Sözler

The Fourth Word

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani Solat yang ditetapkan adalah tiang agama . Jika anda ingin mengetahui nilai dan kepentingan solat, dan betapa ia amat mudah untuk dilaksanakan dan dicapai tanpa keperluan yang banyak, dan bahawa sesiapa yang tidak mendirikannya dan tidak menunaikannya ialah seorang yang bodoh dan rugi. Ya, jika anda ingin mengetahui tentang kesemuanya itu dengan penuh keyakinan, sebagaimana keyakinan anda terhadap dua didarab dengan dua menjadi empat, maka perhatikanlah hikayat tamsil yang ringkas ini: Pada suatu ketika, seorang penguasa besar telah memberikan dua orang hambanya sebanyak 24 keping wang emas dan menghantar mereka untuk menetap di salah sebuah ladangnya yang indah dengan jarak dua bulan perjalanan. Dia memerintahkan mereka dengan berkata, “Gunakan wang ini untuk tiket dan keperluan perjalanan serta untuk membeli barang-barang keperluan semasa tinggal di sana. Terdapat satu stesen yang jaraknya satu hari perjalanan. Di sana juga terdapat pelbagai bentuk pengangkutan seperti kereta, kapal laut, kereta api dan kapal terbang. Semua ini boleh dinaiki sesuai dengan modal anda.” Kedua-dua orang hamba itu memulakan perjalanan selepas menerima arahan penguasa tersebut. Salah seorang daripada mereka bernasib baik, dia hanya menghabiskan sedikit wang dalam perjalanan ke stesen. Termasuk dalam perbelanjaan itu, dia gunakan untuk perniagaan yang baik serta menggembirakan tuannya dan modalnya ditingkatkan 1000 kali ganda. Bagi hamba yang kedua, dia kurang bernasib baik dan bodoh, menghabiskan 23 keping emas dalam perjalanan ke stesen, dengan membazirkannya dalam perjudian dan hiburan, menyebabkan hanya sekeping emas yang tinggal. Lalu kawannya berkata kepadanya, “Gunakan kepingan emas terakhir tersebut untuk membeli satu tiket supaya anda tidak perlu berjalan jauh dan menyebabkan kelaparan. Juga, tuan kita ialah seorang yang pemurah, mungkin dia akan mengasihani anda dan memaafkan kesalahan anda. Serta meletakkan anda pada satu pesawat, maka kita akan pergi pada hari yang sama ke destinasi yang akan kita diami. Jika tidak, anda terpaksa berlapar dengan berjalan kaki bersendirian di padang pasir yang akan mengambil masa dua bulan untuk merentasinya.” Jika orang itu tetap berdegil dan tidak menggunakan satu lira yang berbaki untuk membeli tiket perjalanan yang merupakan kunci khazanah yang luas, tetapi membelanjakannya untuk melakukan maksiat dan melampiaskan keinginan untuk memperoleh kelazatan yang sementara, maka bukankah itu bermakna dia ialah seorang yang benar-benar celaka, rugi, bodoh dan dungu? Bukankah orang yang paling bodoh pun boleh memahami hakikat ini? Wahai orang-orang yang tidak melaksanakan solat! Wahai jiwaku yang tidak suka bersolat! Penguasa besar dalam perbandingan itu ialah Tuhan (Rabb) kita dan Pencipta kita. Daripada kedua-dua hamba yang mengembara itu, orang yang pertama ialah seorang soleh yang melakukan solatnya dengan bersungguh-sungguh manakala yang kedua, merupakan seorang manusia lalai yang mengabaikan solatnya. Dua puluh empat keping emas itu adalah masa kehidupan 24 jam sehari kita. Manakala ladang istimewa yang indah itu adalah Syurga. Stesen itu pula adalah kubur. Perjalanan itu pula adalah laluan manusia ke kubur, mahsyar (tempat dibangkitkan) dan negeri keabadian. Manusia merentasi perjalanan panjang ini dengan kepantasan yang berbeza-beza berdasarkan darjah amal dan ketakwaannya. Sebahagian manusia dalam kalangan orang-orang yang bertakwa dapat menyeberangi jarak 1000 tahun dalam sehari seperti kilat manakala sebahagian lagi ada yang melintasi jarak 50,000 tahun dalam sehari dengan kelajuan khayalan. al-Quran Yang Agung merujuk kepada hakikat ini melalui dua ayatnya . Tiket dalam perbandingan ini adalah solat. Satu jam cukup untuk solat lima waktu termasuk dengan mengambil wuduknya sekali. Alangkah besarnya kerugian seseorang yang menghabiskan 23 jam bagi kehidupan duniawinya yang sementara ini, dan gagal menghabiskan satu jam untuk kehidupan akhiratnya yang kekal abadi. Alangkah zalimnya dia terhadap dirinya sendiri, dan alangkah tidak waras tindakannya ini! Adakah masuk akal, jika seseorang memperjudikan separuh hartanya dengan membeli loteri di mana 1000 orang mengambil bahagian dalam perjudian itu, dengan kemungkinan kemenangan hanya satu dalam 1000, tetapi tidak memberikan satu per dua puluh empat untuk perbendaharaan yang kekal abadi dengan keuntungannya telah dijamin sebanyak 99 peratus? Sesiapa yang menganggap dirinya waras akan memahami betapa tingkah laku yang sedemikian bertentangan dengan akal fikiran dan kebijaksanaan, dan sejauh mana dia telah terpesong. Lagipun dalam solat, roh, kalbu, dan akal akan mendapat kerehatan yang besar dan ia bukanlah tugas yang memberatkan badan. Selain itu, dengan niat yang betul, semua amalan duniawi yang diharuskan oleh orang yang melaksanakan solat akan dikira sebagai ibadah. Dengan cara ini, dia boleh menjadikan seluruh modal hidupnya untuk akhirat, serta membuatkan kehidupannya yang sementara di dunia ini berkekalan di akhirat nanti...

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters