Sözler

The Second Word

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang “…Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib.” (al-Baqarah, ayat 3) Sekiranya anda ingin memahami betapa hebatnya kebahagiaan dan kenikmatan, serta betapa besarnya kelazatan dan kerehatan yang terdapat dalam keimanan kepada Allah, dengarlah kisah pendek dalam bentuk tamsil ini: Pada suatu ketika, dua orang lelaki keluar berjalan-jalan untuk tujuan rekreasi dan perniagaan. Seorang daripadanya, iaitu lelaki yang pertama, mempunyai sifat yang mementingkan diri sendiri dan pesimis, mengambil jalan menuju ke satu arah, manakala seorang lagi yang soleh dan bernasib baik mengambil jalan pada arah yang lain. Lelaki yang pesimis itu melihat negeri yang didatanginya sebagai tempat yang teruk dan paling buruk kerana telah diwarnai oleh sikap pesimisnya. Pada arah mana sahaja yang dilihatnya, terdapat manusia malang yang ditindas dan meratap dengan penuh penyesalan ke atas penindasan dan kekerasan oleh orang-orang yang zalim serta daripada tindakan-tindakan mereka yang memusnahkan. Dia melihat suasana yang menyedihkan ini di semua tempat yang dilawatinya, sehingga seluruh negeri tersebut pada pandangannya menjadi sebuah tempat perkabungan yang besar. Dengan keadaan yang dilihatnya, dia tidak dapat mencari jalan lain untuk melupakan dan menghilangkan keadaan yang menyedihkan ini kecuali dengan memabukkan dirinya sendiri. Semua orang kelihatan baginya sebagai musuh dan orang asing. Dia nampak di sekelilingnya mayat-mayat yang dahsyat dalam keadaan menggerunkan dan anak-anak yatim yang menangis kehampaan. Hal ini telah menjadikan lubuk hati nuraninya amat terseksa. Lelaki yang seorang lagi ialah seorang yang soleh, taat, berfikiran waras dan berakhlak mulia dengan pandangan yang sangat baik pada negeri yang didatanginya itu. Lelaki yang baik ini menyaksikan kegembiraan sejagat di setiap tempat yang dilewatinya. Di arah mana sahaja terdapat perayaan yang menggembirakan, tempat untuk berzikir (mengingati Allah) yang melimpah-ruah dengan laungan kegembiraan yang bersangatan. Bagi dirinya setiap orang umpama kawan dan sahabat yang baik. Di seluruh negara dia melihat perayaan-perayaan dan pelepasan am daripada tugas, diiringi dengan laungan kesyukuran dan puji-pujian. Dia juga mendengar suara gendang dan pancaragam menyambut kedatangan tentera yang direkrut dengan laungan takbir dan tahlil dengan penuh kegembiraan dan semangat. Berbeza pula dengan lelaki pertama tadi yang berada dalam keadaan meruntun jiwa dengan penderitaan dirinya dan semua orang yang dilihatnya seolah-olah dalam keadaan menyedihkan manakala lelaki kedua yang beruntung ini bergembira dan berasa senang bersama-sama semua penduduk negeri itu. Lebih-lebih lagi, beliau dapat melakukan perdagangan yang menguntungkan. Dengan itu, dia menyatakan kesyukuran terhadap Allah SWT. Kemudian, dalam perjalanan pulang dia bertemu dengan lelaki pertama tadi dan memahami keadaannya lalu berkata kepadanya, “Kamu sudah menjadi gila. Keburukan yang ada dalam dirimu telah terjelma keluar pada zahir kamu dan menyebabkan kamu membayangkan ketawa itu sebagai tangisan dan pelepasan daripada tugasan sebagai perlucutan jawatan dan perampasan. Kembalilah kepada kewarasan kamu dan bersihkanlah hati kamu agar hijab musibah itu tersingkap dari mata kamu supaya kamu boleh nampak hakikatnya yang jelas dan nyata. Sesungguhnya kerajaan seperti ini, rajanya yang sangat adil, penuh dengan belas kasihan, menyayangi rakyat, berkuasa, berdisiplin dan lemah lembut, tambahan lagi negara ini telah menunjukkan kemajuan dan pencapaian yang jelas dengan bukti-bukti yang banyak, tidak seperti apa yang kamu bayangkan sama sekali.” Lelaki yang tidak bernasib baik itu kemudiannya kembali kepada kewarasannya dan bertaubat. Dia berkata, “Ya, saya telah menjadi tidak waras melalui minuman keras, semoga Allah merahmati kamu. Kamu telah menyelamatkan saya dari situasi seperti neraka kecelakaan.” Wahai jiwaku! Ketahuilah bahawa lelaki pertama ialah orang kafir atau orang fasik yang lalai. Pada pandangannya, dunia ini adalah rumah perkabungan yang menyeluruh. Semua makhluk yang hidup adalah seperti anak-anak yatim yang menangis akibat ditimpa oleh pukulan kematian dan tamparan perpisahan. Juga manusia dan haiwan terbiar bersendirian tanpa penjaga dan pemilik, dirobekkan oleh cengkaman ajal yang telah ditetapkan. Benda-benda besar yang wujud seperti gunung dan lautan adalah tidak bernyawa seumpama mayat-mayat yang sangat dahsyat. Bayangan-bayangan yang sangat dahsyat, menyedihkan, menghancurkan dan menyakitkan yang lahir daripada kekufuran dan kesesatan lelaki itu menjerumuskannya ke dalam azab maknawi yang pedih. Manakala lelaki yang seorang lagi, dia ialah seorang mukmin. Dia mengenal dan mengakui kewujudan Allah SWT. Pada pandangannya dunia ini adalah sebuah tempat untuk berzikir di mana Tuhan Yang Maha Pemurah sentiasa disebut. Ia juga adalah tempat pengajaran dan latihan bagi manusia dan binatang, serta medan ujian bagi manusia dan jin. Semua kematian haiwan dan manusia adalah pelepasan tugas, iaitu mereka yang telah menyelesaikan tugasnya berlepas dari dunia yang fana ini dengan kegembiraan maknawi untuk pergi ke alam yang tanpa masalah, supaya tempat mereka itu dikosongkan untuk memberi ruang kepada mereka yang baru datang bertugas. Kelahiran haiwan dan manusia menandakan pengerahan mereka ke dalam ketenteraan dengan diberikan senjata latihan untuk memulakan tugas dan kewajipannya. Setiap makhluk yang hidup ialah seorang tentera yang gembira, pegawai yang jujur dan berpuas hati dengan tugasannya. Dan semua suara yang kedengaran adalah sama ada zikir atau tasbih pada permulaan tugas, dan juga kata-kata syukur dan kegembiraan pada penamatnya, ataupun ia adalah irama-irama yang didendangkan dalam kegembiraan mereka semasa bertugas. Pada pandangan mukmin ini, semua makhluk ialah hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih yang mesra, petugas-petugas yang baik hati dan seumpama kitab-kitab yang menyenangkan. Banyak lagi perkara yang lebih halus, mulia dan lazat serta hakikat yang manis seperti ini muncul dan zahir dari keimanannya itu. Sebenarnya, keimanan kepada Allah mengandungi satu biji benih maknawi dari Pokok Tuba di syurga, sementara kekufuran menyembunyikan satu biji benih maknawi Pokok Zaqqum neraka. Hal ini bermakna, keselamatan dan kesejahteraan hanya berada dalam Islam dan keimanan. Oleh itu, kita mesti sentiasa mengucapkan, Alhamdulillâhi alâ dini’l-Islâm val kamâli’l-îman” (Segala pujian bagi Allah atas agama Islam dan kesempurnaan iman.)

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters