Sözler

The Seventh Word

Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

“Âmantu billâhi ve bi’l-yawmi’l-âhir” “Saya beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” Jika anda ingin memahami betapa beriman dengan Allah dan Hari Akhirat merupakan dua kunci paling berharga yang dapat merungkaikan teka-teki alam ini dan membuka pintu kebahagiaan dan kesentosaan bagi roh manusia, dan bagaimana sifat tawakal manusia kepada Penciptanya melalui kesabaran, serta bagaimana sifat pengharapan dan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Memberi rezeki melalui kesyukuran, merupakan rawatan paling berkesan yang menyembuhkan, dan bahawa patuh kepada hukum-hakam al-Quran, menunaikan solat dan meninggalkan dosa-dosa besar, semuanya merupakan bekalan paling bernilai untuk akhirat, cahaya paling bersinar di dalam kubur, dan tiket paling mudah diperoleh bagi perjalanan menuju keabadian... Ya! Jika anda ingin memahami semua perkara ini, maka perhatikan dan dengarlah tamsil berikut: Suatu ketika, seorang askar jatuh ke dalam keadaan yang paling dahsyat dalam medan pertempuran dan ujian, dengan percaturan antara keuntungan dan kerugian. Ia adalah seperti berikut: Askar itu cedera dengan dua luka yang dahsyat dan mendalam yang mengerikan di sebelah kanan dan kirinya, dan di belakangnya berdiri seekor singa yang besar seolah-olah menunggu untuk menerkamnya. Di hadapan matanya terdapat tempat hukuman gantung yang didirikan untuk menewaskan dan memusnahkan semua orang yang dicintainya, serta sedang menunggu dirinya juga. Dalam situasi ini, dia diarahkan melakukan satu perjalanan yang jauh. Sebagai seorang yang malang, dalam situasi yang dahsyat ini, ketika merenung akan nasibnya dan sedang beliau dalam keadaan berputus asa, tiba-tiba seorang lelaki yang murah hati dan bersinar dengan cahaya seperti Nabi Khidir a.s. muncul daripada sebelah kanannya, dan berkata kepadanya, “Janganlah anda berputus asa. Saya akan memberikan anda dua azimat dan mengajarkannya kepada anda. Jika anda menggunakannya dengan betul, singa itu akan menjadi kuda tunggangan yang jinak. Tempat hukuman gantung itu akan menjadi buaian yang selesa dan menghiburkan anda. Saya juga akan memberikan anda dua jenis ubat. Sekiranya anda menggunakannya dengan baik, kedua-dua luka anda yang berbau busuk itu akan bertukar menjadi dua kuntum bunga lembut yang dipanggil wangian Bunga Ros Nabi Muhammad SAW. Juga, saya akan memberikan anda satu tiket, dengannya, anda akan dapat melakukan perjalanan setahun, dalam masa sehari seolah-olah anda terbang. Jika anda tidak mempercayai saya, buatlah sedikit ujian, nescaya anda dapat melihat akan kebenarannya.” Orang itu pun melakukan sedikit ujian, dan mengesahkan kebenarannya. Ya, saya, Said yang malang ini, membenarkannya juga kerana saya telah melakukan sedikit ujian dan melihat kebenarannya dengan yakin. Kemudian, tiba-tiba dia melihat seorang lelaki yang licik dan mabuk, seperti Iblis, datang dari sebelah kiri membawa untuknya barangan-barangan kemas yang banyak, gambar-gambar yang cantik dan barangan fantasi serta minuman-minuman keras yang menarik. Dia berhenti di hadapan orang itu, dan berkata kepadanya, “Wahai kawanku! Mari-mari, kita pergi bersuka ria bersama-sama. Marilah kita melihat gambar-gambar gadis cantik, mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan dan makan makanan-makanan yang enak di sana.” Soalan: Apakah yang awak sedang kumat-kamitkan itu? Jawapan: Satu jampi. Hentikan perkara yang tidak dapat difahami itu! Jangan rosakkan keseronokan kita sekarang! Soalan : Apakah yang ada di tangan awak itu? Jawapan: Satu ubat. Buangkan. Anda sihat, apakah yang salah dengan anda? Kini adalah masa berseronok. Soalan: Apakah dia kertas itu dengan lima tanda di atasnya? Jawapan: Ia adalah satu tiket dan kad catuan keperluan kehidupan harian. Dia berkata, “Koyakkan semuanya. Kita tidak perlu melakukan perjalanan pada musim bunga yang indah ini.” Dia cuba memujuk orang itu dengan segala macam helah. Orang yang malang itu telah terpengaruh dengan pujukannya sedikit. Ya, manusia boleh ditipu. Saya juga pernah ditipu oleh tipu daya yang licik seperti ini. Tiba-tiba dari sebelah kanan datang satu suara seperti guruh, berkata, “Janganlah tertipu! Berkatalah kepada si penipu itu: Jika anda mempunyai cara untuk membunuh singa di belakang saya, membuang tempat hukuman gantung di hadapan saya, menyembuhkan luka-luka di kanan dan kiri saya, dan menghalang perjalanan yang akan saya hadapi ini, silalah berbuat demikian, tunjukkanlah bahawa anda mampu dan biarkan kami melihatnya! Kemudian barulah anda boleh katakan, marilah kita pergi berseronok bersama-sama. Jika tidak, diamlah sahaja, wahai si bodoh! Biarkanlah lelaki yang mulia seumpama Nabi Khidir a.s. tadi bercakap apa yang dikehendakinya.” Wahai jiwaku, yang telah berseronok pada masa mudanya dan sekarang menangis terhadap keseronokan tersebut! Ketahuilah!... Bahawa askar yang malang itu ialah anda sendiri dan manusia seluruhnya. Singa itu ialah ajal. Adapun tempat hukuman gantung itu ialah kematian, kehilangan dan pemisahan yang mana, dalam pertukaran malam dan siang, semua rakan akan mengucapkan selamat tinggal dan akan hilang. Salah satu daripada kedua-dua luka itu adalah kelemahan manusia yang menyusahkannya dan tidak terbatas, manakala satu lagi adalah kefakiran manusia yang menyedihkannya tanpa penghujung. Arahan pengusiran dan perjalanan itu yang bermula dari alam roh, melalui rahim ibu, masa kanak-kanak dan zaman tua, alam dunia, kubur dan alam barzakh, melalui kebangkitan dan Titian Sirat adalah perjalanan ujian yang panjang untuk manusia. Kedua-dua azimat itu adalah keimanan kepada Allah Yang Maha Esa dan keimanan kepada Hari Akhirat. Ya, melalui azimat suci itu, kematian menjadi seperti kuda yang jinak dan buraq, ditunggang untuk mengeluarkan orang mukmin dari penjara dunia ini ke taman-taman syurga, di hadapan Tuhan Yang Maha Pemurah. Oleh sebab inilah, insan-insan kamil telah memahami hakikat kematian, mencintainya dan mahu mati sebelum tibanya kematian.Kemudian, perjalanan zaman dan berlalunya masa terhadap segala sesuatu, serta kehilangan dan perpisahan, kematian dan kewafatan adalah seperti tempat-tempat penggantungan yang telah diubah oleh azimat keimanan ini menjadi gambaran yang bersinar dan mendorong manusia untuk melihat pemandangan yang baharu dan segar pada setiap perkara. Bahkan ia menjadi punca pemerhatian terhadap pelbagai jenis mukjizat penciptaan Tuhan Yang Maha Mencipta lagi Maha Mempunyai Kebesaran dan kudrat-Nya yang luar biasa. Bahkan ia adalah penjelmaan rahmat Allah SWT yang dapat disaksikan dengan penuh kenikmatan dan kegembiraan yang sempurna. Hal ini sama seperti apa yang digambarkan oleh cermin yang memantulkan warna-warni cahaya matahari yang segar, dan gambar-gambar pada layar panggung wayang yang diubah sehingga kelihatan lebih menarik dan indah. Manakala bagi kedua-dua ubat itu pula, pertama adalah kesabaran dengan bertawakal kepada Allah. Iaitu dengan menyandarkan diri kepada kekuasaan Pencipta dan keyakinan terhadap kebijaksanaan-Nya. Adakah ini benar?Ya benar. Seseorang yang mengakui kelemahannya tetapi bersandar kepada Sultan alam semesta yang memiliki kuasa كُنْ فَيَكُونُ (Jadilah! Maka jadilah ia), bagaimanakah mungkin dia akan berasa takut dan bimbang? Kerana apabila berhadapan dengan musibah yang paling dahsyat, dia akan berkata, اِنَّا ِللّٰهِ وَاِنَّاۤ اِلَيْهِ رَاجِعُونَ (Sesungguhnya, kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jua kami dikembalikan), dan berserah sepenuhnya kepada Tuhan Yang Maha Penyayang dengan hati yang penuh ketenangan. Ya, seseorang yang mengenal Allah (al- ‘arif billah) akan memperoleh kelazatan daripada kelemahan dan ketakutan kepada-Nya. Ya, memang terdapat kelazatan dalam ketakutan kepada Allah. Jika, bayi yang berumur setahun cukup bijak untuk ditanya,“Apakah yang paling menyenangkan dan paling manis untuk anda?” Dia mungkin akan berkata, “Ketika saya menyedari kelemahan, kedaifan dan ketakutan saya terhadap tamparan lemah lembut ibu, akan menyebabkan saya berlindung pada dakapannya yang lembut.” Namun, belas kasihan semua ibu hanyalah sekelumit kerdipan daripada manifestasi rahmat Ilahi. Itulah sebabnya, insan-insan yang bijak (Insan Kamil) telah mendapat kelazatan yang tinggi dalam kelemahan dan ketakutan kepada Allah SWT, dan mengisytiharkan diri mereka bebas sebebas-bebasnya daripada apa-apa kekuatan dan kekuasaan sendiri dan mereka memohon perlindungan kepada Allah melalui kelemahan mereka. Mereka menjadikan kelemahan dan ketakutan sebagai syafaat bagi mereka di sisi Allah SWT. Ubat yang kedua adalah permintaan dengan berdoa melalui kesyukuran dan qanaah (berpada), dan meyakini akan rahmat Pemberi Rezeki Yang Maha Mengasihani. Adakah begitu?Ya, sesiapa yang menjadi tetamu kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Mulia ini, yang menghamparkan permukaan bumi sebagai hidangan yang dipenuhi dengan pelbagai kenikmatan, dan menjadikan musim bunga seperti jambangan bunga-bungaan indah yang diletakkan bersebelahan hidangan yang beraneka, dan ditabur ke atas hidangan tersebut, maka bagaimanakah kefakiran dengan keberhajatan kepada-Nya menjadi sesuatu yang menyakitkan dan memberatkan? Bahkan dia menjadikan kefakiran dan keberhajatannya seumpama penambah selera, dengan meninggikan lagi tahap kefakirannya seperti seseorang yang menambah seleranya. Kerana inilah mereka yang bijak (Insan Kamil) berbangga atas kefakiran mereka. Tetapi janganlah salah faham! Ia bermaksud untuk seseorang menyedari akan kefakirannya di hadapan Allah SWT dan merayu kepada-Nya, bukan mempamerkan kefakiran kepada manusia dan mengambil sikap sebagai pengemis. Manakala tiket dan baucar itu pula, adalah menunaikan segala perkara yang difardukan terutamanya solat, serta meninggalkan dosa-dosa besar. Adakah begitu? Ya! Sesungguhnya, seluruh ahli al-ikhtisas dan al-shuhud serta seluruh ahli al-dhawq dan ahli al-kashf, mereka semua bersepakat bahawa khazanah bekalan dalam perjalanan menuju keabadian yang gelap, serta cahaya dan buraqnya (tunggangannya melintasi titian sirat), hanyalah boleh didapati dalam mematuhi segala perintah al-Quran al-Karim dan menjauhi segala larangannya. Jika tidak, sains dan falsafah, kemahiran dan kebijaksanaan tidak bernilai apa-apa dalam perjalanan ini. Cahaya mereka hanyalah sampai sehingga pintu kubur. Oleh itu, wahai nafsuku yang malas! Betapa sedikit, ringan dan mudahnya untuk melakukan solat lima waktu, dan meninggalkan tujuh dosa besar. Sekiranya anda mempunyai akal fikiran yang tidak rosak, anda akan memahami betapa hasil, buah dan faedahnya yang banyak, penting dan besar! Katakanlah kepada Syaitan dan lelaki yang memujuk anda untuk melakukan kefasikan dan perkara-perkara bodoh itu: “Jika anda mempunyai cara untuk membunuh kematian, dan menghilangkan perpisahan dari dunia ini, dan dapat menghapuskan kelemahan dan kefakiran daripada manusia, dan jika ada cara untuk menutup pintu kubur, maka beritahulah dan biarlah kami mendengarnya. Jika tidak, diamlah!... Al-Quran membaca ayat-ayat seluruh makhluk di dalam masjid alam semesta yang luas ini. Mari kita mendengarnya, marilah kita diterangi dengan cahayanya, mari kita beramal mengikut hidayahnya, dan marilah kita menjadikan lidah kita basah dengan berzikir dengannya. Ya, al-Quran adalah perkataan yang hakiki dan diterima sebagai perkataan yang sebenar. Al-Quran adalah yang hak, datang daripada Tuhan Yang Haqq, mengatakan yang Hak, menunjukkan akan hakikat, dan menyebarkan cahaya hikmah nurani!...” Ya Allah, sinarilah hati kami dengan cahaya keimanan dan al-Quran. Ya Allah, kayakanlah kami dengan rasa fakir terhadap-Mu dan janganlah Engkau fakirkan kami dengan rasa tidak berhajat kepada-Mu. Kami berlepas diri kepada-Mu dari daya dan kekuatan kami serta kami berlindung di bawah daya dan kekuatan-Mu, maka jadikanlah kami dalam kalangan orang-orang yang bertawakal terhadap-Mu. Janganlah Engkau biarkan kami berada di bawah kekuasaan diri kami sendiri serta peliharalah kami dengan pemeliharaan-Mu serta kasihilah kami serta seluruh orang mukmin lelaki dan wanita. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Muhammad SAW, hamba-Mu, nabi-Mu, pilihan-Mu, kekasih-Mu serta keindahan kerajaan-Mu, penghulu ciptaan-Mu, tumpuan penjagaan-Mu, matahari petunjuk-Mu, lisan hujah-Mu, contoh rahmat-Mu, cahaya ciptaan-Mu, keagungan makhluk-makhluk-Mu, lampu keesaan-Mu dalam banyaknya makhluk-Mu, pembongkar jampi alam semesta-Mu, penunjuk kekuasaan Rububiyyah-Mu serta penyampai kepada keredaan-Mu, pengisytihar khazanah nama-nama-Mu serta guru kepada hamba-hamba-Mu, penterjemah bukti-bukti-Mu, cermin keindahan Rububiyyah-Mu, serta perantara terhadap para saksi dan kesaksian-Mu, kekasih-Mu, rasul-Mu yang Engkau utuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam, juga ke atas seluruh ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda, saudara-saudara baginda dalam kalangan para nabi dan rasul serta seluruh para malaikat yang dekat di sisi-Mu dan hamba-hamba-Mu yang soleh. Amin...

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters