Mektubat

The Seventeenth Letter

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Yirmi Beşinci Lem’a’nın Zeyli Surat Takziah ke atas Kematian Anak بِاس۟مِهٖ “Dengan nama-Nya, tiada sesuatupun melainkan bertasbih memuji-Nya.” (al-Isra’: 44) Wahai Saudara akhiratku, tuan Hafiz Halid! Maksudnya: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah: 155-156) Saudaraku! Berita kematian anak anda membuatku sedih. Akan tetapi, اَلْحُكْمُ ِللّٰهِ “Hukum itu milik Allah SWT”, reda dengan ketetapan Ilahi dan penyerahan ke atas qadar Ilahi adalah suatu syiar Islam. Semoga Allah Yang Maha Agung mengurniakan kesabaran yang sepenuhnya kepada anda dan semoga Dia menjadikan arwah sebagai pembantu dan pemberi syafaat kepada anda di akhirat nanti. Saya akan menjelaskan lima noktah yang akan membawa khabar gembira dan memberikan hiburan hakiki kepada saudara dan kepada orang orang mukmin seumpama saudara:

§2

Firman Allah SWT: وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ Maksudnya: “… anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya) …” (al-Waqi’ah: 17) Ayat al-Qur’an tersebut memberikan khabar gembira dan menjelaskan bahawa sesungguhnya anak-anak orang mukmin yang meninggal dunia sebelum baligh akan dikekalkan di dalam syurga sebagai kanak-kanak yang disayangi sebagaimana selayaknya di syurga. Mereka juga akan menjadi punca kegembiraan abadi di dalam dakapan ibu bapa mereka yang dapat memasuki syurga. Mereka juga akan menjadi jaminan kepada perasaan kasih sayang abadi bagi kedua ibu bapa iaitu perasaan kasih sayang terhadap anak-anak serta bermanjaan dengan mereka. Oleh sebab semua perkara yang lazat terdapat di dalam syurga, maka tidak benarlah mereka yang mengatakan bahawa tiada tempat bagi kasih sayang terhadap anak-anak dan bermanjaan dengan mereka di dalam syurga, dengan alasan kerana tiada proses penerusan zuriat di dalamnya. Demikian juga di dalam syurga terdapat kejayaan besar kasih sayang terhadap anak-anak dan bermanjaan dengan mereka sepanjang jutaan tahun tanpa diselaputi oleh sebarang kesakitan atau kekeruhan, dibandingkan dengan kasih sayang dan bermanjaan dengan mereka dalam tempoh sepuluh tahun di dunia yang singkat yang diselubungi dengan pelbagai kesakitan. Semua perkara ini direalisasikan oleh ayat وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ menjadi paksi terbesar yang membawa kebahagiaan dan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.

§3

Pada satu ketika, terdapat seorang lelaki di dalam penjara. Kemudian, salah seorang anak kesayangannya dihantar untuk tinggal bersamanya. Lelaki itu bersedih kerana kelemahannya menyediakan keselesaan yang sepatutnya bagi anaknya, di samping kesengsaraan peribadi yang dihadapinya.Selapas itu, raja yang pengasih telah menghantar seorang utusan kepada lelaki tersebut dengan pesanan “Meskipun anak itu adalah anak anda, namun dia tetap salah seorang daripada rakyat beta. Beta akan mengambilnya daripada anda untuk dididik di bawah naungan istana yang indah.” Lelaki itu terus menangis dengan penuh hiba, lalu dia berkata: “Tidak! Saya tidak akan menyerahkan anak saya kerana dialah penawar dan penghibur hati saya!” Kawan-kawannya di dalam penjara berkata kepadanya: Mereka berkata: “Kesedihan anda itu tidak bermakna.” Jika anda bersedih kerana anak anda, itu tidak memberikan apa-apa pengertian kerana dia akan dihantar ke sebuah istana yang luas dan menggantikan penjara yang kotor, berbau busuk dan menyedihkan ini. Jika anda bersedih untuk diri anda dan untuk mendapatkan keuntungan diri sendiri sekiranya anak anda tinggal bersama anda, maka anda akan mengalami lebih banyak kesulitan dan kesakitan terhadap kesusahan anak anda di samping anda juga tidak yakin mendapatkan manfaat bagi diri anda yang sementara itu. Tetapi jika anak anda tinggal di istana, ia akan mendatangkan manfaat kepada diri anda, kerana dia akan menjadi asbab yang menurunkan rahmat raja terhadap anda. Anak anda itu akan menjadi umpama pemberi syafaat. Sudah pasti suatu hari nanti, raja akan memberikan peluang kepada anda untuk menemui anak anda. Raja tidak akan mahu agar anda bersedia untuk menerima kunjungan anak anda di penjara, dan raja tidak akan menghantar anak anda ke penjara untuk menemui anda, bahkan raja akan mengutus seseorang untuk menjemput anda ke istana bagi menemui anak anda, dengan syarat anda memberikan kepercayaan dan ketaatan kepada-Nya. Berdasarkan perumpamaan ini wahai saudaraku, anda dan orang-orang beriman yang seumpama anda ketika mengalami kematian anak hendaklah berfikir seperti ini: Anak itu tidak bersalah. Penciptanya merupakan al-Khaliq, ar-Rahim (Pencipta Yang Maha Pengasih) lagi al-Karim (Maha Pemurah). Dia telah membawa anak saya kepada rahmat dan belas kasihan-Nya yang paling sempurna sebagai ganti kepada didikan dan belas kasihan saya yang serba berkurangan. Dia telah membebaskannya dari penjara kesedihan, melapetaka dan kesulitan di dunia ini, lalu menghantarnya ke syurga Firdaus. Betapa gembiranya anak-anak tersebut! Jika dia tinggal dunia ini tiada siapa yang tahu apakah yang akan dilakukan oleh anak tersebut. Oleh itu, saya tidak kasihan kepadanya, saya tahu dia bernasib baik. Masih ada manfaat untuk diri saya sendiri dan saya tidak mengasihani diri saya atas permergian anak saya, dan saya tidak bersedih dan berdukacita. Hal ini demikian kerana jika anaknya itu terus kekal di dunia, dia hanya memperoleh sepuluh tahun kasih sayang anaknya yang sementara bercampur dengan kesakitan. Sekiranya seorang anak yang soleh dan mempunyai kemampuan dalam urusan dunia, berkemungkinan dia akan menolong saya. Tetapi dengan kematiannya, dia akan menjadi wasilah untuk memberikan syafaat kepada saya dalam bentuk kasih sayang terhadapnya dan kebahagiaannya di dalam syurga yang abadi. Oleh itu, sesiapa yang kehilangan kemanfaatan sementara yang diragui sebaliknya dia akan mendapat seribu keuntungan yang ditangguhkan, maka dia sepatutnya tidak memperlihatkan kesedihan yang menimpanya dan tidak mengeluh serta menyesal sama sekali!

§4

Kanak-kanak yang meninggal adalah makhluk, hak milik, khadam dan segala apa yang ada pada tubuhnya ialah ciptaan Pencipta (al-Khaliq) Yang Maha Pengasih. Ia juga merupakan kawan kepada kedua ibu bapanya semasa di bawah jagaan mereka buat masa yang sementara. Yang Maha Pencipta telah membuatkan kedua ibu bapa berkhidmat sebagai khadam kepada anak-anaknya. Sebagai balasan untuk perkhidmatan tersebut, Dia telah mengurniakan kepada kedua ibu bapa kelazatan kasih sayang dan sebagai upah segera perkhidmatan yang mereka lakukan terhadap anak.Kini sebagai satu ketetapan rahmat dan hikmah oleh yang Maha Mencipta lagi Maha Mengasihani, iaitu Dia pemilik yang memiliki sembilan ratus sembilan puluh sembilan daripada seribu bahagian anak itu telah mengambilnya kembali dan menamatkan khidmat anda terhadap anak itu.Oleh itu, adalah tidak layak bagi ahli iman yang hanya mempunyai satu bahagian daripada seribu bahagian yang bukan miliknya secara hakiki itu untuk berkeluh kesah dan meratap ketika kehilangan anaknya, kerana perbuatan tersebut hanya layak bagi ahli kealpaan dan kesesatan.

§5

Jika dunia ini kekal abadi, jika manusia akan hidup selama-lamanya dan jika perpisahan adalah abadi, maka barulah ketika itu kesedihan yang pedih dan kekecewaan mempunyai sedikit makna. Akan tetapi, oleh kerana dunia ini hanyalah rumah persinggahan, di mana sahaja anak yang meninggal itu telah pergi, maka kita semua juga pasti akan ke sana nanti.Tambahan pula, kematian ini tidak khusus untuk anaknya sahaja, akan tetapi ianya merupakan jalan yang akan dilalui oleh semua orang pada suatu hari nanti.Oleh sebab perpisahan bukanlah untuk selama-lamanya maka pada masa akan datan, dia akan bertemu dengan kedua ibu bapanya di alam barzakh dan di dalam syurga. Maka, kita sepatutnya berkata: اَلْحُكْمُ ِللّٰهِ “Hukum itu milik Allah. Dia yang memberikan dan Dia yang mengambilnya kembali daripada kita. Dengan penuh kesyukuran dan kesabaran, kita hendaklah berkata: Segala puji bagi Allah pada setiap keadaan.”

§6

Kasih sayang merupakan satu manifestasi belas kasihan Ilahi yang paling halus, indah, menyenangkan dan manis, ia adalah suatu penawar ajaib yang bercahaya. Ia adalah jauh lebih telus daripada cinta yang mengasyikkan, ia adalah suatu wasilah yang cepat untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Cinta majazi (metafora) dan cinta duniawi akan berubah menjadi cinta sejati bersama kesukaran yang terhebat untuk sampai kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, akan tetapi belas kasihan akan membuatkan hati terikat kepada-Nya dalam masa yang singkat dan lebih suci tanpa kesukaran. Kedua ibu bapa mengasihi anak mereka lebih daripada dunia dan segalanya. Ketika anak mereka diambil daripada mereka, sekiranya mereka bernasib baik dan jika mereka benar-benar beriman, maka mereka akan memalingkan muka mereka daripada dunia dan menemui al-Mun’im al-Hakiki (Yang Maha Pemberi Nikmat lagi Maha Hakiki). Mereka juga akan berkata: “Oleh sebab dunia ini fana, maka tidak layak untuk hati terpaut dengannya.” Ke mana sahaja anak itu pergi, seseorang akan membentuk ikatan yang kuat dengannya, dan dengan ini akan dia akan mencapai kedudukan kerohanian yang tinggi. Namun, bagi mereka yang tenggelam dalam kelalaian dan kesesatan tidak akan mendapatkan kebahagiaan dan khabar gembira daripada kelima-lima noktah di atas.Berdasarkan demikian anda dapat lihat betapa parahnya keadaan mereka, iaitu seperti berikut: Ketika para ibu melihat anak tunggal mereka sedang menghadapi sakaratul maut, jika mereka membayangkan bahawa dunia ini kekal abadi, maka mereka akan menganggap bahawa kematian itu adalah suatu ketiadaan dan perpisahan yang abadi akibat daripada kealpaan dan kesesatan mereka itu. Mereka memikirkan tanah kubur sebagai pengganti tempat tidur empuk anak mereka. Disebabkan kelalaian atau kesesatan, tidak terlintas dalam fikiran mereka tentang kerahmatan alam Syurga dan nikmat Firdausi yang dikurniakan Tuhan Yang Maha Penyayang dari segala yang penyayang. Justeru melalui perbandingan ini, anda dapat membayangkan sejauh mana kesedihan dan kedukaan yang mereka akan alami. Sementara itu, iman dan Islam akan berkata kepada orang mukmin: Penciptanya yang Maha Penyayang akan mengambil anakmu yang sedang mengalami sakaratul maut ini dari dunia yang fana dan membawanya ke syurga. Dia akan menjadikannya sebagai pemberi syafaat untukmu, dan akan menjadikannya sebagai anakmu yang abadi. Perpisahan itu hanyalah sementara, janganlah anda risau. Ucapkanlah: اَلْحُكْمُ ِللّٰهِ “Hukum itu milik Allah.” اِنَّا ِللّٰهِ وَاِنَّاۤ اِلَيْهِ رَاجِعُونَ “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah: 156), dan bersabarlah. اَل۟بَاقٖى هُوَ ال۟بَاقٖى Said Nursî

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters