بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103) Pada suatu ketika, seorang lelaki yang berumur, mempunyai fizikal yang hebat, dan berpangkat tinggi berkata kepadaku, “Solat itu baik. Tetapi berulang melaksanakannya lima kali setiap sehari adalah berlebihan. Oleh sebab ia tidak pernah berakhir, maka ia menjemukan.” Setelah sekian lama lelaki itu mengucapkan kata-katanya, aku mendengar jiwaku dan mendapati ia mengucapkan perkara yang sama. Aku memerhatikannya dan melihat bahawa melalui telinga kemalasan, ia telah menerima pelajaran yang sama dari Syaitan. Ketika itu aku memahami: bahawa lelaki itu berkata seolah-olah kata-katanya itu mewakili semua jiwa yang أ ما ر ة با لسو ء (yang sentiasa menyuruh melakukan kejahatan), atau dia dipaksa mengatakannya. Lalu aku berkata, “Oleh sebab jiwaku juga adalah أ ما ر ة با لسو ء orang yang tidak mentarbiahkan jiwanya sendiri tidak dapat mentarbiahkan jiwa orang lain. Jika begitu, aku akan bermula dengan jiwaku sendiri.” Aku berkata, Wahai jiwaku! Dengarlah “Lima Peringatan” daripadaku sebagai satu balasan terhadap kata-kata yang anda ucapkan dalam keadaan jahil murakab dan hanyut di atas katil kemalasan serta tidur dalam kelalaian.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Twenty-First Word
Wahai jiwaku yang celaka! Adakah umur anda kekal abadi? Adakah anda mempunyai surat jaminan yang tidak dapat disangkal, yang menunjukkan bahawa anda akan hidup hingga ke tahun hadapan bahkan sampai ke esok hari? Apa yang menyebabkan anda bosan adalah kerana anda menyangka anda akan hidup selama-lamanya. Anda dimanjakan dengan kemewahan, seolah-olah anda akan kekal di dunia ini selama-lamanya. Jika anda memahami bahawa umur anda adalah singkat dan ia sedang berlalu tanpa faedah, pasti anda akan memberikan 1/24 daripadanya untuk kehidupan yang hakiki dan menatijahkan kehidupan yang kekal abadi untuk perkhidmatan yang baik, selesa, merehatkan dan membawa rahmat. Solat itu tidak menjadikan anda bosan sebaliknya menyebabkan anda digerakkan dengan semangat yang tinggi untuk berusaha bersungguh-sungguh.
Wahai nafsuku yang haloba yang hanya memikirkan perutnya! Setiap hari anda makan roti, minum air dan menghirup udara, adakah ia menyebabkan anda bosan? Pasti tidak, kerana keperluan yang berulang-ulang tidaklah membosankan anda, bahkan menghasilkan kelazatan. Oleh yang demikian, solat tidak sepatutnya menyebabkan anda bosan, kerana ia memenuhi keperluan rakan-rakan di dalam rumah jasad anda seperti pati makanan untuk hati, air kehidupan untuk roh, dan udara yang nyaman untuk segala pancaindera Rabbani yang halus. Ya, sesungguhnya hati yang terdedah kepada pelbagai kedukacitaan dan kesakitan yang tidak bersempadan, serta terpikat dengan segala cita-cita dan kelazatan yang tidak berpenghujung serta dipenuhi dengan cinta yang tulen, pasti hatinya tidak akan memperoleh kekuatan dan makanan melainkan dengan mengetuk pintu Tuhan Yang Maha Mengasihani Lagi Maha Pemurah yang berkuasa atas segala sesuatu, dengan merayu dalam keadaan merendah diri dan penuh pengharapan. Sesungguhnya roh yang berkait dengan hampir keseluruhan benda-benda yang wujud, yang datang dan pergi dengan cepat di atas dunia yang fana ini, tidak akan dapat meneguk air kehidupan bagi rohnya melainkan dengan menuju kepada punca air kerahmatan Tuhan yang disembah Lagi Kekal dan Kekasih Yang Abadi dengan menunaikan solat. Ya, secara fitrah, pancaindera manusia yang maknawi merindukan keabadian dan diciptakan untuknya. Ia juga adalah cermin yang menjelmakan zat Tuhan Yang Kekal Abadi dan amat sensitif lagi halus, yang penuh dengan kesedaran dan juga merupakan pancaindera maknawi Rabbani yang penuh bercahaya. Dalam keadaan kesedihan, kehancuran, penderitaan, kegelapan dan keadaan yang mencekik oleh dunia yang fana ini, manusia amat perlu untuk bernafas dan dia hanya boleh bernafas melalui jendela solat sahaja.
Wahai jiwaku yang tidak sabar! Hari ini engkau mengingati kepenatan beribadat dan kesukaran bersolat serta kesibukan musibah yang telah menimpa pada masa lalu dan tertekan dengannya, kemudian engkau juga memikirkan tentang kewajipan beribadat pada hari-hari akan datang serta khidmat yang perlu untuk menunaikan solat serta kesakitan musibah yang bakal dihadapi, lalu engkau menjadi bimbang, kurang sabar, bahkan hilang kesabaran. Wajarkah keadaan ini lahir daripada seseorang yang berakal? Dalam situasi tidak sabar ini, anda menyerupai seorang komandan bodoh yang mengarahkan satu pasukan yang besar daripada anggota tenteranya untuk menghadapi pihak musuh dari sebelah kanan, sedangkan pihak musuh di sebelah kanannya itu sudah pun menyertai pasukan mereka di sebelah kiri dan mempertahankannya. Kemudian komandan tentera itu mengarahkan saki-baki anggota tenteranya yang masih ada ke sebelah kiri pihak musuh, sedangkan ketika itu tidak ada seorang pun tentera musuh yang berada di sana. Pada ketika itu, pihak tentera musuh dapat mengesan kelemahan yang ada lalu membuat serangan pada bahagian tengah yang sudah tidak mempunyai pertahanan lagi, lalu keseluruhan pasukannya mengalami kekalahan teruk. Ya, anda menyerupai komandan tadi, kerana masalah hari-hari yang berlalu telah berubah menjadi rahmat pada hari ini; kesedihannya telah hilang sementara kesenangan sahaja yang kekal. Bebanan telah ditukar menjadi keberkatan, dan kesukaran menjadi ganjaran pahala.Oleh yang demikian, anda seharusnya tidak bosan dengan keadaan itu, tetapi lakukanlah usaha yang serius dengan keinginan tinggi dan baharu, dengan mendapat semangat yang segar dan berterusan. Sebaliknya, bagi hari-hari mendatang, oleh sebab ia belum tiba lagi, maka memikirkannya sekarang dan berasa bosan serta jemu dengannya adalah satu kegilaan, seumpama memikirkan kelaparan dan dahaga masa hadapan, lalu mula berteriak dan meratap. Oleh sebab inilah hakikatnya, jika anda seorang yang waras, anda akan memikirkan hanya keadaan ibadat anda pada hari ini sahaja dan andaikan dengan menghabiskan satu jam dalam sehari untuk kewajipan yang bernilai tinggi, lazat dan cantik, merupakan satu perkhidmatan mulia yang mempunyai ganjaran yang besar dengan bebanan yang sedikit. Maka pada waktu itulah perasaan anda yang lemah berubah menjadi semangat yang tinggi. Wahai jiwaku yang tidak sabar! Anda dipertanggungjawabkan dengan tiga jenis kesabaran. Pertama adalah sabar dalam perkara ketaatan. Kedua adalah sabar dengan menahan diri daripada melakukan maksiat. Ketiga adalah sabar ketika menghadapi musibah. Jika anda seorang yang waras, jadikanlah hakikat yang jelas daripada perumpamaan dalam Peringatan Ketiga ini sebagai panduan. Katakanlah dengan penuh semangat dan berani: “Í« ’Ó»ÔË—Ô (Wahai Tuhan Yang Maha Penyabar)!” Pikullah ketiga-tiga jenis kesabaran ini di atas bahu anda. Sekiranya anda tidak menyelerakkan kekuatan kesabaran yang dikurniakan Tuhan Yang Maha Kuasa kepada anda pada perkara-perkara yang salah, seharusnya ia sudah mencukupi untuk anda bertahan ketika menghadapi semua kesukaran dan musibah. Jadi, bersandarlah dengan kekuatan-kekuatan itu!
Wahai jiwaku yang bingung! Adakah kewajipan ibadat ini tidak mempunyai natijah dan faedah, atau ganjarannya sedikit, sehingga menyebabkan anda bosan dengannya? Sedangkan jika seseorang memberi anda sedikit wang, atau dengan menakut-nakutkan anda, dia boleh membuatkan anda bekerja sehingga petang tanpa penat lelah. Oleh itu, dalam rumah tamu dunia ini, solat adalah makanan asasi dan kekayaan untuk hati anda yang lemah dan fakir; dan dalam kubur yang anda pasti akan singgah, ia menjadi makanan dan cahaya; dan pada hari kebangkitan yang anda akan diadili, ia adalah dokumen dan sijil pengesahan yang akan membebaskan anda; ia juga adalah cahaya dan buraq yang anda akan tunggangi ketika melalui Titian Sirat yang mahu atau tidak anda mesti melaluinya. Adakah solat yang begini hakikatnya, tidak mempunyai sebarang hasil atau faedah, atau ganjarannya amat sedikit? Jika seseorang menjanjikan anda hadiah bernilai 100 dinar emas, anda pasti akan sanggup bekerja selama 100 hari tanpa jemu, meskipun lelaki itu mungkin akan memungkiri janjinya. Oleh itu, Dia yang bagi-Nya memungkiri janji adalah mustahil, yang telah menjanjikan anda dengan balasan seperti Syurga dan hadiah seperti kebahagiaan abadi, dan mengupah anda untuk masa yang sangat singkat dalam tugas yang sangat baik dan senang; jika anda tidak melakukan perkhidmatan ini, atau anda melakukannya tanpa kerelaan, seperti seseorang yang dipaksa bekerja, atau bekerja dengan bosan, atau bekerja dengan separuh hati, maka anda tidak mempercayai janji-Nya dan memperkecilkan hadiah-Nya, maka anda berhak mendapat teguran yang berat dan hukuman yang dahsyat. Adakah anda tidak memikirkan perkara ini? Jika di dunia ini anda sanggup berkhidmat dalam pekerjaan yang paling berat kerana takutkan penjaranya, maka adakah ketakutan akan penjara yang abadi seperti Neraka Jahannam tidak mencukupi bagi menaikkan semangat dan keghairahan anda untuk melaksanakan satu ibadah yang benar-benar ringan dan menyenangkan ini?
Wahai jiwaku yang sangat cinta akan dunia! Adakah kelemahan semangat anda dalam beribadat dan kecuaian anda dalam solat timbul daripada banyaknya kesibukan duniawi sehingga anda tidak ada masa kerana sibuk mencari keperluan kehidupan? Adakah anda dicipta hanya untuk dunia ini yang menyebabkan anda menghabiskan sepenuh masa untuknya? Anda telah mengetahui bahawa melalui kemampuan anda, anda lebih unggul daripada semua haiwan, tetapi dalam hal keperluan hidup duniawi, anda tidak boleh bersaing walaupun dengan seekor burung pipit. Jadi mengapa anda tidak dapat memahami bahawa tugas hakiki anda bukanlah untuk sibuk dalam kehidupan dunia seperti haiwan, tetapi berusaha untuk mencapai hakikat kehidupan yang sebenar dan kekal, seperti seorang manusia yang hakiki. Selain itu, perkara-perkara yang anda sebut sebagai kesibukan duniawi kebanyakannya tidaklah memerlukan perhatian anda, dan merupakan perkara-perkara remeh yang anda campur tangan dengan melibatkan diri dalam perkara yang tidak penting. Anda mengabaikan perkara-perkara yang sangat penting dan menghabiskan masa anda dalam mendapat maklumat yang tidak perlu seolah-olah anda akan hidup ribuan tahun. Contohnya, anda membuang masa yang berharga pada perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti mempelajari tentang apakah bentuk bulatan di sekitar Zuhal atau berapakah ekor ayam yang ada di Amerika. Seolah-olah anda akan mendapat kesempurnaan daripada ilmu astronomi dan sains statistik. Jika anda berkata, “Apa yang memalingkan dan melemahkan saya daripada solat dan ibadah bukanlah perkara-perkara yang remeh seperti itu, tetapi ia adalah perkara-perkara keperluan kehidupan seperti mencari nafkah.” Maka jawapan saya adalah begini: Jika anda bekerja dengan upah harian RM100, dan seseorang datang kepada anda dan berkata, “Datang dan gali di sini selama 10 minit, dan anda akan menjumpai sebutir batu permata yang bernilai tinggi iaitu RM10,000 dan sebutir batu zamrud.” Sekiranya anda menjawab: “Tidak, saya tidak akan datang, kerana RM10 akan dipotong daripada upah harian saya dan sara hidup saya akan menjadi kurang”, tentu anda faham bahawa ia adalah satu alasan yang menunjukkan kebodohan. Dengan cara yang sama, anda bekerja di kebun ini untuk mencari nafkah anda. Sekiranya anda meninggalkan solat yang wajib, semua hasil usaha yang anda akan dapat hanya terhad kepada nafkah kehidupan duniawi, yang tidak bernilai, dan tidak berkat. Tetapi jika anda menggunakan waktu rehat anda untuk solat, yang membolehkan roh berehat dan hati bernafas; pada waktu itu dengan nafkah duniawi yang berkat dan bekalan akhirat, anda akan menemui dua lombong maknawi yang merupakan sumber penting. Lombong Pertama: Melalui niat yang ikhlas, anda akan menerima sebahagian daripada tasbih yang diberikan oleh semua tanaman dan pokok, sama ada yang berbunga atau yang berbuah, yang anda tanam di kebun anda ini. Lombong Kedua: Apa sahaja yang memakan hasil tanaman di kebun ini, sama ada oleh haiwan atau manusia, lembu atau lalat, pembeli atau pencuri, ia akan menjadi seperti amalan sedekah jariah daripada anda. Tetapi dengan satu syarat: Anda bekerja atas nama Tuhan Pemberi Rezeki Sejati dan bertindak dalam batasan keizinan-Nya, dan melihat diri anda hanya sebagai pegawai yang mengedar dan membahagikan harta-Nya kepada makhluk-makhluk-Nya. Sekarang perhatikanlah: Bagi orang yang meninggalkan solat, betapa besar kerugian yang dialaminya dan betapa banyak kehilangan kekayaannya, serta betapa besar semangat dan kekuatan maknawi dalam pekerjaan yang dia hilang yang sepatutnya kedua-dua ini terhasil dari kedua-dua lombong tadi, lalu dia jatuh menjadi muflis. Bahkan apabila usianya lanjut, dia akan menjadi bosan dan tidak bersemangat, dan berkata kepada dirinya sendiri, “Kenapakah aku perlu memenatkan diriku? Aku pasti akan meninggalkan dunia ini! Untuk siapakah aku bekerja?” Dengan itu, dia mencampakkan dirinya ke dalam dakapan kemalasan. Sedangkan lelaki pertama berkata, “Aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kerja yang halal di samping sentiasa meningkatkan ibadatku, agar aku dapat mengirimkan cahaya ke kuburku dan membuat simpanan yang lebih banyak untuk akhiratku.” RINGKASNYA:Wahai jiwaku! Ketahuilah bahawa semalam telah berlalu dan meninggalkan anda. Untuk hari esok, tidak ada jaminan bahawa anda akan memilikinya. Dalam hal ini, ketahuilah bahawa kehidupan yang hakiki anda ialah hari ini. Oleh itu, berikanlah sekurang-kurangnya satu jam dalam tabung simpanan akhirat iaitu masjid atau sejadah sebagai simpanan masa depan yang hakiki. Ketahui juga untuk anda dan untuk setiap orang, setiap hari yang baharu adalah pintu ke alam yang baharu. Sekiranya anda tidak menunaikan solat, dunia anda pada hari itu akan jadi gelap dan celaka, dan akan menjadi saksi menentang anda di Alam Mithal (Alam Akhirat). Untuk semua orang, pada setiap hari, dia mempunyai alam yang khusus daripada alam ini, dan sifat-sifat alam itu mengikut keadaan hati dan amalannya.Seperti istana yang tersergam yang terpantul dalam cermin mengikut warna sesuatu cermin itu; jika ia hitam, ia kelihatan hitam; jika ia merah, ia kelihatan merah. Juga mengikut sifat-sifat cermin; jika kaca cermin itu licin, ia menunjukkan istana menjadi indah. Jika tidak licin, ia menunjukkannya hodoh. Seperti yang ia menunjukkan banyak perkara paling halus menjadi kasar; jadi anda mengubah bentuk alam anda sendiri dengan hati, akal, amal dan perasaan anda. Anda boleh menyebabkannya menjadi saksi sama ada untuk menentang atau menyokong anda. Jika anda menunaikan solat, dan melaluinya anda menghadapkan diri anda ke arah Pencipta Agung alam ini, dan secara tiba-tiba alam yang menghadap anda ini akan kelihatan bercahaya. Seolah-olah solat anda adalah lampu elektrik dan niat anda untuk menunaikannya seperti sentuhan suis yang membukanya untuk menghilangkan kegelapan alam itu. Ketika itu, anda akan melihat semua kekacauan dan kedukacitaan sekitar anda di dunia ini berubah dan menjadi peraturan yang bijaksana dan penulisan qalam kudrah rabbani yang bermakna. اَللّٰهُ نُورُ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ (Tuhan adalah Cahaya Langit dan Bumi)Daripada ayat yang penuh bercahaya ini, satu cahaya dipancarkan ke hati anda dan alam anda pada hari itu akan bercahaya daripadanya. Ia akan menjadi saksi yang memihak kepada anda melalui cahayanya. Jangan berkata, “Apalah solat saya ini, berbanding dengan hakikat solat yang sebenar!” Kerana sebiji tamar, sama seperti satu pokok tamar, menggambarkan pokok itu sendiri. Perbezaannya hanya seperti dari sudut ijmal (ringkasan) dan tafsil (terperinci); solat orang awam seperti solat anda dan saya, mendapat satu bahagian daripada cahaya itu sebagaimana solat wali besar, dan juga mendapat satu bahagian rahsia daripada hakikat tersebut, walaupun anda tidak merasainya. Tetapi tahap kecerahan dan cahaya adalah berbeza bergantung kepada darjat mereka yang melaksanakannya. Sebagaimana banyaknya peringkat dan darjat yang wujud dari sebiji tamar hingga ke pokok yang matang, darjat mereka dalam solat dan martabatnya adalah lebih banyak lagi. Dalam setiap martabat terdapat hakikat yang bercahaya dalam semua darjahnya. Ya Allah! Ucapkanlah selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW yang bersabda, “Solat adalah tiang agama” dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat baginda.
[Mengandungi dua maqam]

