Sözler

The Third Word

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah...”(al-Baqarah, ayat 21) Jika anda ingin memahami betapa ibadat adalah perniagaan yang agung dan kebahagiaan yang besar, serta betapa mengikut hawa nafsu dan tindakan bodoh akan menyebabkan kerugian, juga kemusnahan yang besar, perhatikan dan dengarlah tamsil dalam bentuk hikayat berikut: Suatu ketika, dua orang tentera menerima arahan untuk pergi ke sebuah bandar yang jauh. Lalu kedua-duanya pun berjalan sehingga mereka tiba di satu persimpangan jalan. Di situ ada seorang lelaki, lalu beliau berkata kepada mereka, “Jalan di sebelah kanan tidak menyebabkan kerugian sama sekali, dan sembilan dari sepuluh orang yang melaluinya mendapat keuntungan yang banyak dan kesenangan yang besar. Manakala jalan di sebelah kiri tidak memberikan keuntungan dan sembilan dari sepuluh orang yang melaluinya mendapat kerugian. Walau bagaimanapun, kedua-dua jalan ini sama jaraknya. Hanya terdapat satu perbezaan, iaitu mereka yang mengambil jalan kiri tidak mempunyai peraturan dan tiada kerajaan yang berkuasa, tanpa bebanan bagasi dan senjata. Pada zahirnya mereka berasa keringanan dan kesenangan yang menipu. Manakala askar yang melalui jalan sebelah kanan berada di bawah perintah ketenteraan, perlu membawa beg kelengkapan penuh dengan makanan berkhasiat seberat empat okka (5.2 kg) dan senapang tentera yang canggih kira-kira dua Kiyye (2.6 kg) yang akan mengalahkan dan menewaskan setiap musuh.” Selepas kedua-dua orang askar mendengar daripada penunjuk jalan tersebut, orang yang bernasib baik mengambil jalan ke kanan. Dia memikul bebanan satu batman (7.5 kg) di belakangnya, tetapi hati dan rohnya diselamatkan daripada meminta-minta dan ketakutan yang beratnya beribu-ribu batman. Manakala seorang askar lagi yang tidak bernasib baik telah mengambil keputusan untuk meninggalkan khidmat ketenteraan. Dia tidak mahu mengikut arahan lalu mengambil jalan ke kiri. Dia membebaskan badannya daripada memikul beban satu batman tetapi hatinya mengalami bebanan ribuan batman dan rohnya dihimpit oleh ketakutan yang tidak terhitung beratnya. Dia meneruskan perjalanannya dengan mengemis daripada semua orang dan terketar-ketar di hadapan segala sesuatu. Sehingga apabila tiba ke destinasi yang ditujuinya, dia dihukum sebagai pemberontak dan pembelot kerana melarikan diri dari tugasannya. Bagi askar yang menyukai perintah tentera yang diterimanya, beliau telah menjaga alat-alat kelengkapan dan senapangnya, serta mengambil jalan yang kanan pula, berjalan dengan tidak berasa bimbang, tidak gentar terhadap sesiapa pun, hatinya tenang dan perasaannya lapang sehingga dia sampai ke kota yang ditujuinya. Di sana, dia menerima ganjaran yang selayaknya bagi seorang askar kerana berjaya melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan ketaatan. Wahai jiwaku yang degil! Ketahuilah bahawa salah seorang daripada pengembara itu mewakili orang yang tunduk kepada Hukum Ilahi, sedangkan yang seorang lagi mewakili orang yang derhaka serta mengikuti kehendak hawa nafsunya sendiri. Jalan itu ialah jalan kehidup an yang berasal dari alam roh, melintasi kubur dan menuju ke akhirat. Bebanan beg peralatan tentera dan senapang adalah ibadat dan takwa. Meskipun ibadat kelihatan membebankan pada zahirnya tetapi ia adalah kerehatan dan keringanan yang tidak dapat digambarkan, kerana dalam solat, seorang abid mengucapkan ‘‘Asyhadu alla ilaha illallah’’ (Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah). Maksudnya, “Tiada Pencipta dan Pemberi Rezeki melainkan Dia, manfaat dan kemudaratan dalam genggaman-Nya, Dia adalah Tuhan Yang Maha Bijaksana, tidak melakukan sesuatu yang sia-sia, sebagaimana dia adalah Tuhan Yang Maha Mengasihani, yang luas ihsan dan rahmat-Nya.” Si mukmin yang abid itu yakin dengan apa yang diucapkannya. Oleh itu, dia mendapati pada setiap perkara satu pintu terbuka yang membawanya kepada khazanah rahmat Ilahi, lalu dia mengetuk pintu tersebut dengan berdoa. Dia juga nampak bahawa segala sesuatu yang ada, semuannya tunduk kepada perintah Tuhannya, maka dia pun memohon perlindungan dengan-Nya. Dia bersandar kepada tawakal sebagai benteng dalam menghadapi setiap musibah. Maka keimanannya itu menganugerahkannya keamanan yang sempurna. Sesungguhnya, sumber keberanian sama seperti sumber segala sifat kebaikan yang hakiki adalah iman dan ubudiyah. Manakala sumber setiap sifat pengecut sama seperti sumber segala sifat buruk adalah kesesatan dan kebodohan!Malah, seorang hamba Allah yang mempunyai hati nurani yang penuh bercahaya, mungkin jika bumi ini menjadi bom dan meletup, ia tetap tidak akan menakutkannya. Dia akan menyaksikannya dengan penuh keajaiban yang mengasyikkan sebagai kehebatan daripada Kudrat Tuhan Yang Maha Mencukupi lagi Kekal Abadi (Qudrah Samadaniyyah). Manakala seorang ahli falsafah yang terkenal kononnya dengan apa yang didakwanya fikiran yang bersinar, namun hakikatnya mempunyai hati yang mati, apabila melihat komet di langit, justeru gementar hatinya ketika memijak bumi, lalu berkata dengan penuh kebimbangan, “Bukankah komet itu akan melanggar bumi ini?” Lalu dia terjerumus ke lembah keraguan. (Pada suatu ketika, rakyat Amerika pernah gementar dengan ketakutan terhadap komet seperti itu, akibatnya ramai yang telah meninggalkan rumah mereka pada tengah malam.) Ya, walaupun manusia terdedah kepada keperluan yang tiada terhad, tetapi dia hanya berbekalkan modal yang hampir tiada. Dia juga ditimpa musibah yang tiada penghujung, meskipun kekuatannya adalah hampir sifar. Ringkasnya, modal dan lingkaran kuasanya hanya boleh sampai sejauh yang dapat digapai oleh tangannya, walaupun harapan, keinginan, kesakitan dan kesusahannya seluas saujana mata memandang dan sejauh imaginasi menerawang. Oleh itu, alangkah perlunya bagi roh manusia yang lemah, daif dan miskin ini kepada hakikat ibadat, tawakal, tauhid dan penyerahan diri. Alangkah besarnya keuntungan, kebahagiaan dan kenikmatan yang diperolehi daripada hakikat-hakikat tersebut dan mereka yang tidak buta sepenuhnya, pasti akan dapat melihat dan memahaminya. Sesungguhnya, jalan yang tidak berbahaya adalah lebih dipilih untuk dilalui daripada jalan yang berbahaya, walaupun kemungkinan manfaatnya hanya satu persepuluh. Namun dalam beribadah, yang menjadi masalah utama kita di sini, di samping ia tidak memudaratkan dan terdapat sembilan persepuluh kemungkinan ia mengundang pada khazanah kebahagiaan abadi serta keselamatan. Manakala jalan kefasikan dan kebodohan -dengan perakuan orang yang fasik itu sendiri- di samping ia tidak bermanfaat, ia juga adalah penyebab kecelakaan dan kemusnahan abadi, bahkan adalah diyakini ia penyebab kerugian pada tahap sembilan per sepuluh. Dan inilah perkara yang disepakati secara ijmak dan mutawatir oleh bilangan yang tidak terkira dalam kalangan ahli ikhtisas (pakar bidang). Ia juga adalah keyakinan yang terbukti berdasarkan perkhabaran ahli dhauq dan kasyaf. Oleh itu, orang yang fasik yang melalui jalan yang berdosa dan keji ini akan berakhir dengan kesengsaraan yang kekal abadi. Kesimpulannya: Seperti di akhirat, kebahagiaan di dunia ini terletak dalam beribadah serta menjadi seorang askar kepada Allah SWT. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengucapkan: “Alhamdulillâhi ala’t-tâati va’t-tavfîk”.“Segala pujian bagi Allah kerana ketaatan kepada-Nya dan taufik yang diberikan” dan kita hendaklah bersyukur kepada-Nya bahawa kita adalah orang Islam.

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters