Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir (sekalian makhluk-Nya).” (Ali-Imran, ayat 2 dan al-Baqarah, ayat 255) “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam.” (Ali Imran, ayat 19) Jika anda ingin memahami hakikat dunia ini, roh manusia di dalamnya, sifat dan nilai agama bagi manusia; dan jika agama tidak benar, dunia adalah umpama penjara keseorangan; dan jika tanpa agama, manusia akan menjadi makhluk yang paling sengsara dan celaka; dan bahawa hakikat ucapan َ“Ya Allah!” dan “Tidak ada tuhan melainkan Allah” sahajalah yang dapat menyelesaikan teka-teki alam semesta ini dan menyelamatkan roh manusia daripada kegelapan, maka lihat dan dengarlah akan tamsilan hikayat ini: Pada masa dahulu, dua orang bersaudara berangkat bersama menuju perjalanan yang jauh. Mereka terus berjalan sehingga tiba-tiba sampai di satu persimpangan. Di situ mereka ternampak seorang lelaki yang serius. Lalu mereka bertanya kepadanya, “Jalan manakah yang lebih baik?” Lelaki itu juga memberitahu mereka, “Di jalan sebelah kanan anda terpaksa mematuhi undang-undang dan peraturan, tetapi dalam kesulitan itu terdapat keselamatan dan kebahagiaan. Pada jalan yang sebelah kiri pula terdapat kebebasan dan tidak ada sebarang sekatan, tetapi dalam kebebasan itu terdapat bahaya dan kecelakaan. Sekarang, pilihan ada di tangan anda.” Setelah mendengar demikian, saudara lelaki yang baik budi pekerti itu berkata, ‘‘Tawakkaltu Alallah’’ (aku berserah diri kepada Allah), membuat keputusan dengan mengambil jalan sebelah kanan, mematuhi perintah dan menurut peraturan. Saudara yang satu lagi pula, yang tidak bermoral dan seperti orang yang tiada berpendirian, memilih jalan ke kiri hanya untuk menjadikan dirinya bebas. Melalui khayalan, mari kita mengikuti lelaki ini dengan keadaannya yang kelihatan ringan tetapi secara maknawinya adalah berat. Kemudian lelaki ini, menyusuri sungai, mendaki dan menuruni bukit sehingga dia memasuki keadaan sepi di sebuah padang pasir. Tiba-tiba dia terdengar suara yang menakutkan dan melihat seekor singa besar dan ganas keluar dari semak samun dan meluru ke arahnya. Lalu dia melarikan diri. Dia menjumpai telaga dengan kedalaman 60 hasta yang tidak mempunyai air lalu dia melompat ke dalamnya dengan penuh ketakutan. Dia jatuh sampai separuh kedalaman, tangannya tersentuh sebatang pokok, lalu dia berpaut padanya. Pokok yang tumbuh dari dinding telaga itu mempunyai dua akar. Terdapat dua ekor tikus, seekor berwarna putih dan seekor lagi berwarna hitam, sedang menyerang dan menggigit kedua-dua akar tersebut. Dia melihat ke atas dan mendapati seekor singa sedang menunggunya di bahagian atas telaga seperti seorang pengawal. Kemudian, dia memandang ke bawah dan melihat seekor naga yang bengis sedang menunggu. Naga itu menaikkan kepalanya mendekati kaki lelaki itu yang terletak tiga puluh hasta di atas. Manakala mulut naga itu selebar mulut telaga. Kemudian dia memandang ke dinding telaga dan melihat serangga-serangga yang berbisa dan menyengat berkumpul di sekelilingnya. Lalu, dia memandang ke arah atas pokok dan ternampak pokok Tin. Ia adalah pokok yang ajaib dan mempunyai pelbagai jenis buah-buahan yang berbeza, daripada buah walnut hingga ke buah delima. Oleh sebab salah faham dan kebodohannya, lelaki itu tidak memahami bahawa semua kejadian ini bukanlah perkara biasa. Benda-benda yang berada di situ bukanlah berlaku secara rawak dan di dalamnya terdapat rahsia ganjil pada perkara-perkara yang aneh itu. Dia juga tidak memahami bahawa ada pihak yang amat berkuasa dan mengarahkan semua yang telah berlaku.Sekarang, walaupun hati, roh dan akalnya secara diam-diam menangis dan meratap di dalam keadaan yang menyedihkan, nafsu amarahnya berpura-pura seolah-olah tiada ada apa-apa yang berlaku. Dia menutup telinga kepada tangisan hati dan rohnya, dan dengan menipu dirinya sendiri seperti dia berada di suatu taman, lalu dia mula memakan buah-buahan dari pohon itu. Tetapi sebahagian daripada buah-buahan itu beracun dan memudaratkan. Allah SWT berfirman dalam Hadis Qudsi: اَناَ عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى yang bermaksud: “Aku akan memperlakukan hamba-Ku, sebagaimana dia mengenali diri-Ku.”Lelaki yang malang itu, melalui buruk sangkaannya dan kebodohannya berfikir dan melihat perkara-perkara biasa sebagai hakikat yang sebenar. Jadi, itulah juga caranya dia telah diperlakukan, sedang diperlakukan dan akan diperlakukan. Dia tidak mati untuk dia boleh selamat dan dia juga tidak hidup, serta berada dalam azab seksaan sedemikian. Sekarang kita akan meninggalkan orang yang ditimpa azab ini dan kembali untuk memahami keadaan saudara yang seorang lagi. Lelaki yang diberkati dan bijak itu pula meneruskan perjalanannya, tetapi dia tidak mengalami kesukaran seperti saudaranya. Oleh sebab akhlaknya yang baik, dia hanya memikirkan perkara-perkara yang baik dan membayangkan kebaikan. Dia mendapati segala-galanya adalah mesra baginya. Dia juga tidak mengalami sebarang kesukaran dan kesusahan seperti saudaranya, kerana dia faham akan perintah itu dan mematuhinya dan segala urusannya dipermudahkan. Dia berjalan dalam keadaan selamat dan aman secara bebas. Kemudian dia menjumpai sebuah taman yang terdapat bunga-bunga yang cantik dan buah-buahan yang indah. Oleh sebab taman itu tidak terurus dengan baik, terdapat bangkai-bangkai binatang yang sangat busuk. Saudaranya tadi juga memasuki taman seperti itu, tetapi dia hanya menumpukan perhatiannya kepada bangkai-bangkai yang kotor sehingga mengalami gangguan dan menyebabkan perutnya berasa loya, lalu dia telah meninggalkan taman itu tanpa langsung dapat berehat. Lelaki ini pula beramal dengan kaedah: ‘Lihatlah kepada yang baik bagi setiap perkara’, lalu dia langsung tidak berpaling ke arah bangkai-bangkai tadi. Sebaliknya dia mendapat faedah daripada perkara-perkara yang baik di dalam taman itu, serta dapat berehat dengan sempurna, lalu dia meninggalkan taman itu dan meneruskan perjalanannya. Kemudian, seperti saudaranya yang pertama, dia juga telah memasuki padang pasir yang luas, dan tiba-tiba terdengar laungan seekor singa yang hendak menyerangnya. Dia berasa takut, tetapi tidaklah seperti saudaranya. Oleh sebab sangkaannya dan fikirannya yang baik, dia berfikir, “Padang pasir ini mempunyai seorang raja, dan mungkin singa ini adalah khadam di bawah perintah raja itu” dan dengan ini, dia mendapat ketenangan. Tetapi dia juga melarikan diri sehingga menemui sebuah perigi kosong dengan kedalaman 60 hasta, lalu dia terjun ke dalamnya. Seperti saudaranya, tangannya tersentuh dan berpaut pada pokok yang berada pada paras setengah kedalaman perigi, dan tergantung di udara. Dia melihat dua ekor haiwan sedang menggigit kedua-dua akar pokok itu. Dia memandang ke atas lalu ternampak singa, dan memandang ke bawah lalu ternampak seekor naga. Sama seperti saudaranya, dia sedang melihat keadaan yang paling aneh baginya. Dia pun berasa takut seperti saudaranya, tetapi ketakutannya adalah 1000 kali lebih ringan daripada ketakutan yang dirasai oleh saudaranya tadi. Oleh sebab akhlaknya yang baik telah memberikannya pemikiran yang baik, pemikirannya itu telah menunjukkannya wajah kebaikan pada setiap perkara. Kerana sebab di atas dia telah berfikir seperti berikut, “Perkara-perkara aneh ini berkait antara satu dengan yang lain. Juga, semua perkara ini nampaknya bergerak mengikut satu pemerintah. Oleh hal yang demikian, perkara-perkara ini mengandungi satu teka-teki. Ya, semuanya berlaku atas arahan Pemerintah Yang Bijaksana yang tersembunyi. Oleh itu, saya tidak keseorangan, pemerintah yang tersembunyi itu sedang memerhati, menguji dan mendorong saya ke suatu tempat untuk sesuatu tujuan, dan menjemput saya ke sana.” Perasaan ingin tahu yang timbul dari ketakutan yang menyenangkan dan dari pemikiran yang baik ini mendorong saya untuk bertanya, “Siapakah gerangan yang sedang menguji saya, mahu membuat dirinya dikenali dan mendesak saya untuk sesuatu tujuan di atas jalan yang aneh ini?” Seterusnya, daripada dorongan ingin tahu itu, timbul rasa cinta kepada pemilik teka-teki alam itu, dan daripada kecintaan itu timbul keinginan untuk menyelesaikan teka-teki tersebut. Daripada keinginan itu, timbul kehendak untuk berada dalam kedudukan yang indah dan keadaan yang diterima di sisi pemilik teka-teki tersebut sebagaimana disukai dan diredai-Nya. Kemudian dia memandang ke bahagian atas pokok itu dan melihat ia ialah Pokok Tin, tetapi padanya terdapat buah-buahan daripada ribuan jenis pokok. Pada waktu itu, semua ketakutannya hilang sama sekali, kerana dia memahami dengan yakin; bahawa Pokok Tin itu merupakan satu senarai, satu indeks dan satu pameran. Sudah pasti pemerintah yang tersembunyi itulah yang meletakkan sampel buah-buahan di dalam taman dan kebun ke atas pokok itu (Pokok Tin) melalui mukjizat serta azimatnya, dan Dialah yang menghiasi pokok-pokok itu serta menunjukkan kepada setiap jenis makanan yang disediakan untuk tetamu-tetamu-Nya. Jika tidak, pokok yang tunggal itu tidak akan dapat menghasilkan buah-buahan dari ribuan jenis pokok. Kemudian dia mula berdoa dan merayu sehingga dia diilhamkan akan kunci kepada teka-teki alam itu. Dia berseru,“Wahai pemerintah tempat-tempat ini! Aku berlindung dan mengikut arahan-Mu. Aku adalah khadam-Mu dan aku inginkan keredaan-Mu. Aku mencari-Mu.” Selepas rayuannya itu, dinding perigi itu tiba-tiba terbelah dan pintunya pun terbuka untuk ke suatu taman yang selesa, bersih dan indah. Seterusnya mulut naga pun berubah menjadi pintu tersebut, dan kedua-dua singa dan naga itu pula menjadi seperti dua khadam. Mereka menjemputnya masuk ke dalam taman tersebut hinggakan singa itu bertukar menjadi kuda yang jinak baginya. Wahai diriku yang malas! Dan wahai sahabatku dalam khayalan! Datanglah, mari kita bandingkan kedudukan kedua-dua saudara ini untuk kita dapat melihat dan mengetahui bagaimana kebaikan menghasilkan kebaikan dan kejahatan menghasilkan kejahatan. Lihatlah: pengembara yang malang pada jalan yang kiri itu berada dalam keadaan gementar dengan ketakutan setiap masa menunggu untuk memasuki mulut naga, manakala yang bernasib baik itu pula telah dijemput ke suatu taman yang indah yang penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan. Seterusnya hati si malang itu sentiasa gementar akibat daripada situasi yang dahsyat, menakutkan dan amat menggerunkan. Orang yang bernasib baik itu pula melihat dan memandang benda-benda yang aneh sebagai ibarat yang menyenangkan, ketakutan yang manis dan makrifat yang dicintai. Juga bagi si malang itu pula, dia mengalami azab akibat dari kesunyian, kekecewaan dan keseorangan. Manakala yang bernasib baik itu sedang merasai kelazatan dengan berseronok, dalam keadaan penuh dengan harapan dan kerinduan. Sebaliknya, si malang itu melihat dirinya sebagai banduan yang terdedah kepada serangan binatang-binatang buas. Sementara yang bernasib baik adalah tamu, yang dihormati, yang berada dalam keadaan keseronokan diterima sebagai sahabat kepada khadam-khadam yang aneh daripada Tuan Rumah Yang Pemurah. Si malang itu pula sedang menyegerakan azabnya yang ditangguh dan menyeronokkan dirinya dengan memakan buah-buahan yang zahirnya kelihatan lazat tetapi hakikatnya beracun. Sesungguhnya buah-buahan itu umpama sampel-sampel, diberikan keizinan hanya untuk merasainya bertujuan untuk menjadi pelanggan bagi membeli buah-buahan yang asli, tetapi tidak diizinkan untuk makan dengan gelojoh seperti haiwan. Manakala lelaki yang beruntung itu hanya merasai buah-buahan tadi dan memahami akan tujuannya, dia menunda untuk memakannya dan berasa kelazatan dengan penantiannya itu. Sebaliknya, si malang itu telah menzalimi dirinya sendiri. Oleh sebab dia tidak mempunyai pandangan mata hati yang baik dia telah menukar situasi yang jelas dan terang seperti waktu siang ke situasi yang gelap, serta memberinya sangkaan yang mengancam seperti neraka Jahannam melalui anggapannya itu. Dia tidak layak dikasihani, dan dia tidak berhak untuk mengadu kepada sesiapa pun. Sebagai contoh, ketika seseorang berada di taman yang indah, di kelilingi oleh orang-orang yang dikasihinya, pada musim panas, lantaran tidak berpuas hati dan tidak seronok ketika berada di satu jamuan yang hebat, lalu menjadikan dirinya mabuk dengan meneguk minuman keras yang jijik, kemudian dia membayangkan dirinya pada musim sejuk, di tengah-tengah haiwan liar dan lapar dan bertelanjang, lalu mula berteriak dan menangis, adakah patut dia dikasihani? Dia menzalimi dirinya sendiri. Dia melihat dan menghina rakan-rakannya dengan membayangkan mereka seperti binatang liar. Si malang itu juga adalah seperti ini. Manakala orang yang bernasib baik itu melihat akan hakikatnya, dan hakikat itu sebenarnya adalah baik. Dengan memahami keindahan hakikat ini, orang itu menghormati kesempurnaan tuan punya hakikat tersebut, lalu dia layak mendapat rahmat-Nya. Oleh itu rahsia al-Quran menjadi jelas, dengan mengetahui bahawa “keburukan adalah daripada dirimu, dan kebaikan adalah daripada Allah SWT.” Jika anda membuat perbandingan lain yang berbeza dengan cara yang sama, anda akan memahami bahawa nafsu amarah lelaki pertama itu telah menyediakan sejenis neraka Jahannam yang maknawi untuknya. Sementara dengan niat yang baik, sangkaan yang baik, akhlak yang baik dan fikiran yang baik daripada lelaki yang satu lagi itu, dia memperoleh ihsan yang menyeluruh dan kebahagiaan yang melimpah-ruah, fadilat yang bersinar dan kejayaan. Wahai jiwaku! Dan wahai lelaki yang mendengar kisah ini bersama dengan jiwaku!Jika anda tidak mahu menjadi seperti lelaki yang malang itu dan ingin menjadi seperti lelaki yang bernasib baik, dengarlah arahan al-Quran, taatlah kepada hukumnya! Berpegang teguhlah dengannya! Dan beramallah dengan hukum-hakamnya! Sekiranya anda memahami hakikat-hakikat dalam hikayat tamsil ini, anda akan dapat melaksanakannya untuk beramal dengan hakikat agama, dunia, manusia dan keimanan keseluruhannya. Saya akan beritahu perkara-perkara yang penting. Maka anda boleh menyimpulkan fakta-fakta yang lebih halus daripadanya. Dengan itu, lihatlah! Daripada kedua-dua lelaki yang bersaudara ini, yang satunya adalah roh seorang mukmin dan hati seorang yang soleh. Manakala, yang satu lagi ialah roh seorang kafir dan hati seorang fasik. Dari kedua-dua jalan itu, yang sebelah kanan adalah jalan al-Quran dan keimanan. Sedangkan yang sebelah kiri, adalah jalan keingkaran dan kekufuran. Taman dalam perjalanan itu adalah kehidupan manusia yang sementara dalam masyarakat dan tamadunnya, di mana kebaikan dan keburukan, perkara-perkara yang baik dan keji, bersih dan kotor ditemui berdampingan. Orang yang waras ialah orang yang beramal menurut kaedah: “Huz mâ safâ, da’ mâ keder” “Ambillah yang jernih, dan buanglah yang keruh”, dan dia meneruskan perjalanannya dengan hati yang sejahtera. Adapun padang pasir itu, adalah bumi dan dunia ini. Dan singa itu adalah kematian dan ajal yang ditetapkan. Telaga itu adalah jasad manusia dan tempoh masa kehidupannya. Manakala kedalaman 60 hasta itu menunjukkan jangka hayat purata dan kebiasaan selama 60 tahun bagi seseorang manusia. Dan pokok itu adalah tempoh hayat dan keperluan kehidupannya. Kedua-dua haiwan, satu hitam dan satu putih, merupakan malam dan siang. Naga itu adalah mulut kubur yang terbuka ke jalan Alam Barzakh dan tempat persinggahan untuk ke akhirat. Tetapi bagi seorang mukmin, mulut itu adalah pintu yang dibuka dari penjara menuju ke suatu taman. Manakala serangga-serangga yang memudaratkan itu adalah musibah-musibah di dunia ini. Tetapi bagi orang mukmin, ia adalah umpama peringatan Ilahi yang manis dan anugerah daripada Yang Maha Pemurah untuk menghindarkannya daripada berada dalam keadaan tidur dengan kelalaian. Buah-buahan di atas pokok itu merupakan kenikmatan duniawi daripada Yang Maha Pemurah Lagi Mutlak, dijadikan sebagai indeks kurniaan nikmat dan mengingatkannya tentang kenikmatan di akhirat nanti, umpama sampel bagi menjemput para pelanggan untuk menikmati buah-buahan Syurga. Dan pokok yang menghasilkan buah-buahan yang berlainan walaupun hanya daripada satu pokok adalah menandakan meterai kuasa Samadaniyah, setem Rububiyyah Ilahi dan tanda tangan kedaulatan Uluhiyyah.Oleh sebab untuk “membuat segala-galanya daripada yang satu”, iaitu untuk membuat semua tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan dari tanah yang sama, juga untuk mencipta semua binatang dari air yang satu, juga untuk mencipta semua anggota badan dan organ haiwan daripada makanan yang biasa, juga bersama-sama dengan “membuat yang satu daripada segalanya”, iaitu seni-seni seperti menenun kulit yang mudah dan menjadikan daging yang khusus untuk setiap hidupan daripada pelbagai jenis makanan yang dimakannya, adalah sebuah setem dan meterai yang khusus bagi Zat Ahadiyyah Yang Samadaniyyah, lagi Sultan Yang Azali dan Abadi serta tandatangan-Nya yang tidak boleh ditiru sama sekali. Ya, membuat satu menjadi segala-galanya, dan membuat segala-galanya menjadi satu adalah tanda penunjuk yang khusus kepada Pencipta segala sesuatu, dan khas kepada Dia Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Adapun azimat itu, ia adalah rahsia hikmat penciptaan yang dirungkai melalui rahsia keimanan dan kuncinya ialah Ya Allah, dan لاَۤاِلٰهَ اِلاَّاللّٰهُ (Tidak ada tuhan melainkan Allah), dan اَللّٰهُ لاَۤ اِلٰهَ اِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ ( Allah, Tiada ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang Berdiri Dengan Sendirinya). Manakala pertukaran mulut naga menjadi pintu taman, maka ia adalah tanda yang menunjukkan bahawa bagi ahli kesesatan dan kezaliman, kubur adalah penjara yang menyeksakan dalam kesunyian, kelupaan, kelalaian dan kesempitan serta ia adalah seperti perut naga bagi mereka. Manakala bagi ahli keimanan dan ahli al-Quran, ia adalah pintu yang terbuka luas dari penjara dunia untuk ke taman keabadian, dan dari medan ujian untuk ke taman syurga, dan daripada kesulitan kehidupan kepada rahmat Tuhan Yang Maha Pemurah.Manakala pertukaran singa yang ganas menjadi khadam yang mesra dan kuda yang ditunggang dengan jinak adalah tanda bahawa kematian bagi ahli-ahli kesesatan merupakan suatu perpisahan yang pahit dan abadi daripada semua orang yang mereka cintai. Ia juga mengeluarkan dan mengusir mereka dari syurga dunia yang palsu dan dimasukkan sebagai banduan ke dalam kesesakan dan kesepian penjara kubur. Di sebaliknya untuk ahli-ahli hidayah dan ahli-ahli al-Quran, ia adalah wasilah untuk menyertai semua sahabat lama mereka dan orang yang dikasihi yang sudah berangkat ke dunia yang satu lagi. Juga, ia adalah kenderaan untuk memasuki tanah air mereka yang sebenar dan tempat tinggal kebahagiaan yang kekal abadi. Juga, ia adalah satu jemputan ke taman-taman Syurga daripada penjara dunia ini dan beratur menunggu untuk menerima upah yang diperoleh berdasarkan kemurahan Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih bagi perkhidmatan yang dilakukannya. Ia juga adalah pelepasan dari bebanan kehidupan. Juga, sebagai pengumuman tamatnya kewajipan ubudiyyah, aktiviti-aktiviti ujian dan latihan. Ringkasnya: Sesiapa yang menjadikan kehidupan yang fana ini sebagai tujuan dan matlamat utamanya, walaupun nampak pada zahirnya dia seperti di dalam Syurga, sebenarnya dia berada di Neraka Jahannam yang maknawi. Dan sesiapa yang menuju dan berusaha bersungguh-sungguh kepada kehidupan yang kekal abadi akan mendapat kebahagiaan kedua-dua dunia. Walau bagaimana buruk dunianya dan menyusahkan, dia reda kerana dia melihatnya sebagai suatu yang manis dan baik, serta sebagai ruang menunggu untuk ke Syurga, lalu bertahan dan bersyukur dengan kesabaran… Ya Allah! Jadikanlah kami dalam kalangan ahli kebahagiaan, ahli kesejahteraan, ahli al-Quran dan ahli iman. Amin.Ya Allah! Berikanlah selawat dan salam-Mu ke atas penghulu kami Muhammad SAW, keluarga baginda dan sahabat baginda sebanyak huruf-huruf yang terbentuk dalam semua perkataan yang terbentuk dengan izin Allah pada cerminan ombak udara ketika membaca setiap perkataan dari al-Quran oleh setiap orang yang membacanya, semenjak ia mula diturunkan hingga akhir zaman. Rahmatilah kami dan kedua-dua ibu bapa kami. Rahmatilah seluruh orang-orang beriman, lelaki dan perempuan dengan sebanyak bilangannya (ayat-ayatnya), dan dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rahmat. Amin.. Segala puji bagi Tuhan sekalian alam.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Eighth Word
Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus

