Mektubat

The Twentieth Letter

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

بِاس۟مِهٖ سُب۟حَانَهُ وَ اِن۟ مِن۟ شَى۟ءٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَم۟دِهٖ لَٓا اِلٰهَ اِلَّا اللّٰهُ وَح۟دَهُ لَا شَرٖيكَ لَهُ لَهُ ال۟مُل۟كُ وَ لَهُ ال۟حَم۟دُ يُح۟يٖى وَ يُمٖيتُ وَ هُوَ حَىٌّ لَا يَمُوتُ بِيَدِهِ ال۟خَي۟رُ وَ هُوَ عَلٰى كُلِّ شَى۟ءٍ قَدٖيرٌ وَ اِلَي۟هِ ال۟مَصٖيرُ Sesungguhnya ayat yang menyimpulkan hakikat tauhid ini mengandungi 11 perkataan. Apabila ia dibaca selepas solat Maghrib dan Subuh, banyak fadilat dan kelebihan yang akan diperoleh, sehingga ada disebutkan dalam salah satu riwayat yang sahih, ia sampai ke tahap al-Ism al-A’zam (Nama Yang Maha Agung). Jadi, tidak syak lagi bahawa setiap perkataannya akan menitiskan satu harapan, satu penawar dan kegembiraan yang membahagiakan. Ia juga akan membawa ke tahap pengesaan Allah yang paling tinggi. Dan dari sudut al-Ism al-A’zam juga, ia akan menjelaskan keagungan wahdaniyyah (keesaan) dan kesempurnaan tauhid. Hakikat yang luas lagi tinggi ini sudah diterangkan dengan jelas dalam kitab “al-Kalimat”. Jadi, sesiapa yang ingin mengetahui hakikat yang sudah dijelaskan itu bolehlah merujuk kitab al-Kalimat tersebut, tetapi di sini, memadailah dengan menggariskan indeksnya sahaja berupa intisari yang cukup ringkas, terdiri daripada satu mukadimah dan Maqam Pertama.

§2

Yakinilah! Bahawa sesungguhnya tujuan ciptaan yang paling murni dan kesudahan fitrah manusia yang paling tinggi adalah keimanan kepada Allah (al Imanu-billah). Ketahuilah tahap kemanusiaan yang paling tinggi dan kedudukan manusia sejagat yang paling baik adalah mengenal Allah (ma’rifatullah) yang terdapat dalam keimanan tersebut. Ketahuilah bahawa kebahagiaan manusia dan jin serta nikmat yang indah adalah kasih sayang Allah (mahabbatullah) yang terhasil daripada mengenal Allah tadi. Ketahuilah kebahagiaan yang paling suci bagi roh manusia dan kebahagiaan yang paling murni bagi hatinya adalah kelazatan roh (al-lazzatu al-ruhiyyah) yang diperoleh daripada kasih sayang itu. Ya, sesungguhnya semua jenis kebahagiaan yang sejati, kegembiraan yang murni dan nikmat yang tiada nikmat lain sesudahnya serta kelazatan yang tidak dapat ditandingi hanya terdapat dalam mengenal Allah (ma’rifatullah) dan dalam kasih sayang Allah (mahabbatullah). Tidak ada kebahagiaan, tidak ada kegembiraan dan tidak ada kenikmatan yang sejati tanpa kedua-dua perkara tersebut. Sesiapa sahaja yang benar-benar mengenal Allah SWT dan hatinya penuh dengan cahaya kasih sayang-Nya akan mendapat kebahagiaan yang tidak bertepi. Dia akan mendapat nikmat yang tidak terbatas. Dia juga akan mendapat cahaya dan rahsia yang tidak akan habis. Dia akan mendapatnya, sama ada melalui amalan dan kenyataan, atau melalui kesediaan dan kesanggupan. Manakala orang yang tidak mengenal Allah; Penciptanya yang sebenar-benarnya, yang tidak mempunyai sesuatu yang melayakkan dirinya dikasihi dan disayangi akan ditimpa kesengsaraan material dan kesengsaraan maknawi secara berterusan. Dia akan terus dihantui keperitan dan kepalsuan yang tidak bertepi. Ya, sesungguhnya inilah manusia malang yang mengaduh kesakitan kerana kehilangan Tuan dan Penjaganya. Dia berkeluh-kesah kerana kehidupannya yang tidak bererti dan tidak berpenghujung. Dia lemah dan tidak berdaya di celah-celah kumpulan manusia yang bernasib malang. Tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkannya daripada apa yang dialaminya, walaupun sultan dunia seluruhnya. Alangkah dashyat dan malang yang akan menimpa manusia yang berkeluh-kesah ini dalam meneruskan hidupnya yang akan musnah, di celah-celah kehidupan manusia yang tinggal bersendirian dan dalam keadaan sedih ini, seandainya dia tidak dapat mencari Tuannya yang hakiki dan mengenali Pencipta dan Tuhannya dengan sebenar-benarnya! Akan tetapi, sekiranya dia dapat mencari Tuhannya dan dapat mengenal Tuan dan Penciptanya, sudah tentu dia akan berlindung di bawah naungan nikmat Allah yang maha luas, dan bergantung pada ketinggian kudrat-Nya yang mutlak itu. Seterusnya, dunia yang buas ini akan bertukar menjadi sebuah taman yang menyeronokkan dan sebuah pusat perniagaan yang menguntungkan.

§3

Setiap perkataan yang terdapat dalam kata-kata tauhid yang menarik ini mengumumkan satu berita gembira dan menghamburkan satu harapan yang indah. Dalam setiap berita gembira ini ada penawar dan penyembuhnya. Dan dalam setiap penawar ini ada kelazatan maknawi dan kelapangan jiwa.

§4

لاۤ اِلٰهَ اِلاَّ اللّٰهُ (Tiada Tuhan melainkan Allah) Perkataan ini menitiskan kegembiraan yang besar dan harapan yang menggembirakan seperti berikut: Sesungguhnya jiwa manusia yang tamak dan rakus ini mempunyai kehendak yang tidak terbatas. Jiwa manusia ini juga turut diingini oleh pihak musuh yang tidak terkira banyaknya. Jiwa yang diuji di antara keinginan yang tidak terbatas dan pihak musuh yang tidak terhingga banyaknya ini, mendapat satu sumber rujukan yang luas daripada perkataan ini, yang membuatkan pintu-pintu khazanah rahmat yang luas itu terbentang di hadapannya. Dari pintu itu, akan ada sesuatu yang dapat mententeramkan semua keinginan dan menjamin semua kehendak jiwa manusia tadi. Dia juga akan mendapat satu tempat berpaut yang kuat dan satu tempat bernaung yang baik, yang akan melindunginya daripada semua kejahatan dan yang akan menjauhkannya daripada semua malapetaka. Hal ini semua adalah kerana kekuatan Allah SWT yang dilihat oleh manusia itu, yang memacunya kepada Tuannya Yang Maha Berkuasa dan yang menunjukkannya kepada Pencipta dan hamba-hamba-Nya. Dengan pandangan yang luas dan pengetahuan terhadap Allah Yang Maha Esa, perkataan ini dapat menyelamatkan hati manusia daripada kegelapan dan ketakutan yang menggerunkan itu. Ia juga dapat menyelamatkan jiwa manusia daripada derita kesedihan dan kedukaan, bahkan ia menjaminkan kegembiraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

§5

وَحْدَهُ (Maha Esa) Perkataan ini memancarkan harapan dan membawa berita gembira seperti berikut: Sesungguhnya jiwa manusia dan hatinya yang penuh dengan tekanan, bahkan yang tenggelam sehingga terasa sesak, dibebani pula dengan pelbagai hubungan dan ikatan kuat dengan makhluk lain. Namun, jiwa itu akan menemui tempat perlindungan yang aman melalui kalimah ini, yang mampu menyelamatkan jiwa dan hati manusia dari segala bencana dan tekanan tersebut. Hal ini demikian kerana kalimah ini membawa makna: Sesungguhnya Allah itu Maha Esa. Janganlah memenatkan dirimu dengan memohon kepada selain-Nya. Janganlah merendahkan diri dan berasa terhutang budi kepada mereka. Janganlah kamu tunduk dan patuh kepada mereka secara melulu. Janganlah kamu menyusahkan diri kamu dan terkejar-kejar di belakang mereka. Janganlah kamu takut dan gentar di hadapan mereka. Hal ini kerana Sultan dunia ini hanya satu. Dia memiliki kunci semua perkara. Dengan tangan-Nya, Dia mengendalikan semua perkara. Semua ikatan dan belenggu terurai dengan perintah-Nya. Semua kesusahan akan berakhir dengan izin-Nya. Sekiranya kamu menemui-Nya, sudah tentu kamu akan memiliki segala-galanya. Kamu akan mendapat apa yang kamu hajati. Kamu juga akan terselamat daripada beban penderitaan dan kesakitan, juga terselamat daripada belenggu ketakutan dan kepalsuan.

§6

لاَ شَرِيكَ لَهُ (Tidak ada sekutu bagi-Nya ) Yakni: Allah SWT tidak mempunyai tandingan dan sekutu dalam ketuhanan-Nya kerana Allah itu Maha Esa. Sifat ketuhanan-Nya, tindakan dan kemampuan-Nya untuk mengadakan semua benda juga adalah suci daripada syirik. Ia bertentangan dengan sultan-sultan lain di dunia ini kerana apa yang berlaku ialah ketuanan sultan itu tidak dikongsi dengan orang lain, tetapi tindakannya tidak begitu. Para pegawai dan pembantunya dianggap rakan kongsinya yang akan memudahkan urusan dan yang akan melaksanakan rancangan-rancangannya. Mereka boleh mengubah rancangan-rancangan tersebut tanpa perlu mengadapnya. Mereka juga boleh meminta supaya rancangan-rancangan itu dirujukkan kepada mereka terlebih dahulu. Akan tetapi, Allah SWT merupakan Sultan sejak azali lagi hinggalah selama-lamanya. Dia hanya satu dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kesultanan-Nya. Dia tidak memerlukan rakan kongsi dan para pembantu untuk melaksanakan segala urusan ketuhanan-Nya. Hal ini kerana tidak ada satu benda pun yang boleh memberi kesan kepada benda lain melainkan dengan perintah, kuasa dan kekuatan-Nya. Semua benda boleh merujuk kepada Allah tanpa perantara, kerana Dia tidak mempunyai sekutu atau pembantu. Pada saat itu, Allah SWT tidak akan mengatakan: Kamu tidak boleh masuk mengadap ke hadrat Allah SWT kepada semua yang datang mengadap-Nya. Beginilah intipatinya, perkataan ini membawa satu harapan dan berita gembira yang membahagiakan. Lalu ia berkata: Manusia yang rohnya disinari cahaya keimanan boleh mengemukakan semua hajat dan keinginannya tanpa sekatan dan hijab tabir di hadapan Allah SWT; Tuhan Yang Maha Indah yang memiliki ketinggian dan Yang Maha Berkuasa yang memiliki kesempurnaan. Manusia boleh memohon sesuatu untuk memenuhi keinginannya, tidak kira siapa dia dan di mana dia berada. Dia boleh mengemukakan semua kehendak dan keinginannya di hadapan Allah Yang Maha Pemurah itu, yang mempunyai khazanah rahmat yang luas, dengan bergantung pada kekuatan-Nya yang mutlak. Pada ketika itu, dia akan diselubungi kegembiraan dan kebahagiaan yang sempurna.

§7

لَهُ الْمُلْكُ (semua milik adalah hak-Nya) Yakni: Kekuasaan dan pemilikan ini seluruhnya adalah kepunyaan Allah SWT, tanpa dikecualikan dan kamu juga adalah milik-Nya. Kamu juga adalah hamba-Nya dan kepunyaan-Nya. Kamu hanyalah merupakan satu unsur atau satu benda yang menjadi milik-Nya. Perkataan ini menghembuskan satu harapan dan menitiskan satu berita gembira yang membawa penawar. Ia berkata: Wahai manusia! Janganlah kamu sangka kamu pemilik dirimu.Tidak, kerana sesungguhnya kamu tidak mampu menguruskan urusan dirimu sendiri. Ia merupakan satu beban dan satu tanggungan yang berat. Tidak mungkin kamu boleh menjaganya, seterusnya menjauhkan dia daripada bencana dan malapetaka dan menyediakan keperluan-keperluan hidupmu kepadanya. Jadi, janganlah kamu menjatuhkannya ke dalam lembah ketakutan dan keluh-kesah yang tidak berpenghujung. Harta itu bukan kepunyaanmu, bahkan ia adalah kepunyaan orang lain, iaitu Raja Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengasihani. Maka bergantunglah kamu pada kekuasaan-Nya. Janganlah kamu memandang serong pada rahmat-Nya. Buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Tinggalkan kesusahan dan kesakitan. Tariklah nafasmu panjang-panjang dan ambillah kebahagiaan dan kegembiraan ini. Ia juga berkata:Sesungguhnya, alam semesta ini, yang kamu cintai, yang kamu ambil berat, yang kamu sedih dengan keadaannya yang kacau-bilau, dan yang kamu tidak mampu untuk memperbaikinya, adalah milik Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Penyayang. Oleh itu, serahkanlah kembali kepada tuannya dan tinggalkanlah ia. Biarlah Dia menguruskannya dan berbahagialah kamu dengan kegembiraan dan kebahagiaan, tanpa diganggu dan dibebani oleh kesusahan dan penderitaan. Allah itu Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Dia menguruskan harta kepunyaan-Nya mengikut kehendak-Nya dan berdasarkan kebijaksanaan dan rahmat-Nya.Apabila kamu didatangi rasa takut dan cemas, jenguklah dari jendela itu, tetapi janganlah kamu mencerobohinya. Bisikkanlah seperti yang dibisikkan oleh penyair Ibrahim Haqqi:Maksudnya: “Marilah kita melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan, kerana apa yang dibuat oleh-Nya lebih indah”.

§8

وَلَهُ الْحَمْدُ ( segala puji-pujian hanya untuk-Nya) Yakni, segala puji-pujian hanyalah untuk-Nya. Hanya Dia yang berhak menerimanya kerana seluruh nikmat dan pemberian ini datang daripada-Nya. Ia melimpah daripada khazanah-Nya yang luas itu, iaitu khazanah yang berterusan dan tidak akan habis. Oleh yang demikian, perkataan ini membawa satu berita gembira yang menyenangkan. Katanya: Wahai manusia! Janganlah kamu ukur penderitaan itu dengan kehabisan nikmat kerana khazanah rahmat tidak berpenghujung. Janganlah kamu menjerit kerana kelazatan yang hilang kerana nikmat itu hanyalah merupakan sebutir rahmat yang amat luas dan tidak akan berakhir. Buah-buahan akan silih berganti selagi pokoknya teguh berdiri.Ketahuilah wahai manusia bahawa sesungguhnya kamu boleh menjadikan kelazatan nikmat itu seratus kali ganda lebih baik dan lebih besar. Perkara tersebut boleh berlaku dengan cara melihat kehadiran rahmat itu kepadamu dan sifat pemurah-Nya, iaitu dengan bersyukur dan memuji Allah SWT. Hal ini kerana sebagaimana seorang raja besar dan sultan yang berkedudukan tinggi mengutuskan hadiah kepadamu – katakan sebiji epal misalnya – sudah tentu hadiah itu memberikan kelazatan yang mengatasi kelazatan epal itu sendiri berlipat kali ganda banyaknya. Kelazatan itu ialah kelazatan yang timbul hasil daripada perhatian yang diberikan oleh raja dan sultan itu yang meliputi perhatian istimewa (takhsis) dan kemurahan hati (ihsan). Begitu juga dengan perkataan “ ” (Bagi-Nya segala puji), iaitu dengan memuji dan bersyukur, dengan merasakan nikmat pemberian-Nya, mengenali Pemberi Nikmat dan merenungkan pemberian-Nya, merenungkan rahmat dan kasih sayang-Nya serta kelangsungan nikmat-Nya; ia akan membuka pintu kenikmatan rohani yang seribu kali lebih lazat daripada nikmat duniawi tersebut.

§9

يُحْيِى (Dia yang menghidupkan) Yakni: Allahlah yang memberikan kehidupan. Dialah juga yang memberikan rezeki. Dialah yang menjamin semua keperluan dan kehendak manusia dan Dialah juga yang menyediakan barang-barang keperluan dan mata pencarian mereka. Tujuan kehidupan yang mulia itu kembali kepada-Nya dan hasil-hasil penting kehidupan ini juga ditujukan kepada-Nya. Sembilan puluh sembilan peratus hasil daripada buah kehidupan itu adalah milik-Nya. Dan seterusnya perkataan ini menyeru manusia yang lemah dan fana, memberikan kegembiraan dan menghembuskan roh harapan ke dalam dirinya. Ia berkata: Wahai manusia! Janganlah kamu memenatkan diri dengan memikul beban kehidupan yang susah itu di atas bahumu yang lemah.Janganlah kamu merintih dan menangisi hidup yang akan musnah dan yang akan berakhir ini. Janganlah kamu berasa bosan dan kesal atas kehadiran kamu di dunia ini sekiranya kamu melihat nikmatnya hilang dan hasilnya tidak seberapa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan yang sementara ini akan kembali kepada-Nya, iaitu Allah Yang Maha Hidup lagi Maha Kekal. Dialah yang menjamin semua keperluan dan kehendak hidupmu. Hidup ini hanya akan kembali kepada-Nya, dengan matlamat dan hasil yang banyak. Engkau hanyalah seorang jurumudi biasa di kapal kehidupan itu. Lakukanlah tugasmu dengan sebaik-baiknya, terimalah upahmu, dan nikmatilah kehidupanmu. Renungkanlah betapa berharganya kapal kehidupan itu, dan betapa indahnya manfaat yang diberikannya, dan betapa Pemilik kapal itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bergembiralah dan bersyukurlah. Ketahuilah bahawa apabila engkau melaksanakan tugasmu dengan betul, semua hasil daripada tugasmu dalam kapal itu akan dicatatkan dalam buku amalanmu, menjamin kehidupan abadi bagimu, dan akan menghidupkanmu dengan kehidupan yang kekal abadi.

§10

وَيُمِيتُ (Dia yang mematikan) Yakni: Allah SWT lah yang menganugerahkan kematian, iaitu Dialah yang akan membebaskan kamu daripada tugas kehidupan dan menggantikan tempatmu di dunia yang fana ini. Dia akan menyelamatkanmu daripada bebanan tugas dan Dia akan membebaskan kamu daripada tanggungjawab. Maksudnya, Dia akan memindahkan kamu dari dunia yang fana ini kepada dunia yang kekal abadi. Begitulah perkataan ini dilaungkan ke telinga jin dan manusia. Ia berbunyi: Ada berita gembira untuk kamu semua. Kematian bukanlah satu pembasmian atau satu kemusnahan. Ia bukan sia-sia. Ia bukan untuk menghapuskan. Ia juga bukanlah satu perpisahan yang kekal selamanya. Bukan! Kematian bukan satu pembasmian, bukan satu kebetulan, bukan juga satu pemusnahan yang berlaku secara spontan, iaitu yang berlaku tanpa pelaku, bahkan ia merupakan satu kerehatan yang diberikan oleh Allah SWT, Yang Maha Mencipta, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengasihani. Ia merupakan satu penggantian tempat, perubahan taraf atau kedudukan, yang akan membawa kepada kebahagiaan yang berkekalan yang merupakan tempat asal, iaitu pintu yang akan menghubungkan kamu dengan alam barzakh alam yang akan menghimpunkan 99% para kekasihmu.

§11

وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ (Dialah yang hidup dan tidak akan mati) Yakni: Dialah Tuhan yang memiliki keindahan, kesempurnaan, dan ihsan yang jauh melampaui keindahan, kesempurnaan, dan ihsan yang terlihat dalam semua ciptaan alam semesta dan yang menjadi sebab timbulnya cinta. Dia adalah satu-satunya Tuhan Yang Maha Esa, yang satu gambaran keindahan-Nya sudah cukup untuk menggantikan semua yang dicintai. Dia memiliki kehidupan yang kekal abadi, yang bebas dari segala perubahan dan kerosakan, serta suci daripada segala kekurangan dan kecacatan. Maka, perkataan ini mengumumkan kepada jin, manusia, dan semua makhluk yang mempunyai kesedaran, serta kepada mereka yang memiliki cinta dan kasih sayang: “Bergembiralah! Sesungguhnya kamu mempunyai Kekasih Abadi yang akan menyembuhkan luka perpisahan yang tak terhingga dari kekasih-kekasihmu dan menyapu balsam penyembuh. Selagi Dia ada dan kekal, janganlah kamu risau tentang para kekasihmu itu. Mungkin keindahan, kemurahan, kelebihan, dan kesempurnaan yang menjadi sebab cintamu kepada para kekasihmu itu hanyalah bayangan samar daripada gambaran keindahan bagi Kekasih Abadi yang telah melalui banyak tirai. Janganlah kamu bersedih dengan kehilangan mereka, kerana mereka hanyalah seperti cermin. Perubahan dan penggantian cermin akan memperbaharui dan memperindahkan lagi pantulan keindahan yang mempesonakan. Selagi Allah SWT wujud, selagi itulah semua benda wujud.”

§12

بِيَدِهِ الْخَيْرُ (semua kebaikan ada di tangan-Nya) Yakni: Sesungguhnya semua kebaikan ada di tangan-Nya. Semua amal kebajikan akan dicatat dalam buku catatan-Nya dan semua amal soleh yang kamu lakukan ada dalam pengetahuan-Nya. Perkataan ini menyeru jin dan manusia. Ia membawa berita gembira. Ia juga memberikan harapan dan kerinduan kepada mereka. Ia berbunyi: ‘‘Wahai manusia! Apabila kamu meninggal dunia dan dibawa ke kubur, janganlah kamu menjerit: Alangkah sedihnya! Alangkah ruginya! Harta kekayaan kita hilang begitu sahaja, usaha kita selama ini hanya sia-sia, kita akan masuk ke kubur yang sempit setelah sekian lama kita hidup di dunia yang begitu luas ini!’’ Janganlah kamu semua menjerit kesedihan dan janganlah kamu berputus asa, kerana semua perkara yang kamu ada, disimpan rapi di sisi Allah SWT. Semua pekerjaan, amalan dan usaha yang kamu lakukan dicatatkan. Tidak ada satu perkara pun yang akan hilang dan tidak ada suatu usaha pun yang akan dilupakan kerana Allah SWT akan memberi balasan pahala kepada kamu semua. Dia akan memanggil kamu semua mengadap-Nya selepas kamu dimasukkan ke kubur, iaitu tempat persinggahanmu.Jadi, alangkah bahagianya kamu semua. Kamu telah menyempurnakan khidmat baktimu. Kamu telah melaksanakan tugas-tugasmu. Kesusahanmu telah berakhir, kamu akan menuju kepada ketenangan dan rahmat. Khidmatmu dan kesukarannya telah berakhir; kamu akan menerima ganjarannya. Ya! Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Mulia itulah yang memelihara benih-benih dan biji-biji yang merupakan halaman-halaman buku amalan dan peti-peti khidmat musim bunga yang lalu, dan menyebarkannya pada musim bunga berikutnya dengan cara yang sangat indah, bahkan mungkin seratus kali lebih banyak daripada asalnya. Pastinya Dia juga akan memelihara hasil hidupmu dan akan memberi ganjaran yang sangat banyak atas khidmatmu.

§13

وَهُوَ عَلٰى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ ( Dialah yang berkuasa terhadap semua perkara) Yakni: Dialah Yang Maha Esa, Yang Tunggal, dan Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dia tidak dihalangi oleh suatu apa pun. Dia tidak dibantu oleh sesiapa dan tidak ada satu perkara pun yang sukar dilakukan oleh-Nya. Dia mencipta satu musim bunga contohnya, dengan mudah dan senang seperti mencipta sekuntum bunga. Dia mencipta syurga dengan mudah dan senang seperti mencipta musim bunga itu. Pada setiap hari, setiap tahun dan setiap abad, ciptaan-ciptaan-Nya yang tak terhingga banyaknya, yang Dia ciptakan berulang-ulang dengan cara yang baru dan segar, menjadi saksi atas kekuasaan-Nya yang tak terbatas melalui lisan-lisan yang tak terhitung jumlahnya. Perkataan ini juga memancarkan satu harapan dan satu berita gembira. Ia berkata: Wahai manusia! Amalan yang kamu lakukan dan pengabdian yang kamu berikan tidak hilang begitu sahaja. Terdapat sebuah tempat pembalasan yang kekal abadi dan tempat kebahagiaan dan kegembiraan yang telah disediakan untuk kamu semua. Di hadapanmu terdapat Syurga abadi yang setia menunggu kehadiranmu, yang rindu kepadamu. Yakinlah pada janji Pencipta Yang Maha Tinggi, yang kepada-Nya kamu sujud dan beribadat, yang kamu percaya dan beriman kepada-Nya dan kamu rasa damai dan tenang di sisi-Nya. Maka mustahil Dia akan memungkiri janji yang dibuat-Nya sendiri kerana kekuasaan-Nya tidak dicemari dan dikotori oleh satu debu mahupun kekurangan. Perbuatan Allah terhindar daripada sifat lemah. Sebagaimana Dia mencipta sebuah taman yang kecil dan menghidupkannya untukmu, begitu juga Dia mampu mencipta sebuah syurga yang amat luas, bahkan Dia benar-benar telah menciptanya dan menjanjikan syurga itu untukmu. Dan kerana Dia telah berjanji, maka Dia akan menunaikan janji-Nya dan akan membawa masuk kamu semua ke Syurga itu. Hal ini kerana kita menyaksikan: Setiap tahun, Dia menghimpunkan dan menyebarkan lebih daripada tiga ratus ribu jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan di bumi dengan penuh keteraturan dan keseimbangan serta dengan kecepatan dan kemudahan yang sempurna. Maka, sudah tentulah Tuhan Yang Maha Kuasa itu berkuasa untuk memenuhi janji-Nya. Tambahan pula, setiap tahun, Tuhan Yang Maha Kuasa ini mampu menciptakan pelbagai contoh kebangkitan dan syurga dalam ribuan bentuk. Juga, melalui semua kitab samawi-Nya, Dia menjanjikan kebahagiaan abadi dan memberi khabar gembira tentang Syurga. Selain itu, semua perbuatan dan tindakan-Nya adalah benar dan nyata, serta penuh dengan kejujuran dan kesungguhan. Juga, melalui kesaksian daripada kesemua hasil karya-Nya yang sempurna itu, ia menunjukkan kepada kesempurnaan-Nya yang tidak terbatas. Bahkan, semua ini merupakan dalil bahawa Allah SWT terhindar daripada semua kekurangan dan kecacatan dan oleh sebab mungkir janji, dusta dan sengaja melambat-lambatkan urusan merupakan sifat yang paling buruk, dan juga merupakan satu kekurangan dan kecacatan, maka, semestinya Allah SWT Yang Maha Berkuasa, Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Sempurna, Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Indah pasti akan menunaikan janji-Nya. Pintu-pintu kebahagiaan yang abadi itu akan dibuka. Dan kamu semua wahai orang-orang yang beriman akan dimasukkan ke dalamnya, iaitu Syurga, tanah air bapamu; nabi Adam alaihissalam.

§14

وَاِلَيْهِ الْمَصِيرُ (kepada-Nya kita akan kembali) Yakni: Manusia diutus ke dunia ini, iaitu suatu alam ujian, dengan tugas penting untuk berdagang dan melaksanakan tanggungjawab. Setelah menyelesaikan perdagangan dan tugas-tugas mereka serta menamatkan khidmat, mereka akan kembali kepada Pencipta Yang Maha Mulia, yang telah mengutus mereka dan bertemu dengan Tuhan Yang Maha Pemurah. Mereka akan meninggalkan dunia yang fana ini dan dimuliakan dengan hadir ke hadrat keagungan Allah SWT di alam yang kekal abadi. Mereka akan terlepas daripada kekalutan sebab-musabab dan tirai-tirai kegelapan yang menghalang, dan akan bertemu dengan Tuhan Yang Maha Penyayang tanpa sebarang hijab di tempat kerajaan-Nya yang abadi. Setiap individu akan menemui dan mengenali siapakah Pencipta, Tuhan yang disembahnya, Pemelihara, Pemimpin dan Pemiliknya yang sebenar. Ayat ini memberikan berita gembira yang mengatasi segala berita gembira yang lain. Ia berkata: Wahai manusia! Adakah kamu tahu ke mana kamu sedang pergi dan ke mana kamu dihantar? Di akhir Kalimat Ketiga Puluh Dua, ada disebutkan: Kehidupan dunia selama seribu tahun yang penuh kebahagiaan tidak dapat menyamai satu jam kehidupan di syurga, dan seribu tahun kehidupan syurga itu sendiri tidak dapat menyamai satu jam melihat wajah Tuhan Yang Maha Indah lagi Maha Agung.Maka, kamu wahai manusia, sedang menuju ke medan rahmat-Nya dan akan kembali ke pangkuan-Nya. Segala keindahan sementara yang kamu kagumi, cintai, dan sangat kamu rindui di dunia ini hanyalah bayang-bayang yang terserlah daripada kecantikan Allah SWT dan keindahan nama-nama-Nya yang agung itu. Seluruh syurga dengan segala kenikmatannya adalah pancaran rahmat-Nya, dan semua rasa rindu, cinta, dan tarikan yang ada hanyalah percikan yang kecil daripada kasih sayang Allah SWT. Kamu sedang menuju ke hadrat Tuhan dengan diundang ke syurga-Nya yang kekal abadi.Oleh itu, janganlah kamu bersedih dan berdukacita apabila kamu masuk ke pintu kubur, tetapi masuklah dengan senyuman dan kegembiraan. Ayat ini juga memberi berita gembira dengan berkata: “Wahai manusia! Janganlah menyangka bahawa kamu menuju kepada kehancuran, ketidakwujudan, kehampaan, kegelapan, kelupaan, pereputan, dan tenggelam dalam kerumitan. Kamu bukan sedang menuju kepada kehancuran, tetapi kepada kekekalan. Kamu bukan sedang menuju kepada ketiadaan, tetapi kepada kewujudan yang abadi. Kamu bukan sedang menuju kepada kegelapan, tetapi kepada alam yang penuh cahaya. Kamu sedang menuju kepada Pemilik dan Tuan yang sebenar, dan kembali kepada takhta pemerintahan Sultan Yang Maha Kekal. Kamu tidak akan tenggelam dalam kerumitan, tetapi akan beristirahat dan damai di daerah tauhid. Kamu bukan sedang menuju kepada perpisahan, tetapi kepada pertemuan”.

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters