[Kalimah ini mengandungi Dua Bab] Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Surah at-Tin: 4-6)
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Twenty-Third Word
Kami akan menjelaskan hanya lima daripada ribuan keindahan iman dalam lima ‘Noktah’.
Melalui cahaya iman, seorang insan dapat mencapai maqam a’la iliyyin (peringkat yang paling tinggi) dan melayakkan dirinya untuk ke syurga. Sebaliknya, kegelapan kekufuran pula akan menjatuhkannya ke maqam asfala safilin (peringkat yang paling rendah), sehingga melayakkan dirinya untuk ke neraka jahanam. Hal ini demikian kerana, iman menghubungkan insan dengan Penciptanya Yang Maha Agung, ia merupakan suatu ikatan. Dengan iman, seseorang insan memperoleh nilai melalui penjelmaan seni Ilahi dan ukiran Asma’ul Rabbani (Nama-nama Ilahi) yang terdapat pada dirinya. Manakala kekufuran pula memutuskan hubungan ini sehingga penjelmaan seni Ilahi yang ada pada dirinya tersembunyi. Maka, nilai seseorang insan tadi hanyalah tinggal pada keadaan fizikalnya sahaja. Oleh sebab fizikalnya itu hanya bersifat fana, akan berlalu, dan merupakan sebuah kehidupan kehaiwanan yang sementara, ia hampir tidak mempunyai nilai langsung. Kami akan menerangkan rahsia ini melalui satu tamsil (perumpamaan):Sebagai contoh, bagi sesuatu karya seni, nilai bahan yang digunakan untuk menghasilkannya adalah berbeza berbanding nilai seninya yang sebenar. Kadangkala, nilai kedua-duanya adalah sama. Adakalanya, bahannya itu lebih bernilai, dan ada juga situasi di mana hasil seni yang bernilai ratusan ringgit boleh diperoleh daripada bahan besi yang nilainya kurang daripada lima ringgit sahaja. Bahkan, terdapat juga hasil karya seni antik yang bernilai jutaan ringgit walaupun nilai bahan yang terdapat padanya tidak lebih daripada lima ringgit. Apabila hasil seni seperti itu dibawa ke kedai barangan antik, ia dapat dijual dengan harga jutaan ringgit setelah karyawannya yang masyhur dan mahir dikaitkan dengannya. Sebaliknya jika hasil seni itu dibawa ke kedai besi buruk, bayaran yang diperoleh hanyalah nilai lima ringgit bagi besi tersebut. Demikianlah juga dengan insan, ia adalah karya seni antik Allah Yang Maha Kuasa. Diri manusia itu adalah mukjizat kekuasaan-Nya yang paling indah, dengan kehalusan yang sangat tinggi, diciptakan untuk memanifestasikan semua Nama dan seni ukiran-Nya dalam bentuk spesimen miniatur alam semesta. Apabila seseorang itu disinari dengan cahaya iman, segala ukiran seni yang bermakna padanya dapat dibaca. Sebagai seorang yang beriman, dia dapat membacanya dengan penuh kesedaran, dan melalui hubungan ini, membuatkan orang lain juga dapat membacanya. Hal ini bermakna, seni Ilahi dalam diri manusia itu menzahirkan makna seperti, “Aku adalah ciptaan dan hasil seni Pencipta Yang Maha Agung. Aku memanifestasikan rahmat dan kemurahan-Nya.” Maka, iman yang menghubungkan makhluk dengan Penciptanya akan menjelaskan segala hasil seni yang wujud pada dirinya. Oleh itu, nilai manusia adalah ditentukan oleh seni Ilahi berdasarkan cerminan as-Samad (Yang Maha Diperlukan oleh semua makhluk) yang terdapat pada dirinya. Maka, manusia yang pada mulanya tidak memiliki apa-apa nilai tadi bertukar menjadi makhluk yang memiliki martabat paling tinggi sehingga membolehkannya menerima sapaan Ilahi dan mendapat kemuliaan yang melayakkannya menjadi tetamu Allah di dalam syurga. Namun, jika kekufuran, yang merupakan pemutus hubungan dengan Ilahi, menyelinap masuk ke dalam hatinya, maka semua ukiran seni yang bermakna bagi nama-nama Ilahi itu akan jatuh ke dalam lembah kegelapan dan tidak dapat dibaca. Hal ini demikian kerana, jika Pencipta dilupakan, segala aspek maknawi yang mengarah kepada- Nya tidak akan dapat difahami, seolah-olah ia tidak dapat dibaca. Selain itu, sebahagian besar ukiran seni yang halus, tinggi dan bermakna tersebut juga akan tersembunyi. Jika masih ada tanda-tanda yang kelihatan sekalipun, ia akan dikaitkan dengan penyebab-penyebab yang rendah, ‘semula jadi’ dan ‘kebetulan’, lalu akan hilanglah nilainya. Setiap satu yang dahulunya merupakan permata yang berkilauan akan bertukar menjadi kepingan kaca yang kusam. Nilainya ketika itu hanya terletak pada keadaan fizikal kehaiwanannya sahaja. Sebagaimana yang telah kami jelaskan, matlamat dan natijah fizikal manusia hanyalah untuk menghabiskan kehidupan kehaiwanan singkat yang dimilikinya, sebagai makhluk yang paling lemah, paling memerlukan dan sentiasa berkeluh-kesah. Pada akhirnya, fizikalnya itu juga akan mereput dan hilang. Demikianlah bagaimana kekufuran membinasakan hakikat seseorang manusia dan menukarkannya daripada sebutir permata menjadi seketul arang batu.
Sebagaimana iman adalah cahaya yang menyinari manusia, memperlihatkan segala ukiran Ilahi yang terdapat padanya, sehingga mesej Dia yang bersifat as-Samad (Yang Maha Diperlukan oleh semua makhluk) dapat dibaca; maka demikian juga, iman menerangi alam semesta dan menyelamatkan masa lalu serta masa hadapan manusia daripada kegelapan. Rahsia ini akan aku jelaskan melalui satu perumpamaan yang aku lihat dalam sebuah imaginasi, yang berkaitan dengan salah satu rahsia ayat berikut:Firman Allah SWT: اَللّٰهُ وَلِىُّ الَّذِينَ اٰمَنوُا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ اِلَى النُّورِ Maksudnya: Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). (Surah al-Baqarah: 257) Ia adalah seperti berikut: Dalam suatu imaginasi, aku melihat sebuah jambatan yang menakjubkan yang dibina di antara dua buah gunung yang amat tinggi yang terletak bertentangan antara satu sama lain. Di bawah jambatan tersebut terdapat sebuah jurang yang sangat dalam. Aku sedang berada di atas jambatan tersebut. Dunia ketika itu diselubugi oleh kegelapan yang tebal dari segenap penjuru. Aku menoleh ke sebelah kanan; di sebalik kegelapan yang tidak berkesudahan, aku terlihat kubur yang besar. Begitulah apa yang aku bayangkan. Kemudian aku menoleh pula ke sebelah kiri, aku melihat seolah-olah ribut yang mengganas dan bencana sedang menunggu di dalam gelombang kegelapan yang menakutkan. Aku melihat pula ke bawah jambatan. Tergambar pada pandanganku sebuah jurang yang amat dalam. Aku hanya mempunyai sebuah lampu suluh yang malap dalam genggaman tanganku di saat berhadapan dengan segala kegelapan yang menakutkan ini. Lalu aku menyalakannya. Melalui cahaya yang sedikit itu, aku ternampak keadaan yang sangat mengerikan di hadapanku. Di hadapan dan di sekelilingku, aku melihat begitu banyak naga, singa dan raksasa sehinggakan aku berharap aku tidak mempunyai lampu suluh ini agar aku tidak menyaksikan semua makhluk yang menakutkan ini. Ke mana sahaja aku halakan lampu suluh tersebut, kengerian yang sama aku rasakan. Aku berteriak: “Ah! Lampu suluh ini hanya membawa masalah kepadaku!”, lalu aku melemparkannya ke tanah sehingga ia pecah. Tiba-tiba keadaan menjadi terang-benderang, seolah-olah dengan memecahkannya, aku telah menghidupkan suis sebuah lampu elektrik besar yang dapat menerangi seluruh dunia dan menghilangkan kegelapan. Setiap penjuru tempat menjadi terang dengan cahaya tersebut. Semuanya dapat dilihat dengan jelas dan terang sebagaimana keadaannya yang sebenar. Lalu aku dapati jambatan yang aku lihat itu sebenarnya adalah sebuah lebuhraya yang melalui dataran yang rata. Tanah perkuburan besar yang aku lihat di sebelah kananku pula adalah majlis-majlis ibadah, majlis untuk berkhidmat, majlis persaudaraan dan majlis zikir, yang dipandu oleh mereka yang alim di taman-taman yang sangat indah dan menghijau. Manakala segala jurang dan puncak yang aku lihat di sebelah kiriku yang aku bayangkan sebagai tempat yang bergelora dan penuh dengan badai, dalam kesamaran, aku kini melihatnya sebagai suatu tempat yang luas, indah dan tinggi, penuh dengan jamuan, kawasan beriadah dan juga tempat bersuka-ria. Selain itu, kawasan yang terletak di sebalik bukit-bukau dan gunung-ganang itu juga dipenuhi dengan hiasan dan sangat menyenangkan. Manakala makhluk-makhluk yang aku sangka sebagai raksasa dan naga yang menakutkan itu sebenarnya hanyalah binatang-binatang ternakan jinak seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing. Pada ketika itu, aku mengucapkan: “Alhamdulillah atas cahaya iman”. Selanjutnya aku membaca ayat berikut:اَللّٰهُ وَلِىُّ الَّذِينَ اٰمَنوُا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ اِلَى النُّورِMaksudnya: Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). (al-Baqarah: 257)Kemudian aku tersedar daripada imaginasiku itu. Dua buah gunung yang besar yang dimaksudkan itu adalah permulaan dan pengakhiran kehidupan, iaitu dunia ini dan alam barzakh. Jambatan yang terbentang itu pula adalah jalan kehidupan. Sebelah kanannya adalah masa lalu manakala sebelah kirinya pula adalah masa akan datang. Lampu suluh itu pula melambangkan keegoan manusia yang bergantung pada ilmu yang ada pada dirinya dan tidak mahu menghiraukan wahyu samawi (wahyu Ilahi). Makhluk-makhluk yang disangka raksasa itu sebenarnya adalah kejadian-kejadian alam dan makhluk-makhluk yang menakjubkan. Maka, inilah keadaan seseorang yang bergantung pada keegoannya, terjatuh ke dalam kegelapan kelalaian, dan dibelenggu oleh kegelapan kesesatan. Dirinya menyerupai keadaanku di peringkat awal imaginasiku. Dengan pengetahuan yang tidak sempurna dan penuh kesesatan seperti sebuah lampu suluh yang malap, dia melihat masa lalu sebagai sebuah kubur besar di tengah-tengah kegelapan yang dipenuhi dengan ketidakwujudan. Dia melihat masa depan sebagai sebuah tempat terbiar yang bergelora dan terpencil yang dikuasai oleh ‘kebetulan’. Setiap peristiwa dan makhluk yang merupakan hamba-hamba yang tunduk patuh kepada Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengasihani itu digambarkan sebagai binatang buas yang berbahaya. Orang seperti itu seolah-olah memanifestasikan ayat al-Quran berikut: وَالَّذِينَ كَفَرُوۤا اَوْلِيَاۤئُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ اِلَى الظُّلُمَاتِ Maksudnya: Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). (al-Baqarah: 257) Namun, jika hidayah Ilahi dan iman sampai ke hatinya, jiwa seumpama kesombongan Firaun dalam dirinya dihancurkan, dan dia mendengar akan Kitabullah, maka keadaannnya akan menyerupai keadaanku yang kedua dalam imaginasi tersebut. Ketika itu, alam semesta akan serta-merta berubah menjadi siang hari dan dipenuhi dengan cahaya Ilahi. Seolah-olah dunia ini akan mengisytiharkan ayat al-Quran berikut:اَللّٰهُ نوُرُ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ Allah yang menerangi langit dan bumi. (al-Nur: 35)Maka dengan itu, dia akan melihat dengan mata hati bahawa masa lalu itu bukanlah sebuah kubur yang besar, sebaliknya ia merupakan tempat berkumpulnya roh-roh yang suci pada setiap abad, yang telah menyelesaikan ubudiyyah hidup mereka di bawah pimpinan para nabi dan para wali. Setelah menyelesaikan tugas kehidupan, mereka mengungkapkan ‘Allahu Akbar’ lalu terbang ke maqam-maqam yang tinggi menuju masa hadapan. Seterusnya, dia melihat ke sebelah kiri, dan melalui cahaya iman, di sebalik beberapa revolusi alam barzakh dan juga alam akhirat yang bagaikan gunung-ganang itu, terdapat jamuan daripada Tuhan Yang Maha Pemurah, didirikan di istana-istana kebahagiaan di taman-taman Syurga. Lalu, dia menyedari bahawa segala ribut taufan, gempa bumi dan segala wabak yang melanda, semuanya adalah merupakan hamba-hamba-Nya yang taat setia menurut perintah. Dia juga memahami bahawa setiap yang berlaku itu adalah wasilah bagi segala hikmah yang, walaupun secara zahirnya kelihatan kejam namun sebenarnya penuh dengan kelembutan, seumpama kejadian ribut dan hujan pada musim bunga. Bahkan dia akan melihat kematian itu sebagai mukadimah bagi menempuh kehidupan yang abadi dan kubur itu sebagai pintu menuju kebahagiaan yang kekal. Selanjutnya, anda bolehlah bandingkan aspek-aspek berikutnya sendiri. Terapkanlah hakikat kehidupan pada perumpamaan tersebut.
Iman adalah cahaya dan juga kekuatan. Sesungguhnya, seseorang yang memiliki iman yang hakiki mampu mencabar seluruh alam semesta dan terselamat daripada tekanan segala peristiwa mengikut kekuatan iman yang ada pada dirinya. Dengan berkata, “Aku bertawakal kepada Allah”, dia mengharungi segala peristiwa yang membadai sehebat gunung dalam bahtera kehidupannya itu dengan penuh keselamatan. Dia menyerahkan segala bebanan kehidupan kepada kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa, mengharungi perjalanan kehidupan duniawi dengan tenang, beristirahat di alam barzakh, dan akhirnya dapat terbang ke syurga untuk menikmati kebahagiaan yang abadi. Sebaliknya, jika dia tidak bertawakal kepada Allah, bebanan dunia bukan sahaja menghalanginya daripada terbang, malah turut mengheretnya ke darjat yang paling rendah. Hal ini bermakna bahawa iman menatijahkan kepada tauhid (pengesaan kepada Allah). Tauhid menatijahkan taslim (penyerahan kepada Allah). Taslim menatijahkan kepada tawakkal (pergantungan kepada Allah) dan tawakal kepada Allah menatijahkan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Namun, janganlah anda salah faham. Tawakal bukanlah bermaksud menolak semua sebab- musabab sama sekali. Sebaliknya, ketahuilah bahawa sebab-musabab itu adalah hijab bagi Allah Yang Maha Kuasa yang perlu dipatuhi, dengan mengetahui bahawa sebab-musabab itu adalah seumpama doa yang aktif, untuk mendapat segala kesannya daripada Allah Yang Maha Kuasa. Kita harus beriktikad bahawa hasil segala usaha tersebut adalah daripada Allah SWT sahaja dan kepada-Nyalah kita harus bersyukur. Mereka yang bertawakal kepada Allah dan mereka yang tidak bertawakal kepada-Nya menyamai kisah dua orang di dalam hikayat berikut: Pada suatu ketika, dua orang lelaki memikul beban yang berat di atas belakang dan kepala mereka, dan setelah membeli tiket, mereka menaiki sebuah kapal yang besar. Sebaik sahaja mereka menaiki kapal tersebut, salah seorang daripada mereka meletakkan barangan yang dipikulnya di atas dek (lantai kapal) lalu duduk di atasnya sambil menjaganya. Manakala rakannya, disebabkan bodoh dan sombong, dia tidak meletakkan barangannya itu. Apabila dia diberitahu: “Letakkan baranganmu yang berat itu di atas dek dan berehatlah”, dia menjawab: “Tidak! Aku tidak akan meletakkannya, ia mungkin akan hilang. Aku cukup kuat untuk terus memikul baranganku ini di atas kepala dan belakangku.” Dia diberitahu lagi: “Kapal diraja yang boleh dipercayai yang membawamu dan kita semua ini adalah lebih kuat, ia boleh melindungi kita dengan lebih baik. Kamu mungkin akan merasai pening, terhuyung-hayang lalu terjatuh ke dalam laut bersama bebanan itu. Lagipun, dari semasa ke semasa, kamu akan kehilangan tenaga dan beban itu akan menjadi semakin berat. Belakangmu yang bengkok serta kepalamu yang bodoh itu tidak akan mampu untuk menanggungnya. Jika nakhoda kapal ini melihat kamu dalam keadaan ini, dia mungkin akan menganggapmu gila dan akan mengusirmu daripada kapal ini. Dia juga mungkin menyangka bahawa kamu ialah seorang pengkhianat, menyalahkan kapal kita ini dan mengejek kita semua. Seterusnya, dia akan mengarahkan kamu dimasukkan ke dalam penjara. Dengan itu, kamu akan memperbodohkan dirimu sendiri di hadapan khalayak ramai. Hal ini kerana pada mata pemerhati yang bijaksana, kamu telah mempamerkan kelemahan melalui kesombongan, ketidakberdayaan melalui kebanggaan dan kehinaan melalui sikap kepura-puraanmu. Dengan ini, kamu telah menjadikan dirimu bahan ketawa di mata orang lain. Semua orang sedang mentertawakanmu.” Setelah itu, lelaki yang malang itu menyedari kesalahannya.Dia pun meletakkan barangannya di atas lantai dan duduk di atasnya. Dia berkata kepada rakannya: “Oh, semoga Allah memberkatimu. Engkau telah menyelamatkan aku daripada kesusahan, dipenjarakan dan daripada membodohkan diri sendiri.” Wahai manusia yang tidak mahu bertawakkal kepada Allah! Sedarlah dan kembalilah kepada kewarasan anda seperti lelaki tadi dan bertawakallah, agar anda terselamat daripada mengemis di hadapan sekalian makhluk di alam ini, menggeletar ketakutan di hadapan setiap peristiwa, merasakan dunia ini seumpama penjara dalam tekanan hidup, dijauhi daripada kesombongan, menjadi bahan ejekan serta terselamat daripada kesengsaraan pada hari akhirat.
Iman membuatkan manusia menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya. Malah ia menjadikannya seorang raja. Oleh itu, tugas utama seorang manusia adalah beriman dan berdoa. Sebaliknya, kekufuran pula menjadikannya seekor haiwan buas yang sangat lemah. Daripada ribuan bukti mengenai perkara ini, segala perbezaan yang wujud dalam cara manusia dan haiwan datang ke dunia ini adalah satu indikasi yang terang dan bukti yang jelas akannya.Ya! Kesemua perbezaaan ini menunjukkan bahawa manusia mencapai tahap kemanusiaannya melalui keimanan. Hal ini demikian kerana sebaik sahaja haiwan hadir ke dunia, mereka hadir lengkap dengan segala perkara yang sesuai dengan kemampuan mereka, seolah-olah telah disempurnakan di dunia lain; iaitu mereka dikirimkan ke dunia ini. Dalam masa dua jam, dua hari, atau paling lewat dua bulan sahaja, mereka mempelajari segala syarat kehidupan dan hubungan mereka dengan seluruh alam semesta serta undang-undang yang diperlukan, lalu menjadi mahir dengannya. Sebagai contoh, burung pipit dan lebah memperoleh kekuatan dan mahir dalam segala tindakan mereka hanya dalam tempoh dua puluh hari, sementara manusia memerlukan dua puluh tahun untuk mencapai kebolehan yang sama. Hal ini bermakna haiwan telah diilhamkan dengan kemampuan tersebut. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa tugas utama haiwan bukanlah untuk mencapai kesempurnaan melalui pembelajaran, atau mencapai kemajuan dengan mencari ilmu pengetahuan, atau memohon pertolongan melalui doa dengan menunjukkan kelemahan mereka. Sebaliknya, tugas mereka adalah untuk bekerja dan bertindak sesuai dengan kemampuan mereka, yang merupakan suatu bentuk ibadah yang aktif. Hal ini berbeza pula dengan manusia, yang mana dia perlu mempelajari segala-galanya ketika dia lahir ke dunia ini. Dirinya adalah jahil dan tidak mampu mempelajari segala peraturan hidup walaupun dalam tempoh dua puluh tahun. Bahkan, dia perlu terus belajar sehingga ke akhir hayatnya. Dia juga dihantar ke dunia ini dalam keadaan yang paling lemah dan daif, bahkan dia hanya mampu berdiri sendiri setelah berumur satu atau dua tahun. Hanya dalam masa lima belas tahun barulah dia mampu membezakan antara perkara yang berbahaya dan perkara yang bermanfaat, dan dengan bantuan pengalaman umat manusia yang lain, dia dapat menarik perkara-perkara yang menguntungkannya dan menghindari perkara-perkara yang membahayakannya. HaI ini bermakna, tugas fitrah manusia adalah untuk disempurnakan melalui pembelajaran dan mengisytihar ubudiyyahnya kepada Tuhan dan pengabdiannya melalui doa. Maka dengan ini, dia perlu mengetahui segala jawapan bagi soalan-soalan berikut:“Melalui kerahmatan siapakah, kehidupanku ini diatur dengan begitu bijaksana sebegini rupa? Melalui kemurahan hati siapakah aku dididik dengan penuh kasih sayang? Melalui belas kasihan siapakah aku diberi makan dan diuruskan dengan begitu halus kesempurnaannya?” Berhubung dengan segala keperluannya pula, yang mana tangannya sendiri tidak dapat capai walaupun satu daripada seribu, dia perlu merayu kepada Dia, Pemberi Segala Hajat, melalui lisan kelemahan dan kefakiran, serta berdoa dan merayu kepada-Nya. Oleh itu, tugas manusia adalah untuk terbang menuju ke maqam ubudiyyah yang tinggi dan mengabdikan diri kepada Tuhannya melalui sayap kelemahan dan kedaifannya. Maka, hal ini bermakna, manusia hadir ke dunia ini adalah untuk disempurnakan melalui ilmu pengetahuan dan doa. Berkaitan dengan fitrah dan kemampuannya pula, segala-galanya bergantung dengan ilmu pengetahuan. Seterusnya, asas, sumber, cahaya dan roh kepada semua ilmu yang hakiki adalah ilmu mengenal Allah (makrifatullah), dan intipati serta asasnya adalah beriman kepada Allah SWT. Tambahan pula, memandangkan manusia itu terdedah kepada segala bentuk musibah dan serangan musuh yang tidak terhitung banyaknya kerana kelemahan mutlak yang dimilikinya, serta mempunyai permintaan dan keperluan yang pelbagai sedangkan dirinya berada dalam keadaan papa kedana, maka tugas fitrahnya yang utama selepas beriman adalah berdoa, yang merupakan asas kepada segala ubudiyyah terhadap Tuhannya. Sebagai contoh, untuk mendapatkan sesuatu keinginan atau hajat yang tidak dapat dicapai, seorang anak kecil sama ada akan menangis atau memintanya. Dia akan berdoa melalui lidah kelemahannya sama ada dalam bentuk perkataan atau tindakan. Dengan ini, dia akan berjaya mencapai hajatnya itu. Dengan cara yang sama, manusia adalah seumpama bayi yang lembut, rapuh, lemah dan manja di hadapan sekalian makhluk hidup. Dia harus meratap di hadapan keagungan Tuhannya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang melalui kedaifan dan kelemahannya. Atau, dia perlu berdoa melalui kemiskinan dan keperluannya, supaya segala hajat yang diingininya dapat diberikan, agar dia bersyukur atas segala apa yang telah dikurniakan kepadanya. Sebaliknya, jika dia berkelakuan seperti seorang kanak-kanak yang tidak cukup akal serta nakal, membuat kecoh terhadap seekor lalat dengan berkata: “Dengan kekuatanku sendirilah, aku mampu menundukkan perkara-perkara yang tidak mungkin ditundukkan oleh orang lain, bahkan perkara yang seribu kali ganda lebih berkuasa daripadaku, dan aku boleh membuat mereka semua tunduk kepadaku melalui pemikiran dan kekuatanku sendiri”. Dengan ini, dia menunjukkan ketidaksyukuran terhadap segala nikmat yang diperolehinya. Hal ini bukan sahaja bertentangan dengan fitrah insaniah manusia, tetapi juga membuatkan dirinya layak untuk menerima azab hukuman yang berat.
Iman menuntut doa sebagai suatu cara yang pasti untuk mendapatkan segala keperluan, dan fitrah manusia mempunyai keinginan yang kuat terhadapnya. Firman Allah SWT Yang Maha Agung: Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepada-Nya. (Surah al-Furqaan: 77)Ayat al-Quran di atas membawa maksud: “Jika tidak kerana doa kalian, apa pentingnya kewujudan kalian?”Allah SWT juga memerintahkan:اُدْعُونِىۤ اَسْتَجِبْ لَكُمBerdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu. (Surah al-Ghaafir:60) Jika anda berkata:“Kami sering berdoa tetapi doa kami tidak dikabulkan. Padahal ayat itu bersifat umum, ia menyatakan bahawa setiap doa akan dijawab.” Jawapannya:Menjawab dan mengabulkannya (menerima doa tersebut) merupakan dua perkara yang berbeza. Setiap doa adalah dijawab, namun penerimaan dan pemberian seperti yang diminta adalah bergantung kepada hikmah Allah Yang Maha Kuasa. Sebagai contoh: Seorang kanak-kanak yang sedang sakit memanggil doktor dengan berkata: “Doktor! Doktor!”, lalu doktor tersebut menjawab: “Ya, saya di sini, apa yang kamu mahu?”, dan kanak-kanak itu berkata: “Berikan saya ubat tersebut!”. Doktor tersebut akan sama ada memberikannya seperti yang diminta, atau memberikan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat untuknya, atau kerana mengetahui bahawa ubat itu berbahaya untuk penyakitnya, maka doktor tersebut tidak memberikannya apa-apa.Begitu juga, memandangkan Allah Yang Maha Kuasa, Maha Hadir dan Maha Melihat segala-galanya, maka Dia menjawab segala doa para hamba-Nya. Melalui kehadiran dan jawapan-Nya, Dia mengubah ketakutan dan keterasingan menjadi keakraban terhadap-Nya. Namun, Dia melakukannya bukan mengikut kehendak hawa nafsu dan desakan manusia yang tidak menentu, tetapi bersesuaian dengan hikmah Rabbani-Nya. Dia sama ada akan memberikan apa yang diminta, sesuatu yang lebih baik atau tidak memberikannya apa-apa pun. Selain itu, doa juga merupakan suatu bentuk ubudiyyah dan pengakuan kehambaan manusia kepada Allah. Hasilnya pula adalah untuk ganjaran di akhirat. Tujuan keduniaannya hanyalah untuk waktu-waktu yang dipergunakan untuk melaksanakan doa dan ibadah tersebut. Sebagai contoh, solat istisqa’ (solat memohon hujan) dan doanya adalah satu bentuk ibadah.Musim kemarau pula adalah waktu bagi menunaikan ibadah tersebut. Ibadah dan doa yang dilakukan itu bukanlah semata-mata untuk memohon hujan diturunkan. Jika ibadah solat dan doa itu ditunaikan dengan niat sedemikian sahaja, maka ia tidak layak untuk dimakbulkan kerana ia bukanlah merupakan suatu ibadah yang ikhlas. Sebagaimana matahari terbenam menjadi penanda waktu untuk solat maghrib, gerhana matahari dan gerhana bulan pula adalah waktu untuk menunaikan dua solat khusus iaitu solat sunat khusuf (gerhana bulan) dan solat sunat kusuf (gerhana matahari). Hal ini bermakna, dengan tertutupnya dua tanda cahaya malam dan siang, kebesaran Allah diisytiharkan, dan Allah menyeru hamba-hamba-Nya untuk beribadah pada waktu-waktu tersebut. Solat tersebut bukanlah dilakukan dengan tujuan agar matahari atau bulan muncul semula, kerana kedua-dua kejadian ini telah diketahui dengan tepat oleh ahli astronomi.Demikian pula, musim kemarau merupakan masa untuk menunaikan solat istisqa’ dan kedatangan bencana serta perkara-perkara yang memudaratkan adalah waktu-waktu untuk melakukan beberapa doa tertentu. Hal ini kerana pada ketika itu, manusia menyedari tentang kelemahan dirinya, lalu mencari perlindungan dengan melakukan doa dan bertadharru’ (merendahkan diri) kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Namun jika Allah SWT tidak menghilangkan bala bencana tersebut meskipun banyak doa telah dipanjatkan, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa doa tersebut tidak dikabulkan. Sebaliknya, harus dikatakan bahawa waktu berdoa belum berakhir. Sekiranya Allah SWT, dengan rahmat dan kemurahan-Nya, menghilangkan bencana itu; maka ia merupakan seumpama cahaya di atas cahaya (nur a’la nur). Maka pada saat itu, waktu berdoa telah berakhir, dan ketetapan Allah SWT pun terlaksana. Hal ini menunjukkan bahawa doa merupakan salah satu daripada rahsia ubudiyyah.Ibadah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT. Seseorang itu perlulah memohon perlindungan Tuhannya dengan melakukan doa dan menzahirkan kelemahannya. Dia tidak boleh campur tangan dalam urusan kekuasaan-Nya dan harus menyerahkan segala-galanya kepada hikmah Allah SWT. Dia juga tidak boleh menyalahkan rahmat-Nya. Ya! Hakikatnya, apa yang dinyatakan oleh ayat-ayat al-Quran adalah terang dan jelas: Seluruh maujudat (segala yang wujud) sentiasa bertasbih dengan tasbih yang khusus, beribadah dengan ibadah yang tertentu dan bersujud dengan sujud yang tersendiri. Seluruh alam semesta ini berada dalam keadaan berdoa yang ditujukan ke hadrat Ilahi. Kesemua doa ini boleh berlaku sama ada melalui lisan keupayaan makhluk, seperti doa tumbuh-tumbuhan yang memohon pelbagai bentuk daripada Dia Yang Maha Pemberi untuk memaparkan dan memanifestasikan nama-nama-Nya. Selain itu, doa juga boleh berlaku melalui lisan keperluan fitrah makhluk-makhluk tersebut. Ia adalah doa yang dipanjatkan oleh semua makhluk bernyawa untuk keperluan asas mereka yang berada di luar kemampuan mereka untuk mencapainya. Melalui lidah inilah, segala makhluk yang bernyawa memohon perkara-perkara tertentu daripada Dia Yang Maha Pemurah untuk kelangsungan hidup mereka, contohnya adalah seperti rezeki yang diperlukannya. Atau, doa juga boleh berlaku melalui lisan keperluan yang mendesak, di mana semua makhluk yang memiliki roh yang mendapati diri mereka berada dalam keadaan kesulitan, dengan itu berdoa dan mencari perlindungan yang terdesak kepada pelindung yang tidak diketahui. Sesungguhnya mereka memanjatkan permohonan kepada Pemelihara Yang Maha Mengasihani. Ketiga-tiga jenis doa ini selalunya dimakbulkan jika tidak ada apa-apa halangan. Jenis doa yang keempat pula adalah doa yang paling dikenali iaitu doa yang biasa kita lakukan. Ia juga terbahagi kepada dua bahagian: Yang pertama: Doa yang berbentuk aktif dan mengikut keadaan.Jenis yang kedua: Doa yang berbentuk lisan dan yang dipanjatkan melalui hati. Sebagai contoh, memenuhi keperluan asbab adalah satu bentuk doa yang aktif. Mengumpulkan segala asbab itu bukanlah untuk menghasilkan akibat, tetapi ia adalah satu bentuk lisanul hal (bahasa melalui keadaan) bagi mendapatkan hasilnya daripada Allah Yang Maha Kuasa. Bahkan, pembajakan yang kita lakukan ke atas sebuah ladang adalah sebagai suatu usaha mengetuk pintu khazanah rahmat Ilahi. Memandangkan doa dengan tindakan ini ditujukan kepada nama dan gelaran bagi Dia Yang Maha Pemurah, maka, peluang penerimaannya adalah sangat besar dalam banyak keadaan. Jenis doa yang kedua pula adalah memanjatkan doa dalam bentuk lisan dan hati, iaitu memohon sesuatu yang di luar jangkauannya. Aspek terpenting, tujuan terindah, dan buah termanis daripada doa ini adalah: “Seseorang yang berdoa itu menyedari bahawa ada suatu Zat yang mendengar segala isi hatinya, berkuasa atas segala sesuatu, dapat memenuhi setiap keinginannya, mengasihani kelemahannya, dan dapat membantu kefakirannya.” Maka, wahai manusia yang lemah lagi fakir! Janganlah abaikan wasilah doa, yang merupakan kunci kepada khazanah rahmat dan sumber kekuatan yang tidak terbatas ini. Genggamlah ia seerat-eratnya, dan capailah puncak tertinggi darjat kemuliaan manusia! Seperti seorang sultan, sertakanlah dalam doamu seluruh doa makhluk alam semesta.Sebagai seorang hamba yang mewakili seluruh alam semesta, ucapkanlah: اِيَّاكَ نَسْتَعِينُ Hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. (Surah al-Fatihah: 5)Maka, jadilah sebaik-baik makhluk di alam semesta ini!
Bab ini terdiri daripada lima noktah utama yang berkaitan dengan kebahagiaan dan kesengsaraan manusia. [Memandangkan manusia telah diciptakan dalam bentuk yang paling sempurna dan juga diberikan kemampuan yang paling komprehensif, maka dia telah dilemparkan ke dalam suatu medan percubaan dan ujian. Dalam medan ini, dia boleh naik atau terjatuh, dari pangkat, martabat, darjat dan maqam asfala safilin (peringkat yang paling rendah) kepada a’la illiyyin (peringkat yang paling tinggi), dari bumi hingga ke arasy Ilahi, dan dari sekecil-kecil zarah hingga ke sebesar-besar matahari. Manusia telah dihantar ke dunia ini sebagai suatu mukjizat kekuasaan Ilahi, hasil penciptaan dan keajaiban karya seni-Nya, di mana dua buah jalan telah terbentang di hadapannya, yang akan membawanya sama ada kepada kenaikan atau kejatuhan yang tidak terbatas. Kami akan menjelaskan rahsia kemajuan dan kemerosotan manusia yang menakjubkan ini dalam lima ‘Noktah’.]
Manusia bergantung kepada kebanyakan jenis makhluk di alam semesta dan terkait dengannya. Keperluannya tersebar luas ke seluruh pelosok alam, dan keinginannya menjangkau hingga keabadian. Sepertimana dia menginginkan sekuntum bunga, dia juga menginginkan seluruh musim bunga. Sepertimana dia mendambakan sebuah taman, ia juga mendambakan Jannah (Syurga) yang kekal abadi. Sepertimana dia merindui untuk melihat seorang teman, dia juga merindui untuk melihat Tuhannya Yang Maha Indah lagi Maha Agung. Sama seperti dia memerlukan kunci untuk membuka pintu rumah seorang kekasih bagi membolehkannya mengunjungi kekasihnya yang tinggal di tempat lain, maka begitu juga dia perlu mencari perlindungan daripada Tuhannya Yang Maha Kuasa untuk mengunjungi sembilan puluh sembilan peratus daripada rakan-rakannya yang telah berpindah ke alam barzakh dan dengan itu terselamat daripada perpisahan yang kekal abadi. Hal ini kerana Allah SWT yang akan menutup pintu dunia yang luas ini dan membuka pintu akhirat, yang dipenuhi dengan keajaiban dan keagungan, untuk menggantikan dunia dengan akhirat. Dalam keadaan ini, hanya Zat yang mengendalikan segala sesuatu, yang memiliki khazanah segala-galanya, yang Maha Melihat segala sesuatu, yang tidak terikat oleh ruang, yang suci daripada kelemahan, yang terlepas daripada segala kecacatan, yang jauh daripada segala kekurangan, dengan sifat-sifat-Nya Yang Maha Kuasa lagi Maha Agung, Yang Maha Pengasih lagi Maha Indah dan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna, sahajalah yang berhak disembah oleh manusia. Hal ini kerana hanya Dia yang memiliki kekuasaan yang tidak terbatas dan ilmu yang meliputi segala sesuatu dapat memenuhi keperluan manusia yang tidak terbatas. Oleh itu, hanya Dialah yang layak disembah. Wahai manusia! Jika anda hanya menyembah-Nya, anda akan memperoleh kedudukan yang lebih tinggi daripada sekalian makhluk. Namun, jika anda enggan untuk menjadi hamba kepada-Nya, anda akan menjadi hamba yang hina kepada makhluk-makhluk yang lemah. Jika anda bergantung kepada ego dan kekuatan anda sendiri, meninggalkan tawakal dan doa, serta terjerumus ke dalam sikap takbur dan kesombongan, maka pada masa itu, anda akan jatuh ke tahap yang lebih rendah daripada semut atau lebah dalam hal kebaikan dan penciptaan, serta menjadi lebih lemah daripada labah-labah atau lalat. Manakala, dalam hal kejahatan dan kemusnahan pula, anda akan menjadi lebih dahsyat kesannya daripada sebuah gunung, dan lebih berbahaya daripada wabak penyakit. Wahai manusia! Anda memiliki dua aspek kehidupan. Aspek pertama adalah mengenai penciptaan, kewujudan, kebaikan, keaktifan dan kepositifannya. Manakala aspek yang kedua adalah berhubung dengan kehancuran, ketiadaan, kejahatan, kepasifan dan kenegatifannya. Dalam aspek yang pertama, anda adalah lebih rendah daripada seekor lebah atau burung pipit, bahkan lebih lemah daripada seekor labah-labah ataupun lalat. Manakala dalam aspek yang kedua, anda melebihi gunung-ganang, bumi dan langit dalam memikul beban yang mana kesemua mereka mengakui ketidakmampuan dan merasa takut untuk memikulnya. Anda memiliki tanggungjawab yang jauh lebih luas dan besar daripada mereka. Hal ini kerana apabila anda membuat sesuatu perkara dan melakukan kebaikan, anda hanya dapat melakukannya sebatas kemampuan dan kekuatan anda sendiri, serta sejauh mana tangan anda dapat menjangkaunya. Sebaliknya, apabila anda melakukan kejahatan dan kemusnahan, kesan buruknya akan membesar dan tersebar luas. Sebagai contoh, kekufuran adalah suatu kejahatan, kemusnahan dan penolakan penyaksian terhadap Tuhannya. Namun, kejahatan yang satu ini meliputi penghinaan terhadap seluruh alam semesta, meremehkan semua asma (nama-nama) Ilahi dan menghina kemanusiaan seluruhnya. Hal ini kerana segala yang wujud di alam semesta ini memiliki darjat yang tinggi serta tugasan-tugasan yang penting; mereka semua merupakan utusan Rabbani, cerminan keagungan-Nya dan pegawai-pegawai-Nya. Namun, kekufuran akan menyingkirkan semua darjat mereka yang tinggi ini menjadi mainan kesia-siaan dan ‘kebetulan’, serta merendahkan mereka ke tahap bahan fana yang cepat rosak. Melalui kematian dan perpisahan pula, mereka akan jatuh ke tahap yang tidak penting, tidak bernilai dan menuju ketiadaan. Selain itu, kekufuran juga akan menghina segala asma Ilahi, ukiran, manifestasi dan keindahan yang dapat dilihat di seluruh alam semesta dan juga pada cerminan sekalian maujud (makhluk yang wujud). Kekufuran juga merendahkan manusia, yang memegang darjat sebagai khalifah di muka bumi, ke kedudukan yang lebih rendah, lebih lemah, lebih tidak berdaya dan lebih memerlukan daripada haiwan yang paling rendah kedudukannya. Hal ini kerana manusia itu adalah seumpama sebuah syair hikmah yang tersusun dengan indah, mengisytiharkan segala manifestasi asma Tuhannya yang suci, dan juga merupakan mukjizat Ilahi yang nyata, seumpama biji benih yang mengandungi semua bahagian sebatang pokok abadi. Dengan memikul amanah terbesar ini, manusia dapat naik ke darjat yang lebih tinggi daripada gunung-ganang, bumi dan langit, dengan mencapai keunggulan melebihi para malaikat. Namun, kekufuran akan menjatuhkannya ke tahap menjadi sekadar sebuah papan tanda yang biasa, yang tidak bermakna, membingungkan dan cepat mereput. Kesimpulan:Dalam hal kemusnahan dan kejahatan, nafsu ammarah dapat melakukan kemusnahan dan kejahatan yang tidak terbatas, namun dalam hal penciptaan dan kebaikan, kekuatannya sangat lemah dan terhad. Ya, seseorang itu mungkin dapat menghancurkan sebuah rumah dalam masa satu hari, tetapi tidak mampu membinanya dalam masa seratus hari. Akan tetapi, jika jiwa seseorang itu meninggalkan egonya dan mencari kebaikan dan kewujudan daripada pertolongan Ilahi, meninggalkan kejahatan yang boleh mengakibatkan kemusnahan, serta meninggalkan pergantungan pada dirinya sendiri, lalu memohon pengampunan dengan menjadi hamba-Nya yang sejati, maka, dia akan memanifestasikan makna ayat al-Quran berikut: يُبَدِّلُ اللّٰهُ سَيِّاٰتِهِمْ حَسَنَاتٍ Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan. (Surah al- Furqaan: 70)Kemampuannya yang tidak terbatas untuk melakukan kejahatan akan berubah menjadi kemampuan yang tidak terbatas untuk melakukan kebaikan. Dia akan mencapai nilai ahsani taqwim (sebaik-baik kejadian) dan naik kepada darjat yang setinggi-tingginya. Wahai manusia yang lalai! Lihatlah kepemurahan dan kebaikan Tuhan Yang Maha Kuasa! Meskipun adil bagi-Nya untuk mencatat satu kejahatan sebagai seribu dan satu kebaikan sebagai satu atau tidak mencatatkannya sama sekali; namun, dengan keagungan-Nya, Dia mencatat satu kejahatan sebagai satu, manakala satu kebaikan sebagai sepuluh. Adakalanya Dia mencatat satu kebaikan itu sebagai tujuh puluh, tujuh ratus atau bahkan tujuh ribu nilai kebaikannya. Maka dari Noktah Pertama ini, anda akan memahami bahawa untuk dimasukkan ke dalam neraka yang sangat mengerikan itu adalah suatu pembalasan atas perbuatan yang anda lakukan dan merupakan keadilan yang nyata. Manakala, memasuki syurga pula adalah semata-mata atas kurniaan Ilahi.
Manusia memiliki dua aspek kehidupan: aspek pertama adalah berkaitan dengan keakuannya (ananiyah), yang mengarah kepada kehidupannya di dunia ini, manakala aspek kedua pula adalah berkaitan dengan ubudiyyah dan pengabdian kepada Allah, yang mana mengarah kepada kehidupan akhiratnya yang abadi. Dalam hal aspek yang pertama, manusia itu merupakan suatu makhluk yang sangat malang, yang mana modalnya hanya terdiri daripada beberapa perkara berikut: pertama, kehendaknya, yang mana dirinya hanya memiliki sebahagian kecil kemampuan memilih dengan kekuatan seumpama sehelai rambut.Kedua, kekuasaannya, yang mana dia hanya memiliki kemampuan yang lemah. Ketiga, jangka hayatnya, yang mana ia adalah seumpama nyalaan api yang cepat terpadam di mana umurnya merupakan waktu yang sangat singkat dan cepat berlalu. Akhirnya, keempat adalah kewujudannya, yang mana ia hanyalah merupakan suatu jasad kecil yang cepat mereput. Dengan semua aspeknya ini, manusia adalah suatu individu yang rapuh dan lemah di antara individu yang tidak terhitung jumlahnya dalam kalangan pelbagai jenis makhluk yang tidak terbatas bilangannya yang tersebar di seluruh pelosok alam semesta. Manakala dalam hal aspek yang kedua pula, khususnya dalam hal kelemahan dan kefakirannya, yang mengarah kepada ubudiyyahnya, manusia mempunyai ruang lingkup yang sangat luas dan kepentingan yang sangat besar. Hal ini demikian kerana, Pencipta Yang Maha Bijaksana telah memasukkan dalam diri manusia kelemahan dan kefakiran yang tidak terbatas. Maka dengan itu, dia dapat menjadi suatu cerminan yang menyeluruh yang mengandungi segala manifestasi yang tidak terhingga bagi al-Qadir ar-Rahim (Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Penyayang), yang memiliki kekuatan yang tidak terbatas, dan al-Karim al-Ghani (Yang Maha Pemurah lagi Maha Kaya), yang memiliki kekayaan yang tidak terbatas. Sesungguhnya manusia itu seumpama sebutir biji benih. Biji benih ini telah diberikan peralatan maknawi yang penting daripada kekuasaan-Nya dan program yang halus dan bernilai oleh takdir Ilahi, agar ia dapat bekerja di bawah tanah, lalu muncul keluar daripada dunianya yang sempit itu, memasuki udara dunia yang luas, dan dengan lidah kemampuannya, ia memohon kepada Penciptanya untuk menjadi sebatang pokok, dan dengan ini, ia mencapai kesempurnaan yang layak baginya. Namun, sekiranya sifat biji benih itu buruk, ia akan menggunakan segala peralatan maknawi yang diberikan kepadanya untuk menarik bahan-bahan berbahaya yang terkandung di bawah permukaan tanah. Dalam masa yang singkat, ia akan mula membusuk dan mereput tanpa sebarang manfaat. Sebaliknya pula, seperti ayat al-Quran di bawah, jika biji benih itu tunduk pada perintah dalam penciptaannya: فَالِقُ الْحُبِّ وَالنَّوٰى Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan, (Surah al-An’aam: 95) Lalu, ia menggunakan dengan baik segala peralatan maknawinya, maka ia akan keluar daripada dunia yang sempit itu, tumbuh menjadi sebuah pohon besar yang berbuah. Maka, keadaannya yang kecil dan khusus bersama rohnya pada peringkat awal akan mengambil bentuk suatu hakikat yang universal.Begitu juga dengan diri manusia, yang telah dianugerahi peralatan yang penting dan program yang bernilai daripada kekuasaan dan takdir Ilahi. Jika manusia itu menggunakan peralatan maknawinya untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dan menikmati kesenangan yang sedikit dalam kehidupan duniawinya yang sempit, maka dia akan mereput dan hancur di tengah-tengah kesusahan hidup yang singkat ini, seumpama biji benih yang mereput di tanah. Dengan ini, dia akan membebankan tanggungjawab berat pada jiwanya yang malang sebelum meninggalkan dunia ini. Namun, sekiranya dia menyuburkan biji benih kemampuannya dengan siraman air keislaman dan cahaya keimanan, di bawah tanah, dengan penghambaan dan kepatuhan kepada Allah, serta mematuhi segala perintah al-Quran dan mengarahkan keupayaannya ke arah tujuan-tujuan yang hakiki, sudah tentu ia akan menumbuhkan dahan dan tunas di Alam Misal dan Alam Barzakh. Dia akan menjadi biji benih yang sangat berharga dan sebuah mesin yang bersinar yang mengandungi segala anggota pohon abadi dengan hakikat kebenaran yang kekal, yang akan menjadi perantara kepada pelbagai kesempurnaan dan kenikmatan yang tidak terhingga di Alam Akhirat dan di Syurga nanti. Dia juga akan menjadi seumpama buah yang diberkati dan bercahaya daripada pohon alam semesta. Ya, hakikat kemajuan sebenarnya adalah untuk mengarahkan hati, roh, akal dan bahkan juga imaginasi dan segala fakulti halus lain yang diberikan kepada manusia, untuk kehidupannya yang abadi, agar setiap satunya disibukkan dengan tugas pengabdian khusus yang layak bagi mereka. Kemajuan bukanlah seperti yang dibayangkan oleh ahli ad-dolalat (mereka yang tersesat), iaitu untuk menjerumuskan diri dalam semua selok-belok kehidupan duniawi hingga ke sekecil-kecil perkara, untuk merasai setiap jenis kenikmatan, sehingga pada perkara-perkara yang paling rendah nilainya, menjadikan semua fakulti, hati dan akal tunduk dan menyokong nafsu ammarah. Hal ini bukanlah merupakan suatu kemajuan, tetapi adalah suatu kemunduran. Aku telah melihat hakikat ini dalam suatu imaginasi, yang mana dijelaskan dalam perumpamaan berikut: Pada suatu ketika, aku sedang memasuki sebuah kota yang besar dan melihat bahawa di dalamnya dipenuhi dengan istana-istana yang megah. Di pintu beberapa buah istana itu, terdapat satu festival seumpama sebuah teater yang bergemerlapan. Festival itu telah menarik perhatian semua yang hadir, serta menghiburkan mereka. Aku melihat dengan teliti lalu aku dapati bahawa pemilik istana tersebut telah mendatangi pintu istana; dia sedang bermain dengan seekor anjing dan turut berseronok dengannya. Para wanita di festival itu berbicara manis dengan pemuda-pemuda asing sementara para gadisnya yang sudah dewasa sedang mengurus permainan seumpama kanak-kanak. Penjaga pintu pula mengambil peranan mengarahkan para pengunjung yang lain. Pada saat itu, aku mendapati dan menyedari bahawa bahagian dalam istana yang besar itu sebenarnya adalah kosong dan segala tugas yang mulia dan terhormat telah diabaikan. Akhlak kesemua penghuninya telah runtuh sehingga mereka telah melakukan segala tugasan mereka di pintu luar istana tersebut. Setelah itu, aku berlalu pergi hingga tiba di sebuah istana besar yang lain. Aku melihat seekor anjing yang setia sedang terbaring di pintu dan seorang penjaga pintu yang tegas dan pendiam dengan penampilan yang biasa. Aku tertanya-tanya: “Mengapa suasana istana yang pertama tadi sebegitu, sementara suasana istana ini pula berbeza?” Lalu aku masuk ke dalam istana tersebut. Kemudian aku mendapati bahawa bahagian dalam istana itu sungguh meriah. Di setiap tingkat, para penghuni istana tersebut sibuk dengan pelbagai tugas mereka yang tinggi nilainya dan mulia. Di tingkat yang pertama, para lelakinya sedang mengawasi pentadbiran dan pengelolaan istana. Di tingkat atasnya, kanak-kanak sedang belajar. Di tingkat atasnya lagi, para wanitanya sibuk dengan seni kraf tangan halus dan sulaman yang indah. Seterusnya, di tingkat yang paling atas, penjaga istana sedang berkomunikasi dengan raja dan sibuk dengan tugas-tugasnya yang mulia dan terhormat untuk memastikan keamanan dan ketenangan rakyat, serta kesempurnaan dan kemajuan dirinya sendiri. Mereka tidak menghalangiku kerana aku tidak terlihat oleh mereka, dan aku bebas berjalan-jalan mengelilingi istana. Setelah itu, aku keluar dan mengamati suasana di sekitar kota, dan mendapati bahawa kesemua tempat di kota itu terdapat dua jenis istana seperti itu. Aku bertanya tentang hal ini dan mereka memberitahuku: “Istana-istana yang mana pintunya penuh dengan kemeriahan tetapi kosong di dalamnya adalah milik para pemimpin kafir dan orang-orang yang sesat. Manakala, jenis istana yang kedua pula adalah milik orang-orang Islam yang mulia.” Kemudian, di suatu sudut yang lain, aku menemui sebuah istana yang mana tertulis padanya namaku, SAID. Aku berasa hairan. Aku memerhatikannya dengan lebih dekat dan seolah-olah aku melihat wajahku padanya. Aku menjerit lalu tersedar daripada imaginasiku. Maka sekarang, aku akan mentafsirkan hakikat imaginasi ini kepada anda. Semoga Allah memberikan kebaikan hasil daripada pentafsirannya. Kota itu merupakan kehidupan sosial manusia dan sebuah bandar peradabannya. Setiap istana itu pula melambangkan seorang manusia. Para penghuninya adalah fakulti-fakulti halus pada tubuh manusia seperti mata, telinga, hati, batinnya, roh, akal serta perkara-perkara seperti jiwa, hawa nafsu, kekuatan syahwat dan sifat marah dalam dirinya. Setiap fakulti halus manusia ini memiliki tugas-tugas pengabdian yang berbeza, juga memiliki kenikmatan dan kesengsaraan yang berbeza. Manakala hawa nafsu, kekuatan syahwat dan sifat marah adalah seumpama penjaga pintu dan anjing. Maka, menundukkan semua anggota halus yang tinggi ini kepada hawa nafsu dan membuatkannya lupa akan tugas-tugas hakikinya sudah pasti adalah suatu kemunduran, bukanlah kemajuan. Selanjutnya, anda boleh tafsirkan sendiri aspek-aspeknya yang lain daripada imaginasiku ini.
Manusia, dalam hal perbuatan, amal, dan usaha duniawinya, merupakan suatu makhluk yang lemah dan tidak berdaya. Ruang lingkup penguasaan dan pemilikannya dalam hal ini adalah sangat terbatas, sehingga dia hanya boleh mencapai apa yang berada dalam jangkauan tangannya sahaja. Bahkan, haiwan ternakan yang mana pengendaliannya telah diberikan kepada manusia, turut mengambil sebahagian kelemahan, ketidakberdayaan dan kemalasannya, sehinggakan apabila haiwan-haiwan ini dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang liar, perbezaan yang besar akan terlihat. (Seperti kambing dan lembu ternak dibandingkan dengan kambing dan lembu liar). Akan tetapi, dalam hal-hal yang pasif, apa-apa yang diterimanya, apa-apa yang dipohonnya dan apa-apa yang dihajatinya, manusia itu merupakan seorang pengembara yang dimuliakan di dunia ini. Manusia merupakan tetamu bagi Tuhan Yang Maha Pemurah, sehinggakan dibukakan kepadanya khazanah rahmat yang tidak terbatas, dan ditundukkan baginya makhluk-makhluk serta para pelayan yang tidak terhitung jumlahnya. Tuhannya juga telah menyediakan suatu sfera yang begitu besar sebagai tempat rekreasi, hiburan dan manfaat, hinggakan separuh diameternya dapat dicapai oleh imaginasi manusia. Sekiranya manusia bergantung pada egonya, menjadikan kehidupan dunia ini sebagai tujuan utama, berusaha dan berhempas-pulas untuk memperoleh kenikmatan duniawi yang sementara, maka dia akan tenggelam ke dalam lingkaran yang sangat sempit, dan seterusnya pergi meninggalkannya. Semua anggota tubuh badan, sistem, dan fakultinya yang halus, yang telah dianugerahkan kepadanya akan menjadi saksi terhadapnya pada hari kebangkitan serta akan menuntut hak mereka daripadanya. Sebaliknya, jika dia menyedari dirinya sebagai seorang tetamu dan membelanjakan modal hidupnya dalam lingkungan keizinan Tuhannya Yang Maha Pemurah, dia akan berusaha untuk mencapai kehidupan abadi yang sangat luas, seterusnya dia akan dapat berehat dan bersenang-lenang. Akhirnya, dia mampu untuk naik menuju ke maqam a’la illiyyin (peringkat yang paling tinggi). Selain itu, semua organ, anggota dan sistem yang diberikan kepadanya akan turut bergembira bersamanya dan bersaksi memihak kepadanya pada hari akhirat. Sesungguhnya, semua fakulti luar biasa yang diberikan kepada manusia itu bukanlah untuk kehidupan duniawi yang sangat singkat ini, sebaliknya ia diberikan untuk suatu kehidupan abadi yang sangat penting. Hal ini kerana jika kita bandingkan manusia dengan haiwan, kita akan dapati bahawa manusia adalah seratus kali ganda lebih kaya dalam hal segala fakulti dan anggota tubuhnya. Namun, dalam hal memperoleh kenikmatan kehidupan duniawi dan kenikmatan kehidupan kehaiwanan, manusia itu jatuh seratus kali ganda lebih rendah berbanding haiwan, kerana setiap kenikmatan yang diterimanya akan meninggalkan jejak kesakitan pada dirinya. Kesengsaraan masa lalu, ketakutan terhadap masa hadapan dan kesedihan akibat kehilangan setiap kenikmatan itu akan mengganggu kegembiraannya dan meninggalkan kesan pada kenikmatan tersebut. Sebaliknya, haiwan tidak sedemikian. Mereka menerima kesenangan tanpa adanya kesakitan. Mereka menikmatinya tanpa adanya kesedihan. Kesedihan masa lalu tidak menyebabkan mereka menderita manakala ketakutan terhadap masa hadapan juga tidak meresahkan mereka. Mereka hidup dalam keadaan tenang, kerehatan dan kesyukuran kepada Pencipta mereka. Maka, manusia yang mana diciptakan dalam bentuk sebaik-baik kejadian (ahsani taqwim), jika dia menyempitkan fikirannya hanya untuk kehidupan duniawi ini; dia akan jatuh seratus kali ganda lebih rendah daripada seekor burung pipit, walaupun dia memiliki modal seratus kali ganda lebih tinggi daripada semua makhluk haiwan. Aku telah menjelaskan hakikat ini pada bahagian lain dengan menggunakan suatu perbandingan. Memandangkan ia berkaitan di sini, maka aku akan mengulangi perbandingan itu. Ia adalah seperti berikut: Seorang lelaki telah memberikan sepuluh keping emas kepada salah seorang hambanya dan menyuruhnya mendapatkan satu sut pakaian yang diperbuat daripada jenis kain yang tertentu. Manakala, untuk hambanya yang kedua pula, lelaki itu memberikannya seribu keping emas dan memasukkan sekeping nota yang tertulis padanya beberapa perkara ke dalam poket hamba tersebut, lalu mengirimnya ke pasar. Hamba pertama tadi telah membeli satu sut pakaian yang sempurna, diperbuat daripada kain yang terbaik dengan sepuluh keping emas yang diberikan. Manakala, hamba yang kedua pula tidak menggunakan akalnya, dengan hanya melihat hamba yang pertama itu dan tanpa membaca nota di dalam poketnya, dia telah memberikan seribu keping emas tadi kepada seorang penjual dan meminta satu sut pakaian. Lalu, penjual yang tidak jujur telah memberikannya satu sut pakaian yang diperbuat daripada kain yang sangat buruk kualitinya. Setelah itu, hamba yang malang tersebut kembali kepada tuannya lalu menerima teguran yang sangat keras dan hukuman yang sangat berat. Sesiapa yang memiliki kemampuan akal yang paling rendah sekalipun akan memahami bahawa seribu keping emas yang diberikan kepada hamba yang kedua tadi bukanlah untuk membeli satu sut pakaian. Sebaliknya, ia adalah untuk suatu perdagangan yang penting. Begitu juga dengan manusia, setiap anggota maknawi dan fakulti halus yang terdapat pada dirinya mampu berkembang hingga seratus kali ganda lebih hebat berbanding haiwan. Sebagai contoh, renungkanlah akan anugerah segala fakulti dan anggota tubuh manusia, seperti mata yang mana dapat membezakan semua tahap keindahan, deria rasanya, yang mana dapat membezakan segala jenis rasa pada makanan, akalnya, yang mana dapat menembusi segala kehalusan realiti, dan hatinya, yang mana mendambakan segala bentuk kesempurnaan; lalu, bandingkanlah pula kesemuanya ini dengan segala anggota haiwan yang sangat sederhana yang mana hanya berkembang pada satu atau dua sudut sahaja, dan perkembangannya itupun hanyalah bersifat khusus. Kekayaan manusia dari segala fakultinya adalah kerana akal fikiran, yang menyebabkan segala deria dan perasaannya telah berkembang dan membentuk dengan sangat sempurna. Selain itu, pelbagai emosi telah muncul disebabkan kepelbagaian keperluannya serta segala derianya mempunyai kehendak yang tidak terbatas. Selanjutnya, disebabkan fitrah manusia itu yang bersifat komprehensif, keinginannya mengarah kepada matlamat yang banyak. Oleh kerana manusia itu mempunyai banyak tugas fitrahnya, segala anggota dan fakultinya telah berkembang dengan sangat luas. Akhirnya, memandangkan dirinya diciptakan dengan fitrah yang mampu melakukan segala jenis ibadah, dia telah diberi kemampuan merangkumi benih segala kesempurnaan dalam beribadah. Maka, sudah tentu segala kekayaan fakulti dan limpahan modal ini tidak diberikan untuk memperoleh kehidupan duniawi yang sementara ini. Sebaliknya, tugas manusia yang hakiki adalah untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang mengarah kepada matlamatnya yang tidak terhitung, mengakui kelemahan, kefakiran dan ketidaksempurnaannya melalui pengabdian, serta memerhatikan tasbih (pujian) sekalian makhluk yang wujud dengan pandangan yang universal sebagai penyaksiannya terhadap mereka. Selain itu, tugasnya adalah melihat segala nikmat dalam setiap bantuan Tuhan Yang Maha Pengasih, untuk menyatakan kesyukuran kepada-Nya dan mengamati keajaiban kekuasaan-Nya pada segala ciptaan-Nya serta bertafakur, bahawa pada segalanya terkandung pelajaran yang dapat diambil. Wahai manusia yang menyembah dunia, mencintai kehidupan duniawi serta lalai terhadap makna ‘ahsani taqwim’ (sebaik-baik kejadian)! Said Lama telah melihat hakikat kehidupan duniawi ini dalam suatu imaginasi. Dengarkanlah tamsil ini yang mana telah mengubahnya menjadi Said Baru. Ia adalah seperti berikut: Aku telah melihat bahawa diriku adalah seorang pengembara yang sedang menempuh suatu perjalanan yang panjang, atau dengan kata lain, aku sedang dihantar untuk suatu tugasan. Tuan yang menghantarku telah memberiku sebahagian daripada enam puluh keping emas yang diperuntukkan untukku secara berperingkat. Aku pun membelanjakannya, dan telah pergi ke sebuah rumah penginapan yang menawarkan segala jenis hiburan. Dalam masa satu malam sahaja, aku telah membelanjakan sepuluh keping emas untuk berjudi, berhibur dan mengejar kemasyhuran. Pada keesokan paginya, aku sudah kehabisan wang. Tambahan pula, aku tidak melakukan sebarang perniagaan atau membeli apa-apa barangan untuk perjalanan ke tempat yang aku ingin tuju itu. Apa yang masih tersisa padaku daripada wang tersebut hanyalah dosa, kesakitan, luka dan penyesalan daripada segala hiburan yang telah berlalu. Dalam keadaan yang malang itu, tiba-tiba muncul seorang lelaki. Lelaki itu berkata kepadaku:“Kamu telah mensia-siakan semua modalmu dan layak untuk dihukum. Kamu akan pergi ke destinasi kamu dalam keadaan muflis dan tangan kosong. Namun, jika kamu mempunyai akal, pintu taubat masih lagi terbuka. Selepas ini, apabila kamu menerima lima belas keping emas yang berbaki itu, simpanlah separuh daripadanya. Maksudnya, dapatkanlah segala barang yang diperlukan untuk ke destinasimu.”Aku mendapati bahawa nafsuku tidak bersetuju dalam hal ini. Kemudian, lelaki itu berkata: “Jikalau begitu, maka simpanlah satu pertiga.”Nafsuku tetap tidak patuh juga akannya.Lelaki itu berkata lagi: “Jikalau begitu, simpanlah satu perempat.”Nafsuku masih lagi tidak dapat meninggalkan tabiat yang telah menjadi ketagihannya, lalu lelaki tersebut berpaling dengan marah dan pergi daripadaku. Tiba-tiba, keadaan menjadi berubah. Aku melihat diriku berada di dalam sebuah kereta api yang sedang bergerak pantas melalui sebuah terowong, seolah-olah ia sedang jatuh secara menegak. Aku menjadi ketakutan. Namun, aku tidak mampu berbuat apa-apa, kerana tiada jalan untuk melarikan diri. Anehnya, di kedua-dua sisi kereta api itu kelihatan bunga-bungaan yang sangat menarik dan buah-buahan yang lazat. Dalam keadaan seperti seorang yang tidak berakal dan tidak berpengalaman, aku melihat ke arah semua itu, lalu menghulurkan tangan dan berusaha memetiknya. Namun, semua buah-buahan dan bunga-bungaan itu dipenuhi duri. Ia menusuk dan melukai tanganku hingga berdarah ketika aku memetiknya. Dengan pergerakan pantas kereta api, tanganku terobek saat terpisah dari bunga-bungaan dan buah-buahan itu, mengakibatkan kerugian yang besar padaku. Tiba-tiba, seorang porter di dalam kereta api tersebut berkata: “Berikan aku lima ringgit, dan aku akan memberikanmu sebanyak mana bunga-bungaan dan buah-buahan yang kamu mahu. Kamu telah kerugian seratus ringgit dengan tangan kamu terkoyak, daripada sekadar lima ringgit. Kamu juga akan dikenakan hukuman, iaitu kamu tidak dibenarkan memetiknya tanpa izin.” Dalam keadaan cemas, aku mengeluarkan kepalaku ke luar tingkap untuk melihat bila terowong itu akan berakhir. Aku melihat bahawa di hujung terowong itu terdapat banyak lubang. Ramai penumpang daripada kereta api yang panjang itu sedang dicampak ke dalam lubang-lubang tersebut. Kemudian aku terlihat ke arah satu lubang yang berada bertentangan denganku. Pada kedua-dua sisinya terdapat dua buah batu nisan. Aku melihat dengan penuh kehairanan. Aku melihat bahawa pada salah satu batu nisan tersebut tertulis nama “Said”. Dalam kehairanan dan penyesalan, aku berteriak: “Oh tidak!” Tiba-tiba aku mendengar suara lelaki yang pernah menasihatiku di rumah penginapan sebelum ini. Lalu dia bertanya:“Adakah kamu telah sedar?”Aku pun menjawab: “Ya, aku telah sedar, namun sekarang ia sudah terlambat.”Dia berkata: “Bertaubat dan bertawakallah kepada Allah.”Aku pun menjawab: “Aku bertaubat!” Setelah itu, aku pun terjaga dan melihat diriku sebagai seorang “Said Baru”, “Said Lama” telah pun hilang. Maka, begitulah imaginasi tersebut. Semoga Allah menjadikan kebaikan terhasil daripadanya. Aku akan mentafsirkan satu atau dua bahagian daripadanya, selepas itu anda boleh tafsirkan yang selebihnya sendiri. Perjalanan tersebut adalah perjalanan dari alam roh, melalui rahim ibu, masa muda, masa tua, alam kubur, alam barzakh, hari kebangkitan, dan titian sirat menuju ke alam akhirat yang abadi. Enam puluh keping emas itu adalah melambangkan umur enam puluh tahunku; ketika mengalami imaginasi tersebut, aku mengira diriku berumur empat puluh lima tahun. Aku tidak mempunyai kepastian mengenainya, tetapi seorang murid al-Quran al-Hakim yang ikhlas telah menasihatkanku untuk menghabiskan separuh daripada lima belas tahun umurku yang berbaki untuk tujuan akhirat. Rumah penginapan itu adalah Istanbul bagiku. Kereta api itu pula melambangkan masa, dan setiap tahun adalah gerabaknya. Terowong itu pula melambangkan kehidupan dunia ini. Bunga-bungaan dan buah-buahan yang berduri itu melambangkan segala kelazatan yang diharamkan dan segala hiburan yang terlarang, yang menyebabkan kesakitan ketika membayangkan kehilangannya serta melukai hati ketika berpisah darinya, menghancurkan hati dan mendatangkan hukuman. Yang terakhir, tafsiran bagi kata-kata porter yang berkata: “Berikan aku lima ringgit, maka aku akan berikan sebanyak mana yang kamu mahu daripadanya” adalah: Kenikmatan dan kesenangan yang diperoleh seseorang melalui usaha yang halal dan dalam lingkungan yang dibenarkan sudah memadai untuknya. Dia tidak perlu melibatkan diri dalam perkara yang diharamkan. Anda boleh mentafsirkan yang selebihnya sendiri.
Manusia di alam semesta ini menyerupai seorang kanak-kanak kecil yang rapuh dan lemah. Walaupun begitu, terdapat kekuatan yang besar dalam kelemahan dan kekuasaan yang hebat dalam kedaifannya. Hal ini kerana melalui kelemahan dan kedaifan itulah, semua makhluk tunduk kepadanya. Jika manusia memahami kelemahan diri dan memanjatkan doa melalui lisan, keadaan diri dan tindakannya, serta menyedari kedaifannya, lalu memohon pertolongan, maka dia akan memperoleh segala tujuan dan keinginannya dengan cara yang tidak mampu dicapai walaupun satu peratus melalui kekuatannya sendiri. Namun, adakalanya dia tersalah anggap bahawa apa yang diperolehnya melalui doa yang dipanjatkan oleh lisanul hal (bahasa melalui keadaan) adalah hasil daripada kekuatan dirinya sendiri. Sebagai contoh, kekuatan dalam kelemahan seekor anak ayam mampu membuatkan ibu ayam tersebut berani menyerang seekor singa. Begitu juga, anak singa yang baru lahir mampu membuatkan ibu singa yang buas dan lapar itu tunduk kepadanya, sehinggakan singa betina itu sanggup kelaparan sementara anaknya kenyang. Lihatlah kekuatan menakjubkan yang terkandung dalam kelemahan dan manifestasi rahmat Ilahi yang patut diperhatikan ini! Begitu juga halnya dengan seorang anak kecil, melalui tangisan, permintaan atau keadaannya yang menyedihkan, dia mampu membuatkan mereka yang kuat tunduk kepadanya, dan dengan itu, dia berjaya mendapatkan apa yang diinginkannya yang tidak mungkin diperoleh dengan seribu kali kekuatannya sekalipun. Maksudnya, kelemahan dan ketidakberdayaan si anak kecil tersebut dapat membangkitkan kasih sayang dan perlindungan terhadapnya, sehinggakan dengan jari kecilnya sahaja, dia mampu menundukkan para pahlawan. Maka, jika kanak-kanak tersebut dengan bodoh dan sombong menafikan belas kasihan dan perlindungan yang diperolehnya dengan berkata: “Aku menundukkan kesemua ini dengan kekuatan diriku sendiri”, maka dia pasti akan menerima tamparan. Begitu juga, jika manusia itu berkata seperti Qarun: اِنَّمَاۤ اُوتِيتُهُ عَلٰى عِلْمٍ (Sesungguhnya aku dikurniakan kekayaan ini disebabkan ilmu yang ada padaku), iaitu: “Aku memperoleh semuanya ini melalui ilmu dan kekuatanku sendiri” dengan cara yang menunjukkan ketidaksyukuran, menafikan rahmat dan kebijaksanaan Penciptanya, maka, sudah pasti dirinya layak untuk menerima azab. Maka, hal ini bermakna penguasaan, kemajuan manusia serta pencapaian peradaban, jelas telah ditundukkan kepadanya bukan melalui pemaksaan, penaklukan atau pertempuran, tetapi kerana kelemahannya. Manusia itu telah dibantu kerana ketidakberdayaannya. Kesemuanya ini telah dianugerahkan kepadanya kerana kefakirannya, diilhamkan kerana kejahilannya serta diberikan kerana keperluannya. Penguasaan yang dimilikinya bukanlah disebabkan hasil daripada kekuatan dan kekuasaan ilmu pengetahuannya, tetapi kerana belas kasihan dan rahmat Tuhan Rabbani serta hikmah-Nya yang menundukkan segala sesuatu kepada diri manusia itu. Ya, manusia yang tewas kepada makhluk kecil seperti kala jengking yang tidak bermata dan ular yang tidak berkaki, telah diberikan pakaian daripada sutera yang dihasilkan oleh ulat kecil dan diberi makan madu yang dihasilkan oleh lebah yang berbisa. Semua ini bukanlah hasil dari kekuatannya sendiri, tetapi kerana penundukan oleh Tuhan Pemelihara dan kurniaan Dia Yang Maha Penyayang, yang merupakan hasil daripada segala kelemahan dirinya. Wahai manusia! Oleh kerana hakikat kebenaran adalah sedemikian, maka tinggalkanlah keegoan dan kesombongan anda. Dengan lisan, pohonlah pertolongan, nyatakanlah kelemahan dan kedaifanmu di hadapan keagungan Ilahi, dan dengan lidah permohonan dan doa, ungkapkanlah kefakiran dan keperluanmu. Tunjukkanlah bahawa anda andalah hamba-Nya dan katakanlah:حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ Cukuplah Allah bagi kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung. (Surah Ali ‘Imran: 173) Seterusnya, naiklah ke darjat yang lebih tinggi. Janganlah berkata, “Tiada apa-apa pada diriku ini; apakah kepentingan diriku sehinggakan alam semesta ini sengaja ditundukkan kepadaku oleh Dia Yang Maha Bijaksana, dan aku diminta untuk bersyukur sepenuhnya?” Hal ini kerana walaupun dari sudut dirimu dan rupa lahiriahmu, anda seolah-olah tiada apa-apa, namun dari sudut tugas dan kedudukan, anda merupakan seorang pemerhati yang teliti terhadap keagungan alam semesta, lidah yang fasih daripada segala makhluk yang penuh dengan hikmah, pembaca yang arif terhadap kitab alam semesta ini, penyelia yang kagum terhadap segala makhluk yang bertasbih dan seorang ketua yang dihormati bagi sekalian makhluk yang beribadah. Ya, wahai manusia! Dalam hal keadaan fizikal yang rapuh dan nafsu kehaiwananmu, anda hanyalah merupakan sebutir zarah yang halus dan hina, suatu makhluk yang penuh dengan keperluan, seekor haiwan yang lemah, yang terumbang-ambing dalam gelombang dahsyat kewujudan segala makhluk, dan sedang menuju kehancuran. Namun dengan kesempurnaan cahaya iman, yang mengandungi cinta Ilahi, dan melalui pentarbiyahan Islam, yang merupakan suatu cahaya kemanusiaan dan penghambaan manusia kepada Tuhan, anda adalah seorang raja. Selain itu, sebagai manusia, meskipun dalam kedudukan yang terbatas, anda merupakan makhluk yang mempunyai keupayaan yang komprehensif dan dalam kekerdilan, anda adalah seumpama sebuah alam, dan dalam kehinaan, anda adalah seorang penyelia yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam lingkaran yang luas sehingga anda dapat mengatakan: “Tuhanku Yang Maha Penyayang telah menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal bagiku, matahari dan bulan sebagai lampunya, musim bunga sebagai sejambak bunga bagiku, musim panas sebagai meja yang dipenuhi segala nikmat, menjadikan sekalian haiwan sebagai pembantu bagiku dan tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasan rumahku”. Kesimpulannya: Jika anda mendengar akan bisikan syaitan dan hawa nafsu, maka anda akan jatuh ke tahap asfala safilin (peringkat yang paling rendah). Namun, jika anda mendengar akan apa yang hak dan petunjuk daripada al-Quran, maka anda akan naik ke maqam a’la illiyyin (maqam yang paling tinggi) dan mencapai darjat ahsani taqwim (sebaik-baik kejadian) di alam semesta ini.
Manusia telah diutuskan ke dunia ini sebagai seorang pegawai dan tetamu serta dianugerahkan kemampuan yang sangat penting. Dia juga telah diamanahkan dengan tugas-tugas yang signifikan bersesuaian dengan segala kemampuannya itu. Untuk memastikan manusia bekerja menuju tujuan dan menjalankan tugas-tugas tersebut, dorongan yang kuat dan ancaman yang keras telah diberikan. Di sini, kami akan meringkaskan asas-asas tugas kemanusian dan pengabdian (ubudiyyah), yang mana telah kami jelaskan di bahagian lain, agar rahsia ahsani taqwim (sebaik-baik kejadian) dapat difahami. Apabila manusia datang ke alam semesta ini, dia memiliki dua aspek ubudiyyah dalam menjadi seorang hamba Allah. Aspek pertama adalah ubudiyyah dan tafakur dalam keadaan tidak melihat-Nya. Manakala aspek kedua pula adalah ibadah dan doa yang dilakukan dengan kehadiran-Nya, dalam bentuk munajat dan berinteraksi secara langsung dengan-Nya. Aspek Pertama: Mengakui dengan penuh ketaatan akan kekuasaan rububiyah-Nya yang nyata di alam semesta dan mengamati kesempurnaan dan keindahannya dengan penuh kekaguman. Kemudian, memperkenalkan dan memperlihatkan keindahan ciptaan Allah, yang merupakan ukiran dari nama-nama-Nya yang suci, kepada pandangan orang lain. Seterusnya, menimbang permata yang tersembunyi dalam asma Rabbani (nama-nama Tuhan Rabbani) dengan neraca akalnya, serta menghargai nilainya dengan sepenuh hati. Kemudian, dia mengkaji dan merenungkan halaman-halaman sekalian makhluk serta lembaran-lembaran bumi dan langit, yang merupakan seumpama tulisan kekuasaan Ilahi yang penuh makna. Selanjutnya, melalui perasaan kagum terhadap perhiasan dan kehalusan seni yang terdapat pada sekalian makhluk, akan timbul rasa cinta untuk mengenal Pencipta mereka Yang Maha Indah, serta kerinduan untuk hadir di hadapan Pencipta Yang Maha Sempurna dan memperoleh nikmat-Nya. Aspek Kedua: Ini adalah maqam kehadiran dan seruan di mana manusia berpindah daripada melihat ciptaan-Nya kepada mengenali Penciptanya, dengan dia melihat bahawa Pencipta Yang Maha Agung ingin memperkenalkan diri-Nya melalui keajaiban seni ciptaan-Nya, lalu dia menyahutnya dengan berusaha mengenali-Nya (makrifatullah) dan beriman kepada- Nya. Kemudian, dia melihat bahawa Tuhannya Yang Maha Penyayang ingin membuatkan diri-Nya dicintai melalui segala hasil yang indah daripada rahmat-Nya. Maka, manusia membalasnya dengan mengkhususkan cinta dan pengabdiannya hanya kepada-Nya. Seterusnya, dia melihat bahawa Pemberi Nikmat Yang Maha Pemurah memelihara dirinya dengan segala nikmat yang lazat, baik yang bersifat duniawi (material) mahupun rohani (maknawi). Sebagai balasan, dia memanjatkan kesyukuran dan pujian dengan perbuatan, keadaan, perkataan, bahkan juga dengan seluruh pancaindera dan fakultinya. Selanjutnya, dia melihat bahawa Tuhan Yang Maha Indah lagi Maha Agung memperlihatkan kebesaran, kesempurnaan, keagungan dan keindahan-Nya melalui cerminan segala makhluk ciptaan-Nya, yang menarik perhatian setiap pandangan. Sebagai balasan, dia mengucapkan: “Allahu Akbar, Subhanallah”, dan dia bersujud dengan penuh kerendahan hati, kekaguman serta kecintaan. Kemudian, dia melihat bahawa Tuhan Pemilik Kekayaan Mutlak menzahirkan kekayaan dan khazanah-Nya dalam kemurahan-Nya yang yang tidak terhingga. Sebagai balasan, manusia memohon dan meminta dengan penuh pengagungan dan pujian, sambil menyatakan segala kefakirannya yang amat sangat. Berikutnya, dia melihat bahawa Pencipta Yang Maha Agung telah menjadikan muka bumi ini sebagai sebuah hamparan yang mempamerkan segala seni-Nya yang menakjubkan. Sebagai balasan, manusia menyatakan dengan penghargaan: “Masya-Allah”, dengan kekaguman: “Barakallah”, dengan kehairanan: “Subhanallah” dan dengan penghormatan “Allahu Akbar”. Seterusnya, dia melihat bahawa di dalam istana alam semesta ini, Dia Yang Wahidul Ahad (Dia Yang Maha Esa) telah meletakkan tanda-tanda keesaan-Nya pada semua makhluk dengan cap khas-Nya yang tidak dapat ditiru, serta dengan meterai, kod rahsia dan tanda yang khusus kepada-Nya. Tuhan juga telah menanam panji keesaan-Nya di seluruh pelosok dunia ini, lalu mengisytiharkan kedaulatan rububiyah-Nya. Sebagai balasan, manusia membalas semuanya ini dengan pengakuan, keimanan, penyerahan, penyaksian, penghambaan (ubudiyyah) serta mengesahkan keesaan-Nya. Maka, melalui ibadah dan tafakur seperti ini, seseorang itu akan menjadi seorang insan yang hakiki dan menunjukkan bahawa dirinya diciptakan dalam ahsani taqwim (sebaik-baik kejadian). Dengan keberkatan keimanan inilah, dia menjadi khalifah yang dipercayai di muka bumi dan layak menerima amanah-Nya. Wahai manusia yang lalai, yang diciptakan dalam ahsani taqwim (sebaik-baik kejadian), jika anda membuat pilihan yang salah, anda akan menjatuhkan diri anda ke peringkat asfala safilin (peringkat yang paling rendah)! Dengarlah apa yang akan aku katakan ini! Aku juga, seperti anda, menyangka dunia ini indah dan mempesona ketika berada dalam kelalaian dan kemabukan zaman muda. Namun, ketika aku tersedar pada pagi hari usia tuaku, aku melihat betapa hodohnya wajah dunia yang tidak diarahkan kepada akhirat, yang sebelumnya aku bayangkan sentiasa indah. Untuk melihat betapa indahnya wajah sebenar dunia, yang diarahkan ke akhirat, anda boleh merujuk kepada dua ‘Lembaran’ pada Bahagian Kedua daripada Kalimat Ketujuh Belas, dan anda akan dapati bahawa ia adalah seperti berikut: Lembaran Pertama: Ia menggambarkan realiti dunia orang-orang yang lalai, yang dahulu pernah aku lihat melalui hijab kelalaian, serupa dengan dunia orang-orang sesat, tetapi tanpa mencapai tahap kemabukan seperti mereka. Lembaran Kedua: Ia menggambarkan realiti dunia orang-orang yang mendapat petunjuk dan ketenangan. Aku membiarkannya dalam bentuknya sebagaimana ia ditulis pada masa dahulu. Ia menyerupai syair, tetapi ia bukanlah syair yang sebenar-benarnya. Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Baqarah:32) Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah urusanku, dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku. (Surah Taha: 25-28) Ya Allah! Limpahkanlah selawat dan salam ke atas zat Nabi Muhammad yang halus dan tunggal, seumpama cahaya matahari bagi segala rahsia dan manifestasinya, pusat bagi segala orbit keagungan, serta kutub bagi segala lingkaran keindahan.Ya Allah! Dengan rahsianya di sisi-Mu, dan dengan perjalanannya kepada-Mu, amankanlah ketakutanku, hapuskanlah kesilapanku, hilangkanlah kesedihan dan ketamakanku, dan jadilah Engkau bersamaku. Bimbinglah aku untuk mendekatimu, dan kurniakanlah kepadaku kefanaan daripada diriku. Janganlah Engkau jadikan diriku terpesona dengan nafsuku dan terhijab oleh pancainderaku. Singkapkanlah kepadaku segala rahsia yang tersembunyi. Wahai al-Hayyu al-Qayyum (Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri)! Wahai al-Hayyu al-Qayyum (Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri)! Wahai al-Hayyu al-Qayyum (Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri)! Kasihanilah aku, kasihanilah para sahabatku, kasihanilah orang-orang yang beriman dan juga para ahli al-Quran. Perkenankanlah, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang daripada segala yang penyayang, dan Yang Maha Pemurah daripada segala yang pemurah.

