بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ Terjemahannya: “Dan ingatlah kisah Nabi Ayub a.s., ketika dia berdoa kepada Tuhannya,” “Ya Tuhanku, sesungguhnya, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang daripada semua yang penyayang.” (Al-Anbiya’ 21:83) Munajat Nabi Ayub (Semoga keselamatan dilimpahkan kepadanya), pahlawan kesabaran, telah diuji dan terbukti mujarab. Berdasarkan ayat ini, kita seharusnya mengucapkan dalam munajat kita:Terjemahannya: “Ya Tuhanku, sesungguhnya, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang daripada semua yang penyayang.” Walaupun menderita akibat banyak luka dan kudis untuk jangka waktu yang lama, baginda telah menahannya dengan kesabaran yang tinggi sambil memikirkan ganjaran besar yang akan diperolehi atas penyakitnya itu. Tetapi kemudian, ketika cacing-cacing yang muncul dari luka itu mula menembusi hati dan lidahnya, tempat mengingati dan mengenal Allah, baginda khuatir tugas ibadahnya akan terganggu. Oleh karena itu, baginda bermunajat dengan doa tersebut bukan untuk keselesaannya sendiri, tetapi untuk tujuan ibadahnya kepada Ilahi.“Wahai Tuhanku! Mudarat telah menimpaku, ingatanku kepada-Mu dengan lidahku dan ibadahku kepada-Mu dengan hatiku akan terjejas. Allah Yang Maha Kuasa kemudian menerima permohonan yang tulus, ikhlas, dan penuh kesolehan ini dengan cara yang paling menakjubkan dengan memberikan kesihatan yang sempurna kepada Nabi Ayub dan menzahirkan dalam diri baginda segala jenis kerahmatan-Nya. Penjelasan Kerdipan Cahaya ini terkandung dalam Lima Noktah:
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Lem'alar
The Second Gleam
Penyakit-penyakit luaran Nabi Ayub a.s. adalah sebanding dengan penyakit-penyakit dalaman, rohani, dan hati kita. Jika keadaan dalaman kita dipalingkan ke luaran, dan keadaan luaran kita dipalingkan ke dalam, kita akan kelihatan lebih luka dan sakit daripada Nabi Ayub. Hal ini kerana setiap dosa yang kita lakukan dan setiap keraguan yang memasuki fikiran kita akan menyebabkan luka pada hati dan roh kita.Keadaan luka yang dideritai oleh Nabi Ayub a.s. hanya mengancam kehidupan baginda di dunia yang singkat ini. Tetapi luka-luka maknawi yang kita alami ini akan mengancam kehidupan kita yang kekal abadi. Kita memerlukan munajat Nabi Ayub a.s. itu beribu kali ganda lebih daripada baginda sendiri. Sama seperti cacing-cacing yang timbul daripada luka-luka Nabi Ayub a.s yang telah menjangkiti hati dan lidah baginda; begitu juga, luka-luka yang timbul dari dosa-dosa dan was-was (syak), akan menyelinap masuk ke dalam hati nurani yang merupakan tempat letaknya iman, lalu merosakkannya. Luka-luka tersebut juga meresap ke dalam keasyikan kerohanian dalam berzikir, yang merupakan penterjemah kepada keimanan, menjauhkannya daripada berzikir dengan kebencian yang menjijikkan dan seterusnya membuatkannya tidak lagi berzikir. Sesungguhnya dosa menembusi hati, menghitamkan dan membuatnya semakin keras sehingga cahaya iman itu akan hilang. Di dalam setiap dosa terdapat jalan menuju kekufuran. Jika dosa itu tidak dihapuskan segera dengan beristighfar, ia akan bertukar daripada seekor ulat menjadi ular yang sentiasa menggigit hati. Sebagai contoh, seseorang yang melakukan dosa yang memalukan secara senyap-senyap akan berasa takut jika perkara itu diketahui orang lain. Ini menjadikan dia berasa berat untuk menerima hakikat kewujudan para malaikat dan makhluk-makhluk ghaib lainnya menyebabkan dia akan menggunakan alasan yang sangat remeh untuk menyangkal dengan bersungguh-sungguh akan kewujudan makhluk-makhluk tersebut. Begitu juga seseorang yang melakukan dosa besar yang layak dibalas dengan seksa neraka jahanam. Setiap kali dia mendengar ancaman balasan, jika dia tidak menjadikan istighfar sebagai benteng, dengan sepenuh hati dia menyangkal kewujudan neraka. Ini dilakukan dengan alasan yang remeh dan keraguan yang kecil menjadikannya berani mengingkari kewujudan neraka jahanam itu. Begitu juga dengan orang yang tidak mendirikan solat fardu dan tanggungjawab ibadah yang diwajibkan ke atas dirinya. Dia akan berasa tertekan sebagaimana dia akan berasa tertekan apabila dia mengabaikan tanggungjawab yang ringan terhadap seorang pemerintah yang biasa. Oleh itu, kemalasan untuk memenuhi kewajiban ibadahnya terhadap arahan yang berulang kali daripada Pemerintah yang Azali dan Abadi, akan membuatnya sangat tertekan, sehingga dia berharap dan berkata: “Alangkah baiknya sekiranya tidak ada kewajiban beribadah ini!” Selanjutnya, akan wujud di dalam dirinya keinginan untuk menyangkal kewujudan Ilahi dan menimbulkan kebencian terhadap-Nya. Jika ada keraguan terhadap kewujudan Ilahi di dalam hatinya, maka dia akan terdorong untuk memegang alasan tersebut sebagai satu bukti yang kukuh. Oleh itu, akan dibuka di hadapannya suatu pintu yang luas menuju ke arah kehancuran. Orang yang malang ini tidak sedar bahawa keingkarannya akibat kemalasan melaksanakan ibadah itu telah menjadikan dirinya sasaran musibah yang besar yang jutaan kali lebih dahsyat. Ia ibarat orang yang cuba menghindari gigitan seekor serangga yang kecil, akhirnya menjadi mangsa gigitan seekor ular yang berbisa. Ada banyak lagi contoh selain ketiga-tiga contoh yang dinyatakan di atas. Ayat al-Quran berikut menzahirkan akan rahsianya: بَلْ رَانَ عَلٰى قُلوُبِهِمْ Terjemahannya: “Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka.” (Al-Mutaffifin 83:14)
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Kalimat Kedua Puluh Enam mengenai qadar yang mana juga dikenali sebagai ketentuan, manusia tidak berhak mengadu atas musibah dan penyakit yang menimpa ke atasnya disebabkan tiga perkara berikut:
Allah SWT telah menjadikan perhiasan yang membaluti tubuh kita sebagai cara memperlihatkan kesenian-Nya. Dia telah menjadikan manusia sebagai model di mana Dia memotong, menggunting, mengubah dan menukar pakaian tersebut pada badannya untuk mempamerkan pelbagai nama-nama-Nya. Sepertimana nama-Nya “al-Shfi” (Maha Menyembuhkan) menuntut adanya penyakit, begitulah juga dengan nama-Nya “ar-Razzq” (Maha Pemberi Rezeki), menuntut keberadaan rasa lapar. Begitu juga dengan nama-nama-Nya yang lain. Dialah Raja bagi Segala Pemilik Kekuasaan, membuat apa-apa sahaja ke atas segala yang dikuasai mengikut kehendak-Nya. مَالِكُ ال۟مُل۟كِ يَتَصَرَّفُ فٖى مُل۟كِهٖ كَي۟فَ يَشَٓاءُ
melalui pelbagai musibah dan penyakit, kehidupan akan menjadi lebih murni, sempurna, kukuh dan maju; mendatangkan hasil, mencapai kesempurnaan dan memenuhi tujuannya. Kehidupan yang sentiasa dilalui dengan kesenangan dan keselesaan di atas sofa yang empuk sebenarnya lebih menyerupai kejahatan yang hakiki yang merupakan ketiadaan di sebalik kebaikan hakiki yang berada di dalam kehidupan; sebenarnya ia cenderung ke arah ketiadaan itu.
dunia adalah tempat ujian dan lapangan bagi kita membuat amal. Dunia bukanlah tempat untuk bersenang-lenang, mendapatkan ganjaran dan pembalasan. Dengan mengambil kira bahawa dunia ini adalah tempat berkhidmat, tempat beribadah, tempat adanya berbagai-bagai penyakit dan musibah, selagi mana semua perkara ini tidak memberi kesan kepada iman dan dapat dilalui dengan sabar, ia merupakan suatu khidmat dan ibadah, malah menguatkannya. Penyakit dan musibah yang dihadapi oleh seseorang itu sebenarnya menukarkan nilai setiap jam ibadahnya kepada seharian beribadah. Ibadah terbahagi kepada dua, ibadah yang aktif dan ibadah yang pasif. Ibadah aktif adalah ibadah biasa sepertimana yang kita sedia maklum. Ibadah pasif pula ialah ibadah yang apabila seseorang ditimpa musibah atau penyakit, dia menyedari akan kelemahan dan keterbatasannya, dan seterusnya menghadapkan dirinya kepada Tuhan Yang Maha Pengasih (Rabbi Rahim), memohon perlindungan daripada-Nya, mengingati-Nya, merayu kepada-Nya, maka dengan ini akan membuatnya beribadah tanpa adanya sebarang riak yang dapat menembusinya. Jika dia mengharungi penderitaannya dengan sabar dan memikirkan ganjaran yang mendatang ke atas musibah yang menimpanya dan bersyukur, setiap jam yang dilaluinya akan dikira sebagai masa yang digunakan untuk seharian beribadah. Dengan ini kehidupannya yang singkat akan menjadi panjang. Terdapat beberapa keadaan di mana satu minit telah dikira bersamaan dengan seharian beribadah. Pada satu ketika, aku merasa sangat bimbang disebabkan suatu penyakit yang dahsyat yang menimpa saudara seakhiratku, Muhajir Hafiz Ahmed .Pada saat itu, satu peringatan terdetik di dalam hatiku. “Ucapkan tahniah kepadanya!” Setiap minit yang dilaluinya dikira setara dengan ibadah seharian. Sudah tentulah dia menghadapi penyakitnya itu dengan sabar dan bersyukur.
Seperti yang telah kami nyatakan pada satu atau dua tempat di dalam kitab al-Kalimat, apabila seseorang itu memikirkan kehidupannya yang lepas, dia akan mengatakan di dalam hatinya atau dengan lidahnya sama ada “Ah!” ataupun “Oh!”, iaitu sama ada melalui pengalaman yang menyesalkannya atau dia akan berkata “Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah)”. Penyesalan itu timbul akibat kesakitan yang muncul daripada hilangnya kenikmatan pada masa yang lepas dan perpisahan daripadanya. Hal ini kerana hilangnya kenikmatan itu sendiri merupakan suatu kesakitan. Kadangkala kenikmatan yang sekejap sahaja itu boleh mengakibatkan kesakitan yang berterusan. Apabila kita memikirkannya kembali, ia ibarat kita memotong satu luka yang akan menyebabkan darah penyesalan memancut keluar. Adapun, bagi kenikmatan kerohanian yang berkekalan akibat daripada hilangnya kesakitan yang sementara yang dialami pada masa lepas, ia akan menyebabkan seseorang itu mengucapkan “Alhamdulillah (Segala puji-pujian bagi Allah).” Selain daripada kecenderungan fitrah manusia ini, sekiranya dia memikirkan akan natijah pahala yang akan timbul daripada musibah dan ganjaran yang akan menunggunya di akhirat nanti, dan jika dia sedar bahawa kehidupannya yang singkat akan dikira sebagai suatu kehidupan yang panjang akibat musibah tersebut, maka daripada hanya sekadar bersabar, dia sepatutnya bersyukur. Dia sepatutnya mengucapkan, “Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan kecuali pada keadaan kekufuran dan kesesatan.”Terdapat ungkapan yang masyhur yang mengatakan: “Masa malapetaka adalah lama”. Ya, ia merupakan masa yang lama bukanlah kerana ia menyusahkan dan menyakitkan seperti yang dibayangkan oleh orang biasa, tetapi kerana ia menghasilkan hasil yang penting seperti kehidupan yang panjang.
Seperti yang dijelaskan dalam Hentian Pertama pada Kalimah Kedua Puluh Satu, kekuatan kesabaran yang dikurniakan Allah Yang Maha Kuasa kepada manusia adalah mencukupi untuk menghadapi segala musibah kecuali jika ia disia-siakan terhadap ketakutan yang tidak berasas. Namun disebabkan dikuasai oleh waham (ilusi), kealpaan manusia dan sangkaannya bahawa dunia sementara ini adalah kekal, dia mensia-siakan kekuatan kesabarannya pada masa lepas dan juga pada masa hadapan. Jika kesabarannya tidak setanding dengan musibah yang terjadi pada masa kini, dan dia mula mengadu. Ia seolah-oleh seperti dia merungut terhadap Allah yang Maha Berkuasa kepada manusia (na’uzubillah). Dengan cara yang paling tidak adil dan bahkan gila, dia mengadu dan menunjukkan ketidaksabarannya. Jika hari yang ditimpa musibah telah berlalu dan kedukaan kini telah pergi, hanya ketenangan yang tersisa. Kesakitan telah hilang dan kenikmatan dalam kehilangan kesakitan itu yang tinggal; kesukaran telah berlalu dan hanya ganjaran pahala yang wujud.Jika hari yang telah berlalu membawa malapetaka, kini kesedihan telah pergi, dan hanya ketenangan yang tersisa; kesakitan telah hilang dan kenikmatan dalam penghentian kesakitan itu masih ada; masalah telah pergi, dan ganjaran masih ada. Oleh itu, seseorang sepatutnya tidak mengadu tetapi bersyukur atas kenikmatan. Seseorang sepatutnya tidak mengeluh terhadap malapetaka, tetapi mencintainya. Kehidupan sementara di masa lalu dianggap sebagai kehidupan yang kekal dan diberkati kerana malapetaka. Oleh itu, seseorang itu tidaklah sepatutnya merungut atas musibahnya itu, tetapi dia sepatutnya bersyukur atas kenikmatan yang akan diterimanya nanti. Dia sepatutnya tidak mengeluh terhadap musibah yang menimpanya itu, tetapi mencintainya.Kehidupan yang sementara pada masa lepas itu akan dikira sebagai suatu kehidupan abadi yang dirahmati disebabkan oleh musibah. Untuk memikirkan kesakitan yang telah berlalu dengan khayalannya sendiri dan kemudian mensia-siakan sebahagian kesabaran itu adalah suatu kegilaan. Bagi hari-hari yang mendatang, kerana ia masih belum tiba, jika dia memikirkan tentang penyakit atau musibah yang akan ditanggungnya itu pada masa sekarang dan menunjukkan ketidaksabarannya, adalah satu tindakan yang bodoh. Untuk berkata kepada diri sendiri “Esok atau lusa aku akan menjadi lapar dan dahaga” dan secara berterusan meminum air dan memakan roti hari ini adalah benar-benar suatu kegilaan. Begitu juga, memikirkan musibah dan penyakit yang mendatang, yang masih belum wujud, dengan menanggung penderitaan sebelum ia berlaku, menunjukkan ketidaksabaran dan menyeksa dirinya tanpa dipaksa, adalah suatu kebodohan yang nyata sehingga dia tidak layak disimpati dan dikasihani. Secara ringkasnya, sama seperti syukur akan meningkatkan nikmat, begitu juga keluhan akan meningkatkan musibah dan menghilangkan segala punca kasih sayang. Semasa Perang Dunia Pertama dahulu, seorang yang diberkati dari Erzurum terkena penyakit kronik yang teruk. Tatkala aku mengunjunginya, dia mengadu dengan penuh kesedihan, “Saya tidak dapat meletakkan kepala di atas bantal dan tidur selama seratus malam.” Keluhannya membuatkan aku berasa sedih. Tiba-tiba, pada saat itu aku teringat dan berkata kepadanya: “Saudaraku, seratus hari yang telah berlalu telah menjadi seperti seratus hari yang menggembirakan. Jangan memikirkannya dan mengeluh, tetapi renungi hari-hari tersebut dengan kesyukuran. Bagi hari-hari yang mendatang, oleh kerana ia belum tiba, letaklah kepercayaanmu kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Janganlah kau menangis sebelum dipukul, janganlah kau takut kepada perkara yang belum wujud dan janganlah engkau warnai dengan kewujudan pada perkara yang tidak wujud. Fikirkanlah masa kini, kekuatan ketahanan kesabaranmu yang ada mampu bertahan untuk ketika ini. Jangan bertindak seperti seorang komandan yang gila yang mengharapkan bantuan di sayap kanannya daripada pasukan musuh yang membelot untuk menyertai dia dari sebelah kirinya, dan kemudian mulai menyebarkan pasukannya di tengah, ke kiri dan kanan sebelum musuh benar-benar menyertai dia di sebelah kanannya. Musuh kemudian menghancurkan kekuatannya yang ada di bahagian tengah, dengan sisa pasukan mereka dari bahagian kiri yang lemah, dengan kekuatan yang sangat kecil.. Saudaraku, janganlah engkau jadi sepertinya. Saudaraku, janganlah menjadi seperti komandan yang gila itu. Gerakkanlah semua kekuatanmu untuk ketika ini, dan fikirkan tentang rahmat Ilahi, ganjaran di akhirat, dan bagaimana kehidupanmu yang fana dan sementara ni sedang diubah menjadi kehidupan yang panjang dan kekal abadi. Daripada mengeluh dengan sedih, bersyukurlah dengan gembira.” Pesakit itu berasa lega lalu berkata, “Alhamdulillah, sakitku hanya terasa sepersepuluh daripada segala yang kurasakan sebelum ini.”
Noktah kelima ini mengandungi tiga perkara pokok.
Musibah sebenar dan berbahaya adalah musibah yang melibatkan agama. Dalam hal ini, seseorang sepatutnya sentiasa memohon perlindungan di hadapan singgahsana Ilahi dan merayu ke atas pertolongan-Nya. Namun, musibah yang melibatkan agama sebenarnya bukanlah suatu musibah. Sebahagian daripada musibah itu adalah merupakan peringatan daripada Yang Maha Mengasihani. Jika seorang penggembala melemparkan batu ke arah biri-birinya ketika melanggar ladang orang lain, mereka memahami bahawa batu itu dimaksudkan sebagai amaran untuk menyelamatkan mereka dari tindakan yang berbahaya; dengan penuh rasa syukur mereka berpatah balik. Begitulah juga dengan pelbagai musibah yang merupakan amaran dan teguran Ilahi, penebus dosa(kafarah) untuk manusia. Selain itu, musibah juga merupakan penebus dosa dan peringatan. Ia juga merupakan pelebur kelalaian manusia, mengingatkannya akan ketidakupayaan dan kelemahannya, lalu memberikannya suatu bentuk ketenangan. Adapun musibah yang berbentuk penyakit, sebagaimana yang telah dijelaskan, ia bukanlah musibah sama sekali, tetapi lebih merupakan anugerah Rabbani dan satu cara penyucian. Terdapat sebuah riwayat yang menyatakan: “Sama seperti menggoncangkan pohon matang akan menjatuhkan buah-buahnya, demikian juga dosa-dosa akan gugur melalui getaran demam.” Nabi Ayub a.s. dalam doanya tidak meminta keselesaan untuk tubuh fizikanya, tetapi sebaliknya memohon kesembuhan agar dia dapat beribadah ketika penyakit menghalangnya dari berzikir dengan lisannya dan bertafakur mengingati Allah dalam hatinya. Dia memohon kesembuhan agar boleh melaksanakan ibadah. Begitulah apabila kita bermunajat, seharusnya kita lebih mengharapkan kesembuhan rohani dan luka-luka dalaman akibat melakukan dosa. Maksud utama dari doa adalah untuk menyembuhkan penyakit dalaman dan luka-luka rohani yang berasal dari dosa-dosa kita. Ketika kita dihalang daripada beribadah akibat penyakit fizikal, kita boleh mencari perlindungan melalui doa. Namun, kita seharusnya memohon perlindungan dengan cara yang merendah diri dan memanjangkan doa, bukan dengan cara yang memprotes dan merungut. Jika kita menerima rububiyah Ilahi, maka kita juga harus menerima dengan reda segala yang Dia berikan dalam kedudukan-Nya sebagai Tuhan. Mengecam qada dan qadar dengan cara menentang dan bersikap marah adalah seperti mengkritik takdir Ilahi dan menuduh Allah sebagai tidak mengasihani. Mengkritik takdir akan menyebabkan diri sendiri menderita, sementara menafikan rahmat Ilahi akan menyebabkan kita kehilangan rahmat itu sendiri. Menggunakan tangan yang sudah patah untuk membalas dendam hanya akan menyebabkan kecederaan yang lebih teruk kepada tangan tersebut. Demikian juga, seseorang yang ditimpa musibah, apabila dia menghadapinya dengan keluhan yang penuh dengan protes hanya akan melipatgandakan musibah itu sendiri.
Jika kita membesar-besarkan penyakit fizikal yang kita alami, musibah itu akan menjadi besar dan jika kita memandang penyakit tersebut sebagai remeh, musibah itu akan mengecil dan berkurangan. Contohnya, mimpi yang muncul dalam pandangan seseorang pada malam hari. Jika dia memberikan perhatian padanya, mimpi itu akan menghantuinya; dan jika tidak, ia akan menghilang. Jika kita memandang penyakit itu sebagai musibah besar dan tenat, maka musibah itu akan membesar. Jika kita memandang penyakit itu sebagai musibah besar dan memberi perhatian kepadanya, penyakit itu akan membesar dan menyebabkan kerisauan menyerang ke akar umbi hati melalui tubuh badannya. Hal ini juga akan menyebabkan penderitaan batin yang bersandar pada penderitaan fizikalnya dan akan terus berlanjutan. Namun, jika kerisauan itu dihilangkan melalui reda dan tawakal terhadap ketentuan Ilahi, musibah fizikal tersebut sedikit demi sedikit akan berkurangan, mengering dan lenyap, seumpama pohon yang akarnya terputus. Untuk menjelaskan hakikat ini, pada suatu waktu saya telah mengungkapkan kata-kata berikut; Janganlah menangis di saat musibah, wahai si malang, datang dan bertawakallah kepada Allah! Ketahuilah, ratapan itu akan menggandakan musibah dan adalah kesalahan yang besar. Carilah Penghantar musibah itu dan ketahuilah ia adalah hadiah dalam suatu anugerah dan adalah suatu kebahagiaan. Hentikanlah tangismu dan bersyukurlah seumpama burung bulbul, senyumlah dalam tangisanmu! Jika kamu tidak menemui-Nya, ketahuilah dunia ini adalah kesakitan dalam kesakitan, fana dan satu kerugian. Ketahuilah, dunia dipenuhi dengan ujian. Mengapa menangis atas musibahmu yang kecil? Marilah berserah diri kepada takdir! Bertawakallah! Senyumlah di hadapan musibah, nescaya musibah itupun akan turut tersenyum. Dalam kesenyumannya, musibah itu mengecil dan akan berubah. Sama seperti tersenyum di hadapan musuh yang hebat dalam pertempuran, kemarahan musuh akan berubah menjadi perasaan lembut, lalu permusuhannya tadi akan menjadi bahan yang diketawakan, mengecil dan hilang. Jika seseorang menghadapi musibah dengan bertawakal kepada-Nya, hasilnya akan serupa.
Setiap zaman ada ketetapan tertentu. Pada zaman sekarang yang penuh dengan kelalaian ini, musibah telah berubah bentuk. Pada zaman tertentu dan bagi orang tertentu, ujian sebenarnya bukanlah suatu bencana, akan tetapi ia merupakan sentuhan rahmat Ilahi. Kerana saya menganggap mereka yang ditimpa penyakit pada zaman ini sebagai orang yang beruntung - dengan syarat penyakit mereka tidak menjejaskan agama mereka - tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menentang penyakit dan musibah tersebut, atau merasa kasihan terhadap mereka. Setiap kali aku bertemu dengan pemuda yang ditimpa penyakit, aku mendapati mereka ini lebih mengambil berat akan tanggungjawab agama dan akhiratnya berbanding dengan pemuda lain yang sebaya dengannya. Oleh itu, aku menyimpulkan bahawa sesuatu penyakit bagi mereka ini bukanlah musibah, tetapi adalah satu pemberian nikmat daripada Allah SWT. Benar bahawa penyakit menyebabkannya merasa kesulitan dalam kehidupan yang singkat, fana, dan duniawinya, tetapi ia bermanfaat untuk kehidupan abadinya. Ia harus dianggap sebagai suatu bentuk ibadah. “Jika dia sihat, dia tidak akan dapat mengekalkan keadaan yang dinikmatinya semasa sakit, dan akan terjerumus dalam kelalaian akibat daripada kegopohan zaman muda dan keadaan kelalaian yang berlaku pada zaman ini.
Allah yang Maha Kuasa telah menciptakan manusia dengan kelemahan dan kefakiran yang tidak terbatas, sebagai tanda kekuasaan dan rahmat-Nya yang tidak terhingga. Selanjutnya, untuk menunjukkan keindahan tak terbatas dari nama-nama-Nya, Dia menciptakan manusia seperti mesin yang mampu menerima pelbagai jenis kesakitan serta kenikmatan yang tidak terbatas. Dan di dalam mesin manusia terdapat berbagai-bagai alat yang bergerak. Setiap satu memiliki kesakitan yang berbeza, kenikmatan yang berbeza, tugas yang berbeza, dan ganjaran yang berbeza. Seperti yang dimanifestasi di dalam alam semesta ini yang merupakan makhluk besar, semua nama-nama Ilahi dimanifestasikan juga dalam diri manusia yang merupakan makhluk kecil. Perkara-perkara yang berfaedah seperti kesihatan yang baik, kesejahteraan, dan kenikmatan menyebabkan manusia bersyukur dan mengarahkan mesin manusia untuk menjalankan fungsinya dalam pelbagai aspek, dan dengan itu manusia menjadi seperti kilang yang menghasilkan kesyukuran. Demikian juga, dengan musibah, penyakit, penderitaan, dan gangguan yang mendatang, mesin ini mengaktifkan dan menggerakkan bahagian-bahagiannya yang lain, memberikan stimulasi dan dorongan. Ia juga mengaktifkan kelemahan, kerapuhan dan kefakiran yang terkandung dalam fitrah diri manusia itu. Ia melahirkan situasi melalui permohonan dan bantuan setiap anggota badan, bukan dengan bahasa daripada satu anggota sahaja, tetapi melalui bahasa daripada semua anggota badannya. Seolah-olah manusia melalui kejadian-kejadian tersebut, itu menjadi seperti pena yang bergerak, yang terdiri daripada ribuan pena yang berbeza. Di dalam lembaran kehidupannya atau di dalam Lauh Mahfuz, dia menulis perjalanan takdir hidupnya, mengungkapkan sebuah qasidah dirinya daripada nama-nama Ilahi. Oleh itu, dia telah melaksanakan tugas-tugas fitrahnya.

