Sözler

The First Word

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani Dan kepada-Nya sahajalah kami memohon pertolongan. Maksudnya: Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan (Rabb) sekalian alam, dan selawat dan salam ke atas penghulu kita Muhammad SAW, keluarga dan semua sahabat baginda. Wahai saudara! Anda mahukan beberapa nasihat daripada saya. Oleh kerana anda ialah seorang tentera maka dengarlah tamsil yang terdapat dalam lapan cerita pendek berikutnya bersama jiwa saya dalam bentuk ketenteraan. Hal ini adalah kerana, saya menganggap jiwa saya sendiri memerlukan lebih banyak nasihat berbanding sesiapa sahaja. Pada suatu ketika, saya telah mengingatkan jiwa saya dengan panjang lebar tentang lapan kalimah yang diilhamkan daripada lapan ayat al-Quran yang telah saya dapat manfaatnya ini. Sekarang, saya akan menasihatkan jiwa saya dengan kalimah-kalimah yang sama, tetapi secara ringkas dan dalam bahasa orang biasa. Sesiapa yang berhasrat, dengarlah bersama saya.

§2

بِسْمِ اللّٰهِ adalah induk bagi segala kebaikan dan permulaan bagi setiap urusan. Kita juga akan bermula dengannya. Wahai diri, ketahuilah! Sesungguhnya, kalimah yang indah dan berkat ini, di samping menjadi syiar Islam, ia juga merupakan zikir seluruh makhluk yang ada mengikut bahasanya sendiri. Sesungguhnya, بِسْمِ اللّٰهِ mempunyai kekuatan agung yang tidak pernah luput dan keberkatan yang tidak pernah berakhir. Jika engkau mahu mengetahui sejauh mana kekuatannya, maka dengarlah wahai diri akan tamsil dalam hikayat yang ringkas ini seperti berikut: Sesungguhnya seorang Badwi yang berkelana di padang pasir tentu akan berlindung dengan seorang ketua kabilah, bernaung di bawah naungannya agar terselamat daripada segala kejahatan musuh, dan terlaksana segala tugas serta memperoleh segala keperluannya. Sekiranya tidak, maka dia akan kekal keseorangan, terpinga-pinga dan tercengang-cengang di hadapan musuh yang terlalu ramai dan keperluannya yang tidak terbatas. Begini… kebetulan dua orang lelaki keluar berkelana dan memasuki padang pasir. Salah seorang daripadanya bersifat tawaduk dan seorang lagi pula terpedaya dengan dirinya sendiri. Maka yang tawaduk itu memilih untuk bernaung di bawah seorang ketua kabilah, manakala yang terpedaya tadi menolak daripada menerima sebarang naungan. Orang yang bernaung tadi meneruskan perjalanannya dengan selamat. Apabila dia berjumpa dengan perompak dia akan berkata, “Aku berkelana di bawah naungan ketua itu.” Lalu si perompak tadi meninggalkannya dan tidak mengganggunya. Jika dia memasuki sesebuah khemah dia menerima penghormatan dan penghargaan disebabkan kemuliaan nama ketua kabilah tersebut. Orang yang terpedaya pula, dalam perjalanannya dia bertembung dengan pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak mampu diungkapkan. Dia sentiasa berada dalam keadaan cemas, takut dan terpinga-pinga, lalu dia mengutuk dan mengeji dirinya sendiri. Wahai diri yang terpedaya! Engkaulah si Badwi yang berkelana itu. Dunia yang luas inilah padang pasirnya. Kedaifan dan kefakiranmu tidak terbatas sebagaimana musuh dan keperluanmu juga tidak berkesudahan. Sekiranya demikian, bernaunglah engkau dengan nama Sultan Yang Abadi dan Hakim Yang Azali sebenar di padang pasir tersebut, agar engkau terselamat daripada kelihatan terpinga-pinga di hadapan alam ini dan daripada kejinya perasaan takut apabila berhadapan dengan musibah. Ya! Sesungguhnya kalimah suci ini umpama khazanah besar yang tidak akan pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifan dan kefakiranmu akan bergantung kepada rahmat yang maha luas dan kuasa yang amat hebat sehinggakan akhirnya kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi syafaat di sisi Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang yang bergerak dengan kalimah suci ini adalah seperti seorang yang telah berdaftar dalam ketenteraan, berurusan atas nama negara dan tidak gentar kepada sesiapa pun. Dia memberi arahan atas “nama undang-undang dan negara”. Maka terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya dalam menghadapi semua perkara. Kita telah menyebut pada permulaan tadi bahawa semua makhluk berzikir dengan bahasanya yang tersendiri, iaitu dengan menyebut بِسْمِ اللّٰهِ Adakah seperti ini? Ya! Sebagaimana engkau melihat seorang lelaki yang telah datang dan memerintahkan semua penduduk di dalam bandar ke satu tempat dan memaksa mereka melakukan pelbagai jenis urusan. Maka sesungguhnya engkau pasti bahawa lelaki itu bukan mewakili dirinya sendiri dan tidak pula memerintah orang ramai atas nama dan kekuatan dirinya sendiri, tetapi dia sebenarnya ialah seorang askar yang bertindak atas nama negara dan bersandar kepada kuasa seorang pemerintah. Seperti itu juga, seluruh makhluk bergerak atas nama Allah Yang Maha Berkuasa, sebagaimana benih-benih yang teramat kecil menjunjung di atas kepalanya pohonan yang besar dan bebanan yang berat seperti gunung. Hal ini bermakna setiap pohon mengucapkan بِسْمِ اللّٰهِ dan memenuhkan dahan-dahannya dengan buah-buahan daripada khazanah rahmat Ilahi, dipersembahkannya kepada kita. Setiap taman mengucapkan بِسْمِ اللّٰهِ lalu ia menjadi seumpama sebuah periuk daripada dapur kekuasaan Allah SWT dengan di dalamnya terdapat pelbagai jenis makanan yang lazat dimasak bersama-samanya. Setiap lembu, unta, biri-biri, kambing, dan haiwan-haiwan ternakan yang diberkati mengucapkan بِسْمِ اللّٰهِ menjadikan mereka seperti sumur yang memancutkan susu yang teramat lazat dari saluran rahmat-Nya. Dipersembahkannya kepada kita makanan yang terbaik dan paling bersih atas nama ar-Razzaq. Setiap akar tumbuhan, pokok-pokok dan rumput-rampai yang lembut seperti sutera mengucapkan بِسْمِ اللّٰهِ lalu memecahkan batu-batu yang keras dan menembusi tanah. Dengan mengucapkan atas nama Allah dan atas nama-Nya ar-Rahman setiap benda tunduk kepadanya. Ya, menjalarnya dahan-dahan di udara dengan mengendong buah-buahan, dan menjalarnya akar-akar dalam batu yang keras dan tanah dengan menyimpan makanan dalam kegelapan, juga dedaunan hijau yang halus menanggung kepanasan yang amat sangat dengan menyimpan air sehingga beberapa bulan dan dikekalkan dalam keadaan segar, sesungguhnya hal tersebut merupakan satu tamparan hebat terhadap golongan materialistik dan menusuk jari ke dalam mata mereka yang buta, dan berkata: Sesungguhnya bahan-bahan yang kamu banggakan disebabkan kekerasan dan kepanasannya juga tidak mampu memberi kesan dengan sendiri, bahkan kedua-duanya itu dapat menjalankan tugasnya atas arahan pemerintah yang satu, yang menjadikan akar-akar yang lembut dan halus itu seolah-olah tongkat Nabi Musa (a.s.) yang dapat memecahkan batu dan tunduk kepada perintah فَقُلْناَ اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ (Lalu Kami berfirman pukullah batu itu dengan tongkatmu), (surah al-Baqarah:60); yang menjadi dedaunan yang sangat lembut dan segar seolah-olah anggota badan Nabi Ibrahim (a.s.) yang ketika menghadapi kepanasan membaca يَا نَارُ كُونِى بَرْداً وَسَلاَماً (…wahai api jadikanlah diri kamu sejuk dan selamat ke atas Ibrahim), (surah al-Anbiya’:69) Selagi setiap kewujudan di alam ini mengungkapkan بِسْمِ اللّٰهِ secara maknawi dan mengundang nikmat-nikmat Allah dengan بِسْمِ اللّٰهِ, lalu dipersembahkannya kepada kita, maka wajarlah kita juga mengucapkan بِسْمِ اللّٰهِ , apabila kita memberikan sesuatu atas nama Allah dan mengambil sesuatu atas nama Allah. Oleh itu, kita sepatutnya menolak pertolongan daripada golongan yang lalai yang tidak memberikan sesuatu atas nama Allah. Persoalan: Kita memberikan penghormatan kepada khadam yang membawa dulang hadiah. Apakah balasan yang diminta oleh pemilik hakiki iaitu Allah SWT daripada kita? Jawapannya: Sesungguhnya, Pemberi Nikmat Yang Hakiki itu meminta daripada kita tiga perkara sebagai bayaran kepada nikmat-nikmat-Nya yang tidak ternilai itu, pertama adalah zikir, kedua syukur dan ketiga fikir. Maka mengucapkan بِسْمِ اللّٰهِ pada permulaan adalah zikir, بِسْمِ اللّٰهِ pada akhirnya adalah syukur. Manakala, memerhati dan berfikir di antara kedua-dua ini daripada nikmat-nikmat-Nya dan seni-seni-Nya yang indah dan bernilai adalah mukjizat daripada Yang Maha Esa lagi as-Samad, serta semuanya itu adalah hadiah daripada rahmat-Nya adalah fikir. Betapa bodohnya mencium kaki seorang khadam yang rendah martabatnya yang membawa hadiah yang bernilai daripada seorang penguasa kepada anda, tetapi anda tidak peduli untuk mengenali pemberi hadiahnya dengan memberi kasih sayang serta menghormati pembawa nikmat yang zahir itu dan melupakan Pemberi Nikmat Yang Hakiki adalah lebih dahsyat seribu kali ganda kebodohannya. Wahai diri! Jika anda tidak mahu menjadi seperti si bodoh tadi, maka berilah dengan nama Allah, ambillah dengan nama Allah, bermulalah dengan nama Allah dan bekerjalah dengan nama Allah. Wassalam. ON DÖRDÜNCÜ LEM’A’NIN İKİNCİ MAKAMI

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters