukan latihan kerohanian yang intensif sehingga badannya kelihatan lemah dan kurus. Keadaan tersebut menimbulkan perasaan belas kasihan pada diri wanita tua tersebut yang penyayang terhadap anaknya. Lalu dia pergi menemui Syeikh Abdul Qadir al-Jailani untuk mengadukan keadaan yang dilihatnya. Namun dia terperanjat kerana melihat Syeikh Abdul Qadir al-Jailani sedang menikmati seekor ayam panggang. Lantaran itu, dengan kelembutannya, dia berkata: “Wahai syeikh! Anakku hampir mati kebuluran sedangkan kamu di sini sedang menikmati ayam panggang?!” Lalu Syeikh Abdul Qadir al-Jailani berkata kepada ayam tersebut:لل إذن ّ قم “Bangunlah dengan izin Allah s.w.t.!” Lalu ayam yang telah dimasak itu melompat keluar dari bekasnya, menjadi ayam hidup yang sempurna dengan segala tulang-tulangnya bercantum semula. Cerita ini telah dinukilkan secara mutawatir maknawi oleh ramai orang yang thiqah (dipercayai) dan menunjukkan salah satu daripada keramat seorang yang masyhur di dunia, iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jailani r.h. Beliau berkata: “Jika anakmu telah mencapai tahap ini, dia juga boleh makan ayam sebegini.” Demikianlah, maksud ucapan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani r.h.: “Jika roh dapat mengawal jasad, dan hatinya dapat mengawal nafsu dan akalnya dapat mengawal perutnya dan dia dapat mencari kelazatan untuk bersyukur, maka pada ketika itu dia boleh mengambil makanan yang lazat.”

§5

Sesungguhnya seseorang yang beriqtisad tidak akan mengalami kemiskinan dan kefakiran sebagaimana mafhum sebuah hadis: لاَ يَعُولُ مَنِ اقْتَصَدَ “Orang yang beriqtisad tidak akan menjadi fakir.” Sesungguhnya seseorang yang beriqtisad tidak akan mengalami kemiskinan dan kefakiran sebagaimana mafhum sebuah hadis: لاَ يَعُولُ مَنِ اقْتَصَدَ “Orang yang beriqtisad tidak akan menjadi fakir.”Terdapat terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa iqtisad merupakan sebab yang pasti dan asas yang teguh bagi mendapat keberkatan dan memperoleh kehidupan yang lebih baik dalam sesebuah keluarga. Antaranya ialah pengalaman yang saya lihat sendiri dengan disaksikan oleh mereka yang membantu dan memberikan perkhidmatan dan bersahabat dengan saya. Kadang-kadang saya bersama-sama dengan sahabat-sahabat saya mendapat sepuluh kali ganda keberkatan hasil daripada sifat iqtisad ini. Ceritanya begini: Sembilan tahun yang lalu, beberapa orang ketua puak yang turut dibuang daerah bersama-sama saya di Burdur mendesak agar saya menerima zakat mereka, supaya saya tidak terjerumus ke dalam kehinaan dan kemiskinan lantaran duit sedikit yang saya miliki ketika itu. Lalu saya berkata kepada mereka, para ketua yang kaya raya itu: “Meskipun duit saya amat sedikit, tetapi saya mempunyai sifat iqtisad dan saya sudah biasa dengan sifat qana‘ah. Sebenarnya saya lebih kaya daripada kamu.”Lalu saya tidak menerima tawaran mereka walaupun mereka menawarkannya berkali-kali. Perlu dinyatakan di sini bahawa beberapa orang daripada mereka yang menawarkan wang zakat mereka kepada saya, dua tahun selepas itu telah dibebani hutang yang banyak, kerana mereka tidak hidup beriqtisad. Tetapi duit sedikit yang saya miliki itu mencukupi buat saya selama lebih tujuh tahun. Alhamdulillah, dengan berkat iqtisad yang saya amalkan, air muka saya tidak pun terhina dan tercalar. Saya tidak pernah terpaksa meminta-minta daripada manusia. Satu daripada prinsip yang saya jadikan pegangan hidup adalah ‘tidak mengharapkan pertolongan orang’, menyebabkan maruah diri saya tidak tercalar. Tegasnya, sesiapa yang tidak mengamalkan iqtisad akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan, kerendahan dan perbuatan meminta-minta secara maknawi.Sesungguhnya harta yang digunakan secara membazir pada masa kini adalah harta yang amat mahal nilainya. Kadang-kadang, kehormatan dan kemuliaan diri terpaksa dikorbankan untuk mendapatkan sesuatu. Bahkan kadang-kadang nilai-nilai agama yang suci dirampas kerananya. Lantaran itu, kita hanya memperoleh beberapa kepingan wang yang akan mencelakakan kehidupan kita. Maksudnya kita hanya mendapat beberapa keping wang material, tetapi terpaksa mengorbankan kemuliaan ratusan ringgit wang maknawi yang bersifat kerohanian. Sedangkan jika seseorang itu hanya berqana`ah dan membataskan dirinya kepada keperluan-keperluan utama, serta menghadkan usaha padanya, nescaya dia akan dapati rezekinya mencukupi untuk kehidupannya dalam keadaan yang tidak diduga. Ini berdasarkan rahsia Ayat-ayat al-Quran: “Sesungguhnya Allah s.w.t. Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.” (al-Zariyat, 58) “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah s.w.t. jualah yang menanggung rezekinya..”(Hud, 6)Ayat-ayat di atas pula secara terang-terangan memberikan janji yang pasti bahawa setiap orang tentu akan disediakan rezeki yang mencukupi baginya. Rezeki terbahagi kepada dua: Pertama:Rezeki haqiqi (sebenar), ialah rezeki yang kehidupan seseorang bergantung kepadanya. Rezeki bahagian ini termasuk dalam jaminan Allah s.w.t. berdasarkan ayat al-Quran di atas. Setiap orang pasti akan memperoleh rezeki ini walau bagaimana keadaan sekalipun, selagimana dia tidak cenderung kepada keburukan. Rezeki ini tetap diperolehnya tanpa dia perlu menggadai agama atau mengorbankan kemuliaan dan harga dirinya. Kedua:Rezeki majazi (kiasan), merupakan rezeki yang tidak digunakan dengan baik berikutan kegagalan membezakan antara keperluan dan kehendak. Maka seseorang itu tidak dapat memutuskan dirinya daripada kehendak-kehendak yang mendesak, bertukar menjadi keperluan baginya, kerana dia ditimpa dengan penyakit taqlid (mengikut orang). Harga untuk mendapatkan rezeki ini pula amat mahal terutamanya pada zaman ini, kerana ia tidak termasuk di bawah jaminan Allah s.w.t. Kadang-kadang, rezeki itu diperoleh hasil daripada pengorbanan yang terpaksa dilakukan terhadap kemuliaannya, sehinggakan dia sanggup menerima kehinaan. Bahkan kadang-kadang ia sampai ke tahap jatuh tersembam ke lembah meminta-minta secara maknawi dan sanggup mencium kaki manusia yang rendah dan hina. Lebih teruk daripada itu, kadang-kadang dia memperoleh harta yang hina dan tidak berkat hasil daripada tindakannya mengorbankan nilai-nilai agamanya yang merupakan cahaya bagi kehidupan abadinya.Pada masa yang sama, orang yang masih memiliki sifat simpati akan merasa terganggu melihat penderitaan orang lain di sekitarnya dan menyebabkan kesenangan yang dimiliki dengan cara yang tidak menepati syarak tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Keadaan ini akan lebih bertambah pahit jika mereka mempunyai empati diri yang tinggi. Oleh itu, pada zaman yang penuh dengan keajaiban ini, sepatutnya seseorang hanya berasa cukup dengan keperluan utamanya sahaja daripada hartanya yang diragui kehalalannya. Ini berdasarkan kaedah “dalam keadaan darurat kita hanya mengambil sekadar keperluan sahaja”, iaitu dibolehkan mengambil ketika terpaksa daripada harta yang haram sekadar melepaskan keperluan yang mendesak dan tidak lebih daripada itu. Umpama seseorang yang sedang berada dalam keadaan darurat tidak boleh memakan makanan yang syubhah (diragui) hingga kenyang, bahkan dia hanya dibolehkan untuk memakan sekadar jumlah yang boleh menghalangnya daripada kematian. Demikianlah juga, tidak seharusnya sesuatu makanan dimakan dengan begitu gelojoh sekali di hadapan seratus orang yang sedang kelaparan. Satu peristiwa benar bagi menunjukkan bahawa iqtisad adalah sebab kepada kemuliaan dan kesempurnaan ialah seperti berikut: Hatim al-Ta’iyy yang masyhur sebagai seorang yang sangat pemurah telah mengadakan satu jamuan yang istimewa pada suatu hari. Dia juga memberikan hadiah-hadiah yang mahal kepada para tetamu yang hadir. Kemudian dia keluar bersiar-siar di kawasan padang pasir. Lalu dia terlihat seorang tua yang miskin sedang memikul bebanan berat yang terdiri daripada kayu api, rumput dan duri yang menusuk ke bahagian tubuhnya dan mengalir darah daripadanya. Lalu Hatim menegur lelaki tua tersebut: “Wahai orang tua! Pada hari ini, Hatim al-Ta’iyy sedang mengadakan jamuan yang istimewa dan memberikan hadiah-hadiah yang mahal. Pergilah kepadanya, engkau akan mendapatkan keuntungan berganda-ganda lebih dari ganjaran yang engkau dapati hasil dari bebanan berat yang engkau pikul ini!” Lelaki tua yang muqtasid (berjimat cermat) itu berkata: “Aku tetap akan memikul bebanan ini dengan kemuliaan diriku dan peluh dahiku! Aku tidak rela dipengaruhi akibat menerima pemberian Hatim al-Ta’iyy.” Pada suatu hari, apabila Hatim ditanya: “Pada pandangan engkau, siapakah manusia yang lebih mulia dan pemurah daripada engkau?” Beliau menjawab: “Lelaki tua yang muqtasid yang aku temui di padang pasir tempoh hari. Sesungguhnya aku mendapati dia lebih mulia, tinggi dan pemurah daripadaku.”

§6

Sesungguhnya antara kesempurnaan sifat al-Rahmaniyah ialah Dia membenarkan orang yang paling fakir pun dapat merasai kelazatan pelbagai nikmat-Nya, sebagaimana ia boleh dirasai oleh orang yang paling kaya. Seorang fakir boleh dapat merasa kelazatan sebagaimana juga seorang sultan. Namun, seorang fakir yang memakan sepotong roti kering yang terlebih bakar berasa lebih lazat lantaran kelaparan dan sifat iqtisad yang dimilikinya. Kelazatan ini mengatasi nikmat yang dirasai oleh seorang raja dan seorang kaya ketika memakan makanan mewah dengan rasa jemu dan tiada keinginan untuk memakannya akibat israf (membazir) yang dilakukan. Amatlah menghairankan apabila orang yang melakukan israf (membazir) dan pembaziran menuduh orang-orang yang beriqtisad itu sebagai bakhil. Amatlah tidak patut! Bahkan hakikatnya beriqtisad mencerminkan kemuliaan dan kemurahan. Manakala kebakhilan dan kehinaan itu adalah perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang yang melakukan israf (membazir) dan pembaziran, walaupun pada zahirnya ia kelihatan seperti kemurahan.Terdapat satu kejadian yang berlaku dalam bilik saya sendiri di penjara Isparta pada tahun selesainya risalah ini ditulis yang meneguhkan hakikat ini. Kisahnya adalah: Salah seorang murid saya berkeras supaya saya menerima hadiahnya, iaitu madu yang beratnya dua auns setengah walaupun ia bertentangan dengan prinsip hidup saya. Walaupun saya sudah cuba menjelaskan kepadanya tentang keperluan dan kepentingan untuk berpegang teguh kepada prinsip tersebut, namun dia tetap tidak berpuas hati dan mendesak. Lalu saya terpaksa menerima hadiah tersebut dengan niat supaya tiga orang sahabat yang tinggal bersama saya turut berkongsi madu tersebut dan memakannya secara beriqtisad sepanjang tiga puluh atau empat puluh hari daripada bulan Sya’ban dan Ramadan. Dengan itu, murid saya yang memberikan madu itu memperoleh pahala dan sahabat-sahabat saya pula dapat memakan madu. Saya berpesan kepada sahabat-sahabat saya tadi agar menerima hadiah tersebut bagi pihak saya, kerana ketika itu saya sudah pun mempunyai satu auns madu. Sahabat-sahabat saya yang bertiga itu adalah orang-orang yang benar-benar istiqamah, dan amat menghargai sifat iqtisad dengan sebenar-benarnya. Namun, dengan sebab tindakan mereka yang terlalu mahu memuliakan dan menjaga hati sesama mereka serta terlalu mengutamakan orang lain, maka mereka terlupa hakikat bersederhana itu. Mereka menghabiskan madu yang ada pada mereka dalam masa tiga malam sahaja. Lalu saya berkata kepada mereka sambil tersenyum:“Niat saya adalah agar kamu dapat merasa madu itu selama tiga puluh hari atau lebih. Tetapi kamu menghabiskannya dalam masa tiga malam sahaja. Tahniah kepada kamu!” Sedangkan saya menggunakan madu yang ada pada saya dengan iqtisad sepanjang bulan Sya’ban dan Ramadan. Alhamdulillah, madu itu telah menyebabkan saya memperoleh pahala yang besar kerana saya memberikan satu sudu besar madu kepada setiap orang sahabat saya itu setiap kali waktu berbuka puasa. Mungkin orang yang melihat keadaan saya menyangka bahawa saya berada dalam keadaan bakhil (kerana tidak memakan banyak madu), dan menganggap keadaan sahabat-sahabat saya pada tiga malam tersebut sebagai keadaan yang dipenuhi dengan kemuliaan! Sebenarnya, kita dapat saksikan bahawa di sebalik kebakhilan zahir tersebut terdapat kemuliaan yang tinggi, keberkatan yang luas dan pahala yang besar dari sudut hakikat. Di sebalik kemuliaan yang disangkakan melalui pemborosan tersebut terdapat perbuatan meminta-minta dan mengintai-ngintai apa yang ada pada orang lain dengan penuh perasaan berkehendak dan keadaan yang tamak.

§7

Terdapat perbezaan yang besar antara iqtisad dan kebakhilan. Perbezaannya sama seperti perbezaan yang terdapat antara sifat tawadhu` yang merupakan akhlak mahmudah (terpuji) dengan sifat menghina diri yang merupakan akhlak mazmumah (hina), meskipun kedua-duanya kelihatan sama dari sudut zahir. Perbezaannya juga sama dengan mempunyai kehormatan yang merupakan antara sifat mahmudah dengan takbur yang merupakan antara sifat mazmumah, sedangkan kedua-duanya adalah sama dari sudut zahir. Begitu jugalah keadaannya dengan sifat iqtisad yang merupakan sifat kenabian yang tinggi bahkan ia adalah antara paksi yang berputar di atasnya sistem hikmah Ilahi yang menguasai alam ini. Ia sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan kehinaan yang terhasil melalui campuran kerendahan, kebakhilan, ketamakan dan kehalobaan, cuma yang ada kesamaan dari sudut zahirnya sahaja. Bagi menyokong hakikat di atas: Pada suatu hari, ‘Abdullah ibn ‘Umar ibn al-Khattab (r.a.) berbalah hebat ketika berurusan di pasar atas suatu barangan yang nilainya tidak sampai satu ringgit pun, kerana mahu menjaga sifat iqtisad dan memelihara sifat amanah dan istiqamah yang sepatutnya menjadi paksi ketika berjual beli. Pada masa itu, kejadian tersebut disaksikan oleh seorang sahabat lain, lalu sahabat tersebut menyangka ia adalah tindakan yang hina, dan amat tidak patut berlaku daripada seorang yang hebat seperti Ibn ‘Umar, anak Saidina Umar al-Khattab (r.a.), khalifah Islam. Lalu sahabat tersebut mengikut Ibn ‘Umar pulang ke rumahnya untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku. Dia melihat Ibn ‘Umar menghabiskan sedikit waktunya berbual-bual penuh adab dan mesra dengan seorang miskin di hadapan rumahnya. Kemudian dia keluar dari pintu kedua rumahnya dan berbual-bual pula dengan seorang lagi orang miskin di situ. Keadaan tersebut menambahkan lagi keinginan sahabat tersebut untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, lalu dia bersegera pergi kepada kedua-dua orang miskin itu untuk bertanya: “Bolehkah kamu berdua menceritakan kepadaku apa sebenarnya yang dilakukan oleh Ibn Umar kepada kamu berdua?” Mereka menjawab: “Dia memberikan seketul emas kepada setiap orang daripada kami.” Jawapan tersebut amat memeranjatkan sahabat itu, lalu dia berkata: “Subhanallah! Di pasar, dia bersungguh-sungguh berbalah dan bertengkar hanya kerana satu ringgit sahaja, kemudian di rumahnya dia memberikan dengan penuh kerelaan pemberian yang besar yang berjumlah ratusan kali ganda daripada apa yang diperbalahkannya di pasar kepada dua orang miskin yang memerlukan, tanpa sesiapa menyedarinya. Lalu sahabat tersebut bersegera menemui Ibn ‘Umar dan bertanya kepadanya: “Wahai imam! Bolehkah anda menyelesaikan masalah saya ini? Di pasar, anda berbuat sekian sekian, namun di rumah anda berbuat sekian sekian pula?” Ibn ‘Umar menjawab: “Apa yang berlaku di pasar adalah hasil daripada sifat beriqtisad dan hikmah. Aku melakukannya demi menjaga amanah dan memelihara sifat benar yang kedua-duanya menjadi asas dan roh berjual beli. Ia bukanlah kehinaan dan kebakhilan. Apa yang berlaku di rumah pula adalah lahir daripada perasaan belas kasihan dan kasih sayang yang terdapat di dalam hati serta daripada ketinggian dan kesempurnaan rohani.Apa yang berlaku di pasar bukanlah kehinaan dan apa yang berlaku di rumah bukanlah israf (membazir)”. Imam Abu Hanifah al-Nu‘man pernah berkata dalam hal ini: “Tiada israf (membazir) dalam perkara khair (kebaikan), sebagaimana tiada khair dalam israf (membazir)”. Bermaksud sebagaimana tiadanya israf (membazir) dalam perkara khair dan kebajikan kepada orang yang berhak menerimanya, begitu juga tiada khair pada israf (membazir) sama sekali.

§8

Sesungguhnya israf (membazir) akan menyebabkan ketamakan. Ketamakan akan melahirkan tiga natijah: Natijah Pertama:Tidak berqana‘ah. Tidak berqana’ah akan menjadikan seseorang malas berusaha dan bekerja, kerana sifat ini akan menghembuskan sifat suka merungut ke dalam diri orang yang tamak sebagai ganti daripada sifat bersyukur. Ini akan mencampakkannya ke dalam dakapan sifat malas. Lalu dia meninggalkan harta sedikit yang diperolehi daripada sumber yang halal dan bersegera mencari harta tidak halal yang mudah dan senang untuk diperolehi, sehingga sanggup memusnahkan kehormatan dirinya sendiri demi mencapainya. Natijah Kedua:Kekecewaan dan Kerugian. Kerana ketamakan akan menjadikan matlamat orang yang tamak itu tidak tercapai, kerana dia akan sentiasa terdedah kepada kesulitan dan kepayahan sehingga tiada siapa yang sudi membantunya. Ini bertepatan dengan kata-kata yang masyhur: “Orang tamak selalu rugi.” Kesan sifat tamak dan qana’ah (merasa cukup) berlaku kepada seluruh hidupan berdasarkan perlembagaan dan sunnah menyeluruh yang telah ditetapkan. Sebagai contoh:Rezeki yang diperlukan oleh tanam-tanaman diperolehi oleh mereka dengan mudah kerana sifat qana’ah (merasa cukup) yang tertanam di dalam jiwa mereka secara fitrah. Manakala haiwan yang tamak pula terpaksa berusaha keras bagi memperolehi rezekinya yang sedikit. Hal ini menunjukkan bahawa betapa besar kemudaratan yang tersembunyi di sebalik sifat tamak, dan betapa besar manfaat yang tersembunyi di sebalik sifat qana’ah. Susu yang merupakan makanan berkhasiat yang mengalir terus ke mulut bayi kecil yang lemah, tanpa disedarinya itu adalah disebabkan kerana dia memperlihatkan sifat qana’ahnya yang digambarkan melalui hal keadaannya (lisan al-hal). Manakala binatang buas pula terpaksa menerkam dengan penuh tamak dan haloba untuk mendapatkan rezekinya yang sedikit dan tercemar. Hal ini benar-benar membuktikan dan mensabitkan pernyataan kami ini. Lihat pula kepada keadaan ikan yang berbadan besar, tetapi keadaannya itu menunjukkan kepada sifat qana’ah (merasa cukup) sehingga ia menerima rezeki yang banyak dan sempurna. Manakala haiwan yang mempunyai sedikit kecerdikan seperti musang dan monyet, tidak mendapatkan rezekinya secara sempurna sehingga tubuh badannya kurus meskipun ia sudah berusaha kuat dan gigih. Hal ini juga menunjukkan bahawa tamak dan haloba boleh menyebabkan kesulitan dan kesukaran, manakala sifat qana’ah (merasa cukup) menyebabkan kerehatan dan kesenangan. Tambahan pula, bangsa Yahudi memperoleh rezeki mereka cukup-cukup makan sahaja melalui jalan yang salah, bercampur pula dengan kehinaan dan kepapaan dengan sebab sifat tamak haloba yang ada pada mereka dan dengan sebab interaksi riba yang mereka jalankan serta sifat tipu helah dan khianat yang mereka lakukan. Manakala golongan badwi (kampung) yang bersifat dengan qana’ah (merasa cukup) memperolehi rezeki mereka secara sempurna dan hidup dalam keadaan kesenangan dan kemewahan. Hal ini juga menguatkan lagi dakwaan kami tadi. Ramai ulama dan sasterawan yang dikurniakan kecerdikan dan kepandaian tetap juga terjerumus ke lembah ketamakan lalu menyebabkan mereka jatuh menjadi papa kedana dan hidup cukup-cukup makan atau “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” sahaja. Namun ramai dari kalangan orang-orang yang jahil dan lemah, menikmati kekayaan yang melimpah ruah kerana sifat semula jadi mereka yang berqana’ah. Hal ini juga membuktikan secara pasti bahawa rezeki yang halal hanya datang dengan kelemahan dan kefakiran, bukan dengan kekuatan dan usaha. Bahkan ia sentiasa berkadar terbalik dengan kekuatan dan usaha. Ini dibuktikan melalui rezeki yang dikecapi oleh kanak-kanak menjadi semakin mengecil, jauh dan sukar untuk dicapai apabila kanak-kanak itu semakin membesar dari sudut kehendak dan kekuatan.Benar, qana’ah (merasa cukup) adalah khazanah kehidupan yang luas dan mewah serta punca kerehatan dalam kehidupan. Manakala tamak adalah punca kerugian dan kerendahan, berdasarkan rahsia hadis Rasulullah s.a.w.:اَلْقَنَاعَةُ كَنْزٌ لاَ يَفْنىَ “Qana’ah adalah khazanah yang tidak akan habis.” Natijah Ketiga:Sifat tamak akan memusnahkan keikhlasan dan merosakkan amalan ukhrawi, kerana jika sifat tamak ini wujud pada seseorang mukmin yang bertaqwa, nescaya dia mahu agar orang melihat dan memandang kepadanya. Sesiapa yang menanti-nanti supaya orang lain melihat dan memandang kepadanya, maka pasti dia tidak akan mencapai dan memperoleh tahap keikhlasan yang sempurna. Natijah ini mempunyai kepentingan yang tinggi dan mesti diberikan perhatian selayaknya. Kesimpulan:Israf (membazir) melahirkan tidak qana’ah (merasa cukup) iaitu tamak. Tamak pula memadamkan semangat dan kesungguhan untuk melakukan amalan dan mencampakkan seseorang kepada sifat malas dan bertangguh-tangguh, serta membuka pintu keluh kesah dan kekecewaan dalam kehidupannya sehingga menjadikannya sentiasa mengerang kesakitan kerana gigitan kebosanan. Sebagaimana ia turut merosakkan keikhlasannya dan membuka di hadapannya pintu riak dan menunjuk-nunjuk sehingga menyebabkan kemuliaan maruahnya musnah sehingga sanggup akhirnya untuk meminta-minta dengan penuh kehinaan. Iqtisad pula akan melahirkan qana’ah (merasa cukup). Qana’ah akan melahirkan kemuliaan berdasarkan rahsia hadis:عَزَّ مَنْ قَنَعَ ذَلَّ مَنْ طَمَعَ “Mulialah orang yang berqana`ah dan hinalah orang yang tamak.” Qana‘ah juga akan membangkitkan semangat untuk berusaha dan bekerja, serta mendorong kepada bekerja keras dan bersungguh-sungguh. Ini adalah kerana jika seseorang berusaha sepanjang hari kemudian dia menerima ganjaran pada waktu petang daripada usaha sepanjang hari itu, maka sudah pasti ini akan menyebabkannya tetap berusaha lagi pada hari esoknya dengan sebab rahsia sifat qana‘ah. Manakala musrif (pembazir) pula, dia tidak akan berusaha lagi pada hari kedua kerana tiada sifat qana‘ah padanya, juga jika dia berusaha dan bekerja pun pada hari seterusnya, maka usaha dan kerja yang dilakukannya itu tidaklah dengan sepenuh hati.Demikianlah bagaimana sifat qana‘ah yang terlimpah daripada sifat iqtisad berupaya membuka pintu kesyukuran dan menutup pintu pengaduan dan keluh kesah. Dengan demikian seseorang akan tetap berada dalam keadaan bersyukur kepada Allah s.w.t. sepanjang hidupnya. Sifat qana‘ah juga akan menyebabkan seseorang tidak mengharapkan agar manusia berpaling kepadanya kerana dia tidak lagi memerlukan mereka. Maka pintu keikhlasan dalam dirinya akan terbuka seluas-luasnya dan pintu riak pula akan tertutup. Saya menyaksikan kemudaratan besar dan kerugian yang pedih diakibatkan oleh sifat israf (membazir) dan tidak beriqtisad. Saya menyaksikannya dalam bentuk yang luas dan besar, sebagaimana berikut:Saya tiba di satu bandar yang diberkati sembilan tahun lalu pada musim sejuk, lalu saya tidak dapat melihat sumber-sumber kekayaan dan punca pendapatan di bandar tersebut. Mufti bandar tersebut (Semoga Allah s.w.t. merahmatinya) berkata kepada saya: “Penduduk di sini miskin-miskin belaka.” Beliau mengulang-ulangi perkataan tersebut beberapa kali. Kata-kata tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa saya. Saya juga berdukacita bagi penduduk bandar tersebut selama lebih kurang enam tahun. Selepas lapan tahun daripada peristiwa itu, saya kembali semula ke bandar tersebut pada musim panas. Saya dapat melihat pada masa itu taman-taman dan kebun-kebun yang luas terdapat di bandar tersebut, lalu saya teringat kepada kata-kata mufti yang lepas, saya pun berkata kepada diri saya sendiri dengan penuh kehairanan: Subhanallah! Hasil daripada kebun-kebun dan dusun-dusun ini melebihi keperluan seluruh bandar ini. Sepatutnya penduduk bandar ini hidup dalam keadaan amat mewah dan kaya! Lalu saya terus berada dalam keadaan bingung dan kehairanan... Namun saya memahami satu hakikat yang sinar zahirnya tidak dapat mempedayakan saya. Ia adalah satu hakikat yang saya gunakan sebagai asas untuk memahami mana-mana hakikat yang lain. Hakikat tersebut ialah bahawa keberkatan telah diangkat daripada bandar ini dengan sebab israf (membazir) dan tidak beriqtisad. Inilah yang menyebabkan mufti tempoh hari berkata bahawa penduduk bandar tersebut semuanya miskin-miskin belaka meskipun mereka memiliki sumber kekayaan dan khazanah sumber alam yang besar dan luas. Benar, telah terbukti melalui pengalaman dan dengan melihat kepada kejadian-kejadian yang tidak terkira banyaknya, bahawa mengeluarkan zakat dan beriqtisad merupakan sebab kepada keberkatan. Manakala israf (membazir) dan tidak mengeluarkan zakat mengangkat keberkatan tersebut. Firman Allah s.w.t.:كُلُوا وَاشْرَبوُا وَلاَ تُسْرِفُوا ...“dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau...” (al-A‘raf, 31)Ibnu Sina yang merupakan seumpama Plato bagi orang-orang Islam, guru para doktor perubatan dan mahaguru ahli falsafah keseluruhannya, mentafsirkan ayat di atas dari sudut pandangan perubatan sahaja dengan beberapa ungkapan syair di bawah: : جَمَع۟تُ الطِّبَّ فِى ال۟بَي۟تَي۟نِ جَم۟عًا وَ حُس۟نُ ال۟قَو۟لِ فٖى قَص۟رِ ال۟كَلَامِ فَقَلِّل۟ اِن۟ اَكَل۟تَ وَ بَع۟دَ اَك۟لٍ تَجَنَّب۟ وَ الشِّفَاءُ فِى ال۟اِن۟هِضَامِ وَ لَي۟سَ عَلَى النُّفُوسِ اَشَدُّ حَالًا مِن۟ اِد۟خَالِ الطَّعَامِ عَلَى الطَّعَامِ “Aku himpunkan ilmu perubatan dalam dua ungkapan sahaja. Kerana perkataan yang baik adalah yang ringkas: Sedikitkan jika anda makan dan jauhilah makan selepas makan, kerana kesembuhan berada dalam penghadaman sempurna. Tiada keadaan yang lebih teruk bagi seseorang melainkan memasukkan makanan ke dalam perut berturut-turut.” SUATU TAWAFUK YANG MENGHAIRANKAN DAN MENUNTUT PENGIKTIBARAN Risalah Iqtisad ini disalin oleh lima atau enam orang penyalin. Tiga orang daripada mereka tidak pandai menulis. Setiap seorang daripada mereka datang dari tempat yang berlainan, menyalin daripada salinan yang berbeza, dan tulisan masing-masing juga berbeza. Namun apa yang menakjubkan adalah 51 huruf alif (tidak termasuk doa dalam risalah ini) dan 53 lagi huruf alif yang termasuk doa, berada pada tempat yang sama pada setiap salinan.Bilangan huruf alif ini bersamaan dengan tahun penulisan dan penyalinan risalah tersebut iaitu pada tahun 1351 menurut kalender Rumi atau tahun 1353 menurut kalender Hijrah. Perkara ini boleh dikatakan sebagai tawafuk yakni tanda yang menunjukkan bahawa keberkatan yang ada dalam Risalah Iqtisad ini meningkat sehingga mencapai tahap keramat. Justeru, tahun tersebut dinamakan sebagai “Tahun Iqtisad.” Masa telah membuktikan keramat iqtisad ini, iaitu ketika manusia menyaksikan Perang Dunia Kedua yang berlaku dua tahun selepas itu. Perang tersebut telah menyebarluaskan keadaan kebuluran, keruntuhan dan pelbagai israf (membazir) ke seluruh pelosok dunia sehingga memaksa manusia beriqtisad dan menerima cara hidup tersebut. سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ - وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ - وَالْحَمْدُ ِللّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اٰمِينَ“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah, 32)

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters