Mektubat

The Twenty-Ninth Letter

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Risalah ini mengandungi “sembilan aspek” yang menjelaskan sembilan hikmah yang diambil daripada hikmah-hikmah yang terdapat dalam bulan Ramadan al-Mubarak.

§2

RISALAH RAMADAN Risalah ini mengandungi “sembilan aspek” yang menjelaskan sembilan hikmah yang diambil daripada hikmah-hikmah yang terdapat dalam bulan Ramadan al-Mubarak. Risalah ini mengandungi “sembilan aspek” yang menjelaskan sembilan hikmah yang diambil daripada hikmah-hikmah yang terdapat dalam bulan Ramadan al-Mubarak. بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِۤى اُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْاٰنُ هُدًى للِنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدٰى وَالْفُرْقَانِ “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan yang benar dengan yang salah.” (al-Baqarah, 185)

§3

Sesungguhnya puasa pada bulan Ramadan merupakan antara yang terawal disebut dalam rukun Islam. Rukun ini dianggap sebagai syiar Islam yang terbesar. Kebanyakan hikmah yang didapati daripada puasa Ramadan adalah bertujuan menzahirkan sifat ketuhanan Rububiyyah Allah s.w.t. Hikmahnya menjurus kepada kehidupan sosial manusia dan kehidupan peribadi mereka. Ia juga menjurus kepada pentarbiahan jiwa dan menyatakan kesyukuran kepada nikmat Allah s.w.t.. Antara hikmah yang kita dapat peroleh daripada ibadat puasa, kita akan ketengahkan satu hikmah yang dapat menyerlahkan Rububiyyah Allah s.w.t., iaitu: Allah s.w.t. menjadikan muka bumi ini umpama hidangan yang luas terbentang dipenuhi dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Hidangan itu diatur begitu rapi dan indah sekali. Melalui hidangan ini, Allah s.w.t. menunjukkan sifat Rububiyah-Nya yang sempurna. Dia menunjukkan sifat al-Rahmaniyyah dan al-Rahimiyyah sebagaimana yang disebutkan firman-Nya; مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ“Dia memberi nikmat dari arah yang tidak disangka-sangkakan”.(al-Talaq,3) . Tetapi disebabkan tabir ghaflah (kelalaian) dan sebab musabab yang lain, manusia tidak dapat melihat hakikat yang jelas ini dengan baik, kadang-kadang lupa. Tetapi dalam bulan Ramadan, orang-orang yang beriman dengan pantas akan menjadi seperti satu pasukan tentera yang tersusun. Seketika, sebelum waktu berbuka, mereka semua berada dalam keadaan yang bersiap sedia untuk menyahut panggilan al-Sultan al- Azali itu: “Silakan menjamah hidangan ini”. Mereka pun menyahut rahmat yang menyeluruh; meliputi pengabdian yang luas, teratur dan hebat. Adakah mereka yang tidak turut serta dalam peribadatan yang tinggi dan mulia ini layak disebut sebagai manusia?

§4

Salah satu daripada hikmah yang banyak pada puasa bulan Ramadan yang berkat ini adalah yang berhubung dengan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam “Kalimah Pertama”, makanan yang dibawa oleh khadam dari dapur Sultan pasti ada harganya. Adalah terlalu dungu kalau kita menyangka bahawa makanan yang bernilai itu murah dan tidak berharga. Adalah terlalu bodoh kalau kita tidak mengenali orang yang memberikan nikmat tersebut. Makanan dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu juga pasti ada harganya. Sudah pasti Allah s.w.t. meminta bayarannya, iaitu melalui pernyataan syukur kepada-Nya kerana zahir yang membawa nikmat tersebut dan pemilik zahirnya hanyalah umpama khadam yang membawa sesuatu makanan. Kita memberikan bayaran tertentu dan terhutang budi kepada mereka. Kita terus menerus memuji dan memuliakan mereka, bahkan kita menghormati mereka dan berterima kasih lebih daripada yang sepatutnya, sedangkan al-Mun`im al-Hakikilah yang sepatutnya berhak menerima pujian dan ucapan syukur itu. Demikianlah, rasa syukur dapat diwujudkan dengan mengetahui bahawa nikmat-nikmat tersebut adalah datang daripada-Nya secara terus, lantas menghargai nilai nikmat-nikmat itu dan merasa amat memerlukan terhadap nikmat-nikmat tersebut. Oleh itu, puasa pada bulan Ramadan yang dimuliakan ini merupakan satu kunci kesyukuran yang sebenar, tulus, agung dan menyeluruh. Hal ini demikian kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak ini disebabkan mereka tidak pernah merasai betapa perit azabnya rasa lapar yang sebenar. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasainya.Pada bulan-bulan yang lain, orang yang sentiasa kenyang tidak dapat menghargai nilai nikmat yang banyak ini kerana mereka tidak pernah merasa keperitan lapar yang sebenar. Sebagai contoh nikmat yang tersembunyi dalam sepotong roti kering; lebih-lebih lagi bagi mereka yang kaya raya. Hanya orang mukmin yang dapat merasainya ketika mereka berbuka puasa akan nilai sekeping roti kering ini. Hal ini membuktikan betapa berharga dan bernilainya nikmat itu melalui deria rasanya. Oleh itu, pada bulan Ramadan orang yang berpuasa, bermula daripada sultan hinggalah kepada orang yang paling miskin sama-sama akan mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t.. Hal ini demikian kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat itu. Mereka yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari akan menyedari bahawa ia adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, mereka akan membisikkan kepada diri mereka: “Nikmat-nikmat ini bukanlah milikku. Aku tidak boleh memakannya sesuka hati kerana ia adalah milik dan kurniaan daripada seseorang. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahan-Nya”. Dengan cara tersebut dia dapat memahami nikmat itu sebagai nikmat yang hakiki lantas mensyukurinya secara maknawi. Kerana itulah, puasa telah menjadi kunci kesyukuran dari pelbagai sudut. Sesungguhnya kesyukuran merupakan tugas hakiki setiap insan.

§5

Salah satu hikmah yang menjurus kepada kehidupan sosial manusia ialah: Manusia dicipta dan mempunyai taraf kehidupan yang berbeza. Berdasarkan perbezaan ini, Allah s.w.t. mengajak orang kaya agar menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara mereka yang miskin. Orang kaya dapat menghayati dengan sepenuhnya keadaan kelaparan orang miskin melalui rasa lapar yang dialaminya sendiri ketika berpuasa.Jika tidak kerana puasa, sudah pasti ramai orang kaya akan sentiasa menurut hawa nafsu mereka. Sudah pasti mereka tidak dapat merasai kelaparan dan kemiskinan yang memedihkan. Sudah pasti mereka tidak sedar betapa orang miskin amat memerlukan belas ihsan orang lain. Oleh itu, sifat belas kasihan terhadap sesama manusia merupakan salah satu faktor utama yang boleh mencetuskan rasa syukur yang sebenar, kerana setiap orang mungkin akan berjumpa dengan orang yang lebih miskin daripadanya. Justeru, dia bertanggungjawab untuk mengasihani orang tersebut. Jika manusia tidak dipaksa untuk merasai sendiri betapa pedihnya berlapar, sudah pasti tidak akan ada seorang pun yang akan berasa kasihan terhadap orang lain; sesuatu yang akan mendorongnya supaya membantu dan menolong sesama manusia. Perkara ini dapat dilakukan dengan wujudnya perasaan belas kasihan terhadap makhluk sepertinya. Jika seseorang itu membantu orang miskin yang kelaparan tanpa merasai sendiri kelaparan itu, sudah pasti dia tidak akan dapat menghulurkan bantuan itu dengan sempurna kerana dia sendiri tidak pernah merasai betapa perit dan sengsaranya rasa lapar itu.

§6

Salah satu hikmah berpuasa dalam bulan Ramadan adalah mendidik (tarbiah) nafsu manusia: Nafsu secara tabiinya tidak suka dibelenggu dengan sebarang ikatan. Sehingga sampai ke satu tahap, secara fitrahnya nafsu itu mengimpikan sifat ketuhanan (rububiyah) bagi dirinya Ia mahu bergerak bebas sebagaimana yang disukainya. Ia tidak mahu memikirkan tentang kejadiannya; yang tumbuh membesar dari nikmat Allah s.w.t. yang tiada had. Lebih-lebih lagi jika ia memiliki kuasa dan harta yang banyak. Ini ditambah lagi dengan sifat lalai dan alpa. Dengan demikian, ia seolah-olah telah menelan nikmat Allah s.w.t. seperti seekor haiwan tanpa mendapat kebenaran dan keizinan-Nya. Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini, nafsu setiap manusia, daripada orang yang paling kaya hinggalah orang yang paling miskin mula mengerti dan sedar bahawa ia bukanlah pemilik dirinya, bahkan dia adalah milik orang lain sepenuhnya. Ia tidak bebas, tetapi hamba yang mesti menurut arahan. Nafsu tidak mampu mengerakkan tangannya untuk melakukan sekecil-kecil perkara walaupun bagi mendapatkan air. Dengan cara tersebut, hancurlah tipu daya nafsunya (keinginan ingin memiliki sifat ketuhanan). Justeru ia akan terikat kepada pengabdian kepada Allah s.w.t., dan melaksanakan tugasnya yang utama iaitu bersyukur.

§7

Salah satu hikmah puasa di bulan Ramadan adalah bertujuan untuk mendidik hawa nafsu manusia dan membebaskan dirinya daripada tindakan dan kelakuan yang tidak baik: Akibat lalai dan alpa, nafsu manusia akan melupakan dirinya. Ia tidak mahu melihat kelemahan diri, kehendak dan kekurangan yang tidak terbatas yang terdapat dalam dirinya. Bahkan, ia tidak nampak dan tidak mahu melihat berbagai kelemahan yang tersembunyi dalam dirinya. Ia tidak sedar kedaifan dirinya, betapa ia terdedah kepada kemusnahan dan kesukaran. Ia lupa pada asal usul kejadiannya yang hanya terdiri daripada daging dan tulang yang akan rosak binasa dengan cepat. Nafsu serakah menyangka dirinya diperbuat daripada besi waja yang akan terhindar daripada kemusnahan dan kematian serta kekal abadi. Lantaran itu, nafsu terlalu bergantung kepada dunia. Ia mencampakkan dirinya ke dalam dakapan dunia dengan membawa keinginan dan ketamakan yang amat sangat. Ia mengikat dirinya dengan dunia dengan penuh kemesraan dan semarak kasih sayang. Nafsu menguatkan cengkaman ke atas semua benda yang lazat dan bermanfaat sehingga lupa akan Penciptanya, yang telah membelanya dengan penuh kasih sayang. Ia akan terjerumus ke dalam jurang akhlak yang buruk dan melakukan maksiat dan pada masa yang sama ia lupa kepada akibat dan kesudahan hidupnya di dunia serta kehidupannya di akhirat.Akan tetapi, melalui ibadat puasa, orang yang paling lalai dan paling degil sekalipun akan dikejutkan dengan rasa kelemahan, keperluan (kekurangan) dan keterbatasan mereka. Melalui rasa lapar, setiap orang akan berfikir tentang keperluan perut mereka. Mereka akan ingat betapa kerdil dan lemahnya diri mereka, betapa ia memerlukan rahmat Allah s.w.t. dan belas kasihan-Nya. Lantas menimbulkan dalam dirinya satu kekuatan untuk mengetuk pintu taubat dengan segala kelemahan diri dan kekurangannya. Oleh itu mereka akan membuang sifat seperti Firaun dalam diri mereka dengan mengetuk pintu rahmat Ilahi dengan penuh rasa kesyukuran selagi mana kelalaian tidak merosakkan hati mereka.

§8

Hikmah turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sebagai bulan yang paling utama, ialah: Oleh kerana al-Quran al-Karim diturunkan pada bulan Ramadan, maka segala kehendak yang buruk mestilah dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta hendaklah dilontarkan jauh-jauh sebagai persediaan untuk menyambut bicara Ilahi dengan cara yang sesuai. Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati kembali waktu penurunan al-Quran pada bulan Ramadan dan berusaha menjiwai sifat kerohanian seperti para malaikat, iaitu dengan cara meninggalkan makanan dan minuman serta berqiamullail dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat suci itu baru sahaja diturunkan. Mereka mendengar dan menghayatinya dengan penuh khusyuk. Mereka mendengar kandungan bicara Ilahi itu untuk mencapai maqam dan kerohanian yang tinggi. Mereka membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah mereka mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w., mereka begitu tertarik mendengarnya seolah-olah mereka mendengarnya daripada Jibril a.s., bahkan daripada Allah s.w.t. sendiri, Yang Maha Berkata-kata lagi Azali. Kemudian al-Quran itu hendaklah dibaca dan diperdengarkan pula kepada orang lain sambil menjelaskan hikmah penurunannya. Sesungguhnya pada bulan Ramadan al-mubarak, dunia Islam seolah-olahnya bertukar menjadi seperti sebuah masjid yang besar. Alangkah besarnya masjid itu, sehinggakan setiap sudut dan penjurunya dipenuhi oleh berjuta para hafiz al-Quran al-karim. Mereka membaca kalam dari samawi (langit) itu sehingga didengari oleh penduduk bumi dengan menzahirkan kalam itu dalam bentuk yang hebat untuk membenarkan ayat suci al-Quran yang berbunyi:شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِۤى اُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْاٰنُ “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran...” yang menegaskan bulan Ramadan sebenarnya ialah bulan al-Quran. Sementara orang lain yang ada dalam jemaah yang besar itu, ada yang mendengar bacaan para hafiz dan juga ada yang membacanya sendiri.Alangkah keji dan hinanya orang yang menja-uhkan diri dari masjid yang suci lagi mempunyai kedudukan yang hebat ini hanya kerana mengejar makan dan minum serta mengikut hawa nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan! Betapa orang itu akan diperkecilkan secara maknawi oleh ahli jemaah masjid tersebut. Begitulah keadaan orang-orang yang tidak berpuasa dan orang-orang yang menghalang orang berpuasa pada bulan yang mulia ini. Mereka akan menjadi sasaran penghinaan dan dibenci oleh seluruh dunia Islam.

§9

Dari aspek usaha manusia yang hidup di dunia ini dengan bercucuk tanam dan berurus niaga untuk mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat, bulan Ramadan mempunyai hikmah seperti berikut: Satu ganjaran pahala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan al-mubarak akan digandakan menjadi seribu. Mengikut hadis, setiap huruf al-Quran al-Karim mempunyai sepuluh pahala yang akan membuahkan hasilnya sepuluh kali ganda di syurga. Pada bulan Ramadan, setiap huruf tersebut melahirkan bukannya sepuluh, malah seribu ganjaran buah pahala di akhirat.Sesungguhnya, setiap huruf daripada huruf-huruf ayat al-Quran seperti Ayatul-Kursi akan membuahkan seribu hasil ganjaran pahala pada hari akhirat kelak dan pada setiap hari jumaat dalam bulan Ramadan pahala tersebut akan berlipat ganda lagi dan setiap huruf akan menjadi sebanyak tiga puluh ribu kali gandaan pada malam Lailatul Qadar. Benar, sesungguhnyalah al-Quran al-Karim memberikan kepada kita bagi setiap hurufnya tiga puluh ribu pahala yang abadi, umpama buah-buahan pohon Tuba yang bercahaya dan berkekalan di dalam Syurga pada bulan Ramadan untuk direbut oleh orang-orang mukmin yang tidak terkira banyaknya. Renungilah dan hayatilah perniagaan yang suci, kekal dan menguntungkan ini. Kemudian, fikirlah tentang mereka yang tidak menghargai nilai huruf-huruf yang suci ini. Alangkah besarnya kerugian yang ditanggung oleh mereka. Dengan lain perkataan, bulan Ramadan al-mubarak ini menyerupai sebuah perayaan perniagaan akhirat yang sangat menguntungkan; seperti bumi yang sangat subur untuk menghasilkan hasil-hasil tanaman akhirat; Ramadan adalah umpama hujan yang turun pada musim bunga; Ramadan juga adalah umpama pesta yang besar dan perayaan yang meriah untuk mempamerkan perarakan peribadatan manusia bagi menzahirkan keagungan dan Rububiyyah Ilahi. Oleh itu, manusia disuruh berpuasa agar dia tidak terus lalai dan alpa, tidak makan dan minum yang keterlaluan seperti nafsu haiwan dan dapat mengelak daripada terus tenggelam dalam syahwat dan perkara-perkara yang tidak memberikan apa-apa faedah. Melalui puasanya, dia menjadi seumpama sebuah cermin yang membalikkan sifat al-Samadaniyah, dia keluar buat seketika daripada sifat kehaiwanan dan masuk ke dalam satu keadaan yang menyerupai malaikat, atau dia menjadi individu yang melibatkan diri dalam perniagaan akhirat dan menjauhkan diri daripada tuntutan dunia yang sementara ini. Benar, Ramadan al-mubarak memberikan kehidupan yang kekal bagi orang yang berpuasa di dunia yang fana ini. Satu bulan Ramadan sahaja boleh memberikan kepada seseorang yang berpuasa hasil yang boleh diperoleh oleh orang yang hidup selama lapan puluh tahun. Hakikatnya, kedudukan Lailatul Qadr yang disebut dalam al-Quran sebagai lebih baik daripada seribu bulan adalah menjadi bukti kepada rahsia ini. Misalnya, seorang raja akan menetapkan hari tertentu pada setiap tahun pemerintahannya sama ada pada hari pertabalannya atau hari-hari kebesaran kerajaannya sebagai hari perayaan buat rakyatnya. Pada hari itu, baginda menganugerahi rakyatnya dengan ihsan, nikmat dan kebaikannya dengan diberikan sepenuh perhatian. Baginda menjemput rakyatnya masuk ke balairong serinya tanpa ada tabir dan layanan istimewa diberikan kepada mereka. Begitulah juga dengan Yang Maha Berkuasa, Yang Azali, Yang Memiliki Ketinggian dan Kemuliaan, iaitu Sultan Yang Azali dan Abadi, dan Sultan Yang Maha Mulia bagi lapan belas ribu alam. Pada bulan Ramadan, Allah s.w.t. menurunkan perintah-Nya yang mulia lagi tinggi melalui al-Quran al-Karim yang ditujukan kepada lapan belas ribu alam tersebut. Oleh itu, ketibaan bulan yang berkat ini dianggap seperti sebuah pesta dan perayaan Ilahi yang istimewa lagi meriah. Ia seperti sebuah pameran Rabbani yang amat hebat. Bulan Ramadan umpama satu majlis kerohanian yang menakjubkan, yang merupakan satu tuntutan hikmah, hari-hari teristimewa yang meriah dan menyeronokkan. Justeru, bulan tersebut mestilah dipenuhi dan dihidupkan dengan ibadat puasa agar manusia bebas daripada sifat-sifat yang rendah dan nafsu serakah haiwan. Puasa yang paling sempurna ialah puasa yang melibatkan semua pancaindera manusia seperti mata, telinga, hati, dan fikiran berpuasa bersama perut. Ini bermaksud orang yang berpuasa itu hendaklah menjauhkan pancaindera tersebut daripada perkara-perkara yang haram, buruk dan tidak berfaedah serta memandu setiap pancaindera kepada pengabdian mereka yang khusus. Contohnya, bagi menahan lidah daripada bercakap bohong, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata buruk, sentiasalah membasahkan lidah dengan membaca al-Quran al-Karim, bertasbih dan berzikir dengan memuji nama-nama-Nya, berselawat ke atas Rasululah s.a.w. dan beristighfar serta memohon keampunan ke atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Contoh seterusnya, menahan mata daripada melihat mereka yang bukan muhrim dalam batas-batas yang diharamkan, serta menutup telinga daripada mendengar perkataan-perkataan yang keji, hendaklah mengarahkan mata dan telinga untuk membaca dan mendengar perkara-perkara yang benar dandi dalam al-Quran. Dengan demikian, seluruh pancaindera yang lain turut berada dalam keadaan berpuasa.Seperti yang diketahui, perut merupakan sebuah kilang yang sangat besar. Jika ia diarahkan bercuti daripada bekerja melalui berpuasa, maka operasi bengkel-bengkel lain yang lebih kecil dapat mengikutinya dengan mudah.

§10

Salah satu daripada pelbagai hikmah berpuasa, yang berkait dengan kehidupan peribadi manusia adalah seperti berikut: Ibadah puasa adalah diet fizikal dan rohani yang paling mujarab bagi manusia. Dari sudut perubatan, selagi manusia makan dan minum mengikut nafsu, maka selagi itulah dia akan mendatangkan kemudaratan fizikal terhadap kehidupan peribadinya. Begitulah juga keadaan kehidupan rohaninya, kerana apabila dia makan dengan gelojohnya semua yang diperoleh, tanpa mengira halal dan haram, maka makanan itu akan meracuni kehidupan, bahkan nafsunya juga sudah sampai ke tahap mengingkari hati dan rohnya. Nafsu itu sudah tidak patuhi dan tunduk lagi kepada hati dan roh. Nafsu itu akan mengawal diri seseorang itu dengan bebas tanpa ada sebarang sekatan. Lantas, ia memandu manusia ke arah perkara-perkara yang buruk tanpa dapat dijaga dan dikawal oleh manusia itu sendiri. Melalui amalan berpuasa pada bulan Ramadan, nafsu akan terbiasa dengan diet tertentu. Ia akan berusaha menjadi berdisiplin dan belajar mentaati suruhan. Selanjutnya ia tidak akan mengundang penyakit yang disebabkan oleh perut yang kekenyangan dan yang disumbat dengan pelbagai jenis makanan sebelum makanan yang terdahulu dapat dihadamkan. Ia juga akan beroleh kekuatan untuk mendengar perintah yang datang daripada akal dan syarak serta berusaha menghindarkan diri daripada terjatuh ke lembah yang haram dan berusaha untuk tidak mengeruhkan kehidupan maknawinya. Selain itu, pada kebiasaannya, kebanyakan manusia kerapkali menderita kelaparan. Oleh itu, mereka memerlukan suatu latihan berbentuk kelaparan dan disiplin yang dapat membiasakan manusia bersabar dan mampu menanggung kesusahan.Puasa pada bulan Ramadan merupakan satu latihan. Ia merupakan satu proses membiasakan diri untuk berpuasa dan bersabar menahan lapar selama 15 jam atau 24 jam bagi mereka yang tidak sempat bersahur. Oleh itu, puasa merupakan ubat yang mujarab untuk mengubat kegelisahan dan kegopohan manusia dan ketidakupayaan mereka untuk menanggung perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi musibah dan dugaan. Begitu juga dengan perut. Ia bagaikan sebuah kilang yang mempunyai ramai pekerja. Di dalam badan manusia itu terdapat organ-organ yang mempunyai hubungan dan kaitan dengan perut tersebut. Sekiranya bahagian dalaman badan tidak berhenti melakukan aktiviti pada waktu siang selama sebulan, maka perkara ini akan menyebabkan pekerja-pekerja tersebut lupa tugas khusus mereka. Ia akan membuatkan mereka lalai dan lupa. Ia akan menjadikan mereka berada di bawah pengaruh nafsu. Akibatnya, alat dan organ lain akan rosak, berserabut dan terganggu kerana bunyi dan asap tebal yang keluar dari mesin kilang maknawi tersebut. Ia akan terus-menerus mementingkan diri sendiri dan akan melupakan tugas pentingnya buat seketika. Disebabkan perkara inilah, kebanyakan para wali Allah s.w.t. yang soleh berusaha melatih diri mereka dengan mengurangkan makan dan minum supaya mereka dapat memanjat tangga kesempurnaan. Akan tetapi, dengan berpuasa dalam bulan Ramadan, para pekerja tersebut menyedari bahawa mereka bukan dijadikan untuk kilang itu sahaja, bahkan mereka (organ dan pancaindera itu) juga dapat mengecapi kelazatan yang tinggi. Mereka turut dapat mengalami kesucian kerohanian seperti malaikat dalam bulan yang mulia itu. Daripada terus lalai dan berfoya-foya dengan kilang itu, mereka memilih untuk memusatkan perhatian mereka kepada kelazatan dan nikmat tersebut. Oleh itu, kamu dapat melihat orang mukmin pada bulan Ramadan al-mubarak mendapat pelbagai cahaya, kelebihan dan kegembiraan maknawi, bergantung kepada tahap dan kedudukan masing-masing. Terdapat pelbagai peningkatan dan kemajuan yang besar bagi fakulti-fakulti yang halus seperti hati, roh, akal, sır dan seumpamanya. Sekalipun perut menangis dan menjerit, semua anggota yang lain ketawa dan gembira dalam keadaan suci.

§11

Dari segi aspek pengabdian yang diperkenalkan melalui pemusnahan nafsu itu dan dari segi menzahirkan kelemahannya di hadapan Allah s.w.t., puasa bulan Ramadan memberikan hikmah seperti berikut: Sesungguhnya hawa nafsu tidak mahu mengenali Tuhannya. Nafsu ingin memiliki sifat ketuhanan seperti Firaun. Walaupun nafsu diazab dan dikasari, namun sifat ketuhanan yang disangka menjadi miliknya itu tetap ada. Keangkuhan tersebut hanya akan tunduk apabila berhadapan dengan kelaparan.Puasa dalam bulan Ramadan memberi pukulan maut kepada sikap umpama Firaun yang tertanam dalam nafsu. Lalu, puasa itu mematahkan kuasa nafsu tersebut dengan menzahirkan keterbatasan, kelemahan dan kekerdilannya serta membuatkan nafsu itu kenal bahawa ia adalah hamba. Ada disebutkan dalam salah satu riwayat hadis: Allah s.w.t. telah berfirman kepada nafsu: “من أنا و ما أنت’’ “Siapakah Aku dan siapakah kamu?” Nafsu menjawab: أنت أنت, أنا أنا “Aku adalah aku, kamu adalah kamu.“ Lalu Allah s.w.t. mengazabnya dan menghumbankannya ke dalam neraka. Kemudian nafsu itu ditanya sekali lagi, nafsu menjawab : “Aku adalah aku, kamu adalah kamu.“ Sekalipun pelbagai azab dikenakan kepadanya, sifat keakuannya tidak berubah… kemudian Allah s.w.t. mengazabnya dengan kelaparan, iaitu dengan membiarkannya lapar. Kemudian nafsu ditanya lagi: “من أنا و ما أنت’’ “Siapakah Aku dan siapakah kamu?” Nafsupun menjawab: “Kamu adalah Tuhanku Yang Maha Mengasihani dan aku adalah hamba-Mu yang lemah”. Ya Allah! Selawat dan salam buat junjungan kami nabi Muhammad s.a.w.; selawat yang berupa reda buat-Mu dan kurniakanlah kepada baginda bilangan pahala huruf-huruf di dalam al-Quran pada bulan Ramadan, juga buat ahli keluarga dan para sahabat baginda dan kurniakan kepada mereka kesejahteraan yang melimpah-ruah. Amin. “Maha Suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka lakukan. Dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas para rasul. Dan segala puji-pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan semesta alam.” (al-Safat, 180-184) وَ ال۟حَم۟دُ لِلّٰهِ رَبِّ ال۟عَالَمٖينَ اٰمٖينَ İ’tizar: Şu ikinci kısım, kırk dakikada süratle yazılmasından, ben ve müsvedde yazan kâtip, ikimiz de hasta olduğumuzdan, elbette içinde müşevveşiyet ve kusur bulunacaktır. Nazar-ı müsamaha ile bakmalarını ihvanlarımızdan bekleriz. Münasip gördüklerini tashih edebilirler.

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters