Lem'alar

The Twenty-Sixth Gleam

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Wahai mereka yang telah mencapai umur kesempurnaan! Wahai saudara-saudaraku yang telah tua dan mulia sama ada dari kalangan lelaki mahupun wanita! Sesungguhnya saya sama seperti kamu, juga sudah berumur lanjut. Saya akan menulis bagi kamu beberapa keadaan yang berlaku kepada saya, beberapa pintu pengharapan yang saya dapati dari masa ke semasa dan beberapa kilatan pengharapan pada zaman tua ini. Mudah-mudahan kamu boleh menyertai saya menikmati cahaya hiburan yang bergemerlapan daripada pengharapan dan cita-cita tersebut. Sesungguhnya sinaran yang saya lihat dan segala pintu cahaya serta pengharapan yang Allah S.W.T bukakan kepada saya, kesemuanya itu saya saksikan berdasarkan persediaan saya yang sedikit dan penerimaan saya yang terganggu. Tetapi persediaan ikhlas dan suci yang ada pada diri anda akan menjadikan – dengan izin Allah – cahaya tersebut lebih memancar dan lebih berkilat daripada apa yang dapat saya lihat. Kerana pengharapan anda adalah lebih besar, lebih kuat dan lebih mantap daripada apa yang ada pada saya. Tidak syak lagi bahawa sumber sinaran dan punca pengharapan yang saya akan sebutkan nanti tidak lain dan tidak bukan ialah daripada keimanan itu sendiri.

§2

Ketika saya hampir memasuki usia tua, pada suatu hari pada musim gugur, pada waktu asar, saya melihat dunia dari puncak sebuah gunung. Tiba-tiba, saya mengalami satu suasana yang amat menusuk kalbu dan sedih di samping kegelapan yang meliputi. Saya melihat diri saya: Bahawa saya telah mencapai umur yang amat tua. Hari siang sudah bertukar menjadi seorang tua. Tahun juga sudah berusia lanjut. Dunia juga sudah berumur... Keadaan tua dan berusia yang menyelubungi setiap benda di sekeliling saya menggoncangkan saya sehebat-hebatnya. Waktu perpisahan dengan dunia sudah terlalu hampir. Waktu perpisahan dengan para kekasih juga sudah terlalu hampir untuk menjelang ... Ketika saya resah dan gelisah dalam keadaan berputus asa serta berdukacita, tiba-tiba rahmat Ilahi terbongkar di hadapan saya sehingga menukar keadaan kedukacitaan yang menyakitkan itu kepada kegembiraan hati yang bersinar. Ia juga menukar perpisahan dengan para kekasih yang menyakitkan itu kepada majlis pengucapan takziah yang menyinari keseluruhan jiwa saya. Ya, Wahai orang-orang tua seumpamaku! Sesungguhnya Allah S.W.T mempersembahkan zat-Nya yang Mulia kepada kita dan memperkenalkan-Nya kepada kita pada lebih daripada seratus tempat di dalam al-Quran, dengan sifat-Nya sebagai al-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan al-Rahim (Yang Maha Mengasihani)...Dia juga menghantarkan rahmat-Nya sehingga sentiasa meliputi muka bumi ini dengan pelbagai jenis nikmat, sebagai bantuan dan pertolongan kepada sesiapa yang meminta rahmat-Nya daripada orang-orang yang hidup. Dia juga mengutus hadiah-hadiah dari alam ghaib lalu meliputi musim bunga pada setiap tahun dengan nikmat yang tidak terkira dan terhitung. Dia mengutusnya kepada kita yang amat berhajat kepada rezeki, memperlihatkan jelmaan-jelmaan rahmat-Nya yang merangkumi dengan jelas sekali, berdasarkan martabat kelemahan dan darjat kedaifan yang tersembunyi pada diri kita. Maka rahmat Tuhan yang Maha Mencipta lagi Maha Mengasihani lebih-lebih lagi amat diharapkan dan dicita-citakan ketika kita sedang berada pada zaman tua ini, bahkan cahayanya lebih bersinar lagi bagi kita ketika ini. Sesungguhnya perkara yang melayakkan kita untuk memperoleh rahmat ini ialah hanya dengan kita menghubungkan diri kita dengan Tuhan yang Maha Mengasihani itu dengan keimanan dan ketaatan kepada-Nya dengan melaksanakan segala kefarduan dan kewajipan yang ditetapkan-Nya.

§3

Ketika saya terjaga pada waktu pagi zaman ketuaan saya, daripada tidur malam zaman muda saya, saya melihat dan memerhati kepada diri saya. Lalu saya dapati seolah-olah diri saya sedang laju menuruni tanah tinggi ke kawasan rata tanah perkuburan, sebagaimana digambarkan oleh Niyazi al-Misri : Tubuh badan semakin kecut dan layu dari masa ke semasa. Kealpaan sentiasa menyelubungi diri, meskipun jasadnya sudah hampir reput. Badan saya yang merupakan tempat tinggal bagi ruh, sudah mula runtuh dan batu batanya sudah mula gugur satu persatu dari masa ke semasa. Harapan-harapan saya yang mengikat saya dengan dunia dengan kuat dan tali temalinya sudah mula melonggar dan terburai. Terlintas dalam fikiran saya suatu perasaan bahawa waktu untuk berpisah dengan semua para kekasih dan rakan taulan yang tidak terkira ramainya itu sudah terlalu hampir. Lalu saya mencari-cari penawar bagi membalut luka saya yang dalam itu yang nampaknya tidak ada ubat yang mujarab setakat ini! Saya tidak berupaya menemukan ubat yang boleh menyembuhkan luka saya itu. Lalu saya juga berkata sebagaimana diucapkan oleh Niyazi al-Misri: Hikmat Tuhan menjadikan jasad akan binasa. Sedangkan hati amat cintakan keabadian. Jiwaku meratapi bala bencana dan kesakitan. Hatta Luqman pun kebingungan mencari penawar dan ubatan.” Sedang saya berada dalam keadaan demikian, tiba-tiba terpancar nur (cahaya) Rasulullah S.A.W yang merupakan rahmat kepada sekalian alam. Baginda S.A.W adalah rahmat Allah S.W.T dan baginda sendiri pernah mengungkapkan demikian. Baginda juga adalah penyeru kepadanya dan pembicara tentangnya. Tiba-tiba dengan syafaat yang dibawa oleh baginda dan dengan hadiah berbentuk hidayah kepada seluruh kemanusiaan, nur baginda menjadi balsam dan penawar serta ubat yang amat berkesan bagi penyakit melarat yang saya sangka tidak mempunyai penawar itu. Nur baginda juga menukarkan kekecewaan kelam yang menyelubungi saya kepada cahaya pengharapan yang terang benderang. Ya! Wahai orang-orang tua dan lemah yang dihormati! Wahai orang yang merasa dirinya tua sepertiku! Sesungguhnya kita tetap akan pergi. Kita tidak dapat melarikan diri daripadanya. Kita tidak akan dibenarkan untuk tinggal di sini untuk terus memperdayakan diri dan menutup mata. Kita pasti akan diheret kepada kesudahan yang pasti. Tetapi alam barzakh tidaklah sebagaimana tergambar kepada kita sebagai kegelapan angan-angan yang timbul daripada kealpaan dan sebagaimana digambarkan oleh ahli kesesatan. Ia bukanlah alam yang memisahkan, bukanlah alam yang gelap, bahkan ia adalah tempat perhimpunan dan pertemuan para kekasih serta rakan taulan, dan yang berada di barisan paling hadapan ialah kekasih Tuhan sekalian alam dan pemberi syafaat kepada kita di sisi Allah S.W.T pada hari kiamat, selawat dan salam ke atas baginda S.A.W. Ya! Sesungguhnya Rasulullah S.A.W adalah penguasa kepada 350 juta manusia pada setiap zaman, sepanjang 1,350 tahun. Baginda mendidik ruh mereka, memberi petunjuk kepada akal mereka, dan menjadi kekasih hati mereka. Pada setiap hari, pahala semua kebaikan yang dilakukan oleh umatnya diangkat kepada lembaran kebaikan baginda, kerana baginda adalah sebab kepada segala kebaikan tersebut, sedangkan sebab adalah sama dengan orang yang melakukannya sendiri. Baginda juga adalah paksi dan dasar kepada segala kehendak rabbani dan keinginan Ilahi yang murni di alam raya ini. Baginda juga adalah sebab ketinggian nilai segala benda yang wujud. Baginda adalah rasul yang mulia. Baginda berkata ketika melalui detik-detik pertama yang memuliakan alam barzakh: “Umatku! Umatku!” sebagaimana dinyatakan oleh beberapa riwayat yang sahih dan kasyaf yang benar. Baginda S.A.W juga akan berkata di Padang Mahsyar kelak: “Umatku! Umatku!” Baginda akan berusaha dengan syafaat yang dimilikinya untuk membantu dan menolong umatnya dengan rahmat paling besar, paling mulia, paling suci dan paling tinggi, sedangkan pada waktu itu setiap orang hanya berkata:“Alahai diriku! Alahai diriku!” Maka kita pasti akan pergi kepada alam yang telah dimasuki oleh baginda S.A.W. Kita akan berpindah kepada alam yang mendapat cahaya melalui pelita bercahaya tersebut (Rasulullah S.A.W) dan melalui pendamping di sekitar baginda yang terdiri daripada para asfiya’ (orang pilihan) dan awliya’ (para wali) yang tidak terhitung bilangan mereka. Ya, sesungguhnya mengikut sunnah Nabi yang mulia ini S.A.W, akan melayakkan kita untuk bernaung di bawah syafaatnya dan memetik daripada cahaya-cahayanya, serta menyelamatkan diri kita daripada kegelapan alam barzakh.

§4

Ketika kaki saya mula memijak bendul zaman tua, ketika itu kesihatan tubuh badan saya yang melabuhkan tali kealpaan juga telah mengalami zaman tua. Zaman tua dan penyakit telah berpakat melancarkan serangan terhadap saya dalam masa yang sama. Kedua-duanya terus menerus menjatuhkan pukulan bertalu-talu ke atas kepala saya sehingga menghilangkan rasa mengantuk yang mengalpakan daripada diri saya. Saya tidak mempunyai apa-apa yang boleh mengikat saya dengan dunia seperti harta, anak-anak dan seumpamanya. Hanya yang ada ialah dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan. Lalu saya menjerit memohon pertolongan sebagaimana jeritan yang dilaungkan oleh Niyazi al-Misri: Umur telah lenyap dengan sia-sia. Aku tidak mendapat apa-apa daripadanya. Aku datang sebagai tawanan, tetapi kenderaan melarikan diri jauh daripadaku. Ia tetap berada di sana. Di tempat yang jauh lagi dagang. Ia menangis. Aku merungut-rungut sendirian. Dalam kesesatan aku mengharungi perjalanan. Mataku bergenang, dadaku kepanasan lantaran kerinduan. Akalku kebingungan! Saya pada ketika itu merasa amat terasing. Lalu saya merasa amat dukacita, nestapa, pilu dan menyesal terhadap umur saya yang telah berlalu. Saya menjerit di dalam lubuk hati agar saya diberikan bantuan dan cahaya pengharapan. Tiba-tiba al-Quran yang bersifat hikmah, mempunyai mukjizat dan penuh penjelasan menghulurkan bantuannya kepada saya. Ia membuka pintu pengharapan yang besar di hadapan saya. Ia juga menganugerahkan kepada saya cahaya sinaran harapan yang mampu menghilangkan berganda-ganda kekecewaan yang ada pada diri saya. Ia juga mampu menghilangkan kegelapan pekat yang berada di sekitar saya. Ya! Wahai orang-orang tua yang lemah lagi dihormati! Wahai orang yang segala tali hubungannya dengan dunia ini mula melonggar dan mengendur sepertiku! Sesungguhnya Allah S.W.T adalah Tuhan yang Maha Membuat lagi Maha Mulia, yang telah mencipta dunia ini dalam bentuk sebuah bandar yang paling sempurna dan tersusun, seolah-olah ia adalah sebuah istana yang tersergam indah. Adakah Allah S.W.T yang Maha Mencipta lagi Maha Mulia itu tidak akan berbicara dengan para kekasih dan tetamu-Nya yang paling mulia ketika berada di bandar atau istana tersebut? Adakah Dia tidak mahu menemui mereka?Oleh kerana Dia telah mencipta istana yang tersergam indah ini berdasarkan ilmu pengetahuan-Nya yang tinggi, dan Dia telah menyusunnya berdasarkan kehendak-Nya, dan Dia menghiasinya berdasarkan pilihan-Nya sendiri, maka sudah pasti Dia akan berkata-kata. Sebagaimana seseorang yang membuat binaan sesebuah bangunan mengetahui apa yang dibinanya, maka sudah pasti seseorang yang mengetahui akan berkata-kata. Oleh kerana Dia telah mencipta istana ini sebagai gedung pertamuan yang indah dan menggembirakan, dan Dia menjadikan bandar ini sebagai kompleks perniagaan yang mengagumkan, maka sudah pasti Dia mempunyai kitab-kitab dan lembaran-lembaran siaran yang menjelaskan apa yang dikehendakinya daripada kita dan menjelaskan hubungan-Nya dengan kita. Tidak syak lagi bahawa kitab paling sempurna di antara kitab-kitab suci yang diturunkan kepada kita ialah al-Quran al-Karim yang mengandungi mukjizat itu. Kemukjizatannya terbukti melalui 40 bentuk. Pada setiap saat, paling kurang ia dibaca oleh lidah 100 juta orang. Ia juga menyebarkan cahaya dan memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus. Pada setiap hurufnya terdapat 10 kebaikan dan 10 pahala paling kurang. Kadang- kadang 10 ribu kebaikan, bahkan 30 ribu kebaikan, sebagaimana ketika Lailatul Qadar. Demikianlah bagaimana ia mengurniakan sebahagian daripada buah-buahan syurga dan cahaya alam barzakh sebagaimana dikehendaki Allah S.W.T untuk dikurniakannya kepada kita. Adakah di alam ini seluruhnya terdapat sebuah kitab lain yang menyamainya dari sudut ini? Atau adakah wujud seseorang yang boleh mendakwa bahawa dia juga berupaya berbuat demikian? Oleh itu, al-Quran yang berada pada tangan kita ini adalah kalam Tuhan sekalian alam. Ia juga adalah arahan-arahan-Nya yang disampaikan kepada kita. Ia juga adalah rahmat-Nya yang amat luas yang meluasi segala sesuatu. Ia datang daripada Pencipta langit dan bumi, Yang Maha Mulia. Ia datang daripada sudut rububiyyah-Nya yang mutlak dan daripada uluhiyyah-Nya yang agung. Ia datang daripada rahmat-Nya yang meliputi dan luas. Maka anda hendaklah berpegang teguh dengannya. Padanya penawar bagi segala penyakit. Padanya cahaya bagi segala kegelapan. Padanya pengharapan bagi setiap kekecewaan. Kunci bagi memperoleh khazanah yang abadi ini hanyalah keimanan, penyerahan diri kepadanya semata-mata, mendengar kepadanya, mematuhinya dan mendapat kelazatan dengan membacanya.

§5

Pada permulaan zaman tua, saya merasa berkeinginan untuk memencilkan diri dan berada berjauhan daripada orang ramai. Ruh saya mencari-cari kerehatan dengan memencilkan diri dan berada berseorangan di atas tanah tinggi Yusha’ yang mengunjur ke arah Selat Bosfour. Pada suatu hari, ketika menerawang pandangan ke kaki langit dari puncak tanah tinggi tersebut, saya ternampak berdasarkan pandangan amaran ketuaan bahawa salah satu daripada kepingan kehilangan dan perpisahan sedang menangis dalam keadaan dukacita dan pilu. Ketika itu saya menerawang pandangan saya bermula daripada puncak pohon umur saya, iaitu daripada dahan ke 45 hingga berakhir dengan lapisan paling bawah kehidupan saya. Lalu saya nampak pada setiap dahan daripada dahan-dahan yang ada pada pohon tersebut, dan pada setiap tahun, terdapat jenazah para kekasih dan sahabat saya juga orang yang mempunyai hubungan dengan saya yang tidak terhitung bilangannya. Lalu saya amat bersedih kerana berpisah dengan para kekasih saya itu. Lalu saya merungut dengan rungutan Fuduli al-Baghdadi ketika beliau berpisah dengan para kekasihnya dengan berkata: Setiap kali kerinduan untuk bertemu memuncak, air mata mengazabkanku, pernafasan pula mencungapkanku. Melalui kekecewaan-kekecewaan yang mendalam itu, saya mencari-cari pintu pengharapan dan tetingkap cahaya yang boleh menghiburkan diri saya. Tiba-tiba cahaya keimanan dengan akhirat menyelamat dan memberikan pertolongan kepada saya dengan cahaya yang bergemerlapan. Ia menganugerahkan kepada saya cahaya yang tidak terpadam dan pengharapan yang tidak dikecewakan sama sekali. Ya! Wahai saudara-saudara dan saudari-saudariku yang telah tua! Selagi mana akhirat wujud, selagi mana ia kekal, selagi mana ia lebih indah daripada dunia, selagi mana Tuhan yang Mencipta kita adalah Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Mengasihani, maka kita berkewajipan untuk tidak mengadu dan merasa sempit dada dengan zaman tua ini. Kerana umur tua yang dibasahi dengan keimanan dan ibadat yang menyampaikan seseorang kepada umur kesempurnaan, ia menjadi tanda dan alamat berakhirnya kewajipan dan tugasan kehidupan. Ia juga menjadi isyarat kepada perpindahan kepada alam rahmat kerana akan berkekalan di dalam kerehatan. Oleh itu, kita mestilah reda dengan keadaan tersebut dengan keredaan yang sebesar-besarnya. Ya! Sesungguhnya perkhabaran yang dibawa oleh 124 ribu orang yang terpilih lagi mulia dari kalangan para Nabi dan Rasul sebagaimana disebutkan oleh hadis adalah perkhabaran yang bersandarkan kepada ijmak secara mutawatir, juga berdasarkan kepada penyaksian sebahagian mereka serta haqqul yaqin oleh sebahagian yang lain. Mereka semua mengkhabarkan tentang kewujudan hari akhirat. Mereka juga mengisytiharkan dengan sepakat bahawa semua manusia akan diheret kepadanya dan bahawa Allah S.W.T Tuhan yang Maha Mencipta tidak syak lagi pasti akan mewujudkan hari akhirat, sebagaimana dijanjikan-Nya secara pasti dan putus.Perkhabaran yang disampaikan oleh para Nabi di atas dibenarkan pula oleh 124 ribu juta para wali, sama ada melalui kasyaf dan penyaksian. Para wali tersebut menyaksikan dengan sebenar-benarnya terhadap kewujudan akhirat dengan ‘ilmul yaqin. Semua ini menjadi dalil yang putus terhadap kewujudan akhirat.Demikianlah, bagaimana jelmaan-jelmaan seluruh al- Asma’ al-Husna bagi Tuhan yang Mencipta alam ini tercerna pada seluruh pelusuk alam ini secara mudahnya menunjukkan kewujudan sebuah alam lain yang kekal abadi. Ia juga secara jelas menunjukkan kepada kewujudan hari akhirat.Demikian bagaimana kudrat Ilahi dan hikmah kebijaksanaanNya yang mutlak bertindak tanpa cuai dan bukan secara sia-sia. Ia menghidupkan pohon-pohon yang telah mati, yang hanya tinggal tunggulnya sahaja, ia menghidupkannya dengan jumlah adalah tidak terkira banyaknya di atas permukaan bumi pada setiap musim bunga, pada setiap tahun hanya dengan perintah ‘kun fayakun’. Ini menjadi tanda tentang kebangkitan semula selepas mati. Sebanyak 300 ribu jenis spesies tumbuh-tumbuhan dan binatang dibangkitkan di merata tempat. Pembangkitan ini memperlihatkan ratusan ribu bentuk kebangkitan dan menjadi dalil kewujudan akhirat.Rahmat Allah S.W.T yang luas mengekalkan kehidupan keseluruhan makhluk bernyawa yang memerlukan rezeki. Rahmat ini juga meneruskan kehidupan makhluk tersebut dengan perasaan kasih sayang sempurna dan dalam keadaan kehidupan yang menakjubkan. Rahmat itu juga memperlihatkan penjagaan rapi berterusan yang menampilkan pelbagai jenis perhiasan dan dandanan yang tidak terhitung banyaknya dalam tempoh waktu yang amat pendek pada setiap musim bunga. Tidak syak lagi bahawa rahmat tersebut mewajibkan kewujudan hari akhirat.Manusia berkeinginan untuk hidup kekal selama-lamanya. Mereka rindu kepada keabadian dan bercita-cita untuk memperoleh keberkekalan. Perasaan ini tertanam kukuh di dalam fitrah mereka dan tidak mungkin tercerai daripada mereka. Manusia pula adalah hasil paling sempurna bagi penciptaan alam ini, dan makhluk paling dikasihi oleh pencipta alam ini. Manusia juga mempunyai hubungan paling erat dengan segala makhluk yang wujud di atas permukaan alam ini. Tidak syak lagi, kesemua perasaan di atas secara mudah dan jelas menunjukkan kepada kewujudan satu alam yang kekal selepas alam yang binasa ini. Ia menunjukkan kepada kewujudan alam akhirat, iaitu negeri kebahagiaan abadi.Maka kesemua bukti-bukti yang dinyatakan di atas adalah bukti yang diyakini sepenuhnya sehingga ia wajib dan mesti diterima. Ia menunjukkan kepada kewujudan akhirat sama seperti menunjukkan kepada kewujudan dunia ini, tanpa memerlukan pemikiran yang banyak. Pengajaran terpenting yang diajarkan oleh al-Quran kepada kita ialah keimanan kepada akhirat. Pengajaran ini adalah pengajaran yang amat mantap dan teguh. Dalam keimanan tersebut, terdapat nur yang bersinar, pengharapan yang tinggi dan hiburan yang besar, dan jika 100 ribu ketuaan berhimpun pada diri seorang individu pun, nescaya nur, pengharapan dan hiburan daripada keimanan tersebut sudah memadai baginya. Oleh itu, kita – orang-orang tua – berkewajipan untuk merasa gembira dan bahagia dengan ketuaan kita dengan berkata:“Segala puji bagi Allah di atas kesempurnaan iman.”

§6

Ketika saya berada di tempat buangan saya, iaitu tempat saya ditawan berseorangan dan terpencil daripada manusia, di atas puncak gunung Cham yang mengunjur ke atas ladang ternakan Barla ... saya ketika itu sedang mencari-cari nur (cahaya) di dalam keterasingan tersebut. Pada suatu malam, ketika saya berada di dalam bilik kecil yang tidak berbumbung, yang dibina di atas pohon pain yang tinggi di atas kemuncak tanah tinggi tersebut, tiba-tiba ketuaan saya menyebabkan saya merasa pelbagai jenis keterasingan yang saling bersilang – sebagaimana terdapat di dalam Maktub Keenam dengan jelas. Di kala keheningan malam itu, iaitu ketika tiada bunyi dan kesan yang kedengaran kecuali gemaan dukacita daripada siulan kesedihan pohon-pohon sahaja, saya merasa gemaan dukacita yang menyakitkan itu telah menembusi lubuk perasaan saya dan menyentuh lembah ketuaan dan keterasingan saya. Lalu ketuaan saya mem- bisikkan ke telinga saya memberikan amaran: Sesungguhnya waktu siang sudah bertukar menjadi kubur yang gelap. Dunia pula telah memakai kain kafannya yang berwarna hitam. Siang umur engkau juga akan bertukar menjadi malam. Siang dunia juga akan bertukar menjadi malam barzakh. Siang musim panas kehidupan juga akan bertukar menjadi malam musim sejuk kematian.Lalu dengan keberatan diri saya menjawab:Ya, diri saya terasing di sini, terasing daripada kampung halaman saya dan jauh daripada tanah air saya, tetapi perpisahan saya dengan para kekasih saya yang ramai sepanjang umur saya yang melebihi 50 tahun yang ketika berpisah dengan mereka saya hanya memiliki air mata yang berhamburan, keterasingan saya kerana berpisah dengan mereka itu adalah keterasingan yang mengatasi keterasingan saya daripada tanah air saya. Sesungguhnya pada malam ini, saya merasa lebih dukacita dan lebih sedih daripada kesedihan saya kerana keterasingan saya berada di atas gunung ini yang memakai pakaian keterasingan dan kedukacitaan. Ini kerana ketuaan saya memberikan amaran kepada saya bahawa masa perpisahan terakhir saya dengan dunia dengan segala yang ada di dalamnya sudah hampir tiba. Melalui keterasingan yang diseliputi dengan kedukacitaan, dan melalui kedukacitaan yang digauli oleh pelbagai kedukacitaan, saya mula mencari-cari nur (cahaya), cebisan peluang dan pintu pengharapan. Tiba-tiba keimanan kepada Allah S.W.T dengan segera datang bagi menyelamatkan saya dan memperteguh kedudukan saya. Ia memberikan kepada saya satu ketenangan yang amat hebat, yang jika kesakitan dan kesunyian saya berkali-kali ganda lagi lebih besar, nescaya ketenangan itu sudah mencukupi untuk menghilangkannya. Ya! Wahai orang-orang tua dan lemah! Oleh kerana kita memiliki Tuhan Yang Maha Mengasihani, kita sekali-kali tidak akan ditimpa keterasingan.. Oleh kerana Allah S.W.T adalah Tuhan yang wujud, maka segala sesuatu adalah juga wujud bagi kita. Jika Allah S.W.T wujud, maka para malaikat-Nya juga wujud. Oleh itu, dunia ini tidaklah kosong dan sunyi daripada teman yang boleh menghibur dan menemani kita. Gunung-ganang yang kosong dan padang pasir yang sunyi sebenarnya penuh dihuni oleh para hamba Allah S.W.T yang Mulia dan para malaikat. Ya, sesungguhnya nur (cahaya) keimanan kepada Allah S.W.T dan pemerhatian kepada alam ini kerana-Nya, menjadikan semua pohon bahkan batu batan sebagai sahabat yang sentiasa menemani kita, apatah lagi jika ia adalah makhluk yang mempunyai perasaan seperti kita yang terdiri dari kalangan para hamba-Nya. Ini kerana makhluk-makhluk tersebut boleh berbicara dengan kita melalui lisan hal mereka sehingga berjaya menghibur dan menenangkan hati kita. Ya, sesungguhnya dalil-dalil yang menunjukkan kewujudan Allah S.W.T terlalu banyak bilangannya, sama bilangannya dengan bilangan para makhluk-Nya yang terdapat di dalam permukaan alam ini, sama banyak dengan bilangan huruf-huruf kitab alam yang luas ini. Terdapat juga bukti-bukti dan petunjuk-petunjuk yang mengisyaratkan kepada rahmat-Nya sebanyak bilangan peralatan yang ada pada makhluk yang bernyawa di samping nikmat dan makanan yang dikhususkan untuk mereka yang menjadi paksi belas kasihan, rahmat dan penjagaan rapi. Kesemuanya menunjukkan kepada pintu Tuhan kita yang Maha Mencipta, lagi Maha Pemurah dan lagi Maha Mengasihani. Menunjukkan kepada Tuhan yang Membuat dan Mendampingi kita, yang Menjaga dan Mengasihi kita. Tidak syak lagi bahawa kelemahan dan kedaifan kita adalah pemberi syafaat paling diharapkan ketika berhadapan dengan pintu-Nya yang maha tinggi. Sesungguhnya zaman tua adalah masa kita lemah dan daif. Oleh itu, kita hendaklah mengasihi dan mencintai ketuaan kita, bukan kita bertindak menolak dan tidak boleh menerimanya, kerana ia adalah pemberi syafaat yang diharapkan ketika berhadapan dengan pintu Allah S.W.T yang Maha Tinggi dan Maha Mulia.

§7

Ketika kegembiraan dan senyuman Said Lama bertukar menjadi tangisan dan esakan Said Baru yang berlaku padapermulaan zaman tuanya, segolongan yang mempunyai kedudukan duniawi di Ankara mengundang saya agar datang ke sana kerana mereka menyangka saya masih lagi sebagai Said Lama, lalu saya menerima undangan mereka.Pada suatu hari, iaitu pada hari-hari terakhir musim luruh, saya mendaki ke kemuncak kota Ankara yang lebih tua dan lebih berumur daripada diri saya sendiri. Lalu saya menggambarkan kota yang tersergam di hadapan saya itu sebagai peristiwa-peristiwa sejarah yang membatu. Saya diselubungi oleh kedukacitaan dan kesedihan yang mendalam terhadap zaman yang sudah tua pada musim luruh ini, juga terhadap kota ini yang sudah terlalu berumur, juga terhadap kemanusiaan serta Daulah ‘Uthmaniyyah yang sudah tua, juga terhadap kematian kerajaan khilafah, serta dunia ini yang sudah lanjut usia. Keadaan tersebut memaksa saya ketika berada di kemuncak kota yang tinggi itu untuk melihat kepada perlembahan masa silam dan kemuncak masa depan. Saya mencari-cari cahaya, pengharapan dan hiburan yang boleh menyinarkan kegelapan pekat yang saya rasakan telah menyelubungi ruh saya di sana yang tenggelam di dalam kegelapan malam yang sudah tua dan berada di mana-mana. Ketika saya memandang ke sebelah kanan yang merupakan zaman yang telah berlalu, bagi mencari cahaya dan pengharapan, dari jauh kelihatan tanah perkuburan besar bagi ayah, datuk nenek dan manusia keseluruhannya. Pandangan ini tidak menghibur dan menggembirakan saya, sebaliknya menjadikan saya merasa takut. Kemudian saya memandang ke sebelah kiri yang merupakan zaman masa depan bagi mencari ubat dan penawar. Lalu kelihatan juga sebuah tanah perkuburan besar yang gelap bagi saya, orang-orang yang seperti saya dan generasi-generasi akan datang. Pandangan ini tidak menggembirakan saya sebaliknya menjadikan saya bingung. Kemudian saya melihat kepada zaman semasa saya setelah hati saya dipenuhi dengan kesunyian di sebelah kanan dan kiri. Lalu kelihatanlah hari tersebut pada pandangan saya yang kepenatan dan penuh sejarah seperti keranda jenazah yang membawa badan saya yang sedang bergoncang antara hidup dan mati seperti sedang disembelih. Setelah kecewa terhadap sudut ini juga, saya mengangkat kepala melihat pokok umur saya. Lalu saya ternampak di atas pokok tersebut terdapat sebiji buah sahaja. Buah tersebut sedang melihat kepada saya. Ia adalah jenazah saya. Lalu saya menundukkan kepala melihat kepada akar pokok umur saya, lalu saya ternampak tanah yang berada di situ ialah tulang saya yang telah hancur dan tanah yang menjadi permulaan penciptaan saya yang telah bercampur baur di antara satu sama lain. Kedua-duanya hanya dipijak-pijak. Lalu saya menjadi bertambah sakit, bukannya bertambah sihat kerana diberikan ubat penawar. Kemudian dalam keadaan keberatan, saya memalingkan pandangan pula ke arah belakang. Lalu saya ternampak dunia yang fana’ dan binasa ini sedang bergulung-gulung di dalam lembah kesia-siaan dan sedang menjunam ke dalam kegelapan kebinasaan. Lalu pandangan ini mencurahkan racun ke atas luka-luka yang saya alami, bukan memberikannya ubat dan penawar yang menyembuhkan. Saya tidak menjumpai pada semua arah tersebut sebarang kebaikan dan pengharapan. Lalu saya memalingkan pandangan saya ke arah hadapan dan merenung jauh ke sana. Lalu saya ternampak kubur sedang menunggu saya di persimpangan jalan, sedang mengangakan mulutnya dengan luas dan merenung tajam ke arah saya. Di belakangnya terdapat jalan yang amat panjang. Ketika berhadapan dengan musibah-musibah dahsyat yang datang dari keenam-enam penjuru ini, saya tidak mempunyai sebarang tempat sandaran dan tidak mempunyai sebarang senjata yang boleh mempertahankan diri saya kecuali sebahagian daripada kehendak saya yang kecil itu. Ketika berhadapan dengan para musuh yang tidak terkira dan segala benda memudaratkan yang tidak terbatas itu, saya tidak mempunyai melainkan satu-satunya senjata kemanusiaan iaitu senjata usaha dan ikhtiar. Tetapi oleh kerana senjata ini hanyalah senjata yang tidak sempurna dan lemah, tidak mempunyai kekuatan untuk mewujudkan sesuatu, yang ada hanyalah usaha, kerana ia tidak mampu untuk pergi ke zaman lampau lalu menghilangkan kedukacitaan, dan ia juga tidak mampu untuk pergi ke zaman hadapan lalu menghalang segala kebimbangan dan ketakutan yang akan berlaku, maka saya yakin bahawa ia juga tidak memberikan faedah terhadap kesakitan dan pengharapan masa lalu dan masa hadapan yang menyelubungi saya. Sedang saya merasa serba salah berhadapan dengan keenam-enam penjuru itu, saya didatangi oleh pelbagai rasa kesunyian, keseorangan, kedahsyatan, kekecewaan dan kegelapan. Sekonyong-konyong datang cahaya keimanan yang bergemerlapan di hadapan al-Quran yang penuh mukjizat. Ia menghulurkan kepada saya cahaya-cahaya yang terang dan bersinar yang sekira-kira jika pelbagai jenis kesunyian dan kegelapan yang saya hadapi itu berlipat ganda 100 kali pun, maka cahaya tersebut sudah mencukupi bagi menghilangkannya.Lalu cahaya tersebut menukar segala kesunyian yang panjang itu kepada kegembiraan dan pengharapan. Ia menukarkan satu demi satu ketakutan dan kebimbangan kepada kejinakan hati dan pengharapan ruh. Ya, iman telah mencarik segala gambaran menakutkan bagi masa lalu yang seperti tanah perkuburan besar lalu menukarnya kepada satu majlis bercahaya yang menyenangkan dan menjadi seperti pertemuan para sahabat. Keadaan tersebut kelihatan secara ‘ain al-yaqin dan haqq al-yaqin. Kemudian iman juga turut memperlihatkan dengan ‘ilm al-yaqin bahawa masa hadapan yang kelihatan melalui pandangan kelalaian seperti sebuah tanah perkuburan yang besar dan luas, tidak lain dan tidak bukan hanya merupakan majlis sambutan Ilahi yang diadakan di istana kebahagiaan yang kekal abadi. Keimanan juga telah menghancurkan gambaran keranda dan jenazah bagi masa sekarang pada pandangan kelalaian. Ia memperlihatkan kepada saya bahawa zaman sekarang adalah tempat perdagangan akhirat dan tempat sambutan Ilahi yang amat menarik. Keimanan juga memperlihatkan dengan ‘ilm al-yaqin bahawa satu-satunya buah yang kelihatan melalui pandangan kelalaian di atas pokok umur dalam bentuk keranda dan jenazah tidak lagi dalam gambaran sedemikian. Tetapi ia adalah langkah permulaan bagi ruh saya yang layak untuk hidup abadi dan mendapat kebahagiaan yang berkekalan daripada sarangnya menuju kepada ufuk bintang bagi bersiar-siar dan melancung.Keimanan juga menerangkan dengan rahsia-rahsianya, bahawa tulang belulang saya yang telah hancur itu dan tanah permulaan penciptaan saya bukanlah tulang yang hina dan binasa serta dipijak-pijak dengan kaki sahaja, tetapi ia adalah tanah yang menjadi pintu kerahmatan dan langsir kepada khemah besar syurga. Dengan kelebihan rahsia al-Quran, keimanan juga memperlihatkan kepada saya bahawa hal ehwal dan keadaan dunia yang sedang runtuh di dalam kegelapan ketiadaan pada pandangan kelalaian sebenarnya tidak jatuh ke dalam lembah ketiadaan, sebagaimana disangka pada permulaannya, bahkan ia adalah sejenis risalah rabbani dan tulisan kudus Ilahi yang telah menyempurnakan segala tugasnya, merealisasikan segala pengertiannya dan meninggalkan hasil di alam nyata ini. Dengan demikian keimanan memberitahu saya tentang hakikat dunia dengan ‘ilm al-yaqin. Dengan cahaya al-Quran, keimanan menjelaskan kepada saya bahawa perkuburan yang sedang merenung tajam kepada saya bukanlah sebuah perigi yang sedang mengangakan mulutnya, tetapi ia adalah pintu bagi sebuah alam cahaya. Ia juga menjelaskan bahawa jalan yang membawa kepada keabadian bukanlah jalan yang terbentang dan berakhir dengan kegelapan dan ketiadaan, tetapi ia adalah jalan yang lurus ke arah alam cahaya, alam kewujudan dan alam kebahagiaan yang kekal abadi. Dengan demikian, keadaan tersebut dengan jelasnya dan yakin menjadi ubat dan penawar kepada penyakit saya. Keimanan yang mengurniakan secebis ikhtiar melalui usaha yang amat sedikit itu memberikan satu dokumen yang bersandar kepada kekuatan mutlak. Ia juga bersandar kepada kerahmatan Ilahi yang maha luas bagi menentang pihak musuh dan kegelapan yang menyelubungi, bahkan keimanan itu sendiri menjadi dokumen di tangan sudut ikhtiar pada diri manusia. Kemudian sudut kecil ikhtiar yang merupakan senjata manusia, meskipun ia adalah lemah dan tidak berkuasa, tetapi jika ia digunakan dengan nama Allah S.W.T, dan jika ia dikorbankan demi kerana-Nya semata-mata, maka ia mungkin menjadikan seseorang boleh mencapai syurga yang abadi seluas 500 tahun. Perumpamaan seorang mukmin dalam hal ini samalah seperti seorang tentera yang menggunakan sedikit kekuatannya dengan nama negara, yang memudahkannya untuk menunaikan banyak tugas yang memerlukan kekuatan ribuan kali ganda lebih tinggi daripada kekuatan peribadinya. Keimanan juga mengurniakan sedikit ikhtiar kita itu satu dokumen yang merampas pengemudiannya daripada genggaman jasad yang tidak mampu untuk menembusi zaman lampau dan tidak juga zaman akan datang, lalu menyerahkannya kepada hati dan ruh. Oleh kerana lingkungan kehidupan ruh dan hati yang tidak terbatas hanya pada zaman sekarang sahaja sebagaimana halnya jasad, juga kerana masuknya beberapa tahun daripada zaman dahulu dan beberapa tahun umpamanya daripada zaman akan datang dalam lingkungan kehidupan ruh dan hati, maka sedikit bahagian ikhtiar yang dimiliki manusia itu bertukar sehingga mempunyai sifat menyeluruh. Dengan kekuatan iman, sedikit bahagian ikhtiar itu dapat memasuki hingga ke bahagian lembah masa lampau yang paling dalam bagi menghancurkan kegelapan kedukacitaan. Begitu juga ia dapat menerawang dengan cahaya iman hingga puncak masa depan yang paling tinggi bagi menghilangkan segala kebimbangan dan ketakutan. Wahai saudara-saudaraku yang sudah tua, lelaki dan perempuan! Wahai mereka yang merasa sakit dan kepenatan kerana umur yang lanjut sepertiku! Selagi mana kita terdiri daripada ahli iman, alhamdulillah, sedangkan di dalam iman terdapat khazanah manis, bercahaya, lazat dan amat disukai, dan selagi mana umur kita yang lanjut masih mendorong kita untuk menimba daripada khazanah ini, maka tidak sepatutnya kita mengadu dan merasa tidak senang dengan umur yang lanjut. Bahkan kita berkewajipan untuk mengucapkan ribuan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan memuji-Nya di atas umur lanjut kita yang disinari dengan keimanan.

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters