Lem'alar

The Twenty-First Gleam

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

RISALAH IKHLAS [Walaupun pada asalnya ia adalah Perkara Keempat daripada Perkara-perkara Ketujuh dalam Noktah Ketujuh Belas dalam Lamaat Ketujuh Belas daripada Kitab al- Lamaat, oleh kerana mempunyai hubungan dengan keikhlasan, ia menjadi Faktor Kedua dalam Lamaat Kedua Puluh. Akhirnya, kerana sifatnya yang bersinar, ia telah dimasukkan sebagai Lamaat Kedua Puluh Satu.] Lamaat in hendaklah dibaca sekurang-kurangnya sekali setiap lima belas hari بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.“Janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi ketar dan hilang kekuatanmu”(al-Anfal: Ayat 46)“ Berdirilah kerana Allah di dalam solatmu dengan khusyuk” (al-Baqarah: ayat 238) “Beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”(Ash-Shams: Ayat 9-10) “Dan janganlah menukarkan ayat-ayatku dengan harga yang rendah.”(al-Baqarah: ayat 41) Wahai saudara-saudara akhiratku, wahai teman-teman yang mengabdikan diri kepada al-Quran! Kalian sepatutnya tahu dan sebetulnya memang mengetahui bahawa ikhlas adalah amalan paling penting di dunia ini apalagi amal untuk akhirat. Ikhlas merupakan kekuatan paling besar, pemudahcara paling diterima, sokongan paling mantap, jalan paling singkat menuju kebenaran, doa paling maqbul, cara paling mulia, sifat utama, serta pengabdian yang paling murni dan tinggi kualitinya. Oleh kerana ikhlas mengandungi banyak cahaya dan kekuatan seperti yang disebutkan di atas, dan kerana kurnia Ilahi telah memberi tanggungjawab kepada kita dengan tugas suci dan berat, serta pengabdian yang agung, iaitu menjaga iman dan pengabdian kepada al-Quran, maka kita harus mendapatkan ikhlas dengan segala upaya berbanding orang lain. Ini kerana jumlah kita sangat sedikit, lemah, dan miskin, tetapi kita harus menghadapi musuh yang kuat dengan berbagai kesulitan, ditambah lagi dengan banyaknya bid’ah dan kesesatan yang menguasai kita di masa sulit ini. Yang paling kita perlukan sekarang adalah bagaimana menguatkan keikhlasan dalam diri kita. Jika tidak, semua tugas suci yang kita lakukan menjadi sia-sia dan pengabdian kita tidak dapat [bertahan lama. Kita akan dipertanggung jawabkan dengan ancaman Tuhan seperti firman-Nya yang berbunyi, وَلاَ تَشْتَرُوا بِاٰيَاتِى ثَمَنًا قَلِيلاً “Janganlah kalian menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah” (al-Baqarah: ayat 41) Jika kita tidak bersikap ikhlas, kita akan merosakkan kebahagiaan abadi hanya kerana kepentingan dunia yang tidak bermakna, tidak perlu, merosakkan, menyedihkan, demi keinginan duniawi yang hina, rendah, berbahaya, kotor, dan tak berguna serta demi kepentingan diri sendiri yang merumitkan, riya dan keuntungan yang tidak signifikan. Jika kita berbuat demikian, kita melanggar hak-hak saudara kita sendiri, melanggar prinsip pengabdian kepada al-Quran, serta termasuk orang yang tidak menghormati kesucian dan ketinggian hakikat keimanan. Wahai saudara-saudaraku! Terdapat banyak penghalang untuk melakukan sesuatu urusan kebaikan. Syaitan bersungguh-sungguh melawan pengabdi-pengabdi dalam pengabdian mereka. Oleh itu, untuk melawan syaitan itu kita perlu bersandar kepada keikhlasan. Maka itu jauhilah segala yang dapat menghilangkan keikhlasan sebagaimana kamu menjauhi kala jengking dan ular. Menurut kata-kata Nabi Yusuf A.S. dalam al-Quran, اِنَّ النَّفْسَ َلاَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ اِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّى “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf: 53). Nafsu amarah yang jahat tidak boleh dipercayai. Jangan biarkan egoisme dan jiwa anda ditipu! Untuk mendapatkan keikhlasan dan memeliharanya, anda harus menjadikan sebagai panduan anda peraturan-peraturan berikut:

§2

Memohon keredaan Allah dalam usaha-usaha yang kamu lakukan. Sekiranya Allah SWT telah meredainya, maka penolakan dan penerimaan manusia dan alam seluruhnya tidak memberi apa-apa kesan dan nilai. Apabila Allah menghendaki dan sudah menjadi ketentuan Allah selepas Allah reda dan menerima amal itu, Allah akan jadikan manusia menerima baik dan suka terhadapnya sekalipun kamu tidak memintanya. Oleh itu, hendaklah kamu jadikan keredaan Allah semata-mata, bukan yang selainnya sebagai asas dalam mencurahkan baktimu terhadap iman dan al- Quran.

§3

Tidak mengkritik saudara-saudaramu yang mengabdi kepada al-Quran serta tidak membangkitkan rasa iri hati mereka dengan mempamerkan kelebihan yang ada pada dirimu. Sebagaimana satu tangan tak pernah bersaing dengan yang satu lagi, begitulah kedua mata tak pernah mengkritik antara satu sama lain, lisan tak pernah menentang telinga, kalbu tak pernah melihat aib jiwa tetapi masing-masing saling melengkapi kekurangan yang lain, menutupi aib yang lain, serta berusaha membantu dan menolong yang lainnya. Jika tidak, kehidupan tubuh menjadi rosak, tidak berfungsi dan mati.Sama juga dengan pekerja operasi dan mesin-mesin di kilang misalnya antara gerigi dan rodanya yang tak pernah bersaing, tak pernah saling mendahului, dan mengatasi yang lain. Mereka tidak boleh mencari kesalahan atau mengkritik satu sama lain atau berusaha untuk menghentikan kerja yang lainnya. Tetapi mereka saling membantu seboleh mungkin untuk mencapai matlamat yang sama. Mereka semuanya bergerak bersama sesuai dengan fungsi masing-masing dengan saling menyokong satu sama lain dan saling beriringan. Jika ada unsur asing yang walau sekecil zarah sekalipun masuk, sistem dan operasi semasa akan mengalami kerosakan. Pemilik akan segera membongkar sistem secara keseluruhan. Wahai para murid Nur serta mereka yang berkhidmat dengan al-Quran! Kita semua merupakan bahagian-bahagian dan organ-organ dalam satu tubuh yang layak disebut sebagai insan kamil (manusia sempurna). Kita semua ibarat gerigi dan roda mesin yang menghasilkan kebahagiaan abadi untuk kehidupan yang kekal nanti. Kita adalah para pelayan dan pekerja dalam sebuah perahu rabbani yang membawa umat Muhammad SWT ke daerah yang tenang, pantai kedamaian. Maka kita sangat memerlukan kerjasama dan kesatuan yang kukuh yang dapat dicpai dengan keikhlasan kerana ikhlas itu dapat memberi kekuatan jiwa untuk menghasilkan kerja empat orang senilai seribu seratus sebelas (1111). Justeru kita harus mengikut saranan ini. Ya, jika tiga huruf alif tidak bersatu, nilainya hanya tiga saja. Tetapi apabila bersatu dan bekerja sama, nilainya akan menjadi seratus sebelas (111). Demikian pula dengan empat angka empat. Kalau masing-masing angka empat (4) ditulis secara terpisah, kesemuanya hanya berjumlah enam belas (16). Tetapi jika angka-angka tersebut bersatu dengan rahsia persaudaraan, memegang tujuan dan misi yang sama dalam satu baris, angka-angka itu menjadi senilai empat ribu empat ratus empat puluh empat (4444). Ada banyak peristiwa dan kejadian sejarah yang membuktikan bahawa kekuatan enam belas orang yang saling bersaudara, bersatu, dan berkorban, dengan penuh keikhlasan bemberi nilai lebih dari empat ribu orang. Rahsia misteri ini begini: Setiap individu dari sepuluh orang yang benar-benar bersatu dengan penuh keikhlasan dapat melihat dari sudut pandang saudaranya, mendengar dengan telinga saudaranya seolah-olah masing-masing mereka memiliki kekuatan maknawiyah dan kemampuan untuk melihat dengan dua puluh mata, berpikir dengan sepuluh akal, mendengar dengan dua puluh telinga, serta bekerja dengan dua puluh tangan

§4

Hendaklah anda mengetahui bahawa kekuatan anda semua terletak pada keikhlasan dan kebenaran. Memang benar, kekuatan itu terdapat dalam kebenaran dan keikhlasan. Sehinggakan ahli kebatilan pun mendapat kekuatan dari keikhlasan dalam kerja-kerja mereka yang batil. Bukti bahawa kekuatan terletak pada kebenaran dan keikhlasan adalah perkhidmatan kita ini. Keikhlasan yang sedikit yang dicurahkan dalam usaha kita berikan ini telah membuktikan pernyataan di atas dan merupakan bukti kepada dirinya sendiri. Dalam tujuh atau lapan tahun perkhidmatan pelajaran dan agama di sini, telah melebihi seratus kali ganda berbanding selama dua puluh tahun lebih perkhidmatan yang sama di wilayah asal saya dan di Istanbul. Di beberapa tempat di sini orang-orang yang menolong saya seratus, bahkan seribu kali lebih banyak dengan bekerja bersama dengan saudara-saudara saya itu, di mana saya bersendirian, terasing, separa buta huruf, di bawah pengawasan pegawai yang tidak adil serta dianiaya oleh mereka. Saya sama sekali tidak ragu bahawa perkhidmatan yang saya jalankan bersama anda dalam tujuh atau lapan tahun ini dan kekuatan dalaman yang diperolehi darinya telah menghasilkan kejayaan seratus kali lebih besar dari sebelumnya, telah timbul hasil dari keikhlasan anda. Saya juga harus akui bahawa dengan keikhlasan anda yang tulus, anda telah menyelamatkan saya dari kemunafikan sejauh-jauhnya yang dulunya menyanjungi jiwa saya di bawah tabir kemasyhuran dan kebesaran. Insya Allah, anda akan berjaya memperoleh keikhlasan mutlak, dan anda akan menyebabkan saya mendapatkannya juga. Anda harus sedar bahawa kerana misteri keikhlasan inilah, Saidina Ali (R.A) dan Sayid Abd al-Qadir Gilani (Ghawth al-A’zam, semoga Allah sucikan rohnya) menghormati anda dengan keramat mereka seumpama mukjizat yang luar biasa pada perkara-perkara ghaib. Mereka telah menawarkan anda pengharapan dalam melindungi dan memuji khidmat anda. Ya, anda tidak perlu ragu bahawa perhatian mereka ini adalah kerana keikhlasan. Sekiranya anda dengan sengaja mencederakannya, anda akan mendapat hukuman dari mereka. Anda patut ingat akan “pukulan belas kasihan” dalam Sinaran Kesepuluh. Sekiranya anda ingin mendapat perlindungan oleh penyokong kedua-dua pahlawan rohani seperti ini, dan memiliki mereka sebagai pembimbing anda, maka capailah keikhlasan sepenuhnya bersesuaian dengan ayat;وَيُؤْثِرُونَ عَلٰى اَنْفُسِهِمْ “Dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri sendiri.”(Surah al-Hasyir: ayat 9) Mengutamakan jiwa saudara-saudaramu daripada jiwa kamu sendiri dalam penghormatan, pangkat, pujian, dan dalam perkara yang dinikmati oleh jiwa anda seperti faedah-faedah material, dan bahkan dalam manfaat-manfaat yang baik, seperti memberi keutamaan mengajar kepada saudaramu tentang satu hakikat dalam keimanan. Sekiranya boleh, galakkan salah seorang saudara anda yang tidak berapa mahu mengajar menggantikan tempat anda supaya jiwa anda tidak menjadi sombong. Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk mengajar juga untuk mendapatkan pahala, itu pasti bukan dosa dan tidak ada salahnya, tetapi intipati keikhlasan antara anda mungkin akan rosak.

§5

Berbangga dan bersyukur dengan kemuliaan yang dimiliki oleh saudara-saudara kamu, serta menganggap kemuliaan mereka itu sebagai sebahagian dari kemuliaan kamu. Terdapat istilah yang digunakan oleh para sufi, yaitu fana atau “lenyap dalam diri Syeikh”, “lenyap dalam diri Rasul”. Aku bukanlah seorang sufi, tetapi prinsip mereka ini adalah peraturan yang baik dalam bentuk “lenyap dalam saudaramu (fana fil ikhwan).” Ini merupakan prinsip indah yang sangat sesuai dengan perjalanan kita. Dengan kata lain, setiap orang harus melenyapkan diri pada yang lain (tafani). Ini bermaksud dia harus melupakan perasaan nafsunya dan hidup bersama kemuliaan saudara-saudaranya. Sebab, landasan konsep kita adalah ukhuwah (persaudaraan) di jalan Allah. Hubungan yang mengikat kita adalah persaudaraan hakiki. Bukan hubungan antara anak dan ayah, serta bukan juga hubungan antara guru dan murid. Jika pun ada, hubungan itu hanyalah hubungan dengan seorang ustaz, kerana jalan kita adalah khaliliyya (persaudaraan yang tulus), maka prinsip kita adalah khillat (persahabatan). Khillat tersebut memerlukan sahabat yang paling karib, teman yang sanggup berkorban apa saja, kawan yang sangat menghargai yang lain serta saudara yang mulia. Pasti dasar yang paling utama dari persahabatan itu adalah hati yang tulus ikhlas. Siapa yang merosakkan keikhlasan tersebut, dia akan terjatuh dari daerah persahabatan yang tinggi nilainya ke daerah yang memberi tekanan yang sanagt mendalam kerana di antara kedua daerah ini tiada tempat atau sokongan yang boleh dijadikan tempat untuk berpegang. Ya, terdapat dua jalan yang dapat dilihat. Orang-orang yang meninggalkan jalan kita yang merupakan jalan utama al-Quran kemungkinan akan membantu secara tidak sengaja kepada kekuatan atheisme yang merupakan musuh bagi kita. Mereka yang masuk ke dalam perkhidmatan al-Quran yang suci melalui Risalah Nur tidak akan terjatuh ke dalam lembah tadi dan selalu memberikan kekuatan pada cahaya, keikhlasan dan keimanan, insya Allah.Cara Untuk Mencapai Keikhlasan Pertama: Rabithatul Maut (Mengingat Kematian) Wahai saudara-saudaraku yang berada dalam khidmat untuk al-Quran; Sesungguhnya cara paling utama untuk mendapatkan keikhlasan dan sebab utama yang berkesan untuk memelihara keikhlasan tersebut adalah dengan rabithatul maut (selalu mengingat mati). Sebagaimana cita-cita untuk memperoleh hal-hal keduniaan dapat merosakkan keikhlasan dan membawa manusia kepada cinta dunia dan riya, begitulah mengingati mati dapat menjauhkan manusia dari riya untuk memperoleh keikhlasan. Ini bermaksud dengan memikirkan kematian dan merenungkan bahawa dunia yang sementara ini akan musnah, dapat selamat dari tipu daya nafsu. Sebab itulah ahli sufi dan mereka yang berada di atas jalan yang benar menjadikan landasan dalam jalan mereka sesuai dengan pelajaran yang mereka dapat dari ayat al-Quran: كُلُّ نَفْسٍ ذَاۤئِقَةُ الْمَوْتِ Setiap jiwa (diri) pasti merasakan kematian. (Ali Imran: 185)اِنَّكَ مَيِّتٌ وَاِنَّهُمْ مَيِّتُونَSesungguhnya kamu akan mati dan mereka pun akan mati. (az-Zumar: 30) Dengan mengingat mati, mereka tidak berpikir akan kekal abadi dan tidak terus dengan angan-angan dan cita-cita dunia yang berpanjangan. Mereka membayangkan diri mereka mati dan diletakkan di dalam kubur. Tatkala membayangkan situasi kematian itu, jiwa yang cenderung kepada keburukan akan menjadi sedih justeru sedikit demi sedikit jiwa tersebut melepaskan angan-angannya yang panjang terhadap kedudukan tertentu. Terdapat banyak manfaat dengan mengingati mati. Ada pengajaran yang boleh diambil mengenai perkara ini dari sebuah hadis Nabi Saw yang berbunyi:اَكْثِرُوا ذِكْرَ هَادِمِ اللَّذَّاتِPerbanyaklah mengingat sesuatu yang memotong segala kenikmatan Oleh kerana jalan kita adalah jalan hakikat dan bukan jalan tarekat sufi, kita tidak perlu melakukan seperti mereka yang secara langsung mengingati mati dengan bayangan dan khayalan. Cara tersebut tidak sesuai dengan realiti. Cara kita bukan dengan membayangkan membawa bayangan tentang masa hadapan ke masa kini tetapi melihat dan memikirkan masa depan dengan sudut pandang realiti. Ini kerana manusia boleh menyaksikan jenazahnya sebagai buah dari pohon umurnya yang singkat tanpa membayangkan dan mengkhayalkannya. Jika ketika itu manusia meluaskan sedikit sahaja lagi tumpuannya, dia tidak hanya mampu melihat hal kematian dirinya semata-mata, tetapi juga akan dapat melihat kehancuran zamannya dan jika dia pergi lebih jauh lagi dia akan melihat penghujung dan kehancuran dunia. Dari sini, terbukalah jalan baginya memperoleh keikhlasan yang sempurna. Kedua: Tafakkur Imani Cara kedua untuk dapat memperoleh ikhlas adalah dengan merasai kehadiran Tuhan melalui kekuatan iman dan cahaya yang datang dengan tafakkur imani terhadap ciptaan yang menghasilkan makrifat iaitu membawa kepada mengenal Sang Pencipta. Ini dilaksanakan dengan berfikir bahawa Sang Pencipta Maha Penyayang senantiasa hadir dan melihatnya; tidak mencari perhatian selain-Nya, dan sedar bahawa meminta pertolongan yang lain selain daripadaNya adalah bersalahan dengan etika tatkala berhadapan denganNya; sehingga ini dapat menyelamatkannya dari penyakit riya sekaligus dia memperoleh ikhlas. Namun demikian, refleksi ini mempunyai banyak tahap dan tingkat. Berapa banyak pun seseorang mendapat manfaat daripada usahanya adalah keuntungan baginya sesuai dengan kebolehan dan kemampuannya. Hal ini cukup sampai di sini dan kita boleh merujuk kepada Risalah Nur yang mengupas berbagai hakikat yang boleh membawa seseorang untuk menyelamatkan dirinya dari riya dalam usahanya mencapai keikhlasan. Halangan Keikhlasan Daripada banyak perkara-perkara yang memusnahkan keikhlasan dan memandu seseorang kearah bersikap hipokrit, kita akan menerangkan secara ringkas hanya dua atau tiga darinya. Pertama: Persaingan ke arah kelebihan-kelebihan material dengan perlahan-lahan akan memusnahkan keikhlasan. Ia juga adalah penghalang terhadap hasil perkhidmatan kita. Ia juga menyebabkan manfaat-manfaat material hilang. Negara ini sentiasa memupuk rasa hormat kepada mereka yang bekerja untuk perkara-perkara yang hak dan perkara-perkara akhirat, dan telah membantu mereka. Dengan niat untuk secara aktif berkongsi keikhlasan yang tulen dan dalam kerja-kerja yang mereka jalankan dengan setia. Kita sentiasa telah menunjukkan rasa hormat dengan membantu mereka bagi keperluan-keperluan material seperti sedekah dan hadiah untuk menyelamatkan mereka dari sibuk untuk mendapatkan keperluan harian dan dengan ini membuang masa mereka. Tetapi bantuan dan manfaat sedemikian tidak sepatutnya dicari; ia sepatutnya diberikan. Ia bukan sahaja tidak perlu dicari melalui lisanul hal dari keinginan di dalam diri atau dengan penantian. Ia sepatutnya diberikan secara tidak dijangka, jika tidak keikhlasan akan dicederakan. Sebaliknya, ia akan membawa seseorang dekat dengan larangan yang dinyatakan oleh ayat berikut, وَلاَ تَشْتَرُوا بِاٰيَاتِى ثَمَنًا قَلِيلاً Dan janganlah kamu menjual ayat-ayat aku dengan harga yang murah (al-Baqarah: ayat 41) dan memusnahkan amal itu sebahagiannya. Nafsu ammarah yang jahat itu membangkitkan perasaan persaingan terhadap saudara dan sahabat sejatinya dalam perkhidmatan tertentu dengan pertamanya berhasrat dan mengharapkan manfaat material yang sama untuknya, dan tidak membenarkan ia pergi kepada orang lain. Keikhlasan telah menjadi rosak, dan kesucian perkhidmatan telah hilang, dan orang seperti ini akan tidak di senangi di mata ahli-ahli hakikat. Dia juga akan kehilangan manfaat material. Perkara ini memerlukan banyak perbincangan, tetapi saya akan menghadkannya dan hanya menyebut dua contoh yang akan menguatkan keikhlasan dan kesatuan sejati antara saudara-saudara saya yang sebenar. Contoh Pertama:‘Ahli duniawi,’ dan juga ahli politik tertentu dan kumpulan haram dan penipu-penipu masyarakat, telah menerima pakai sebagai prinsip panduan mereka, akan perkongsian harta bersama untuk mendapatkan kekayaan dan kuasa. Dengan itu, mereka memperoleh kekuatan dan kelebihan yang luar biasa, di sebalik semua eksploitasi dan kerugian yang mereka alami. Namun, sikap pemilikan harta bersama itu tidak berubah dengan perkongsian mereka, walaupun kemudaratannya adalah banyak. Walaupun dalam satu aspek setiap rakan kongsi adalah seumpama pemilik dan penyelia harta mereka bersama, mereka tidak dapat mengaut keuntungan daripadanya. Sebaliknya, jika prinsip harta bersama ini digunakan untuk kerja-kerja akhirat, ia mengumpul manfaat yang luas dan tidak menghasilkan apa-apa kerugian. Ini kerana semua harta itu dapat di manfaatkan ke tangan setiap rakan kongsi. Sebagai contoh, terdapat empat atau lima lelaki. Dengan idea perkongsian, salah seorang daripada mereka membawa minyak, seorang membawa sumbu, seorang membawa lampu kaca, seorang membawa mancis, dan orang kelima memasang setiap bahan yang dibawa; mereka memasang lampu dan menyalakannya. Setiap orang daripada mereka menjadi pemilik lampu yang lengkap. Jika setiap rakan kongsi mempunyai cermin penuh di dinding, dia akan dicerminkan di dalamnya bersama-sama dengan lampu dan bilik, tanpa kekurangan atau dipecahkan gambarnya. Begitulah juga bagi penyertaan bersama dalam barangan akhirat melalui misteri keikhlasan dan kerjasama melalui misteri persaudaraan, yang juga seumpama perniagaan bersama melalui penyatuan itu. Hasilnya, jumlah semua amal bersama dan semua cahayanya akan memasuki buku amal perbuatan baik setiap orang yang mengambil bahagian. Ia adalah satu yang nyata dan telah disaksikan oleh ahli hakikat. Ia juga adalah keperluan bagi mendapatkan seluas-luasnya rahmat dan kasih sayang Ilahi. Saudara-saudara ku! InsyaAllah, manfaat material tidak akan mencetuskan perbalahan sesama kamu. Anda mungkin tertipu berhubung dengan faedah akhirat seperti beberapa orang yang mengikuti jalan kesufian. Tetapi bagaimana mungkin beberapa keuntungan peribadi yang kecil berbanding dengan keuntungan dan manefestasi cahaya yang diperolehi berhubung dengan tindakan bersama yang disebutkan dalam contoh di atas? Contoh Kedua:Tukang-tukang yang ahli mendapat kekayaan yang besar melalui kerjasama agar keuntungan lebih banyak daripada produk kraf tangan mereka dapat perolehi. Pada masa dahulu sepuluh pengeluar jarum jahit semuanya bekerja sendiri, dan hasilan setiap individu ialah tiga jarum sehari. Kemudian mengikut peraturan usaha sama dalam perusahaan, sepuluh orang lelaki itu bersatu. Seorang membawa besi, seorang menyalakan relau, seorang menebuk lubang jarum, seorang meletakkannya dalam relau, dan seorang lagi mengasah mata jarum, dan sebagainya; Masing- masing bekerja dengan hanya dalam satu bahagian daripada proses pembuatan jarum. Oleh kerana pekerjaan setiap seorang lelaki menjadi mudah, dia tidak membuang masa; dia memperoleh kemahiran dan melakukan kerja dengan kelajuan yang tinggi. Pengilang membahagikan kerja yang dilakukan mengikut peraturan perusahaan bersama dan pembahagian kerja: mereka mendapati bahawa bukannya tiga jarum sehari dihasilkan oleh setiap pekerja, tetapi setiap pekerja menghasilkan 300 jarum. Perkara ini telah tersebar meluas di kalangan tukang-tukang ‘duniawi’ untuk menggalakkan mereka bersatu tenaga. Saudara-saudaraku! Oleh kerana kesatuan dan kesepakatan dalam hal-hal duniawi dan dalam bahan-bahan padat telah menghasilkan hasil-hasil dan kelebihan-kelebihan tersebut, anda boleh membandingkan betapa besarnya keuntungan bagi setiap orang untuk memantulkan dengan cerminnya sendiri cahaya yang menyeluruh daripada rahmat Ilahi, yang bersinar dan berkaitan dengan kerja-kerja akhirat, yang satu dan tidak berpecah-pecah, untuk mendapatkan ganjaran yang setara bagi mereka semua. Keuntungan besar ini tidak sepatutnya dihilangkan melalui perbalahan dan sikap yang tidak ikhlas. Halangan Kedua Yang Memusnahkan Keikhlasan: Ini adalah untuk memusnahkan ego dan tidak memberikan makam yang tinggi terhadap nafsu amarahnya dengan menarik perhatian dan pengiktirafan awam terhadap dirinya, dengan dorongan keinginan untuk kemasyhuran, terkenal dan mendapat kedudukan. Ini adalah penyakit rohani yang serius yang juga membuka pintu kepada kemunafikan dan kemasyhuran diri sendiri yang dipanggil “syirik tersembunyi” dan akan menghancurkan keikhlasan. Wahai saudara-saudara ku! Cara kita dalam perkhidmatan Al-Qur’an adalah kebenaran serta persaudaraan, dan persaudaraan sebenarnya ialah dengan “menganiaya keperibadian diri sendiri di kalangan saudara-saudaranya dan mengutamakan jiwa mereka ”. Perbalahan seperti ini yang timbul daripada keinginan untuk pangkat dan kedudukan tidak sepatutnya diberi perhatian. Ia sama sekali bertentangan dengan cara kita.‘Penghormatan ialah hak bersama semua individu’ dalam persaudaraan kita; Dengan itu saya berharap bahawa mengorbankan penghormatan kolektif yang besar untuk peribadi dan kepentingan diri sendiri, perasaan hasad dengki dengan persaingan untuk kemasyhuran yang sedikit dan sanjungan adalah jauh daripada menjadi sesuatu yang akan dilakukan oleh pelajar Risalah an-Nur. Ya, hati, fikiran, dan semangat pelajar-pelajar Risalah an-Nur tidak akan tunduk kepada perkara-perkara yang hina, berbahaya dengan perkara-perkara yang lebih rendah ini.Namun, semua orang mempunyai nafsu amarah, dan kadang-kadang jiwa emosi akan mempengaruhi sebahagian urat saraf karakter dan mempengaruhi hati, minda dan rohnya; Saya tidak menuduh hati, minda, dan roh anda. Saya mempunyai keyakinan terhadap anda kerana kesan daripada Risalah an-Nur. Tetapi ada ketikanya jiwa, keinginan, emosi, dan imaginasi kita tertipu. Atas sebab inilah kadang-kadang anda menerima amaran yang keras. Kekerasannya ditujukan kepada jiwa, keinginan, emosi dan imaginasi anda; bertindaklah dengan berhati-hati. Ya, jika cara kita tertakluk kepada ketundukkan seorang syeikh, maka akan ada satu makam, atau beberapa makam yang terhad, dan banyak kedudukan akan dilantik untuknya. Dengan ini, mungkin akan ada iri hati dari mereka yang mementingkan diri sendiri, tetapi cara kita adalah persaudaraan. Di kalangan saudara tidak ada kedudukan sebagai ayah dan tidak jawatan sebagai seorang mursyid. Dalam persaudaraan terdapat makam yang luas dan tidak boleh menjadi punca pergolakan iri hati. Bagi seseorang saudara, dalam hal yang paling diperlukan, dia membantu dan menyokong saudaranya; dia melengkapkan perkhidmatannya. Telah terdapat bukti yang banyak bahawa kemudaratan dan kesilapan yang banyak telah disebabkan oleh iri hati, tamak terhadap ganjaran kerohanian, dan penghargaan yang tinggi terhadap seseorang mursyid, dengan menimbulkan konflik dan persaingan di kalangan mereka yang mengikutinya, walaupun pencapaian, kesempurnaan dan faedahnya yang di perolehi adalah besar, ia telah menyebabkan kekuasan mereka yang luas dan suci tidak dapat menahan tiupan angin bida’ah yang melanda. Halangan Ketiga: Takut dan Tamak Ia melibatkan ketakutan dan ketamakan. Halangan ini telah dijelaskan secara menyeluruh dalam risalah Serangan ke 6 bersama-sama dengan halangan-halangan lain. Oleh itu, kami merujuk anda kepada risalah ini, dan menjadikan Yang Pengasih daripada Yang Maha Pengasih daripada nama-namanya yang indah (Asma al-Husna) sebagai syafaat, kami memohon doa agar Dia akan memberikan kejayaan dalam mencapai keikhlasan yang sepenuhnya. Ya Allah! Demi Sura al-Ikhlas, letakkanlah kami di kalangan hamba-Mu yang dapat mencapai keikhlasan. Amin... Amin... Maha Suci Engkau. Tiada yang kami ketahui, kecuali yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. (Al-Baqarah: ayat 32)

§6

Aku akan menyebut satu fakta mengenai dua Hadis Syarif kepada saudara-saudaraku yang telah bosan menyalin Risalah an-Nur, dan lebih suka dengan wirid-wirid lain dalam tempoh tiga bulan (Rejab, Sya’ban dan Ramadan) daripada bulan-bulan ibadat ini, walaupun melakukan penyalinan ini merupakan ibadah dalam lima hal. Kedua-dua Hadis ini adalah seperti yang disebutkan berikut: Yang Pertama: يُوزَنُ مِدَادُ الْعُلَمَاۤءِ بِدِمَاۤءِ الشُّهَدَاۤءِ “Pada akhir zaman, dakwat yang digunakan oleh para ulama adalah timbangannya sama dengan darah syuhada’.” Yang Kedua: مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِى عِنْدَ فَسَادِ اُمَّتِى فَلَهُ اَجْرُ مِأَةِ شَهِيدٍ “Sesiapa yang berpegang kepada Sunnahku apabila komuniti aku rosak akan mendapat ganjaran seratus orang syahid”. Iaitu, mereka yang patuh dan berkhidmat kepada sunnah Nabi Muhammad SAW dan hakikat Al-Qur’an apabila amalan bida’ah dan kemungkaran berleluasa boleh mendapat ganjaran seratus syahid. Bagi saudara-saudaraku yang berasa bosan menyalin kerana berasa malas! Dan saudara-saudaraku yang cenderung kearah kesufian! Kedua-dua Hadis ini menunjukkan bahawa cahaya hitam yang mengalir dari pen yang diberkati daripada pena-pena yang suci yang berkhidmat untuk keimanan dan misteri syariat dan sunnah Nabi Muhammad SAW pada keadaan masa sekarang ini – bahkan setitik dakwat mereka yang mengalir – boleh memberi kejayaan untuk mereka di Padang Mahsyar bersamaan dengan seratus titisan darah para syuhada’. Jadi cubalah untuk mendapatkannya! Jika anda berkata:Ia mengatakan “ulama” dalam hadis itu dan kebanyakkan daripada kita hanyalah penyalin. Jawapannya:Sesiapa yang membaca risalah ini selama setahun dan memahami dan menerimanya, dia boleh menjadi seorang ulama yang berharga yang tepat pada masa sekarang ini. Walaupun mereka tidak memahaminya, kerana pelajar Risale-i Nur mempunyai personaliti yang kolektif, tidak diragui mereka adalah ulama.Bagi pena-pena anda, ia adalah jari-jari yang tidak ternilai dari aspek keperibadian kolektif itu. Dengan sangkaan baik anda, anda telah meletakkan saya pada kedudukan sebagai seorang Ustaz dan ulama, dan mengorbankan diri anda kepada saya walaupun pada pandangan saya, ianya adalah tidak wajar. Saya ialah seorang yang tidak pandai menulis dan mengalami kesukaran dalam menulis; jadi pena-pena anda adalah mewakili saya; Anda akan menerima ganjaran yang dinyatakan dalam hadis di atas. Said Nursî

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters