Otuz Birinci Mektup’un Otuzuncu Lem’a’sı ve Eskişehir Hapishanesinin bir meyvesi Altı nüktedir. Meyve Risalesi (Buah Iman) merupakan satu pelajaran yang utama diperoleh dari Madrasah Yusufiah Denizli dan Hüccetü’z-Zehrâ (Bukti Yang Bersinar) adalah pelajaran sangat bernilai dari Madrasah Yusufiah Afyon. Sepertimana keduanya, begitu jugalah Kerdipan ke-30 ini yang menjelaskan enam noktah mengenai enam Nama Ilahi dari Nama Teragung yang merupakan pelajaran sangat berkesan dan penting dari Madrasah Yusufiah Eskisehir. Tidak semua orang akan dapat memahami dan menghargai secara mendalam dan meluas mengenai Nama al-Hayyu (Yang Maha Hidup) dan al-Qayyum (Yang Maha Berdiri Sendiri) dari banyak-banyak nama Yang Agung itu, tetapi mereka tidak akan kekal tanpa memperoleh sebahagian daripada ilmu tersebut jika tidak kesemuanya.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Lem'alar
The Thirtieth Gleam
AL-QUDDUS (Yang Maha Suci) [Noktah ini menunjukkan satu aspek maksud nama Allah Al-Quddus (Yang Maha Suci). Sesuai sekali ia menjadi Lampiran bagi Kalimat Ke-30.] بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ وَاْلاَرْضَ فَرَشْنَاهَا فَنِعْمَ الْمَاهِدُونَ Terjemahannya: “Dan bumi telah Kami hamparkan untuk kegunaan kamu dengan sebaik-baik hamparan.” (Al-Dhariyat 51:48) Salah satu nama Allah al-Quddus (Yang Maha Suci) yang menjelaskan satu maksud daripada ayat di atas ialah satu nama Tuhan yang teragung atau satu daripada enam cahaya yang terkandung di dalam nama-Nya yang teragung (al-lsmul A’zhom). Ia menjadi jelas kepadaku pada akhir bulan Sya’ban semasa aku berada di Penjara Eskiehir. Penerangan tersebut sangat jelas dan terang tentang kewujudan dan keesaan Ilahi. Aku melihatnya seperti berikut: Alam semesta ini adalah sebuah kilang besar yang sentiasa beroperasi dan dunia adalah asrama dan rumah tamu yang sentiasa dihuni dan dikotori dengan pelbagai jenis kotoran, saki-baki bahan gunaan dan bahan buangan yang berkumpul di pelbagai ceruk dan sudut. Tempat-tempat ini tidak boleh didiami melainkan jika diurus, dicuci dan disapu serta dibersihkan. Jika tidak, manusia akan ditenggelami oleh sampah-sarap itu. Kilang alam semesta dan rumah tamu bumi ini sebaliknya pula adalah suci sepenuhnya. Bumi ini bersih tanpa sebarang kotoran. Tiada bekas dan tanda kotoran serta sentiasa segar. Tiada sebarang saki- baki yang tidak diperlukan. Tiada yang tidak bermanfaat. Tiada sebutir kotoran pun yang boleh dijumpai secara tidak sengaja. Jika ada pun, ia akan cepat-cepat dimasukkan ke dalam mesin transformasi dan dibersihkan. Ini bermakna, Pengurus yang mengurus kilang ini telah mengurusnya dengan sangat baik. Pemiliknya adalah orang yang menyapu, membersih dan menyusun kilang yang besar dan istana yang luas itu seolah-olah keduanya adalah bilik-bilik yang kecil. Mengambil kira saiz dan keluasan kilang tersebut, tiada saki baki kotoran dan serpihan sampah yang ditinggalkan daripada kotoran-kotoran tersebut. Ternyata, kebersihan dan kerapiannya amat menakjubkan. Jika seseorang tidak membersihkan dirinya dan mengemas bilik kecilnya selama sebulan, dia dan biliknya akan menjadi sangat kotor dan berdaki. Ini bermaksud kebersihan, kesucian, dan cahaya kilauan di dalam istana dunia ini muncul dari proses pembersihan, menyapu dan menjaganya yang berterusan, bijak dan teliti. Jika tidak kerana proses pembersihan, menyapu dan menjaga dengan teliti ini, pasti dalam tempoh satu tahun, kesemua seratus ribu spesies haiwan yang terdapat di atas permukaan bumi ini akan menjadi lemas di permukaannya. Juga, serpihan-serpihan daripada planet-planet di angkasa dan di langit yang menjelmakan kehidupan, kematian serta satelit-satelit dan bintang-bintang akan berlaga dan memecahkan kepala-kepala kita dan haiwan-haiwan malah dunia dan alam semesta ini. Serpihan-serpihan itu akan berguguran jatuh ke atas kepala kita seperti hujan batu sebesar gunung menyebabkan kita bertempiaran lari daripada tanah air kita di dunia ini. Walau bagaimanapun, masa telah berlalu sekian lama. Sebagai amaran, beberapa meteorit telah terjatuh hasil daripada kemusnahan dan pembinaan semula alam semesta yang berlaku di dunia yang sempurna ini. Namun tidak pernah ada kepala seorang manusia pun yang dipecahkan. Tambahan pula, bangkai-bangkai daripada seratus ribu spesis binatang dan serpihan sampah sarap daripada dua ratus ribu spesies tumbuhan di atas muka bumi ini yang bergelut antara hidup dan mati setiap tahun, akan menyebabkan kekotoran yang amat dahsyat di darat dan di laut. Keadaan ini akan menyebabkan sesiapa sahaja yang mempunyai perasaan, berpaling daripada rasa cinta dan bahagia terhadap bumi ini, kepada membenci dan berasa jijik terhadap keburukannya. Mereka lalu melarikan diri hingga mati dan lenyap. Sepertimana mudahnya seekor burung membersihkan sayapnya dan seorang penulis membersihkan lembaran tulisannya, begitulah bumi membersihkan sayap-sayap kapal terbangnya serta burung-burungnya daripada planet-planet yang berterbangan di angkasa. Begitu juga dengan lembaran-lembaran kitab alam semesta dibersihkan dan diperindahkan. Keadaan ini berlaku sehinggakan orang yang tidak dapat melihat keindahan alam akhirat yang abadi dengan pandangan iman akan menjadi asyik dengan keindahan dan kebersihan dunia ini sehingga mereka menyembahnya. Dalam kata lain, istana bumi ini dan kilang alam semestanya telah mempamerkan satu jelmaan manifestasi yang teragung daripada nama Allah al-Quddus. Haiwan-haiwan pembersih karnivor daripada lautan dan helang-helang di darat menurut perintah pembersihan yang mulia ini. Bukan itu sahaja, malah pegawai-pegawai pembersihan awamnya seperti cacing dan semut mengumpulkan berbagai jenis bangkai. Sebagaimana arahan pembersihan yang mulia ini dituruti oleh sel-sel darah merah dan putih yang mengalir di dalam tubuh kita untuk melakukan pembersihan di dalam sel-sel badan, begitulah proses pernafasan yang berlaku untuk mensuci dan membersihkan darah. Sepertimana kelopak-kelopak mata patuh kepada arahan untuk membersihkan mata dan lalat-lalat membersihkan sayapnya begitulah langit yang luas dan awan juga taat kepada perintah ini. Angin yang bertiup bersama cebisan-cebisan sampah dan debu jatuh ke atas permukaan bumi lalu membersihkannya. Span-span serapan dalam bentuk awan-awan yang mengandungi air akan menyirami taman-taman dan memendapkan debu dan tanah. Selanjutnya, agar angkasa raya ini tidak dicemari, angin dengan cepat mengumpulkan kemudian mengeluarkan sampah-sarap bumi, lalu menyembunyikannya dengan susunan yang sangat sempurna. Ia mempamerkan wajah dan mata langit yang indah berkilau dan bergemerlapan seperti disapu dan digilap. Sebagaimana semua bintang, unsur, galian dan tumbuhan mematuhi arahan pembersihan ini begitulah dengan semua atom mematuhinya: mereka memberi perhatian kepada kebersihan dalam bentuk pergolakkan perubahan dan transformasi yang menakjubkan. Atom-atom tidak akan berhimpun atau menghalang sesuatu di mana-mana tempat tanpa sebab. Jika tercemar, atom-atom itu akan segera dibersihkan. Mereka diarah oleh tangan hikmah untuk memperoleh keadaan yang paling bersih, kemas dan bersinar dalam bentuk yang paling indah, suci dan halus. Oleh itu, pelaksanaan pembersihan yang merupakan satu hakikat kebenaran ini, adalah jelmaan teragung daripada nama Allah al-Quddus yang memperlihatkan diri-Nya dalam lingkaran alam semesta yang terbentang luas. Ini sama seperti cahaya matahari. Jelmaan-Nya yang bersinar terang benderang memperlihatkan kepada pandangan mata yang jauh dan fikiran yang luas tentang kewujudan dan keesaan Ilahi bersama-sama dengan nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna) Yang Maha Indah. Dalam banyak bahagian Risalah an-Nur, telah dijelaskan dengan bukti-bukti yang kukuh bahawa proses penyusunan yang bersistematik ini adalah antara manifestasi nama al-Hakam (Yang Maha Adil) dan al-Hakim (Yang Maha Bijaksana). Perbuatan penyeimbangan dan keseimbangan pula adalah manifestasi daripada nama al-Adl (Yang Menyeimbangkan) dan al-Adil (Yang Maha Adil). Juga perbuatan menghias dan ihsan kebaikan pula adalah antara jelmaan daripada nama al-Jamil (Yang Maha Cantik) dan al-Karim (Yang Maha Mulia) manakala perbuatan mendidik dan memberi nikmat pula adalah antara jelmaan daripada nama al-Rabb (Yang Maha Mendidik) dan al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Kesemuanya adalah perbuatan dan hakikat yang menunjukkan wajib wujudnya Tuhan Yang Satu dan Yang Maha Esa. Begitu juga dengan perbuatan membersih dan menyucikan, maka ia adalah salah satu jelmaan daripada nama al-Quddus (Yang Maha Suci) yang menzahirkan dengan terangnya seperti cahaya matahari menampakkan kewujudan Dia Yang Tunggal dan keesaan-Nya sejelas cahaya di siang hari. Sebagaimana yang dijelaskan di atas, perlakuan seperti menyusun, menetapkan, menghias dan membersihkan itu menonjolkan kewujudan Pencipta Yang Tunggal, yang bersifat Esa dengan amat jelas pada alam semesta yang amat luas ini. Begitulah keadaannya dengan kebanyakkan al-Asma’ al-Husna. Bahkan daripada 1001 nama-nama-Nya, setiap satu nama daripada al-Asma’ al-Husna itu mempunyai jelmaan yang amat agung dan luas dalam alam semesta ini. Perbuatan yang terhasil daripada jelmaan tersebut menunjukkan Dzat Yang Maha Esa dengan zahir yang amat nyata dan luas sesuai dengan kebesaran-Nya. Hakikat-hakikat yang telah terbukti kebenarannya, menyinari seluruh alam semesta membuatkan mereka tersenyum seperti hikmah kebijaksanaan sejagat yang menundukkan segala sesuatu terhadap undang-undang dan peraturan yang membuktikan keesaan-Nya. Rahmat Allah SWT yang luas menimbulkan kegembiraan dan kebahagiaan kepada setiap sesuatu lalu menjadikannya gembira dan bersyukur. Rezeki yang menyeluruh menjadikan segala makhluk yang bernyawa dapat meneruskan kehidupan dan menikmati kelazatannya. Kehidupan dan pemberian kehidupan yang menghubungkan segala sesuatu dengan sesuatu yang lain membolehkannya mendapat manfaat daripada segalanya, seolah-olah ia adalah pemilik kepada semua benda tersebut. Kesemua itu adalah hakikat yang jelas menunjukkan keesaan Tuhan Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mulia, Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Hidup dan Yang Maha Menghidupkan, sejelas cahaya yang menunjukkan wujudnya matahari. Ratusan kejadian Allah SWT yang meluas, setiap satunya menjadi bukti nyata tentang keesaan Allah SWT. Misalnya, setiap satu perkara seperti kebijaksanaan, keprihatinan, rahmat, pemuliharaan dan pemberian kehidupan yang merupakan hakikat-hakikat kebenaran serta bukti yang bersandar kepada Tuhan Pencipta alam. Sekiranya tidak disabitkan kepada Tuhan Yang Maha Esa, akan lahir ratusan perkara mustahil dalam ratusan aspek. Jika perbuatan membersih atau menyucikan tidak disandarkan kepada keesaan-Nya, semua benda-benda yang mempunyai hubungan dengan proses pembersihan itu bermula daripada atom, unsur, serangga dan planet mestilah mengetahui cara bagaimana untuk membersihkan alam semesta yang amat luas ini, menghias, mencantikkan dan melakukannya dengan penuh keseimbangan. Mestilah setiap sesuatu itu bersifat dengan sifat-sifat suci lagi mulia yang merupakan sifat Tuhan yang menguasai seluruh alam ini. Dan mestilah terdapat satu majlis syura (mesyuarat) yang luas, seluas alam semesta ini bagi menyusun dan mengatur proses menghias dan membersihkan bumi ini serta mengukur setiap sesuatu yang masuk dan keluar darinya dengan penuh keseimbangan. Mesyuarat ini pula hendaklah terdiri daripada atom-atom, serangga-serangga dan bintang-bintang yang tidak terbatas bilangannya. Demikianlah bagaimana seseorang yang melalui jalan kufur akan sampai kepada ratusan khurafat yang hina dan falsafah yang mustahil, barulah penghiasan yang menyeluruh dan pembersihan yang sempurna dapat dizahirkan di atas muka bumi ini. Maksudnya, apabila hakikat bahawa bersandaran kepada Allah SWT dinafikan atau ditiadakan, maka bukan sahaja wujud satu kemustahilan, bahkan ia membawa kepada ribuan kemustahilan. Jika cahaya pada waktu siang dan segala sinaran yang berkelip pada benda-benda di dunia ini, tidak kita sandarkan kepada matahari dan tidak ditafsirkan sebagai pantulan-pantulan cahaya daripada matahari, maka matahari perlu wujud pada setiap kepingan kaca yang telus. Pada setiap titisan air yang bersinar, dan pada setiap butiran salji yang berkerlipan sehingga matahari yang sebenar itu perlu wujud pada setiap atom udara. Ini supaya ia dapat menzahirkan cahaya yang melimpahi seluruh kewujudan ini. Justeru, hikmah kebijaksanaan adalah cahaya. Rahmat yang luas adalah cahaya. Setiap sesuatu perhiasan, penyeimbangan, penyusunan dan pembersihan adalah cahaya yang menyeluruh, merangkumi dan meliputi segala sesuatu. Semua ini adalah sinaran daripada Matahari Yang Azali. Sekarang, lihatlah dengan cahaya iman agar kamu nampak bagaimana mereka yang kufur dan sesat jatuh ke dalam lembah yang dalam sehingga tidak memungkinkan mereka untuk keluar semula daripadanya! Lihatlah betapa bodohnya kejahilan mereka yang sesat! Maka katakanlah: “Segala puji bagi Allah SWT atas agama Islam dan kesempurnaan iman.” Jadi, pastinya pembersihan yang Maha tinggi lagi menyeluruh yang menjadikan istana alam semesta ini bersih adalah satu jelmaan dan tuntutan daripada nama al-Quddus. Semua makhluk bertasbih dengan nama Allah al-Quddus. Maka nama al-Quddus ini menuntut kebersihan daripada makhluk-makhluk tersebut. Oleh kerana kesucian adalah berkaitan dengan kebersihan maka hadis yang bermaksud: اَلنَّظَافَةُ مِنَ اْلاِيمَانِ “kebersihan adalah sebahagian daripada iman” menganggap bahawa penyucian adalah salah satu daripada cahaya iman. Ayat al-Quran daripada firman Allah SWT berikut ini menunjukkan bahawa kesucian merupakan faktor untuk memperoleh kasih sayang Ilahi, bahkan ia adalah paksinya. اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ Terjemahannya: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang bertaubat, dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Al-Baqarah [2]: 222)
AL-HAKAM (Yang Maha Bijaksana) اُدْعُ اِلٰى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ Terjemahannya: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (al-Quran).” (An-Nahl 16:125) [Satu manifestasi dari nama Allah Al-Hakam (Yang Maha Bijaksana) iaitu satu nama Tuhan yang teragung atau salah satu daripada enam cahaya yang terkandung di dalam nama-Nya yang teragung (al-lsmul A’zhom), dan satu makna halus dari ayat al-Quran di atas terilham kepadaku pada satu bulan Ramadan semasa aku berada di Penjara Eskiehir. Noktah ketiga ini mengandungi lima perkara yang terilham kepadaku dalam bentuk bayangan lalu aku terus menulisnya. Penulisannya dibuat segera dan kekal dalam bentuk asalnya tanpa disunting]
Seperti yang kami sebutkan dalam Kalimat Kesepuluh, jelmaan agung dari nama al-Hakam meletakkan alam ini seperti sebuah buku. Dalam setiap lembaran alam terdapat ratusan buku. Pada setiap baris pada lembaran alam itu terdapat ratusan muka surat. Pada setiap perkataannya terdapat ratusan baris. Pada setiap huruf terdapat ratusan perkataan. Pada setiap isi ada indeks ringkasnya untuk buku. Setiap lembaran muka surat buku alam ıtu, semua baris, bahkan semua titiknya menunjukkan kewujudan pengarang dan penulisnya dengan begitu jelas sekali. Buku atau kitab alam yang agung ini menjadi saksi kewujudan dan keesaan-Nya, jauh melebihi tanda-tanda kewujudan diri alam itu sendiri. Ini adalah kerana, tatkala sebuah huruf menunjukkan kewujudannya setara satu huruf, pada masa yang sama ia mengungkapkan sifat-sifat penulisnya setara satu baris. Ya, satu halaman pada lembaran buku alam ini adalah satu hamparan pada muka bumi. Lembaran tersebut berisi buku-buku sejumlah jenis tumbuhan dan haiwan yang dapat dilihat pada musim bunga dengan sangat sempurna tanpa ada satu kesalahan pun. Tulisannya saling berkait antara satu dengan yang lain pada waktu yang sama. Setiap baris pada lembaran alam itu adalah sebuah taman. Di dalamnya kita dapat melihat kumpulan gubahan puisi. Puisi-puisi ditulis sejumlah bunga, pohon dan haiwan yang saling berkait antara satu baris dengan yang lainnya tanpa ada kesalahan sedikit pun. Setiap untaian kata pada setiap bait dan baris puisi alam adalah pohon yang tumbuh dengan daun-daunnya yang tersusun antara putik-putik yang yang bakal menghasilkan buahnya. Untaian kata itu menggambarkan bait-bait puisi yang bermakna yang menggambarkan ekspresi pujian dan rasa syukur terhadap kewujudan Dzat Yang Maha Bijaksana sebanyak susunan dedaun, bunga-bungaan serta buah-buahan yang indah mempesonakan, teratur dan seimbang. Sama seperti pepohon lain, pohon tersebut adalah untaian bait indah yang sedang mengalunkan segala pujian kepada Tuhan Yang Maha Mulia. Seolah-olah Dzat Yang Maha Bijaksana lagi Maha Agung itu ingin memperlihatkan keindahan ciptaan dan keajaiban makhluk yang Dia hamparkan di bumi ini melalui ribuan mata. Raja Agung yang Kekal Abadi menganugerahkan hadiah yang dihias indah dengan susunan dan perhiasan berharga kepada pepohon memberikan mereka rupa yang indah, susunan yang seimbang, serta bentuk yang penuh hikmah untuk diperlihatkan kepada-Nya pada musim bunga di hari perayaan dan perarakan umum. Pada hari itu setiap bunga dan buah menjadi saksi dalam pelbagai cara dan pembuktian. Setiap satunya menjadi saksi atas kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta serta menjadi bukti atas nama-nama-Nya yang mulia. Misalnya, pada setiap bunga yang mekar dan buah terdapat keseimbangan. Keseimbangan itu berada dalam satu aturan. Aturan tersebut berada dalam susunan dan penyeimbangan yang senantiasa diperbaharui. Aturan dan penyeimbangan itu bergerak dalam bentuk seni yang indah. Hiasan seni yang indah itu berada dalam aroma wangi penuh makna dengan rasa yang penuh hikmah. Justeru, setiap bunga menjadi isyarat atas kewujudan Dzat Yang Maha Agung lagi Bijaksana sebanyak bilangan bunga yang mekar pada pohon tersebut. Dalam pohon yang diibaratkan sebagai perkataan, buahnya diibaratkan sebagai huruf-huruf, ada benih buah yang diibaratkan sebagai titik-titik huruf yang mengandungi kotak berisi indeks dan daftar lengkap pelan kehidupan kerjayanya. Dan begitulah seterusnya. Menggunakan analogi yang sama, dengan jelmaan manifestasi berbagai cahaya dari nama al-Hakim al-Hakam (Dzat Yang Maha Bijaksana lagi Maha Menentukan) jika pohon ini diibaratkan sebagai kitab alam semesta – bukan sahaja baris tetapi setiap huruf dan titik – adalah mukjizat yang mengagumkan. Bahkan jika semua kuasa bergabung untuk mencipta sesuatu sepertinya, mereka tidak akan dapat mencipta sebutir titik pun sepertinya. Malah mereka tidak mampu memberi hujah untuk menentang hakikat itu pun. Ya, setiap tanda kekuasaan yang terdapat pada kitab alam semesta ini mempamerkan mukjizat sebanyak jumlah titik dan huruf yang ada di dalamnya. Oleh yang demikian, tidak mungkin sesuatu kebetulan, kuasa alam yang buta, sesuatu yang tiada tujuan, radikal, tanpa sedar mencampuri hikmah, keseimbangan dan aturan serta susunan yang sangat sensitif. Jika perkara-perkara sebegitu turut mencampurinya pasti akan ada tanda-tanda yang mengelirukan dan jelas cacat- celanya. Padahal tiada sebarang kekurangan di mana-mana jua pun.
Seperti yang telah dijelaskan dalam Kalimat Kesepuluh, ada prinsip dasar yang mengatakan bahawa keindahan yang sempurna dan kesempurnaan yang indah itu mahu memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan-Nya. Atas dasar itu, Tuhan Pencipta yang Maha Kekal, Penulis buku alam semesta ini memperkenalkan, dan mendekatkan keindahan kesempurnaannya yang mempesona untuk dicintai melalui buku alam semesta dan lembaran-lembarannya, baris serta huruf malah titik-titiknya melalui lisan segala makhluk. Iaitu dari sekecil-kecil makhluknya sehinggalah yang paling besar agar Dia dikenali dan kesempurnaan-Nya diketahui. Maka itu, wahai orang yang lalai! Sedar dan bangunlah dari kelalaianmu! Ketahuilah betapa bodoh dan jahil serta ruginya kamu tatkala Dzat Yang Maha Bijaksana, Penguasa Segala Yang Maha Agung dan Maha Indah telah memperkenalkan diri-Nya melalui setiap makhluknya dengan bentuk yang menakjubkan dan dengan cara keindahan yang pelbagai tetapi kamu tidak mengenal-Nya dengan iman terhadap-Nya. Kamu juga tidak membuatkan dirimu dicintai-Nya melalui ibadahmu.
Tidak ada tempat bagi syirik di alam jajahan Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Ini adalah kerana, kesempurnaan yang wujud berterusan tidak mungkin menerima adanya sekutu bagi-Nya. Apabila ada banyak tangan masuk campur dalam penyelesaian sesuatu perkara, ia akan menimbulkan kesulitan. Misalnya apabila ada dua raja dalam satu negara, dua gabenor dalam satu bandar, atau dua ketua dalam satu kampung, pasti akan timbul kekacauan dalam pentadbirannya. Pegawai rendahan pun tidak akan membiarkan urusan tugasnya dicampuri oleh orang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa prinsip dasar bagi sesuatu pemerintahan adalah kemerdekaan dan seorang ketua yang boleh berdikari. Sebagaimana keteraturan yang memerlukan adanya kesatuan, kekuasaan juga memerlukan kemandirian. Bayangan fana yang bersifat sementara bagi satu kekuasaan yang ada pada manusia yang lemah yang memerlukan bantuan pun tidak dapat menerima adanya campur tangan luar. Apa lagi kekuasaan hakiki milik Dzat Yang Maha Berkuasa yang mempunyai kuasa dan kekuatan mutlak. Sudah pasti Dia akan menolak sebarang campur tangan pihak lain. Campur tangan dalam skala yang sangat kecil pun pasti akan menimbulkan kekacauan pada keteraturan. Padahal alam ini dicipta dengan sedemikian rupa sehingga untuk mencipta satu atom pun perlu satu kuasa yang mampu mencipta sebuah pohon. Untuk mencipta sebuah pohon pun perlu ada kuasa yang mampu mencipta seluruh alam. Ini kerana biji benih adalah sampel alam semesta. Justeru seandainya ada sekutu di alam semesta ini, itu bermaksud dia juga terlibat di dalam penciptaan benih paling kecil sekalipun. Ini bermakna, ada dua kuasa dalam benih kecil itu. Bahkan dalam atom. Ini sudah pasti mustahil dan merupakan khayalan yang tidak benar dan sangat tidak rasional. Ketahuilah, wahai manusia! Syirik dan kekufuran merupakan sesuatu yang bersalahan, bercanggah dan tidak diterima. Ini kerana keduanya memerlukan keadaan ketidakberdayaan pada Dzat Yang Maha Berkuasa mutlak yang menggenggam langit dan bumi. Oleh itu, ketahuilah bahawa keesaan Ilahi adalah hakikat kebenaran justeru ucapkan, “Segala puji dan syukur bagi Allah SWT atas nikmat iman!”
Dengan nama-Nya, al-Hakam dan al-Hakim, Tuhan Pencipta Yang Maha Berkuasa telah memasukkan ke dalam alam semesta ini ribuan alam yang teratur susunannya. Dia telah mencipta manusia sebagai pusat dan pusaran tengah. Manusia adalah makhluk-Nya yang paling hampir mencerminkan berbagai hikmah dan manfaat dalam ruang lingkup wilayah kehidupan di alam semesta ini. Dalam wilayah kehidupan manusia ini, Dia menjadikan rezeki sebagai titik pusat. Dalam kehidupan manusia sebahagian besar hikmah dan manfaat mengarah dan terjelma melalui rezeki tersebut. Jelmaan nama al-Hakim nampak dalam bentuk yang paling jelas menakjubkan dan bersinar dari kebijaksanaan manusia dan dari perasaan semasa menikmati rezeki. Sehingga semua ilmu sains dari ratusan ilmu yang dikaji oleh akal manusia menyingkap dan menjelaskan jelmaan nama al-Hakam. Sebagai contoh, jika ilmu perubatan ditanya, “Apakah alam semesta ini?” dia akan menjawab: “Alam semesta ini adalah farmasi besar, tersusun dan sempurna. Semua penawar disediakan dan disimpan di dalamnya dengan cara yang terbaik.” Jika ilmu kimia ditanya, “Apakah sebenarnya galaksi bumi ini?” dia akan menjawab: “Bumi ini adalah makmal kimia yang sangat teratur sempurna.” Ilmu sains kejuruteraan akan menjawab: “Bumi adalah kilang yang sempurna tanpa sebarang ralat.” Ilmu sains pertanian akan menjawab: “Bumi adalah taman dan ladang subur yang dapat mengeluarkan secara berkala dan tersusun berbagai jenis tanaman pada masa yang sesuai.” Ilmu perdagangan akan menjawab: “Bumi adalah bazar besar yang mempamerkan berbagai jenis barangan, pasar yang tersusun rapi dan kedai yang tersimpan berbagai jenis barang dagangan terbaik.” Ilmu ekonomi akan menjawab: “Bumi adalah gudang simpanan besar yang mengandungi pelbagai jenis aneka makanan.” Ilmu pemakanan akan menjawab: “Bumi adalah dapur Ilahi yang menyediakan ratusan ribu makanan lazat dengan sangat teratur dan sempurna.” Ilmu sains pertahanan akan menjawab: “Bumi, adalah kem askar yang besar tempat berkumpulnya askar bersenjata yang baru di setiap musim bunga.” Walaupun jumlah askar-askar yang baru itu melebihi empat ratus ribu, kemah-kemah mereka didirikan di seluruh permukaan bumi. Mereka diberikan makanan, pakaian, senjata, latihan, pelepasan yang berbeza-beza dengan aturan yang sempurna tanpa sebarang masalah dan tidak seorang pun diabaikan melalui arahan, kuasa dan kasih sayang seorang ketua komandan, dari khazanah simpanannya. Kesemuanya ditadbir dengan baik dalam cara yang normal. Dan jika ilmu elektrik ditanya, “Apakah alam semesta ini?” pasti ia akan menjawab: “Istana alam megah tersergam dengan atapnya dihiasi dengan berbagai susunan lampu berkilauan yang begitu banyak tersusun dan seimbang dengan sangat menakjubkan. Susunan dan keseimbangan yang menakjubkan itu terbuat dengan lampu-lampu langit khususnya matahari yang besarnya seribu kali ganda daripada bumi terus bersinar tanpa merosakkan keseimbangan dan tidak juga terbakar atau menyalakan api walaupun mereka membakar secara berterusan. Pengeluaran cahayanya berterusan tanpa henti. Dari manakah sumber cahaya, minyak dan bahan bakarnya? Mengapa cahayanya tidak pernah terpadam? Mengapa keseimbangannya tidak terjejas dengan pembakaran yang berlaku? Walhal, pelita kecil pun akan terpadam jika tidak dipantau secara berterusan. Lihatlah hikmah dan kuasa Allah Dzat yang Maha Bijaksana lagi Maha Agung. Dia telah mencipta matahari yang menurut ilmu astronomi adalah sejuta kali lebih besar dari bumi dan telah berumur lebih dari sejuta tahun. Matahari itu membakar tanpa pernah padam, tanpa bahan bakar atau minyak. Segala puji- pujian bagi Allah SWT! Katakanlah: Masya-Allah, tabarakallah, la ilaha illallah, sebanyak jumlah detik dari usia matahari yang telah berlalu. “Ini bermakna ada penjagaan yang teliti terhadap lampu-lampu langit yang tersusun indah dan menakjubkan itu. Seolah-olah sumber pemanasnya adalah dari api yang sangat besar dan banyak. Juga seolah-olah lampu-lampu dengan pelindung cahaya itu adalah neraka jahanam yang panasnya tak pernah padam. Mereka menyediakan haba tanpa cahaya. Mesin dan kilang utama lampu elektrik itu pula adalah syurga yang kekal abadi yang menyediakan cahaya dan sinaran melalui jelmaan nama al-Hakam dan al-Hakim. Mereka membakar secara berterusan dengan susunan yang teratur.” Begitulah seterusnya. Testimoni tertentu dari ratusan ilmu seperti ini menunjukkan dengan jelas bahawa alam semesta ini telah dihiasi dengan berbagai hikmah, kemaslahatan dan manfaat dalam lingkungan susunan yang sempurna tanpa sebarang ralat. Aturan dan hikmah yang bersumber dari kebijaksanaan-Nya meliputi seluruh alam semesta ini telah dimasukkan dalam ukuran yang sangat kecil dalam biji benih dan sekecil-kecil makhluk hidup. Jelas terbukti bahawa pelbagai tujuan, kemaslahatan, hikmah dan manfaat tidak boleh diperoleh dengan cara lain kecuali dengan pilihan, kehendak, niat dan tekad. Tidak juga ia boleh terhasil dari kejadian alam dan penyebab yang berlaku dengan tidak sengaja yang tidak mempunyai kehendak, pilihan dan matlamat malah kesemua sebab dan kejadian tidak boleh masuk campur dalam urusan tersebut. Jadi, adalah tidak waras dan luar biasa yang tidak dapat digambarkan jika seseorang itu tidak mengenal atau tidak beriman kepada Pencipta yang Maha Bijaksana. Dia adalah Pengurus yang mempunyai pilihan. Seluruh alam dengan segala makhluk yang tidak terkira jumlahnya bertebaran di seluruh alam semesta menjadi bukti kewujudan-Nya. Ya, jika ada sesuatu yang pelik dan menghairankan di dunia ini, itu adalah penafian kewujudan Allah SWT. Ini adalah kerana, hikmah aturan dan tertib segala sesuatu yang berterusan dan tak terhingga banyaknya dengan berbagai ragam bentuknya yang istimewa yang terkandung dalam setiap sesuatu di alam semesta ini wujud sebagai saksi terhadap kewujudan dan keesaan- Nya. Manusia paling lalai pun boleh faham betapa buta dan jahilnya mereka yang tidak nampak kewujudan Tuhan. Malah aku boleh mengatakan bahawa kaum sofis yang dianggap bodoh kerana menafikan kewujudan alam semesta ini adalah orang kafir yang paling bijak. Ini adalah kerana, menurut mereka untuk meyakini kewujudan alam semesta ini, perlu disertai dengan kepercayaan kepada Penciptanya — yaitu Allah SWT. Ini adalah sesuatu yang sangat mustahil bagi mereka dan tidak dapat diterima. Oleh itu, mereka menafikan kewujudan alam semesta ini sekaligus mengingkari kewujudan diri mereka sendiri. Menurut mereka, tidak ada yang wujud sama sekali. Mereka menidakkan akal mereka sendiri sekali gus menyelamatkan diri dengan mendekati akal lebih sedikit dibandingkan dengan kaum kafir lain yang bersembunyi di balik akal.
Seperti yang telah diceritakan dalam Kalimat Kesepuluh, ada seorang arkitek yang bijaksana membina sebuah istana yang kukuh dan teliti dengan ratusan hikmah pada setiap batu-batu yang menghiasi ruang istana. Adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal manusia yang waras jika dengan sengaja dia tidak membuat atap untuk melindungi ciptaan tersebut dari mengalami kerosakan serta membiarkan segala penciptaan hasil hikmah kebijaksanaanya dan manfaat yang ada menjadi sia-sia. Begitulah juga, tidak mungkin Dzat Yang Maha Bijaksana yang mencambah, memelihara dan membesarkan tumbuhan dari biji benih yang kecil sehingga memperoleh ratusan manfaat dan hikmah. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia dan berlebihan. Ini adalah bertentangan dengan hikmah kebijaksanaan-Nya untuk memberikan pohon yang besar itu manfaat yang tak bermakna, tujuan yang kecil, serta buah yang sedikit. Padahal kita mengetahui bahawa Dia telah mengorbankan banyak perkara untuk mengeluarkan hasil dan buahnya. Dengan cara yang sama, Tuhan Pencipta Yang Maha Bijaksana menghiasi segala makhluk dan ciptaan di seluruh istana alam semesta ini dengan ratusan hikmah dan maslahat bagi melengkapi keperluan setiap satu daripadanya. Ini adalah untuk pelaksanaan ratusan tugas semua pepohon yang dikurniakan hikmah untuk bertugas menghasilkan buah dan memberikan tugas kepada setiap satu daripada bunga-bungaannya. Semua kurniaan dan tugas yang diberikan kepada makhluk dan ciptaan-Nya yang tidak terkira bilangannya ini menjadi sia-sia, tidak berguna, tiada tujuan dan matlamat jika Dia tidak mendatangkan alam akhirat serta tidak menghadirkan hari kebangkitan dan kiamat. Itu menampakkan sifat ketidakberdayaan kuasa sempurna Dzat Yang Maha Berkuasa mutlak serta menunjukkan sia-sia dan tiada matlamat segala kebijaksanaan Dzat Yang Maha Bijaksana serta meletakkan kecacatan pada keindahan rahmat Dzat Yang Maha Penyayang, serta menisbahkan kezaliman kepada keadilan Dzat Yang Maha Adil. Ringkasnya, keadaan itu mengingkari semua kebijaksanaan, rahmat dan keadilan- Nya yang wujud jelas dapat dilihat oleh segala makhluk-Nya di alam semesta ini. Tentu sahaja ini sangat mustahil dan sangat tidak benar. Perlihatkanlah kaum yang sesat akan kegelapan yang menakutkan pada kesesatan mereka seperti mana adanya kala jengking dan ular dalam kubur mereka nanti. Mereka harus tahu bahawa kepercayaan kepada hari akhirat adalah jalan iman yang indah bersinar sama seperti syurga. Oleh itu, dakapilah keindahan iman.
Bahagian ini mengandungi dua topik persoalan.
Nama al-Hakim, meninggalkan jelmaan Tuhan Pencipta Yang Agung dengan jalan yang paling ringan, paling singkat, paling mudah, dalam bentuk yang paling bermanfaat menunjukkan bahawa tiada sesuatu pun yang berlebihan, sia-sia dan tanpa manfaat bagi segala sesuatu dalam bentuk fitrah semula jadinya. Pembaziran adalah berlawanan dengan nama al-Hakim manakala berjimat-cermat adalah prinsip asas. Oleh itu, wahai manusia yang membazir dan berlebih-lebihan! Ketahuilah jika kamu tidak mengamalkan sikap berjimat- cermat, yang merupakan prinsip paling asas di alam semesta, kamu telah bertindak berlawanan dengan hakikat kebenaran. Kamu perlu faham apakah yang menjadi keperluan, prinsip yang membawa pengajaran seperti dalam firman Allah SWT berikut: كُلُوا وَاشْرَبوُا وَلاَ تُسْرِفُوا Terjemahannya: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan.” (al-Araf 7: 31)
Nama al-Hakam dan al-Hakim menunjukkan dan mengharuskan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahap yang sangat jelas. Ya, sebuah buku yang bermakna mengharuskan kewujudan seorang guru untuk mengajarinya. Sebuah keindahan yang menakjubkan mengharuskan kewujudan sebuah cermin untuk melihat keindahan dirinya. Sebuah karya agung yang sempurna pula memerlukan akhbar untuk menghebahkan berita mengenainya. Maka sudah pasti dalam kalangan manusia yang diseru oleh buku alam sejagat yang agung itu, yang mana setiap hurufnya mengandungi ratusan makna dan hikmah, wujud orang yang menyeru kepadanya. Seorang pemimpin yang paling sempurna dan pengajar yang paling agung. Kerana dia akan membimbing manusia kepada berbagai hikmah suci dan hakiki yang terdapat dalam kitab besar itu. Dia akan mengkhabarkan tentang berbagai hikmah yang wujud dan tujuan wujudnya alam semesta ini. Dia menjadi tujuan kemunculan, bahkan sebab kewujudan serta penciptaan alam semesta; untuk memberi khabar dan menjadi cermin kesempurnaan seni Pencipta dan keindahan nama-nama-Nya yang mulia seperti yang ingin diperlihatkan kepentingannya oleh Tuhan kepada seluruh alam semesta. Oleh kerana Tuhan Maha Pencipta mahu dicintai oleh seluruh makhluk ciptaan-Nya dan ingin membangkitkan rasa rindu dalam kalangan makhluk ciptaan-Nya yang berakal, maka seorang daripada mereka memberikan pengabdian menyeluruh mewakili seluruh makhluk di muka bumi ini. Dia akan membangkitkan rasa rindu dan cinta di seluruh alam baik di darat mahu pun di laut dengan memalingkan perhatian seluruh makhluk kepada Pencipta Yang Maha Agung yang mencipta segala seni. Melalui dakwah sucinya dan pengajaran al-Quran kalam teragung, dia menunjukkan berbagai pelajaran suci dan petunjuk penuh hikmah yang berasal dari al-Quran kepada orang-orang yang berakal dan menjelaskan berbagai maksud suci Pencipta Yang Maha Bijaksana. Kewujudannya untuk menyambut keseluruhan kesempurnaan jelmaan dari kewujudan hikmah mendalam yang disertai dengan keindahan dan keagungan-Nya. Manusia yang boleh memegang peranan tersebut dan melaksanakan segala tugas di atas dalam bentuk yang paling sempurna hanyalah Rasul SAW, utusan yang paling mulia. Sebagaimana matahari mengharuskan wujudnya sinaran dan sinaran tersebut mengharuskan wujudnya siang, maka berbagai hikmah yang tersebar di seluruh alam mengharuskan kehadiran Muhammad SAW sebagai seorang nabi dan rasul. Ya, jelmaan agung dari nama al-Hakam dan al-Hakim mengharuskan kerasulan Muhammad SAW. Begitulah juga sebilangan besar nama-nama Tuhan yang indah seperti Allah, ar-Rahman, ar-Rahim, al-Wadud, al-Mun’im, al-Karim, al-Jamil, dan ar-Rabb. Kewujudan nama-nama itu mengharuskan sebahagian besar jelmaannya di seluruh alam semesta dengan kehadiran Muhammad SAW sebagai utusan-Nya. Contohnya rahmat Allah SWT yang luas yang merupakan jelmaan nama ar-Rahim nampak jelas pada insan (Muhammad SAW) yang diutuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam semesta. Tuhan yang Maha Berkuasa membuat diri-Nya dikenali dan dicintai melalui jelmaan nama al-Wadud. Buah daripada keduanya terjelma pada kekasih Allah SWT, Rabb sekalian alam yang memberi respon kecintaan Ilahi. Segala jenis keindahan, yang merupakan jelmaan daripada nama al-Jamil iaitu keindahan Dzat, keindahan nama-nama Ilahi, keindahan seni penciptaan- Nya, keindahan makhluk dapat dilihat dengan jelas pada cerminan Muhammad. Jelmaan keagungan Rububiyyah dan dominasi kekuasaan Tuhan dapat diketahui, dapat dikenali, dapat difahami, dapat diyakini melalui risalah utusan Allah SWT, Muhammad SAW. Dia dai agung yang menyeru kepada Penguasa alam semesta. Begitulah seperti contoh-contoh yang diberi, sebahagian besar nama-nama Tuhan adalah bukti nyata terhadap risalah yang dibawa oleh Muhammad SAW. KESIMPULAN: Oleh kerana kewujudan alam ini tidak boleh dinafikan, begitulah segala hakikat nyata dengan hikmah kebijaksanaan, kasih sayang, rahmat, keindahan, keteraturan, keseimbangan, dan perhiasan seperti warna, hiasan, cahaya, sinaran, seni, kehidupan dan ikatan dengan alam semesta juga tidak boleh dinafikan. Oleh kerana mustahil menafikan segala sifat dan kejadian maka sudah tentu Dzat Yang Maha Suci, Maha Agung Wajibul Wujud, Maha Berhikmah, Megah, Penyayang, Cantik, Bijaksana dan Yang Maha Adil dengan petunjuk dari sifat-sifat tersebut sebagai Pencipta segala kejadian, Matahari dan Sumber segala Cahaya tidak boleh dinafikan dengan apa cara sekalipun. Jadi, sudah pasti kerasulan Muhammad SAW, yang merupakan seorang pemimpin besar, guru yang sempurna, pendakwah agung, pembawa berita, penyingkap rahasia alam, cermin kepada Tuhan, kekasih ar-Rahman yang menjadi penghubung kepada sifat-sifat dan ciptaan yang dipamerkan bahkan dengan segala kesempurnaan dan pengetahuan segala makhluk-Nya justeru dengan apa cara sekali pun tidak boleh dinafikan. Risalahnya merupakan cahaya paling cemerlang di alam ini sama seperti cemerlangnya sinar alam hakikat dan cahaya hakikat alam. عَلَي۟هِ وَعَلٰى اٰلِهٖ وَ صَح۟بِهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ بِعَدَدِ عَاشِرَاتِ ال۟اَيَّامِ وَذَرَّاتِ ال۟اَنَامِ سُب۟حَانَكَ لَا عِل۟مَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّم۟تَنَٓا اِنَّكَ اَن۟تَ ال۟عَلٖيمُ ال۟حَكٖيمُ
AL-FARDU (Yang Maha Satu) Cahaya Keempat dari Enam Cahaya Nama-Nya Yang Teragung Nama Allah Al-Fardu (Yang Maha Satu) بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ قُلْ هُوَ اللّٰهُ اَحَدٌ Terjemahannya: “Katakanlah (Muhammad), Dialah Allah, Yang Maha Esa.” (Al-Ikhlas 112:1) [Satu makna halus dari ayat ini dan manifestasi dari nama Allah Al-Fard (Yang Tunggal) mencakupi nama Allah SWT yang lain iaitu al-Wahid (Yang Satu) dan al-Ahad (Yang Esa) atau salah satu daripada enam cahaya-Nya yang terkandung di dalam nama-Nya yang Teragung al-lsmul A’zam terilham kepadaku pada satu bulan Ramadan semasa aku berada di Penjara Eskiehir. Merujuk perincian manifestasi agung itu kepada Rislat al-Nr, penulisannya dibuat dengan sangat ringkas dan kami akan menjelaskan tauhid hakiki yang diperlihatkan oleh jelmaan dari nama tersebut dalam tujuh petunjuk ringkas.]
Kalimat Kedua Puluh Dua dan Surat Ketiga Puluh Tiga telah menunjukkan secara terperinci melalui manifestasi agung, nama al-Fard yang merupakan salah satu nama-Nya yang teragung dari al-Ismul A’zam sebagai tanda atau cop keesaan Ilahi pada alam semesta ini secara keseluruhan dan secara individu pada setiap makhluk yang ada di dalamnya. Kami hanya akan menjelaskan tiga tanda. Tanda Pertama: Jelmaan Ketunggalan Ilahi dari nama Allah Yang Tunggal (al-Fard) telah meletakkan tanda-Nya pada keseluruhan muka bumi ini, sehingga seluruh alam ini bersatu sebagai satu entiti yang tidak dapat dipisahkan. Dzat yang tidak mampu memperlihatkan kuasa ke atas seluruh alam semesta tidak mungkin menjadi pemilik mana-mana bahagian pun daripadanya. Petunjuk yang dimaksudkan adalah seperti berikut: Seperti gerigi pada mesin halus di kilang-kilang, seluruh entiti di alam semesta saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam usaha menyempurnakan kerja masing-masing. Dengan perpaduan dan kerjasama, saling memberi maklum balas terhadap permintaan dan menyegerakan bantuan sesama mereka, memberi sokongan antara satu dengan yang lain menjadikan mereka saling terkait seperti satu entiti yang membentuk satu badan dalam bahagian anggota tubuh manusia yang tidak boleh dipisahkan mana-mana satu dari yang lainnya. Sesuatu yang mengawal satu unsur tetapi tidak ada kawalan terhadap kesemua unsur yang lain dalam satu entiti yang sama, tidak mungkin mempunyai kuasa mutlak yang mengawal satu unsurnya. Oleh yang demikian, kerja sama, perpaduan, saling bantu-membantu dan sokongan antara satu sama lain dalam kalangan segala entiti di alam semesta ini merupakan satu tanda keesaan Ilahi yang hebat. Tanda Kedua: Melalui jelmaan dari nama al-Fard, petunjuk keesaan dan tanda ketunggalan Ilahi (Wahdaniyah) yang cemerlang kelihatan pada muka bumi ini dan pada musim bunga. Petunjuk-petunjuk itu membuktikan bahawa dzat yang tidak mentadbir segala makhluk di muka bumi ini dengan keseluruhan bahagian dan atributnya serta dzat yang tidak tahu dan tidak melihat kesemuanya secara keseluruhan dan tidak mencipta, tidak boleh terlibat mencampuri urusan penciptaannya. Tandanya adalah seperti berikut: Tanpa mengira susunan tertentu atau yang tersembunyi, tanda-tanda pelbagai jenis bahan mineral dan segala jenis unsur yang terbentang di permukaan bumi, perhatikan tanda-tanda dari jalinan hamparan dua ratus ribu jenis spesies haiwan dan dua ratus ribu spesies tumbuhan. Kita dapat melihat dengan mata kita sendiri pada setiap musim bunga di bumi ini segala makhluk dengan berbagai tugas dan beragam bentuk, berbagai jenis rezeki dan organ tubuh yang berbeza dikurniakan segala keperluan mereka tanpa salah dan silap. Kurniaan yang cukup teliti dibuat mengikut keperluan yang berbeza bagi mengekalkan keseimbangan yang halus tanpa kesulitan, tepat pada masanya dari pelbagai tempat walaupun setiap satunya bercampur dan terkait antara satu dengan yang lain. Situasi, perancangan dan pentadbiran ini membentuk tanda keesaan Ilahi yang merupakan keesaan-Nya yang cemerlang. Ini adalah kerana, Dzat yang tidak mampu mencipta segala sesuatu daripada tiada, tidak mungkin terlibat mencampuri proses penciptaan dan pentadbiran segala sesuatu itu. Ini adalah kerana, sekiranya ia mencampuri urusan tersebut, pasti pentadbiran yang sudah tersusun dan seimbang menjadi rosak. Tugas lahiriah yang dilakukan oleh manusia adalah untuk menyingkap hukum-hukum Tuhan dan kesempurnaan perjalanannya atas izin dan perintah-Nya. Tanda Ketiga: Tanda keesaan Ilahi ini jelas kelihatan pada wajah manusia. Ya, pada wajah manusia. Dzat yang tidak dapat meletakkan tanda di setiap wajah sejak zaman Nabi Adam a.s. hingga hari kiamat, tidak akan mungkin meletakkan tanda-tanda yang membezakan setiap wajah, malah ratusan tanda yang membezakan wajah-wajah dan tidak mungkin terlibat mencampuri urusan penciptaan dengan tanda keesaan Ilahi mana-mana satu wajah pun. Ya, Dzat yang meletakkan tanda pada setiap wajah manusia pastilah melihat dan mengenali seluruh umat manusia termasuk setiap anggota pada setiap wajah meskipun setiap anggota organ pada setiap wajah itu menyamai antara satu dengan yang lainnya namun setiap satunya ada tanda yang membezakan anggota masing-masing. Setiap anggota pada wajah seperti mata dan telinga menyerupai antara satu dengan yang lain pada semua wajah manusia menjadi bukti nyata bahawa Maha Pencipta manusia adalah Esa (Ahad) dan Satu (Wahid). Maka begitulah juga tanda pembeza penuh hikmah pada setiap wajah manusia tidak seperti spesies makhluk yang lain. Tanda-tanda pembeza itu memelihara hak setiap orang dalam masyarakat agar mereka jelas tidak samar-samar. Ia juga menjadi tanda halus keesaan Ilahi yang menunjukkan kehendak dan pilihan mutlak Pencipta Yang Maha Esa. Ia juga menunjukkan bahawa Dzat yang tidak mampu mencipta seluruh manusia, haiwan, tumbuhan dan keseluruhan alam semesta, tidak mungkin boleh meletakkan ciri pembeza itu pada seseorang.
Alam semesta ini dengan pelbagai spesies dan unsur yang beraneka ragam, saling berkait dan terjalin antara satu dengan yang lain sehingga satu penyebab yang tidak ada kuasa ke atas seluruh alam tidak mungkin memiliki kekuasaan hakiki ke atas mana-mana satu pun unsur tersebut. Cahaya tauhid yang terjelma dari nama al-Fard (Yang Maha Tunggal) telah menghimpun seluruh alam menjadi satu kesatuan yang kesemuanya turut menyatakan keesaan tersebut. Sebagai contoh, matahari yang merupakan satu lampu bagi seluruh alam semesta menunjukkan bahawa seluruh alam adalah milik Tuhan yang Satu. Begitu juga dengan span udara yang mengandung air yang sama menyirami bumi dan hujan yang sama memenuhi keperluan seluruh kehidupan di serata pelosok bumi dan kebanyakan spesies haiwan serta tumbuhan yang tersebar luas di seluruh alam adalah dari jenis spesies dan habitat yang sama. Kesemua ini menjadi petunjuk yang tegas dan testimoni bahawa seluruh makhluk dan habitatnya itu adalah milik Tuhan Yang Maha Tunggal lagi Maha Esa. Berdasarkan analogi ini, jalinan yang erat antara alam dan kehidupan berbagai makhluk telah bersatu dalam sebuah kesatuan yang mana proses penciptaannya tidak mungkin dapat dipisahkan. Sesuatu penyebab yang tidak ada kuasa melaksanakan hukumnya ke atas keseluruhan alam semesta tidak mungkin dapat mentadbir sesuatu apa pun berdasarkan kuasa dan kreativitinya hatta satu atom ataupun yang lebih kecil dari itu.
Melalui jelmaan agung dari nama al-Fard (Yang Tunggal), seluruh alam semesta berubah menjadi untaian kata yang berpanjangan menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Maha Kekal. Setiap untaian mempamerkan tanda-tanda keesaan Allah Yang Satu. Selain itu, setiap untaian kata seolah-olah dicetak menunjuk kepada ciri-ciri keesaan Ilahi sejumlah banyaknya untaian kata. Ya, setiap bunga, setiap buah, setiap rumput malah setiap haiwan serta setiap pohon merupakan petunjuk ketunggalan Ilahi dan tanda keesaan-Nya. Bersekali dengan habitat mereka ada tanda seolah-olah setiap topik yang berbentuk surat dan menjelaskan penulisnya. Misalnya, bunga kuning yang terdapat di sebuah taman. Bunga tersebut berada dalam posisi sebagai tanda pemilik taman tersebut. Dzat yang menjadi Pemilik tanda pada bunga tersebut juga merupakan Pemilik kesemua jenis bunga dan tersebar di seluruh bumi. Selain itu, ia juga menjadi petunjuk yang jelas bahawa taman tadi merupakan hasil tulisan-Nya. Maksudnya, setiap sesuatu, mengembalikan segala sesuatu mengenai dirinya kepada Penciptanya sekali gus menunjukkan manifestasi agung dari keesaan Allah SWT.
Selain sifatnya yang sangat terang seperti terangnya matahari, manifestasi agung dari nama al-Fard adalah sesuai dengan akal dan logik sehingga ia dapat diterima dengan mudah. Sebaliknya, membuktikan kewujudan sekutu bagi Allah SWT, yang bertentangan dengan manifestasi tadi, adalah sangat rumit dan jauh sekali dari logik akal. Ia sangat tidak rasional hingga sampai ke tahap mustahil seperti yang dijelaskan dalam banyak bahagian dalam Rislat al-Nr. Di sini kami hanya akan menjelaskan tiga dari berbagai bukti tersebut. Penjelasan terperincinya boleh dirujuk pada risalah-risalah yang lain. Pertama: Kami telah menjelaskan dengan berbagai bukti yang kuat secara ringkas di penghujung Kalimat Ke-10 dan Ke-19 serta secara terperinci dalam Surat Ke-20 bahawa berkait dengan kuasa Dzat Yang Tunggal dan Yang Maha Esa, penciptaan sesuatu yang amat besar adalah sama mudahnya seperti mencipta sesuatu yang sangat kecil. Allah SWT mencipta pohon yang besar semudah mencipta sebiji buah. Padahal seandainya penciptaan pohon-pohon itu disandarkan kepada berbagai perkara yang menjadi penyebab sesuatu penciptaan, mencipta sebutir buah pun menjadi sesulit penciptaan pohon yang besar mencipta sekuntum bunga menjadi sesukar penciptaan musim bunga. Ya, jika kelengkapan seluruh pasukan tentera datang dari arahan seorang komandan dari sebuah kilang, maka ia menjadi sangat mudah seperti mempersiapkan seorang tentera. Namun jika kelengkapan bagi setiap tentera disediakan dari kilang yang berlainan dan pentadbirannya disampaikan daripada seorang pegawai kepada semua tentera di bawah pentadbiran pegawai-pegawai yang ramai jumlahnya, maka setiap tentera memerlukan bilangan kilang yang menyediakan kelengkapan kerja mereka sejumlah angkatan tentera yang ada. Begitulah juga jika semua urusan disandarkan kepada Dzat Yang Tunggal dan Esa. Penciptaan sebuah spesies yang jumlah ahlinya banyak tidak terhingga menjadi mudah seperti penciptaan satu makhluk. Sebaliknya jika disandarkan kepada penyebab-penyebab tertentu yang pelbagai, penciptaan satu makhluk sahaja pun menjadi rumit dan pelik sama seperti rumitnya penciptaan spesies yang banyak. Ya, keesaan dan ketunggalan yang dijelmakan melalui segala sesuatu adalah berkait dan bersandar kepada Dzat Tuhan Yang Esa. Penisbatan tersebut menjadi sebuah kekuatan yang tidak terbatas. Dari kekuatan yang disandarkan itu, sesuatu usaha yang kecil mampu melakukan amal-amal yang besar jauh melebihi kekuatan individu yang ada pada dirinya sendiri bagi membuahkan hasil. Bagi kuasa besar yang tidak bersandar dan tidak mempunyai hubungan dengan Dzat Yang Tunggal lagi Maha Esa, mereka hanya mampu melakukan pekerjaan yang dapat dipikul oleh kekuatannya dan hasilnya akan berkurangan berkadaran dengan kekuatannya. Sebagai contoh, seorang lelaki yang kuat dan berani yang bukan dari kalangan tentera harus membawa sendiri semua keperluan makanan dan kelengkapan ketenteraannya sendiri maka dia hanya mampu bertahan menghadapi tentera musuhnya seramai sepuluh orang dalam waktu yang singkat. Kekuatannya terbatas. Sementara orang yang menisbatkan dirinya dengan seorang komandan besar dengan kedudukannya sebagai tentera tidak perlu membawa keperluan makanan dan kelengkapan ketenteraannya sendiri. Sangkutan dan sandarannya terhadap kuasa besar itu menjadikan kekuatan dan bekalannya tidak putus-putus, seperti sebuah perbendaharaan. Melalui sumber dan kekuatan yang ada, dia berpotensi menawan panglima perang pasukan musuh yang kalah bersama ribuan orang yang bersamanya. Oleh kerana sandaran kepada keesaan dan ketunggalan Ilahi inilah, semut dapat mengalahkan Firaun, nyamuk boleh mengalahkan Namrudz, mikro organisma kecil dapat membinasakan manusia yang zalim dan benih sekecil biji kacang mampu memikul pohon megah yang sebesar gunung. Ya, seorang pemimpin besar boleh menggerakkan dan menghantar pasukan tentera penyelamat untuk membantu dan mengawasi seorang tentera. Ini membuatkan seorang tentera berasa yakin kerana sebuah pasukan besar berada dibelakangnya membantu dan memberikan kekuatan moral yang hebat sehingga dia mampu melaksanakan tugas-tugas besar atas nama komandannya. Sama seperti itu juga, oleh kerana Maha Penguasa Yang Kekal itu Tunggal dan Esa, Dia sama sekali tidak memerlukan sekutu atau bantuan dari pihak lain. Jika seandainya Dia berkehendakkan sesuatu, cukup bagi-Nya menggerakkan sesuatu yang diperlukan untuk memberi bantuan dengan mengumpulkan tentera dari seluruh alam ini sebagai penyokong atau penyelamat. Demikianlah, segala sesuatu bersandar pada kekuatan agung yang sangat besar yang menggenggam kunci perbendaharaan seluruh alam. Andai kata Dia mempunyai keperluan – Dia seperti kekuatan komandan yang tunggal, setiap sesuatu boleh mendapatkan kekuatan dari kekuatan Ilahi yang sangat besar dan mutlak itu, dari Dzat Yang Maha Tunggal dan Esa. Jika tidak wujud Dzat-Nya Yang Tunggal, segala sesuatu pasti akan kehilangan kekuatan yang dahsyat menjadi lenyap dan tiada. Justeru, hasil-hasil besar yang berasal dari sesuatu yang kecil dan tidak penting atau tidak signifikan yang sering kita perhatikan dengan mata kita sendiri menunjukkan ketunggalan dan keesaan Tuhan. Kalau bukan kerana-Nya, maka hasil dan buah yang ada hanya terbatas kepada kekuatan dan bahan kejadiannya. Kesemuanya itu akan menjadi tiada. Tiada sesuatu pun yang berharga dan yang melimpah-ruah di sekeliling kita yang akan kekal. Buah melon atau delima yang kita beli dengan harga yang sedikit, satu hari nanti tidak dapat kita beli walau dengan harga setinggi mana pun. Ya, semua perkara yang kita lihat mudah, semua yang kita lihat banyak dan segala yang murah adalah hasil keesaan-Nya sekali gus menjadi saksi atas Dzat-Nya Yang Tunggal. Kedua: Segala entiti yang wujud dicipta dalam dua cara. Pertama, adalah ciptaan sesuatu daripada tiada yang disebut ibda’ atau penciptaan. Kedua, dihasilkan dari berbagai unsur yang sedia ada, disebut sebagai proses pembentukan dan pemasangan. Jika kewujudan sesuatu entiti terjadi dari perspektif ketunggalan dan manifestasi keesaan Tuhan, maka proses penciptaannya terjadi dengan cara yang sangat mudah bahkan kemudahan kejadiannya adalah wajib. Tetapi jika urusan penciptaan itu tidak dinisbatkan kepada Dzat Yang Tunggal, kemenjadiannya menjadi rumit, tidak rasional, sukar sehingga ke tahap mustahil. Namun kita menyaksikan segala entiti yang wujud di alam semesta ini muncul dengan mudah tanpa kesulitan, dengan kemudahan serta dalam bentuk dan cara yang sangat sempurna. Ini jelas menunjukkan manifestasi ketunggalan Ilahi serta menegaskan bahawa segala yang wujud berasal dari seni penciptaan Dzat Yang Maha Esa dan Agung. Ya, jika sesuatu urusan dinisbatkan kepada Dzat Yang Maha Esa, maka sesuatu itu dicipta dari tiada melalui kekuasaan-Nya yang mutlak dalam sekelip mata seperti menggores mancis api. Melalui dakapan ketentuan-Nya dan pengetahuan-Nya yang komprehensif segala sesuatu disukat dengan sukatan tertentu ke dalam acuan maknawi. Semua bahan disusun atur oleh kuasa Ilahi secara sangat mudah untuk menempati kedudukan masing-masing dan memeliharanya sesuai dengan rancangan yang ada dalam cermin pengetahuan Tuhan yang azali. Sekiranya perlu mengumpulkan semua atom yang berada di segala pelosok dan penjuru, maka seluruh atom yang terikat dengan pengetahuan Ilahi dan terkait dengan hukum kekuasaan-Nya akan menjadi seperti tentera-tentera yang taat dari sebuah pasukan yang menerima arahan untuk mengambil kedudukan masing-masing. Dengan kuasa Ilahi bersandarkan pengetahuan, begitulah dengan semua atom yang taat kepada perintah Tuhan. Mereka pun segera datang untuk mengambil kedudukan masing-masing dalam acuan pengetahuan dan ketentuan- Nya membentuk seperti yang ditentukan dengan mudah. Seperti refleksi gambar pada cermin muncul pada sejenis kertas sehingga menjadi gambar yang konkrit menggunakan kamera, atau seperti tulisan lutsinar yang tersembunyi menjadi wujud kelihatan di mata apabila bahan kimia disapukan ke atasnya, begitulah juga dengan bentuk semua entiti yang terdapat pada cermin pengetahuan Tuhan Yang Maha Esa dan Tunggal. Kekuasaan Ilahi yang bersifat mutlak memberikan bentuk konkrit yang bermakna kepada semua entiti yang sebelumnya berada di alam ghaib. Namun jika proses penciptaan yang ada tidak dinisbatkan kepada Dzat Yang Maha Tunggal dan Esa, maka untuk mencipta seekor lalat memerlukan pencarian dan pemeriksaan ke seluruh permukaan bumi, serta penyaringan terhadap semua unsur yang diperlukan untuk menciptanya. Justeru untuk menempatkan unsur-unsur itu pada kedudukannya yang penuh seni dalam acuan yang sesuai dengan jumlah organ dan bentuknya maka sejumlah acuan dengan bilangan anggotanya yang ada diperlukan. Selain itu, berbagai sensori seperti perasaan yang bersifat rohani, halus, dan lembut yang berasal dari alam rohani harus dimasukkan ke dalamnya sesuai dengan ukuran yang diperlukan oleh lalat tadi. Dengan cara itu, penciptaan seekor lalat sahaja menjadi sulit seperti penciptaan seluruh alam semesta. Kesulitannya beratus kali ganda sehingga ke tahap mustahil. Oleh yang demikian, semua kaum beriman dan para saintis sepakat menyetujui bahawa tiada sesuatu selain Maha Pencipta Yang Tunggal dan Yang Maha Esa yang mampu mencipta sesuatu daripada tiada. Justeru, jika dirujuk kepada penyebab dan alam semula jadi, sekiranya urusan penciptaan ini diserahkan kepada penyebab-penyebab fizikal dan alam semula jadi, maka kewujudan sesuatu entiti sahaja memerlukan terkumpulnya banyak unsur. Ketiga: Kami telah memberikan banyak contoh yang menegaskan bahawa menisbatkan proses penciptaan kepada Dzat Yang Maha Tunggal lagi Maha Esa menjadikan penciptaan segala sesuatu menjadi mudah, sama dengan penciptaan sesebuah entiti. Sebaliknya, apabila proses penciptaan tadi diserahkan kepada alam dan penyebab fizikal, penciptaan sebuah entiti pun menjadi sulit dan mustahil, sama seperti mencipta seluruh entiti. Di sini kami hanya akan memberikan tiga contoh perbandingan: Perbandingan Pertama: Jika tugas memimpin seribu orang tentera diserahkan kepada seorang panglima, sementara tugas memimpin seorang tentera diserahkan kepada sepuluh panglima, maka memimpin seorang tentera tadi akan menjadi sepuluh kali lebih sulit daripada memimpin sejumlah tentera dalam satu batalion. Ini adalah kerana, para panglima tersebut akan saling bertengkar antara satu dengan lain dan perintah-perintah mereka akan saling berlawanan. Maka seorang tentera itu pun tidak akan berasa selesa berada di tengah-tengah permusuhan para panglimanya. Sebaliknya, seorang panglima yang memimpin seribu tentera itu adalah seperti memimpin seorang tentera. Dia boleh melaksanakan perancangan dan keinginannya terhadap setiap tentera tadi dengan sangat mudah. Untuk memperoleh hasil dan situasi apabila tentera-tentera ditinggalkan tanpa panglimanya, komandan, pemimpin atau sarjan, segala hal juga menjadi sulit dan hanya boleh dicapai setelah banyak perbalahan dan kesulitan dalam ketidakaturan dan serba tidak sempurna. Perbandingan Kedua: Apabila urusan pembangunan sebuah kubah Masjid Jamek Aya Sophia diserahkan kepada seorang arkitek yang mahir, dia akan mampu melaksanakan tugasnya dengan mudah. Namun jika pembangunannya diserahkan, kepada batu-batu itu sendiri, maka setiap batu itu harus berkuasa mutlak ke atas semua batu yang lain, dan pada waktu yang sama ia juga harus tunduk pada batu yang lain agar kubah yang megah itu terbentuk. Kerja seorang arkitek tadi hanya memerlukan tenaga yang sedikit kerana kerja itu mudah baginya. Tetapi bagi ratusan tukang bangunan (atau batu-batu) itu sendiri untuk melakukannya memerlukan kerja yang berlipat kali ganda lebih banyak tanpa hasil nyata untuk mencapai kedudukan yang sama. Perbandingan Ketiga: Sebagai contoh bola bumi ini merupakan pegawai, tentera kepada Dzat Tunggal dan Esa yang taat kepada perintah-Nya, lalu hasilnya datang pertukaran musim, pergantian siang dan malam, pergerakan yang menyingkap pemandangan cakerawala yang megah dan indah di langit tinggi yang berubah-ubah terus menerus seperti pemandangan dalam wayang gambar. Tatkala menerima sebuah perintah dari Yang Maha Tunggal dan Esa, dengan gembiranya dia menerima tugas seorang tentera seperti sebiji bola bumi akan segera bangun berpusing dengan dua pergerakan seperti sufi Maulawi yang sangat rindu kepada Tuhannya lalu terhasil sesuatu yang menakjubkan. Ia seolah-olah seorang tentera memerintahkan pergerakan dengan megahnya di atas muka bumi ini. Apabila urusan tersebut tidak dinisbatkan kepada Dzat Tunggal dan Esa yang kekuasaan uluhiyah dan rububiyah-Nya serta perintah dan peraturan-Nya merangkumi semua makhluk sekelian alam, maka segala hasil tersebut, pergerakan langit dan perubahan musim di bumi sukar dicapai. Sukar seperti jutaan bintang yang ribuan kali lebih besar daripada bumi ini dan harus beredar pada paksi yang jutaan kali lebih besar dari paksi bumi. Sukar tatkala ia harus beredar dengan jarak jutaan tahun setiap 24 jam sehari pada paksinya setiap tahun. Terwujudnya hal-hal agung seperti dua pergerakan bumi pada orbitnya dan di sekeliling paksinya seperti sufi Maulawi yang bahagia memperlihatkan bahawa keesaan Tuhan merupakan sesuatu yang sangat mudah untuk diterima. Dalam waktu yang sama, kewujudan melalui jalan yang jauh tidak berpenghujung dan memakan masa jutaan kali ganda sulitnya itu menegaskan bahawa syirik dan kekufuran adalah penuh dengan kemustahilan dan hal-hal batil yang tidak rasional. Selanjutnya, perhatikanlah kejahilan kaum ateis dan mereka yang menghambakan diri kepada penyebab dan alam semula jadi melalui contoh berikut. Kamu akan faham bagaimana jahil dan jauhnya dari logik akal jika seorang pencipta menyediakan seni luar biasa, mesin-mesin yang menakjubkan bagi sebuah kilang besar atau sebuah jam yang sangat tepat, atau sebuah istana yang indah atau sebuah kitab yang menakjubkan, lalu pencipta itu tidak memasang sendiri komponen-komponen yang mudah dipasang itu. Sebaliknya dia membiarkan sahaja setiap satu daripadanya melaksanakan setiap bahagian. Setiap mekanisme malah sehelai kertas dan pen menjadi mesin yang luar biasa untuk membolehkan bahagian-bahagian tertentu tertulis dan terbina serta bekerja di kilang, di istana, dengan jam dan menulis buku tersebut sendiri tanpa berkesudahan dengan kos yang tinggi. Dia tentu membuat perancangan dengan sangat cermat untuk memperlihatkan keindahan ciptaan dan kreasinya. Dengan cara yang sama, mereka yang menisbatkan ciptaan kepada penyebab dan alam semula jadi jatuh ke dalam lembah kejahilan yang berganda. Ini adalah kerana, Dzat yang mencipta segala sesuatu dengan seni yang sangat indah dan tersusun lebih dari alam semula jadi juga adalah Dzat yang mencipta artifak dan hasilnya seperti makhluk yang lain. Dzat yang mencipta benih itulah yang menumbuhkan pohon di atasnya, yang mengeluarkan buah dan bunga dari kelopaknya. Sekiranya tidak dinisbatkan proses penciptaan penyebab dan alam kepada Dzat Yang Maha Esa, perlu ada kewujudan berbagai macam penyebab dan alam yang teratur untuk menghasilkan berbagai kewujudan yang lain. Demikianlah seterusnya sehingga menjadi sebuah rangkaian khayalan yang mustahil dan berterusan. Sudah tentu ini adalah satu kejahilan yang sangat luar biasa.
Dalam beberapa bahagian Risalah Nur, kami telah menegaskan dengan berbagai hujah yang kuat bahawa pemisahan dan kemerdekaan merupakan ciri utama sebuah kuasa pemerintahan. Pemerintahan manusia yang sangat lemah dan tidak memiliki kekuasaan hakiki kecuali hanya bayangannya sahaja pun menolak adanya campur tangan pihak lain. Pemerintah dengan sangat tegas akan menolak sebarang bentuk campur tangan di dalam urusannya. Itu adalah untuk melindungi kemerdekaan negara. Malah sejarah telah mencatat banyak peristiwa mengenai pemerintah yang sanggup menumpahkan darah daging anak dan saudara mereka sendiri kerana dianggap masuk campur dalam urusan mereka. Jadi, kemerdekaan dan penolakan terhadap campur tangan pihak lain termasuk ciri utama kekuasaan yang hakiki. Bahkan ia merupakan keperluan yang tidak boleh terpisah dan penting untuk kekal ada di dalamnya. Kekuasaan Ilahi yang ada pada tingkatan rububiyah yang bersifat mutlak juga sangat menolak adanya sekutu dan penglibatan serta campur tangan pihak lain. Al-Quran al-Karim juga secara konsisten, tegas dan berulang kali membicarakan soal keesaan Ilahi dan menolak syirik secara yang sangat keras dengan ancaman yang menakutkan. Justeru, kekuasaan Ilahi yang terdapat pada rububiyah-Nya yang mutlak mengharuskan adanya tauhid dan keesaan yang menunjukkan tujuan yang penting bagi mengharuskan adanya penyebab baginya. Begitu juga dengan susunan rapi dan harmoni yang menakjubkan pada alam semesta dari bintang, tumbuhan, haiwan, mineral dan benda-benda sekecil atom yang menjadi saksi adil dan bukti yang cemerlang terhadap ketunggalan dan keesaan-Nya. Seandainya ada campur tangan yang lain daripada Dzat Yang Maha Esa, pastilah susunan kebiasaan yang sensitif dan seimbang pada alam semesta akan hilang dan tanda tersebut dapat dilihat dengan jelas. Jadi sungguh benar firman Allah SWT yang berbunyi: لَوْ كَانَ فِيهِمَاۤ اٰلِهَةٌ اِلاَّ اللّٰهُ لَفَسَدَتَا Terjemahannya: “Seandainya kedua-duanya (di langit dan di bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah SWT, sudah tentu kedua-duanya telah binasa.” (Al-Anbiya 21:22) Ya, seandainya ada campur tangan pihak lain pasti kesannya akan nampak secara nyata. Namun ajakan tegas menurut ayat al-Quran berikut: فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرٰى مِنْ فُطُورٍ Terjemahannya: “Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?” (Al-Mulk 67:3) mulai dari atom hingga ke planet, dari tanah hingga ke Arsh Ilahi, tiada cacat cela atau kekurangan pada mana-mana susunan alam semesta. Jadi, susunan alam semesta dan makhluk serta keseimbangan kehidupan yang menakjubkan memperlihatkan manifestasi agung dari nama al-Fard sekali gus menjadi saksi nyata atas keesaan-Nya. Selanjutnya, dengan manifestasi keesaan Ilahi, makhluk yang sangat kecil menjadi miniatur sampel dan indeks kecil bagi alam semesta. Tidak ada yang menguasai makhluk hidup yang kecil itu kecuali Dzat yang mengendalikan seluruh alam. Penciptaan benih yang sangat kecil pun tidak kurang menakjubkan berbanding pohon yang besar. Sebuah pohon pula ibarat sebuah miniatur alam. Segala makhluk kehidupan di dalamnya pun seperti miniatur alam dan dunia yang kecil. Misteri keesaan Ilahi memustahilkan keberadaan sekutu. Dengan misteri ini, alam semesta bukan sahaja tidak boleh terpisah dari keseluruhan alam raya, malah segala entiti sejagat tidak menerima adanya keterpisahan, dan campur tangan pihak-pihak lain dalam penciptaannya. Jadi, oleh kerana setiap bahagian bersifat individu, dan secara keseluruhannya adalah universal, maka orientasi tugas masing-masing telah menjadikan alam ini dari segi penciptaan dan pentadbirannya tidak dapat dipisahkan. Justeru, setiap bahagian yang terdapat di dalamnya ibarat sebahagian dari keseluruhannya dan alam ini ibarat satu kesatuan. Jadi, sama sekali tidak ada tempat bagi sekutu. Ya, oleh kerana kehidupan makhluk di alam semesta ini terjalin serta terikat antara satu dengan yang lain, dan setiap bahagian berfungsi menjaga kebajikan semua, maka orientasi tugas masing-masing telah menjadikan alam ini dari segi penciptaan dan pentadbirannya tidak dapat dipisahkan. Juga, tindakan-tindakan umum yang menjangkau seluruh alam ini dilihat terjalin dan saling bertembung antara satu sama lain sehingga kesatuannya sama sekali tidak dapat dipisahkan. Sebagai contoh, tatkala wujud sebuah kehidupan, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana kehidupan itu diberi rezeki. Menyusun dan menghias tubuh makhluk dengan kelengkapan yang diperlukan berlaku dalam proses menghidupkan makhluk. Semasa proses pembentukan, pembesaran, pengaturan itu terjadi, pada waktu yang sama proses pemeliharaan, penghidupan, penyusunan dan penghiasan terhadapnya juga berlangsung. Demikianlah seterusnya. Oleh kerana keterkaitan berbagai tindakan menyerapi antara satu dengan yang lainnya, kesatuannya teradun seperti tujuh warna cahaya. Seterusnya oleh kerana setiap perlakuan itu mencakupi dan mendakapi semua makhluk dan entiti dalam satu kesatuan dan secara fitrahnya bersifat tunggal, semuanya secara jelas menunjukkan bahawa pelakunya satu, esa, dan tunggal. Dan oleh kerana setiap satu entiti meresap masuk ke semua alam atas keterkaitan dan saling membantu dalam bentuk kerja sama yang kuat menjadikan alam ini sebagai satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan. Demikian juga dengan semua makhluk hidup seperti benih, daftar isi atau indeks dan sampel kepada alam semesta. Dari aspek rububiyah ia juga tidak boleh dipisahkan atau dipecah dan kecilkan. Ini bermaksud, alam semesta adalah sebuah kesatuan yang tidak terpisah. Justeru, Tuhan yang memelihara sebahagian daripadanya juga merupakan Tuhan yang memelihara keseluruhannya. Ia bersifat universal di mana setiap bahagian dari alam semesta pada dasarnya adalah satu bahagian tunggal. Tuhan yang disembah oleh semua makhluk tentulah Dzat yang memegang, mengawal dan menguasai seluruh alam.
Ketunggalan dan keesaan Allah SWT dalam hal rububiyah dan uluhiyah merupakan kaedah dan dasar segala kesempurnaan serta sumber dan asal usul tujuan dan hikmah di sebalik penciptaan alam. Ia juga merupakan matlamat dan cara memenuhi hasrat dan keinginan semua makhluk yang mempunyai perasaan dan akal, terutama manusia. Jika keesaan-Nya tidak wujud, maka semua hasrat tadi akan terpadam. Hikmah penciptaan alam semesta ini akan lenyap dan sebahagian besar kesempurnaan yang ada akan musnah. Misalnya, manusia mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk hidup kekal selamanya. Hanya Dzat Yang Maha Satu melalui misteri ketunggalannya menguasai kunci-kunci khazanah alam dan berkuasa mengakhiri dunia ini dengan menutup pintu-pintunya sekali gus membuka pintu kehidupan yang abadi semudah menutup sebuah rumah dan membuka yang lain untuk memenuhi apa yang dihasratkan itu. Sama juga seperti situasi itu, ada ribuan hasrat manusia yang terbentang luas dan tersebar ke seluruh alam semesta terikat dengan hakikat tauhid dan keesaan Tuhan. Jika tidak kerana ketauhidan dan keesaan-Nya, semua hasrat tersebut tidak akan terhasil. Dan jika Dzat Yang Maha Esa tidak berkuasa atas seluruh alam ini, semua hasrat itu tidak akan dapat dinikmati. Kalaupun ada, wujudnya amat sedikit dengan serba kekurangan. Demi rahsia agung tersebut, al-Qur’an al-Karim berulang-ulang kali secara terus dan konsisten dengan begitu indah menjelaskan perihal tauhid dan keesaan-Nya. Para nabi, para ulama, wali, dan orang-orang yang soleh juga memperoleh kebahagiaan dan kegembiraan dalam kalimah tauhid. Bahkan kebahagiaan dan kegembiraan yang paling utama bagi mereka ada dalam ucapan la ilaha illallah (tiada Tuhan selain Allah).
Sepertimana Nabi Muhammad SAW telah isytiharkan, sampaikan dan tegaskan tentang seluruh tingkatan tauhid hakiki dengan bentuknya yang sempurna begitulah perutusannya menjadi sesuatu yang pasti dan kuat seperti kuatnya tauhid itu sendiri. Oleh kerana Nabi Muhammad SAW mengajar tauhid yang menjadi hakikat paling agung di alam semesta ini dengan seluruh hakikatnya, maka boleh dikatakan seluruh dalil yang membuktikan tauhid dalam masa yang sama juga membuktikan kebenaran risalah, kenabian, dan dakwah baginda. Risalah agung ini mengandungi hakikat kebenaran yang menyingkap dan mengajar hakikat tauhid. Pasti perutusan risalah-risalahnya juga menjadi sesuatu yang pasti dan kuat seperti kuatnya tauhid itu sendiri. Justeru ia memerlukan hakikat tauhid dan keesaan-Nya. Nabi Muhammad SAW, telah menunaikan tugasnya dengan amanah dan sempurna. Kami akan menyatakan tiga contoh daripada bukti-bukti yang banyak sebagai dalil yang menunjukkan keagungan peribadinya dan menunjukkan kedudukannya yang tinggi. Contoh-contoh tersebut menjelaskan kewujudannya sebagai mentari seluruh alam semesta. Pertama: Selari dengan peraturan yang berbunyi, “Penyebab sesuatu tingkah laku sama seperti pelakunya.” Pahala kebaikan yang dilakukan oleh semua umat Nabi SAW diperoleh dan tertulis sama banyak dalam buku rekod kebajikan Nabi SAW sepanjang zaman. Justeru, fikirkan hasil dari salawat yang diucapkan umatnya yang setiap hari diterima dan naik ke atas. Ini melayakkan baginda memperoleh kedudukan agung yang layak baginya. Maka dari sini dapat difahami ketinggian darjatnya dan peribadinya yang secara keseluruhannya diibaratkan sebagai mentari alam semesta. Kedua: Hakikat perjalanan rohani Muhammad SAW: peribadi mulia dan fitrah yang sempurna menjadi sumber, benih, kehidupan tempat tumbuhnya pohon Islam yang subur. Ketinggian roh Rasul SAW bersumber dari peribadinya yang dengan keupayaannya yang luar biasa dalam perlaksanaan ibadahnya, zikir serta percakapannya yang kesemuanya menggambarkan ruh dan hakikat Islam. Justeru, kamu akan mengetahui ketinggian darjat kewalian Muhammad SAW dan penghambaannya yang istimewa, pada tingkatan darjat kekasih Allah SWT. Pada satu ketika dengan izin Allah SWT, seuntai kalimah suci Subhana Rabbiyal A’la (Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi) telah membukakan bagiku dalam salah satu solatku beberapa makna dan sinar yang kira-kira seperti pemahaman seluruh sahabat terhadap kalimat suci itu. Nilainya nampak jelas padaku lebih baik daripada ibadah satu bulan. Dari situ aku dapat memahami kedudukan agung dan darjat mulia yang ada pada para sahabat. Hakikat itu bermaksud, cahaya dan fadilat yang bersumber dari kalimat-kalimat suci pada permulaan pertumbuhan Islam memiliki keistimewaan khusus. Kelainannya yang begitu berbeza membawa keterujaan yang begitu lembut dan segar namun seiring dengan masa yang berlalu cahayanya beransur redup dan lenyap ditutupi hijab kelalaian. Dengan keupayaannya yang luar biasa, Muhammad SAW telah menerima kalam suci secara terus dan segar dari sumber yang paling suci lagi Mulia. Justeru baginda mampu memperoleh limpahan cahaya dari sebuah tasbihnya setara dengan ibadah yang dilakukan oleh orang awam selama satu tahun. Dari sini, dapat difahami bahawa darjat Muhammad SAW dapat meningkat ke tingkatan kesempurnaan yang tak terhingga. Ketiga: Manusia itu berada di seputar tujuan Penciptaan alam semesta. Mereka adalah makhluk yang dipersiapkan untuk menerima wahyu Ilahi. Muhammad SAW adalah di antara makhluk-Nya yang paling terkemuka dan paling terkenal kemuliaannya. Amal dan kejayaannya menjadi saksi terhadap kesempurnaannya dan kemuliaannya yang luar biasa. Allah SWT Yang Maha Esa dan Agung yang telah menyiapkan Rasul-Nya yang tercinta untuk kedudukan ini, telah memberikan kepada baginda berbagai cahaya dan kesempurnaan yang tidak terhingga. Terdapat banyak lagi petunjuk seumpama tiga dalil di atas yang menunjukkan peribadi Muhammad SAW sebagai mentari alam semesta. Selain itu, peribadi baginda merupakan ayat agung dari al-Quran alam semesta ini, nama agung dari al-Furqan iaitu Pembeza antara Yang Benar dengan Yang Batil. Beliau juga merupakan cermin yang memantulkan manifestasi cahaya nama al-Fard Allah azza wa jalla, Tuhan yang Maha Satu. Kâinatın umum zerratının umum zamanlarındaki umum dakikalarının bütün âşirelerine darbedilip, hasıl-ı darb adedince o Zat-ı Ahmediye’ye salât ü selâm, nihayetsiz hazine-i rahmetinden inmesini, Zat-ı Ferd-i Ehad-i Samed’den niyaz ediyoruz. سُب۟حَانَكَ لَا عِل۟مَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّم۟تَنَٓا اِنَّكَ اَن۟تَ ال۟عَلٖيمُ ال۟حَكٖيمُ Terjemahannya: “Maha Suci Engkau! Tiada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah 2:32)
Jawapan kepada persoalan-persoalan seperti Apakah kehidupan? dan Apakah hakikat dan tujuannya? yang menjadi manifestasi nama Allah, al-Hayy iaitu Yang Maha Hidup dan Menghidupkan ini adalah seperti berikut. Kehidupan adalah: Tujuan paling penting bagi alam semesta. Hasil karya paling agung. Cahayanya yang paling bersinar. Pembangun yang paling halus. Intipati yang paling murni. Buah yang paling sempurna. Kesempurnaan yang paling tinggi. Keindahan yang terbaik. Perhiasan yang paling cantik. Rahsia keesaannya. Ikatan kesatuannya. Sumber kesempurnaannya. Unsur bernyawa yang paling mengagumkan dari segi ciptaan dan fitrah semula jadinya. Hakikat menakjubkan yang mengubah makhluk terkecil menjadi sebuah alam semesta. Di samping mewakili alam semesta dalam makhluk hidup yang kecil tadi, dan menjadi seperti sebuah indeks bagi alam semesta yang besar dalam makhluk itu, ia merupakan mukjizat seni Ilahi yang menghubungkan makhluk bernyawa kepada semua makhluk hidup yang lain dan membuatnya seperti miniatur alam sejagat yang lengkap. Seni Ilahi mengkagumkan yang mempamerkan bahagian kecil pada skala terbesar yang memperlihatkan alam semesta ini sebagai satu kewujudan yang tidak boleh dibelah-bahagikan dan tidak menerima sebarang sekutu dalam dominasinya. Bukti paling cemerlang, paling tegas, paling sempurna yang menjadi saksi atas wajibnya kewujudan Allah Yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. Artifak Ilahi paling ringan, paling jelas, paling berharga dan paling banyak melimpah-ruah, paling murni, paling bersinar dan ia merupakan sulaman paling bermakna dari seni halus Dia Yang Maha Esa. Sebuah manifestasi Rahmat Ilahi paling anggun, paling halus dan paling lembut yang membuatkan semua makhluk menjadi seperti pelayannya. Cermin komprehensif yang memantulkan semua atribut Ilahi. Ciptaan Tuhan yang ajaib mencakupi manifestasi nama-nama Allah Yang Indah seperti ar Rahman (Yang Maha Mengasihi), ar-Razzaq (Yang Maha Memberi Rezeki), ar-Rahim (Yang Maha Penyayang), al-Karim (Yang Maha Pemurah) dan al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) yang membuatkan berbagai hakikat yang kelihatan seperti masalah rezeki, hikmah, perhatian, dan kasih sayang tunduk kepadanya dan menjadi punca dan sumber bagi munculnya seluruh perasaan, seperti melihat, mendengar, dan merasa. Mesin transformasi yang ada dalam bengkel alam semesta membuat kerja-kerja pembersihan berterusan di keseluruhan kawasan, memurnikan, menggalakkan pertumbuhan dan memberi sinaran. Jasad dan kehidupan dalamnya ibarat rumah tamu, sekolah dan bangunan tempat latihan yang memberikan cahaya kepada rombongan zarah dan atom bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas. Ia merupakan cara Allah Yang Maha Hidup dan Menghidupkan, menyinari alam dunia yang gelap dan fana ini menjadi seperti tetap dan kekal untuk menyediakannya menuju ke alam yang kekal abadi. Dua wajah kehidupan iaitu al-mulk (alam nyata) dan alam malakut yang begitu bersinar, bersih, tanpa kotoran atau sebarang kecacatan. Ia merupakan makhluk istimewa yang berbeza dari makhluk yang lainnya. Tidak ada sebab-sebab lahiriah yang ditempatkan sebagai hijab bagi kekuasaan Ilahi tersebut sebagaimana yang lain. Ini menunjukkan kewujudannya terus dari kuasa Ilahi tanpa hijab dan perantara. Hakikat kehidupan adalah cahaya yang mengarah kepada makna enam rukun iman secara terus dan secara tersirat. Hakikat yang menunjukkan kewujudan Allah Wajibul wujud dan kehidupan-Nya yang abadi. Bukti kewujudan alam akhirat, dan kehidupan yang abadi. Membuktikan kewujudan malaikat. Mengarah pada pembuktian seluruh rukun iman yang ada. Intisari paling suci yang berasal dari seluruh alam, ia juga adalah rahsia terbesar yang melahirkan rasa syukur, ibadah, pujian, dan cinta yang merupakan rangkaian matlamat Ilahi yang terpenting, serta hasil paling utama bagi penciptaan alam semesta ini. Perhatikan dua puluh sembilan ciri-ciri kehidupan yang signifikan di atas. Kemudian lihat dan renungkan peranan penting dan menyeluruh di sebalik nama al-Muhyi (Dzat Yang Maha Menghidupkan), dan keagungan nama al-Hayy (Yang Maha Hidup). Cuba fahami bagaimana nama al-Hayy dilihat dari ciri kehidupan yang agung itu serta dari buah dan hasilnya. Fahami juga bahawa oleh kerana kehidupan ini merupakan tujuan besar dan hasil agung serta buah paling berharga bagi alam, tentu saja kehidupan ini harus memiliki tujuan yang sebesar alam dan hasil yang agung. Sebagaimana buah merupakan hasil dari pohon, hasil dari buah itu pula merupakan pohon yang akan tumbuh dari benihnya. Ya, seperti mana tujuan dan hasil dari kehidupan ini adalah kehidupan yang abadi, begitulah salah satu buahnya adalah syukur kepada pemberi kehidupan, yaitu mencintai, mentaati dan beribadah kepada Dzat Yang Maha Hidup dan Menghidupkan. Rasa syukur, cinta, pujian, dan ibadah tersebut merupakan buah kehidupan sekaligus sebagai tujuan alam semesta. Ketahuilah bahawa kejahilan, penafian serta kekufuran mereka yang membatasi tujuan hidup mereka untuk kesenangan, kelalaian serta memenuhi kehendak hawa nafsu, sesungguhnya mereka telah meremehkan nikmat yang mahal. Yakni nikmat kehidupan, nikmat perasaan dan nikmat akal. Mereka menghina, mengingkari malah mengkufuri nikmat Allah SWT tersebut.
Untuk menjelaskan tingkatan, sifat dan tugas kehidupan sepertimana yang telah disebutkan di dalam indeks Tanda Pertama yang merupakan manifestasi penuh dari nama al-Hayy (Yang Maha Hidup) dan Al-Muhyi (Yang Menghidupkan), memerlukan penjelasan dan penghuraian sebanyak ciri-ciri kehidupan. Ia telah dijelaskan didalam beberapa bahagian Risalah An-nur yang lain. Maka kami sarankan anda membacanya untuk beberapa huraian, dan di sini kami hanya akan menjelaskan beberapa lagi huraian yang lainnya. Pada ciri kehidupan yang kedua puluh tiga dari dua puluh sembilan ciri tersebut, dinyatakan bahawa dua wajah kehidupan itu bersinar, bersih, tanpa kotoran dan suci. Tidak ada sebab-sebab zahir yang ditempatkan sebagai hijab bagi kekuasaan Ilahi tersebut. Ya, apa yang dimaksudkan adalah seperti berikut: Sesungguhnya setiap sesuatu yang ada di alam ini mengandungi kebaikan dan keindahan. Oleh kerana kejahatan dan keburukan merupakan dua hal yang kecil, dan dijadikan sebagai unit ukuran bagi memperlihatkan berbagai tingkatan kebaikan dan keindahan yang menyatakan dan menggandakan hakikatnya, dari sudut pandang ini, kejahatan menjadi sebahagian dari kebaikan, dan keburukan menjadi sebahagian dari keindahan. Dan sebab-sebab zahir telah dicipta sebagai tirai untuk ketentuan atau kuasa Ilahi supaya keluhan dan kemarahan yang timbul dari apa yang dilihat menggunakan penglihatan zahir para makhluk hidup yang dianggap sebagai keburukan, kejahatan, bala dan malapetaka tidak ditujukan kepada Al-Hayyul Qayyum. Dan supaya kuasa keramat yang mulia lagi suci dan agung tidak dianggap sebagai perkara yang kotor dan keji yang akan menerima murka kuasa kudrat ilahi. Dalam permulaan bahagian kedua dari Kalimat kedua puluh dua, kami telah menyebutkan bahawa berkenaan dengan tugas pencabutan nyawa, Izrail bermunajat kepada Tuhan: “Wahai Tuhan, sesungguhnya para hamba-Mu akan murka kepadaku.” Kemudian Tuhan pun menjawab: “Aku akan meletakkan tirai penyakit dan musibah antara tugasmu dengan kematian, dengan itu mereka akan melemparkan anak panah keluhan dan bantahan bukan kepadamu, tetapi kepada tirai tersebut.” Sesuai dengan rahsia munajat ini, tugas Izrail a.s. yang berhijab adalah seperti sebab-sebab zahir yang lain yang menjadi hijab kudrat Ilahi, agar keluhan dan kemarahan orang-orang yang tidak melihat wajah indah dan hakiki kematian dan tidak mengetahui rahmat yang terjelma di dalamnya tidak tertuju kepada Dzat yang suci, al-Hayyul Qayyum. Ya, kehormatan dan kebesaran-Nya mengharuskan kewujudan penyebab lahiriah sebagai hijab yang menutupi kekuasaan Ilahi dalam pandangan akal manusia, tetapi keagungan dan keesaannya menuntut agar sebab-sebab lahiriah menarik tangannya dari kenyataan hakiki. Walau bagaimanapun, oleh kerana kedua-dua wajah kehidupan zahir dan batin adalah bersih dari sebarang kotoran, kecacatan dan kesalahan, maka tidak ada sesuatu yang menyebabkan timbulnya keluhan dan bantahan, pada keduanya juga tidak ada sebarang noda atau keburukan yang berlawanan dengan kehormatan dan kesucian Ilahi. Oleh itu, wajah kehidupan diserahkan terus tanpa hijab kepada Al-Hayyu Al-Qayyum sebagai nama yang memberi kehidupan, pemulih dan yang membangunkan. Cahaya juga sama, begitu juga kewujudan dan penciptaan. Oleh kerana itu, penciptaan dan kewujudan ditunjukkan secara langsung tanpa hijab kepada kekuasaan Allah Yang Maha Gemilang (Zuljalal). Malah hujan yang merupakan sejenis kehidupan dan rahmat, tidak ditentukan waktu turunnya agar tangan-tangan hamba-Nya diangkat untuk senantiasa mengetuk pintu rahmat-Nya dan berdoa di saat memerlukan. Sebab seandainya hujan turun menurut hukum tertentu seperti terbit dan terbenamnya matahari para makhluk tidak akan berdoa untuk meminta kehadiran hujan tersebut tatkala diperlukan.
Dalam ciri kehidupan yang kedua puluh lapan telah dijelaskan bahawa kehidupan ini mengarah kepada hakikat dari enam rukun iman yang ada. Hayat, imanın altı erkânına bakıp ispat ediyor, onların tahakkukuna işaretler ediyor. Ya, oleh kerana kehidupan ini adalah hasil dan buah alam semesta paling utama serta merupakan tujuan penciptaannya, maka tentu saja hakikat yang mulia itu tidak hanya terbatas kepada kehidupan dunia yang fana, singkat, terbatas, dan menyakitkan ini sahaja. Matlamat serta hasil bagi pohon kehidupan, keagungannya yang difahami dari dua puluh sembilan ciri kehidupan, tidak lain adalah untuk kehidupan abadi dan kehidupan akhirat; kehidupan yang mana semua batu, tanah, dan pohonnya hidup di negeri kebahagiaan abadi. Jika tidak, pohon kehidupan yang tersedia dengan berbagai kelengkapan yang banyak itu menjadi sia-sia tanpa buah, manfaat, tujuan dan hakikat bagi makhluk berakal khususnya manusia. Selain itu manusia yang memiliki organ tubuh dan modal kehidupan dua puluh kali lebih tinggi dan banyak daripada burung pipit, yang merupakan makhluk paling mulia dan penting di dunia ini akan jatuh lebih rendah daripada burung pipit dari segi kebahagiaan hidup dan berada dalam penderitaan serta kehinaan yang amat malang. Tambahan pula, dengan memikirkan berbagai kesedihan yang telah berlalu dan merisaukan sesuatu yang belum berlaku, akal iaitu nikmat yang paling berharga akan berterusan melukakan kalbu. Ini kerana dia mencampuri sebuah kenikmatan dengan sembilan penderitaan, sehingga menjadi musibah yang beratus kali ganda menderitakan. Tentu saja perkara seperti ini sangat tidak mungkin. Kehidupan di dunia ini dengan sangat tegas menunjukkan rukun iman mempercayai pada hari akhirat dan ia memperlihatkan kepada kita lebih dari tiga ratus ribu contoh kebangkitan pada setiap musim bunga. Tuhan Yang Maha Berkuasa telah menyediakan segala keperluan dan peralatan kehidupan untuk anggota tubuh badan, kebun dan tanah airmu dengan penuh hikmah, rahmat dan kasih sayang. Dia mengutuskan segala yang kamu perlukan tepat pada waktu yang sesuai dengan keperluanmu. Dia mengetahui dan mendengar sekecil-kecil doa yang khusus misalnya doa perutmu terhadap sesuatu yang dapat menjaga untuk kelangsungan hidupmu. Dia menampakkan maklum balas-Nya terhadap keperluan perut itu dengan kurniaan berbagai jenis makanan lazat yang tak terhingga jumlahnya bagi menunjukkan penerimaan-Nya terhadap doa yang dipanjatkan kepada-Nya. Sehubungan itu, apakah mungkin Dzat Yang Berkuasa itu tidak nampak dan mengenalmu? Tidak memberitahumu persediaan penting untuk kehidupan abadimu yang merupakan tujuan utama kehidupan ini? Adakah mungkin Dia tidak menerima doa yang paling mendesak, paling penting, dan paling menyeluruh, iaitu doa untuk terus kekal abadi yang selayaknya dijawab dengan penciptaan syurga dan akhirat? Mungkinkah Dia tidak mendengar doa manusia yang paling mulia bahkan penguasa di bumi ini seperti ia mendengar doa perut yang kecil? Mungkinkah Dia tidak mendengar doa yang paling kuat, paling komprehensif yang datang dari lubuk hati manusia sehingga menggetarkan seluruh isi alam dan Arasy, sehingga manusia tidak berasa puas menyebabkan manusia itu mendustakan apa yang disediakan untuknya atas hikmah kebijaksanaan-Nya yang sempurna dan rahmat-Nya yang mutlak? Pasti itu semua sangat tidak mungkin. Adakah logik bagi-Nya yang mendengar suara halus dari makhluk hidup yang kecil, mendengar keluhannya, memberikan penawar, menjawab segala kehendak, memeliharanya dengan nutrien yang sempurna, membuat ciptaan-Nya yang lain memberi khidmat penuh perhatian dengan menundukkan untuknya makhluk terbesar di alam ini; tetapi pada waktu yang sama Dia tidak mendengar suara nyaring bak guruh di langit yang diucapkan oleh makhluk-makhluk hidup paling hebat, paling mulia, paling lemah lembut, dan paling berkekalan? Logikkah bagi-Nya untuk tidak mendengar doa makhluknya yang amat kuat, amat penting iaitu doa untuk hidup kekal abadi? Seperti orang yang penuh semangat mempersiapkan kelengkapan seorang tentera, namun tidak sama sekali memperdulikan pasukan yang tunduk patuh kepadanya. Juga seperti orang yang melihat sebutir atom tetapi tidak melihat matahari. Mungkin seperti orang yang mendengar nyamuk berdengung namun tidak mendengar guruh di langit. Sesungguhnya ini sangat tidak masuk akal. Adakah akal dapat menerima bahawa Dzat Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana yang memiliki cinta, kasih sayang dan rahmat yang luas, yang sangat mencintai seni ciptaan-Nya, yang membuatkan Dia dicintai oleh makhluk- Nya, yang sangat mencintai hamba-Nya yang mencintai-Nya, akan melenyapkan kehidupan orang yang sangat Dia cintai? Orang yang sangat dikasihi dan secara fitrah mencintai Penciptanya? Apakah masuk akal bagi-Nya melenyapkan roh, inti dan substansi kehidupan? Adakah Dia akan memisahkan diri-Nya, memurkai makhluk yang sangat dicintai-Nya, sahabat abadi-Nya, menyakitinya sehingga menafikan rahsia rahmat-Nya dan cahaya cinta-Nya? Naúzubillah! Tidak mungkin Dzat Yang Maha Indah yang dengan manifestasinya telah menghiasi alam semesta ini dan Dzat Yang Maha Pengasih yang telah membuat seluruh makhluk bahagia, sudah tentu bebas dari segala keburukan dan jauh tinggi dari kezaliman mutlak dan keburukan sebegitu. KESIMPULAN Oleh kerana terdapat kehidupan di dunia ini, mereka yang memahami rahsia kehidupan serta tidak menyalahgunakannya pasti layak untuk mendapat kehidupan abadi di negeri yang kekal, di syurga yang abadi. Inilah yang kita yakini! Objek yang bergemerlapan di permukaan bumi hasil pantulan cahaya matahari serta buih-buih di lautan yang hilang gemerlapnya tatkala mentari terbenam, dengan jelas memperlihatkan kepada kita bahawa sinaran yang bergemerlapan tersebut tidak lain merupakan manifestasi pantulan sebuah matahari yang tinggi. Mereka semua, dengan lisan yang berbagai ragam, berzikir mengingat kewujudan matahari tersebut serta menunjuk kepadanya dengan jari-jemari cahaya. Dengan cara yang sama, melalui manifestasi dari nama al-Hayyu milik Dzat Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri, Dia memancarkan cahaya kehidupan kepada makhluk di bumi dan di lautan, dari sinaran kuasa Ilahi. Kemudian bagi memberi laluan untuk kehidupan yang lain selepas mereka, maka semua makhluk itu pun lenyap di sebalik tirai ghaib menuju alam yang lain. Semua itu menjadi saksi dan petunjuk yang menegaskan kewujudan Allah al-Wajibul Wujud, al-Hayyu al-Qayyum yang memiliki kehidupan yang abadi. Tambahan pula, semua bukti menunjukkan ilmu Ilahi memberi kesan yang jelas dalam penyusunan makhluk. Dan semua bukti itu menunjukkan kuasa- Nya untuk melenyapkan alam semesta serta menunjukkan kehendak-Nya dan pilihan-Nya mentadbir dan memberi arah tuju bagi seluruh alam semesta. Semua tanda-tanda serta mukjizat membuktikan misi para rasul, saluran wahyu Ilahi dan ucapan Ilahi yang dominan. Dan kesemua bukti-bukti tersebut bersaksi terhadap tujuh atribut Ilahi yang sebulat suara menunjukkan, memberi makna dan mengesahkan kehidupan daripada al-Hayyu Yang Maha Hidup dan Yang Maha Berdiri Sendiri. Ini kerana jika seseorang itu dapat melihat, itu bermakna dia hidup. Jika dia mendengar, itu isyarat bahawa dia hidup. Dan jika dia boleh berkata-kata, itu adalah petanda kehidupannya. Jika dia mempunyai kehendak dan pilihan, itu juga merupakan bentuk kehidupan. Jadi, sifat Tuhan seperti berkuasa mutlak, berkehendak mutlak, dan mengetahui secara sempurna, serta semua dalil dan tandanya, dapat dilihat dan boleh diketahui secara jelas berdasarkan ciptaan dan kesan kejadian di alam semesta ini. Semua itu menjadi bukti atas kehidupan serta wajibnya wujud al-Hayyu al-Qayyum – Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri. Dalam masa yang sama, semua itu menjadi saksi ke atas kehidupan-Nya yang abadi yang menyinari seluruh alam semesta dan menghidupkan negeri akhirat dari sebuah bayangan dan satu pancaran manifestasi-Nya hatta dari atom-atom. Kehidupan juga melihat keimanan kepada malaikat dan membuktikannya secara tersirat. Kehidupan ini adalah hasil alam semesta yang paling utama dan makhluk hidup merupakan entiti yang paling banyak tersebar luas. Oleh kerana nilai mereka yang berharga, mereka terus-menerus dihasilkan lagi secara bergiliran ada yang meninggalkannya dan yang baharu pun akan datang. Oleh kerana bola bumi ini telah dipenuhi oleh begitu banyak makhluk hidup, bumi ini pun menjadi makmur oleh mereka. Di samping itu bola bumi ini merupakan tempat aliran berbagai jenis makhluk hidup, ia didatangi dan ditinggalkan melalui proses pembaruan dan reproduksi yang berlangsung terus-menerus. Makhluk- makhluk hidup itu dijadikan dengan sangat banyak hingga bola bumi ini pun menjadi pertunjukkan makhluk hidup secara umum walaupun di tempat yang kotor dan busuk menjadi pembiakan mikro-organisma. Intipati sinaran kehidupan yang paling suci iaitu perasaan, akal, dan ruh yang halus diciptakan dalam jumlah yang sangat banyak di bumi ini sehingga seolah-olah bumi ini hidup dan menjadi indah dengan adanya kehidupan, akal, perasaan, dan ruh yang menghuninya. Berdasarkan perkara itu, tentu benda-benda langit yang jauh lebih halus, lebih bercahaya, dan lebih besar dari bumi bukan benda mati yang tidak bernyawa, tidak memiliki ruh dan tidak sedar. Itu adalah di luar batas kemungkinan. Maksudnya, selari dengan misteri kehidupan, pasti ada kehidupan di langit, yang menghiasi matahari dan bintang, yang mengisi kehidupan di dalamnya, yang mencerminkan hasil dan buah penciptaan langit. Mereka dikurniakan kehidupan yang sesuai dan disampaikan ucapan Ilahi. Mereka itu adalah para malaikat. Kehidupan juga melihat keimanan kepada para rasul dan membuktikannya secara tersirat. Ya. Alam ini telah diciptakan demi kehidupan. Kehidupan tersebut merupakan manifestasi paling agung dari al-Hayyu al-Qayyum - Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri. Karya ciptaan-Nya yang paling sempurna dan hasil seni-Nya yang paling indah. Kehidupan-Nya yang abadi dan kekal diketahui dan ditunjukkan melalui perutusan para rasul serta wahyu dari kitab suci yang diturunkan kepada mereka. Seandainya para rasul dan kitab suci-Nya tidak ada, maka kehidupan yang Azali itu juga tidak akan diketahui. Sebagaimana ucapan seseorang menunjukkan bahawa dia wujud dan hidup, begitu juga dengan para nabi dan rasul dengan kitab suci yang diturunkan kepada mereka untuk menyampaikan perintah, larangan dan ucapan dari kalimat Ilahi dari alam ghaib di balik tirai alam. Jadi, sudah tentu sebagaimana kehidupan di alam semesta ini memberikan kesaksian yang tegas tentang kewujudan yang diperlukan dari Dzat Yang Maha Hidup Abadi, ia juga melihat kepada rukun-rukun mempercayai perutusan para rasul serta penurunan kitab suci yang merupakan sinar, manifestasi dan komunikasi dari Yang Maha Hidup Kekal Abadi. Dan oleh kerana perutusan kerasulan Muhammad SAW dan wahyu al-Quran berkedudukan seperti roh dan akal kehidupan, maka dapat dikatakan bahawa kebenaran keduanya sangat kuat dan pasti seperti kepastian kewujudan kehidupan itu sendiri. Kehidupan ini merupakan intipati yang tersaring dari alam semesta. Kesedaran dan persepsi akal pula adalah intipati yang tersaring dari kehidupan, manakala kecerdasan pula adalah intipati yang tersaring dari kesedaran dan persepsi akal. Semangat pula adalah zat kehidupan yang suci dan terlindung, hakikatnya stabil dan merdeka. Begitu juga kehidupan jasmani dan rohani Muhammad SAW adalah inti sari kehidupan dan ruh alam semesta. Sesungguhnya, kehidupan fizikal dan rohani Muhammad SAW adalah melalui kesaksian jejak karya-karyanya, kehidupan Muhammad SAW adalah kehidupan bagi alam semesta. Risalah Muhammad SAW adalah kesedaran dan cahaya kesedaran itu adalah bagi alam semesta. Sementara itu, wahyu al-Quran merupakan roh atau semangat bagi kehidupan alam semesta dan akal bagi kesedaran alam. Maka itu, ya, ya dan ya! Apabila cahaya risalah Muhammad SAW meninggalkan alam semesta, maka alam ini pun menjadi mati. Apabila al-Quran lenyap meninggalkan alam semesta, alam semesta akan menjadi gila, bumi kehilangan akal, tidak lagi memiliki perasaan, akan melanggari salah satu planet angkasa, justeru terjadilah hari kiamat. Kehidupan juga melihat keimanan kepada takdir Ilahi dan membuktikannya secara tersirat. Kehidupan merupakan cahaya bagi alam nyata ini. Cahaya itu menyinari dan mendominasi kehidupan. Ia menjadi hasil dan tujuan kewujudan. Ia adalah cermin yang luas bagi Pencipta alam. Ia juga adalah contoh paling sempurna dan daftar aktiviti terlengkap bagi peristiwa ketentuan Ilahi — sehingga kalau tidak ada kesilapan boleh diumpamakan seolah-olah seperti sebuah program dalam misteri kehidupan yang memerlukan kewujudan makhluk alam ghaib dari masa lalu dan masa mendatang, iaitu kewujudan makhluk masa lalu dan masa depan dalam sebuah kehidupan yang teratur dalam keadaan yang diketahui, dapat dilihat, jelas sebagai kehidupan individu yang khusus sedia menerima segala perintah Ilahi. Biji benih asal sebuah pohon beserta akarnya dan biji yang terkandung dalam buah dan hasil akhirnya adalah manifestasi sebuah kehidupan tidak kurang seperti pohon itu sendiri. Malah benih tersebut memiliki cara hidup yang lebih rumit dibandingkan kaedah kehidupan pohon tadi. Sebagaimana benih yang ditinggalkan oleh musim luruh yang lepas sebelum datangnya musim bunga kali ini serta benih dan akar yang akan ditinggalkan oleh musim bunga kali ini untuk kehidupan pada musim-musim bunga yang mendatang telah berpisah pergi, begitulah pohon alam mempunyai masa lalu dan masa depan seperti musim bunga kali ini. Mereka tertakluk kepada peraturan kehidupan. Dengan cara yang sama setiap ranting dan cabang terdiri dari sinaran pokok yang berbagai peringkat dan keadaan dengan masa depan dan masa lalu. Setiap jenis dan setiap bahagian terdiri daripada rangkaian yang berbagai keadaan dan peringkat. Kewujudan dan peringkat kehidupan yang berbagai keadaan bagi setiap spesis dan anggota setiap spesis itu pula wujud berdasarkan apa yang ditentukan dalam pengetahuan Ilahi dengan membentuk sebuah rangkaian kehidupan dari pengetahuan Ilahi. Kewujudannya, sama seperti kewujudan luarannya, adalah dari manifestasi kehidupan sejagat yang ditentukan dari lembaran takdir kehidupan yang menerima manifestasi kehidupan yang memiliki makna agung. Alam arwah ialah salah satu jenis alam ghaib. Ia diisi oleh banyak ruh yang terdiri daripada intipati dan bahan kehidupan dari substansi kehidupan itu sendiri. Alam ini menuntut dan memerlukan keberadaan masa lalu dan masa depan sebagai salah satu jenis alam ghaib yang menampilkan kehidupan lepas dan akan datang iaitu satu bentuk lagi alam ghaib dan segmennya yang kedua adalah harus menerima manifestasi kehidupan. Susunan yang sempurna, keadaan yang penuh makna serta hasil dan peringkat kehidupan yang tetap dalam lingkungan kewujudan pengetahuan Ilahi juga menunjukkan manifestasi seperti sebuah kehidupan. Manifestasi kehidupan seperti ini yang merupakan cahaya yang terpancar daripada mentari kehidupan abadi tidak hanya terbatas pada masa sekarang dan kewujudan lahiriah sahaja. Tetapi setiap alam wujud dari manifestasi cahaya tersebut sesuai dengan kemampuan penerimanya. Dan jagad raya, bersekali dengan semua alamnya adalah sesuatu yang hidup, disinari manifestasi kehidupan itu. Jika tidak, dalam pandangan orang yang sesat, setiap alam tadi adalah ibarat jenazah besar yang menakutkan yang berada di bawah kehidupan lahiriah yang bersifat sementara. Demikianlah, satu aspek kehidupan yang luas dari keimanan terhadap qada dan qadar dapat difahami secara jelas melalui misteri kehidupan alam nyata yang mapan. Sama seperti entiti yang nampak secara jelas susunannya yang teratur dan kewujudan hasilnya, begitulah dengan seluruh makhluk pada masa lepas dan akan datang yang dianggap sebagai alam gaib memiliki wujud secara abstrak, hidup, dan memiliki roh dalam pengetahuan Ilahi. Atas nama takdir, jejak kehidupan maknawi tadi terlihat melalui lembaran qada dan qadar.
Pada ciri kehidupan yang keenam belas telah disebutkan bahawa tatkala kehidupan memasuki sesebuah entiti, kehidupan itu akan menjadikan entiti tersebut seperti sebuah alam seukuran zatnya. Kehidupan tersebut akan memberikan sifat komprehensif sehingga menjadikannya bersepadu dan menyeluruh walaupun asalnya hanya sebahagian kecil; dan meluas walaupun hanya terdiri daripada satu cabang yang kecil. Ya, kehidupan memiliki sifat meluas yang merupakan cermin keesaan Ilahi yang komprehensif, yang memperlihatkan pada dirinya sebahagian besar nama-nama Tuhan yang terjelma pada seluruh alam. Tatkala kehidupan tersebut masuk ke dalam jasad, kehidupan itu akan mengubahnya menjadi miniatur alam. Kehidupan itu mengubahnya menjadi seakan-akan benih yang menjadi indeks merangkumi pohon kehidupan. Sebagaimana benih merupakan hasil dari kekuasaan yang mencipta pohonnya, begitulah Dzat yang mencipta sekecil-kecil makhluk hidup itu tentulah Dia juga Pencipta seluruh alam. Justeru, melalui cermin keesaan Ilahi yang komprehensif ini, kehidupan menampilkan misteri keesaan Ilahi yang tersembunyi pada dirinya. Iaitu, sebagaimana matahari yang besar hadir pada setiap titisan dan serpihan kaca yang mengadapnya dengan cahaya dan pantulan tujuh warnanya, begitulah juga nama dan sifat Ilahi yang merangkumi alam termanifestasi pada setiap makhluk hidup. Dari perspektif ini, kehidupan membuat pemeliharaan dan penciptaan alam menjadi satu kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Sesuatu yang universal bersifat menyeluruh. Memecahkannya kepada bahagian-bahagian yang boleh dikongsi bersama adalah sesuatu yang mustahil. Ya, tanda pada wajahmu jelas menunjukkan bahawa Dzat yang telah menciptamu adalah Dzat yang mencipta segala jenis manusia. Ini kerana fitrah penciptaan manusia itu sama dan tidak mungkin berlainan. Ia tidak boleh dipecah-pecahkan. Begitu juga dengan alam semesta ini. Melalui proses kehidupan, bahagian-bahagian alam semesta serupa seperti bahagian-bahagian individu manusia. Alam semesta seperti spesisnya. Proses kehidupan memperlihatkan tanda keesaan Tuhan pada seluruh alam, sama juga pada setiap individu. Justeru, penolakan sekutu bagi-Nya terbukti dalam pelbagai cara. Seterusnya, dalam kehidupan ini terdapat mukjizat luar biasa yang dicipta Allah SWT. Kuasa yang sama itu juga mencipta alam ini. Jika kuasa itu tidak mampu mencipta alam semesta tentu ia tidak dapat mencipta makhluk terkecil sekalipun. Ya, pena yang telah menulis daftar indeks bagi isi perkembangan kehidupan pohon pain yang besar pada benihnya yang kecil, seperti menulis keseluruhan al-Quran pada biji kacang kuda sudah pasti adalah pena yang telah menghias lembaran langit dengan bintang gemintang. Dzat yang memasukkan ke dalam kepala lebah yang kecil, sebuah potensi yang membolehkannya mengetahui bunga-bunga dalam taman yang terdapat di seluruh alam semesta, kemampuan untuk bergabung dengan alam dan penghuni dari jenisnya sendiri sehingga dapat menghasilkan hadiah dari rahmat Ilahi seperti madu serta mengetahui garis hidupnya sejak awal kedatangannya dalam kehidupan ini tentulah Tuhan yang telah mencipta seluruh alam. Ringkasan: Kehidupan merupakan salah satu tanda tauhid yang bersinar di alam semesta. Begitu juga dengan semua makhluk yang bernyawa dari segi kehidupannya adalah lambang keesaan Ilahi. Seni dan ciptaan pada setiap makhluk membentuk tanda kekal dari pemberian Ilahi. Dan semua makhluk hidup, melalui cara hidup mereka, mengiyakan lembaran alam sekaligus menyatakan bahawa segalanya itu berasal dari al-Hayyu al-Qayyum, Dzat Yang Maha Satu dan Esa. Sepertimana setiap makhluk hidup menjadi tanda keesaan Tuhan yang terdapat pada kitab alam semesta, seperti sebuah kehidupan; begitulah tanda ketunggalan Ilahi ada pada kehidupan yang terletak pada wajah dan ciri setiap kehidupan. Selain itu, sepertimana kehidupan membentuk tanda yang menjadi saksi atas keesaan al-Hayy al-Qayyum sehingga bilangan makhluk tertentu yang bernyawa, tindakan membangkitkan dan menghidupkan kembali membenarkan tauhid sehingga jumlah entiti hidup yang ada. Proses menghidupkan kehidupan di bumi, yang merupakan salah satu contoh kebangkitan menjadi saksi jujur yang menegaskan kebenaran tauhid yang bersinar dengan cemerlang ibarat matahari. Contohnya, proses menghidupkan dan membangkitkan bumi pada setiap musim bunga, bermaksud membangkitkan tiga ratus ribu spesies beserta entiti kehidupan yang tak terkira jumlahnya. Semuanya dihidupkan secara bersamaan dalam kehidupan yang saling berkait, saling menyempurnakan, tersusun tanpa cacat cela. Dzat yang melakukan seluruh perbuatan rapi tersebut tentulah Dzat yang mencipta seluruh makhluk al-Hayy al-Qayyum yang menghidupkan seluruh makhluk bernyawa dan Yang Maha Berdiri Sendiri. Dia adalah Dzat Maha Esa yang sama sekali tidak memiliki sekutu dalam rububiyah-Nya. Penjelasan singkat mengenai ciri kehidupan di atas kami cukupkan sampai di sini. Adapun berbagai ciri lainnya beserta penjelasan terperincinya terdapat dalam beberapa bahagian Risalah al-Nur yang lainnya.
Al-Ismu al-A’zam (nama agung) tidaklah sama bagi setiap orang. Terdapat perbezaan bagi setiap individu. Misalnya bagi Imam Ali r.a. ialah enam nama Tuhan: Fard, Hayyu, Qayyum, Hakam, Adl, dan Quddus. Bagi Abu Hanifah an-Nu’man r.a., baginya dua nama Hakam dan Adl. Bagi Syaikh Abdul Qadir al-Jailani, bagi-Nya ialah al-Hayyu. Bagi Imam Rabbani (Ahmad al-Faruq as-Sirhindi) nama teragung bagi-Nya adalah al-Qayyum. Begitulah seterusnya, para ulama dan yang lainnya berpegang pada nama Tuhan teragung yang berbeza. Oleh kerana bahagian kelima ini secara khusus berbicara tentang nama al-Hayy, maka sebagai keberkatan, saksi, dalil, bukti suci dan doa buat kita, di sini kami tuliskan sebahagian dari munajat tersebut sebagai penutup yang membahagiakan untuk risalah ini, iaitu munajat Rasul SAW yang mulia dalam munajat yang tertinggi al-Jausyan al-Kabir. Munajat ini memperlihatkan pengetahuan makrifatnya yang sempurna dan komprehensif mengenai Allah SWT. Justeru marilah kita membayangkan zaman lampau lalu mengucap amin atas doa yang Rasul SAW panjatkan. Kita ucapkan munajat itu secara berulang-ulang di atas gema ucapan beliau: يَا حَىُّ قَب۟لَ كُلِّ حَىٍّ يَا حَىُّ بَع۟دَ كُلِّ حَىٍّ Wahai Yang Maha Hidup sebelum makhluk hidup ada; Wahai Yang Maha Hidup setelah makhluk hidup tiada; يَا حَىُّ الَّذٖى لَي۟سَ كَمِث۟لِهٖ حَىٌّ يَا حَىُّ الَّذٖى لَا يُش۟بِهُهُ شَى۟ءٌ Wahai Yang Maha Hidup yang tiada makhluk pun menyerupai-Nya; Wahai Yang Maha Hidup yang tiada satu pun yang sama dengan-Nya; يَا حَىُّ الَّذٖى لَا يَح۟تَاجُ اِلٰى حَىٍّ يَا حَىُّ الَّذٖى لَا يُشَارِكُهُ حَىٌّ Wahai Yang Maha Hidup yang tiada satu makhluk hidup pun menjadi sekutu-Nya; Wahai Yang Maha Hidup yang tiada keperluan pada selain-Nya; يَا حَىُّ الَّذٖى يُمٖيتُ كُلَّ حَىٍّ يَا حَىُّ الَّذٖى يَر۟زُقُ كُلَّ حَىٍّ Wahai Yang Maha Hidup Yang mematikan setiap yang hidup; Wahai Yang Maha Hidup yang memberi rezeki kepada setiap yang hidup; يَا حَىُّ الَّذٖى يُح۟يِى ال۟مَو۟تٰى يَا حَىُّ الَّذٖى لَا يَمُوتُ Wahai Yang Maha Hidup yang menghidupkan yang mati; Wahai Yang Maha Hidup yang tidak pernah mati; سُب۟حَانَكَ يَا لَٓا اِلٰهَ اِلَّا اَن۟تَ ال۟اَمَانُ ال۟اَمَانُ نَجِّنَا مِنَ النَّارِ اٰمٖينَ Maha Suci Engkau yang tiada Tuhan selain-Mu; Kami memohon keselamatan. Selamatkanlah kami dari neraka. Amin. سُب۟حَانَكَ لَا عِل۟مَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّم۟تَنَٓا اِنَّكَ اَن۟تَ ال۟عَلٖيمُ ال۟حَكٖيمُ Terjemahannya: “Maha Suci Engkau! Tiada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah 2:32)
AL-QAYYUM (Yang Maha Berdiri Sendiri) Cahaya Keenam dari Enam Cahaya Nama-Nya Yang Teragung Nama Allah Al-Qayyum (Yang Maha Berdiri Sendiri) Noktah ini membahaskan nama Allah al-Qayyum. [Ia adalah ringkasan Noktah kelima mengenai nama Yang Maha Berdiri Sendiri. Juga merupakan bahagian akhir kepada Nur Cemesi iaitu risalah Sumber Mata Air Nur. Noktah ini juga sesuai sebagai lampiran kepada Kalimat Ketiga Puluh.] Permohonan Maaf Berbagai persoalan yang sangat penting berkaitan manifestasi agung dari nama Allah, al-Qayyum terilham ke dalam kalbuku dalam bentuk kerdipan cahaya yang terpisah, jadi susunannya agak tidak teratur. Ia kekal sebagai tulisan yang tidak diubah susunannya, ditulis dengan cepat sebagai sebuah deraf kasar. Oleh yang demikian, terdapat banyak kekurangan dalam struktur ayat dan cara penyampaiannya. Oleh kerana itu, kamu harus memaafkan kekuranganku demi menjaga keindahan isi dan kandungan perkara yang dibincangkan. Peringatan Perkara yang bersangkutan tentang al-Ismu al-A’zam ini sangat luas sehingga ke tingkat yang tertinggi dan sangat mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan nama al-Qayyum Yang Maha Berdiri Sendiri, khususnya Kilau Cahaya Pertama . Seterusnya oleh kerana perkara ini melihat kepada golongan materialis secara terperinci dan mendalam, maka tidak semua orang dapat memahami segala permasalahan yang ada dari perspektif yang sama. Sungguhpun demikian, kami yakin bahawa setiap orang yang melihatnya pasti dapat mengambil manfaat darinya. Ada satu prinsip yang mengatakan, “sesuatu tidak harus diabaikan keseluruhannya, walaupun tidak dapat diperoleh kesemuanya.” Menurut prinsip tersebut, tidak munasabah bagi seseorang meninggalkan sebuah kebun yang penuh buah dengan berkata, “aku tidak mampu memetik kesemua buahnya”, kerana berapa sahaja buah yang mampu dipetik, buah yang dipetik itu akan bermanfaat. Sama juga seperti persoalan yang berkaitan dengan al-Ismu al-A’zam itu sangat luas sehingga tidak terjangkau oleh akal dan mengandungi berbagai perkara halus yang sulit difahami. Tidak semua akal dapat mencapai Noktah Kelima dan Noktah Keenam berkenaan nama al-Hayy dan al-Qayyum. Khususnya yang merujuk kehidupan yang mencakup semua rukun iman yang terdapat dalam nama al-Hayy pada Noktah Kelima, yang mengarah kepada beriman terhadap qada dan qadar dan ketentuan Ilahi. Namun demikian, setiap orang tidak mungkin akan kekal tanpa memperoleh sebarang manfaat yang dapat meningkatkan keimanan mereka. Kepentingan peningkatan iman yang merupakan kunci kebahagiaan abadi adalah sesuatu yang sangat utama. Peningkatan iman seukuran zarah pun merupakan satu khazanah. Imam Rabbani Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi menegaskan, “Tersingkapnya satu permasalahan kecil dari persoalan iman, adalah lebih baik daripada ratusan kenikmatan dan karamah pada pandanganku.” بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍ Terjemahannya: “Di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu.” (Yasin 36:83) لَهُ مَقَالِيدُ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ Terjemahannya: “Milik-Nyalah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi.” (Al-Zumar 39:63) وَاِنْ مِنْ شَىْءٍ اِلاَّ عِنْدَنَا خَزَاۤئِنُهُ Terjemahannya: “Dan tiada sesuatu pun, melainkan pada sisi Kamilah khazanahnya.” (Al-Hijr 15:21) مَا مِنْ دَاۤبَّةٍ اِلاَّ هُوَ اٰخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا Terjemahannya: “Tiada sesuatu pun makhluk bergerak (bernyawa) melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya (menguasainya).” (Hud 11:56) Pada satu bulan Zulkaedah, telah muncul dalam fikiranku cahaya mengenai ayat-ayat di atas yang merujuk kepada nama Allah al-Qayyum. Iaitu, satu manifestasi agung dari nama al-Qayyum yang merupakan al-Ismul al-A’zhom atau yang kedua dari dua cahaya dari nama Allah SWT yang teragung atau cahaya keenam dari enam cahaya al-lsmu al-A’zam. Situasiku di penjara Eskisehir pada waktu itu membuatkan aku tidak dapat menjelaskan berbagai cahaya tersebut dengan sempurna. Namun, Imam Ali r.a. telah memperlihatkan al-Ismu al-A’zhom dalam untaian syairnya yang dinamakan Urjuzah as-Sakinah, juga di dalam syairnya Jaljalutiyya. Imam Ali r.a. menjelaskan kedudukan istimewa enam nama Tuhan tersebut, di samping beberapa nama-nama Allah SWT yang indah adalah nama-nama paling agung dan paling utama. Aku memperoleh ketenangan luar biasa daripada perbincangannya mengenai nama-nama tersebut. Oleh itu, sama seperti lima nama-nama agung sebelumnya, kami akan menuju kepada penjelasan mengenai nama al-Qayyum, cahaya teragung dengan membahagikan penjelasan tersebut ke dalam lima kilauan cahaya dalam bentuk yang paling ringkas.
Pencipta alam Yang Maha Agung ini bersifat al-Qayyum. Maksudnya, Dia wujud dengan sendiri-Nya, kekal dengan sendiri-Nya, bertahan dengan sendiri-Nya. Segala sesuatu wujud dan kekal wujud berkat dari-Nya. Sekiranya hubungan antara alam dan Dzatal-Qayyum terputus walaupun sekadar sedetik, seluruh alam ini akan hancur binasa. Seterusnya, sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Quran al-Karim, Allah Yang Maha Agung beserta sifat Maha Qayyum: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ Terjemahannya: “Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia.” (Al-Syura 42:11) Dengan kata lain, tidak ada yang serupa dengan-Nya, tidak ada yang sama dengan-Nya, tidak ada yang mirip dengan-Nya, serta tidak ada sekutu bagi-Nya, baik dalam hal zat, sifat, mahupun segala perbuatannya. Ya, mustahil bagi Dzat Yang Maha Agung, Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri yang mampu menggenggam seluruh alam dalam rububiyyah-Nya dengan susunan, pentadbiran, penyenggaraan dan penjagaan yang sangat sempurna dan menakjubkan ibarat mentadbir sebuah istana atau rumah dengan begitu mudah, memiliki sekutu, pasangan atau tandingan yang sama. Itu sangat mustahil. Ya, sungguh mustahil bagi Dzat Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, yang dengan sangat mudah mampu mencipta bintang-bintang seperti mana Dia mencipta atom-atom yang kecil; Dzat yang dengan kekuasaan-Nya sesuatu entiti terbesar di alam semesta ini tunduk kepada-Nya seperti sesuatu entiti yang terkecil; Dzat yang tiada sesuatu tindakan pun menjadi halangan yang menghalangi tindakan yang lain; Dzat yang memandang satu entiti yang tidak terkira banyaknya sama seperti memandang satu entiti; Dzat yang mampu mendengar semua suara pada masa yang sama dan menjawab segala keperluan makhluk-Nya setiap waktu; Dzat yang tidak ada sesuatu pun yang terkeluar dari wilayah kehendak dan kemahuan-Nya dengan kesaksian berbagai keteraturan dan keseimbangan kehidupan di alam semesta; Dzat yang walaupun tidak dibatasi oleh sebarang tempat, Dia hadir di setiap tempat dengan kekuasaan dan ilmu-Nya; Dzat yang segala sesuatu sangat jauh dari-Nya namun Dia dekat dengan segala sesuatu; Dzat al-Hayy al-Qayyum Yang Maha Agung ini tentu tidak ada yang serupa dengan-Nya. Dia tidak memiliki apapun yang sepadan, sekutu, pembantu, pembangkang mahupun penyokong. Semua itu mustahil bagi-Nya. Semua urusan-Nya yang suci dan penuh hikmah, hanya dapat dilihat dalam perspektif perumpamaan dan kiasan. Semua jenis perumpamaan, kiasan, dan andaian yang terdapat dalam Risalah Nur adalah seperti ini. Dzat Suci yang tidak serupa dengan sesuatu pun, al-Wajibul Wujud, tidak terbatas oleh tempat atau bahan apa pun. Dia tidak mungkin dapat dipecah-pecahkan dan dibahagi-bahagikan dan tidak mungkin dapat diubah. Dia tidak pernah lemah dan tidak mungkin memerlukan sesuatu. Namun sekumpulan kaum yang sesat menganggap dan menisbatkan Dzat Yang Maha Suci ini, iaitu sebahagian dari uluhiyah-Nya yang agung kepada beberapa makhluk. Mereka menganggap manifestasi Allah SWT yang kelihatan pada lembaran alam dan entiti tertentu sebagai Dzat-Nya itu sendiri. Mereka meletakkan sebahagian tanda manifestasi-Nya kepada alam dan sebab kejadian. Padahal berbagai bukti yang kuat melalui beberapa tempat dalam Risalah Nur telah dinyatakan dengan tegas bahawa, alam adalah ciptaan seni Ilahi. Alam bukan pencipta. Ia hanyalah kitab rabbani, bukan penulis. Ia hanyalah ukiran indah, tidak mungkin bertindak sebagai pengukir. Ia hanyalah buku rekod, bukan pembuat akaun. Ia hanyalah peraturan, bukan pemilik kekuasaan. Ia hanyalah corak, bukan sumber yang wujud. Ia hanyalah objek yang pasif, tidak mungkin menjadi penulisnya. Ia hanyalah susunan dan mustahil menjadi penyusunnya. Ia hanyalah syariat alamiah, bukan pembuat syariat. Seandainya proses penciptaan makhluk yang paling kecil sekalipun diserahkan kepada alam, lalu misalnya ia diperintah, “Sila ciptakanlah ini!” seperti yang disebut di beberapa tempat dalam Risalah Nur dengan bukti-bukti nyata. Maka alam tersebut harus menyiapkan berbagai acuan cetakan atau mesin sebanyak jumlah makhluk tersebut. Ini adalah supaya alam dapat melaksanakan tugas tersebut. Kemudian sebahagian kaum sesat yang digelar sebagai golongan materialis menyedari adanya manifestasi penciptaan Tuhan dan kekuasaan-Nya dalam pergerakan atom yang sangat teratur. Namun mereka tidak mengetahui sumber munculnya manifestasi tersebut. Oleh kerana mereka tidak mampu memahami dari mana kekuatan yang bersumber dari manifestasi kekuasaan-Nya itu muncul, akhirnya mereka menisbatkan jejak kekuasaan Tuhan, kepada atom dan gerakannya itu sendiri. Maha Suci Allah! Mereka menyangka segala sesuatu yang wujud dan kekuatan yang ada bersifat azali. Adakah manusia begitu jahil sehingga mereka menisbatkan jejak-jejak kekuasaan-Nya yang menakjubkan serta perbuatan Dzat Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat, yang tidak terikat dengan waktu dan tempat, kepada atom-atom yang bergerak secara kebetulan, yang bersifat mati, buta, barangkali tidak sedar bahawa mereka tidak mempunyai daya dan kekuatan? Sesiapa yang mempunyai sedikit kebijaksanaan pun, pasti akan mengatakan bahawa perkara tersebut merupakan puncak dari segala kejahilan dan khurafat. Sungguh, kaum yang malang itu telah berpaling dari keesaan-Nya yang mutlak, mereka telah terjatuh ke dalam penyembahan kepada tuhan yang banyak tanpa batas, gandaannya mutlak ke infiniti. Ini bermaksud, oleh kerana mereka tidak percaya kepada satu Tuhan, maka akhirnya mereka harus menerima tuhan yang banyak jumlahnya tanpa had. Bermakna, oleh kerana akal mereka yang terbatas tidak mampu memahami keazalian dan proses penciptaan yang dilakukan oleh Dzat Yang Maha Suci, maka dengan kesesatan tersebut, mereka terpaksa menerima keazalian atom-atom yang tidak bernyawa itu yang jumlahnya tidak terbatas. Jadi cuba perhatikan betapa jahilnya tanggapan mereka! Ya, manifestasi yang kelihatan sangat jelas pada berbagai atom terbentuk dengan susunan tentera yang hebat berkat kekuatan, kekuasaan dan arahan daripada Allah al-Wajibul Wujud. Sekiranya arahan dan kekuasaan Ketua Komandan itu ditarik balik dari atom yang tak terhingga jumlahnya itu walaupun cuma sesaat, atom yang tidak bernyawa dan tidak berakal itu, pastilah akan terlantar malah lenyap sama sekali. Seterusnya, seandainya ada kumpulan manusia yang kelihatan lebih teratur pengetahuannya, sebenarnya mereka ini mengetengahkan sebuah pemikiran yang lebih jahil dari sebelumnya tadi dan lebih tidak masuk akal. Mereka beranggapan bahawa bahan yang dinamakan eter yang merupakan salah satu lembaran ciptaan Allah SWT yang paling halus, paling lembut, paling taat, dan paling patuh kepada aktiviti yang diperintahkan-Nya itu merupakan sumber, sekaligus sebagai subjek pelaksana kerana kedudukannya sebagai cermin yang memantulkan manifestasi kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta. Walhal, eter itu hanya merupakan maksud ibarat hijab rapuh yang menghantar perintah-Nya, tinta halus yang digunakan untuk tulisan-Nya, kain baru yang tipis yang Dia gunakan untuk mencipta, unsur utama yang digunakan untuk ciptaan-Nya, serta tanah yang subur yang digunakan untuk benih-Nya. Tentu saja kejahilan yang pelik ini mengharuskan adanya berbagai kemustahilan. Ini kerana, bahan eter itu tidak sedar dan tidak berperasaan, tidak bernyawa, tidak berkehendak dan lebih halus daripada bahan atom yang membuat kaum materialis tenggelam dalam lembah kesesatan. Ia lebih padat daripada sebarang bahan indeks primitif yang membuatkan ahli falsafah kuno terjerumus di dalamnya. Oleh itu, menyandarkan segala ciptaan kepada bahan yang boleh dipecah dan dibahagi tanpa had dan yang dilengkapi fungsi dan tugas untuk membolehkannya menjadi pembawa pasif adalah satu kesilapan yang besar. Begitu juga menyandarkan kepada sesuatu yang begitu halus, lebih halus daripada molekul atom bahan yang lain, perbuatan dan jejak Tuhan yang terwujud oleh kehendak Dzat yang berkehendak dan berkuasa yang boleh melihat, mengetahui dan memerintah segala sesuatu dalam segala sesuatu dan Dzat yang memiliki pengetahuan komprehensif meliputi segala sesuatu, adalah satu kesilapan yang besar dan sebanyak partikel atom bahan eter itu sendiri. Proses penciptaan yang jelas kelihatan pada entiti kehidupan menunjukkan bahawa Allah Yang Maha Pencipta memiliki kekuasaan dan kehendak mutlak. Dia boleh melihat dan mengetahui segala sesuatu di alam semesta ini, terutama makhluk hidup. Dialah yang menjamin kekekalannya di tempat tersebut. Dia mengetahui dan memastikan keterhubungan semua makhluk hidup dengan alam semesta. Dia menempatkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai yang mana kejadian atau penempatan sesuatu itu bukan kerana penyebab yang selain daripada-Nya. Melalui makna al-Qayyum, sesuatu kejadian kreatif menunjukkan penciptaan terus oleh Pencipta alam semesta. Misalnya, proses penciptaan seekor lebah, menunjukkan bahawa lebah hanyalah milik Allah Yang Mencipta alam semesta ini dalam dua aspek. Aspek Pertama: Kewujudan lebah dan semua haiwan seumpamanya di serata ceruk dunia, membuat pekerjaan yang sama pada waktu yang sama menunjukkan kepada kita bahawa perbuatan khusus dan pekerjaan yang dilaksanakan oleh lebah itu hanya merupakan satu cebisan kecil dari ciptaan komprehensif yang sangat besar. Ia mencakupi seluruh permukaan bumi. Ini bermaksud, Dzat yang melakukan perkara besar dan luas itu, mestilah merupakan pelaksana perbuatan yang kecil tadi. Aspek Kedua: Untuk menjadi pelaksana yang melaksanakan pekerjaan yang ditujukan kepada proses penciptaan lebah yang ada di hadapan kita, kuasa dan kehendak yang cukup besar untuk mengetahui dan memastikan cara untuk menjamin kelangsungan kehidupan lebah dan spesiesnya serta hubungannya dengan alam semesta diperlukan. Maka pelaku yang melaksanakan sesuatu perbuatan hanya mampu melaksanakan sesuatu perbuatan itu dengan sempurna jika mempunyai kuasa ke atas alam semesta. Justeru, pekerjaan paling kecil sekalipun dilihat dari dua aspek ini menunjukkan bahawa ia hanya dapat dilaksanakan oleh Pencipta alam semesta. Perkara paling menarik dan menghairankan ialah yang berikut: Tuhan yang wajib wujud memiliki keazalian dan kekekalan yang merupakan ciri khas Dzat-Nya, pada tingkatan wujud paling kuat. Dia terasing secara mutlak iaitu tidak terikat dengan sebarang entiti. Dia memiliki ruang jarak paling jauh di udara, iaitu tidak terikat dengan sebarang tempat hentian. Dia bersifat esa, tidak pernah berubah dan tidak pernah menjadi tiada. Namun Dia memiliki sifat keazalian dan kekekalan yang merupakan sifat wujud yang paling sempurna bagi al- Wajibul Wujud sedangkan eter dan atom serta berbagai bahan sejenisnya tidak bersempadan, jumlahnya banyak tak terhingga, kewujudannya paling tidak stabil, wujud yang paling lemah, paling halus, paling banyak berubah dan paling banyak tersebar luas di udara. Mereka menyandarkan sifat abadi dan kekal kepada bahan tersebut. Malah ada yang menganggap daripada eter itu kerja-kerja Ilahi bermula. Kami telah menegaskan dalam banyak bahagian Risalah Nur dengan berbagai bukti yang kuat tentang betapa perkara ini merupakan tindakan yang berlawanan dengan hakikat sebenarnya, bertentangan dengan realiti, tidak logik dan tidak rasional, serta sangat salah.
Kilauan ini mengandungi dua persoalan. Persoalan Pertama: Allah SWT berfirman: لاَ تَاْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ Terjemahannya: “Tidak mengantuk dan tidak tidur.” (Al-Baqara 2:255) مَا مِنْ دَاۤبَّةٍ اِلاَّ هُوَ اٰخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا Terjemahannya: “Tiada sesuatu pun makhluk bergerak (bernyawa) melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya (menguasainya).” (Hud 11:56) لَهُ مَقَالِيدُ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ Terjemahannya: “Milik-Nyalah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi.” (Al-Zumar 39:63) Ayat-ayat di atas menjelaskan hakikat agung dari manifestasi nama Allah al-Qayyum. Satu aspek daripada hakikat yang ditunjukkan oleh ayat-ayat tersebut dan ayat-ayat lain yang sepertinya adalah seperti berikut: Keberadaan, kelangsungan dan keabadian benda-benda langit di alam ini terikat oleh misteri sifat Qayyum-Nya. Seandainya rahsia dan manifestasi sifat Qayyum Tuhan tersebut dipalingkan dari wajahnya walau sedetik pun, jutaan benda-benda langit akan saling bertaburan di ruang udara akibat bertembung dan berlanggaran antara satu sama lain hingga hancur berkecai. Benda-benda langit ini sebahagiannya lebih besar beribu kali ganda dari bumi. Misalnya, Dzat al-Qayyum ini menjaga ribuan istana besar di langit dalam susunan yang sempurna dan menggerakkan kesemuanya dalam jumlah yang banyak seperti kapal terbang yang menyelusuri udara. Kekuatan sifat al-Qayyum ini diukur dengan kestabilan, keteraturan dan keberadaan benda-benda langit secara berterusan di udara. Dzat al-Qayyum Yang Maha Agung mengurniakan benda-benda langit yang ada di angkasa luas itu, juga memberikan kestabilan, ketahanan dan keteraturan melalui pergerakannya yang sangat teratur dan seimbang, dapat diukur penegakannya yang tanpa sandaran melalui misteri al-Qayyum. Padahal sebahagian darinya adalah beribu kali lebih besar daripada bumi, dan sebahagiannya lagi berjuta kali lebih besar daripada bumi. Masing-masing ditundukkan dan diberi tugas khusus. Semuanya ibarat pasukan besar yang tunduk dan patuh terhadap perintah Dzat yang memiliki kalimat kun fayakun. Begitu juga dengan atom yang terdapat pada seluruh entiti, seperti bintang di angkasa, melalui misteri al-Qayyum semuanya terus tegak dan kekal stabil. Atom pada anggota tubuh setiap makhluk hidup yang bergerak, tersusun mengikut kumpulan dan sistem tertentu sesuai dengan organ setiap satunya dan tidak berselerak. Ini bagi mengekalkan bentuknya dalam menghadapi berbagai unsur yang masuk dan mengalir seperti air bah agar kekal normal dalam keteraturan. Semua itu pastinya bukan terjadi dari atom itu sendiri. Tetapi berasal dari rahsia al-Qayyum di mana setiap makhluk tunduk kepada-Nya seperti tunduknya batalion dalam sebuah pasukan. Setiap jenis makhluk hidup patuh kepada-Nya ibarat patuhnya sebuah pasukan yang teratur, sebagaimana kukuhnya kewujudan makhluk hidup di permukaan bumi serta pergerakan bintang-bintang di angkasa yang menyatakan kerahsian sifat Qayyum-Nya, seluruh atom juga menyatakan perkara yang sama melalui lisan yang tidak terkira banyaknya. Persoalan Kedua: Bahagian ini mengharuskan kita untuk menjelaskan beberapa manfaat dan hikmah sesuatu yang terkait dengan rahsia sifat Qayyum Tuhan. Hikmah kewujudan segala sesuatu, serta tujuan fitrahnya, manfaat penciptaannya, dan hasil kehidupannya terwujud dalam tiga cara: Pertama, melihat kepada dirinya sendiri, kepada manusia serta kepada kemaslahatan manusia. Kedua, adalah lebih penting dari yang pertama. Ia merupakan maksud bagi segala sesuatu di alam wujud ini sebagai tanda, misi, kitab, dan syair bagi makhluk hidup untuk mempelajari dan menyampaikan manifestasi nama-nama Tuhan Pencipta Yang Maha Agung. Ketiga, adalah yang khusus kepada Tuhan Pencipta Yang Maha Agung. Tatkala salah satu manfaat dan hasil segala sesuatu mengarah kepada diri mereka sendiri, sebilangan yang tidak terkira banyaknya melihat kepada Pencipta-Nya Yang Agung. Ini kerana Dia sendiri menyaksikan semua ciptaan-Nya yang menakjubkan itu dan memerhatikan manifestasi nama-nama-Nya yang mulia pada makhluk yang Dia sendiri menciptanya. Dengan demikian, dalam koridor hikmah yang ketiga ini, hidup sedetik saja sudah cukup rasanya. Satu lagi misteri sifat Qayyum yang memerlukan kewujudan segala sesuatu akan dijelaskan nanti dalam kilau cahaya yang ketiga. Pada suatu hari aku memikirkan manfaat dan hikmah segala entiti dari aspek misteri alam semesta dan teka-teki penciptaan. Aku bertanya pada diriku sendiri. “Mengapa segala sesuatu menampilkan dirinya, tidak lama kemudian ia pergi dengan cepatnya?” Aku melihat pada fizikal kejadian mereka. Kesemuanya terbungkus rapi dengan wujud yang sesuai dengan ukuran dan ketentuannya berdasarkan hikmah yang jelas, dihiasi dengan perhiasan yang indah, untuk dihantar agar dapat disaksikan oleh para makhluk di alam ini. Namun beberapa hari kemudian mereka pun lenyap, malah ada yang pergi beberapa detik kemudian. Menghilang tanpa meninggalkan manfaat dan kesan yang berguna. Aku bertanya, “Apa gerangan hikmah di balik kemunculan entiti seperti ini dalam waktu yang sangat singkat ini?” Aku ingin tahu. Kemudian, melalui sentuhan Ilahi aku menemui sebuah hikmah yang penting dari begitu banyak hikmah di sebalik kemunculan pelbagai entiti, khususnya makhluk hidup, ke muka bumi ini. Hikmah tersebut adalah seperti berikut: setiap entiti, khususnya makhluk hidup, adalah kalimat Ilahi yang bermakna, warkah Ilahi, syair rabbani serta deklarasi makluman Ilahi. Setelah entiti tersebut mendapat perhatian seluruh makhluk dan diungkapkan semua maknanya kepada mereka, maka penampilan fizikalnya yang umpama sebuah huruf atau kalimah sedikit demi sedikit lenyap dan hilang. Untuk selama satu tahun hikmah tersebut cukup bagiku. Kemudian tersingkap dihadapanku berbagai mukjizat yang indah dan halus yang terdapat dalam berbagai ciptaan, khususnya makhluk hidup. Aku mulai faham bahawa seni yang indah dan halus bukan sekadar mempesona dan memberi makna kepada pandangan makhluk hidup yang berakal. Sebab, walaupun terdapat banyak makhluk hidup yang tak terkira bilangannya yang mengkaji pelbagai entiti, tetapi kajian mereka tetap terbatas. Tidak semua yang mengkaji itu mampu menembus pesona dan keseluruhan rahsia penciptaan yang terdapat pada makhluk hidup. Ini bermaksud, hasil yang paling penting dari penciptaan makhluk hidup serta tujuan paling utama dari fitrahnya adalah menampilkan keindahan ciptaan al-Qayyum al-Azali di hadapan pandangan-Nya dengan berbagai kurniaan karya seni dan rahmat Ilahi dan dari nikmat-Nya yang luas. Untuk tujuan ini, buat jangka masa yang panjang ia membuatkan diriku berasa tenang dan puas. Dari situ aku faham seperti berikut: hikmah dan tujuan penciptaan yang begitu indah yang terdapat pada setiap entiti adalah agar ia dapat dipamerkan di hadapan al-Qayyum al-Azali. Dengan kata lain, hikmah dari proses penciptaan makhluk adalah agar Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri dapat menyaksikan keindahan ciptaan-Nya itu sendiri, iaitu agar Dia dapat menyaksikan hasil ciptaan-Nya. Selepas beberapa masa berlalu, aku menyedari bahawa ciptaan yang begitu indah dan mempesona yang terdapat pada berbagai entiti dan bentuk, zahirnya tidaklah kekal abadi. Penciptaan itu senantiasa mengalami perubahan dan pergantian dari semasa ke semasa dengan sangat cepat secara terus menerus. Selama beberapa waktu aku pun mulai berfikir, lalu diriku berkata: “Hikmah penciptaan dan tindakan Allah SWT itu pastilah sesuatu yang sangat besar keperluannya sebesar tindakan itu sendiri.” Kemudian dua hikmah yang disebutkan tadi mulai kelihatan kurang memenuhi keperluan yang ada. Dengan kesungguhan yang penuh tanda tanya, aku pun mulai mencari hikmah yang lain. Segala puji bagi Allah SWT, melalui pancaran cahaya mukjizat al-Quran, tidak lama kemudian, aku menemui hikmah agung dan tujuan yang besar tanpa hadnya melalui rahsia al-Qayyum. Dengan itu aku memahami rahsia agung Tuhan yang disebut dengan misteri alam dan teka-teki penciptaan. Dalam kilauan cahaya yang ketiga ini, kami akan menyebutkan beberapa rahsia yang ada secara ringkas sahaja kerana perkara ini telah diterangkan secara terperinci dalam Surat Kedua Puluh Empat. Perhatikan manifestasi rahsia sifat al-Qayyum-Nya dari sudut ini: Allah SWT telah mengeluarkan berbagai entiti dari gelapnya ketiadaan. Menurut makna ayat berikut, رَفَعَ السَّمٰوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا Terjemahannya: “Allah SWT yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat.” (Al-Rad 13:2) Dia membuatkan setiap sesuatu itu terus kekal berada di angkasa yang luas tidak terbatas. Dia menganugerahkan kewujudan yang stabil dan tetap serta menyebabkan berbagai entiti tadi mempamerkan manifestasi rahsia al-Qayyum. Tanpa sandaran sokongan ini, tidak ada sesuatu pun yang boleh terus wujud. Bahkan segala sesuatu akan terperosok dalam samudera kosong yang tidak bertepi dan akan terjerumus dalam ketiadaan. Tambahan lagi, semua entiti bersandar pada Allah Yang Maha Agung Yang Berdiri Sendiri, untuk kewujudan, kestabilan dan keabadian. Begitulah, mereka terus kekal wujud melalui-Nya. Ini seperti yang dijelaskan sepertı maksud ayat al- Quran berikut, وَاِلَيْهِ يُرْجَعُ اْلاَمْرُ كُلُّهُ Terjemahannya: “Kepada-Nya segala urusan dikembalikan.” (Hud 11:123) Hujung ribuan rantaian atau garisan dalam keadaan dan bentuk makhluk hidup diikatkan kepada misteri al-Qayyum, yang mana jika perumpamaan ini tidak silap adalah seperti penengah atau tiang tengah talian telefon atau telegram. Seandainya semua entiti tidak bersandar dan bersambung kepada “cahaya tengah” itu, akan perlulah ribuan ikatan atau sambungan sebab-musabab yang mustahil sejumlah bilangan makhluk hidup. Menurut para sarjana ini adalah mustahil dan merupakan idea yang tidak benar. Misalnya, sesuatu seperti perlindungan, cahaya, kewujudan atau rezeki haruslah bersandar dan bersambung kepada sesuatu yang lain. Misalnya, satu aspek bersandar kepada sesuatu yang lain, dan yang satu itu bersandar kepada yang lain pula dan satu kepada yang lain lagi dan seterusnya sehinggalah pengakhirannya kerana ia tidak mungkin infiniti, maka harus sampai ke penghujungnya. Oleh yang demikian, pengakhiran bagi garisan dan rantaian segala sesuatu ada pada rahsia Qayyum Tuhan. Tetapi setelah misteri sifat Qayyum Tuhan tersebut difahami, tidak ada lagi rantaian dan makna bagi sesuatu yang bersandar kepada rantai yang seterusnya. Sandaran dan ketersambungan itu terangkat dan lenyap. Segala sesuatu hanya mengarah secara langsung kepada rahsia sifat Qayyum Tuhan.
Melalui satu atau dua noktah pengenalan, kami akan tunjukkan satu aspek rahsia sifat Qayyum Tuhan dalam penciptaan dan aktiviti Ilahi seperti yang diterangkan oleh ayat-ayat yang berikut ini: كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِى شَاْنٍ “Setiap waktu Dia dalam kesibukan.” (Al-Rahman 55:29) فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ “Maha Kuasa melakukan apa yang Dia kehendaki.” (Al-Buruj 85:16) يَخْلُقُ مَا يَشَاۤءُ “Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Al-Rum 30:54) بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍ “Di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu.” (Yasin 36:83) فَانْظُرْ اِلٰۤى اٰثَارِ رَحْمَتِ اللّٰهِ كَيْفَ يُحْيِى اْلاَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا “Maka perhatikanlah tanda-tanda rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi setelah mati (kering).” (Al-Rum 30:50) Pertama: Tatkala kita melihat alam semesta, kita menyaksikan sekumpulan makhluk silih berganti dalam samudera ombak pergantian zaman. Satu demi satu kumpulan tiba. Selepas beberapa detik kemudian makhluk itu terus lenyap. Kumpulan lain pula datang untuk seminit kemudian mereka pergi. Satu spesies singgah di alam nyata ini untuk sejam kemudian lenyap ke alam ghaib. Kumpulan yang lain kemudiannya tiba dan singgah di alam nyata ini selama sehari, ada yang singgah selama setahun dan ada yang singgah untuk satu abad. Ada pula yang menghabiskan waktu berzaman-zaman. Mereka datang melaksanakan tugas dan pergi. Perjalanan dan laluan kehidupan yang menakjubkan serta aliran dan pergerakan makhluk tersebut digerakkan dan diatur dengan sebuah peraturan, keseimbangan dan kebijaksanaan. Dzat yang telah memimpin mereka serta gerabak-gerabak dalam perjalanan tersebut melaksanakannya dengan pandangan, matlamat dan perancangan yang bijaksana, sehingga jika seandainya semua akal bergabung menjadi satu, ia tetap tidak mampu memahami hakikat perjalanan itu dan tidak akan menemui cacat cela di dalamnya justeru tidak dapat mengkritiknya. Oleh yang demikian, dalam proses ciptaan Ilahi, Tuhan tidak membenarkan makhluk yang menyenangkan dan dicintai-Nya terutama makhluk hidup untuk terus membuka matanya. Dengan pena qada dan qadar atas perintah-Nya, Dia menghantar mereka ke alam ghaib. Mereka tidak dibenarkan menarik satu nafas pun. Dia melepaskan mereka dari tugas duniawi mereka. Dia mengisi rumah tamu-Nya ini (dunia) sekali gus mengosongkannya secara terus-menerus tanpa kerelaan tamu-tamu itu. Dia menjadikan bola bumi ini seperti papan tulis, untuk menulis dan memadam atas perintah-Nya melalui manifestasi Dzat Yang Menghidupkan dan Mematikan sepertimana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah (2:258) yang bermaksud “...Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan....” Salah satu rahsia hikmah perbuatan rabbani dan penciptaan Ilahi serta salah satu keperluan asas dan motif penyebabnya adalah hikmah agung yang tiada batas dan penghujungnya. Hikmah tersebut boleh dibahagikan kepada tiga cabang penting iaitu: Cabang Pertama Hikmah Rabbani: Setiap jenis kejadian Tuhan, baik yang khusus mahupun yang umum, mendatangkan kenikmatan. Terdapat kenikmatan pada setiap ciptaan-Nya. Bahkan, perbuatan itu sendiri merupakan kenikmatan. Ya, perbuatan atau ciptaan Tuhan adalah manifestasi kewujudan, yang merupakan kenikmatan semata-mata. Iaitu perbuatan yang menjauhi ketiadaan yang merupakan bentuk penderitaan. Setiap orang yang berkebolehan akan mengikuti perkembangan penyerlahan potensinya dengan penuh nikmat melalui perlakuan tertentu. Setiap bakat yang ditonjolkan melalui sebuah perlakuan berasal dari sebuah kenikmatan dan menghasilkan sebuah kenikmatan. Setiap pemilik kesempurnaan mengikuti penampilan kesempurnaannya melalui sebuah perlakuan. Pada setiap perbuatan ada kenikmatan dan kesempurnaan yang dicintai dan diingini. Perbuatan itu sendiri merupakan kesempurnaan. Di alam makhluk terlihat berbagai manifestasi dari rahmat-Nya yang luas dan kasih sayang-Nya yang tak bertepi. Ini bersumber dari kehidupan yang bersifat azali dan abadi. Berbagai manifestasi menunjukkan bahawa Dzat yang membuat diri-Nya dicintai, mencintai, dan mengasihi para makhluk-Nya dengan memberikan banyak nikmat dan kasih sayang-Nya pada mereka, adalah dalam bentuk seperti itu. Jika ini tidak disalah ertikan, pada tingkat tertinggi kehidupan-Nya Yang Maha Suci melahirkan kerinduan Ilahi, cinta yang suci dan kenikmatan yang mutlak. Berbagai atribut Ilahi itulah yang memperbaharui, mengganti dan menghiasi alam ini dengan aktiviti dan penciptaan yang berterusan. Hikmah Cabang Kedua dalam Aktiviti Ilahi yang Tidak Terbatas dari Perspektif Rahsia al-Qayyum: Hikmah ini mengarah pada nama-nama Tuhan yang suci. Seperti yang diketahui umum, semua pemilik keindahan ingin melihat dan sekaligus memperlihatkan keindahannya. Demikian juga pemilik kemahiran tertentu ingin dan suka menarik perhatian dengan memperlihatkan dan menghebahkan kemahirannya itu. Dia mempunyai keinginan dan mencintai kemahirannya yang merupakan sebuah hakikat dan makna indah yang selama ini tersembunyi lalu berusaha untuk keluar dan meraih perhatian. Prinsip asas ini tertanam dalam segala sesuatu sesuai dengan tingkatannya. Menurut kesaksian seluruh alam dan pembuktian manifestasi serta ukiran dari seribu satu nama Dzat al-Qayyum Yang Maha Agung yang memiliki keindahan sempurna, pada setiap tingkatan nama Allah SWT itu terdapat keindahan dan hakikat kesempurnaan, kecantikan sebenar dan hakikat yang halus. Sungguh, dalam setiap tingkatan ada pelbagai keindahan dan hakikat kecantikan yang tidak terbilang. Kesemua entiti seluruh alam ini merupakan cermin yang memantulkan manifestasi keindahan nama-nama Tuhan yang suci, dan merupakan lembaran indah yang menghamparkan ukiran nama-nama tersebut serta merupakan halaman-halaman yang mengungkapkan berbagai hakikatnya yang indah. Justeru, nama-nama yang tetap dan kekal itu akan secara keseluruhannya memperbaharui dan mengubah seluruh alam semesta melalui manifestasi atas cinta-Nya yang suci dan sifat Qayyum-Nya. Dengan cara ini mereka akan memperlihatkan manifestasi ukiran dan kitab-kitab yang bermakna secara berterusan tanpa penghujung, di hadapan Dzat Yang Maha Benar dan Qayyum. Pada masa yang sama mereka memperlihatkannya kepada para makhluk berakal dan bernyawa. Itu dilakukan untuk menampakkan berbagai lembaran yang tak terbatas dari sesuatu yang terbatas, untuk menampakkan individu-individu yang tidak terbilang serta untuk menampakkan berbagai hakikat yang sangat banyak dari hakikat yang satu.
Hikmah Cabang Ketiga dalam Aktiviti Ilahi di Alam Semesta yang Tetap dan Menakjubkan: Setiap yang memiliki sifat penyayang, gembira tatkala membuat orang lain mendapat kegembiraan. Dan setiap yang baik hati berasa puas membuat orang lain bahagia. Setiap orang yang memiliki sifat kasih sayang berasa bahagia saat membahagiakan orang lain yang layak dibahagiakan. Dan setiap orang yang berhati mulia berasa nikmat tatkala membuat orang lain senang. Semua orang yang adil bergembira tatkala berjaya menegakkan keadilan dan membuat setiap orang mendapatkan hak mereka dan mensyukuri apa yang layak diterimanya dan tatkala mereka yang membuat aniaya mendapat hukuman yang sewajarnya. Dan setiap karyawan mahir pasti berasa bangga memperlihatkan ciptaan dan kemahirannya, tatkala ia berfungsi seperti yang diharapkan memberi hasil yang paling sempurna. Semua prinsip yang disebutkan di atas adalah peraturan yang mendasari apa yang berkuatkuasa di seluruh alam semesta dan alam manusia. Tiga contoh yang menjelaskan peraturan tersebut pada manifestasi nama-nama Allah SWT yang mulia dijelaskan dalam hentian ketiga pada kalimat ketiga puluh dua. Jadi bertepatan kiranya untuk menulis ringkasan mengenai tiga contoh tersebut, jadi kami sebutkan di sini seperti berikut: Misalnya, seorang yang sangat baik hati, dermawan, berhati mulia menyediakan sebuah pelayaran untuk golongan miskin yang serba memerlukan di atas sebuah kapal besar. Dia mencukupkan keperluan mereka dengan berbagai hidangan dan nikmat di atas kapal tersebut lalu membawa mereka merentasi samudera ke seantero dunia. Orang tersebut begitu senang dengan rasa syukur yang terungkap dari mereka sekaligus berasa sangat lapang tatkala melihat mereka dapat menikmati berbagai pemberian dan nikmat yang ada. Dia berasa bahagia dan bangga dengan kegembiraan mereka. Manusia yang pada dasarnya hanya merupakan seorang petugas khas yang membahagi-bahagikan peruntukan berasa senang dan gembira tatkala dapat menguruskan jamuan yang tidak seberapa pun maknanya. Bayangkan bagaimana dengan Dzat al-Hayy al-Qayyum yang membuat segala haiwan, manusia dan tak terkira banyaknya malaikat, jin, serta makhluk bernyawa lainnya diangkut dalam ‘perahu ar-Rahman’ berupa bumi. Dia menghamparkan di atas permukaan bumi ini meja yang dipenuhi dengan beraneka macam makanan dan hidangan yang sangat sesuai dengan selera dan rezeki mereka. Allah SWT berikan sebuah perjalanan rabbani ini kepada mereka di seluruh pelosok bumi. Bukan setakat itu sahaja, malah Allah SWT siapkan segala nikmat tersebut, meja hidangan yang tak berpenghujung di syurga dalam jamuan di alam abadi. Jadi, semua tanda syukur, puji-pujian, serta rasa reda seluruh makhluk dari perasaan gembira dan bahagia mereka atas nikmat dan kurniaan yang mereka peroleh itu mengarah kepada Tuhan. Tuhan Allah SWT yang memiliki atribut Ilahi yang tidak berupaya untuk kita gambarkan dan tidak dapat kita ungkapkan atas kenikmatan dan pujian seluruh makhluk-Nya. Iaitu makna rububiyah-Nya yang dilambangkan dengan istilah kenikmatan suci, kebanggaan suci dan kegembiraan suci yang membawa kepada adanya penciptaan yang terus-menerus ini. Dan satu misalan lain, jika seorang tukang yang mahir membuat sebuah alat pemain rekod muzik lama yang disebut gramafon tanpa piring hitam dan alat itu memainkan muzik seperti apa yang dikehendakinya pasti dia sangat bangga dan gembira melihat ciptaannya itu. Dia akan sangat gembira dan mengungkapkan Masya-Allah! Jika sebuah reka cipta seni sekecil itu, yang bukan pun satu proses penciptaan hakiki, membuat pereka ciptanya berasa bangga dan gembira, bayangkan yang berikut: Pencipta Yang Maha Bijaksana mencipta seluruh entiti di alam semesta sebagai sebuah orkestra Ilahi dan bengkel menakjubkan yang mampu mengeluarkan dan mengungkapkan rasa syukur, tasbih, dan pujian-pujian melalui pelbagai jenis suara dan alunan. Dia mempamerkan semua spesies, semua dunia, di alam semesta melalui pelbagai jenis seni rekaan dan ciptaan yang menakjubkan. Dia bukan sahaja telah memperagakan berbagai jenis peranti di kepala makhluk hidup itu yang menyerupai gramafon, kamera dan alat komunikasi. Tetapi Dia malah memperagakan pada kepala setiap makhluk bernyawa dengan kedua-duanya, gramafon tanpa piring hitam, kamera tanpa filem, alat komunikasi tanpa wayar dan berbagai mesin dua puluh kali jauh lebih menakjubkan dari apa yang telah disebutkan di atas. Maka, makna seperti kebanggaan suci dan kegembiraan suci serta yang setara dengannya, yang merupakan sebahagian dari rububiyyah Tuhan yang terhasil dari penciptaan peranti seperti itu dengan menghasilkan fungsi sesuai dengan apa yang ditentukan dengan kehendak-Nya, mengharuskan adanya koreksi Ilahi yang berterusan dan nyata. Dan sebagai contoh, seorang pemerintah yang adil akan berasa senang dan nikmat serta bangga apabila dapat mengambil hak orang teraniaya dari pihak yang menganiaya demi menegakkan keadilan, melindungi kaum lemah dari kejahatan kaum yang berkuasa dan memberikan kepada setiap orang apa yang menjadi haknya. Oleh kerana ini adalah prinsip asas pemerintahan dan keadilan, fikirkan perkara berikut: Al-Hayy Al-Qayyum, yang merupakan Hakim Yang Maha Bijaksana lagi Maha Adil, telah memberikan berbagai garis panduan kehidupan dalam bentuk hak-hak hidup bagi seluruh makhluk, terutama makhluk hidup yang bernyawa. Selain itu, untuk membolehkan mereka menjaga kehidupan mereka, Dia telah memberikan berbagai kemahiran dan anggota. Dengan penuh kasih dan sayang Dia melindungi kaum yang lemah dari kejahatan kaum yang berkuasa. Justeru, Dia telah memperlihatkan keadilan di alam ini dengan memberikan kepada setiap makhluk apa yang menjadi haknya dan memberikan hukuman kepada orang-orang yang zalim di dunia ini, dan lebih-lebih lagi di hari kebangkitan kelak. Semua itu berasal dari berbagai atribut dan berbagai makna suci milik Tuhan yang sulit kita gambarkan yang melahirkan aktiviti yang terus-menerus di alam ini. Begitulah, tiga contoh di atas menunjukkan bahawa setiap satu dari setiap nama-Nya yang mulia membangkitkan sifat suci Ilahi yang tertentu sebagai paksi dalam aktiviti yang berterusan ini. Maka itu mengharuskan adanya penciptaan yang terus-menerus. Pembangunan, pengeluaran dan penyerlahan potensi dan kemampuan mendatangkan kegembiraan, kelapangan, dan kenikmatan. Prestasi, penyelesaian tugas dan pelepasan tugas dari amanah tugas yang diberikan mendatangkan perasaan lega dan syukur. Penerimaan buah yang banyak dari sebiji benih dan perolehan keuntungan yang beratus kali ganda dari sebuah modal merupakan perniagaan yang sangat menggembirakan. Oleh yang demikian, tentu saja Dia yang menyingkap pelbagai potensi yang tak terkira banyaknya pada seluruh makhluk, setelah memberi tugas-tugas penting, akan memberikan pelepasan tugas kepada makhluk-Nya tetapi dengan menaikkan mereka kepada tingkatan yang lebih tinggi. Ini bermaksud, Dia menaikkan berbagai unsur menuju ke mineral, mineral menuju kehidupan tumbuhan, tumbuhan menuju kehidupan haiwan dengan rezeki yang diberikan padanya, dan haiwan menuju tingkatan manusia yang ada kesedaran. Dari sini dapat difahami betapa pentingnya berbagai makna suci dan atribut Ilahi yang datang dari aktiviti dan proses penciptaan-Nya yang terus menerus menyingkap seluruh potensi dan kecenderungan yang tak terhingga bagi seluruh makhluk. Pengakhiran tugas semua makhluk setelah dipergunakan dalam berbagai tugas besar mengharuskan makhluk hidup meninggalkan berbagai jenis wujud yang diambil dari mereka seperti roh, esensi, identiti, bentuk dan wujud fizikalnya di alam Mithali, Ilmu dan Ghaib, bungkusan ruh dan jasad yang kesemuanya diberi tugas sesuai pada tempatnya. Ini dijelaskan dalam Surat Kedua Puluh Empat. Jawapan atas Sebuah Persoalan Penting: Sebahagian kaum sesat berpendapat bahwa Dzat yang mengubah dan mengganti berbagai entiti melalui aktivitinya yang berterusan, pasti juga berubah dan silih berganti. Jawapannya: Itu sama sekali tidak benar. Sungguh seribu kali sangat tidak benar! Perubahan berbagai cermin di muka bumi tidak menunjukkan perubahan matahari yang ada di langit. Akan tetapi ia menunjukkan pembaharuan wujud pada jelmaan matahari. Jika demikian, perubahan pada Dzat yang Azali, Abadi, Kekal, Maha Sempurna, Maha Kaya, Maha Besar dan Maha Suci, bebas sepenuhnya dan tidak terikat dengan sesuatu berbentuk material dan waktu, serta tidak bersifat mungkin dan baru. Perubahan alam semesta tidak menjadi bukti bahawa Dia berubah-ubah. Tetapi sebaliknya, perubahan alam semesta menunjukkan bukti bahawa Dia tidak berubah dan tidak berganti. Ini kerana, Dzat yang menggerakkan dan mengubah entiti yang begitu banyak secara sangat teratur pasti tidak pernah berubah dan tidak bergerak. Misalnya, kamu menggerakkan beberapa bola besar dan kecil yang setiap satunya diikat dengan tali dengan gerakan yang teratur yang mana semua bola itu diletakkan di berbagai tempat mengikut susunan tertentu. Kamu harus tetap berada di tempatmu tanpa berpindah darinya. Kerana jika tidak, keteraturan tersebut akan terganggu. Jelas bahawa seseorang yang menyebabkan berlaku perubahan secara berterusan dan tersusun, tidak boleh berubah dan seseorang yang menyebabkan objek-objek berubah, tidak boleh berubah. Ini adalah supaya pergerakan tadi boleh terlaksana secara berterusan secara tersusun. Kedua, perubahan dan pergantian hanyalah berasal dari kemunculan yang baru, dari proses pembaharuan yang bertujuan untuk mencapai kesempurnaan, dari keperluan, dari unsur material, dan dari sesuatu yang bersifat mungkin. Dzat Yang Maha Suci, Dia tidak ada permulaan, Azali, Maha Sempurna, Maha Kaya, tidak bergantung pada bahan berbentuk fizikal dan wajib ada (Wajibul wujud). Oleh yang demikian, pergantian dan perubahan, adalah sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin bagi-Nya.
İki meseledir: Perkara Pertama Jika kita ingin menyaksikan manifestasi agung dari nama al-Qayyum, kita harus menyediakan dua teropong untuk mencerap seluruh alam dengan segala yang dibayangkan. Satu teropong digunakan untuk melihat benda-benda yang paling jauh, manakala yang satu lagi untuk melihat atom yang paling kecil. Tatkala kita melihat dengan teropong yang pertama, kita akan melihat bahawa ribuan planet dan bintang yang sebahagiannya ribuan kali melebihi besar bumi, telah diletakkan dalam kedudukan yang tetap dalam bahan disebut eter yang lebih halus dari udara. Sebahagiannya bergerak untuk melakukan tugas penting. Kemudian kita lihat pula kepada teropong yang kedua, teropong imaginasi untuk melihat benda yang paling kecil. Dengan rahsia sifat al-Qayyum, atom-atom anggota tubuh makhluk hidup di bumi bergerak sementara secara teratur melakukan berbagai tugas seperti bintang gemintang. Kita dapat melihat sel-sel darah merah dan sel-sel darah putih dalam darah makhluk yang bernyawa, bergerak bagai planet-planet tadi berpusing dengan dua pergerakan tersusun seperti gerakan sufi Maulawi. SATU RANGKUMAN Sebuah rangkuman sesuai diketengahkan di sini untuk menjelaskan cahaya suci yang bersumber dari paduan enam cahaya nama Tuhan sebagaimana adunan tujuh spektrum cahaya mentari. Kesimpulan tersebut adalah seperti berikut: Perhatikan di balik manifestasi nama al-Qayyum yang memberikan sifat tetap dan berterusan kepada seluruh makhluk bernyawa di alam semesta. Manifestasi teragung nama al-Hayy telah menjadikan seluruh makhluk hidup itu memancarkan sinar yang cemerlang. Cahaya-Nya menerangi seluruh alam. Cahaya manifestasi-Nya yang bergemerlapan terlihat dengan cahaya keemasan pada seluruh makhluk hidup. Sekarang perhatikan sekali lagi: manifestasi agung dari nama al-Fard dari balik nama al-Hayy. Nama tersebut mencakupi semua entiti alam semesta dengan berbagai elemen dan bahagiannya dalam satu kesatuan. Ia meletakkan tanda kesatuan bahagian depan setiap entiti. Dia juga meletakkan cop keesaan pada wajah setiap makhluk yang bernyawa. Sehingga setiap satu daripada mereka menjelmakan manifestasi-Nya melalui pelbagai lisan yang tidak terhingga banyaknya. Sekarang dari balik nama al-Fard, lihatlah manifestasi agung nama al- Hakam. Dalam susunan yang membuahkan hasil, dengan sebuah keteraturan penuh hikmah dan keharmonian yang sesuai dengan setiap makhluk yang bernyawa yang tepat baginya, dari daerah yang paling luas hingga yang paling kecil, baik yang global mahu pun yang sebahagiannya, nama tersebut mencakupi seluruh entiti yang terlihat dengan teleskop imaginasi mulai dari bintang hingga atom-atom. Nama al-Hakam telah menghiasi seluruh entiti dengan manifestasi-Nya yang bergemerlapan. Kemudian, perhatikan dari balik manifestasi nama al-Hakam perhatikanlah manifestasi agung dari nama al-Adl. Iaitu sebagaimana yang telah kami jelaskan pada Noktah Kedua, dari manifestasi agung nama al-Adl tersebut, alam semesta dengan seluruh entiti di dalamnya ditadbir dengan keseimbangan, simetri dan pengukuran dalam aktiviti yang terus-menerus. Seandainya sebuah bintang kehilangan keseimbangan walau selama satu detik sahaja atau sekiranya ia terputus dari manifestasi nama al-Adl, itu akan menyebabkan huru-hara dalam kalangan segala bintang yang ada. Ia akan menjadi seperti Hari Kiamat. Justeru, perhatikan semua makhluk hidup dan seluruh alam dalam pelbagai kehidupan. Dari tentera bintang gemintang sehingga tentera para-atom. Bermula dari lingkaran sfera terbesar yang disebut dengan galaksi bima sakti hingga gerakan sel darah merah dan putih. Semuanya berdiri bahu ke bahu tersusun rapi dalam keseimbangan dengan ukuran paling cermat di mana masing-masing memperlihatkan ketaatan sempurna, ketundukan mutlak, dan kepatuhan sepenuhnya terhadap semua perintah yang bersumber dari Dzat yang menggenggam perintah kun fayakun. Sekarang, dari balik manifestasi nama al-Adl, perhatikan manifestasi nama Allah al-Quddus yang telah kami jelaskan pada Noktah Pertama. Manifestasi nama al-Quddus tersebut telah membuat seluruh makhluk di alam semesta ini begitu bersih, suci, murni, indah, berhias dan berkilau seperti cermin indah bersinar yang layak untuk memperlihatkan keindahan-Nya yang mutlak serta untuk menampilkan berbagai manifestasi nama-nama-Nya yang mulia yang terdapat pada seluruh alam semesta dan makhluk yang ada. Ringkasnya: Penjelasan tentang enam nama dan enam cahaya dari nama-nama agung itu telah meliputi seluruh alam, seluruh makhluk, serta membalutnya dengan berbagai warna dan hiasan yang pelbagai bentuk yang paling cemerlang, ukiran yang paling indah dan mengagumkan. Perkara Kedua dari Kilauan Kelima Manifestasi sifat al-Qayyum meliputi seluruh alam dengan tampilan Wahidiyyah (ketunggalan) dan keagungan-Nya. Begitulah juga pada manusia yang merupakan pusat alam semesta dan buah Ahadiyyah (keesaan) terdapat manifestasi ketunggalan dan keindahan-Nya. Ini bermaksud, seluruh entiti tegak berkat rahsia sifat Qayyum-Nya, juga tegak dengan manusia yang merupakan tempat manifestasi nama al-Qayyum dalam bentuk paling sempurna dilihat dari satu sisi. Oleh kerana sebahagian besar hikmah, tujuan, matlamat dan kemaslahatan yang ada di alam semesta mengarah pada manusia, maka manifestasi nama al-Qayyum yang terdapat pada manusia menjadi semacam tiang bagi seluruh alam. Ya, boleh dikatakan bahawa Dzat al-Hayy al-Qayyum menghendaki kewujudan manusia di alam ini dan menciptakan alam ini untuknya. Dengan sifat kompherensifnya yang sempurna, manusia mampu memahami dan menikmati seluruh keindahan nama Tuhan yang mulia. Misalnya manusia dapat memahami makna yang terkandung dalam nama-nama Tuhan melalui pelbagai cara dalam menikmati rezeki kurniaan-Nya. Tetapi para malaikat tidak dapat menjangkau dan merasai nikmat yang seperti itu. Oleh kerana sifat manusia yang demikian, maka al-Hayy al-Qayyum telah memberikan sebuah perut dan selera kepada manusia. Dengan kurniaan tersebut Dia membolehkan manusia mengenali seluruh nama-Nya yang mulia dan merasai pelbagai jenis nikmat-Nya. Dia mengisi meja hidangan yang luas dengan aneka ragam makanan untuk perut itu. Lalu Dia berikan padanya sebuah kehidupan sama seperti perut fizikal tadi. Dia menawarkan meja yang luas terbentang dengan pelbagai nikmat di hadapan deria yang pelbagai, yang seperti tangan bagi perut kehidupan. Dengan pelbagai deria, kehidupan menawarkan nikmat yang pelbagai sehingga dia mampu menunaikan haknya dalam bersyukur dan memberikan pujian. Setelah perut kehidupan, Allah SWT menganugerahkan kepada manusia perut kemanusiaan. Perut tersebut memerlukan rezeki dan nikmat yang lebih luas wilayahnya daripada kehidupan. Akal, minda, dan imajinasi manusia bertindak sebagai tangan bagi perut tersebut, menikmati hidangan rahmat yang seluas langit dan bumi serta mengungkapkan rasa syukurnya. Selepas menganugerahkan perut kemanusiaan, Allah SWT telah membentang di hadapan manusia, satu lagi meja hidangan nikmat agung lainnya yang tak terbentang tanpa penghujung. Allah SWT jadikan akidah, iman dan Islam sebagai perut maknawi yang juga memerlukan rezeki begitu banyak. Allah SWT hamparkan hidangan penuh rezeki maknawi itu pada sfera maknawi ini dan memasukkan di dalamnya, nama-nama Allah SWT yang mulia ke dalam hidangan agung itu. Dengan perut tersebut, manusia dengan penuh rasa nikmat atas rezeki tersebut yang bersumber dari manifestasi nama ar-Rahman dan nama al-Hakim terus-menerus mengucap “Alhamdulillah atas pemberian rahmat-Nya yang luas dan berbagai hikmah-Nya yang agung!” Demikianlah, dengan maknawi tersebut, manusia mampu menikmati berbagai nikmat Ilahi yang tak terhingga. Dan ada satu lagi sfera perut iaitu yang dapat menikmati perasaan cinta ilahiyyah-Nya. Justeru, Al-Hayy al-Qayyum telah menjadikan manusia sebagai paksi dan pusat bagi seluruh alam semesta. Dia menghamparkan di atas meja dengan hidangan nikmat seluas alam semesta serta menundukkan alam baginya. Hikmah tegaknya alam ini atas diri manusia, dilihat dari satu sisi menunjukkan melalui misteri Al-Hayy al-Qayyum yang terjelma pada manusia ada tiga tugas penting, iaitu: Tugas Pertama: Seluruh jenis nikmat yang tersebar di seluruh alam semesta disusun melalui manusia. Semua perkara yang bermanafaat buat manusia, disusun dengan ikatan seperti biji-biji tasbih lalu kedua-dua hujung tali itu disambung kepada akal manusia dengan kemaslahatannya. Maka dengan itu, manusia ibarat sebuah daftar yang menyenaraikan segala sesuatu yang terdapat pada khazanah perbendaharaan rahmat Tuhan. Tugas Kedua: Oleh kerana sifat cakupannya yang luas, manusia menjadi penerima sempurna bagi kitab Ilahi al-Hayy al-Qayyum. Juga sebagai penyeru yang paling tinggi suaranya menghargai dan memuji penciptaan-Nya dengan penuh rasa kagum. Manusia juga mempersembahkan rasa syukur, puji-pujian dan mengagungkan segala kurniaan nikmat dan berbagai macam anugerah Ilahi yang tidak ada penghujungnya. Tugas Ketiga: Dalam kehidupan manusia, dia bertindak dalam tiga aspek seperti cermin yang memantulkan berbagai atribut dan sifat al-Hayy al-Qayyum. Aspek pertama: Aspek ini untuk manusia mengetahui kekuasaan Penciptanya yang bersifat mutlak melalui ketidakberdayaannya yang mutlak dan tingkat kekuasaan-Nya dengan darjat ketidakberdayaannya. Ia juga untuk membolehkan manusia memahami rahmat-Nya, tingkat kasih sayang-Nya yang luas dan melalui kelemahannya, manusia dapat memahami kekuatan-Nya. Begitulah seterusnya. Manusia menjadi seperti sebuah cermin kecil dan alat ukur yang digunakan untuk mengetahui sifai-sifat Tuhan yang sempurna melalui sifat- sifatnya yang terbatas. Manusia berfungsi sebagai cermin untuk memperlihatkan kesempurnaan Ilahi melalui pelbagai kekurangan pada sifatnya yang terbatas. Sama sebagaimana kegelapan merupakan cermin sempurna untuk memperlihatkan sinaran dari cahaya elektrik, kecerahan cahaya sinaran akan bertambah apabila gelap malam berfungsi menampakkan cahaya yang ada. Dengan yang demikian, manusia berkedudukan sebagai cermin kecil yang memperlihatkan berbagai atribut dan sifat Tuhan yang sempurna. Aspek kedua: Menggunakan alam semesta ini sebagai kayu ukur, dengan kehendak manusia yang kecil, pengetahuannya yang sedikit, kekuasaannya yang terbatas, dan kemampuan untuk membangun rumahnya sendiri membuatkan manusia mampu memahami dan berperanan seperti cermin kepada pemilikan- Nya, seni Ilahi, kehendak-Nya, kekuasaan-Nya, serta pengetahuan-Nya sesuai dengan kebesaran Pereka alam ini. Aspek Ketiga: Kedudukan manusia yang berfungsi sebagai cermin dari sudut ini terwujud dalam dua bentuk: Bentuk Pertama: Memperlihatkan ukiran nama Tuhan yang pelbagai dan berbeza-beza antara satu dengan yang lain dalam dirinya. Untuk memudahkan penjelasan, manusia merupakan indeks kecil dari alam dan contoh miniatur dengan kelengkapannya. Justeru manusia memperlihatkan ukiran nama-nama Allah SWT. Bentuk Kedua: Wajah ini berfungsi sebagai cermin kepada atribut Ilahi. Ini bermaksud, kehidupan manusia mengarah kepada kehidupan al-Hayy al-Qayyum menerusi kehidupannya sendiri. Maka dia menjadi seperti cermin yang memperlihatkan semua atribut al-Hayy al-Qayyum seperti mendengar dan melihat, melalui panca indera yang dimiliki untuk kehidupannya seperti deria pendengaran serta deria penglihatan. Seterusnya, manusia menjadi cermin kepada atribut suci al-Hayy al-Qayyum menerusi pelbagai tindak balas deria, makna dan emosi yang halus wujud dalam kehidupannya, yang tidak terbina secara terus tetapi terhimpun membentuk perasaan dan emosi yang pelbagai. Misalnya dari pelbagai emosi tersebut lahir makna cinta, bangga, gembira, lapang, bahagia, serta berbagai perasaan lainnya. Dengan itu, manusia berfungsi menunjukkan berbagai atribut Tuhan yang sesuai dengan kesucian dan kekayaan mutlak Dzat-Nya yang Maha Suci dan Maha Quddus. Juga melalui kehidupannya yang kompherensif, manusia menjadi sebuah alat ukur yang dapat mengenali dan mengukur sifat-sifat Allah SWT yang agung, merupakan indeks yang memuatkan manifestasi nama-nama-Nya yang mulia, dan merupakan cermin sensitif yang memantulkan Dzat al-Hayy al-Qayyum dari pelbagai sudut. Manusia juga merupakan alat ukur, indeks, neraca, dan timbangan yang digunakan untuk mengetahui berbagai hakikat alam semesta. Misalnya, bukti kuat yang menunjukkan kewujudan lauhil mahfudz di alam ini adalah kemampuan menghafal yang ada pada manusia. Bukti kuat yang menunjukkan keberadaan alam misal pula dapat kita rasakan pada model miniaturnya dalam bentuk alat imaginasi yang ada pada diri manusia. Begitulah seterusnya. Dalam diri manusia yang merupakan satu miniatur kecil dapat memperlihatkan dengan jelas, hakikat iman yang wujud di alam semesta ini. Manusia melaksanakan berbagai tugas yang sangat penting seperti yang telah kami sebutkan di atas. Dia merupakan cermin manifestasi Keindahan Abadi. Dia merupakan tempat mewara-warakan Kesempurnaan Abadi. Dia makhluk yang memerlukan dan pada masa yang sama dia juga mensyukuri segala nikmat Kasih Sayang Abadi. Oleh kerana keindahan, kesempurnaan, dan kasih sayang tersebut adalah kekal dan abadi, maka tentulah manusia sebagai cermin yang merindukan Keindahan dan penyeru yang mencintai Kesempurnaan abadi serta sebagai makhluk yang memerlukan dan mensyukuri Kasih Sayang Abadi itu akan dibangkitkan menuju negeri abadi untuk kekal di sana selamanya. Dia akan pergi menuju keabadian untuk menyertai mereka yang kekal di sana sekaligus hidup bersama Keindahan, Kesempurnaan dan Kasih sayang abadi untuk selamanya. Ini kerana Keindahan Abadi tersebut tidak akan reda dengan pencinta yang fana dan kekasih yang bersifat sementara. Oleh kerana keindahan mencintai dirinya sendiri, dia juga menginginkan balasan terhadap cintanya. Kefanaan dan perubahan menukarkan cinta menjadi permusuhan. Seandainya manusia tidak pergi menuju keabadian dan tidak kekal di sana maka di dalam fitrahnya akan muncul sebuah permusuhan menjadi pengganti kepada cinta yang mendasar terhadap Keindahan Abadi. Sebagaimana telah dijelaskan pada bahagian penjelasan pada nota kaki dalam Kalimat Kesepuluh (Risalah Tentang Hari Kebangkitan), pada suatu masa seorang wanita cantik yang masyhur telah mengusir seorang yang sangat meminatinya agar menjauhi dirinya. Justeru minat mendalam orang yang diusir itu berubah menjadi sebuah kebencian. Untuk memujuk dirinya dia berkata, “Agh! alangkah hodohnya wanita itu!” Dengan itu dia menghina dan menafikan kecantikan wanita. Benar, manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu sepertimana manusia ingin memusuhi dan mencari kesalahan pada sesuatu yang tidak mampu dia peroleh atau miliki. Seluruh alam bersaksi, bahawa Kekasih hakiki dan Dzat Yang Maha Indah membuat manusia mencintai diri-Nya menerusi nama-nama-Nya yang mulia dan kesemuanya Indah sekaligus menuntut balasan agar manusia mencintai-Nya. Jadi sudah tentu Allah SWT tidak akan membiarkan manusia sebagai makhluk yang Dia cintai dan yang Dia kasihi untuk memusuhi-Nya. Dia tidak menanamkan dalam fitrah manusia, sesuatu yang boleh mendorong manusia untuk menjauhi-Nya. Dia tidak menyemai permusuhan yang tersembunyi dalam fitrah makhluk mulia yang fitrahnya paling penyayang dan makhluk yang Dia sayangi serta paling luar biasa yang mana Dia ciptakan untuk mereka beribadah kepada-Nya. Manusia hanya dapat mengubati luka yang dalam akibat perpisahan abadi dengan Dzat Yang Maha Indah yang dia cintai dengan permusuhan, kemarahan dan penafian terhadap-Nya. Keadaan kaum kafir yang memusuhi Allah SWT bersumber dari prinsip ini. Oleh yang demikian, Dzat Yang Maha Indah akan membangkitkan manusia yang merupakan cermin ajaib yang mencerminkan diri-Nya menuju jalan keabadian untuk menyertai keindahan dan keabadian mutlak. Manusia secara fitrah dicipta untuk merindui dan mencintai Keindahan Abadi. Keindahan Abadi itu tidak mahu menerima pencinta yang fana. Oleh yang demikian, manusia akan mengobati kepedihan dan kesedihannya yang berpunca daripada ketidakmampuannya mencapai sesuatu matlamat atau maklumat yang tidak dapat dia peroleh dengan cara mencari kekurangan pada sesuatu itu bahkan ia berusaha menghilangkan kepedihan tadi dengan memusuhi sesuatu itu. Alam ini dicipta untuk manusia dan manusia dicipta untuk mengenal dan mencintai Allah SWT. Pencipta alam ini seiring nama-nama-Nya yang mulia bersifat abadi. Manifestasi nama-nama yang mulia bersifat kekal, berterusan dan abadi maka tentulah manusia akan dibangkitkan menuju negeri keabadian sekaligus hidup kekal di dalamnya. Begitulah, Rasul SAW yang mulia sebagai manusia paling sempurna dan bukti nyata atas kewujudan Allah SWT telah memperlihatkan seluruh kesempurnaan, nilai, dan kedudukan penting manusia seperti yang telah kami terangkan. Beliau menampakkan berbagai kesempurnaan tersebut pada dirinya dan agamanya secara sangat jelas dan sempurna sebagaimana yang dijelaskan tentang penciptaan manusia. Justeru ini bermaksud, alam semesta dicipta untuk manusia bahkan tujuan dan objek penciptaannya adalah manusia dan penciptaan paling berharga dan cermin paling jelas bagi keesaan-Nya adalah Muhammad SAW. عَلَي۟هِ وَ عَلٰى اٰلِهِ الصَّلَاةُ وَ السَّلَامُ بِعَدَدِ حَسَنَاتِ اُمَّتِهٖ يَا اَللّٰهُ يَا رَح۟مٰنُ يَا رَحٖيمُ يَا فَر۟دُ يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ يَا حَكَمُ يَا عَد۟لُ يَا قُدُّوسُ نَس۟ئَلُكَ بِحَقِّ فُر۟قَانِكَ ال۟حَكٖيمِ وَ بِحُر۟مَةِ حَبٖيبِكَ ال۟اَك۟رَمِ وَ بِحَقِّ اَس۟مَائِكَ ال۟حُس۟نٰى وَ بِحُر۟مَةِ اِس۟مِكَ ال۟اَع۟ظَمِ اِح۟فَظ۟نَا مِن۟ شَرِّ النَّف۟سِ وَ الشَّي۟طَانِ وَ مِن۟ شَرِّ ال۟جِنِّ وَ ال۟اِن۟سَانِ اٰمٖينَ Terjemahannya: Wahai Allah, wahai Yang Maha Pengasih, wahai Yang Maha Penyayang, wahai Yang Maha Bijaksana, wahai Yang Maha Adil dan wahai Yang Maha Suci, dengan kebenaran Kitab suci-Mu yang penuh hikmah, dengan kemuliaan kekasih-Mu yang paling mulia, dengan kebenaran nama-nama-Mu yang baik, dengan kehormatan nama-Mu yang agung, kami memohon kepada-Mu agar Engkau melindungi kami dari jahatnya jiwa dan syaitan serta dari jahatnya jin dan manusia. Amin., سُب۟حَانَكَ لَا عِل۟مَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّم۟تَنَٓا اِنَّكَ اَن۟تَ ال۟عَلٖيمُ ال۟حَكٖيمُ Terjemahannya: “Maha Suci Engkau! Tiada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah 2:32)

