Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.” (at-Taubah, ayat 111) Sekiranya anda ingin mengetahui betapa menjual jiwa dan harta kepada Allah, serta menjadi hamba dan tenteranya merupakan perniagaan yang paling menguntungkan dan kedudukan yang paling mulia di sisi Tuhan, maka dengarlah akan tamsil dari hikayat berikut. Pada suatu ketika, seorang raja mengamanahkan kepada dua orang rakyatnya dengan setiap orang diberikan sebuah ladang. Padanya terdapat semua perkara termasuk kilang, jentera, kuda, senjata dan sebagainya. Tetapi ketika itu adalah zaman yang penuh bergelora dengan peperangan yang sengit dan keadaan yang tidak stabil. Situasi ketika itu sama ada akan musnah atau terus berubah. Dengan kasih sayangnya yang sempurna, raja telah mengutuskan seorang yang paling rapat dan mulia kepada kedua-dua orang lelaki tersebut dengan titahnya yang penuh kasih sayang, “Jualkanlah amanah yang ada di dalam tangan anda itu kepada beta. Beta akan menyimpannya untuk anda, supaya ia tidak musnah tanpa tujuan. Selepas perang berakhir, beta akan mengembalikannya kepada anda dengan keadaan yang lebih baik. Beta akan menganggap amanah itu seolah-olah ia adalah harta anda dan beta akan membayar anda dengan satu harga yang tinggi. Bagi jentera-jentera dan peralatan-peralatan di bengkel, semuanya hendaklah digunakan atas nama beta dan di meja kerja beta. Harga dan nilainya akan meningkat 1000 kali ganda. Juga, beta akan memberikan seluruh keuntungan yang diperoleh kepada anda. Anda juga sangat lemah dan fakir, dan tidak mampu menanggung kos tugas-tugas yang besar ini. Jadi, beta yang akan menyediakan semua perbelanjaan dan keperluan, serta beta akan memberi anda semua pendapatan dan keuntungannya nanti. Beta mengizinkan anda menyimpan semua harta ini pada tangan anda sehingga tugasan diselesaikan. Oleh itu, lihatlah lima tingkat keuntungan dalam satu urusan yang menguntungkan. Jika anda tidak menjual kepada beta, anda pasti akan melihat tiada sesiapa pun yang mampu memelihara apa yang ada pada tangan anda. Sebagaimana orang lain, anda juga akan kehilangan semua yang anda miliki sekarang. Semuanya akan hilang dengan sia-sia, dan anda akan terlepas harga yang tinggi itu yang telah ditawarkan. Alat-alat dan penimbang-penimbang yang halus lagi sensitif, dan logam-logam yang berharga tidak dapat digunakan lagi dan nilai keseluruhannya akan hilang. Juga, pengurusan serta kos dan bebanan penjagaannya akan menjadi tanggung jawab anda. Selanjutnya, anda akan dihukum kerana mengkhianati amanah. Oleh itu, lihatlah kepada lima tingkat kerugian dalam satu urusan sahaja. Selain itu, dengan ‘menjual harta-harta itu kepada beta’, maksudnya anda menjadi askar beta dan bertindak atas nama beta. Di samping menjadi tawanan atau tentera yang biasa, anda akan menjadi seorang askar elit, merdeka, pejuang bagi seorang raja yang agung.” Setelah mereka mendengar tawaran yang mulia dan titah yang terhormat itu, orang yang pintar di antara kedua-duanya berkata, “Saya bersetuju dengan titah tadi, bangga dan gembira untuk menjualnya. Saya memanjatkan seribu kesyukuran.” Manakala yang seorang lagi ialah individu yang angkuh dan nafsunya telah menjadi seperti Firaun, alpa dan tidak sedar diri, seolah-olah dia akan kekal selama-lamanya di ladang itu, dia tidak menghiraukan gempa bumi dan huru-hara yang sedang berlaku di dunia. Beliau berkata, “Tidak, tidak! Siapa raja? Saya tidak akan menjual harta saya, dan tidak mahu merosakkan keseronokan saya.” Selepas masa yang singkat, lelaki pertama mencapai darjat yang tinggi sehingga semua orang iri hati dengan keadaannya. Dia telah menerima naungan kasih sayang raja, dan hidup bahagia di istana khas raja. Yang seorang lagi sebaliknya jatuh hina ke dalam keadaan sedemikian rupa sehinggakan semua orang berasa simpati akan keadaannya, tetapi mereka juga berkata “dia memang patut!” menerima apa yang telah diterimanya itu. Akibat dari kesilapannya ini, kebahagiaan dan pemilikan harta hilang daripadanya, dan dia juga mengalami hukuman dan azab seksaan. Wahai jiwa yang penuh dengan godaan nafsu! Lihatlah melalui teleskop tamsil ini akan wajah hakikatnya.Adapun raja, Dia ialah Sultan Yang Azali Lagi Abadi, Tuhan (Rabb) Yang Mulia dan Penciptamu. Ladang-ladang, jentera-jentera, alat-alat dan timbangan-timbangan adalah milik anda semasa dalam lingkaran kehidupan dunia, iaitu dalam pemilikan anda termasuk badan, roh, hati, dan perasaan deria seperti yang terdapat pada mata, lidah, akal dan imaginasi daripada seluruh pancaindera zahir dan batin. Adapun sahabat raja yang rapat dan mulia itu ialah Rasulullah SAW Yang Mulia. Titah diraja yang bijaksana itu adalah al-Quran al-Hakim (yang Bijaksana), yang mengisytiharkan jual beli dan perniagaan yang menguntungkan sebagaimana dibincangkan di atas melalui ayat ini: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.” Medan pertempuran adalah permukaan bumi yang bergelora ini, yang tidak berhenti-henti dengan perubahan dan kemusnahan yang menyebabkan setiap orang berfikir,“Oleh sebab segala-galanya akan meninggalkan genggaman kita, akan dibinasakan dan hilang, tidakkah ada jalan penyelesaian yang boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang kekal dan abadi?” Semasa sedang memikirkan perkara ini, dia tiba-tiba mendengar suara al-Quran Samawi yang bergema. Ia berkata, “Memang ada. Jalan yang mengandungi lima martabat keuntungan di dalam satu urusan yang terbaik dan mudah.” Soalan: Apakah caranya? Jawapan: Iaitu menjual amanah kepada pemiliknya yang hakiki. Di dalam jualan ini terdapat lima martabat keuntungan. Keuntungan Pertama: Harta yang binasa akan menjadi kekal abadi kerana umur yang fana ini, apabila ia diberikan kepada Tuhan Yang Maha Kekal Abadi dan Zat Yang Memiliki Kemuliaan dan dikorbankan pada jalan-Nya, akan bertukar menjadi kekal abadi dan menghasilkan buah-buahan yang berkekalan. Ketika itu, minit-minit umur kehidupan seseorang pada zahirnya akan lenyap dan hancur seperti biji-biji benih, tetapi akhirnya melahirkan bunga-bunga dan tangkai-tangkai kebahagiaan di alam baqa, yang akan menghasilkan cahaya dan pemandangan menyenangkan di alam barzakh. Keuntungan Kedua: Harga tinggi yang diberikan itu adalah umpama syurga. Keuntungan Ketiga: Nilai setiap anggota badan dan setiap anggota deria akan meningkat dari satu hingga 1000. Sebagai contoh, akal adalah satu alat. Jika anda tidak menjualnya kepada Tuhan Yang Memiliki, tetapi menggunakannya untuk kepentingan nafsu, ia akan menjadi tidak menyenangkan, mengganggu dan melemahkan kerana ia membebankan engkau dengan segala kesakitan masa lalu yang mendukacitakan dan kedahsyatan masa hadapan yang membimbangkan. Oleh itu, ia bertukar menjadi alat yang memudaratkan dan mencelakakan. Sebab itulah orang yang fasik selalu membiarkan diri mereka menjadi mabuk atau terjerumus ke dalam keseronokan yang melalaikan untuk melarikan diri dari kerunsingan dan gangguan terhadap akalnya. Tetapi jika akal dijual kepada Pemiliknya yang Hakiki dan digunakan bagi pihak-Nya, maka akal akan menjadi kunci ajaib yang boleh membuka khazanah rahmat dan khazanah hikmat Ilahi yang tidak terkira banyaknya di alam ini. Dengan ini, kunci itu melayakkan pemiliknya meningkat ke tahap mursyid Rabbani dan mendapat kebahagiaan yang kekal abadi. Contohnya, mata adalah satu deria, seperti tingkap untuk roh menyaksikan alam ini melaluinya. Sekiranya ia tidak dijual kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, tetapi digunakan bagi pihak hawa nafsu, dengan menatap secebis keindahan, kecantikan dan adegan-adegan yang sementara, ia berada pada kedudukan khadam dan perantara hina yang berkhidmat untuk hawa nafsu dan syahwat. Tetapi, jika mata anda dijual kepada Pencipta Yang Maha Melihat, dan menggunakan bagi pihak-Nya dan dalam lingkungan yang dibenarkan, maka mata anda akan meningkat ke makam seorang pembaca dan peneliti kitab alam yang besar ini, menjadi saksi kepada mukjizat seni Rabbani, dan seumpama seekor lebah yang diberkati sedang menghisap madu di atas bunga-bunga Rahmat Ilahi di dalam taman-taman bebola dunia ini. Contoh lain adalah lidah dan deria rasa, sekiranya anda tidak menjualnya kepada Pencipta Yang Maha Bijaksana, tetapi menggunakannya bagi pihak nafsu dan perut, ia akan jatuh dan menurun ke tahap kandang perut dan pengawal kilang, maka nilainya akan hilang. Tetapi jika anda menjualnya kepada Pemberi Rezeki Yang Maha Pemurah, pada waktu itu deria rasa yang dikecapi oleh lidah akan naik ke pangkat seorang menteri yang mahir terhadap perbendaharaan rahmat Ilahi, dan seorang nazir yang bersyukur di dapur kekuasaan Ilahi Yang Maha Kekal Abadi. Wahai akal, perhatikanlah! Di manakah alat yang memusnahkan berbanding kunci kepada alam semesta? Wahai mata! Lihatlah dengan teliti! Di manakah perantara yang hina itu berbanding nazir yang berilmu bagi perpustakaan Ilahi? Wahai lidah! Kecapilah dengan sepenuh rasa! Lihatlah perbezaan antara pengawal kandang atau pengawas kilang berbanding dengan nazir Perbendaharaan Rahmat Ilahi? Seterusnya, bandingkan semua alat dan anggota-anggota yang lain, dan kemudian anda akan memahami dengan yakin bahawa pada hakikatnya orang mukmin layak ke syurga manakala orang kafir mendapat suatu keadaan yang melayakkannya ke neraka. Sebabnya, setiap daripada mereka mencapai nasib seperti ini adalah kerana orang mukmin menggunakan amanah yang diberikan Penciptanya atas nama Tuhannya dan dalam lingkungan yang dibenarkan-Nya. Manakala orang kafir, mengkhianati amanah dan menggunakannya demi kehendak nafsu amarahnya. Keuntungan Keempat: Insan adalah daif tetapi musibahnya banyak... Dia adalah fakir manakala keperluannya adalah banyak... Dia adalah lemah sedangkan bebanan kehidupannya amat berat... Jika dia tidak bertawakal dengan bersandar kepada Tuhan Yang Maha Kuasa Lagi Maha Agung dan tidak menyerahkan segala urusan kepada-Nya, dan tidak berasa tenang dengan-Nya, maka dia akan terus mengalami azab wujdani (perasaan) yang berterusan. Kesengsaraan daripada usaha yang tidak berhasil, kesedihan dan penyesalan akan mencekiknya, menjadi mabuk atau binatang yang ganas. Keuntungan Kelima: Semua ibadat, zikir dan tasbih yang dilakukan oleh anggota-anggota badan ketika ia beramal akan bertukar menjadi seperti buah-buahan di syurga dan diberikan kepada anda ketika anda amat berhajat kepadanya. Perkara ini disepakati secara ijmak dalam kalangan ahl al-ikhtisas, al-shuhud, al-dhawq dan al-kashf. Sekiranya anda tidak melaksanakan perdagangan ini yang mempunyai lima martabat keuntungan, anda bukan sahaja mendapat kerugian kerana tidak memperoleh keuntungan tersebut, tetapi anda juga akan mengalami lima martabat kerugian berikut: Kerugian Pertama: Harta dan anak-pinak yang anda kasihi, hawa nafsu yang anda banggakan, kehidupan dunia serta zaman muda yang anda tergila-gilakan, semuanya akan lenyap dan hilang dari tangan anda. Tetapi ia akan meninggalkan kesan-kesan dosa dan kesakitan yang tertanggung di atas bahu anda. Kerugian Kedua: Anda akan mendapat balasan sebagai seorang yang mengkhianati amanah kerana anda menggunakan alat yang paling berharga pada perkara yang paling tidak bernilai dengan menzalimi diri anda sendiri. Kerugian Ketiga: Dengan menjatuhkan martabat semua anggota pancaindera manusia yang berharga ke tahap binatang bahkan lebih rendah, kamu telah mendustai dan menzalimi hikmah Ilahi. Kerugian Keempat: Dalam kedaifan dan kefakiran, ditambah lagi dengan berat bebanan kehidupan pada bahu anda yang lemah, yang akan sentiasa mengerang dan meratap di bawah pukulan pemisahan dan kematian. Kerugian Kelima: Sepatutnya hadiah yang dianugerahkan kepada anda daripada Yang Maha Pemurah seperti akal, hati, mata dan lidah, yang merupakan asas-asas untuk membuat persiapan bagi kehidupan dan kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti, tetapi sebaliknya anda telah menukarkannya kepada keadaan yang buruk, yang akan membuka pintu neraka jahanam untuk anda. Sekarang kita akan lihat kepada jual beli itu... adakah bebanannya terlalu berat sehingga menyebabkan ramai yang menjauhkan diri daripadanya? Tidak! Sama sekali tidak! Ia tidak memenatkan dan tidak membebankan sama sekali kerana lingkungan yang halal adalah luas dan mencukupi untuk manusia memperolehi keseronokan dan kebahagiaan. Tidak perlu langsung memasuki larangan-Nya. Kewajipan Ilahi adalah ringan dan sedikit. Menjadi seorang hamba dan askar Allah adalah penghormatan mulia yang manis yang tidak dapat diungkapkan. Kewajipan tersebut adalah seperti seorang askar yang melakukan dan memulakan sesuatu atas nama-Nya sahaja, memberi dan mengambil atas nama-Nya, bergerak dalam lingkungan kebenaran dan undang-undang-Nya dengan mendapat kedamaian. Jika berlaku kecuaian, maka dia mesti memohon pengampunan-Nya (istighfar), dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunilah kesalahan kami, dan terimalah kami dari kalangan hamba-hamba-Mu. Jadikanlah kami pemegang amanah yang taat sehingga tiba saatnya ia diambil daripada kami. Amin!” Kita sepatutnya mengucapkan doa di atas dan merayu kepada-Nya.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Sixth Word
Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus

