Ketika tidak menjumpai sebarang asas bagi membina kesesatannya dan ketika ketiadaan hujah dan dalil, wakil ahli kesesatan dan para penyeru kepada kesesatan akan berkata: “Sesungguhnya saya melihat kebahagiaan dunia dan bernikmat-nikmat dengan kelazatan kehidupan, kemajuan dan tamadun perindustrian hanya boleh dicapai dengan melupakan akhirat, dengan tidak mengenali Allah S.W.T, dengan cintakan dunia, dengan membebaskan diri daripada segala ikatan dan dengan bermegah serta kagum terhadap diri sendiri.. Oleh itu, saya memandu ramai orang hingga sekarang dengan semangat kesyaitanan agar mereka terus melalui jalan kesesatan ini.” Jawapan:Kita pula berkata dengan nama al-Quran al-Karim:Wahai manusia yang celaka! Kembalilah kepada kewarasan! Janganlah engkau mendengar seruan ahli kesesatan. Jika engkau mendengarnya, engkau akan kerugian besar sehingga menyebabkan roh, akal dan hati engkau menggeletar ketakutan. Di depan anda terdapat dua jalan: Pertama: Jalan kecelakaan yang ditunjukkan oleh penyeru kesesatan. Kedua: Jalan kebahagiaan yang dijelaskan oleh al-Quran al-Karim. Sesungguhnya anda telah melihat banyak perbandingan telah dibuat di antara kedua-dua jalan tersebut dalam kebanyakan kalimah, terutamanya di dalam “Kalimah Ringkas”. Sekarang, bersesuaian dengan kajian yang telah dilakukan itu, marilah perhatikan salah satu daripada ribuan perbandingan dan pemadanan tersebut: Sesungguhnya jalan kesyirikan, kesesatan, kemaksiatan dan kefasikan akan menyebabkan manusia terjerumus ke lembah yang paling rendah. Jalan tersebut juga akan mencampakkan satu bebanan yang amat berat ke atas bahunya yang lemah dan diselaputi dengan kesakitan yang tidak terhingga. Ini adalah kerana jika manusia tidak mengenali Allah S.W.T dan jika dia tidak bertawakkal kepada-Nya, maka dia adalah sama dengan darjat haiwan yang binasa. Dia akan sentiasa merasa sakit dan dukacita berpanjangan. Dia juga akan berada dalam kelemahan yang tidak berkesudahan. Dia meraung dalam kemiskinan dan kepapaan yang tidak berpenghujung. Dia juga terdedah kepada musibah-musibah yang tidak terkira. Dia juga akan meneguk kesakitan perpisahan daripada sesuatu yang dia kasihi dan dia jalini hubungan yang intim. Dia merasai kesakitan dan terus merasainya, hingga akhirnya dia sendiri meninggalkan para kekasihnya yang masih hidup dan berpisah dengan mereka dalam keadaan berkeluh kesah, berseorangan dan terasing ke dalam kegelapan perkuburan. Sepanjang hidupnya, dia mendapati dirinya sentiasa berada dalam kesakitan dan pengharapan yang tidak berakhir, sedangkan dia tidak memiliki kecuali sebuah iradah (kehendak) yang sekelumit, kudrat yang terhad, kehidupan yang pendek, umur yang binasa dan fikiran yang semakin berkurang. Usahanya untuk menenangkannya menjadi sia-sia. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak-kehendaknya yang tidak terbatas. Demikianlah bagaimana kehidupannya berlangsung tanpa dia memperolehi buah dan hasilnya. Ketika anda mendapatinya lemah dan tidak mampu menanggung bebanan dirinya sendiri, tetapi anda dapatinya menggantung pada tengkuk dan pada pundak kepalanya segala bebanan dunia yang maha besar ini. Ini menyebabkan dia terseksa dengan azab yang membakar dan menyakitkan sebelum dia menerima azab neraka jahim. Sesungguhnya ahli kesesatan tidak merasai kesakitan yang pahit dan azab roh yang menakutkan ini, kerana mereka mencampakkan diri mereka ke pangkuan kealpaan untuk menghilangkan perasaan dan sensitiviti mereka dalam tempoh yang sementara dengan kemabukannya. Tetapi sebaik sahaja salah seorang daripada mereka mula mendekati tebing perkuburan, maka perasaannya akan menjadi halus dan perasaan sakitnya akan menjadi berganda-ganda secara tiba-tiba. Ini kerana jika dia bukan hamba Allah S.W.T yang ikhlas, maka dia akan menyangka bahawa dia memiliki dirinya sendiri, sedangkan dia adalah lemah kerana hanya mempunyai kehendak yang sekelumit dan kudrat yang secebis, hinggakan kehendak dirinya sendiri juga adalah lemah ketika berhadapan dengan bencana alam di dunia ini. Dia melihat alam ini dipenuhi musuh yang melingkunginya, bermula daripada sehalus-halus kuman dan berakhir dengan bencana gempa bumi yang sentiasa bersedia untuk menerkam dan membinasakannya. Oleh itu, dia menggeletar ketakutan dan hatinya menggigil kebimbangan setiap kali dia mengkhayalkan keadaan kubur dan melihat kepadanya.Sedang dia mengalami apa yang dialaminya, hal ehwal dunia yang berhubung dengan dia juga sentiasa memenatkannya. Begitu juga dengan hal ehwal manusia yang mempunyai hubungan dengannya. Ini kerana dia menyangka bahawa segala kejadian dan peristiwa yang berlaku lahir daripada permainan semulajadi dan pertunjukan kebetulan. Bukan datang daripada perbuatan Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Lagi Maha Mengetahui. Bukan datang daripada perkiraan Tuhan Yang Maha Berkuasa, Lagi Maha Mengasihani dan Lagi Maha Mulia. Oleh itu, di samping kesakitan-kesakitannya sendiri, dia juga terpaksa mengalami kesakitan-kesakitan orang lain. Segala malapetaka seperti gempa bumi, penyakit taun, angin taufan, kemarau, peningkatan harga barang, kemusnahan, kebinasaan dan seumpamanya menjadi musibah besar dan bala menakutkan bagi dirinya. Orang ini yang memilih sendiri untuk berada dalam situasi yang tragis tidak berhak untuk mendapat belas kasihan dan ratapan terhadap dirinya. Perumpamaan lelaki tersebut sama dengan seorang lelaki yang telah disebutkan ketika dibuat perbandingan di antara dua orang bersaudara sebagaimana telah diceritakan di dalam Kalimah Kelapan. Di sana telah disebutkan bahawa seorang lelaki tidak berpuas hati dengan kenikmatan yang bersih, kegembiraan yang suci, hiburan yang manis dan perkelahan yang mulia lagi dibenarkan, di samping para kekasih yang sopan di dalam taman yang luas dan di tengah-tengah sambutan yang mesra. Namun dia memilih untuk meneguk najis arak bagi memperoleh kelazatan yang tidak dibenarkan. Lalu dia mabuk sehingga dia mula mengkhayalkan bahawa dia sedang berada di tempat yang kotor, di kalangan binatang-binatang buas. Dia menggeletar seolah-olah sedang berada pada musim dingin. Dia mula menjerit dan meminta pertolongan, namun tiada siapa yang mengasihaninya, kerana dia menyangka makanan yang lazat dan pinggan mangkuk yang berada di bilik tamu sebagai batu batan yang bernajis, lalu dia terus memecahkannya. Dia menyangka buku-buku berharga dan surat-surat bernilai yang berada di tempat duduk sebagai ukiran-ukiran biasa dan perhiasan yang tidak mempunyai sebarang makna, lalu dia mula mengoyakkannya dan mencampakkannya di bawah tapak kakinya. Demikianlah keadaannya. Lelaki ini dan orang-orang yang seumpamanya tidak berhak untuk mendapat rahmat dan belas kasihan, bahkan mereka lebih berhak untuk diajar dan dihukum. Begitu jugalah keadaannya dengan seseorang yang disebabkan oleh kemabukan kekufuran dan kegilaan kesesatan yang lahir akibat kesilapannya membuat pilihan, lalu dia menyangka bahawa dunia yang merupakan tempat persinggahan yang disediakan oleh Allah Tuhan Yang Maha Mencipta Lagi Maha Bijaksana hanya sebagai permainan kebetulan yang buta dan alat mainan semulajadi yang tuli. Dia melihat segala pembaharuan yang berlaku kepada semua makhluk yang menjelmakan hakikat al-Asma’ al-Husna dan perpindahannya ke alam ghaib kerana berlalunya masa setelah ia melaksanakan segala tugas-tugasnya dan memenuhi segala matlamat-matlamatnya, seolah-olah ia disumbatkan ke lautan ketiadaan dan hilang di tebing kemusnahan. Dia mengkhayalkan bahawa suara-suara tasbih dan tahmid yang memenuhi seluruh alam sebagai dengungan dan keluhan yang dikeluarkan oleh orang-orang yang telah tiada dan musnah di dalam perpisahan abadi mereka. Dia juga mengira lembaran-lembaran kewujudan ini yang merupakan risalah-risalah kudus dan indah hanya sebagai campuran dan sebatian yang tidak mempunyai sebarang makna dan tujuan. Dia juga menyangka pintu kubur yang membuka jalan kepada dunia kerahmatan yang luas hanya sebagai terowong yang membawa kepada kegelapan ketiadaan. Dia menggambarkan ajal yang merupakan panggilan untuk menyambung ikatan dan pertemuan dengan para kekasih sebenar sebagai saat perpisahan kekasih keseluruhannya! Ya! Sesiapa yang hidup dalam putaran gambaran dan sangkaan ini, sebenarnya sedang mencampakkan dirinya ke dalam azab seksa dunia yang memedihkan. Di samping itu, dia juga tidak layak untuk mendapat rahmat dan belas kasihan. Dia hanya berhak untuk mendapat azab yang pedih, kerana dia menghina segala makhluk dengan menuduh mereka sebagai sia-sia, juga kerana dia memalsukan al-Asma’ al-Husna dengan mengingkari penjelmaannya dan mengingkari risalah rabbani dengan menolak penyaksiannya terhadap keesaan Allah S.W.T.Wahai orang-orang yang sesat! Wahai orang-orang yang celaka lagi sial! Adakah ilmu kamu yang paling canggih, tamadun kamu yang paling gemilang, kepintaran kamu yang paling tinggi dan perancangan kamu yang paling lengkap dapat memberikan apa-apa kesan berhadapan dengan kejatuhan menakutkan yang dialami oleh manusia? Adakah ia mampu bertahan di hadapan kekecewaan yang memusnah, menakut dan menggerunkan manusia? Adakah apa yang kamu namakan sebagai ‘semulajadi’, sebab-sebab yang kamu sandarkan kepadanya kesan-kesan perbuatan Ilahi, sekutu kamu yang kamu sandarkan kepadanya kebaikan-kebaikan Rabbani, penemuan-penemuan yang kamu banggakan, perkauman yang kamu megahkan dan sembahan kamu yang kamu sembah. Adakah semua itu mampu menyelamatkan kamu daripada kegelapan kematian yang merupakan ketiadaan abadi buat kamu? Adakah semua itu mampu melalukan kamu pada sempadan perkuburan dengan selamat, melalukan kamu pada batasan barzakh dengan aman, melalukan kamu pada dataran mahsyar dengan tenang, boleh menolong kamu menyeberang jambatan al-sirat dengan penuh kebijaksanaan dan menjadikan kamu ahli yang layak untuk mendapat kebahagian abadi dan kehidupan yang berkekalan? Sesungguhnya kamu pasti akan melalui jalan ini, kerana kamu tidak akan mampu untuk menutup pintu kubur bagi sesiapapun. Kamu pasti akan bermusafir pada jalan ini. Bagi sesiapa yang melalui jalan ini, dia pasti dan mesti bersandar dan bergantung kepada seseorang yang mempunyai ilmu menyeluruh dan tuntas dengan setiap lorong, jalan dan batasan sempadannya yang luas, bahkan kesemua lingkaran yang besar itu berada di bawah pengurusan, perintah dan kekuasaannya. Wahai orang-orang yang sesat dan alpa! Kasih sayang dan makrifat yang diletakkan di dalam fitrah kamu, instrumen kesyukuran dan sarana ibadat yang sepatutnya dikorbankan untuk Allah S.W.T sahaja, dan seharusnya dihalakan kepada sifat dan asma’ Allah S.W.T yang Mulia lagi Tinggi, tetapi kamu telah mencurahkannya secara tidak benar untuk diri kamu sendiri dan juga untuk dunia. Oleh itu, amatlah layak kamu merasai azabnya. Ini berdasarkan kaedah “natijah memberikan kasih sayang kepada yang tidak dibenarkan ialah menanggung azab pedih tidak terperi tanpa belas kasihan”. Juga kerana kamu telah memberikan kasih sayang yang sepatutnya dicurahkan hanya kepada Allah S.W.T semata-mata, sebaliknya kamu telah mencurahkannya kepada diri kamu sendiri, lalu kamu mendapat bala kekasih kamu itu yang tidak terkira kerana kamu tidak memberikannya kerehatan yang hakiki. Demikian juga kamu tidak menyerahkan urusannya dengan bertawakkal kepada kekasih sebenar iaitu Allah S.W.T yang mempunyai kuasa mutlak, lalu kamu akan merasai kesakitan secara berterusan. Kamu juga telah memberikan kasih sayang yang sepatutnya hanya untuk asma’ dan sifat Allah Yang Maha Mulia dan Suci, tetapi kamu memberikannya kepada dunia, dan kamu bahagi-bahagikan kesan-kesan perbuatannya yang indah kepada sebab-sebab yang material. Maka kamu merasa kecelakaan akibat perbuatan kamu itu, kerana sebahagian daripada para kekasih kamu yang ramai itu berpaling meninggalkan kamu tanpa ucapan selamat tinggal. Antara mereka ada yang kamu tidak kenal langsung, bahkan jika mereka mengenali kamu sekalipun, maka mereka tidak mengasihi kamu, dan bahkan jika mereka mengasihi kamu sekalipun, mereka tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu. Maka kamu akan terus berada dalam azab yang berkekalan yang terdiri daripada azab kerana perpisahan yang tidak terbatas dan kesakitan kerana kekecewaan serta putus asa untuk dapat kembali semula ke dunia. Inilah hakikat yang didakwa oleh ahli kesesatan sebagai ‘kebahagian hidup’, ‘kesempurnaan insan’, ‘keindahan tamadun’ dan ‘kelazatan kebebasan’. Ketahuilah betapa tebalnya hijab yang menutupi kebodohan dan kemabukan yang membius perasaan dan pertimbangan!Katakanlah: Celaka buat akal mereka yang sesat! Manakala jalan lurus atau lorong bercahaya al-Quran al- Karim pula maka ia dapat mengubati dan membalut kesemua luka-luka yang dialami oleh ahli kesesatan itu dengan hakikat-hakikat keimanan. Ia juga dapat menghancurkan semua kegelapan lalu yang berada pada jalan tersebut dan menutup segala pintu kesesatan dan kemusnahan, dengan cara-cara berikut: Ia mengubati kelemahan, kedhaifan, kefakiran dan keberhajatan manusia dengan tawakkal kepada Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengasihani. Ia juga menyerahkan segala bebanan kehidupan dan dunia kepada qudrat dan rahmat Allah yang Maha Luas tanpa dibebankan ke atas bahu manusia, bahkan ia menjadikan manusia memiliki pemanduan diri dan kehidupannya sendiri. Ia juga mengadakan kedudukan yang merehatkan untuk manusia dan memperkenalkan bahawa manusia bukanlah haiwan yang berkata-berkata (berakal), bahkan dia adalah manusia sebenar dan tetamu mulia lagi dihormati di sisi Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Memiliki lagi Maha Penyayang.Ia juga merawat luka-luka kemanusiaan yang lahir daripada kemusnahan dunia, kehilangan segala benda dan kecintaan kepada benda-benda yang akan musnah. Ia merawatnya dengan lemah-lembut dan penuh simpati dengan memperlihatkan bahawa dunia hanyalah tempat persinggahan milik Tuhan al-Rahman. Ia juga menerangkan bahawa segala benda yang terdapat di dalamnya adalah cermin bagi al- Asma’ al-Husna dan menjelaskan bahawa segala makhluk buatannya adalah risalah Rabbani yang sering bertukar pada setiap ketika dengan keizinan Tuhannya, lalu ia menyelamatkan manusia daripada genggaman kegelapan fantasi. Ia juga merawat luka-luka yang diakibatkan oleh kematian, yang dianggap oleh ahli kesesatan sebagai perpisahan abadi daripada semua para kekasih dengan menjelaskan bahawa kematian sebenarnya adalah mukadimah kepada penyambungan dan pertemuan dengan para kekasih yang telah pergi ke alam barzakh dan mereka yang sekarang ini sedang berada di alam baqa’. Ia membuktikan bahawa perpisahan itu sebenarnya adalah pertemuan. Ia juga menghilangkan ketakutan terbesar manusia dengan membuktikan bahawa kubur sebenarnya adalah sebuah pintu yang terbuka ke alam rahmat yang luas, negeri kebahagiaan yang abadi, taman-taman syurga, negeri-negeri cahaya milik Allah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ia menerangkan bahawa pelancongan ke alam barzakh yang merupakan pelancongan yang amat menyakit dan mencelakakan buat ahli kesesatan sebenarnya adalah pelancongan yang paling menyeronok, mesra dan menggembirakan, kerana kubur bukanlah mulut ular yang menggerunkan, tetapi ia adalah sebuah taman daripada taman-taman syurga. Ia berkata kepada seseorang yang beriman: Jika kehendak (iradat) dan pilihan engkau hanya sedikit dan sebahagian, maka serahkanlah urusan engkau kepada Tuhan yang memiliki iradat yang menyeluruh dan mutlak.Jika kemampuan engkau adalah lemah, maka bergantunglah kepada qudrat (kekuasaan) Yang Maha Berkuasa dengan kekuasaan yang mutlak.Jika kehidupan engkau akan binasa dan pendek, maka berfikirlah tentang kehidupan yang kekal abadi.Jika umur engkau adalah pendek, maka janganlah engkau berdukacita kerana engkau memiliki umur yang panjang sebenarnya. Jika fikiran engkau bertahap rendah, maka masuklah di bawah sinaran matahari al-Quran al- Karim, dan lihatlah dengan cahaya keimanan agar setiap ayat al-Quran mengurniakan cahaya umpama bintang yang bergemerlapan kepada engkau sebagai ganti daripada cahaya fikiran engkau yang malap. Jika engkau mempunyai pengharapan-pengharapan dan kesakitan-kesakitan yang tidak bersempadan, ingatlah sebenarnya engkau mem- punyai balasan pahala yang tidak berpenghujung dan rahmat yang tidak bersempadan yang sedang menunggu engkau. Jika engkau mempunyai matlamat-matlamat dan tujuan-tujuan yang tidak berkesudahan, maka janganlah bimbang dengan sentiasa berfikir tentang- nya, kerana ia tidak akan dapat dihitung di dunia ini, bahkan tempatnya adalah di akhirat nanti, sedang Tuhan Yang Maha Mengurnia adalah Tuhan Yang Amat Pemurah, Mulia dan luas pemberian-Nya. Ia juga berbicara dengan manusia seraya berkata: Wahai manusia! Engkau tidak memiliki diri engkau. Bahkan engkau dimiliki oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa dengan kuasa yang mutlak, Yang Maha Mengasihani dengan kerahmatan yang mutlak. Maka janganlah engkau memenatkan diri engkau dengan membebankannya dengan bebanan kehidupan engkau. Kerana Tuhan yang memberikan kehidupan kepada engkau, Dialah yang mentadbirkannya.Sesungguhnya dunia ini tidaklah dibiarkan begitu sahaja tanpa pemilik, agar engkau tidak bimbang terhadapnya, tidak membebankan diri engkau, dan tidak memenatkan fikiran engkau tentang hal ehwalnya. Ini kerana pemilik-Nya adalah Tuhan Yang Amat Bijaksana Lagi Maha Mengetahui. Engkau hanyalah tetamu-Nya, maka janganlah engkau campurtangan dalam urusan-urusan-Nya lantaran rasa ingin tahu engkau dan janganlah engkau mencampur adukkannya tanpa kefahaman yang jelas. Sesungguhnya manusia dan haiwan bukanlah makhluk yang diabaikan dan dibiarkan begitu sahaja. Bahkan mereka sebenarnya sedang bertugas menurut perintah di bawah kekuasaan dan penyeliaan Tuhan Yang Maha Bijaksana Lagi Maha Mengasihani. Maka janganlah engkau membiarkan roh engkau meneguk kesakitan dengan berfikir tentang kesulitan dan kesakitan mereka, serta janganlah engkau mendahulukan perasaan belas kasihan engkau kepada mereka berhadapan dengan rahmat dan belas kasihan Tuhan Yang Maha Mencipta Lagi Maha Mengasihani.Sesungguhnya kuman, taun, taufan, kemarau dan gempa bumi serta lain-lain kejadian yang mengambil peranan sebagai musuh engkau pada zahirnya, kendaliannya berada pada tangan Tuhan Yang Maha Mengasihani Lagi Maha Mulia. Dia adalah Tuhan Yang Maha Bijaksana yang tidak terbit sebarang kesia-siaan daripada-Nya. Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengasihani lagi luas rahmat-Nya. Setiap perkara yang dilakukannya, pasti terdapat kesan kelembutan dan belas kasihan-Nya. Ia juga berkata:Bahawa alam ini sekalipun ia akan binasa, namun ia disediakan dengan segala perkara yang membolehkannya kekal abadi ... sekalipun ia sementara dan akan hancur, namun ia boleh meng- hasilkan buah yang kekal abadi, dan memperlihatkan jelmaan-jelmaan indah daripada jelmaan-jelmaan al-Asma al-Husna yang kekal abadi ...sekalipun kelazatan-kelazatannya sedikit, namun kelembutan, kemuliaan dan kelebihan Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani adalah kelazatan hakiki yang tidak akan hilang atau binasa ... meskipun kesakitan-kesakitannya banyak, namun kesakitan-kesakitan itu sebenarnya melahirkan kelazatan maknawi dari sudut pembalasan ukhrawi. Oleh kerana lingkaran yang dibenarkan syarak sudah mencukupi untuk roh, hati dan jiwa mengambil kelazatan dan keseronokan masing-masing, maka tidak perlu lagi ia memasuki kawasan-kawasan terlarang, kerana jika satu sahaja kelazatan dikecap daripada kawasan terlarang tersebut, maka ia mungkin akan menyebabkan seribu satu kesakitan. Tambahan pula ia akan menjadi sebab terhalangnya seseorang daripada mendapat kelazatan kemuliaan Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mulia, iaitu kelazatan yang murni, harum dan kekal abadi. Jelas daripada apa yang telah diterangkan bahawa jalan kesesatan akan menghumban manusia ke jurang yang paling dalam sehingga melemahkan mana-mana tamadun atau mana-mana falsafah untuk mencari jalan penyelesaiannya, bahkan melemahkan kemajuan dan ketinggian ilmu yang dicapai mereka untuk mengeluarkan mereka daripada kepekatan kegelapan kesesatan itu.Al-Quran al-Karim pula dapat memimpin manusia dengan iman dan amal salih serta meninggikan kedudukannya; daripada kedudukan yang rendah kepada kedudukan yang paling tinggi. Al-Quran menjelaskan bukti-bukti yang pasti dan membentangkan keterangan-keterangan yang jelas nyata tentangnya, lalu ia menimbus lubang yang dalam dengan peningkatan maknawi dan dengan peralatan penyempurnaan jiwa. Ia juga memudah dan meringankan manusia secara mutlak daripada segala kesulitan perjalanannya yang panjang, memenat dan menyusahkannya ketika menuju ke arah keabadian. Itu dilakukan dengan al-Quran menampilkan sarana dan perantara yang boleh digunakan bagi memintas jalan yang biasanya dilalui dalam tempoh seribu tahun, bahkan lima puluh ribu tahun, tetapi dapat dilalui dalam masa hanya sehari.Al-Quran juga memakaikan jilbab ubudiyyah kepada manusia sehingga manusia layak berperanan sebagai hamba Allah yang menurut perintah, atau sebagai tetamu yang bertugas di sisi Tuhan Yang Maha Mulia. Iaitu dengan al- Quran memperkenalkan bahawa Allah S.WT adalah Tuhan Yang Memiliki Azali dan Abadi, dan Dia menjamin kerehatan yang sempurna ketika manusia bersiar-siar di dunia tempat pertemuan atau di alam barzakh serta di alam akhirat tempat kediaman.Sebagaimana seseorang pegawai yang ikhlas bertugas untuk seorang sultan, dapat pergi ke mana-mana dengan segala kemudahan yang diberikan di dalam kawasan sempadan kekuasaannya dan dia boleh ke sana ke mari di dalam kawasan wilayah pemerintahannya dengan kenderaan yang laju seperti kapal terbang, kapal laut dan kereta api. Begitu juga keadaannya dengan seseorang yang dengan keimanannya dia mempunyai hubungan dengan Tuhan Pemilik Azali, maka dengan amalan salihnya dia dapat melalui kediaman-kediaman dunia tempat pertemuan ini dan kawasan-kawasan di alam barzakh dan alam akhirat serta antara sempadan kedua-duanya yang amat luas seluas mata memandang, tetapi dia dapat melaluinya sepantas kilat dan buraq, sehingga dia menemui kebahagiaan abadi. Al-Quran membuktikan hakikat-hakikat ini dengan pembuktian yang putus dan menampilkannya dengan jelas bagi para wali yang suci murni hati mereka. Tambahan pula hakikat al-Qur’an berkata bahawa; Wahai mukmin!Janganlah engkau menumpahkan kebolehan engkau yang tidak terbatas untuk berkasih sayang itu kepada diri engkau yang ammarah bissu’ kerana ia adalah hodoh dan mempunyai kekurangan, ia juga jahat dan memudaratkan engkau. Janganlah engkau menjadikannya kekasih dan buah hati engkau. Janganlah engkau menjadikan hawa nafsunya sebagai sembahan engkau. Tetapi jadikan kekasih engkau orang yang layak mendapat kasih sayang yang tidak berpenghujung. Iaitu Tuhan Yang Maha Berkuasa memberikan ihsan (kebaikan) yang tidak berkesudahan kepada engkau. Tuhan Yang Maha Berkuasa membahagiakan engkau dengan kebahagiaan yang juga tidak berakhiran. Bahkan Dia juga boleh memberikan kebahagiaan kepada engkau dengan Dia memperbanyakkan kebaikan-kebaikannya kepada semua orang yang mempunyai hubungan dengan engkau. Dialah Tuhan yang mempunyai kesempurnaan yang mutlak, keindahan yang kudus dan yang suci daripada sebarang kekurangan, ketidaksempurnaan, kehilangan dan kebinasaan. KeindahanNya tidak bersempadan dan kesemua namaNya adalah indah dan cantik.Ya. Sesungguhnya pada setiap nama Allah Taala terdapat cahaya-cahaya kecantikan dan keindahan yang tidak berkesudahan. Syurga dengan segala kehalusan, keindahan dan kenikmatannya hanyalah jelmaan bagi menzahirkan keindahan rahmat-Nya dan kerahmatan keindahan-Nya. Segala keindahan, kecantikan, kebaikan, kesempurnaan yang dikasihi dan disukai di dunia ini adalah isyarat kepada keindahan-Nya dan dalil yang menunjukkan kepada kesempurnaan-Nya. Ia juga berkata:Wahai manusia! Punca-punca kasih sayang yang terpancar daripada batin engkau, yang tertuju kepada Allah S.W.T, yang berkait dengan al-Asma’ al-Husna dan yang terpesona dengan sifat-sifat-Nya yang mulia, maka janganlah engkau mengorbankannya dengan engkau bergantung kepada makhluk-makhluk yang binasa. janganlah engkau mempersia-siakannya tanpa sebarang faedah terhadap makhluk-makhluk yang akan hilang. Ini kerana semua kesan dan makhluk akan binasa, sedangkan al-Asma’ al-Husna yang jelas kelihatan penjelmaan dan keindahannya terhadap semua kesan dan buatan adalah bersifat kekal dan abadi. Pada setiap nama (isim) daripada al-Asma’ al-Husna dan pada setiap sifat yang kudus terdapat ribuan martabat kebaikan dan keindahan, serta ribuan tingkatan kesempurnaan.Jika engkau melihat kepada nama al-Rahman sahaja, engkau akan dapati bahawa syurga adalah salah satu daripada penjelmaannya, kebahagiaan abadi adalah salah satu daripada kilatannya dan segala rezeki serta nikmat yang terhambur di sana-sini di seluruh pelusuk dunia adalah salah satu daripada titisannya. Maka perhatikanlah betul-betul ayat-ayat al-Quran yang mengisyaratkan kepada perbandingan dan pertimbangan ini di antara hakikat ahli kesesatan dan ahli iman dari sudut kehidupan di dunia dan dari sudut tugas yang dilaksanakan.Firman Allah S.W.T (Surah al-Tin ayat 4-6): ۞ لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ۞ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ۞Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkeleng- kapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalah- gunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”Perhatikan juga ayat berikut (Surah al-Dukhan ayat 29):فََمابََكْتَ علَْيِهُم الَّسَٓماُءَ واْلَّاَْرُض Maksudnya: “Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya).”Ayat-ayat ini menunjukkan kepada akibat buruk setiap golongan manusia itu. Perhatikanlah kedua-duanya nescaya engkau akan dapati betapa tinggi nilai dan mukjizat kedua- duanya dalam menerangkan pertimbangan dan perbandingan yang telah kami lakukan. Manakala bagi ayat pertama, untuk menerangkan secara ringkas hakikat mukjizat yang terkandung di dalamnya, kami menyerahkan kepada Kalimah Kesebelas yang telah menerangkannya dengan huraian yang terperinci. Manakala bagi ayat kedua pula, kami akan menunjukkan secara ringkas sahaja kepada sejauhmana ia menerangkan tentang suatu hakikat yang tinggi, iaitu: Ayat ini berbicara dengan berkata: Sesungguhnya langit dan bumi tidak menangisi kematian ahli kesesatan. Melalui kaedah mafhum mukhalif , ayat ini menunjukkan bahawa langit dan bumi menangisi pemergian ahli iman daripada dunia ini. Maksudnya, ahli kesesatan mengingkari tugas-tugas langit dan bumi dan menuduh bahawa kewujudan langit dan bumi hanyalah sia-sia sahaja. Ahli kesesatan juga tidak memahami tugas yang dilaksanakan oleh kedua-duanya, lalu mereka tidak memberikan hak yang seharusnya diberikan kepada kedua-duanya, bahkan mereka tidak mengenali Tuhan kedua-duanya dan tidak memahami bagaimana kedua-duanya menunjukkan kepada Tuhan yang membuat mereka berdua. Lalu mereka memusuhi, menghina dan mencemuh langit dan bumi. Oleh itu, amat sesuailah jika langit dan bumi tidak menangisi pemergian dan kematian mereka, bahkan langit dan bumi bermohon agar mereka dicelakakan agar ia merasa kerehatan dengan kemusnahan mereka. Berdasarkan mafhum mukhalif juga, ayat-ayat tersebut berkata bahawa langit dan bumi menangisi kematian ahli iman kerana mereka mengetahui dan menghargai tugas-tugas langit dan bumi dengan selayaknya. Mereka juga membenarkan semua hakikat langit dan bumi serta mereka memahami berdasarkan keimanan mereka tentang apakah pengertian-pengertian yang ditunjukkan oleh langit dan bumi. Setiap kali mereka membuat pemerhatian kepada langit dan bumi, mereka berkata dengan penuh takjub: “Alangkah indahnya tugas-tugas yang dilaksanakan oleh langit dan bumi!” Lalu mereka memberikan penghargaan dan penghormatan selayaknya kepada langit dan bumi. Mereka menyebarkan kasih sayang mereka kepada langit dan bumi berdasarkan kasih sayang mereka kepada Allah S.W.T, iaitu kerana Allah S.W.T, dengan menganggap langit dan bumi sebagai cermin yang memantulkan jelmaan nama-nama Allah S.W.T yang indah (al-Asma’ al-Husna). Oleh itu, langit bergegar dan bumi berdukacita kerana kematian ahli iman seolah-olah kedua-duanya menangisi kehilangan mereka. Satu Soalan Penting Kamu berkata: Kasih sayang bukanlah suatu perkara yang kita mempunyai pilihan padanya. Ia tidak berada di bawah kehendak kita. Berdasarkan keperluan fitrah, saya sukakan makanan-makanan yang lazat dan buah-buahan yang enak. Saya cintakan ibu bapa, anak-anak dan isteri saya yang merupakan teman hidup saya. Saya cintakan para nabi yang dimuliakan dan para wali yang salih. Saya cintakan zaman muda dan kehidupan saya. Saya cintakan musim bunga dan semua benda yang indah. Dengan perkataan yang lebih ringkas, saya cintakan dunia ini. Bukankah saya boleh mencintai semua ini? Tetapi bagaimana saya boleh menukar semua jenis cinta ini kepada Allah S.W.T kepada nama-namaNya yang indah, sifat-sifat-Nya yang mulia dan zat diri-Nya yang suci? Apakah maknanya ini? Jawapan: Anda hendaklah mendengar kepada empat noktah berikut: Noktah Pertama: Meskipun kasih sayang atau cinta bukanlah suatu yang kita mempunyai pilihan padanya, tetapi ia boleh dialih dengan kehendak kita daripada seorang kekasih kepada kekasih yang lain. Seperti ketika keburukan dan hakikat sebenar seseorang kekasih terdedah, atau diketahui bahawa kekasih itu hanya sebagai hijab atau tirai yang menutup kekasih sebenar lagi Seperti ketika keburukan dan hakikat sebenar seseorang kekasih terdedah, atau diketahui bahawa kekasih itu hanya sebagai hijab atau tirai yang menutup kekasih sebenar lagi hakiki yang lebih berhak untuk dicintai, atau sebagai cermin yang memantulkan keindahan kekasih sebenar itu. Ketika itu, kita boleh mengalihkan perasaan kecintaan itu daripada kekasih yang majazi (metafora) kepada kekasih yang hakiki. Noktah Kedua: Kami tidak berkata kepada anda: Berikanlah kasih sayang dan kecintaan kepada semua yang anda telah sebutkan sebelum ini. Tetapi kami berkata jadikanlah kecintaan anda kepada semua yang anda telah sebutkan itu pada jalan Allah S.W.T dan juga kerana-Nya semata-mata: Berlazat-lazat dengan makanan yang enak dan mengecapi buah-buahan yang sedap, dan dalam masa yang sama mengingati bahawa ia adalah kebaikan dan kenikmatan yang datang daripada Allah S.W.T Yang Maha Pemurah (al- Rahman) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim), bermaksud kecintaan kepada nama Allah yang al-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan nama Allah al-Mun’im (Yang Memberikan Nikmat). Lebih daripada itu, ia juga adalah kesyukuran berbentuk maknawi. Bukti bahawa kecintaan ini bukanlah untuk diri sendiri atau kerana nafsu bahkan untuk nama al-Rahman ialah bahawa untuk mendapatkannya, hanya jalan yang halal sahaja digunakan. Di samping sifat qana’ah (berpada dengan apa yang ada) yang tinggi bahawa nikmat-nikmat itu hendaklah hanya diambil daripada kawasan-kawasan yang dibenarkan sahaja. Dan ketika mengambilnya, hendaklah difikirkan bahawa ia adalah nikmat Allah S.W.T yang perlu disyukuri. Kecintaan dan penghormatan anda kepada kedua ibu bapa sebenarnya berpunca daripada kecintaan anda kepada Allah S.W.T. Kerana Dia telah menanam di dalam diri kedua ibu bapa anda perasaan kasih sayang dan belas kasihan sehingga mereka berdua menjaga dan mendidik anda dengan perasaan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan. Tanda yang menunjukkan bahawa ia adalah kasih sayang kerana Allah S.W.T, ialah bersangatan mencintai dan menghormati kedua-duanya apabila mereka mencapai umur tua yang ketika itu anda tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka. Tetapi anda tetap melimpahkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan terhadap mereka meskipun anda sendiri mengalami pelbagai kesulitan yang membebankan. Firman Allah S.W.T (Surah al-Isra’ ayat 23-24): إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ۞ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا Maksudnya:“Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua- duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ha”, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”Ayat di atas menyeru anak-anak agar memelihara hak kedua ibu bapa dalam lima peringkat. Ia juga menerangkan sejauhmana kepentingan berbuat baik kepada keduanya dan kejelekan menderhakai keduanya. Seseorang tidak boleh menerima bahawa dia diatasi oleh orang lain, kecuali oleh anaknya sendiri. Kerana dari segi fitrah, seseorang bapa tidak menyimpan sebarang perasaan hasad dengki terhadap anaknya. Ini menyebabkan si anak tidak boleh menuntut sesuatu hak daripada ayahnya, kerana pertikaian biasanya berlaku daripada perasaan hasad dengki dan persaingan di antara dua individu, atau timbul daripada penafian hak orang lain. Seseorang bapa terselamat daripada kedua-duanya secara fitrah. Oleh sebab itu, seseorang anak tidak berhak untuk membuat dakwaan di mahkamah terhadap bapanya. Bahkan ketika dia melihat bapanya melakukan sesuatu di luar batasan, maka dia tetap tidak boleh menderhakainya. Maksudnya bahawa sesiapa yang menderhakai dan menyakiti kedua ibu bapanya, maka dia adalah seorang yang bertukar menjadi haiwan yang buas. Kasih sayang dan kecintaan kepada anak-anak juga sebenarnya adalah kasih sayang kepada Allah S.W.T dan kembali kepada kecintaan-Nya, iaitu dengan menjaga mereka dengan penuh belas kasihan dan kasih sayang, dengan menganggap mereka sebagai kurniaan Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mulia. Manakala tanda yang menunjukkan bahawa kasih sayang tersebut adalah untuk Allah S.W.T dan pada jalanNya ialah kesabaran berserta dengan kesyukuran ketika berlaku bala bencana, terutamanya ketika kematian, tidak merasa kecewa, putus asa untuk terus berdoa, bahkan wajib berserah kepada Allah S.W.T dan memuji-Nya ketika berlaku ketentuan tersebut. Seolah-olah dia berkata: Sesungguhnya makhluk ini adalah kekasih dan dimiliki oleh Tuhan yang Maha Mencipta lagi Maha Mulia. Tuhannya telah mengamanahkannya kepadaku untuk suatu tempoh masa tertentu. Sekarang hikmat kebijaksanaan-Nya menuntut agar ia diambil dariku untuk dibawa ke tempat lain yang lebih selamat dan lebih baik. Jika pada zahirnya aku hanya memiliki satu bahagian sahaja daripada makhluk tersebut, maka Allah S.W.T mempunyai seribu bahagian hakiki padanya. Oleh itu, kita mesti berserah kepada hukum ketentuan Allah S.W.T. Manakala kasih sayang kepada rakan-rakan dan kawan-kawan pula, jika mereka terdiri daripada ahli iman dan taqwa, maka perasaan kasih dan sayang kepada mereka sebenarnya berada pada jalan Allah S.W.T dan berpunca daripada-Nya, kerana memenuhi tuntutan ‘berkasih sayang kerana Allah S.W.T’ . Kemudian kasih sayang kepada isteri yang merupakan teman hidup anda, maka anda hendaklah mengasihinya sebagai suatu hadiah yang mesra dan bahagia daripada hadiah kerahmatan ilahi buat anda. Awaslah anda daripada mengaitkan kecintaan anda itu dengan ikatan kecantikan zahir yang segera hilang, bahkan anda hendaklah mengikat kasih sayang anda itu dengan keindahan yang tidak akan hilang, bahkan akan bertambah bersinar dari sehari ke sehari, iaitu keindahan akhlak, perilaku kehidupan yang baik yang tersemai di dalam kewanitaan dan kelembutannya. Keindahan paling manis dan murni yang terdapat pada seseorang isteri ialah perasaan belas kasihannya yang suci murni lagi bersinar. Keindahan belas kasihan dan keelokan perilaku ini akan berkekalan dan semakin bertambah hingga ke penghujung umur. Dengan mengasihi kedua-duanya, segala hak makhluk yang lembut dan lemah ini akan terpelihara dan terjaga. Tanpanya pula, segala hak makhluk tersebut akan hilang daripadanya pada waktu yang dia sangat berhajat kepadanya, iaitu ketika dia kehilangan kecantikan zahirnya. Manakala kasih sayang kepada para nabi dan para wali yang salih, maka ia juga berlaku kerana Allah S.W.T dan pada jalanNya, dari sudut mereka adalah hamba Allah S.W.T yang ikhlas lagi diterima di sisiNya. Dari sudut ini, kasih sayang tersebut terjadi kerana Allah S.W.T. Demikian juga dengan kehidupan ini yang dikurniakan Allah S.W.T kepada anda dan kepada manusia lain. Ia adalah modal besar yang dengannya anda mampu mendapat kehidupan akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah khazanah agung yang mengandungi segala kelengkapan dan kesempurnaan yang kekal. Oleh itu, menjaga dan mengasihi kehidupan dari sudut ini serta mempergunakannya demi kerana Allah S.W.T sahaja, adalah kembali kepada Allah S.W.T juga. Demikian juga dengan kasih sayang kepada keremajaan, ketampanan dan kelembutan mereka, serta menghargainya sebagai satu daripada nikmat Allah S.W.T yang indah, kemudian berusaha untuk mempergunakannya dengan sebaik-baiknya, juga merupakan kasih sayang yang dibenarkan syarak, bahkan patut mendapat penghargaan. Kemudian perasaan kasih sayang kepada musim bunga dan merinduinya adalah juga berlaku kerana Allah S.W.T dan tertuju kepada nama-nama-Nya yang indah (al-Asma’ al- Husna), dari sudut bahawa ia adalah lembaran paling indah yang menampilkan cahaya jelmaan ukiran al-Asma’ al-Husna dan bilik pameran paling agung bagi mempamerkan keindahan seni buatan Rabbani. Maka berfikir dan mengenang musim bunga dari sudut ini adalah kasih sayang yang tertuju kepada nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna) yang Maha Indah. Bahkan kecintaan dan keberahian kepada dunia akan bertukar menjadi kasih sayang kerana Allah S.W.T dari sudut jika dunia dipandang sebagai ladang akhirat, cerminan al-Asma’ al-Husna, risalah Rabbani kepada seluruh makhluk dan rumah sebagai tempat persinggahan sementara para tetamu, tetapi dengan syarat tiada campur tangan jiwa yang sentiasa menyuruh kepada keburukan (al-nafs al-ammarah bi al-su’) ke dalam kasih sayang tersebut. Ringkasnya:Jadikanlah kecintaan anda kepada dunia dan segala yang terdapat di dalamnya dengan maknanya yang harfi (literal), bukan dengan makna namanya, iaitu kerana suatu pengertian yang terdapat di dalamnya, bukan kerana dirinya semata-mata. Janganlah anda berkata tentang sesuatu: “Alangkah indahnya ia!” Tetapi berkatalah: “Alangkah indah Penciptaannya!” Awaslah daripada batin hati anda dimasuki oleh kecintaan kepada selainNya walaupun sedikit, kerana batin hati anda adalah cermin dan khusus bagi Allah S.W.T sahaja. Katakanlah:“Ya Allah! Rezekikan kepada kami kecintaan kepada Engkau dan kecintaan kepada sesuatu yang boleh mendekatkan kami kepada Engkau. ” Demikianlah, jika segala jenis-jenis kecintaan yang telah kami sebutkan di atas dihalakan ke arah yang betul dalam bentuknya yang dinyatakan di atas, iaitu ia berlaku kerana Allah S.W.T dan pada jalanNya, maka ia akan memberikan kelazatan hakiki yang sedikitpun tidak mempunyai sebarang kesakitan.Ia juga adalah penyambungan sebenar-benarnya, bukan kehilangan. Bahkan ia menambahkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T. Lebih dari itu, ia juga adalah kecintaan yang dibenarkan, kesyukuran terhadap kelazatan kurniaan-Nya dan pemikiran terhadap nikmat-Nya, iaitu terhadap kecintaan itu sendiri. Satu contoh perbandingan untuk penjelasan: Jika seorang raja yang berkuasa menghadiahkan anda sebiji epal, sebagai contoh, maka anda akan menyimpan dua jenis kecintaan dan anda akan berlazat dengannya menerusi dua bentuk kelazatan: Pertama: Kecintaan yang kembali kepada epal itu sendiri, dari sudut ia adalah buah yang enak dan lazat berdasarkan ciri-cirinya tersendiri. Kecintaan ini tidak kembali kepada raja. Bahkan sesiapa yang memakan epal itu dengan penuh lahap di hadapan raja, maka dia hanya memperlihatkan kecintaannya kepada epal itu, tidak kepada raja. Mungkin raja itu memandang jengkel perbuatan tersebut, dan tidak sukakan kecintaan yang bersangatan terhadap diri sendiri itu. Tambahan pula, kecintaan kepada epal itu hanyalah berbentuk sebahagian (juz’ie) dan ia akan hilang, kerana dengan semata-mata selesai memakannya, kelazatan akan hilang dan membuahkan perasaan dukacita. Kedua: Iaitu kerana mendapat penghormatan diraja dan kurniaannya yang terhormat yang terjelma melalui pengurniaan buah epal tersebut. Seolah-olah buah epal itu adalah contoh bagaimana raja tersebut memberikan perhatian kepadanya, atau pemberian buah epal itu adalah pujian yang berbentuk benda daripadanya. Maka orang yang menerima hadiah daripada raja dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan, sepatutnya melahirkan kasih sayangnya kepada raja tersebut, bukan kepada buah epal yang diperolehinya. Perlu dinyatakan bahawa buah epal yang menjadi jelmaan dan tanda penghormatan diraja itu memiliki seribu kali kelazatan lebih tinggi daripada mana-mana buah epal lain. Kelazatan ini ialah kesyukuran sebenarnya. Kecintaan ini pula adalah kecintaan yang mempunyai penghormatan dan penghargaan yang selayaknya bagi seseorang raja. Demikianlah ketika seseorang menghalakan kecintaannya kepada nikmat dan buah-buahan itu sendiri dengan penuh kelalaian, dia hanya berlazat-lazat dengan kelazatannya yang material semata-mata, maka kecintaan nafsu itu hanya kembali kepada hawa nafsunya sahaja, dan kelazatan tersebut akan hilang dan menyakitkan. Manakala jika kecintaan tersebut tertuju kepada sudut kemuliaan yang dikurniakan Allah S.W.T, tertuju ke arah kelembutan rahmat-Nya, tertuju kepada buahan kebaikan-Nya, dengan menghargai segala tingkatan kebaikan dan kelembutan-Nya, meskipun mendapat kelazatan sepenuhnya, maka ia adalah kesyukuran maknawi, bahkan ia adalah kelazatan yang tidak akan menyebabkan kesakitan. Noktah Ketiga: Sesungguhnya kecintaan yang tertuju kepada al-Asma’ al-Husna mempunyai beberapa tingkatan. Kadang-kadang kecintaan tersebut tertuju kepada al-Asma’ al-Husna kerana kecintaan kepada kesan-kesan Ilahi yang banyak terdapat di seluruh alam maya ini, sebagaimana yang telah kami terangkan sebelum ini. Kadang-kadang ia tertuju kepada al-Asma’ al-Husna kerana ia adalah lambang kesempurnaan tertinggi Ilahi. Kadang-kadang seseorang manusia rindu kepada al-Asma’ al-Husna kerana keperluannya yang bersangatan kepada-Nya. Ini kerana manusia pada hakikatnya adalah seseorang yang amat memerlukan dan keperluannya tidak terbatas, sementara al-Asma’ al-Husna pula bersifat umum dan boleh merangkumi segalanya. Maksudnya manusia mencintai al-Asma’ al-Husna dengan dorongan keperluan kepada al-Asma’ al-Husna itu sendiri. Kami akan jelaskan perkara ini dengan satu perumpamaan:Bayangkan bahawa anda sedang berada dalam keadaan lemah dan amat memerlukan seseorang yang boleh membantu dan menyelamatkan kaum kerabat anda dan golongan fakir miskin, atau makhluk-makhluk lain yang lemah lagi memerlukan, yang anda sayang dan belas kasihan terhadap mereka. Tiba-tiba muncul seseorang di hadapan anda lalu memberikan kesenangan, kenikmatan dan kelazatan kepada mereka sebagaimana yang anda inginkan. Maka bayangkanlah betapa gembiranya hati anda dan betapa lapangnya dada anda terhadap nama orang tersebut yang bersifat al-Mun’im (yang Memberikan Nikmat) dan al-Karim (yang Pemurah). Bayangkanlah juga betapa gembira dan leganya perasaan anda daripada kedua-dua nama keramat tersebut. Bahkan orang tersebut sudah pasti mendapat kekaguman dan penghargaan tinggi anda, serta kecintaan anda akan tertuju kepadanya dengan dua nama (al-Mun’im dan al-Karim) tersebut!Melalui perumpamaan ini, perhatikanlah dua nama sahaja daripada al-Asma’ al-Husna iaitu al-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Anda akan dapati bahawa seluruh orang-orang beriman yang terdiri daripada para bapa, datuk terdahulu, semua orang yang dikasihi, kaum kerabat dan kawan-kawan, kesemua orang-orang yang anda sayangi, kasihi dan cintai itu diberikan pelbagai jenis nikmat yang lazat, kemudian mereka digembira dan dibahagiakan pula di akhirat dengan pengurniaan nikmat yang baik dan lazat, bahkan Allah S.W.T menambahkan lagi kenikmatan tersebut dengan memberikan kebahagiaan dan kenikmatan kerana dapat bertemu sesama sendiri dan dengan dapat melihat keindahan abadi di sana. Maka alangkah layaknya nama al-Rahman dan al-Rahim untuk dikasihi dan dicintai! Alangkah rindunya jiwa manusia kepada kedua- duanya! Maka bandingkanlah sendiri untuk anda memahami sejauh mana kebenaran kata-kata kami di atas. Segala puji- pujian bagi Allah Tuhan Sekalian alam terhadap sifat pemurah dan kasih sayang-Nya. Anda juga berkait dengan segala makhluk yang wujud bertebaran di seluruh alam. Anda merasa sakit dengan kesakitan yang dialami oleh mereka. Seolah-olah dunia keseluruhannya adalah kediaman anda yang cantik dan rumah anda yang disukai. Jika anda memerhatikan dengan mendalam, anda dapati kerinduan yang membara dan keperluan yang tinggi di dalam roh anda kepada sifat atau nama al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) dan al-Murabbi (Yang Mendidik atau Mengasuh) bagi Tuhan yang Mentadbir makhluk-makhluk ini keseluruhannya dengan hikmat kebijaksanaan yang sempurna, susunan yang teliti, pentadbiran yang unggul dan pentarbiahan yang penyayang. Kemudian, jika anda terus memerhatikan dengan pandangan yang mendalam, kepada kemanusiaan keseluruhannya, anda akan dapati bahawa anda tertakluk kepada mereka, merasa sakit dengan keadaan mereka yang mendukacitakan dan merasa amat merana dengan kehilangan dan kematian mereka. Tiba-tiba ruh anda merindui nama atau sifat al-Warith (Yang Maha Mewarisi) dan al-Ba’ith (Yang Membangkitkan), serta memerlukan kepada nama al-Baqi (Yang Maha Kekal), al-Karim (Yang Maha Mulia), al-Muhyi (Yang Menghidupkan), al-Muhsin (Yang Berbuat Kebaikan) bagi Tuhan Yang Maha Mencipta lagi Maha Mulia, yang menyelamatkan mereka daripada kegelapan ketiadaan dan meletakkan mereka di tempat tinggal yang lebih indah dan lebih baik daripada dunia ini. Oleh kerana hakikat manusia adalah tinggi dan fitrahnya adalah bersifat memerlukan, maka ia memerlukan sebanyak seribu satu keperluan kepada seribu satu nama daripada al- Asma’al-Husna dan kepada pelbagai martabat daripada setiap nama itu. Keperluan yang berganda-ganda itu ialah kerinduan. Kerinduan yang berganda-ganda itu pula ialah kecintaan. Kecintaan yang berganda-ganda pula adalah keasyikan. Sekadar mana sempurnanya roh seseorang, maka sekadar itulah tertampilnya martabat kecintaan mengikut martabat nama-nama tersebut. Kecintaan kepada kesemua nama-nama tersebut juga akan bertukar kepada kecintaan kepada Allah yang Maha Mulia lagi Maha Suci, kerana nama-nama tersebut adalah tajuk dan penjelmaan diri Allah S.W.T itu sendiri. Sekarang kami akan menerangkan satu martabat sahaja daripada seribu satu nama daripada al-Asma’ al-Husna. Sebagai contoh, kami akan menerangkan satu martabat sahaja daripada seribu satu martabat yang terdapat pada nama-nama al-‘Adl (Yang Adil), al-Hakam (Yang Bijaksana), al-Haqq (Yang Benar) dan al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Penjelasannya adalah seperti berikut: Jika anda mahu menyaksikan bagaimana kebijaksanaan dan keadilan terkandung di dalam nama-nama al-Rahman (Yang Maha Pemurah), al-Rahim (Yang Maha Mengasihani) dan al-Haqq (Yang Benar) di dalam lingkungan yang luas dan besar, maka perhatikanlah contoh berikut:Terdapat satu angkatan tentera yang besar mengandungi empat ratus unit yang pelbagai. Setiap unit berbeza daripada unit yang lain dengan pakaian tersendiri, makanan tertentu dan alat senjata tersendiri yang mudah digunakan, begitu juga dengan jenis rawatan yang diterima. Meskipun perbezaan dalam semua perkara ini wujud, namun kesemua keempat-empat ratus unit tersebut tidak terpisah dan tidak terpecah kepada kumpulan-kumpulan dan puak-puak tersendiri. Bahkan kesemuanya bergabung sesama sendiri tanpa dapat dibezakan. Jika terdapat seorang pemerintah yang mampu memberikan bagi setiap unit tersebut pakaian yang sesuai, makanan yang menasabah, rawatan yang diperlukan, senjata yang berpadanan, tanpa terlupa, keliru dan berkecamuk, dan tanpa mempunyai penolong dan pembantu, bahkan dia sendiri yang mengagih-agihkannya kepada mereka, berdasarkan sifat rahmat, belas kasihan, qudrat (kekuatan), ilmu yang mengatasi dan pengetahuan yang meliputi segala perkara, di samping keadilan terunggul dan kebijaksanaan sempurna... ya jika terdapat seorang pemerintah yang demikian sifatnya yang tidak mempunyai bandingan, dan anda sendiri menyaksikan dengan mata kepala anda sendiri hasil kerjanya yang menakjub dan mengkagumkan, maka pada ketika itu, anda akan mengetahui betapa besar kekuasaan, belas kasihan dan keadilannya. Ini kerana penyediaan satu batalion tentera yang merangkumi sepuluh puak yang berbeza dengan alat kelengkapan yang berlainan serta pakaian yang beraneka, sudahpun merupakan satu tugas yang amat sukar dan sulit, sehingga terpaksa memperlengkapkan mereka dengan fesyen atau stail pakaian dan peralatan tertentu, meskipun setiap puak terdiri daripada satu bangsa tertentu sahaja. Jika anda ingin melihat melalui perumpamaan ini bagaimana nama Allah al-Haqq (Yang Maha Benar), al- Rahman (Yang Maha Pemurah) dan al-Rahim (Yang Maha Penyayang) terkandung di dalam keadilan dan kebijaksanaan, maka layangkan dan terawangkan pandangan anda ketika musim luruh kepada khemah-khemah yang didirikan di atas permukaan bumi untuk didiami oleh empat ratus ribu bangsa yang pelbagai. Mereka mewakili angkatan tentera tumbuh- tumbuhan dan haiwan. Tumpukan pandangan anda kepada mereka, nescaya anda akan dapati bahawa kesemua bangsa dan etnik tersebut adalah bercampur baur. Pakaian mereka pula berbeza. Rezeki mereka juga pelbagai. Senjata mereka adalah berbeza. Cara hidup mereka juga berlainan. Latihan yang dijalani dan taklimat serta arahan yang diberikan juga berbeza. Waktu kerahan kerja dan cuti mereka juga tidak sama. Dalam masa yang sama, mereka tidak mempunyai lidah yang boleh digunakan untuk memohon agar segala keperluan dan kehendak mereka dipenuhi dan disempurnakan. Meskipun demikian, setiap mereka diurus dan ditadbir dengan nama al-Haqq, al-Rahman, al-Razzaq, al-Rahim dan al-Karim, tanpa mengalami sebarang kecelaruan dan kelupaan dalam lingkungan kebijaksanaan dan keadilan berdasarkan neraca yang teliti dan sistem yang mantap. Saksikanlah penjelmaan ini (iaitu penjelmaan nama-nama Allah S.W.T tersebut dalam apa yang berlaku). Adakah mungkin orang yang lain dari Allah S.W.T boleh campur tangan dalam aktiviti ini yang diuruskan dengan penuh tersusun dan sistematik serta berdasarkan pertimbangan yang amat teliti? Adakah mungkin orang lain boleh menghulurkan tangannya atas apa sebab sekalipun untuk turut serta dan campur tangan dalam perbuatan yang amat menakjubkan, pengurusan yang amat bijaksana, rububiyyah yang amat pemurah dan pentadbiran yang menyeluruh itu selain daripada Allah S.W.T yang bersifat dengan Keesaan, bijaksana dan berkuasa di atas segala sesuatu? Noktah Keempat: Anda berkata:Sesungguhnya saya juga mempunyai pelbagai jenis kasih sayang di dalam diri saya. Sama ada yang berkait dengan makanan yang lazat, yang berkait dengan diri saya sendiri, atau berkait dengan isteri dan anak-anak saya, yang berkait dengan ibu bapa saya, yang berkait dengan semua orang yang saya kasihi, yang berkait dengan kawan-kawan saya, yang berkait dengan para wali yang salih dan para nabi yang dimuliakan. Bahkan kasih sayang saya berkait dengan semua benda yang indah, khususnya musim luruh yang indah itu dan dunia ini secara umumnya. Jika pelbagai jenis kasih sayang tersebut berjalan sebagaimana diperintahkan oleh al-Quran al-Karim, maka apakah hasil dan faedahnya? Jawapan:Sesungguhnya penerangan tentang semua hasilnya serta penjelasan tentang semua faedahnya memerlukan kepada penulisan sebuah kitab yang besar. Oleh itu, kami hanya akan menyebutkan satu atau dua sahaja hasilnya secara ringkas. Pertamanya, kami akan menerangkan hasil-hasilnya yang diperolehi di dunia, kemudian selepas itu, kami akan menerangkan pula hasil-hasil yang akan lahir di akhirat. Ia adalah seperti berikut: Kami telah sebutkan sebelum ini bahawa pelbagai jenis kasih sayang yang terdapat di sisi golongan yang lalai dan yang hanya mementingkan keduniaan sahaja, yang kasih sayang mereka lahir hanya untuk memenuhi kehendak-kehendak nafsu mereka sahaja, mempunyai hasil yang menyakitkan dan akibat yang mencelakakan, yang terdiri daripada pelbagai macam bala bencana dan kesulitan. Di samping itu, mereka hanya memperoleh sedikit kenikmatan dan secebis kerehatan daripadanya. Sebagai contoh: Belas kasihan akan bertukar menjadi bala bencana yang menyeksakan akibat kelemahan. Kasih sayang akan bertukar menjadi kebimbangan dan kerinduan yang memudaratkan akibat berlaku perpisahan. Kelazatan akan bertukar menjadi minuman yang penuh beracun dengan sebab kehilangan. Manakala di akhirat kesemuanya kekal tanpa memberikan sebarang faedah dan manfaat, kerana ia tidak berlaku kerana Allah S.W.T, bukan setakat itu sahaja, bahkan ia akan bertukar menjadi azab yang pedih jika ia menjatuhkan seseorang kepada perkara-perkara yang haram. Pertanyaan:Bagaimana kasih sayang kepada para nabi yang mulia dan para wali yang salih boleh menjadi suatu yang tidak bermanfaat dan tidak berfaedah? Jawapan:Ia sebagaimana kasih sayang orang-orang Kristian terhadap Nabi Isa a.s. yang percaya kepada konsep triniti, dan sebagaimana kasih sayang golongan al-Rafidah terhadap Sayyidina Ali R.A.! Kasih sayang mereka tidak memberikan sebarang manfaat dan faedah. Jika pelbagai jenis kasih sayang yang engkau telah sebutkan sebelum ini adalah mengikut petunjuk al-Quran al-Karim dan berjalan pada jalan Allah S.W.T dan kerana kecintaan kepadaNya, maka hasilnya yang baik akan berbuah semenjak di dunia lagi, apatah lagi hasilnya yang baik akan berkekalan di akhirat nanti. Manakala hasilnya di dunia ialah: Kecintaan anda terhadap makanan yang lazat dan buah-buahan yang enak merupakan nikmat Ilahi yang tidak dicemari oleh sebarang kesakitan. Kelazatan juga terdapat pada perbuatan bersyukur itu sendiri. Kasih sayang anda terhadap diri anda sendiri iaitu belas kasihan anda terhadapnya, serta usaha keras anda mendidik dan membersihkannya, serta menahannya daripada menuruti segala hawa nafsunya yang ingin melakukan segala kehinaan, menjadikannya mematuhi perintah anda. Maka ia tidak dapat menggoda dan mengongkong anda dengan hawa nafsunya, bahkan ia memimpin dan menuntun anda kepada petunjuk, bukan kepada hawa nafsu.Jika kecintaan anda kepada isteri anda yang merupakan rakan perjalanan dalam kehidupan di dunia ini adalah berasaskan kepada keindahan akhlak dan ketinggian belas kasihannya, serta kerana dia adalah pemberian daripada rahmat Ilahi, maka anda akan memberikan kasih sayang sejati dan kecintaan yang mendalam kepadanya. Isteri anda pula akan membalas kasih sayang tersebut, di samping mempunyai perasaan penghormatan dan penghargaan yang tinggi terhadap anda. Situasi ini akan sentiasa menyubur selagimana anda berdua semakin berusia. Dengan itu, anda berdua akan terus hidup di dalam kebahagiaan dan keindahan dengan izin Allah S.W.T. Tetapi jika kasih sayang tersebut dibina di atas kecantikan luaran yang menjadi sasaran hawa nafsu sahaja, maka ia akan segera layu dan kering, maka kehidupan bersuami isteri juga akan turut terjejas. Manakala kasih sayang anda kepada ayah dan ibu anda, maka ia adalah ibarat ibadat yang anda diberikan pahala kerananya selama mana ia berlaku pada jalan Allah S.W.T. Tidak syak lagi, kasih sayang dan penghormatan anda kepada kedua-dua mereka akan bertambah ketika kedua-duanya mencapai usia yang lanjut. Anda juga akan memperoleh kelazatan rohani yang murni dan kesenangan hati yang sempurna ketika anda memberikan khidmat kepada mereka, ketika anda mencium tangan mereka berdua dan ketika anda memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada mereka dengan penuh keikhlasan. Ketika mempunyai perasaan yang tinggi dan keazaman yang kuat ini, anda menuju kepada Allah S.W.T yang Maha Berkuasa dengan memanjatkan doa agar Allah S.W.T memanjangkan umur mereka agar anda mendapat balasan pahala yang berlebihan. Tetapi jika kasih sayang dan penghormatan tersebut hanya kerana ingin mendapat habuan dunia semata-mata dan hanya lahir daripada hawa nafsu, maka ia akan melahirkan kesakitan rohani yang kelam hasil daripada perasaan dan semangat yang rendah lagi hina, iaitu hanya ingin menjauhkan diri daripada mereka berdua, sedangkan mereka berdua adalah sebab kepada kewujudan dan kehidupan anda. Perasaan buruk itu juga lahir daripada perasaan berat menerima mereka berdua ketika usia mereka yang telah lanjut sehingga menjadi beban yang besar. Bahkan lebih dahsyat lagi jika anda bercita-cita mereka cepat mati dan sentiasa menunggu-nunggu bila berlakunya! Manakala kasih sayang anda kepada anak-anak anda, maka ia adalah kasih sayang terhadap barang amanah yang Allah S.W.T amanahkan kepada anda, agar anda mendidik dan menjaga mereka sebaik-baiknya. Kasih sayang kepada mereka adalah kasih sayang yang diselubungi dengan kebahagiaan dan kegirangan. Dalam masa yang sama, ia juga adalah nikmat Ilahi. Jika inilah perasaan anda, maka janganlah pula anda meresa dukacita terhadap musibah yang menimpa mereka dan janganlah anda menjerit dengan penuh penyesalan jika mereka meninggal dunia. Kerana sebagaimana yang telah kami nyatakan terdahulu, Tuhan yang Mencipta mereka amat mengasihani mereka dan amat bijaksana dalam mengatur urusan mereka. Ketika itu anda hendaklah berkata bahawa sesungguhnya kematian bagi mereka adalah kebahagiaan buat mereka. Jika ini yang anda lakukan, maka anda akan terselamat daripada kesakitan kerana berpisah dengan mereka dan anda akan terfikir bahawa anda sentiasa akan dinaungi dengan rahmat Allah S.W.T. Manakala kasih sayang anda kepada rakan-rakan dan kaum kerabat, oleh kerana ia berlaku kerana Allah S.W.T semata-mata, maka perpisahan dan kematian mereka tidak sekali-kali dapat menghalang persahabatan, persaudaraan, kasih sayang dan keintiman yang abadi dengan mereka. Ini adalah kerana hubungan kerohanian dan kasih sayang maknawi yang tulus itu akan berterusan dan berkekalan yang menyebabkan kelazatan pertemuan dan kenikmatan perjumpaan seolah-olahnya terus berlaku. Tetapi jika kasih sayang tersebut tidak berlaku kerana Allah S.W.T dan bukan pada jalanNya, maka kelazatan pertemuan yang berlaku satu hari sahaja akan menyebabkan kesakitan perpisahan selama seratus tahun. Manakala kasih sayang anda kepada para Nabi A.S. dan para wali yang salih akan menjadikan alam barzakh yang merupakan alam yang gelap dan sepi pada pandangan orang-orang yang sesat dan lalai, sebagai beberapa buah rumah yang memperoleh cahaya daripada mereka. Ketika itu, anda tidak lagi merasa sepi untuk turut menyertai mereka dan tidak lagi merasa takut kepada alam barzakh, bahkan sentiasa rindu kepadanya tanpa mengeruhkan kenikmatan dan kelazatan kehidupan dunia anda. Tetapi jika kasih sayang anda kepada mereka sama seperti kasih sayang kepada golongan-golongan tersohor dan glamor keduniaan yang lain, maka dengan semata-mata terfikir tentang kematian para wali yang mempunyai kesempurnaan itu dan bagaimana jasad mereka akan dimamah oleh bumi di dalam perkuburan agung masa lalu, maka ia akan menambahkan kesakitan kepada kesakitan kehidupan yang telah sedia ada. Ia juga akan mendorong seseorang untuk menggambarkan bahawa dia akan mati dan binasa dengan berkata: “Suatu hari nanti, aku juga akan masuk ke dalam kubur ini yang telah menghancurkan tulang orang-orang yang besar dan agung!” Dia berkata demikian dengan penuh penyesalan dan kebimbangan. Sedangkan pada pandangan pertama, dia melihat mereka sedang berehat dan ceria di alam barzakh yang mempunyai dewan dan serambi masa depan, setelah mereka meninggalkan pakaian jasadiah masa lalu mereka. Dengan itu, dia akan melihat kepada tanah perkuburan dengan pandangan penuh kerinduan dan kemesraan. Manakala kasih sayang anda kepada benda-benda yang indah dan cantik itu hendaklah ia berlaku kerana Allah S.W.T dan pada jalanNya, juga bagi mengenali Tuhan yang Mulia yang telah membuatnya sehinggakan anda berkata: “Alangkah indah ciptaan-Nya!” Kasih sayang ini sendiri adalah tafakkur yang mempunyai kelazatan dan kenikmatan, bahkan ia akan membuka jalan bagi merasai pelbagai kasih sayang kepada sebarang keindahan dan rindu kepada sebarang kecantikan agar anda sentiasa mengintai-gintai untuk mencapai martabat perasaan yang lebih tinggi dan indah. Ia juga akan memperlihatkan kepada anda khazanah berharga yang tersimpan lalu orang yang melihatnya akan tenggelam di dalam kelazatan yang tinggi dan indah. Ini adalah kerana kasih sayang tersebut membuka penglihatan mata hati yang memindahkannya daripada hanya melihat kesan perbuatan Tuhan Yang Maha Membuat lagi Maha Mulia itu kepada melihat keindahan perbuatan-perbuatan-Nya yang menawan, juga memindahkannya daripada hanya melihat keindahan perbuatan kepada keindahan al-Asma’ al-Husna Allah S.W.T, juga daripada hanya melihat keindahan al-Asma’ al-Husna kepada keindahan sifat-sifat-Nya yang mulia, juga daripada hanya melihat kepada keindahan sifat-sifatNya yang mulia kepada keindahan zat-Nya yang suci itu sendiri. Maka kasih sayang dengan cara yang dinyatakan itu adalah ibadat yang mendatangkan kelazatan dan ia juga adalah takaffur pada martabat yang tinggi serta mendatangkan kenikmatan dalam masa yang sama. Manakala kasih sayang anda kepada remaja maka adalah kerana anda menyukai zaman muda anda kerana ia adalah nikmat indah yang dikurniakan Allah S.W.T. Tidak ragu lagi bahawa anda akan mempergunakan zaman muda anda itu untuk beribadat kepada Allah S.W.T bukan dengan membazirkannya dalam perkara-perkara bodoh dan tenggelam di dalam kesesatan. Ini adalah kerana ibadat-ibadat yang anda laksanakan pada zaman muda, ia sebenarnya adalah buah yang enak dan kekal abadi yang dihasilkan oleh zaman yang telah berlalu itu. Oleh itu, selepas anda melangkaui zaman tersebut dan usia anda telah lanjut, maka anda memperoleh hasil yang bertambah-tambah dan bertimbun-timbun serta berkekalan, serta secara berperingkat-peringkat anda terselamat daripada segala penyakit jiwa yang sentiasa memerintahkan kepada perkara-perkara yang jahat dan keburukan yang biasa dilakukan oleh kenakalan zaman muda. Anda berharap kepada Allah S.W.T agar memberikan taufiq kepada anda supaya dapat melakukan ibadat yang lebih banyak pada zaman tua agar anda layak untuk mendapat rahmat Allah S.W.T yang Maha Luas itu. Anda merasa janggal jika diri anda menjadi seperti golongan-golongan lalai yang hanya menghabiskan lima puluh tahun umur zaman muda dan zaman tua mereka dengan menyesali terhadap apa yang telah terluput daripada zaman muda mereka yang penuh kenikmatan itu yang hanya berlangsung selama lima atau sepuluh tahun sahaja. Ini menyebabkan ada penyair menggambarkan penyelasan dan penderitaan mereka dengan berkata: لَي۟تَ الشَّبَابَ يَعُودُ يَو۟مًا فَاُخ۟بِرَهُ بِمَا فَعَلَ ال۟مَشٖيبُ Maksudnya: “Alangkah baik zaman muda kembali sehari Untukku beritahu kelaku orang yang beruban.” Manakala kecintaan anda kepada pemandangan-pemandangan yang indah terutamanya pemandangan pada musim bunga, maka ia adalah kerana anda berkeinginan untuk melihat dan mengintai-ngintai keindahan perbuatan Allah S.W.T. Meskipun musim bunga berakhir, namun kelazatan dan kenikmatan menyaksi serta memandangnya tidak hilang, kerana gambarannya tetap kekal. Maka musim bunga itu serupa dengan surat indah rabbani yang dibuka untuk tatapan para makhluk-Nya. Maka khayalan anda dan musim tersebut sama seperti pita rakaman yang mengekalkan kelazatan menyaksikan pemandangan tersebut dan sentiasa memperbaharui gambaran-gambaran indah yang dibawa oleh musim bunga tersebut. Oleh itu, kasih sayang dan kecintaan anda tidaklah bersifat sementara atau diseliputi dengan dukacita dan penyesalan, bahkan ia adalah kasih sayang dan kecintaan yang murni, suci, lazat dan penuh kenikmatan. Manakala kasih sayang dan kecintaan anda kepada dunia, maka ia adalah kerana kecintaan anda kepada Allah S.W.T dan demi kerana-Nya semata-mata. Dengan itu, segala benda yang menimbulkan ketakutan dan kegerunan yang ada di atas dunia menjadi kawan yang baik bagi anda. Anda juga boleh mengasihi dunia ini atas dasar bahawa ia adalah ladang untuk akhirat. Dengan itu anda boleh memetik setiap benda yang ada di dalamnya, yang boleh dijadikan sebagai buah yang enak di akhirat kelak, atau anda mendapatkan apa sahaja yang ada di dalamnya yang boleh dijadikan sebagai modal anda di akhirat kelak. Segala musibah dunia yang menimpa tidak sedikitpun menakutkan anda. Begitu juga kehilangan dan kemusnahannya sedikitpun tidak membimbangkan anda. Dengan itu, anda menghabiskan tempoh pemukiman anda di dunia sebagai tetamu yang dimuliakan. Tetapi jika kecintaan anda kepada dunia sama seperti kecintaan oleh golongan yang lalai, maka kami telah berkata kepada anda berkali-kali: Diri anda akan tenggelam dan musnah lantaran kecintaan melampau yang mengcekik anda. Kecintaan itu juga akan hilang lenyap dan tidak akan mendatangkan sebarang faedah serta manfaat! Demikianlah kami cuba untuk memperlihatkan kepada anda satu sahaja daripada ratusan akibat bagi setiap perkara yang kami telah sebutkan, ketika kecintaan dan kasih sayang anda berlaku sesuai dengan petunjuk al-Quran yang mulia. Dalam masa yang sama, kami juga telah menyebutkan secara tidak langsung tentang satu sahaja daripada ratusan kemudaratan kasih sayang dan kecintaan tersebut jika ia tidak berlaku selaras dengan perintah al-Quran al-Karim. Jika anda ingin mengetahui hasil-hasil daripada pelbagai jenis kasih sayang dan kecintaan tersebut di alam akhirat yang kekal abadi, sebagaimana yang disebutkan secara tidak langsung oleh ayat-ayat al-Quran yang terang dan nyata, maka di sini kami akan menerangkan kepada anda secara ringkas satu sahaja daripada faedah-faedah akhirat yang diperolehi daripada pelbagai jenis kasih sayang dan kecintaan yang dibenarkan syarak itu. Penerangan itu kami akan lakukan melalui sembilan isyarat, setelah kami mengemukakan satu pendahuluan, sebagaimana berikut: Mukadimah Sesungguhnya Allah S.W.T dengan Uluhiyyah-Nya yang mulia, dengan rahmat-Nya yang indah, dengan Rububiyyah-Nya yang besar, dengan belas kasihan-Nya yang mulia, dengan kudrat-Nya yang agung dan dengan hikmat-Nya yang halus telah menghiasi manusia yang kecil ini dengan pancaindera dan perasaan yang banyak serta beragam. Allah S.W.T mengindahkan manusia dengan anggota, organ dan kelengkapan yang pelbagai agar manusia merasa dan mengecapi semua lapisan rahmat-Nya yang luas dan pelbagai nikmat-Nya yang tidak terhitung. Allah S.W.T juga mahu memperkenalkan manusia dengan pelbagai kebaikan-Nya yang tidak terkira. Di samping itu, melalui anggota dan organ yang banyak itu, Allah S.W.T juga mahu agar manusia melihat pelbagai jenis jelmaan ribuan nama-Nya daripada al-Asma’al-Husna yang tidak terhad itu, agar manusia mengasihinya dan memberikan penghargaan yang sepatutnya. Setiap anggota, setiap kelengkapan dan setiap alat yang ada pada manusia mempunyai tugas yang tersendiri, tugasan ibadat yang khusus, kesakitan yang berlainan dan balasan pahala yang berbeza. Sebagai contoh:Mata: Tugasnya melihat kepada keindahan. Ia dapat melihat mukjizat qudrat Ilahi yang indah yang terdapat pada alam penyaksian, lalu ia menunaikan tugasnya dengan mempersembahkan kesyukuran kepada Allah S.W.T melalui pandangan-pandangannya yang mengandungi kesedaran. Setiap orang tahu betapa besarnya kelazatan yang ada pada pancaindera pandangan dan betapa sengsaranya jika kehilangannya. Oleh itu, tidak perlulah dijelaskan lagi tentang kelazatan melihat dan kesakitan kehilangannya. Telinga: Tugasnya mengesan isyarat-isyarat halus rahmat Ilahi yang berlegar di dunia pendengaran. Ia mendengar pelbagai jenis suara dan alunannya yang lembut dan berbagai-bagai. Ia mempunyai tugas ibadat khusus, kelazatan tersendiri dan balasan pahala yang tertentu. Deria hidu: Yang dapat mengesan isyarat-isyarat halus rahmat Ilahi yang merebak melalui haruman pelbagai jenis wangian dan bauan. Ia memiliki kelazatannya yang tersendiri dalam rangka ia melaksanakan kesyukurannya yang khusus, dan sudah pasti ia juga mempunyai balasan pahala yang tertentu baginya. Deria rasa: Yang terdapat pada mulut. Ia menunaikan tugasnya dan mempersembahkan kesyukuran maknawi dalam pelbagai bentuk melalui rasaannya terhadap pelbagai jenis makanan dan kelazatannya. Demikianlah setiap anggota, deria dan organ manusia serta setiap anggota dalamannya yang utama seperti jantung, roh, akal dan lainnya memiliki tugasannya yang tersendiri dan mempunyai pelbagai kelazatan yang khusus baginya sahaja. Dan satu perkara yang tidak diragukan lagi ialah bahawa Allah Tuhan yang Maha Mencipta lagi Maha Bijaksana yang telah mempermudahkan anggota-anggota tersebut bagi melaksanakan tugasnya masing-masing pasti akan memberikan balasan yang sesuai dan yang berhak diperolehi oleh setiap anggota tersebut. Sesungguhnya hasil segera bagi setiap jenis kasih sayang sebagaimana yang telah disebutkan dapat dirasai oleh setiap orang melalui perasaan dalamannya. Dia pasti dapat merasakannya dan meyakininya melalui gerak hatinya yang benar. Hasilnya di akhirat pula telah dibuktikan oleh dua belas hakikat yang bersinar daripada Kalimah Kesepuluh dan enam asas cemerlang daripada Kalimah Kedua Puluh Sembilan.Manakala huraiannya juga telah terbukti melalui al-Quran al-Karim yang merupakan perkataan paling benar dan susunan kata-kata yang paling indah. Ia adalah kata-kata Allah Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Mengetahui. Semuanya terbukti sama ada melalui perkataannya yang jelas, atau melalui perlambangan, kiasan dan isyarat. Oleh itu, kami berpendapat adalah tidak perlu untuk membawa bukti-bukti yang panjang berkenaan perkara ini. Perlu dinyatakan juga bahawa kami telah pun membawa bukti-bukti yang amat banyak di dalam beberapa Kalimah yang lain, juga di dalam Maqam Kedua Arab daripada Kalimah Kedua Puluh Lapan yang khusus mengenai syurga dan juga di dalam Kalimah Kedua Puluh Sembilan. Isyarat Pertama: Sesungguhnya kecintaan yang dibenarkan dan diberkati dengan kesyukuran kepada Allah S.W.T terhadap segala makanan yang lazat dan buah-buahan yang enak di dunia ini, balasannya di akhirat kelak ialah makanan dan buah-buahan yang baik dan selayaknya dengan syurga yang kekal abadi.. sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran al-Karim. Kecintaan tersebut mempunyai perasaan kerinduan dan kesukaan kepada syurga dan buah-buahan yang terdapat di dalamnya. Sehinggakan buah-buahan yang anda makan di dunia dengan menyebut Alhamdulillah akan terbentuk di dalam syurga sebagai buah-buahan yang khusus dan mempersembahkan kepada anda satu keenakan daripada keenakan-keenakan syurga. Di sini (di dunia) anda memakan sebiji buah, dan di sana (di akhirat) buah tersebut akan terbentuk sebagai sebiji buah daripada buahan syurga. Oleh kerana anda telah mempersembahkan kesyukuran maknawi yang lazat dengan anda melihat pemberian nikmat Ilahi dan sapaan Ketuhanan pada makanan dan buahan yang anda makan di sini (di dunia), maka di sana (di akhirat) iaitu di dalam syurga akan diserahkan kepada anda pelbagai jenis makanan dan buahan yang lazat dan enak. Ini sebagaimana dinyatakan di dalam hadis dan juga melalui isyarat-isyarat di dalam al-Quran al-Karim, juga berdasarkan kehendak hikmat Ilahi dan rahmat-Nya yang Maha Luas. Isyarat Kedua: Kecintaan yang dibenarkan syarak terhadap jiwa, iaitu menyintainya semasa di dunia dengan melihat kepada kekurangan bukan keindahannya, serta percubaan untuk menyempurna, menyucikan, menjaga, mengasihi dan mendorongnya kepada kebaikan, akan membuahkan hasil di akhirat nanti. Hasilnya ialah Allah S.W.T akan memberikan para kekasih yang selayaknya dengan perbuatan-perbuatan tersebut dan juga syurga-Nya. Maka jiwa yang semasa di dunia membenci dirinya sendiri dan juga membenci syahwatnya serta meninggalkan segala kesukaannya kerana Allah S.W.T, dan menggunakan pelbagai peralatan yang ada padanya dengan cara yang paling baik dan sempurna, maka Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pembalasan terhadap kecintaan yang dibenar dan disertai dengan ubudiyyah kepada Allah itu dengan bidadari yang memakai tujuh puluh perhiasan syurga dengan pelbagai perhiasannya, yang bersolek dengan tujuh puluh jenis kecantikan dan keindahan, sehingga mereka kelihatan seolah-olah syurga mini yang mempunyai denyutan ruh dan kehidupan. Dengan itu, jiwa dan perasaan yang taat akan merasa tenang dan tenteram kepada perintah-perintah Allah S.W.T. Hasil ini tidak diragukan lagi akan berlaku, kerana banyak ayat-ayat al-Quran yang menjelaskannya dengan penuh yakin. Kemudian hasil kasih sayang yang tertuju kepada pemuda di dunia, iaitu dengan menghalakan kekuatan zaman muda dan kecergasannya kepada ibadat dan taqwa akan membuahkan kemudaan yang berterusan di dalam dunia yang kekal abadi dan kenikmatan yang berkekalan. Isyarat Ketiga: Manakala natijah yang diperoleh di akhirat hasil daripada kasih sayang kepada isteri yang berdasarkan kepada kebaikan perilaku hidupnya, keindahan sifat peribadinya dan kelembutan kasih sayangnya, yang kesemuanya memeliharanya daripada menderhaka kepada suami dan menjauhkannya daripada kesalahan dan dosa, maka natijahnya ialah:Isteri yang salih itu menjadi kekasih yang dicintai, rakan yang benar dan teman yang manja di dalam syurga. Kecantikannya lebih indah daripada bidadari. Perhiasannya lebih ketara daripada perhiasan bidadari. Kecantikannya mengatasi kecantikan bidadari. Dia sentiasa berbual-bual bersama-sama dengan suaminya, mengenangkan kembali saat-saat manis semasa di dunia. Demikianlah janji Tuhan Yang Maha Mengasihani dan Maha Mulia. Oleh kerana Allah S.W.T telah berjanji, maka Dia pasti akan menunaikan janji-Nya. Isyarat Keempat: Manakala natijah yang diperoleh daripada kecintaan kepada kedua ibu-bapa dan anak-anak, maka balasannya ialah bahawa Allah S.W.T yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani akan memberikan kebaikan kepada keluarga yang bahagia dan bernasib baik itu sekalipun terdapat perbezaan kedudukan mereka di dalam syurga. Mereka akan sentiasa bertemu, bergaul, bermesra dan berbual-bual sesama mereka dengan sesuatu yang selayaknya dengan syurga dan negeri yang kekal abadi itu, sebagaimana dinyatakan oleh nas al-Quran al-Karim. Para bapa juga dapat bermesra dengan anak-anak mereka yang telah meninggal dunia sebelum umur baligh dan anak-anak mereka itu kekal menjadi anak-anak di dalam syurga, iaitu dalam keadaan yang amat mesra dan dikasihi oleh jiwa. Dengan demikian, keinginan untuk bermesra dengan anak-anak yang tertanam di dalam fitrah manusia akan menjadi tenang. Mereka akan menikmati suatu kelazatan yang kekal dan perasaan yang berterusan di dalam syurga. Anak-anak mereka itu dikekalkan dalam keadaan kecil iaitu pada umur kecil sebelum mencapai umur baligh. Ada orang menyangka bahawa di dalam syurga tidak ada peluang untuk bermesra dengan anak-anak, kerana syurga bukan tempat untuk melahirkan anak. Tetapi, oleh kerana syurga mengandungi kelazatan dunia yang paling baik, maka bermesra dan bergurau senda dengan anak-anak sudah pasti ada di dalam syurga dalam keadaan dan bentuknya yang paling baik dan indah. Alangkah bahagianya para bapa yang kehilangan anak-anak mereka di dunia! Isyarat Kelima: Sesungguhnya natijah daripada kecintaan kepada rakan-rakan dan kaum keluarga yang salih sebagaimana dituntut oleh ‘kecintaan kerana Allah S.W.T’ ialah bahawa anda akan dapat duduk bersama-sama mereka di atas kerusi dalam keadaan berhadapan serta berbual-bual tentang kenangan-kenangan manis yang berlaku semasa di dunia. Masa yang indah dihabisi dengan perbualan yang dipenuhi kemesraan, sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran al-Karim. Isyarat Keenam: Manakala natijah kasih sayang kepada para Nabi A.S. dan para salihin sebagaimana diterangkan oleh al-Quran ialah bahawa anda akan memperoleh syafaat para Nabi dan para wali yang mulia tersebut di alam barzakh, dan juga ketika berlaku kebangkitan besar di Padang Mahsyar. Di samping itu, hasil daripada kasih sayang tersebut, anda juga akan memperoleh limpahan-limpahan daripada maqam dan kedudukan serta martabat mereka yang tinggi dan selayaknya bagi mereka. Ya, sesungguhnya hadis Rasulullah S.A.W. ada menerangkan bahawa seseorang akan bersama-sama dengan sesiapa yang dikasihinya . Oleh itu, seseorang boleh meningkat ke maqam dan kedudukan paling tinggi berdasarkan hubungan kasih sayang yang jalinnya dengan rakannya, keterikatannya dan ikutannya kepada rakannya itu. Isyarat Ketujuh: Kecintaan anda terhadap sesuatu yang cantik, juga kecintaan anda terhadap musim bunga, iaitu pandangan anda terhadapnya dengan anda berkata: “Alangkah indahnya ciptaan Allah S.W.T”, serta anda menujukan kasih sayang itu kepada sesuatu yang berada di sebalik sesuatu benda yang cantik dan indah yang terdiri daripada keindahan perbuatan dan bagaimana ia dilakukan dengan penuh tersusun, juga pandangan anda terhadap apa yang berada di sebalik perbuatan yang diselaraskan sebegitu rupa yang memperlihatkan keindahan penjelmaan al-Asma’ al-Husna, dan juga pandangan anda terhadap penjelmaan sifat-sifat yang mulia yang berada di sebalik al-Asma’ al-Husna itu, maka natijah kecintaan yang dibenarkan ini ialah: Anda akan dapat menyaksikan keindahan yang ribuan kali ganda lebih indah daripada keindahan yang anda telah saksikan pada makhluk-makhluk tersebut. Iaitu anda akan dapat menyaksikan penjelmaan al-Asma’ al-Husna dan keindahan sifat-sifat yang mulia yang Anda akan dapat menyaksikan keindahan yang ribuan kali ganda lebih indah daripada keindahan yang anda telah saksikan pada makhluk-makhluk tersebut. Iaitu anda akan dapat menyaksikan penjelmaan al-Asma’ al-Husna dan keindahan sifat-sifat yang mulia yang selayaknya dengan syurga dan negeri yang kekal abadi. Imam al-Sirhindi berkata: “Sesungguhnya segala keindahan syurga hanyalah merupakan jelmaan bagi al-Asma’ al-Husna.” Maka perhatikanlah ia kerana Allah S.W.T! Isyarat Kelapan: Manakala kasih sayang anda terhadap dunia dengan kasih sayang yang dibenarkan oleh syarak, iaitu kasih sayang anda terhadapnya yang disertakan dengan pemerhatian dan pemikiran bahawa keindahannya adalah kerana ia adalah ladang bercucuk tanam untuk akhirat dan cerminan jelmaan bagi al-Asma’ al-Husna, maka natijahnya di akhirat adalah:Anda akan dikurniakan syurga seluas dunia keseluruhannya, tetapi ia tidak akan hancur sebagaimana hancurnya dunia, bahkan ia akan terus kekal abadi. Pada cerminan syurga tersebut akan diperlihatkan jelmaan-jelmaan al-Asma’ al-Husna dalam keadaan paling bersinar dan bercahaya, yang sebahagian sinaran dan cahayanya yang lemah telah dapat anda saksikan semasa di dunia lagi. Manakala kasih sayang anda terhadap dunia sebagai ladang bercucuk tanam untuk akhirat, iaitu dengan menganggap ia sebagai tapak semaian yang amat kecil bagi menumbuhkan biji-biji benih agar ia bertangkai dan berbuah di akhirat, maka natijahnya ialah:Anda akan memperoleh buah-buahan syurga yang luas seluas dunia ini seluruhnya. Di situ, segala pancaindera dan perasaan kemanusiaan yang dibawa manusia di dunia akan terbuka umpama biji-biji benih kecil itu yang pecah dan membesar dengan sempurna, kemudiannya biji-biji benih kecil itu bertangkai sebagaimana kesediaan fitrah yang menanggung keseluruhan kelazatan dan kesempurnaan. Natijah ini dinyatakan dengan kehendak rahmat Allah S.W.T yang Maha Luas dan hikmatNya yang mutlak. Ia juga dinyatakan secara langsung oleh hadis dan juga secara tidak langsung oleh al-Quran al-Karim. Oleh kerana kasih sayang anda terhadap dunia bukan berdasarkan sudutnya yang hina yang merupakan punca segala kesalahan, tetapi ia adalah kasih sayang yang ditujukan kepada sudutnya yang lain, iaitu kepada al-Asma’ al-Husna dan akhirat itu sendiri, maka anda telah menjalin hubungan kasih sayang sebenar dengan dunia dan anda telah memakmurkan sudut tersebut dengan niat beribadat, sehingga seolah-olah anda melakukan ibadat dengan keseluruhan dunia ini. Oleh itu, sudah pasti balasan pahala yang terhasil daripada kecintaan ini adalah balasan pahala yang lebih luas daripada dunia ini seluruhnya. Ini berdasarkan tuntutan rahmat dan hikmat Ilahi. Kemudian oleh kerana kasih sayang kepada dunia itu menghasilkan kasih sayang kepada akhirat dan kerana dunia adalah ladang untuk akhirat, juga kerana kecintaan kepada Allah S.W.T, juga kerana ia adalah cerminan bagi jelmaan al- Asma’ al-Husna, maka tidak syak lagi kasih sayang atau kecintaan ini akan dibalasi dengan sesuatu yang amat dikasihi yang lebih luas daripada dunia ini, iaitulah syurga yang luasnya adalah seluas langit dan bumi. Soalan: Apakah faedah syurga yang keluasannya seluas dunia ini? Jawapan: Jika anda boleh bersiar-siar dengan kelajuan khayalan di seluruh pelusuk bumi ini, dan anda mampu melawat kebanyakan bintang yang berada di langit, nescaya ketika itu anda akan berkata: “Sesungguhnya dunia ini seluruhnya adalah milik saya.” Ketika itu, tidak ada orang lain yang berkongsi kuasa dengan anda, meskipun terdapat malaikat, manusia lain dan binatang bersama-sama anda di dalam dunia yang luas itu.Maka begitu juga anda boleh berkata: “Sesungguhnya syurga itu adalah milik saya”, meskipun ia dipenuhi dengan orang-orang yang mendatanginya.Kami telah jelaskan di dalam Risalah Syurga (al- Jannah) iaitu Kalimah Kedua Puluh Lapan, makna sebuah hadis bahawa beberapa orang ahli syurga dikurniakan sebuah syurga yang keluasannya seluas lima ratus tahun perjalanan, dan demikian juga kami telah jelaskan di dalam Risalah al-Ikhlas. Isyarat Kesembilan: Sesungguhnya natijah daripada kecintaan kepada Allah S.W.T ialah:Dapat melihat keindahan kudus dan kesempurnaan suci bagi Zat Yang Mulia S.W.T, sebagaimana dinyatakan oleh sebuah hadis yang sahih dan al-Quran al-Karim. Satu saat daripada penglihatan itu menyamai ribuan tahun nikmat syurga .Satu saat nikmat syurga itu pula mengatasi ribuan tahun kehidupan dunia yang indah, sebagaimana dibuktikan secara sepakat oleh ahli ilmu dan kasyaf.Anda mungkin boleh membandingkan sejauhmana kerinduan dan kelahapan yang dirangkumi oleh fitrah manusia untuk melihat keindahan kudus dan kesempurnaan suci itu, serta sejauhmana keinginan membuak-buak dan betapa kepinginnya manusia untuk menyaksikannya dengan perumpamaan berikut: Setiap orang pasti sangat berkeinginan di dalam hatinya untuk bertemu dengan Sayyidina Sulaiman A.S. yang telah dikurniakan kesempurnaan. Seseorang itu juga merasa amat rindu untuk melihat Sayyidina Yusuf A.S. yang dikurniakan setengah daripada ketampanan. Maka bayangkanlah bagaimana pula besarnya kerinduan dan keinginan seseorang manusia untuk melihat keindahan kudus dan kesempurnaan suci, yang mana antara punca jelmaan keindahan dan kesempurnaan tersebut ialah syurga kekal abadi dengan segala keindahan, nikmat dan kesempurnaannya yang tidak terkira mengatasi segala keindahan dan kesempurnaan dunia. Ya Allah! Berikan kepada kami di dunia ini rasa cinta kepada-Mu dan rasa cinta kepada sesuatu yang mendekatkan kami kepada kecintaan kepada-Mu. Kurniakan juga kepada kami istiqamah sebagaimana yang Engkau perintahkan kepada kami. Dan kurniakanlah rahmat kepada kami di akhirat dan kurniakanlah agar kami dapat melihat-Mu. “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Ya Allah! Berikanlah salam dan selawat ke atas orang yang Engkau utuskannya sebagai rahmat untuk sekalian alam, dan ke atas ahli keluarganya serta para sahabatnya. Amin. Tenbih Şu sözün âhirinde uzun tafsilatı uzun görme; ehemmiyetine nisbeten kısadır, daha uzun ister. Bütün Sözlerde konuşan ben değilim. Belki işarat-ı Kur’aniye namına hakikattir. Hakikat ise hak söyler, doğru konuşur. Eğer yanlış bir şey gördünüz, muhakkak biliniz ki haberim olmadan fikrim karışmış, karıştırmış, yanlış etmiş.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Thirty-Second Word
Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus

