Sözler

The Fifth Word

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (an-Nahl, ayat 128) Sekiranya anda ingin melihat bagaimana melaksanakan solat dan tidak melakukan dosa besar merupakan tugas hakiki insan, dan betapa ia adalah fitrah yang sesuai dengan natijah penciptaannya, maka perhati dan dengar serta ambil perhatianlah terhadap tamsil dari hikayat berikut: Pada satu masa, ketika kerahan tentera untuk berperang, dua orang askar mendapati diri mereka bersama-sama dalam satu rejimen. Askar yang pertama ialah seorang yang terlatih dan bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipannya, manakala yang seorang lagi ialah seorang rekrut yang belum terlatih dan mengikut hawa nafsunya dengan bersungguh-sungguh. Askar yang terlatih menumpukan perhatiannya terhadap latihan dan urusan jihad, dan dia langsung tidak memikirkan tentang makanan dan keperluan bekalan hidupnya. Hal ini adalah kerana dia tahu dengan yakin bahawa urusan memberi makan, melengkapi keperluan, merawat jika dia sakit, sehingga meletakkan makanan di mulutnya jika perlu, itu semuanya adalah kewajipan kerajaan. Tugas utamanya hanyalah untuk berlatih dan berjihad. Tetapi dia juga akan melaksanakan urusan keperluan harian dan peralatan sebagai sebahagian daripada tugasnya. Dia juga membantu dalam urusan memasak, mencuci periuk dan mengangkatnya. Jika ditanya kepadanya, “Apakah yang sedang kamu lakukan?” Dia akan menjawab, “Saya sedang melakukan tugas-tugas kerajaan.” Dia tidak akan berkata, “Saya melakukan ini untuk keperluan kehidupan saya sendiri.” Manakala rekrut baru yang selalu memikirkan perutnya itu pula tidak mempedulikan latihan dan peperangan. Dia berkata, “Itu adalah urusan kerajaan, apakah kaitannya dengan saya?” Dia selalu berfikir dan sentiasa mengejar keperluan kehidupannya, dengan meninggalkan rejimen itu serta pergi ke pasar untuk membeli belah. Pada suatu hari, kawannya yang terlatih itu berkata kepadanya, “Wahai saudaraku, kewajipan asas kamu adalah latihan dan persediaan peperangan. Kamu dibawa ke sini untuk itu. Percayalah kepada raja. Dia tidak akan membiarkan kamu lapar. Itu adalah tugasnya. Kamu juga adalah lemah dan fakir, dan tidak mampu mendapatkan makanan di mana-mana sahaja. Waktu ini adalah masa berjihad dan kerahan peperangan. Juga orang akan mengatakan anda ialah seorang pembelot dan anda akan dihukum. Ya, ada dua tugas yang melibatkan kita. Pertama ialah tugas-tugas raja. Kadangkala kita melakukan kerja-kerja sampingan ini dan dia memberi makan kepada kita. Kedua, adalah tanggungjawab kita, iaitu latihan dan pertempuran. Raja turut menolong dan memudahkannya untuk kita.” Sudah tentu anda akan memahami betapa bahayanya jika rekrut yang bodoh itu tidak mendengar nasihat pejuang (mujahid) yang terlatih itu. Wahai jiwaku yang malas! Kawasan peperangan yang bergelora itu adalah kehidupan dunia yang sentiasa berubah ini, dan tentera yang dibahagikan kepada rejimen-rejimen merupakan seluruh masyarakat manusia. Rejimen dalam perbandingan adalah komuniti Islam pada abad ini. Salah satu daripada dua orang askar itu ialah seorang Muslim yang bertakwa yang tahu akan kewajipan agama dan mengamalkannya serta menjauhi dosa-dosa besar dan berjuang terhadap nafsu dan syaitan untuk meninggalkan dosa-dosa selainnya. Sementara askar yang kedua ialah seorang yang fasik, rugi dan memandang rendah terhadap Pemberi Rezeki Yang Hakiki serta tenggelam dalam perjalanannya mencari keperluan kehidupan sehingga sanggup meninggalkan kewajipan-kewajipan dan melakukan dosa-dosa. Sementara arahan dan latihan yang diterima itu adalah ibadah terutamanya solat. Peperangan itu pula adalah perjuangan melawan hawa nafsu dan keinginannya, menentang syaitan dalam kalangan jin dan manusia supaya menjauhkannya daripada dosa dan akhlak yang buruk, serta menyelamatkan hati dan rohnya daripada kemusnahan abadi. Perkara utama daripada kedua-dua tugas ini, yang pertama adalah mengurniakan kehidupan dan mempertahankannya. Sementara yang kedua ialah beribadah dengan merayu kepada Tuhan Pemberi dan Penjaga Segala Kehidupan. Ia adalah tawakal terhadap-Nya dan berasa tenteram dengan-Nya. Sesungguhnya, sesiapa yang membuat dan mengurniakan kehidupan, yang merupakan mukjizat yang paling agung dalam seni Samadaniyah (Tuhan yang seluruh makhluk bergantung kepada-Nya) dan kebijaksanaan Rabbani yang penuh dengan kesempurnaan, Dialah yang akan menjaga dan meneruskannya melalui pemberian rezeki. Tiada lagi yang selain-Nya. Adakah anda mahukan bukti? Haiwan yang paling lemah dan bodoh diberikan rezeki yang terbaik (seperti ulat-ulat buah-buahan dan ikan-ikan). Juga makhluk yang paling tidak berdaya dan sangat halus serta sensitif mendapat makanan terbaik (seperti bayi dan semua anak makhluk yang masih kecil). Ya, bagi anda memahami bahawa sesungguhnya sarana rezeki yang halal bukanlah melalui kekuatan dan ikhtiar, tetapi adalah melalui kelemahan dan ketidakberdayaan, memadailah bagi anda untuk membuat perbandingan antara ikan-ikan dengan musang-musang, juga antara bayi-bayi binatang yang baru dilahirkan dengan binatang-binatang buas, dan antara pokok-pokok dengan haiwan-haiwan. Boleh dikatakan bahawa seseorang yang meninggalkan solat untuk mencari keperluan kehidupan adalah seumpama askar tadi yang meninggalkan latihan dan kubunya dan pergi meminta-minta di pasar. Manakala seseorang yang selepas mendirikan solat, dia mencari rezeki dari dapur rahmat Tuhan Pemberi Rezeki Yang Pemurah, dengan berusaha sendiri agar tidak menjadi beban kepada orang lain, adalah suatu tindakan yang mulia, terhormat dan juga adalah satu bentuk ibadah. Lagipun, fitrah manusia dan anggota-anggota maknawinya menunjukkan bahawa dia diciptakan untuk beribadah. Dari aspek kekuasaan dan keupayaan bertindak yang diperlukan untuk kehidupan dunia ini, dia tidak dapat bersaing dengan burung pipit yang paling rendah. Sedangkan dari aspek ilmu, keberhajatan, rayuan dan ibadah untuk kehidupan maknawi dan kehidupan akhiratnya, dia adalah seperti raja dan komandan kepada segala haiwan. Wahai jiwaku! Jika anda menjadikan kehidupan dunia ini tujuan utama hidup anda dan bekerja berterusan untuknya, anda akan menjadi seperti seorang askar seumpama burung pipit yang paling rendah. Manakala jika anda menjadikan kehidupan akhirat tujuan akhir hidup anda, dengan menjadikan kehidupan dunia ini sebagai wasilah dan tempat bercucuk tanam, dan berusaha bersesuaian dengannya, maka anda akan menjadi seperti seorang komandan tertinggi bagi seluruh haiwan, dan menjadi hamba yang disayangi bagi Tuhan Yang Maha Kuasa serta tetamu yang dihormati dan mulia. Inilah dua pilihan yang terbuka kepada anda. Anda boleh memilih salah satu yang anda mahu, dan mohonlah hidayah serta taufik daripada Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani…

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters