Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani “(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh. Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhluk-Nya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepada-Nya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.” (ar-Rum, ayat 17-18) Wahai saudaraku! Anda bertanya kepadaku mengenai hikmah yang terdapat dalam pengkhususan solat pada kelima-lima waktu yang ditentukan. Kami akan menunjukkan hanya satu sahaja daripada hikmahnya yang banyak. Ya, seperti setiap waktu solat menandakan permulaan satu pertukaran besar yang penting. Ia juga merupakan satu cerminan tindakan Ilahi yang Agung yang menggambarkan ihsan-Nya yang sejagat dalam tindakan-Nya itu. Dengan ini, ia bertujuan memperbanyak tasbih dan memuliakan Tuhan Yang Maha Kuasa di atas kemuliaan-Nya pada waktu-waktu itu, dan untuk memuji dan bersyukur terhadap semua nikmat yang tidak terhingga yang terkumpul di antara dua waktu, dalam solat yang telah ditentukan.Untuk memahami sebahagian makna yang halus dan mendalam ini, anda mesti mendengar “Lima Noktah” berikut bersama-sama dengan jiwa saya.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Ninth Word
Makna solat adalah bertasbih, mengagungkan dan bersyukur kepada Allah, Tuhan yang Maha Besar. Maksudnya, mengucapkan ‘‘Subhanallah’’ (Maha Suci Allah) dengan perkataan dan perbuatan ke atas kemuliaan dan keagungan-Nya, serta menyucikan-Nya; dan menyatakan “Allahuakbar’’ (Tuhan yang Maha Besar) melalui lafaz dan perbuatan di hadapan kesempurnaan-Nya, untuk mengagungkan-Nya; juga menyatakan ‘‘Alhamdulillah’’ (Segala puji bagi Allah) dengan hati, lisan, dan badan, untuk mengucapkan kesyukuran di hadapan keindahan-Nya. Maksudnya, tasbih, takbir dan tahmid adalah seperti biji-biji benih solat. Itulah sebabnya, ketiga-tiga perkara ini terdapat dalam setiap bahagian solat, dalam semua pergerakan dan zikir-zikirnya (bacaan dalam solat). Hal inilah juga antara sebabnya; kalimah-kalimah yang diberkati ini diulangi 33 kali selepas solat, iaitu untuk menguatkan dan meneguhkan makna solat. Makna solat dikukuhkan melalui rumusan yang ringkas ini.
Makna ibadah adalah: bahawa seorang hamba menyaksikan segala kecuaian, kelemahan, dan kefakirannya, di hadapan hadrat Ilahi lalu bersujud dengan kasih sayang dan penuh kekaguman di hadapan kesempurnaan Rububiyah, kudrat Samadaniyyah dan rahmat Ilahi. Yakni, sebagaimana kesultanan Rububiyah menuntut ubudiyah dan ketaatan, begitu juga kesucian Rububiyyah menuntut agar kesucian hamba mengisytiharkan melalui istighfar dan melihat kekurangan dirinya, bahawa Tuhannya adalah suci daripada sebarang kekurangan, juga jauh daripada semua pemikiran ahli kesesatan yang batil, serta suci daripada semua kecacatan dan kekurangan di alam semesta ini. Iaitu dia mengisytiharkan yang demikian ini semuanya melalui tasbihnya, iaitu dengan berkata Subhanallah. Juga, kudrat Rububiyah yang sempurna menuntut seorang hamba menyaksikan akan kedaifan dirinya sendiri dan kelemahan makhluk-makhluk lain, dan melalui pandangan yang baik dan penuh kekaguman di hadapan kehebatan karya-karya kudrat Samadaniyyah, dia menyataka “Allahuakbar” (Tuhan Maha Besar) dan tunduk melakukan rukuk dengan merendah diri dan khusyuk serta memohon perlindungan dan bertawakal kepada-Nya. Begitu juga, khazanah rahmat Rububiyyah yang tidak terbatas menuntut seorang hamba itu memperlihatkan keperluannya sendiri dan kefakiran serta keperluan semua makhluk melalui lidah rayuan dan doa, dengan mengucapkan kesyukuran dan pujian di atas kurniaan Tuhannya dengan berkata “Alhamdulillah” (Segala pujian bagi Allah). Maksudnya, perbuatan dan perkataan dalam solat mengandungi pengertian-pengertian ini kerananya solat difardukan oleh Allah SWT.
Sebagaimana manusia adalah contoh miniatur alam semesta yang lebih besar ini, dan surah al-Fatihah yang mulia adalah contoh yang bersinar bagi al-Quran al-Karim, maka begitu juga solat merupakan indeks nurani yang komprehensif bagi semua jenis ibadah, dan peta suci yang menunjukkan seluruh jenis ibadah bagi semua jenis makhluk.
Jarum jam yang mengira saat, minit, jam dan hari, yang menunjukkan minggu, saling melengkapi, saling berkaitan dan saling mengikut antara satu sama lain.Begitu juga alam dunia ini yang merupakan jam Ilahi yang besar. Pertukaran siang dan malam adalah sama seperti pusingan saat untuk jam dunia ini, tahun-tahun seperti minit, peringkat umur manusia seperti jam dan pusingan umur alam seperti hari; semuanya adalah sama, saling melengkapi, saling berkaitan, saling mengikut dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Sebagai contoh: Waktu Fajar hingga matahari terbit, ia menyerupai dan mengingatkan kepada awal musim bunga, saat kewujudan insan dalam rahim ibu, dan hari pertama daripada enam hari penciptaan langit dan bumi. Ia mengingatkan insan akan tindakan-tindakan dan kekuasaan Ilahi pada waktu-waktu tersebut. Manakala Waktu Zuhur, ia menyerupai dan menunjukkan kepada pertengahan musim panas, dan zaman kemuncak remaja serta tempoh penciptaan manusia dalam umur dunia. Semua itu mengingatkan insan kepada manifestasi rahmat dan limpah kurniaan nikmat Ilahi pada ketika itu. Manakala Waktu Asar, ia menyerupai musim luruh, dan waktu usia tua, dan abad kebahagiaan terunggul iaitu zaman Rasul Terakhir (SAW). Semua ini mengingatkan insan akan tindakan-tindakan Ilahi dan nikmat-nikmat Tuhan Yang Maha Pemurah dalam tindakan-Nya di atas. Manakala Waktu Maghrib, ia mengingatkan insan akan pemergian kebanyakan makhluk pada akhir musim luruh, juga kematian manusia, dan kehancuran dunia pada permulaan hari kiamat. Di samping itu, ia mengingatkan insan akan manifestasi Keagungan Ilahi yang mengejutkan serta memberi amaran kepada manusia dari tidur yang lalai. Manakala Waktu Isyak, ia mengingatkan insan kepada alam kegelapan yang menyelubungi hasil-hasil alam waktu siang dan menutupnya dengan kain kafan hitam, dan juga menutup muka bumi yang sudah mati dengan kain kafan musim sejuk yang putih. Ia juga menunjukkan bahawa hasil usaha yang ditinggalkan oleh orang-orang yang meninggal dunia akan dilupakan, juga menunjukkan kepada tertutupnya pintu-pintu medan ujian dunia selama-lamanya, dan juga mengisytiharkan pada semua itu sebagai tindakan-tindakan hebat Allah Yang Maha Perkasa yang mempunyai keagungan. Adapun waktu malam, ia mengingatkan insan kepada musim sejuk, kubur dan Alam Barzakh, lebih-lebih lagi mengingatkan manusia betapa perlu rohnya kepada rahmat Tuhan Yang Maha Mengasihani. Adapun tahajud pada waktu malam, ia memberitahu betapa perlunya insan kepada cahaya pada waktu malam di dalam kubur dan memberi amaran akan kegelapan Alam Barzakh. Ia juga menyedar dan mengingatkannya akan nikmat-nikmat yang tidak terhingga daripada Tuhan Pemberi Rezeki Yang Hakiki melalui semua pertukaran waktu-waktu tersebut, dan mengisytiharkan juga betapa berhaknya Dia akan ucapan kesyukuran dan kepujian. Adapun pagi kedua hari berikutnya, ia mengingatkan akan pagi (permulaan) hari kebangkitan. Ya, sebagaimana kedatangan pagi selepas malam, dan kedatangan musim bunga selepas musim sejuk merupakan perkara yang wajar, perlu dan pasti, maka begitu juga halnya dengan kedatangan pagi (permulaan) hari kebangkitan yang seumpama musim bunga alam barzakh dan mempunyai keyakinan pasti akan berlaku pada darjah yang sama. Oleh itu setiap satu daripada lima waktu ini adalah permulaan pertukaran-pertukaran yang penting dan mengingatkan manusia kepada pertukaran-pertukaran hebat yang lain, melalui isyarat pada tindakan-tindakan besar harian, tahunan dan abad kudrat Samadiniyah Ilahi dan mengingatkannya akan mukjizat-mukjizat kudrat dan kurniaan-kurniaan rahmat Ilahi. Oleh itu, solat yang difardukan pada asalnya merupakan tanggungjawab fitrah, asas ubudiyah dan hutang yang wajib dilunasi, amat layak dan sesuai pada waktu-waktu tersebut.
Secara fitrah manusia adalah sangat lemah, namun semua perkara mengganggu, menyedihkan dan mendukacitakannya. Juga, dia benar-benar tidak berdaya, namun musibah dan musuh-musuhnya sangat banyak. Juga, dia sangat fakir, namun keperluannya sangat banyak. Dia juga malas dan tidak berupaya, namun tanggungjawab hidupnya adalah sangat membebankan. Juga, kemanusiaannya telah menjadikannya terikat dengan seluruh alam semesta, namun perpisahan dengan yang disayangi dan kehilangan perkara-perkara yang dia biasa dengannya sentiasa menyakitkannya. Juga, akalnya sentiasa memperlihatkan kepadanya matlamat yang tinggi dan hasil-hasil yang kekal abadi, namun tangannya pendek, umurnya singkat, kemampuannya terhad, dan kesabarannya juga sedikit. Maka roh manusia dalam keadaan ini, pada Waktu Fajar amat perlu untuk mengetuk pintu Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mulia dan pintu Tuhan Yang Maha Mengasihani lagi Maha Indah dengan doa dan solat lalu membentangkan hal keadaannya di hadapan Allah serta memohon taufik dan bantuan daripada-Nya. Adalah difahami dengan mudah betapa berhajatnya roh manusia kepada satu sandaran yang kukuh agar dia dapat menghadapi perkara-perkara yang akan menimpanya pada siang hari yang mendatang serta memikul tugas dan pekerjaan yang akan dibebankan kepadanya. Pada Waktu Zuhur - pada waktu itulah - berlakunya kemuncak kesempurnaan waktu siang dan permulaan penurunannya, waktu penyempurnaan kerja-kerja harian dan waktu rehat yang sementara daripada kepenatan pekerjaan. Ia juga adalah waktu roh perlu untuk bernafas dan berehat daripada kealpaan, kebingungan dan kekacauan dunia yang fana, pekerjaan berat yang memenatkan dan ia juga adalah masa kurniaan nikmat-nikmat Ilahi dizahirkan. Terlepasnya roh manusia daripada segala kesempitan di atas dan terselamatnya daripada kealpaan dan kebingungan serta keluarnya daripada segala perkara remeh-temeh yang fana itu tidak berlaku melainkan dengan dia berlindung pada ruang singgahsana Yang Maha Gagah lagi Kekal abadi, iaitu Pemberi Rezeki Hakiki. Dengan menggenggam kedua-dua belah tangan (iaitu dengan bertadharru’ dan bertawassul) ketika berdiri tegak melalui kesyukuran dan pujian terhadap segala nikmat-Nya yang diperoleh dengan hanya memohon pertolongan-Nya, kemudian manusia memperlihatkan kelemahannya di hadapan kebesaran dan keagungan Allah dengan melakukan rukuk, dan mengisytiharkan kekaguman, kasih sayang dan kekerdilan dengan melakukan sujud di hadapan kesempurnaan Allah yang tidak akan hilang dan di hadapan keindahan-Nya yang tiada tandingan. Inilah hakikat penunaian solat zuhur. Alangkah indahnya! Alangkah lazatnya! Alangkah patut ia dilakukan! Alangkah besar keperluan insan kepadanya! Oleh itu, adakah wajar seseorang manusia masih menganggap dirinya sebagai manusia jika dia tidak memahami hakikat ini… Pada Waktu Asar - pada waktu itulah ia mengingatkan berkali-kali dengan tegas kepada kemurungan musim luruh dan keadaan umur tua manusia yang menyedihkan dan waktu yang suram pada akhir zaman. Dan dengan waktu kelihatan berakhirnya hasil kerja-kerja harian, dan waktu di mana kesihatan, keselamatan, dan amalan yang baik terkumpul untuk membentuk jumlah yang besar daripada kurniaan rahmat Ilahi yang telah diterima pada hari itu dan dinyatakan melalui matahari yang hebat, memberi isyarat dengan mula tenggelam, dan mengisytiharkan bahawa manusia adalah pegawai sementara dan semuanya akan binasa dan tidak stabil. Ya, sesungguhnya roh manusia yang sentiasa mengharapkan keabadian dan kekekalan, dan ia dicipta untuk kekal abadi, dan yang mencintai ihsan (kebaikan) serta berasa sakit dengan perpisahan; roh ini membangkitkan manusia pada waktu asar untuk mengambil wuduk seterusnya menunaikan solat asar untuk bermunajat di hadapan singgahsana Allah yang al-Samadani (Dia yang semua makhluk berhajat kepada-Nya) lagi al-Qadim, dan al-Baqi (Dia Yang Maha Kekal yang tiada permulaan, dan tiada pengakhiran), dan al-Qayyum al-Sarmadi (Dia yang berdiri dengan sendiri selama-lamanya) dengan berlindung mendapatkan kelebihan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Roh itu juga mengajak manusia agar mempersembahkan kepada Allah SWT kesyukuran dan pujian terhadap nikmat-Nya yang tidak terhitung. Lalu ia rukuk dengan penuh kerendahan dan ketundukan di hadapan kemuliaan Rububiyyah Allah SWT, kemudian ia sujud dengan penuh tawaduk dan fana di hadapan keabadian uluhiyyah Allah SWT. Pada waktu ini, dia akan memperoleh ketenteraman yang hakiki bagi hatinya dan kerehatan yang sempurna bagi rohnya ketika ia berdiri melakukan ubudiyyah yang sempurna dan persediaan yang lengkap ketika berhadapan keagungan kebesaran Allah SWT. Alangkah mulia tanggungjawab melaksanakan solat asar dengan pengertian ini! Alangkah layaknya tugas yang dilaksanakan ini! Bahkan alangkah layaknya waktu ini untuk dilunaskan hutang fitrahnya! Alangkah besarnya kejayaan memperoleh kebahagiaan dengan penuh kelazatan ini! Hanya manusia yang sebenar sahaja dapat memahami hakikat ini. Pada Waktu Maghrib - waktu itulah bermulanya awal musim sejuk, mengingatkan kesedihan perpisahan daripada kehilangan makhluk-makhluk yang seni dan indah yang berada pada musim panas dan musim luruh. Ia juga mengingatkan manusia akan masa kematiannya, akan perpisahan yang menyedihkan dengan semua orang yang dikasihi, akan kemasukannya ke kubur. Ia mengingatkannya kepada kematian dunia dengan gegaran sakaratul maut, dan perpindahan semua penghuninya ke alam-alam lain, dan terpadamnya lampu dunia tempat ujian ini. Ini adalah waktu yang memberi amaran tegas kepada mereka yang asyik kepada kekasih-kekasih yang fana dan sementara.Dalam situasi ini, manusia yang memiliki roh yang jernih seperti cermin yang bersinar bersih, yang secara fitrahnya amat merindukan Keindahan Abadi, bagi menunaikan solat maghrib dalam waktu seumpama ini akan menghadapkan wajahnya ke singgahsana kebesaran Tuhan Yang Qadim lagi Abadi dan Yang Baqi lagi Kekal, yang melakukan urusan-urusan yang hebat, mentadbir seluruh alam yang sangat besar dan menukarnya. Lalu roh manusia meninggikan suaranya dengan berkata Allahu Akbar bagi mengisytiharkan bahawa Allah Maha Besar di atas seluruh makhluk yang fana (binasa). Tangannya dibebaskan daripada makhluk-makhluk tersebut bahkan hanya digenggam untuk berkhidmat kepada Tuhannya, melakukan qiyam di hadapan Tuhan yang Maha Kekal dan Abadi dengan memuji rahmat tuhannya yang luas tidak terhingga, dan berkata Alhamdulillah di hadapan kesempurnaan tuhannya yang tidak mempunyai sebarang kekurangan, dan keindahan-Nya yang tidak mempunyai sebarang tandingan. Kemudian dia إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (Hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan)’, yang bermaksud kami berubudiyyah dan memohon bantuan hanya daripada Rububiyyah Tuhan yang tiada pembantu dan daripada Uluhiyyah Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya, dan daripada kesultanan Tuhan yang tiada bermenteri. Lalu dia melakukan rukuk di hadapan kebesaran Allah SWT yang tidak bersempadan dan di hadapan kudrat Allah yang tiada berpenghujung dan di hadapan kemuliaan Allah yang tiada sebarang kelemahan, bagi menzahirkan kelemahan, keberhajatan, kefakiran dan kehinaannya bersama-sama dengan seluruh alam semesta, lalu dia berkata سُبْحَانَ رَبِّىَ الْعَظِيمُ , dan bertasbih “Tuhanku Yang Maha Agung”. Kemudian di hadapan keindahan Zat Allah yang tidak akan binasa, dan di hadapan sifat-sifat-Nya yang suci tidak berubah, dan di hadapan kesempurnaan keabadian-Nya yang tidak akan bertukar ganti, dia bersujud, dan mengisytiharkan kasih sayang dan ubudiyahnya dengan penuh kekaguman dan kekerdilan serta meninggalkan semua yang fana selain Allah, lalu dia menemui Tuhan Yang Indah Lagi Kekal, Yang Mengasihani Lagi Abadi, sebagai ganti bagi segala yang musnah dengan berkata سُبْحَانَ رَبِّىَ اْلاَعْلٰى, yang bermaksud dia menyucikan Tuhannya Yang Maha Tinggi, suci daripada ketiadaan dan bebas daripada sebarang kekurangan… Lalu dia duduk melakukan tasyahud dengan mengemukakan ucapan tahiyat yang diberkati dan selawat yang baik atas namanya mewakili seluruh makhluk sebagai hadiah kepada Tuhan Yang Indah lagi Azali dan Tuhan Maha Besar Yang Abadi. Kemudian dia mengucapkan salam ke atas Rasul-Nya yang paling mulia dengan memperbaharui baiahnya, menzahirkan ketaatan terhadap segala arahannya, memperbaharui serta menyinarkan keimanannya, melihat susunan kebijaksanaan bagi istana alam semesta dan menyaksikan keesaan Tuhan Yang Menciptanya Yang Mempunyai Ketinggian... Dia juga menyaksikan kerasulan penunjuk kepada kesultanan rububiyyah, penyampai keredaan (perkara yang diredai) Ilahi, penterjemah ayat-ayat kitab alam semesta yang besar ini, iaitu Muhammad SAW yang berbangsa Arab. Hal ini semua adalah erti dan hakikat penunaian solat maghrib. Alangkah lembut, dan alangkah suci tugas ini! Alangkah mulia dan alangkah manis perkhidmatan ini! Alangkah indah dan lazat ubudiyah ini! Alangkah agung hakikat yang kukuh ini! Demikianlah bagaimana kita melihat solat maghrib sebagai satu perbualan abadi yang mulia serta kebahagiaan yang kekal abadi di rumah tamu yang fana ini. Adakah orang yang tidak memahami perkara ini masih menyangka dirinya manusia? Pada Waktu Isyak - pada waktu itulah ia mengingatkan tentang kehilangan jejak terakhir tanda siang yang masih ada di kaki langit, dan dunia malam yang menyelimuti alam semesta, juga mengingatkan tentang tindakan-tindakan Rabbaniyyah ‘‘Muqallibu’l-Layli wa’n-Nahâr’’ (Penukar Malam dan Siang) adalah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Yang Mempunyai Ketinggian yang menukar halaman putih menjadi halaman hitam, serta menukar halaman-halaman hijau yang cantik di musim panas kepada halaman-halaman putih yang dingin di musim sejuk, juga mengingatkan tentang tindakan-tindakan Ilahi Musahhıru’s-Syamsi wa’l-Qamar (Tuhan yang menundukkan matahari dan bulan) merupakan Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Mempunyai Kesempurnaan.Dengan berlalunya masa, waktu isyak juga mengingatkan akan hal ehwal Ilahi bagi Khâlık-ı Mawt val-Hayat (Pencipta Kematian dan Kehidupan) dengan terputusnya kesan amalan yang masih berbaki bagi ahli-ahli kubur dan berpindah semuanya dari dunia ini ke alam lain.Juga, ini adalah masa yang mengingatkan kita akan tindakan-tindakan agung Tuhan Pencipta Langit dan Bumi dan jelmaan keindahan-Nya dengan kemusnahan sepenuhnya dunia yang sempit, yang sementara dan hina ini dengan sakaratul mautnya (penderitaan kematiannya) yang dahsyat, dan pembukaan dunia akhirat yang luas, kekal dan megah.Dan Pemilik dan Pentadbir Hakiki alam semesta ini, Tuhan Yang Berhak disembah dan Kekasih Yang Hakiki, hanya Dia sahajalah, yang boleh dengan mudah menukar malam menjadi siang, musim sejuk menjadi musim panas, dan dunia ini ke alam akhirat semudah dia membalikkan halaman-halaman buku; dan hanya Dialah yang menulis, memadam dan menukar semuanya ini; situasi ini membuktikan bahawa Allah SWT adalah Penguasa Mutlak yang hukum-Nya berlaku kepada semua. Oleh itu, manusia yang sangat daif dan lemah, tidak terbatas kefakiran dan hajatnya, yang bingung terhadap kegelapan tidak terhingga masa hadapannya, dan juga rohnya ditimpa dengan musibah yang tidak terkira, mendorongnya ketika menunaikan solat isyak dengan pengertian ini untuk tidak teragak-agak dan sentiasa mengulangi sebagaimana kata Saidina Ibrahim: لاَۤ اُحِبُّ اْلاٰفِلِينَ (Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang) melalui solatnya dia mencari perlindungan di hadapan singgahsana Tuhan Yang Disembah Lagi Azali dan Tuhan Yang Dikasihi Lagi Abadi; dan dalam alam yang fana ini, umurnya yang terhad, dunia yang gelap dan masa hadapannya yang gelap; seketika dalam beberapa minit umurnya yang masih tinggal dia bermunajat kepada Tuhan Yang Kekal Abadi, lalu perbualan itu menghasilkan keabadian, untuk mengubati luka-luka akibat pemergian kekasih-kekasihnya dan perpisahan dengan semua yang wujud, dengan menyaksikan limpahan rahmat Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan memohon cahaya petunjuk-Nya, yang akan menerangi dunia dan menyinari masa depannya. Ketika itu, buat sementara manusia melupakan dunia yang tersembunyi itu yang juga telah melupakannya, lalu dia mencurahkan tangisan dan kesedihan hatinya di hadapan singgahsana rahmat Ilahi, bagi melaksanakan tugas ubudiyahnya yang terakhir sebelum memasuki suatu keadaan yang tidak diketahui akibatnya, dan tidak diketahui apa yang akan berlaku terhadap dirinya selepas itu, iaitu tidur yang menyerupai kematian, dan bagi menamatkan buku catatan amalan hariannya dengan husnul khatimah dia berdiri menunaikan solat di hadapan Tuhan Yang Disembah lagi Dikasihi lagi Kekal Abadi menggantikan kekasih-kekasih lain yang fana (binasa). Dia juga tegak berdiri di hadapan Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mulia sebagai ganti daripada semua yang lemah yang selalu dia meminta-minta daripada mereka. Dia juga berada di hadapan Tuhan Yang Maha Menjaga lagi Maha Mengasihani bagi menyelamatkan dirinya daripada kejahatan makhluk-makhluk yang memudaratkan yang dia berasa gerun terhadap mereka. Seterusnya, dia memulakan dengan al-Fatihah, iaitu puji-pujian bagi Tuhan sekalian alam, yang merupakan Tuhan yang Sempurna lagi Kaya Secara Mutlak, Tuhan yang Maha Mengasihani lagi Maha Mulia, menggantikan makhluk-makhluk yang sedikit pun tidak berfaedah dan memang mereka tidak layak untuk dipuji sama sekali, kerana mereka mempunyai kekurangan dan kefakiran.Selanjutnya, kedudukannya meningkat dengan mengucapkan اِيَّاكَ نَعْبُدُ (Hanya Kamu yang kami sembah), meskipun dia seorang yang kecil, kerdil dan terasing, melalui hubungannya dengan Tuhan Pemilik Hari Pembalasan, Sultan Yang Agung lagi Azali dan Abadi; dia mencapai keadaan sebagai tetamu yang mulia dan kedudukannya meningkat ke maqam pegawai tinggi-Nya; dengan menyatakan: اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِينُ Hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan), serta mempersembahkan seluruh ibadah dan permohonan pertolongan mewakili seluruh makhluk daripada jemaah yang besar dan masyarakat teragung di alam semesta yang luas ini. Kemudian, dalam kegelapan masa depan dia mengatakan اِهْدِناَ الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (Tunjukkanlah kami Jalan yang Lurus), dan merayu ditunjukkan Jalan yang Lurus iaitu jalan-Nya yang bercahaya dan menyampaikan kepada kebahagiaan abadi. Juga, sekarang ketika tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang sedang berehat, matahari-matahari yang tersembunyi dan bintang-bintang yang mula kelihatan seumpama lampu-lampu dan hamba-hamba yang sedang berkhidmat di rumah tetamu alam semesta ini menurut perintah seperti askar, dia memikirkan ketinggian Tuhan Yang Maha Mulia dan mengucapkan: Allahu Akbar (Allah Maha Besar), serta melakukan rukuk. Kemudian, dia memikirkan sujud yang agung oleh seluruh makhluk, maksudnya ketika mereka sedang berehat pada malam ini, semua jenis makhluk setiap tahun dan setiap abad, bahkan bumi, dan alam semesta juga, masing-masing seperti pasukan tentera yang teratur, bahkan seperti seorang askar yang mematuhi tugas ubudiyyah di alamnya sendiri, mendengar perintah كُنْ فَيَكُونُ (Jadilah, maka jadilah ia), iaitu sewaktu mereka dilepaskan daripada tugasan, ketika masing-masing dihantar ke Alam Ghaib dengan penuh tersusun di atas sejadah masing-masing dengan mengucapkan (Allahu Akbar) melalui sujud kepada-Nya. Seperti seluruh makhluk tersebut di atas yang dibangunkan melalui laungan yang menyedarkan, lahir daripada arahan كُنْ فَيَكُونُ (jadilah, maka jadilah ia), mereka bangun untuk memulakan kehidupan pada musim bunga, sebahagian berbentuk serupa dan yang lainnya sama seperti sebelumnya, dengan persiapan untuk berkhidmat kepada Tuhan mereka; manusia juga mengikuti makhluk-makhluk tadi, terus bersujud di hadapan singgahsana Tuhan Yang Maha Pemurah yang mempunyai kesempurnaan, Yang Maha Mengasihani yang mempunyai keindahan lalu melaungkan: “(Allahu Akbar)” dengan penuh limpahan kasih sayang dan kekaguman, kefanaan yang dipenuhi dengan keinginan untuk kekekalan abadi dan perasaan kehinaan yang dihiasi dengan kemuliaan; lalu bersujud dalam dia menunaikan solat isyak yang merupakan pencapaian yang tinggi seumpama kenaikan pada Mikraj. Pasti anda telah memahami sekarang bagaimana solat isyak menyeronokan, maka alangkah indah tugas tersebut! Alangkah manis kewajipan itu! Alangkah tinggi khidmat tersebut! Alangkah mulia dan lazat ubudiyyah itu! Alangkah layak ia menjadi suatu hakikat yang tertanam kukuh. Kelima-lima waktu ini, setiap satunya mengisyaratkan kepada pertukaran masa yang hebat, tanda-tanda yang menunjukkan tindakan-tindakan besar Rabbani dan hadiah kurniaan sejagat Ilahi. Oleh itu, penentuan solat fardu yang merupakan hutang fitrah dan amanah pada waktu-waktu tersebut merupakan hikmah yang paling bermakna. “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah: 32) Ya Allah! Berilah salam dan selawat-Mu kepada Rasul yang Engkau utuskan sebagai guru kepada para hamba-Mu, untuk mengajar mereka bagaimana mengenali dan berubudiyyah kepada-Mu. Rasul yang memperkenalkan khazanah nama-Mu, penterjemah tanda-tanda kitab alam semesta-Mu, yang cerminan ubudiyyahnya menjelmakan keindahan rububiyyah-Mu. Juga kepada seluruh keluarga dan seluruh para sahabatnya. Rahmatilah kami, dan rahmatilah seluruh mukminin dan mukminat. Amin, dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.

