JENDELA TAUHID Kalimat ini terdiri daripada Tiga Puluh Tiga Jendela. [Di samping ia merupakan Risalah Ketiga Puluh Tiga, ia juga merupakan Kalimat Ketiga Puluh Tiga.] بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT: سَنُرٖيهِم۟ اٰيَاتِنَا فِى ال۟اٰفَاقِ وَفٖٓى اَن۟فُسِهِم۟ حَتّٰى يَتَبَيَّنَ لَهُم۟ اَنَّهُ ال۟حَقُّ اَوَلَم۟ يَك۟فِ بِرَبِّكَ اَنَّهُ عَلٰى كُلِّ شَى۟ءٍ شَهٖيدٌ Maksudnya: Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar. Belum cukupkah (bagi mereka) bahawa Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu? (Surah Fussilat: 53) Persoalan: Kami ingin menerangkan dengan ringkas dan jelas tentang bagaimana manusia dan juga alam semesta, yang mana merupakan mikrokosmos dan juga makrokosmos, menunjukkan kewujudan yang pasti akan keesaan Ilahi serta sifat-sifat Rabbani dan fungsi rububiyah-Nya , sepertimana yang dinyatakan pada dua bahagian di dalam ayat al-Quran di atas. Hal ini demikian kerana golongan yang mengingkari kebenaran telah melampaui batas dengan mengatakan: “Berapa lama lagikah kita harus mengangkat tangan dan mengatakan: Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu?” Jawapan: Tiga puluh tiga Kalimat yang ditulis ini merupakan tiga puluh tiga titisan daripada lautan ayat al-Quran tersebut dan juga lautan hakikat kebenaran yang mengalir. Jika anda memerhatikannya, pasti anda akan temui jawapannya. Apa yang kami nyatakan di sini hanyalah seumpama suatu isyarat daripada percikan setitis air lautan tersebut. Sebagai contoh, jika seorang pekerja yang mempunyai kebolehan yang ajaib ingin membina sebuah istana yang hebat, maka sudah pasti pada awalnya dia akan meletakkan asas bangunannya dengan cara yang bijak dan teratur. Kemudian, dia akan merancang dengan cara yang sesuai dengan matlamat dan hasil yang diinginkan. Setelah itu, dengan mahir dia membahagikan istana tersebut kepada beberapa bahagian dan bilik-bilik. Kemudian, dia mengatur dan menyusun bilik-bilik tersebut serta menghiaskannya dengan ukiran-ukiran dan meneranginya dengan lampu-lampu elektrik. Seterusnya, untuk memperbaharui hasil kerjanya yang berkemahiran di istana yang tersergam indah itu, dia telah menghasilkan ciptaan-ciptaan dan perubahan-perubahan baharu serta membuat transformasi pada setiap peringkat. Setelah itu, dia memasang telefon pada setiap bilik yang mana ia disambungkan ke tempatnya. Dia juga membuka jendela dari setiap bilik sehingga dirinya dapat dilihat. Begitu jugalah dengan cara yang sama: وَلِلَّهِ الْمَثَلُ الْأَعْلَىٰ Dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi... (Surah An-Nahl: 60) Allah, Pencipta Yang Tiada Taranya, bagi-Nya seribu satu nama yang suci antaranya, Sani’ Zul-Jalal (Pencipta Yang Maha Agung), Hakim al-Hakim (Hakim Yang Maha Bijaksana), al-Adl (Yang Maha Adil), al-Hakam (Yang Maha Menetapkan), berkehendak untuk menciptakan istana alam semesta dan pohon kosmos, yang membentuk makrokosmos ini. Dia meletakkan asas istana dan pohon itu dalam masa enam hari melalui prinsip-prinsip hikmah dan hukum-hukum dalam ilmu-Nya yang azali. Setelah itu, Dia membahagikan dan membentuknya kepada tingkatan-tingkatan dan cabang-cabang yang lebih tinggi dan yang lebih rendah melalui prinsip Qada’ dan Qadar Ilahi. Kemudian, Dia menghiasi segala sesuatu, setiap alam itu dengan cara yang sesuai, seperti langit dihiasi dengan bintang-bintang dan bumi pula dihiasi dengan bunga-bungaan. Seterusnya, Dia memperlihatkan dan menyinari Asma-Nya di dalam medan hukum universal dan prinsip-prinsip umum itu. Setelah itu, dengan cara yang khusus, Dia mengirimkan pertolongan kepada mereka yang merayu meminta pertolongan dalam ruang lingkup tekanan hukum-hukum universal tersebut dengan Asma-Nya ar-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan ar-Rahim (Yang Maha Penyayang). Hal ini bermaksud, dalam kesemua prinsip-prinsip universal dan umum itu, Dia tetap mempunyai anugerah khusus, bantuan serta manifestasi istimewa sehinggakan segala sesuatu itu dapat memohon pertolongan-Nya dan melihat-Nya pada setiap masa untuk setiap keperluan. Kemudian, dari setiap bilik, setiap peringkat, setiap alam, setiap makhluk, setiap individu dan dari segala-galanya, Dia membuka jendela yang akan menunjukkan Diri-Nya, bertujuan untuk menyatakan kewujudan dan keesaan-Nya. Dia meninggalkan sebuah telefon pada setiap hati. Buat masa sekarang, kami tidak akan mencuba untuk membahaskan jendela-jendela yang tidak terhitung bilangannya itu, yang mana ia berada di luar kemampuan kami. Dengan merujuk kesemuanya itu kepada pengetahuan Ilahi yang meliputi segala sesuatu, kami hanya akan menunjukkan dengan ringkas dan padat tiga puluh tiga Jendela sahaja. Memandangkan ia bersesuaian dengan bilangan tasbihat yang dibaca selepas solat yang ditetapkan, dan untuk penjelasan yang lebih terperinci tentang ini, yang membentuk Risalah Ketiga Puluh Tiga dan Kalimat Ketiga Puluh Tiga yang terdiri daripada sinaran dari ayat-ayat suci al-Quran, kami merujuk pembaca kepada baki Kalimat-kalimat yang lain.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Sözler
The Thirty-Third Word
Jika kita perhatikan, kita akan dapati bahawa semua makhluk terutamanya makhluk bernyawa, kesemuanya berhajat kepada pelbagai keperluan dan kehendak yang khusus dan berbeza. Setiap hajat dan keperluan itu pula datang dalam bentuk pertolongan yang disediakan buat mereka pada masa yang sesuai, melalui cara yang tidak dijangka dari tempat yang tidak diketahui, di mana tangan mereka sendiri tidak mampu mencapainya. Tetapi kuasa makhluk-makhluk yang berhajat ini tidak mencukupi walaupun untuk sekecil-kecil perkara daripada keinginan mereka yang tidak berpenghujung itu. Mereka tidak mampu memenuhi keperluan mereka. Pertimbangkanlah diri anda: Berapa banyak perkara yang anda perlukan tidak dapat dicapai oleh tangan anda sendiri, seperti keperluan zahir dan batin anda. Bandingkan semua makhluk hidup yang lain dengan diri anda sendiri. Lihatlah, bagaimana mereka semuanya bersaksi akan Wajibul Wujud (Kewujudan yang pasti) dan menunjukkan kepada keesaan-Nya. Demikian juga secara keseluruhannya mereka menunjukkan kepada Dia yang bersifat Wajibul Wujud dan Wahidul Ahad (Dia Yang Maha Esa), dan di antara gelaran-Nya, al-Karim (Yang Maha Pemurah), ar-Rahim (Yang Maha Penyayang), al-Murabbi (Yang Mendidik) dan al-Mudabbir (Yang Mentadbir) yang berada di sebalik tabir yang ghaib. Wahai orang kafir yang jahil dan orang yang fasiq lagi lalai! Dengan apa anda mampu jelaskan kejadian yang penuh hikmah, penuh pertimbangan dan perhatian serta belas kasihan yang mendalam ini? Adakah sifat pekak, kuasa buta, kuasa kebetulan yang tidak masuk akal itu? Bolehkah anda menjelaskannya melalui penyebab yang lemah dan tidak bernyawa ini?
Di dalam identiti dan kewujudan segala sesuatu, pada mulanya mereka seolah-olah dilihat dalam bentuk yang tidak pasti, membingungkan dan tidak berbentuk di antara kemungkinan yang tidak terhitung banyaknya. Kemudian secara tiba-tiba mereka diberikan suatu bentuk yang sangat teratur dan penuh hikmah. Sebagai contoh, setiap manusia mempunyai ciri-ciri wajah yang membezakannya dengan manusia yang lain dan dilengkapi dengan kebijaksanaan yang sempurna dengan pelbagai deria zahir dan batin. Hal ini membuktikan bahawa wajah manusia adalah cap mohor keesaan Ilahi (ahadiyah) yang paling hebat. Sebagaimana setiap wajah manusia menjadi saksi kepada kewujudan Pencipta Yang Maha Bijaksana dan menunjukkan kewujudan-Nya, maka begitu juga dengan cap mohor yang dipamerkan ke atas kesemua wajah kehidupan, menunjukkan kepada akal yang bercahaya bahawa semua makhluk tersebut adalah meterai yang khusus kepada Pencipta mereka. Wahai manusia yang ingkar! Ke bengkel manakah anda dapat merujuk cap-cap mohor yang sama sekali tidak dapat ditiru ini, yang mana ia merupakan cap mohor as-Samad (Yang Maha diperlukan oleh semua makhluk) yang dizahirkan pada keseluruhan penciptaan-Nya?
Spesies tumbuhan dan haiwan yang terdapat di muka bumi ini adalah melebihi empat ratus ribu spesies yang berbeza . Mereka ditadbir dan diberi tarbiah dengan penuh keseimbangan dan tersusun melalui kurniaan rezeki, tugasan, senjata, pakaian seragam, arahan dan demobilisasi yang berbeza-beza antara satu sama lain, dan tiada satupun daripada mereka yang dilupakan dan dikelirukan. Hal ini menjadi cap mohor bagi Wahidul Ahad (Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya) yang nyata sejelas terangnya matahari yang tidak sekali-kali dapat diragukan. Maka, siapakah selain Dia, yang memiliki kuasa, ilmu dan kebijaksanaan yang tidak terbatas; yang dapat mengambil bahagian dalam semua pentadbiran yang paling menakjubkan ini? Hal ini demikian kerana jika seseorang itu tidak dapat mentadbir dan mentarbiah semua spesies serta kerajaan haiwan dan tumbuhan yang saling berkait ini, ataupun campur tangan walaupun hanya dalam salah satu daripadanya, maka dia akan menyebabkan kesemuanya itu menjadi huru-hara. Firman Allah SWT: فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ Maksudnya: Jika engkau ragu-ragu maka ulangilah pandangan, dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? (Surah al-Mulk: 3). Ayat al-Quran di atas menunjukkan tidak ada sebarang tanda kecelaruan pada penciptaan-Nya. Hal ini bermakna tiada satu jari pun yang mampu mencampuri segala urusan ini.
Jendela ini adalah berkenaan kemustajaban bagi doa yang dipanjatkan melalui lidah kemampuan yang terpendam oleh semua benih, dan melalui lidah keperluan fitrah oleh semua haiwan dan melalui lidah mereka yang terdesak dalam keadaan darurat. Ya, sebagaimana semua doa yang tidak terkira ini diterima dan dimakbulkan, maka begitu juga dalam skala yang lebih besar, secara keseluruhannya dengan nyata telah menunjukkan dan mengarah kepada Pencipta yang bersifat ar-Rahim (Maha Pengasih), al-Karim (Maha Mulia) serta al-Mujib (Yang Maha Mengabulkan).
Kita melihat bahawa semua benda khususnya makhluk bernyawa lahir ke dunia secara tiba-tiba dan mendadak. Sesuatu perkara yang muncul secara tiba-tiba daripada bahan yang mudah sudah pastilah dalam bentuk yang ringkas, tidak berbentuk dan juga tidak berseni, akan tetapi terjadi sebaliknya apabila mereka diciptakan dengan penuh kesenian dan kecantikan yang memerlukan kemahiran yang tinggi, serta dihiasi dengan sulaman-sulaman yang amat teliti yang memerlukan tempoh masa yang lama untuk dihasilkan. Malah, mereka juga dihiasi dengan seni yang ajaib yang memerlukan banyak alat untuk menghasilkannya. Oleh itu, setiap kejadian serta-merta, kesenian yang indah serta gabungan yang menakjubkan ini, menunjukkan Dia Yang Wajibul Wujud (Yang Pasti Ada), Pencipta Yang Maha Bijaksana dengan keesaan di dalam sifat rububiyah-Nya. Maka, kesemuanya ini membuktikan dengan penuh menakjubkan akan Wajibul Wujud (Dia Yang Pasti Ada), al-Qadir (Yang Maha Kuasa) lagi al-Hakim (Yang Maha Bijaksana). Maka sekarang, wahai pengingkar yang bingung! Ayuh, bagaimanakah anda dapat menjelaskan perkara ini? Dengan akibat ‘alam semulajadi’ yang tiada perasaan, tidak berdaya dan jahil seperti anda itu? Atau adakah anda ingin melakukan kesalahan yang tak terhingga besarnya dan mengatakan Sani’ Muqaddis (Pencipta Yang Maha Suci) itu adalah ‘alam semulajadi’? Dan tidakkah dengan alasan menamakan Dia dengan mengaitkan keajaiban kuasa-Nya kepada ‘alam semulajadi’ itu, anda telah melakukan suatu kemustahilan yang seribu kali ganda besarnya?
اِنَّ فٖى خَل۟قِ السَّمٰوَاتِ وَال۟اَر۟ضِ وَاخ۟تِلَافِ الَّي۟لِ وَالنَّهَارِ وَال۟فُل۟كِ الَّتٖى تَج۟رٖى فِى ال۟بَح۟رِ بِمَا يَن۟فَعُ النَّاسَ وَمَٓا اَن۟زَلَ اللّٰهُ مِنَ السَّمَٓاءِ مِن۟ مَٓاءٍ فَاَح۟يَا بِهِ ال۟اَر۟ضَ بَع۟دَ مَو۟تِهَا وَبَثَّ فٖيهَا مِن۟ كُلِّ دَٓابَّةٍ وَتَص۟رٖيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ ال۟مُسَخَّرِ بَي۟نَ السَّمَٓاءِ وَال۟اَر۟ضِ لَاٰيَاتٍ لِقَو۟مٍ يَع۟قِلُونَ Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, kapal-kapal yang berlayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia, air hujan yang diturunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya pelbagai jenis binatang, demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi, sesungguhnya (pada semua itu) terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Baqarah: 164) Ayat al-Quran di atas menunjukkan tentang kewujudan Ilahi dan membentuk suatu jendela yang benar-benar luas yang memaparkan Ismul A’zhom (Nama-Nya yang Agung). Inti sari ayat al-Quran di atas: Semua alam sama ada di peringkat yang lebih tinggi atau lebih rendah, menunjukkan dalam semua bahasa yang berbeza kepada satu kesimpulan iaitu; rububiyah Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ia adalah seperti berikut: Sepertimana di angkasa raya, pergerakan objek-objek di ruang angkasa itu berada dalam keadaan yang teratur dengan hasil yang besar -bahkan diakui oleh ahli bidang astronomi- menunjukkan kewujudan dan keesaan rububiyah yang sempurna bagi Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung, maka begitu juga di bumi, perubahan yang paling teratur seperti fenomena peralihan musim untuk mendapatkan manfaat yang paling menyeluruh -diakui oleh ahli bidang geografi itu sendiri-menunjukkan kewujudan dan keesaan rububiyah-Nya yang sempurna, Yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung. Begitu juga dengan semua haiwan yang berada di darat mahupun di laut, kesemuanya diberi rezeki dengan penuh rahmat, dipakaikan dalam pelbagai bentuk dengan hikmah yang sempurna serta dihiasi dengan segala macam deria melalui rububiyah-Nya yang sempurna. Kesemuanya ini sekali lagi menunjukkan kewujudan Dia Yang Maha Esa, Maha Kuasa lagi Maha Agung. Jadi, secara keseluruhannya haiwan-haiwan tersebut menunjukkan pada skala yang luas keagungan uluhiyah-Nya dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Selain itu, begitu juga dengan setiap tumbuhan yang tersusun rapi di taman, bunga-bungaan yang terhias cantik, buah-buahan yang seimbang serta sulaman yang indah yang dipamerkan oleh buah-buahan tersebut. Kesemuanya ini membuktikan kewujudan Pencipta yang Maha Bijaksana dan menunjukkan keesaan-Nya. Maka, secara keseluruhannya, kesemua makhluk ini menunjukkan keindahan rahmat Ilahi dan kesempurnaan rububiyah-Nya dengan cara yang sangat mengagumkan. Begitu juga dengan titisan hujan yang dihantar melalui awan di langit, mereka diarahkan dengan tugas-tugas yang memberikan manfaat yang sempurna dan bijaksana dengan hasil yang penting. Hal ini sekali lagi membuktikan seperti banyaknya bilangan titisan hujan yang turun itu akan kewujudan dan keesaan Penciptanya Yang Maha Bijaksana dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Begitu juga dengan gunung-ganang di atas muka bumi ini yang di dalamnya tersimpan kandungan mineral dengan pelbagai sifat dan tujuan yang berbeza membuktikan dengan sekuat-kuatnya seumpama kekuatan dan keteguhan yang ada pada gunung- ganang tersebut akan kewujudan dan keesaan Penciptanya Yang Maha Bijaksana dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Selain itu, pelbagai jenis bunga yang dihiasi serta tersusun rapi di bukit-bukit kecil, dataran dan juga di antara pergunungan, kesemuanya itu menjadi saksi akan kewujudan yang pasti bagi Pencipta yang Maha Bijaksana dan menunjukkan keesaan-Nya. Kesemuanya ini menunjukkan keagungan kekuasaan-Nya dan kesempurnaan Rububiyah-Nya. Seterusnya, pelbagai jenis daun dan bentuknya yang tersusun, begitu juga rumput dan pokok, dengan peringkat yang berbeza serta pergerakan mereka yang seimbang dan mengasyikkan, kesemuanya ini sekali lagi menunjukkan kewujudan yang pasti bagi Pencipta Yang Maha Bijaksana serta kesempurnaan rububiyah-Nya. Begitu juga, perkembangan teratur pada masa pertumbuhan bagi semua makhluk bernyawa, yang setiap satunya dilengkapi dengan pelbagai jenis organ serta diarahkan secara sedar ke arah pelbagai hasil yang berbeza; kesemuanya ini sekali lagi menjadi saksi akan kewujudan yang pasti bagi Pencipta yang Maha Bijaksana dan menunjukkan keesaan-Nya. Hal ini secara keseluruhan menunjukkan pada skala yang sangat luas akan kekuasaan Ilahi yang meliputi segala-galanya, hikmah-Nya yang menyeluruh, keindahan seni-Nya serta kesempurnaan rububiyah-Nya. Begitu juga dengan jiwa dan roh yang berada di dalam badan semua haiwan, seumpama tentera, mereka dilengkapi dengan keteraturan yang paling sempurna dengan pelbagai jenis sistem dan fakulti serta dihantar untuk pelbagai tugas yang berbeza dengan hikmah yang sempurna. Hal ini membuktikan sebanyak bilangan haiwan itu sendiri dan bahkan bilangan fakulti-fakulti mereka akan kewujudan yang pasti bagi Pencipta yang Maha Bijaksana dan menunjukkan keesaan-Nya. Maka begitu juga secara keseluruhannya, mereka semua menunjukkan dengan paling bersinar akan keindahan rahmat Ilahi dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Begitu juga dengan ilham yang ghaib yang dibisikkan ke dalam hati semua makhluk, yang memberitahu mereka segala jenis ilmu pengetahuan dengan segala hakikatnya, serta yang mengajarkan haiwan mencari keperluan hidup mereka. Kesemuanya ini menjelaskan akan kewujudan Rab yang Maha Pengasih dan menunjukkan rububiyah-Nya. Maka, deria zahir dan batin yang terdapat pada sekalian makhluk ini adalah seperti sinaran yang dapat mengumpul hasil bunga-bungaan maknawi dari taman alam semesta yang merupakan kunci kepada dunia-dunia yang berbeza. Semuanya ini memperlihatkan sejelas terangnya matahari akan Wajibul Wujud, keesaan, dan kesempurnaan rububiyah bagi Pencipta Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui, Pencipta Yang Maha Pengasih dan Pemberi Rezeki Yang Maha Mulia. Maka, daripada dua belas jendela yang dibincangkan pada Jendela Keenam ini, setiap satu aspek daripadanya mewakili jendela yang luas terbuka yang memaparkan kepada hakikat dua belas cahaya kebenaran wahdaniah (keesaan) bagi Dia Yang Maha Kuasa dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Wahai pengingkar yang malang! Dengan apakah anda dapat menutup jendela yang luasnya seluas bumi yang berputar dalam orbitnya setiap tahun ini? Dengan apakah anda dapat memadamkan sumber cahaya yang seterang matahari ini? Di sebalik hijab kelalaian manakah anda dapat menyembunyikannya?
Kesempurnaan susunan, nisbah dan hiasan yang indah daripada semua ciptaan yang tersebar luas di serata alam semesta ini, serta kemudahan dalam penciptaan segala makhluk, persamaan mereka yang terdapat antara satu sama lain dan penzahiran kesemuanya dengan satu fitrah yang tunggal; menunjukkan pada skala yang luas akan keberadaan Wajibul Wujud, kekuasaan yang sempurna dan keesaan Pencipta Yang Maha Bijaksana. Begitu juga dengan penciptaan makhluk-makhluk kompleks yang sangat tersusun dan berbeza, yang tidak terkira jumlahnya daripada unsur-unsur yang mudah dan tidak bernyawa, sekali lagi membuktikan seperti banyaknya bilangan makhluk yang komposit itu akan Wajibul Wujud bagi Pencipta Yang Maha Bijaksana dan menunjukkan akan keesaan-Nya. Maka begitu juga secara keseluruhannya, kesemua makhluk ini menunjukkan dengan cara yang paling cemerlang akan keesaan Ilahi dan kesempurnaan kekuasaan-Nya. Seterusnya, proses pemisahan dan pembezaan yang paling tinggi semasa pembaharuan makhluk ketika mereka dikumpulkan dan dihapuskan berlaku dalam suasana yang penuh percampuran dan ketidaktentuan. Sebagai contoh, pembezaan dalam pertumbuhan pucuk, percambahan biji benih dan juga pertumbuhan akar, kesemuanya berlaku tanpa kekeliruan walaupun semuanya dalam keadaan bercampur aduk. Seterusnya, hasil bahan-bahan yang memasuki pokok-pokok yang asalnya bercampur itu akan dibahagikan dalam bentuk daun-daunan, bunga-bungaan dan buah-buahan. Manakala, semua nutrien yang masuk ke dalam badan pokok-pokok tersebut dalam bentuk campuran dibezakan dan dipisahkan dengan hikmah dan keseimbangan yang sempurna untuk kegunaan sel-sel mereka. Semua perkara ini sekali lagi menunjukkan akan Wajibul Wujud, kesempurnaan kuasa dan keesaan bagi Tuhan yang mempunyai Kebijaksanaan yang Mutlak, Pengetahuan yang Mutlak dan Kekuasaan yang Mutlak. Selain itu, begitu juga dengan penciptaan dunia zarah pada tanah pertanian yang tidak terbatas dan luas terbentang membuatkan setiap semaian dan tuaian pada seluruh pelusuk bumi serta-merta akan memperoleh pelbagai tanaman yang segar. Kesemua zarah-zarah yang tidak bernyawa, lemah dan jahil itu diarahkan untuk melaksanakan tugas-tugas yang teratur dengan penuh kesedaran, kebijaksanaan dan kemampuan. Hal ini sekali gus menunjukkan akan Wajibul Wujud dengan kekuasaan-Nya Yang Maha Agung, dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Kuasa bagi Pencipta Yang Maha Sempurna dengan keagungan kedaulatan-Nya, keesaan-Nya dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Maka, empat cara di atas ini, membuka kepada kita sebuah jendela yang sangat luas kepada makrifatullah (ilmu mengenal Allah) dengan menyapa akal fikiran untuk berfikir seluas-luasnya dengan memaparkan Pencipta Yang Maha Bijaksana. Maka sekarang, wahai manusia yang lalai lagi malang! Jika anda tidak mahu melihat dan mengenal-Nya dengan cara ini, buanglah akal anda; maka jadilah haiwan, dan dengan itu anda akan terselamat!
Kesaksian para nabi alaihimussalam (kesejahteraan ke atas mereka semua), yang mana mereka memiliki jiwa-jiwa yang bercahaya dalam kalangan umat manusia berdasarkan kepada ajaran yang dibawa melalui pembuktian mukjizat mereka; dan kesaksian para wali dengan hati bercahaya mereka yang merupakan kutub rohani umat manusia berdasarkan kasyaf dan karamah mereka; dan kesaksian para ulama yang suci, yang memiliki akal fikiran bercahaya berdasarkan penyelidikan dan pengesahan mereka. Kesemuanya ini menjadi saksi terhadap kewujudan yang pasti akan keesaan dan kesempurnaan rububiyah Dia Yang Maha Esa, Wajibul Wujud, Pencipta Segala Sesuatu dan membuka sebuah jendela besar yang penuh bercahaya. Wahai pengingkar yang malang! Kepada siapakah anda meletakkan kepercayaan sehingga anda tidak mengendahkan kesemua mereka ini? Atau adakah anda menganggap dengan menutup mata pada siang hari akan mengubah hari menjadi malam?
Penyembahan sejagat yang dilakukan dalam setiap penjuru alam kosmos ini secara langsung menunjukkan ke arah Dia yang Ma’bud Mutlak (Dia yang Sebenar-benar Sembahan). Ya, penyembahan dan ketaatan yang sempurna yang dilakukan oleh para malaikat dan jin yang mana ia disahkan dengan kesaksian mereka yang telah dapat menembusi alam arwah dan alam batin yang telah menemui dua jenis makhluk tersebut. Begitu juga, semua makhluk yang bernyawa dengan jelasnya menjalankan tugas-tugas mereka dengan teratur dan sempurna serta dengan penuh kehambaan; dan begitu juga dengan semua makhluk yang tidak bernyawa, mereka ini dengan jelasnya melaksanakan tugas dengan penuh ketaatan dan kehambaan. Kesemua penyembahan ini menunjukkan akan kewujudan yang pasti dan keesaan bagi Ma’bud Bilhaq. Begitu juga dengan hakikat ilmu pengetahuan daripada mereka yang arif, yang mempunyai kekuatan ijma’ dan tawatur , dan kesyukuran yang membuahkan hasil yang dipanjatkan daripada hati mereka yang bersyukur, dan zikir-zikir yang bercahaya yang terbit dari lisan mereka yang berzikir, dan puji-pujian yang berganda atas kurniaan nikmat yang dipanjatkan daripada mereka yang bertahmid, serta semua pembuktian yang menunjukkan ketauhidan Ilahi oleh para muwahid , dan cinta yang hakiki dan keasyikan yang dirasai oleh semua pencinta Ilahi, serta kehendak dan keinginan sejati bagi mereka yang mencari Dia, dan mereka yang bersungguh-sungguh mencari-Nya, dan kembali kepada-Nya melalui melalui taubat. Hal ini menunjukkan akan kewujudan yang pasti, kesempurnaan rububiyah dan keesaan bagi al-Ma’bud al-Azali (Dia Yang Disembah sejak Azali),al-Ma’ruf (Dia Yang Dikenali), al-Mazkur (Dia Yang Disebut-sebut), al-Masykur (Dia Yang Disyukuri), al-Mahmud (Dia Yang Dipuji), al-Wahid (Dia Yang Esa), al-Mahbub (Dia Yang Dicintai), al-Marghub (Dia Yang Diperlukan) dan al-Maqsud (Dia Yang Dicari-cari). Begitu juga dengan semua ibadah yang dimakbulkan serta dipersembahkan oleh insan kamil dan segala kenikmatan rohani, munajat, penyaksian dan kasyaf hasil daripada ibadah mereka yang dimakbulkan. Hal ini sekali lagi menunjukkan akan kewujudan yang pasti, keesaan dan kesempurnaan rububiyah bagi Dia yang Abadi dan Sembahan Yang Tidak Berawal dan Tidak Berakhir. Maka oleh itu, ketiga-tiga aspek di atas membuka sebuah jendela yang luas bercahaya kepada keesaan Ilahi.
وَاَن۟زَلَ مِنَ السَّمَٓاءِ مَٓاءً فَاَخ۟رَجَ بِهٖ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِز۟قًا لَكُم۟ وَسَخَّرَ لَكُمُ ال۟فُل۟كَ لِتَج۟رِىَ فِى ال۟بَح۟رِ بِاَم۟رِهٖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ال۟اَن۟هَارَ وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّم۟سَ وَال۟قَمَرَ دَٓائِبَي۟نِ وَسَخَّرَ لَكُمُ الَّي۟لَ وَالنَّهَارَ وَاٰتٰيكُم۟ مِن۟ كُلِّ مَا سَاَل۟تُمُوهُ وَاِن۟ تَعُدُّوا نِع۟مَتَ اللّٰهِ لَا تُح۟صُوهَا Maksudnya: Dan Dia menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, (untuk kepentingan kemudahan kamu) dan yang menjadikan malam dan siang (bagi faedah hidup kamu). Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak mampu mengiranya. (Surah Ibrahim: 32-34) Keadaan saling bergantungan dan saling bekerjasama antara sesama makhluk di alam semesta, serta hakikat bahawa mereka saling bertindak balas terhadap satu sama lain menunjukkan keseluruhan makhluk ini berada di bawah tarbiah Murabbi (Pendidik) dan Muddabir (Pentadbir) Yang Maha Esa. Dialah juga Mutasorrif (Pengurus) dan Sayyid (Tuan) yang esa, di mana semua makhluk memberi khidmat kepada-Nya. Dengan adanya undang-undang kerjasama antara semua makhluk yang bersifat menyeluruh ini, dimulai dengan matahari yang ditugaskan untuk memasak keperluan yang diperlukan oleh kehidupan makhluk hidup di bumi, dengan perintah Rabbani ke atasnya. Manakala, bulan pula bertindak sebagai sebuah kalendar; begitu juga cahaya, udara, air dan makanan, sebagai kalendar. Begitu juga cahaya, udara bersegera untuk membantu sekalian makhluk hidup. Tumbuhan pula bersegera untuk membantu haiwan; haiwan pula bersegera untuk membantu manusia manakala setiap anggota badan juga saling membantu antara satu sama lain. Bahkan zarah makanan juga bersegera untuk membantu sel-sel badan. Semua kerjasama yang bijaksana dan pemurah antara sesama makhluk ini, tindak balas mereka terhadap keperluan satu sama lain serta saling menyokong dan menguatkan antara satu sama lain berdasarkan undang-undang kemurahan hati, undang-undang rahmat dan undang-undang belas kasihan, jelas lagi nyata menunjukkan bahawa kesemua mereka adalah hamba, kakitangan dan makhluk bagi Wahidul Ahad (Dia Yang Maha Esa), as-Somad (Yang Maha Diperlukan dan tempat bergantung bagi semua makhluk), al-Qadir (Yang Maha Berkuasa), al-Alim (Yang Maha Mengetahui), ar-Rahim (Yang Maha Penyayang), al-Karim (Yang Maha Mulia) dan Wajibul Wujud (Dia Yang Pasti Ada). Wahai ahli falsafah yang muflis lagi malang! Apakah yang anda mampu katakan di hadapan jendela yang hebat ini? Mampukah asbab ‘kebetulan’ anda campur tangan dalam perkara ini?
اَلَا بِذِك۟رِ اللّٰهِ تَط۟مَئِنُّ ال۟قُلُوبُ Maksudnya: Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang. (Surah ar-Ra’d: 28) Semua roh dan jiwa akan terbebas daripada cengkaman kesusahan dan kekeliruan yang timbul daripada kesesatan serta kesakitan rohani yang berpunca daripada penderitaan tersebut hanya dengan mengenali Pencipta yang tunggal. Mereka semuanya akan terselamat dengan menyandarkan semua urusan kepada Pencipta yang tunggal lalu mendapat ketenangan dengan mengingati-Nya. Hal ini kerana, seperti yang telah kami buktikan secara pasti pada Kalimah Dua Puluh Dua, jika urusan semua makhluk tidak disandarkan kepada sesuatu yang tunggal, maka adalah menjadi satu keperluan untuk mengaitkan setiap sesuatu itu dengan pelbagai penyebab yang tak terhitung banyaknya lalu kewujudan sesuatu itu akan menjadi sukar seperti kewujudan semua makhluk. Jika sesuatu perkara itu dikaitkan kepada Allah SWT, maka segala perkara yang tidak terhingga banyaknya ini akan dikaitkan kepada suatu zat yang tunggal. Namun, jika semua perkara yang wujud itu tidak dikaitkan kepada Dia, maka adalah menjadi satu keperluan untuk mengaitkan semua perkara itu kepada penyebab-penyebab yang tidak terhitung banyaknya. Dengan ini, penciptaan sebiji buah sahaja akan menjadi sukar umpama penciptaan alam semesta, malah lebih sukar lagi. Jika pengurusan seorang tentera diserahkan kepada seratus orang yang berbeza, maka akan timbul ratusan kesukaran. Namun, jika seratus orang tentera diarahkan oleh seorang pegawai sahaja, maka mereka akan lebih mudah diurus seumpama pengurusan seorang tentera. Begitu juga, kesulitan seratus kali ganda lebih banyak akan timbul jika banyak penyebab yang berbeza harus bersepakat dalam penciptaan sesuatu benda. Sebaliknya pula penciptaan banyak benda, jika diberikan kepada satu zat sahaja, ia akan menjadi seratus kali ganda lebih mudah. Oleh itu, hanya dengan mengiktiraf ketauhidan Pencipta dan mengenali-Nya, manusia akan terselamat daripada kesusahan yang tidak terbatas yang timbul daripada keinginan yang wujud dalam dirinya untuk mencari kebenaran. Memandangkan dalam kekufuran dan kesyirikan terdapat kesulitan dan penderitaan yang tidak berpenghujung, maka jelaslah jalan ini adalah mustahil dan tidak memiliki hakikat kebenaran. Oleh sebab bersesuaian dengan kemudahan, kelimpahan dan kehalusan seni dalam penciptaan segala makhluk, terdapat kemudahan yang tidak terbatas dalam mengakui keesaan Ilahi, maka jalan ini sudah tentulah suatu yang wajib dan merupakan hakikat yang sebenar-benarnya. Wahai orang-orang malang yang tersesat! Lihatlah betapa gelap dan pedihnya jalan kesesatan itu! Mengapa anda memilih jalan itu? Lihatlah betapa mudah dan menyenangkan jalan keimanan dan tauhid ini! Ambillah jalan ini, maka anda akan terselamat!
سَبِّحِ اس۟مَ رَبِّكَ ال۟اَع۟لٰى اَلَّذٖى خَلَقَ فَسَوّٰى وَالَّذٖى قَدَّرَ فَهَدٰى Maksudnya: Sucikanlah nama Tuhan-Mu Yang Maha Tinggi (daripada segala sifat kekurangan). Yang telah menciptakan (makhluk-Nya) lalu menyempurnakan (kejadiannya). Dan yang telah menentukan kadar (masing-masing) dan memberi hidayah. (Surah al-A’laa: 1-3) Menurut makna ayat al-Quran di atas, segala sesuatu terutamanya makhluk hidup, telah diberikan bentuk dan ukuran nisbah yang tepat, seumpama mereka muncul dari satu acuan yang telah dirancang dengan penuh hikmah. Dan terkandung di dalam ukuran nisbah itu juga adalah perkara-perkara yang sangat rumit untuk pelbagai manfaat dan kegunaan. Begitu juga dengan bentuk pakaian serta ukuran nisbah mereka, yang mana sentiasa diubah sepanjang hidup, setiap satunya adalah bersifat maknawi dan teratur serta diukur dengan sempurna, terdiri daripada peristiwa-peristiwa yang ditetapkan lagi dalam kehidupan mereka dengan cara yang sesuai dengan hikmah dan manfaat baginya. Hal ini memperlihatkan dengan jelas bahawa kesemua makhluk yang tidak terhitung banyaknya itu, yang mana bentuk dan ukuran nisbahnya telah dirancang dalam wilayah qadar Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Agung, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna yang telah diberi bentuk dalam ruang lingkup kekuasaan Ilahi. Hal ini menunjukkan akan Dia Yang Wajibul Wujud dan menjadi saksi ke atas keesaan dan kekuasaan-Nya yang sempurna melalui lidah-lidah yang tidak terhingga banyaknya. Perhatikanlah pada tubuh dan anggota badanmu sendiri serta manfaat- manfaatnya yang rumit dan kompleks! Lihatlah kesempurnaan kekuasaan-Nya di dalam kesempurnaan hikmah-Nya!
وَ اِن۟ مِن۟ شَى۟ءٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَم۟دِهٖ Maksudnya: Dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya...[Surah al-Israa’: 44] Berdasarkan makna ayat al-Quran di atas, segala sesuatu menyebut dan menyucikan Penciptanya dengan bahasanya yang tersendiri (lisanul khas). Ya, ucapan tasbih yang diucapkan dengan jelas oleh sekalian makhluk melalui lidah-lidah mereka yang khusus menunjukkan kewujudan satu Zat Yang Maha Suci. Kesaksian yang fitrah ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi, terutamanya jika dalil-dalil tersebut datang daripada pelbagai sudut, maka ia tidak boleh diragukan sama sekali. Lihatlah keteraturan pada sekalian makhluk itu, di mana cara setiap makhluk yang diciptakan itu mengandungi penyaksian yang tidak terhingga banyaknya, menyediakan bukti dengan cara yang tidak terbatas melalui lisanul-hal seumpama lingkaran-lingkaran yang mengarah pada satu pusat. Kesemuanya ini merupakan lidah-lidah yang berzikir. Begitu juga, keseimbangan dan ukuran nisbah mereka yang dibentuk dengan sempurna, kesemuanya adalah lidah-lidah penyaksian. Bahkan, kehidupan mereka yang sempurna itu juga merupakan lidah-lidah mereka yang bertasbih. Maka, sepertimana yang telah kami buktikan pada Kalimah Kedua Puluh Empat, kesemua zikir, pengagungan dan penyaksian semua makhluk ini ke atas Dia Yang Maha Suci melalui lidah-lidah mereka sememangnya menunjukkan adanya satu Zat Yang Wajibul Wujud, seumpama cahaya matahari yang memperlihatkan akan kesempurnaan uluhiyah-Nya.
قُلْ مَنْ بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍ Katakanlah, siapakah yang memegang kuasa pemerintahan ke atas segala sesuatu. (Surah al-Mu’minun: 88) وَاِنْ مِنْ شىْءٍ اِلاَّ عِنْدَنَا خَزَاۤئِنُهُ Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya... (Surah al-Hijr: 21) مَا مِنْ دَاۤبَّةٍ اِلاَّ هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya... (Surah Hud: 56) اِنَّ رَبِّى عَلٰى كُلِّ شَىْءٍ حَفِيظٌ Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu. (Surah Hud: 57) Berdasarkan makna ayat-ayat suci al-Quran di atas, semua benda adalah berhajat kepada satu Pencipta yang Maha Agung dalam semua perkara dan keadaan. Sesungguhnya, dengan memerhatikan makhluk-makhluk di alam semesta, kita dapat melihat manifestasi kekuasaan mutlak dalam kelemahan mutlak; dan juga kesan kekuasaan mutlak kelihatan dalam ketidakberdayaan mutlak. Sebagai contoh, keadaan dan peringkat yang menakjubkan pada tumbuh-tumbuhan semasa kuasa-kuasa kehidupan memberi tumpuan pada benih dan akar pada saat pertumbuhannya. Selain itu, terdapat juga manifestasi kekayaan mutlak dalam kemiskinan dan kekeringan mutlak. Sebagai contohnya ialah ketandusan pokok dan tanah pada musim sejuk dan kekayaan mereka yang melimpah ruah pada musim bunga. Kerdipan sebuah kehidupan mutlak juga kelihatan nyata dalam sebuah kejumudan mutlak seperti transformasi elemen-elemen menjadi benda-benda hidup. Malahan, terdapat juga manifestasi kesedaran yang bersifat komprehensif dalam lingkungan kejahilan mutlak. Sebagai contoh, semua benda, daripada sekecil-kecil zarah mahupun bintang-bintang, kesemuanya bergerak secara sedar mematuhi susunan alam semesta dengan tuntutan-tuntutan kebijaksanaan dalam keperluan kehidupan. Maka, kekuasaan dalam kelemahan, kekuatan dalam kedaifan, kekayaan dan kemewahan dalam kemiskinan, kehidupan dan kesedaran dalam kejumudan dan kejahilan; kesemuanya ini dengan jelas lagi pasti membuka jendela-jendela di setiap sudut tentang Wajibul Wujud dan keesaan bagi Dia, Pemilik Kekuasaan dan Kekuatan Mutlak, Pemilik Kekayaan Mutlak, Dia Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri. Secara keseluruhannya, semuanya ini menunjukkan ke arah satu jalan yang bercahaya pada skala yang luas. Oleh itu, wahai manusia lalai yang telah terjatuh ke dalam paya ‘semula jadi’! Jika kamu tidak meninggalkan ‘semula jadi’ dan mengiktiraf kekuasaan Ilahi, maka kamu harus menerima bahawa dalam setiap sesuatu, sekalipun dalam setiap zarah, terdapat satu kekuasaan dan kekuatan yang tidak terhingga, kebijaksanaan dan kemahiran yang tidak terbatas serta kebolehan untuk melihat, mengetahui dan mentadbir sebahagian besar benda-benda lain.
اَلَّذِى اَحْسَنَ كُلَّ شىْءٍ خَلَقَهُ Yang menciptakan segala sesuatu dengan sebaik-baiknya. (Surah as-Sajdah: 7) Berdasarkan makna ayat al-Quran di atas, setiap sesuatu itu diciptakan dengan keseimbangan dan susunan yang paling sempurna mengikut kemampuan esensi makhluk itu sendiri; disatukan dengan seni yang paling baik, melalui cara yang paling singkat, dalam bentuk yang paling sempurna, dengan bentuk yang paling ringan serta dengan cara yang paling mudah untuk digunakan. Sebagai contoh, lihatlah pada pakaian burung, bagaimana dengan mudahnya mereka mengipas-ngipas bulu mereka dan menggunakannya secara berterusan. Begitu juga setiap makhluk yang lain, kesemuanya diberikan tubuh dan dipakaikan dalam bentuk dan cara yang bijaksana tanpa ada pembaziran atau perkara yang sia-sia padanya. Kesemua ini menjadi saksi sebanyak bilangan mereka akan Wajibul Wujud bagi Pencipta Yang Maha Bijaksana dan menunjukkan Dia, Pemilik Kekuasaan dan Pemilik Pengetahuan yang Mutlak.
Keteraturan dan penyusunan dalam penciptaan dan pengurusan hal ehwal sekalian makhluk, yang diperbaharui musim demi musim di atas muka bumi ini, jelas menunjukkan adanya kebijaksanaan yang universal. Oleh sebab sesuatu sifat itu tidak boleh ada tanpa sesuatu yang memiliki sifat itu (mausuf), maka sudah pasti kebijaksanaan universal ini menunjukkan adanya Dia Yang Maha Bijaksana. Perhiasan yang indah di sebalik tabir kebijaksanaan ini jelas menunjukkan kemurahan yang paling sempurna, dan inayat yang paling sempurna ini semestinya menunjukkan kepada sesuatu yang bersifat pengasih, iaitu Pencipta Yang Maha Pemurah. Segala kebaikan, penjagaan dan pemberian yang umum dan menyeluruh di sebalik tabir kemurahan itu pula jelas menunjukkan belas kasihan yang meliputi semua makhluk-Nya. Dan sifat belas kasihan yang menyeluruh ini semestinya menunjukkan Dia yang bersifat ar-Rahman (Yang Maha Pemurah) lagi ar-Rahim (Maha Mengasihani). Rezeki dan makanan untuk semua makhluk hidup yang dikurniakan melalui tabir rahmat, yang mana kesemuanya itu diberikan bersesuaian dengan keperluan mereka dengan jelasnya menunjukkan adanya penjagaan rezeki yang berterusan dan rububiyah-Nya yang penuh belas kasihan. Segala penjagaan dan pengurusan itu pula sudah pasti menunjukkan adanya Dia yang bersifat ar-Razzaq (Yang Maha Pemberi Rezeki) lagi al-Karim (Yang Maha Pemurah). Ya, semua makhluk di atas muka bumi ini yang mana ditarbiah dengan hikmah, dihiasi dengan kemurahan serta dikurniakan dengan rahmat yang penuh kesempurnaan, juga dipelihara dengan penuh belas kasihan, membuktikan akan kewujudan Dia, Pencipta yang bersifat al-Hakim (Yang Maha Bijaksana), al-Karim (Yang Maha Pemurah), ar-Rahim (Yang Maha Penyayang), ar-Razzaq (Yang Maha Pemberi Rezeki) dan kesemuanya ini menjadi saksi ke atas keesaan-Nya. Perhatikanlah juga hikmah yang menyeluruh yang terserlah di atas muka bumi secara keseluruhannya, yang mana dapat dilihat secara umum dan jelas menunjukkan tujuan dan iradat (kehendak). Begitu juga dengan inayat yang sempurna merangkumi semua makhluk, yang terkandung padanya hikmah. Begitu juga dengan rahmat yang meliputi kebaikan dan hikmah yang mencakupi semua yang maujud di bumi. Begitu juga dengan pemeliharaan berterusan yang paling pemurah serta penjagaan yang mengandungi belas kasihan, hikmah, kemurahan yang merangkumi semua makhluk hidup. Sama seperti tujuh warna membentuk cahaya, yang mana cahaya itu menerangi muka bumi, tanpa ragu-ragu menunjukkan akan kewujudan matahari, maka, begitu juga dengan inayat dalam hikmah, belas kasihan dalam kemurahan serta pemeliharaan dan penjagaan dalam rahmat; kesemuanya ini menunjukkan dengan nyata pada skala yang besar dan pada tahap yang tinggi akan keesaan dan kesempurnaan rububiyah bagi Dia yang semestinya Maha Bijaksana, Maha Pemurah, Maha Mengasihani, Maha Pemberi Rezeki, dan Yang Wajibul Wujud. Wahai pengingkar yang bodoh lagi lalai! Dengan apakah anda dapat jelaskan tentang kebijaksanaan, kemurahan, belas kasihan dan pemeliharaan yang kelihatan aneh, indah dan menakjubkan yang terpampang di hadapan mata anda ini? Dengan kebetulan, yang tidak bermatlamat seperti anda itu? Dengan kekuatan yang buta seperti hati anda itu? Dengan ‘semula jadi’ yang pekak seperti kepala anda itu? Dengan sebab-sebab yang lemah, tidak bernyawa dan jahil seperti anda itu? Atau adakah anda ingin memberikan nama ‘semula jadi’ yang sudah pastinya lemah, jahil, pekak, buta, bersifat kemungkinan dan miskin kepada Dia Yang Maha Agung, iaitu Dia yang semestinya suci, tinggi dan bebas daripada segala kecacatan dan yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Melihat? Dan dengan itu, anda telah melakukan satu kesalahan yang tidak terhingga besarnya. Maka, dengan kuasa apakah anda boleh memadamkan hakikat yang seterang cahaya matahari ini? Di sebalik tabir kelalaian manakah anda mampu menyembunyikannya?
اِنَّ فِى السَّمٰوَاتِ وَال۟اَر۟ضِ لَاٰيَاتٍ لِل۟مُؤ۟مِنٖينَ Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-Jathiyah:3) Jika kita perhatikan permukaan bumi pada musim panas, kita akan dapat melihat kemurahan dan limpah kurnia yang tidak terhingga, yang mana sepatutnya menyebabkan berlaku kekeliruan dan kecelaruan, namun kita dapat melihatnya dalam keadaan yang penuh keharmonian dan keteraturan. Lihatlah semua tumbuh-tumbuhan yang menghiasi bumi ini! Begitu juga dengan kepantasan mutlak dalam penciptaannya, yang mana sepatutnya berlaku ketidakseimbangan dan ketidakteraturan, namun kita dapat melihatnya dalam keadaan yang penuh keseimbangan yang sempurna. Lihatlah segala jenis buah-buahan yang menghiasi muka bumi ini! Dan begitu juga dengan kepelbagaiannya yang tidak terhingga, yang mana sepatutnya kelihatan tidak penting malahan hodoh, namun kita jelas melihatnya dalam keindahan seni yang paling sempurna. Lihatlah segala jenis bunga-bungaan yang menghiasi muka bumi ini! Begitu juga dengan kemudahan mutlak dalam penciptaaannya, yang mana sepatutnya akan terdapat kekurangan dalam kesenian dan memberikan hasil yang mudah, namun kita melihatnya hadir dalam hasil yang penuh kesenian, kemahiran dan perhatian. Lihatlah dengan teliti semua benih-benih, seumpama bekas-bekas kecil yang mengandungi program-program bagi anggota tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dan juga bekas-bekas kecil yang mengandungi sejarah hidup mereka! Dan begitu juga dengan jarak mereka yang tidak terhingga jauhnya, yang mana sepatutnya berlaku perbezaan dan kepelbagaian, namun kita dapat melihat kesemuanya hadir dalam keseragaman dan kesamaan yang mutlak. Lihatlah segala jenis bijirin-bijirin yang disemai di setiap pelusuk muka bumi itu! Begitu juga dengan percampuran menyeluruh yang sepatutnya menatijahkan kekeliruan dan kecelaruan sepenuhnya, namun terjadi sebaliknya yang mana kesemuanya ini berada dalam pembezaan dan pemisahan yang sangat sempurna. Lihatlah pembezaan yang sempurna pada biji-bijian ketika ia mula bercambah, walaupun dilempar ke tanah dalam keadaan bercampur-campur, kesemuanya saling menyerupai antara satu sama lain dari segi bahannya, namun pelbagai jenis zat yang diserap masuk ke dalam pokok itu diasingkan secara sempurna kepada bahagian daun-daunan, bunga-bungaan dan juga buah-buahan. Begitu juga dengan makanan yang masuk ke dalam perut dalam keadaan bercampur-campur, kesemuanya itu dipisahkan dengan sempurna mengikut kesesuaian pelbagai sel-sel dan anggota badan. Maka, lihatlah kekuasaan di dalam kesempurnaan hikmah yang terdapat pada ciptaan-Nya. Begitu juga dengan kelimpahan yang tidak terhingga pada makhluk-makhluk, yang mana sepatutnya kelihatan tidak penting dan tidak bernilai, namun kita dapat melihatnya sebagai sesuatu yang sangat bernilai dan mahal, penuh dengan keseniannya di atas muka bumi. Perhatikanlah kepelbagaian buah mulberi dalam keajaiban kesenian yang tidak terhitung ini, yang mana ia merupakan manisan daripada kekuasaan Ilahi di atas meja Dia Yang Maha Pengasih di atas permukaan bumi ini. Maka, lihatlah kesempurnaan seni dalam kesempurnaan rahmat-Nya! Maka, sepertimana waktu siang menunjukkan cahaya, dan cahaya menunjukkan matahari, maka begitu juga semua nilai yang hebat yang datang bersama kelimpahan yang tidak terhingga banyaknya ini; dan percampuran yang tidak terbatas yang datang bersama pembezaan dan pemisahan yang paling sempurna dalam kelimpahan yang besar; dan jarak yang jauh yang datang bersama dengan keserasian dan persamaan identiti yang paling sempurna dalam pembezaan dan pemisahan yang tidak terbatas; dan kesenangan dan kemudahan yang tidak terhingga yang datang bersama dengan penjagaan yang tidak terbatas dalam pembuatan yang melahirkan persamaan yang terbaik; dan kelajuan dan kepantasan mutlak yang datang bersama dengan keseimbangan yang sepenuhnya dan tanpa pembaziran dalam penciptaan yang paling indah; kelimpahan dan kepelbagaian yang tidak terhingga yang datang bersama dengan tahap kesenian yang paling indah dengan tiada sebarang pembaziran; dan kemurahan yang tidak terhingga yang datang bersama dengan keteraturan mutlak dalam tahap keindahan seni yang tertinggi; kesemuanya ini menjadi saksi akan Wajibul Wujud, kesempurnaan kekuasaan, keindahan rububiyah dan keesaan bagi Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Agung, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna, Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Indah. Kesemuanya ini menunjukkan rahsia yang terdapat dalam ayat al-Quran berikut: لَهُ اْلاَسْمَاۤءُ الْحُسْنٰى Bagi-Nyalah segala nama yang baik. [Surah Taha: 8] Maka sekarang, wahai manusia yang jahil, lalai dan degil! Dengan apakah anda mampu menafsirkan hakikat yang hebat ini? Dengan apakah anda mampu menjelaskan keadaan yang sangat ajaib dan menakjubkan ini? Dengan apakah anda boleh menyandarkan seni yang tidak terhingga luar biasanya ini? Dengan tabir kelalaian manakah anda mampu menutup jendela yang seluas bumi ini? Di manakah asbab ‘kebetulan’, sahabat tempat pergantungan yang tiada kesedaran yang dipanggil ‘semula jadi’, kawan dan penyokong anda dalam kesesatan itu? Bukankah ia adalah sama sekali mustahil untuk asbab ‘kebetulan’ campur tangan dalam semua perkara ini? Dan bukankah ia adalah seribu kali ganda tidak masuk akal untuk mengaitkan walaupun satu daripada seribu karya indah ini kepada ‘semula jadi’? Atau adakah asbab ‘semula jadi’ yang tidak bernyawa serta lemah itu mempunyai mesin-mesin pencetak maknawi dalam setiap benda, dibuat daripadanya dan mengikut bilangan setiap daripadanya?
اَوَلَمْ يَنْظُرُوا فِى مَلَكُوتِ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ Dan adakah mereka tidak memerhatikan kerajaan langit dan bumi?...(Surah al-A’raaf: 185) Seperti yang dijelaskan dalam Kalimah Kedua Puluh Dua, perhatikanlah perumpamaan ini: Sebuah karya yang sempurna, teratur, berseni, seumpama pembinaan sebuah istana, sudah pasti menunjukkan kepada suatu perbuatan yang teratur. Dalam erti kata lain, sesebuah binaan itu menunjukkan adanya sesuatu kerja pembuatan. Suatu perbuatan yang sempurna dan teratur itu semestinya menunjukkan kepada seorang pelaku yang cekap, tuan yang mahir, iaitu seorang tukang. Gelaran tuan dan tukang bina yang mahir itu sudah pasti menunjukkan suatu sifat yang sempurna, iaitu kemampuan seninya yang tinggi. Sifat dan kemampuan yang sempurna ini pula sudah pastinya menunjukkan kewujudan suatu bakat sedia ada yang sempurna, dan bakat sedia ada yang sempurna ini menunjukkan adanya suatu roh dan zat yang mulia. Demikian pula, karya-karya yang diperbaharui yang memenuhi permukaan bumi, bahkan seluruh alam semesta, menunjukkan adanya perbuatan-perbuatan yang berada pada tingkat kesempurnaan yang tertinggi. Perbuatan yang berada dalam lingkaran keteraturan dan kebijaksanaan yang luar biasa ini, dengan jelas menunjukkan adanya pelaku yang memiliki gelaran-gelaran dan nama-nama yang sempurna. Hal ini kerana, ia adalah jelas bahawa suatu perbuatan yang tersusun dan bijak itu tidak mungkin terjadi tanpa adanya pelaku yang melakukannya. Gelaran-gelaran yang luar biasa dalam kesempurnaannya itu, menunjukkan kepada adanya sifat-sifat pelaku yang luar biasa kesempurnaannya. Hal ini kerana, mengikut ilmu sorf (morfologi), ismu fa’il adalah kata yang terbina daripada masdar (kata dasar dalam tatabahasa Arab), demikian pula dengan sumber dan kata dasar bagi kata benda, kata nama dan gelaran, adalah terbentuk dari sifat-sifatnya. Sifat-sifat yang luar biasa sempurna itu, sudah pasti menunjukkan kepada perbuatan-perbuatan yang luar biasa kesempurnaannya. Kemampuan dan perbuatan zat yang sempurna itu (yang tidak dapat kita gambarkan), dengan pasti menunjukkan kepada suatu zat yang memiliki kesempurnaan yang tidak terbatas. Oleh sebab semua hasil kerja seni dan sekalian makhluk di setiap pelusuk alam semesta ini merupakan karya yang sempurna, maka setiap daripada mereka menjadi saksi kepada suatu perbuatan, dan perbuatan itu menjadi saksi kepada suatu nama, dan nama itu menjadi saksi kepada suatu sifat, dan sifat itu menjadi saksi kepada suatu kualiti, dan kualiti itu pula menjadi saksi kepada Zat. Maka, sebagaimana secara tunggal mereka menjadi saksi akan kewujudan yang pasti bagi Pencipta Yang Maha Agung sebanyak bilangan makhluk yang wujud dan menunjukkan kepada keesaan-Nya, maka, secara keseluruhan, mereka membentuk peningkatan dalam pengetahuan terhadap Ilahi sekuat rantaian sekalian makhluk yang wujud. Mereka membentuk suatu bukti akan hakikat yang kukuh dalam rantaian yang tidak terputus-putus yang tidak boleh diragui dalam apa jua aspek sekalipun. Jadi sekarang, wahai pengingkar yang malang dan lalai! Dengan apakah anda mampu menghancurkan bukti yang sekuat rantaian alam semesta ini? Dengan apakah anda mampu menutup tingkap berkisi yang mempunyai ruang yang tidak terhitung banyaknya ini, yang memancarkan cahaya hakikat sebanyak bilangan makhluk yang terdapat di alam semesta? Dengan tabir kelalaian manakah anda mampu menutupinya?
تُسَبِّحُ لَهُ السَّمٰوَاتُ السَّبْعُ وَاْلاَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَاِنْ مِنْ شَىْءٍ اِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ Langit yang tujuh, bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya… (Surah al-Israa’: 44) Berdasarkan makna ayat al-Quran di atas, Pencipta Yang Maha Agung telah menghiasi langit dengan begitu banyak makna dan hikmah, seolah-olah untuk mengungkapkan keagungan dan keindahan-Nya, dengan menghiasi langit dengan kalimat-kalimat daripada matahari, bulan, dan bintang. Demikian juga, Dia telah menghiasi makhluk-makhluk di ruang angkasa dengan begitu banyak hikmah, makna, dan tujuan, seolah-olah Dia menyusun ruang angkasa dengan membuatnya berkata-kata berupa guruh, kilat, dan hujan untuk memberi pengajaran dalam kesempurnaan hikmah dan keindahan rahmat-Nya. Begitu juga dengan bumi, bagaimana dengan kalimat-kalimat bermaknanya yang dikenali sebagai haiwan dan tumbuhan, kesemuanya itu berbicara dan menunjukkan kesempurnaan seni-Nya kepada alam semesta. Demikian pula, setiap kalimat dari bumi, iaitu tumbuh-tumbuhan dan pepohonan yang berupa kata-kata dalam bentuk dedaunan, bunga-bungaan, dan buah-buahan yang tersusun, mengisytiharkan kesempurnaan seni dan keindahan rahmat Allah SWT. Begitu juga dengan bunga-bungaan dan buah-buahan, yang merupakan kalimat-kalimat, berbicara melalui kata-kata benihnya, memberikan pengajaran kepada mereka yang sedar dan peka tentang kehalusan seni dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Mari kita dengarkan dan perhatikan ungkapan pujian daripada satu tunas dan sekuntum bunga di antara kalimat-kalimat tasbih yang tak terbatas itu untuk mengetahui bagaimana mereka menyatakan penyaksian. Ya, semua tanaman dan pohon tersebut menggambarkan Pencipta mereka dengan banyak bahasa dengan cara membuatkan para pengkajinya merasa takjub lalu mengisytiharkan: “Subhanallah! (Maha Suci Allah), betapa indahnya kesaksian mereka terhadap-Mu!’’. Sesungguhnya kalimat-kalimat tasbih yang diungkapkan tumbuh-tumbuhan ketika bunga-bungaannya mekar, juga saat tunas-tunas baru muncul dan ketika mereka mempersembahkan kata-kata senyuman, semuanya itu tampak seindah dan sejelas diri mereka itu sendiri. Hal ini kerana melalui mulut-mulut setiap bunga yang indah, lidah-lidah bagi setiap pucuknya yang teratur dan kata-kata daripada biji benihnya yang mempunyai ukuran yang tepat, kesemua keteraturan ini menunjukkan hikmah dan dapat diperhatikan berada dalam suatu keseimbangan yang menunjukkan ilmu pengetahuan yang tertinggi. Keseimbangan itu pula berada dalam pola seni yang menunjukkan kemahiran dan keahlian seni-Nya. Pola seni itu pula berada dalam sebuah perhiasan yang menunjukkan kasih sayang dan kemurahan-Nya. Manakala perhiasan itu pula berada dalam aroma-aroma halus yang menunjukkan rahmat dan ihsan-Nya. Kesemua keadaan alam semesta yang bermakna dan saling berkait antara satu sama lain ini bersaksi menggambarkan Pencipta Yang Maha Indah melalui nama-nama-Nya, dan menggambarkannya melalui sifat-sifat-Nya, menjelaskan manifestasi nama-nama-Nya serta menjadikan diri-Nya dicintai dan dikenali. Jika anda mendengar semua kesaksian di atas daripada sekuntum bunga, lalu andaikan pula jika anda mendengarnya daripada semua bunga-bungaan di taman-taman Rabbani di seluruh pelusuk bumi; betapa kuatnya mereka mengisytiharkan kewujudan dan keesaan bagi Dia, Pencipta Yang Maha Agung, masihkah ada ketidakpastian, keraguan dan kelalaian dalam hati anda? Jika masih ada, adakah anda layak disebut seorang manusia yang mempunyai kesedaran? Marilah kita perhatikan sebuah pokok dengan teliti! Lihatlah mulutnya dalam bentuk dedaunan yang muncul dengan teratur pada musim bunga, bagaimana bunga-bungaannya mekar dengan tersusun, bagaimana buah-buahannya tumbuh dengan penuh hikmah dan kasih sayang, dan bagaimana ranting-rantingnya bermain dengan angin seperti kanak-kanak yang suci di tangannya. Lihatlah keseimbangan dalam aturan yang penuh hikmah yang diungkapkan oleh lidah dedaunan yang menghijau daripada tangan yang pemurah, dan melalui bunga-bungaan yang tersenyum gembira atas segala nikmat yang diterima, dan melalui kata-kata buah-buahan yang tertawa dalam manifestasi rahmat yang dikurniakan. Lihatlah seni-seni dan sulaman-sulaman yang teliti dalam keseimbangan yang menunjukkan keadilan, begitu juga dengan rahmat pada sulaman-sulaman dan perhiasannya yang penuh kemahiran, dan kepelbagaian rasa manis dan bau-bauan yang menyenangkan yang menunjukkan adanya rahmat dan anugerah, begitu juga dengan biji benih, setiap satu daripadanya itu merupakan suatu mukjizat kekuasaan dalam rasa yang menyenangkan. Maka, kesemua perkara ini dengan jelas menunjukkan keesaan dan kewujudan yang pasti bagi Pencipta yang Maha Bijaksana (al-Hakim), Maha Pemurah (al-Karim), Maha Penyayang (ar-Rahim), Maha Memberi Kebaikan (al-Muhsin), Maha Pemberi Nikmat (al-Mun’im), Pemberi Keindahan dan Kelebihan (al-Mujammil al-Mufaddil) dan menjadi saksi akan keindahan rahmat-Nya dan kesempurnaan rububiyah-Nya. Oleh itu, jika anda dapat mendengar akan lisanul hal bagi setiap pokok yang ada di atas muka bumi ini, pasti anda akan melihat dan mem ahami betapa indahnya permata-permata yang terkandung dalam ayat al-Quran di bawah: يُسَبِّحُ ِللّٰهِ مَا فِى السَّمٰوَاتِ وَمَافِى اْلاَرْضِ Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah..(Surah al-Jumu’ah:1; Surah at-Taghaabun: 1) Wahai orang yang lalai dan kufur nikmat, yang menganggap dirinya bebas tanpa kendali! Sekiranya Dia Yang Maha Agung dan Maha Indah, yang membuatkan Diri-Nya dikenali dan dicintai anda melalui bahasa-bahasa yang tidak terhitung ini, tidak mahu anda mengenali-Nya, maka sudah pasti Dia akan mendiamkan kesemua ciptaan-Nya itu. Oleh kerana kesemua ciptaan itu tidak dapat didiamkan, maka mereka harus diberi perhatian. Anda tidak akan selamat dengan menutup telinga dalam kelalaian. Hal ini kerana alam semesta ini tidak akan berdiam dengan anda menutup telinga, sekalian makhluk di dalamnya juga tidak akan berdiam dan para saksi juga tidak akan membisu suara mereka akan keesaaan Ilahi. Sudah tentu kesemua mereka akan menghukum anda.
فَسُبْحَانَ الَّذِى بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شىْءٍ Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu...(Surah Yasin: 83) وَ اِن۟ مِن۟ شَى۟ءٍ اِلَّا عِن۟دَنَا خَزَٓائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُٓ اِلَّا بِقَدَرٍ مَع۟لُومٍ وَ اَر۟سَل۟نَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَاَن۟زَل۟نَا مِنَ السَّمَٓاءِ مَٓاءً فَاَس۟قَي۟نَاكُمُوهُ وَ مَٓا اَن۟تُم۟ لَهُ بِخَازِنٖينَ Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu. Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang menyimpannya. (Surah al-Hijr: 21-22) Sepertimana kesempurnaan hikmah dan keindahan seni itu jelas terserlah pada perkara-perkara kecil, hasil dan perinciannya, maka begitulah juga dengan unsur-unsur universal dan makhluk-makhluk yang besar, kesemuanya ini berada dalam kedudukannya yang tersendiri sesuai dengan hikmah dan seni walaupun kelihatan seolah-olah bercampuran secara kebetulan tanpa keteraturan. Sebagai contoh, cahaya yang merujuk kepada fungsi-fungsi hikmahnya yang lain, ia bersinar untuk memaparkan dan memperkenalkan sekalian makhluk Ilahi yang berada di atas muka bumi, dengan keizinan Tuhan Rabbani. Hal ini bermakna cahaya itu ditugaskan oleh Pencipta Yang Maha Bijaksana dan melalui cahaya tersebut, Dia memperlihatkan karya-karya seni antik-Nya yang tidak ternilai di pameran-pameran pasar seni dunia. Sekarang, perhatikanlah pula angin! Mengikut kesaksian tugasnya yang bijaksana, pemurah dan bermanfaat, mereka digegaskan menuju tugas-tugas yang sangat penting dan melimpah. Hal ini bermakna gelombang-gelombang pergerakan angin itu ditugaskan, dihantar dan dimanfaatkan oleh Pencipta Yang Maha Bijaksana dengan kepantasan pergerakan untuk mempercepat kerja mereka dalam melaksanakan perintah Tuhan Rabbani. Seterusnya, perhatikanlah pula semua mata air, anak sungai dan sungai! Aliran mereka daripada tanah dan gunung-ganang bukanlah suatu kebetulan. Mereka menjadi saksi akan kesaksian manfaat dan hasil rahmat Ilahi dengan pernyataan bahawa mereka tersimpan di dalam gunung dengan hikmah yang seimbang mengikut keperluan, di mana mereka diarah dan disimpan oleh Pemelihara Yang Maha Bijaksana, dan aliran mereka itu adalah kepatuhan yang bersemangat terhadap perintah-Nya. Seterusnya, perhatikanlah semua jenis batu-batuan, permata dan mineral di bumi ini! Perhiasan dan ciri-ciri mereka yang bermanfaat, sifat-sifat bijaksana yang dikaitkan dengan mereka, dan keadaan mereka yang bersesuaian dengan keperluan manusia, haiwan, dan keperluan-keperluan penting yang lain. Semuanya ini menunjukkan bahawa mereka diciptakan dengan sedemikian rupa melalui penghiasan, pengaturan, perancangan, dan pembentukan oleh Pencipta Yang Maha Bijaksana. Sekarang, perhatikanlah pula bunga-bungaan dan buah-buahan! Senyuman, rasa, kecantikan, sulaman dan aroma yang dipamerkan mereka adalah seumpama pelbagai undangan dan menu yang disediakan di meja Pencipta Yang Maha Mulia, Pemberi Kurniaan Yang Maha Pengasih. Kesemuanya ini diberikan sebagai menu dan undangan kepada setiap makhluk dalam pelbagai warna, aroma, dan rasa yang berbeza-beza. Kemudian, perhatikanlah pula burung-burung! Kicauan dan siulan mereka adalah bukti yang jelas bahawa ia adalah hasil pemberian Pencipta Yang Maha Bijaksana yang menyebabkan mereka dapat berkata-kata dengan bunyi-bunyian di antara satu sama lain untuk mengungkapkan maksud perasaan mereka dengan cara yang luar biasa. Seterusnya, perhatikanlah pula awan! Bunyi rintikan hujan bukanlah bunyi-bunyian yang tidak bermakna dan dentuman kilat yang sabung-menyabung itu bukanlah bunyian yang sia-sia dan bukti yang kukuh baginya adalah bahawa ciptaan-ciptaan yang ajaib ini dicipta dalam ruang yang kosong. Titisan hujan yang seperti air kehidupan itu diperah daripada awan seolah-olah menyusukan makhluk-makhluk hidup di permukaan bumi yang sangat memerlukan dan merinduinya. Kesemua fakta ini menunjukkan bahawa rintikan dan dentuman itu adalah sesuatu yang sangat bermakna dan penuh hikmah. Hal ini kerana dengan perintah Pemelihara yang Paling Pemurah, hujan memanggil mereka yang merinduinya: Berita baik! Kami datang! Mereka mengungkapkan maksudnya. Sekarang, lihatlah pula ke langit! Antara semua objek angkasa yang tidak terhitung banyaknya itu, perhatikan dengan teliti hanya pada bulan, pergerakannya adalah berdasarkan perintah Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana yang ditunjukkan melalui hikmah-hikmah yang penting yang terkait dengannya serta kesannya terhadap bumi. Oleh sebab kami telah menjelaskan hal ini pada bahagian yang lain di dalam Risalah an-Nur, maka kami akan meringkaskannya di sini. Unsur-unsur universal yang telah kami sebutkan satu persatu sebelum ini, bermula dari cahaya hinggalah ke bulan, telah membuka suatu jendela besar dalam skala yang benar-benar luas. Mereka kesemuanya mengisytiharkan dan menunjukkan keesaan bagi Dia Yang Wajibul Wujud, kesempurnaan kekuasaan-Nya dan keagungan kedaulatan-Nya. Wahai orang-orang yang lalai, jika anda mampu mendiamkan suara yang keras berdentum seperti guruh dan memadamkan bukti seterang cahaya matahari ini, maka anda boleh melupakan Allah! Jika tidak, maka kembalilah kepada fikiran yang siuman! Katakanlah: سُبْحَانَ مَنْ تُسَبِّحُ لَهُ السَّمٰوَاتُ السَّبْعُ وَاْلاَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah. (Surah al-Israa’: 44)
وَالشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ Dan matahari beredar di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (Surah Yasin: 38) Matahari, yang merupakan lampu alam semesta, membentuk suatu jendela yang menunjukkan kepada kewujudan dan keesaan Pencipta alam semesta yang mana jendela ini bersinar seterang matahari itu sendiri. Sesungguhnya walaupun terdapat banyak perbezaan dari segi saiz, kedudukan, dan kelajuan di antara dua belas planet tersebut termasuk bumi kita yang dikenali sebagai sistem suria, namun kesemua mereka bergerak dan berputar dengan penuh ketertiban dan hikmah serta penuh keseimbangan tanpa adanya sebarang kekeliruan walau sesaat. Mereka semuanya terikat kepada matahari melalui undang-undang Ilahi yang dikenali sebagai hukum graviti, iaitu seolah-olah mereka mengikut imam ketika solat. Hal ini menunjukkan dalam skala yang besar akan keagungan kekuasaan dan keesaan Tuhan Rabbani. Kesemua objek yang tidak bernyawa dan jisim-jisim yang tiada kesedaran ini, diputarkan dan ditugaskan dalam keteraturan dan keseimbangan yang tertinggi, dalam pelbagai bentuk dan jarak dengan pergerakan-pergerakan yang berbeza. Hal ini membuktikan betapa tingginya darjat kekuasaan dan hikmah-Nya. Oleh itu, anda fikirkanlah sendiri. Jika penyebab kebetulan campur tangan dalam perkara yang sangat besar dan kompleks ini walau sekecil manapun, ia pasti akan menyebabkan berlakunya suatu letupan yang begitu besar sehingga mampu menghancurkan alam semesta. Jika penyebab kebetulan itu menahan pula pergerakan salah satu daripada mereka selama satu minit, maka ia akan menyebabkannya terkeluar dari orbit dan membuka kemungkinan akan berlakunya perlanggaran dengan planet yang lain. Oleh itu, anda boleh bayangkan betapa dahsyatnya perlanggaran objek-objek yang beribu kali lebih besar daripada saiz bumi ini. Sekarang, kita akan merujuk kepada ilmu Allah yang merangkumi segala-galanya tentang keajaiban sistem suria, iaitu dua belas planet yang merupakan pengikut-pengikut dan segala hasil yang dikeluarkan oleh matahari, dan kita akan mempertimbangkan hanya pada planet bumi kita sendiri, yang berada di hadapan mata kita ini. Kita dapat melihat bahawa bumi melakukan perjalanan yang panjang dalam mengelilingi matahari melalui perintah Tuhan Rabbani sebagai tugasnya yang paling penting sebagaimana yang dijelaskan pada Warkah Ketiga dalam Kitab Maktubat dengan cara menunjukkan keagungan rububiyah, keunggulan uluhiyah dan kesempurnaan rahmat dan hikmah-Nya. Bumi itu dijadikan seumpama kapal Rabbani yang dipenuhi dengan keajaiban penciptaan-Nya, seumpama satu tempat tinggal yang bergerak seperti sebuah pameran untuk direnungi oleh hamba-hamba-Nya yang berakal. Manakala bulan itu pula seumpama jarum yang menunjukkan jam yang dapat mengukur waktu dan memberikan perhitungan yang tepat dengan hikmah-hikmahnya yang luar biasa, diatur dengan teliti untuk memenuhi kewajipannya terhadap Bumi melalui perjalanan dan pergerakannya yang berbeza di pelbagai tempat. Maka, kesemua kejadian di planet kita yang diberkati ini membuktikan akan Wajibul Wujud dan keesaan bagi Pemilik Kekuasaan Mutlak dengan kesaksian sebesar bebola bumi itu sendiri. Anda boleh membuat analogi dengan baki sistem suria yang lain. Seterusnya, matahari diciptakan untuk berputar pada paksinya sendiri seperti roda yang berputar, untuk menggulung sebiji bola benang-benang maknawi yang dikenali sebagai graviti dan mengikat planet-planet dengannya dan menyusun planet-planet tersebut dengan teratur. Matahari juga didorong bersama-sama dengan planet-planetnya pada kelajuan yang memotong jarak lima jam dalam satu saat, mengikut satu anggaran, ke arah Buruj Hercules atau ke arah Matahari segala Matahari. Kesemua ini secara pastinya berlaku melalui kuasa dan arahan Dia, Zat Yang Maha Agung, Raja Yang Azali dan Abadi. Hal ini seolah-olah Dia menjadikan sistem suria melakukan semua perjalanan secara tersusun seperti satu platun tentera yang sedang menerima pelbagai perintah, dan dengan demikian, menunjukkan keagungan rububiyah-Nya. Wahai ahli-ahli astronomi! Kuasa kebetulan apakah yang mampu campur tangan dalam semua perkara ini? Tangan dari penyebab manakah yang mampu mencapainya? Kuasa apakah yang boleh menyamai semua perkara ini? Mari, katakanlah! Adakah Sultan Yang Maha Agung seperti ini akan menunjukkan kelemahan dan membenarkan selain daripada-Nya campur tangan dalam kerajaan-Nya? Adakah Dia akan menyerahkan kepada tangan-tangan yang lain makhluk-makhluk hidup ini khususnya, yang merupakan buah-buahan, hasil, tujuan, dan inti pati alam semesta ini? Adakah Dia akan membenarkan selain daripada-Nya untuk campur tangan? Khususnya manusia, yang merupakan hasil yang paling lengkap dan paling sempurna, khalifah-Nya di muka bumi, seumpama cerminan tetamu-Nya. Adakah Dia akan membiarkan manusia ini bebas? Adakah Dia akan merujuknya kepada alam ‘semula jadi’ dan kuasa kebetulan, lalu melenyapkan kemuliaan kedaulatan-Nya dan mengurangkan hikmah-Nya yang sempurna kepada tiada?
اَلَمْ نَجْعَلِ اْلاَرْضَ مِهَادًا - والْجِبَالَ اَوْتَادًا - وَخَلَقْنَاكُمْ اَزْوَاجًا Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pasak? Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan. (Surah an-Naba: 6-8) فَانْظُرْ اِلٰۤى اٰثَارِ رَحْمَتِ اللّٰهِ كَيْفَ يُحْيِى اْلاَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا Maka perhatikanlah kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi selepas matinya… (Surah ar-Rum: 50) Bumi seumpama sebuah kepala yang mempunyai seratus ribu mulut. Pada setiap mulut itu terdapat seratus ribu lidah. Dan pada setiap lidah itu terdapat seratus ribu bukti, yang mana setiap satu daripadanya menjadi saksi dalam pelbagai cara terhadap Wajibul Wujud, keesaan, sifat-sifat suci dan Asmaul Husna (Nama-nama Yang Paling Indah) bagi Dia, Zat yang Maha Mulia. Ya, mari kita perhatikan pada penciptaan awal bumi. Batuan dicipta daripada jirim dalam berkeadaan cecair, dan tanah pula dihasilkan daripada batuan tersebut. Jika batuan itu kekal dalam bentuk cecair, ia tidak akan sesuai untuk didiami. Dan jika setelah menjadi batu, cecair itu menjadi keras seperti besi, ia juga tidak akan sesuai untuk digunakan. Maka, yang menjadikan keadaan bumi sebegini sudah pasti adalah daripada hikmah Pencipta Yang Maha Bijaksana yang telah melihat segala keperluan penduduk-penduduk bumi. Setelah itu, lapisan tanah dilemparkan ke atas pasak gunung-ganang. Hal ini bertujuan agar gempa bumi yang terhasil akibat pergolakan dalaman bumi dapat bernafas melalui gunung-ganang tersebut dan tidak mengakibatkan bumi tergoncang keluar daripada laluan dan tugas-tugasnya. Gunung-ganang ini juga berfungsi untuk melindungi daratan daripada dicerobohi oleh lautan serta menjadi gudang-gudang bagi keperluan utama kesemua makhluk hidup; dan membersihkan udara daripada gas-gas berbahaya untuk membolehkan kesemua makhluk hidup dapat bernafas. Gunung-ganang juga mengumpul dan menyimpan bekalan air, serta menjadi sumber dan lombong bagi mineral-mineral yang diperlukan oleh makhluk hidup. Maka, situasi ini dengan seterang-terang dan sekuat-kuatnya memberikan kesaksian akan kewujudan yang pasti dan keesaan bagi Pemilik Kekuasaan Mutlak, Dia yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Wahai ahli geografi! Dengan apakah anda dapat menjelaskan perkara ini? Kuasa kebetulan manakah yang mampu menjadikan kapal Rabbani yang dipenuhi makhluk-makhluk ajaib ini menjadi suatu pameran yang menakjubkan? Serta mampu membuatnya berputar dengan kelajuan yang membolehkannya melalui jarak dua puluh empat ribu tahun, dalam masa setahun dan tidak menjatuhkan walaupun hanya satu objek yang banyak tersusun di atas permukaannya? Pertimbangkanlah juga segala seni-seni ajaib yang terdapat di permukaan bumi ini. Betapa penuh hikmahnya unsur-unsur tersebut menjalankan tugas-tugas mereka! Betapa baiknya mereka memberikan khidmat kepada para tetamu Yang Maha Penyayang di muka bumi ini melalui perintah-Nya, Dia Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa, serta bersegera menjalankan tugas-tugas untuk melayani mereka. Perhatikanlah juga garis-garis sulaman dalam seni-seni yang aneh dan menakjubkan di permukaan bumi ini yang penuh warna-warni serta penuh dengan hikmah-hikmah yang ajaib. Lihatlah bagaimana kesemua alur-alur, anak-anak sungai, lautan, gunung-ganang dan bukit-bukau ini telah dijadikan tempat tinggal dan pelbagai bentuk pengangkutan yang sesuai untuk pelbagai makhluk dan hamba-Nya. Lihatlah bagaimana dengan penuh hikmah dan keteraturan, Dia kemudian telah memenuhi kesemuanya itu dengan ratusan ribu jenis tumbuhan serta haiwan. Dia memberikan mereka kehidupan dan membuatkan mereka bersuka-ria, dan betapa teraturnya pada setiap minit melepaskan makhluk-makhluk itu dengan mengosongkan tempat-tempat tinggal mereka dengan kematian. Kemudian, sekali lagi dengan cara yang teratur Dia mengisi semula tempat-tempat tersebut dalam bentuk ‘kebangkitan semula sesudah kematian.’ Kesemuannya ini menjadi saksi melalui ratusan ribu lidah akan Wajibul Wujud dan keesaan bagi Dia Yang Maha Kuasa, Maha Agung, Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna. Kesimpulan: Bumi, yang mana wajahnya merupakan suatu pameran keajaiban seni, memaparkan keajaiban dalam penciptaan segala makhluk, tempat persinggahan bagi sekumpulan kafilah makhluk, serta merupakan masjid dan tempat tinggal bagi barisan hamba-hamba-Nya yang beribadah; adalah seumpama jantung bagi seluruh alam semesta. Oleh itu, ia sesungguhnya memaparkan cahaya keesaan Ilahi sekuat kewujudan alam semesta ini. Wahai ahli geografi! Andaikan bumi ini seumpama kepala yang memiliki seratus ribu mulut, yang mana padanya terdapat seratus ribu lidah dengan setiap satunya menyatakan kewujudan Allah, dan anda masih lagi tidak mengenali-Nya dan menjerumuskan kepala anda ke dalam paya ‘semula jadi’ (asbab tabiat), maka bayangkanlah betapa besarnya dosa anda ini! Ketahuilah, betapa dahsyatnya hukuman yang sepatutnya anda terima! Sedarlah dan keluarkanlah kepala anda daripada paya itu! Katakanlah: اٰمَنْتُ بِاللّٰهِ الَّذِى بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شىْءٍ Maksudnya: Aku beriman kepada Allah yang di tangan-Nya kekuasaan segala sesuatu.
اَلَّذِى خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيٰوةَ Dialah yang telah menciptakan mati dan hidup… (Surah al-Mulk: 2) Kehidupan adalah mukjizat kekuasaan Tuhan Rabbani yang paling bercahaya dan indah. Kehidupan juga merupakan bukti keesaan Ilahi yang paling kuat dan paling bersinar. Ia adalah cerminan yang paling komprehensif dan paling terang yang memaparkan manifestasi as-Somad (Yang Maha Diperlukan oleh semua makhluk). Ya, kehidupan itu dengan sendirinya menzahirkan al-Hayyu Qayyum (Tuhan Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri) serta kesemua nama dan sifat-Nya. Hal ini kerana kehidupan itu merupakan suatu cahaya dan penawar seumpama suatu ramuan yang terdiri daripada pelbagai sifat. Sama seperti tujuh warna yang tergabung dalam cahaya, dan pelbagai jenis bahan dicampur dalam membentuk ubat-ubatan, begitu juga dengan kehidupan, yang mana ia adalah sebuah hakikat yang terbentuk daripada pelbagai sifat. Sebahagian daripada sifat-sifat tersebut pada hakikatnya dikembangkan melalui pelbagai indera; dan dengan cara ini mereka tersingkap dan dibezakan. Namun, sebahagian besar daripada sifat itu terzahir dalam bentuk perasaan dan terungkap dalam bentuk kehidupan yang membara. Selain itu, kehidupan itu juga merangkumi rezeki, rahmat, anugerah, hikmah, yang kesemuanya ini dominan dalam pengaturan dan pentadbiran alam semesta, seolah-olah kehidupan itu menarik kesemuanya ini di belakangnya dan membawa mereka ke mana sahaja tempat yang dimasukinya. Sebagai contoh, ketika kehidupan itu memasuki sebuah tubuh, nama Allah al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) akan dimanifestasikan. Ia akan membuat tempat tinggalnya dengan baik dan mengaturnya dengan penuh kebijaksanaan. Dalam cara yang sama, nama-Nya al-Karim (Yang Maha Mulia) juga dimanifestasikan. Ia akan mengatur dan menghiasi tempat tinggalnya sesuai dengan semua keperluannya. Pada masa yang sama juga, manifestasi nama-Nya ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani) turut jelas terlihat. Ia menganugerahkan segala jenis nikmat untuk kelangsungan dan kesempurnaan hidup. Sekali lagi, pada masa yang sama, manifestasi nama ar-Razzaq (Yang Maha Memberi) juga akan terzahir. Ia menghasilkan makanan, sama ada dalam bentuk material mahupun maknawi (rohani), yang diperlukan untuk kelangsungan dan perkembangan kehidupan, serta sebahagiannya turut disimpan di dalam tubuh tersebut. Hal ini bermakna kehidupan ibarat suatu titik pusat; pelbagai sifat saling memasuki antara satu sama lain, bahkan mungkin bersatu. Ia seolah-olah pada masa yang sama kehidupan itu turut merangkumi ilmu pengetahuan, kuasa, hikmah, rahmat dan lain-lainnya. Maka dengan itu, merujuk kepada hakikat yang menyeluruh ini, kehidupan itu merupakan sebuah cerminan bagi zat-Nya, iaitu as-Somad (Yang Maha Diperlukan) yang mencerminkan sifat-sifat penting rububiyah-Nya. Oleh sebab misteri inilah Dia Yang Wajibul Wujud, al-Hayyu al-Qayyum (Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri) menciptakan kehidupan tersebut dalam jumlah dan kelimpahan yang besar, menyebarkannya, mengisytihar dan mengumpulkan segala-galanya di sekeliling kehidupan tersebut dan menjadikan kesemuanya itu berkhidmat kepadanya. Hal ini kerana tugas kehidupan itu adalah sangat besar. Ya, menjadi cerminan bagi as-Somad bukanlah perkara yang mudah, ia bukanlah satu tugasan yang remeh. Oleh hal yang demikian, kemunculan segala kehidupan yang tidak terhitung jumlahnya secara serta-merta dan berterusan daripada ketiadaan ini, yang kita dapat lihat sepanjang masa di hadapan mata kita. Demikianlah juga kesemua roh yang merupakan asal-usul dan zat kepada kehidupan; kesemua yang diutuskan ini menunjukkan kepada kewujudan yang pasti, sifat-sifat-Nya yang suci dan Asmaul Husna (Nama-nama yang Paling Indah) bagi Dia yang Wajibul Wujud, al-Hayyu al-Qayyum, seterang pancaran sinar matahari yang menunjukkan kewujudan matahari. Sama seperti seseorang yang tidak mengakui dan menerima kewujudan matahari terpaksa menyangkal cahaya yang menerangi waktu siang, maka begitu juga dengan seseorang yang tidak mengakui Matahari Keesaan Ilahi, al-Hayyu al-Qayyum serta al-Muhyi al-Mumit (Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan), dia juga terpaksa menyangkal kewujudan makhluk hidup yang memenuhi permukaan bumi ini bahkan juga pada masa lalu dan masa hadapan. Dia juga terpaksa jatuh ke tahap seratus kali lebih rendah daripada haiwan dan daripada darjat kehidupan menjadi sesuatu yang benar-benar bodoh dan tidak bernyawa.
لاَۤ اِلٰهَ اِلاَّ هُوَ كُلُّ شَىْءٍ هَالِكٌ اِلاَّ وَجْهَهُ لَهُ الْحُكْمُ وَاِلَيْهِ تُرْجَعُونَ Tiada Tuhan melainkan Dia. Setiap sesuatu akan binasa melainkan wajah-Nya (Allah). Dia mempunyai kuasa memutuskan segala hukum dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan. (Surah al-Qasas: 88) Kematian adalah hujah sebesar kehidupan itu sendiri terhadap rububiyah Ilahi. Ia merupakan hujah yang paling kuat akan keesaan-Nya. Firman Allah SWT: اَلَّذِى خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيٰوةَ Dia yang menjadikan mati dan hidup.(Surah al-Mulk: 2) Ayat al-Quran di atas menunjukkan bahawa kematian bukanlah suatu ketiadaan, pemusnahan, ketidakwujudan dan kehancuran tanpa pelaku; namun, sepertimana yang ditunjukkan dalam Kitab Maktubat Pertama, kematian itu merupakan suatu pembebasan daripada tugas oleh Dia, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ia merupakan suatu perubahan tempat tinggal, pertukaran tubuh badan, kerehatan daripada tugas, pembebasan roh daripada penjara tubuh. Kematian itu adalah sebuah pekerjaan yang mempunyai hikmah lagi teratur. Ya, sama seperti segala makhluk dan kehidupan yang hidup di atas muka bumi yang terbentuk dengan sempurna ini menjadi saksi akan Wajibul Wujud dan keesaan Pencipta Yang Maha Bijaksana, maka begitu juga dengan kematian yang berlaku ke atas semua makhluk itu. Ia juga menjadi saksi akan keabadian dan keesaan Dia Yang Maha Hidup lagi Maha Kekal. Memandangkan telah dibuktikan dan dijelaskan pada Kalimah Kedua Puluh Dua bahawa kematian itu adalah bukti yang sangat kukuh akan keesaan dan keabadian Ilahi,maka kami akan merujuk perbincangan ini pada Kalimah tersebut dan di sini hanya akan menghuraikan satu noktah yang penting daripadanya. Ia adalah seperti berikut: Sebagaimana kewujudan segala makhluk hidup itu menunjukkan kewujudan Dia Yang Wajibul Wujud, begitu juga dengan kematian mereka, ia juga menjadi saksi akan keabadian dan keesaan Dia Yang Maha Hidup lagi Maha Kekal. Sebagai contoh, permukaan bumi ini, yang merupakan suatu makhluk hidup menunjukkan kepada Sang Pencipta dengan segala keteraturan dan keadaannya yang pelbagai, begitu juga ia menunjukkan kepada Penciptanya ketika ia mati, iaitu ketika musim sejuk menutupi muka bumi ini dengan kain kafan putihnya dan membuatkan pandangan manusia berpaling dari permukaan bumi itu. Pandangan mereka beralih ke masa lalu, iaitu pada mayat segala yang hidup pada musim bunga yang telah pergi, dan hal ini menunjukkan kepada mereka suatu pemandangan yang jauh lebih luas. Hal ini bermaksud, setiap musim bunga yang telah berlalu pergi di muka bumi ini, yang mana kesemuanya ini merupakan mukjizat kekuasaan-Nya, memberitahu kita bahawa makhluk-makhluk hidup musim bunga yang baru akan tiba. Oleh kerana kesemuanya ini menjadi saksi akan kewujudan segala keajaiban kekuasaan Ilahi pada masa akan datang, setiap kali musimnya berlalu merupakan bumi yang hidup; maka ianya menjadi saksi dengan penuh gemilang dan kukuh dalam skala yang begitu luas akan kewujudan yang pasti, keesaan, kekekalan dan keabadian bagi Dia, Sang Pencipta Yang Maha Agung, Yang Maha Berkuasa lagi Maha Sempurna dan Yang Maha Hidup lagi Maha Kekal Abadi. Kesemua mereka ini memperlihatkan bukti-bukti yang begitu jelas sehingga, mahu atau tidak mahu, mereka membuatkan seseorang itu mengisytiharkan: “Aku beriman kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Tunggal!” Kesimpulan: وَيُحْيِى اْلاَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا Dan Dia menghidupkan bumi setelah matinya. (Surah ar-Rum:19) Menurut ayat al-Quran di atas, sama seperti bumi yang hidup ini memberikan kesaksian kepada Pencipta dengan datangnya musim bunga, maka begitu juga dengan kematiannya, ia mengarahkan pandangan manusia kepada mukjizat kekuasaan Ilahi yang tersusun pada kedua-dua sayap waktu, iaitu masa lalu dan masa hadapan. Hal ini menunjukkan ribuan keajaiban yang terdapat di sebalik satu mukjizat. Dan setiap musim bunga yang telah berlalu itu memberi kesaksian yang lebih pasti daripada musim bunga pada masa sekarang. Hal ini kerana setiap musim bunga yang telah berlalu itu pergi bersama dengan penyebab-penyebabnya yang zahir, dan setelah ia berlalu, akan datang musim bunga yang sama seperti sebelumnya untuk digantikan tempatnya. Ini bermakna bahawa semua penyebab yang zahir itu adalah tidak wujud; hanya Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Agung yang menciptakan setiap musim bunga itu serta menghubungkannya dengan segala penyebab tersebut melalui hikmah-Nya, menunjukkan bahawa Dia yang mengutuskan mereka kesemuanya. Adapun wajah-wajah bumi yang disusun untuk masa depan, kesemuanya memberikan kesaksian dengan lebih bersinar, kerana kesemuanya itu akan dicipta baru daripada ketiadaan, lalu akan dihantar dan ditempatkan di bumi, diperintahkan untuk melaksanakan tugas mereka dan seterusnya akan dihantar pulang. Maka, wahai orang-orang lalai yang terpesong dalam perangkap asbab ‘semula jadi’ dan tenggelam ke dalam payanya! Bagaimanakah sesuatu yang tidak memiliki tangan yang bijaksana dan kuat untuk mencapai masa lalu dan masa depan, mampu untuk campur tangan dalam urusan kehidupan bumi? Dapatkah asbab ‘semula jadi’ anda yang sama sekali tidak wujud itu campur tangan dalam hal ini? Jika anda ingin diselamatkan, katakanlah: “Paling tidak, asbab ‘semula jadi’ hanyalah sebuah buku catatan kekuasaan Ilahi. Dan mengenai asbab ‘kebetulan’, ia adalah suatu hijab kepada hikmah Ilahi yang tersembunyi yang menutupi kejahilan kita.” Dekatilah hakikat kebenaran ini!
Sepertimana sesuatu yang dipukul menunjukkan adanya pemukul, suatu karya seni yang indah menunjukkan adanya seorang karyawan, seorang anak menunjukkan ada ibu bapanya, dan sesuatu permukaan di bawah menunjukkan adanya suatu permukaan di atas dan seterusnya. Demikianlah juga dengan semua sifat yang dikenali sebagai perkara-perkara relatif, yang tidak bersifat mutlak dan tidak mungkin wujud tanpa satu sama lain, yang wujudnya bersifat mungkin (imkan), jelas terlihat di dalam perkara-perkara sama ada yang khusus mahupun umum pada alam semesta, kesemuanya ini menunjukkan kepada sesuatu yang kewujudannya adalah pasti. Keadaan yang menjadi objek tindakan yang dapat dilihat pada mereka kesemuanya menunjukkan kepada suatu perbuatan, keberadaan makhluk yang terlihat di seluruh alam semesta menunjukkan kepada adanya pencipta, dan kepelbagaian dan komposisi yang terlihat pada mereka, semuanya ini menunjukkan kesatuan. Sesuatu yang harus pada sesuatu perbuatan, suatu penciptaan dan suatu kesatuan secara jelas memerlukan bukan daripada sesuatu yang mungkin, bukan sesuatu yang terkesan, bukan sesuatu yang pelbagai, bukan sesuatu yang tercampur dan bukan juga sesuatu yang diciptakan. Sebaliknya, ia mestilah sesuatu yang bersifat wajib (pasti), pelaku (fa’il), tunggal (wahid), dan pencipta (khaliq). Dalam hal ini, semua kemungkinan, semua pergolakan yang menjadi objek tindakan, semua makhluk, serta semua kepelbagaian dan komposisi memberikan kesaksian kepada Dia Yang Wajibul Wujud, Yang Maha Berkuasa bertindak sesuai dengan kehendak-Nya, Pencipta Segala Sesuatu dan Satu-satunya yang Esa. Kesimpulan: Sama seperti keharusan yang terlihat daripada kemungkinan, segala perbuatan yang terlihat daripada keadaan yang dikenakan tindakan, dan kesatuan yang terlihat daripada kepelbagaian, dan kewujudan yang awal dengan pasti menunjukkan kewujudan yang selepasnya. Maka demikian pula, maka demikian pula, sifat-sifat seperti penciptaan yang memenuhi segala keperluan yang terlihat pada sekalian makhluk dengan jelas menunjukkan akan kewujudan sifat-sifat seperti mencipta dan memberi rezeki. Selanjutnya, kewujudan sifat-sifat ini pula menunjukkan dengan pasti dan dengan sendirinya akan kewujudan suatu Pencipta Yang Maha Pengasih, yang merupakan Pembuat dan Pemberi Rezeki. Maka hal ini bermakna, setiap kewujudan, yang mana dengan lidah beratus-ratus sifat yang dibawa, memberikan kesaksian kepada ratusan nama-nama yang Paling Indah (Asmaul Husna) bagi Dia Yang Wajibul Wujud. Jika semua kesaksian yang jelas ini tidak diterima, maka seseorang itu perlu menafikan semua sifat-sifat yang terdapat pada segala makhluk yang wujud.
[Jendela ini tidak bersifat umum, sebaliknya ia ditujukan khusus kepada para pencinta Ilahi yang mendekati-Nya dengan sepenuh hati.] Kecantikan dan keindahan yang sentiasa diperbaharui pada wajah-wajah segala yang wujud di alam semesta menunjukkan bahawa kesemua mereka merupakan manifestasi bagi Dia Yang Maha Indah lagi Maha Abadi. Ya, seperti buih-buih yang berkilau pada permukaan sungai lalu menghilang, dan digantikan dengan buih-buih yang lain setelahnya yang mana berkilauan seperti sebelumnya; menunjukkan bahawa mereka kesemuanya adalah cerminan dari sinar matahari yang kekal abadi. Demikianlah juga kesemua sinaran keindahan yang bersinar pada makhluk-makhluk yang bergerak di dalam aliran waktu seumpama aliran sungai turut menunjukkan kepada Dia yang Maha Indah lagi Maha Abadi serta merupakan tanda-tanda bagi-Nya. Begitu juga cinta yang mengasyikkan pada hati alam semesta turut menunjukkan kepada Kekasih yang Abadi. Sepertimana hakikat bahawa sesuatu yang tidak ditemui di dalam sebatang pokok itu tidak akan ditemui dalam bentuk yang tulen di dalam buahnya, begitu juga cinta Ilahi yang tulus kepada manusia yang merupakan hasil buah daripada alam semesta menunjukkan bahawa cinta dan keasyikan sejati itu juga dapat ditemui di setiap pelusuknya, tetapi dalam bentuk-bentuk yang berbeza. Dalam hal ini, cinta dan keasyikan yang hakiki pada hati alam semesta ini menunjukkan kepada Kekasih yang Azali. Seterusnya, kesemua daya tarikan dan pesona yang mengasyikkan yang terdapat dalam pelbagai bentuk di dalam hati alam semesta menunjukkan kepada hati-hati yang sedar bahawa kesemuanya merupakan tarikan daripada suatu hakikat yang azali. Selain itu, menurut persepakatan para wali dan mereka yang merungkai misteri di sebalik penciptaan, yang mana merupakan golongan yang paling peka dan bercahaya dalam kalangan makhluk, melalui pencahayaan dan kesaksian mereka yang telah menerima manifestasi daripada al-Jamil Zuljalal (Yang Maha Indah, Pemilik Keagungan) dan melalui pencahayaan yang bersinar, telah merasai bahawa al-Jalil ZulJamal (Dia Yang Maha Indah lagi Maha Agung) menjadikan Diri-Nya untuk dikenali dan dicintai mereka. Perkhabaran mereka yang bersepakat dalam hal ini sekali lagi menjadi saksi dengan pasti akan kewujudan Dia Yang Wajibul Wujud, Dia Yang Maha Indah lagi Maha Agung serta menjadikan diri-Nya dikenali manusia. Di samping itu, pena yang melakarkan keindahan dan menghiasi sekalian makhluk serta wajah alam semesta dengan jelas dan nyata menunjukkan keindahan Nama-nama Pemilik pena tersebut. Justeru, keindahan pada wajah alam semesta, perasaan cinta di hatinya, daya tarikan di dadanya, penyingkapan dan kesaksian pada matanya serta keseluruhan keindahan dan hiasannya; kesemuanya ini membuka sebuah jendela yang benar-benar penuh kehalusan dan bercahaya. Dengan ini, ia memaparkan kepada minda dan hati mereka yang sedar tentang Dia, al-Jamil Zuljalal (Yang Maha Indah, Pemilik Keagungan), al-Mahbub al-Baqi (Kekasih Yang Azali), al-Ma’bud al-Azali (Tuhan Yang Kekal Abadi) dan bagi-Nya semua Nama-nama yang Indah. Wahai manusia lalai yang terkapai-kapai di tengah-tengah keraguan yang menyesakkan dalam kegelapan duniawi dan kekaburan khayalan! Kembalilah kepadan kewarasanmu! Marilah kepada kedudukan yang layak bagi kemanusiaan! Perhatikanlah melalui keempat-empat pembukaan di atas, lihatlah keindahan-Nya dalam keesaan, capailah iman yang sempurna dan jadilah manusia yang sejati!
اَللّٰهُ خَالِقُ كُلِّ شَىْءٍ وَهُوَ عَلٰى كُلِّ شَىْءٍ وَكِيلٌ Allah yang menciptakan setiap sesuatu dan Dialah yang mentadbirkan serta menguasai segala-galanya. (Surah az-Zumar: 62) Kita melihat segala perkara yang kelihatan sebagai sebab dan akibat dalam alam semesta, dan mendapati bahawa sebab yang paling tinggi pun tidak memiliki daya yang cukup untuk menghasilkan akibat yang paling rendah. Hal ini bermakna segala sebab itu hanyalah merupakan sebuah tirai dan ada sesuatu yang lain yang menciptakan akibatnya. Sebagai suatu contoh yang kecil daripada pelbagai makhluk yang tidak terhitung ini, marilah kita pertimbangkan keupayaan ingatan yang terletak di dalam kepala manusia dalam ruang sekecil biji sawi: Kita melihatnya seolah-olah sebuah buku yang sangat komprehensif, bahkan ia seumpama sebuah perpustakaan, di mana seluruh sejarah kehidupan seseorang itu tertulis di dalamnya tanpa adanya kekeliruan. Apakah sebab yang dapat ditunjukkan untuk menjelaskan keajaiban kekuasaan ini? Adakah ia disebabkan oleh materi kelabu di dalam otak itu? Atau partikel-partikel sel yang mudah yang tidak mempunyai kesedaran itu? Atau ia disebabkan oleh angin kebetulan dan ‘semulajadi’? Akan tetapi, karya yang ajaib ini hanya boleh menjadi hasil karya Pencipta Yang Maha Bijaksana, untuk mengingatkan manusia bahawa setiap perbuatan yang dilakukannya telah direkodkan dan akan dipertontonkan kembali pada hari perhitungan melalui tulisan pada sebuah lejar kecil daripada buku besar segala amalan manusia untuk diterbitkan pada hari kebangkitan, dan akan diberikan buku tersebut kepadanya. Oleh itu, memandangkan ia dapat dibandingkan dengan keupayaan ingatan manusia, maka buatlah analogi dengan semua telur, biji benih dan bijirin kemudian bandingkan akibat-akibat lain terhadap keajaiban-keajaiban kecil yang menyeluruh ini. Hal ini demikian kerana apa jua akibat dan karya seni yang anda lihat, padanya sudah pasti terkandung seni yang begitu menakjubkan. Bukan sahaja sebab-musababnya yang kelihatan biasa dan mudah, bahkan juga jika semua sebab-musabab itu dikumpulkan, mereka pasti akan menyatakan kelemahan mereka di hadapan-Nya. Misalnya matahari, yang dianggap sebagai penyebab yang besar, serta memiliki kehendak dan kesedaran; jika dikatakan kepadanya: “Adakah engkau mampu membuat seekor lalat?”, sudah tentu ia akan menjawab: “Melalui limpahan nikmat Pencipta-ku, terdapat banyak cahaya, haba dan warna di kedaiku, akan tetapi benda-benda yang terdapat pada seekor lalat seperti mata, telinga dan hal-hal kehidupannya tidak pula terdapat di kedaiku, dan juga kesemuanya ini adalah di luar bidang kuasaku.” Tambahan pula, seni yang menakjubkan dan perhiasan dalam hasil-hasil kejadian telah menyingkirkan sebab-musabab dan menunjukkan kepada Dia Yang Wajibul Wujud, Penyebab kepada Segala Penyebab, melalui firman-Nya: وَاِلَيْهِ يُرْجَعُ اْلاَمْرُ كُلُّهُ yang bermaksud: “Dan kepada-Nya kembali segala urusan.” (Hud: 123). Maka, segala urusan akan diserahkan kepada-Nya. Demikianlah pula segala hasil, tujuan dan manfaat yang terikat dengan akibat-akibatnya menunjukkan dengan jelas bahawa kesemuanya itu adalah hasil karya Rabb Yang Maha Pemurah, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengasihani, di sebalik tirai sebab-musabab. Hal ini kerana sebab-musabab yang tiada kesedaran itu sudah tentu tidak dapat memikirkan sesuatu tujuan dan bekerja untuknya. Sedangkan kita melihat bahawa setiap makhluk yang datang serta wujud itu tidak hanya memperlihatkan satu faedah, tetapi menunjukkan pelbagai hasil, tujuan, manfaat dan juga hikmah. Hal ini bermakna Tuhan Rabbul ‘Alamin yang Maha Bijaksana dan Maha Pemurah telah menciptakan semua perkara tersebut dan mengirimkannya. Dia menjadikan segala manfaat itu sebagai matlamat bagi kewujudan mereka. Sebagai contoh, ketika hujan bakal turun. Jelas sekali betapa jauhnya sebab-musabab yang secara zahirnya kelihatan menghasilkan hujan daripada memikirkan tentang haiwan-haiwan dan memiliki rasa belas kasihan dan kasih sayang terhadap mereka. Hal ini bermakna hujan itu dikirimkan untuk membantu mereka melalui hikmah Pencipta Yang Maha Penyayang, yang menciptakan semua haiwan tersebut serta menjamin rezeki mereka. Bahkan, hujan juga disebut sebagai ‘rahmat’. Hal ini kerana padanya terkandung banyak kesan rahmat dan manfaat seolah-olah rahmat itu terwujud dalam bentuk hujan, terbentuk menjadi butiran-butiran titisan dan hadir dengan cara itu. Selain itu, semua tumbuh-tumbuhan terhias indah yang tersenyum pada sekalian makhluk serta perhiasan dan paparan yang terdapat pada sekalian haiwan dengan jelas menunjukkan kewujudan dan keesaan Dia Yang Maha Agung di sebalik tirai yang ghaib; Dia yang mengkehendaki supaya diri-Nya dikenali dan dicintai melalui kesemua seni halus yang indah ini. Hal ini bermaksud, segala perhiasan yang terdapat pada segala benda serta keindahan yang dipaparkan ini dengan pasti menunjukkan sifat-sifat untuk Dia dikenali dan dicintai. Manakala, sifat yang menjadikan Dia dikenali dan dicintai ini dengan jelas menjadi saksi kepada Wajibul Wujud dan keesaan bagi Pencipta Yang Maha Kuasa, Dia Yang Maha Dicintai dan Dikenali. Kesimpulan: Memandangkan segala sebab-musabab tersebut merupakan perkara yang benar-benar biasa dan lemah, sedangkan akibat yang disandarkan padanya merupakan perkara yang sangat berharga dan penuh kesenian, maka hal ini seharusnya menyingkirkan sebab-musabab itu. Tujuan dan manfaat bagi segala hasil akibat juga menyingkirkan segala sebab-musabab yang jahil dan tidak bernyawa itu, dan kesemuanya dikembalikan kepada Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana. Selain itu, perhiasan dan kemahiran yang terdapat pada wajah hasil-hasil akibat ini menunjukkan kepada Dia, Pencipta Yang Maha Bijaksana yang ingin menyatakan kekuasaan-Nya kepada makhluk-makhluk-Nya yang sedar dan ingin membuatkan Diri-Nya dicintai. Wahai penyembah sebab-musabab yang malang! Dengan apakah anda mampu menjelaskan segala hakikat yang penting ini? Bagaimanakah anda sanggup menipu diri anda sendiri? Jika anda mempunyai akal, koyakkanlah segala tirai sebab-musabab itu dan katakanlah: “Dialah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya!” Maka anda akan terselamat daripada khayalan yang tidak terhitung banyaknya!
وَاِنْ مِنْ شَىْءٍ اِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ Dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih memuji-Nya… (Surah al-Israa’: 44) Pada suatu musim bunga, aku telah melakukan sebuah pengembaraan, dalam keadaan terasing dan tenggelam dalam keadaan bertafakur yang mendalam. Sewaktu mengelilingi sebuah bukit, sekuntum bunga buttercup kuning telah menarik perhatianku. Lantas ia mengingatkanku kembali kepada spesies bunga buttercup yang sama yang pernah aku lihat lama dahulu di tanah airku dan juga di negara-negara lain. Makna ini kemudiannya terlintas di hatiku: Sesiapa sahaja yang tertera cap mohornya di atas sekuntum bunga ini, tentunya Dialah yang memiliki meterai dan cap mohor bagi kesemua bunga-bungaan daripada spesies ini yang terdapat di seluruh permukaan bumi. Setelah itu, terlintas di fikiranku: Sebagaimana cap meterai yang terdapat pada sepucuk surat menunjukkan kepada penulisnya, maka demikianlah juga dengan bunga ini yang mana ia merupakan cap mohor yang menunjukkan kepada Dia Yang Maha Pengasih. Selanjutnya, bukit-bukau yang terukir dengan cetakan pelbagai spesies bunga-bungaan ini yang tertulis melalui garisan baris-baris tumbuhan yang penuh makna, kesemuanya itu adalah perutusan daripada Sang Pencipta sekuntum bunga tersebut. Bukit ini juga merupakan suatu cap mohor. Kawasan dataran dan kawasan tanah tinggi juga telah mengambil bentuk sebagai suatu perutusan bagi Dia Yang Maha Pengasih. Daripada gambaran ini, terlintas di mindaku suatu hakikat: Sepertimana cap mohor yang terdapat pada setiap benda adalah disandarkan kepada Penciptanya, maka hal ini membuktikan bahawa setiap surat itu adalah daripada Penulisnya sendiri. Oleh itu, semua perkara ini merupakan jendela kepada ketauhidan Ilahi dengan cara setiap satunya itu disandarkan kepada Wahidul Ahad (Dialah Tuhan Yang Maha Esa). Dengan kata lain, ini adalah suatu cap mohor yang begitu indah dan seni yang sangat menakjubkan dalam setiap benda khususnya pada setiap makhluk yang hidup. Justeru, sesiapa yang mencipta dan mengukirnya dengan penuh makna sudah pasti mampu menciptakan semua perkara, dan yang mampu menciptakan semua perkara sudah pasti hanyalah Dia. Hal ini bermaksud, sesuatu yang tidak mampu menciptakan segala-galanya, ia juga tidak mampu menciptakan walaupun hanya sesuatu benda. Wahai orang-orang yang lalai! Lihatlah wajah alam semesta ini! Lihatlah pada halaman-halaman makhluk, satu dengan yang lain, seumpama surat-surat daripada as-Somad (Yang Maha Diperlukan oleh semua makhluk), dan setiap surat itu ditanda dengan cap-cap mohor ketauhidan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya! Siapakah yang mampu menafikan kesaksian kesemua cap mohor ini? Kuasa apakah yang dapat mendiamkan kesemuanya ini? Tidak kira yang mana satu pun daripada surat-surat yang anda dengar dengan telinga hati, anda pasti akan mendengarnya mengisytiharkan: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah.”
لَقَدْ خَلَقْنَا اْلاِنْسَانَ فِىۤ اَحْسَنِ تَقْوِيمٍ Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (Surah at-Tin: 4) وَفِى اْلاَرْضِ اٰيَاتٌ لِلْمُوقِنِينَ - وَفِىۤ اَنْفُسِكُمْ اَفَلاَ تُبْصِرُونَ Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Mengapa kamu tidak memerhatikan? (Surah az-Zariyat: 20-21) Jendela ini merupakan jendela yang berkait dengan manusia dan mengenai dirinya sendiri. Untuk perbincangan yang lebih terperinci dalam hal ini, kami merujuk anda kepada kitab-kitab yang terperinci oleh ribuan ulama dan pengkaji yang bertaraf aulia. Di sini kami hanya akan menunjukkan beberapa prinsip yang telah kami perolehi daripada sinar keberkahan al-Quran. Hal ini adalah seperti berikut: Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Kalimat Kesebelas, “Manusia itu merupakan suatu salinan miniatur yang begitu komprehensif sehinggakan melalui dirinya, Tuhan Yang Maha Kuasa menjadikan semua nama-Nya dapat dirasai oleh jiwa manusia itu sendiri. Untuk perincian, kami merujuk anda kepada beberapa bab di dalam Kitab Kalimat dan di sini hanya akan diterangkan tiga noktah sahaja. Noktah Pertama Manusia adalah suatu cerminan kepada Nama-nama Ilahi dalam tiga aspek. Aspek Pertama: Sepertimana kegelapan malam menunjukkan cahaya, begitu juga melalui kedaifan dan kelemahan yang ada pada diri manusia, kefakiran dan keperluannya, serta kekurangan dan kecacatannya; manusia itu memperlihatkan akan kekuasaan, kekuatan, kekayaan dan rahmat bagi Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Agung dan sifat-sifat-Nya yang lain. Dengan cara ini, manusia tersebut bertindak seumpama sebuah cermin kepada pelbagai sifat Ilahi. Bahkan walaupun melalui pencarian titik sokongan dalam kelemahannya yang tak terbatas dan kedaifannya yang tidak terhad melawan musuhnya yang tidak terhitung itu, hati nuraninya tetap menghadap kepada Dia Yang Wajibul Wujud. Walaupun melalui keterpaksaan dalam kefakirannya yang tidak terhingga dan keperluannya yang tidak berkesudahan untuk mencari titik bantuan dalam menghadapi matlamatnya yang tidak terhitung, hati nuraninya pada sepanjang masa itu tetap menyandarkan diri di singgahsana, Dia Yang Maha Pengasih dan menadahkan tangannya dalam doa. Ertinya, berkaitan dengan titik sokongan dan titik bantuan pada hati nurani manusia ini, dua jendela kecil terbuka di singgahsana rahmat Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Pengasih, yang mana sepanjang masa dia boleh melihat melaluinya. Aspek kedua yang merupakan cerminan ialah: Melalui perkara-perkara seperti sebahagian ilmu, kekuatan, penglihatan, pendengaran, kepemilikan, dan kedaulatan yang diberikan kepada manusia yang merupakan contoh (salinan miniatur); manusia itu mencerminkan ilmu, kekuatan, penglihatan, pendengaran, dan kedaulatan rububiyah bagi Dia, Penguasa Alam Semesta. Manusia memahaminya lalu dia mengisytiharkannya. Sebagai contoh, dia berkata: “Sebagaimana saya membina rumah ini dan mengetahui cara membinanya, melihat, memiliki dan mentadbirnya, maka demikianlah juga dengan istana alam semesta yang hebat ini, ia sudah pasti mempunyai Pencipta. Penciptanya sudah tentu mengetahui, melihat, membina dan mentadbirnya.” Dan begitulah seterusnya. Aspek ketiga yang juga berbentuk cerminan ialah: Manusia merupakan seumpama sebuah cermin bagi nama-nama Ilahi, melalui tanda-tanda yang terukir pada dirinya. Terdapat lebih daripada tujuh puluh nama Ilahi yang kesannya jelas terdapat dalam sifat manusia secara menyeluruh. Perkara ini telah diterangkan dalam satu peringkat pada permulaan Hentian Ketiga daripada Kalimat Ketiga Puluh Dua. Sebagai contoh, melalui penciptaan diri manusia, ia menunjukkann nama-nama-Nya as-Sani’ (Yang Maha Pembuat) dan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), melalui kewujudannya pula dalam bentuk yang sebaik-baiknya, menunjukkan pada Nama-nama-Nya ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Yang Maha Penyayang), dan melalui cara yang terbaik dirinya ditarbiah dan dibesarkan, ia menunjukkan pula pada Nama-nama-Nya al-Karim (Yang Maha Mulia) dan al-Latif (Yang Maha Lembut), dan begitulah seterusnya. Diri manusia itu menunjukkan tanda-tanda yang berbeza bagi nama-nama-Nya yang berbeza melalui kesemua anggota dan fakultinya, organ dan anggota tubuhnya, semua derianya yang halus dan fakultinya, serta semua perasaan dan emosinya. Hal ini bermaksud, sepertimana di antara nama-nama tersebut terdapat nama Yang Paling Agung bagi-Nya, maka begitu juga di antara sekalian ukiran daripada nama-nama-Nya itu, terdapat satu ukiran yang paling hebat, iaitu manusia. Wahai manusia yang menganggap dirinya manusia sejati! Bacalah diri anda sendiri! Jika tidak, anda mungkin akan menjadi seperti binatang atau benda yang tidak bernyawa! Noktah Kedua Noktah ini menunjukkan kepada sebuah misteri penting tentang keesaan Ilahi. Ia adalah seperti berikut: Hubungan antara roh manusia dan tubuhnya adalah sedemikian rupa sehingga ia menyebabkan semua anggota dan bahagian saling membantu antara satu sama lain. Maksudnya, roh manusia merupakan suatu kanun yang memerintah di antara undang-undang yang berkaitan dengan penciptaannya, yang merupakan manifestasi iradat Ilahi, yang memakaikannya dengan kewujudan luarannya yang mana ia merupakan fakulti Rabbani yang halus. Oleh itu, dalam mentadbir bahagian-bahagian tubuh dan mendengar segala suara maknawi mereka, dan melihat segala keperluan mereka; semua bahagian tubuh itu tidak langsung membentuk halangan antara satu sama lain, serta tidak juga mengelirukan roh. Dekat dan jauh adalah sama dalam hubungan roh, tidak ada halangan antara satu sama lain. Jika dikehendakinya, sebahagian besar dapat diarah untuk membantu yang lain. Jika dikehendaki, ia dapat mengetahui, merasakan, dan mentadbir setiap bahagian tubuh. Bahkan, jika mencapai tingkat hati nurani yang tinggi, ia dapat melihat dan mendengar melalui setiap bahagian tersebut. Begitu juga dengat ayat al-Quran yang berikut: وَ ِللّٰهِ الْمَثَلُ اْلاَعْلٰى Dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi. (Surah an-Nahl: 60) Memandangkan roh, yang merupakan suatu kanun yang memerintah daripada Tuhan Yang Maha Kuasa, memperlihatkan kemampuan ini di dalam tubuh dan anggota manusia, yang merupakan mikrokosmos; maka, sudah pasti segala perbuatan yang tidak terbatas, suara-suara yang tidak terhitung, doa-doa yang tidak berkesudahan, perkara-perkara yang tidak terhitung dalam alam semesta, yang merupakan makrokosmos, tidak akan menyebabkan sebarang kesukaran bagi iradat (kehendak) yang mencakupi segala-galanya dan kekuasaan mutlak bagi Dia Zat Yang Wajibul Wujud. Mereka tidak akan membentuk halangan antara satu sama lain. Mereka kesemuanya tidak akan menyusahkan Dia, Pencipta Yang Maha Agung atau mengelirukan-Nya. Dia melihat dan mendengar mereka kesemuanya secara serentak. Dekat dan jauh adalah sama bagi-Nya. Jika Dia mengkehendaki, Dia akan menghantar semua untuk membantu sesuatu. Dia dapat melihat segala sesuatu dan mendengar suara-suara mereka melalui segala sesuatu. Dia mengetahui segala sesuatu melalui segala-galanya, dan begitulah seterusnya. Noktah Ketiga Kehidupan memiliki sifat yang paling penting dan tujuan yang signifikan. Namun, memandangkan perincian mengenai perkara ini telah dibincangkan dalam Jendela Kehidupan [Jendela Kedua Puluh Tiga] dan pada Kalimat Kelapan dalam Risalah Kedua Puluh, kami merujuk anda kepada bahagian-bahagian tersebut, dan di sini kami hanya ingin memberikan peringatan yang berikut. Segala tanda dalam kehidupan, yang mana bercampur aduk, menghasilkan dengan jelas pelbagai bentuk emosi, menunjukkan kepada banyak nama dan hal yang berkaitan dengan zat Ilahi yang hakiki. Kesemua mereka itu bertindak sebagai cermin-cermin yang memantulkan zat-zat hakiki bagi al-Hayy al-Qayyum (Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri) dalam cara yang paling cemerlang. Namun, ini bukan masanya untuk menjelaskan rahsia ini kepada mereka yang tidak mengiktiraf Tuhan atau belum sepenuhnya mengakui adanya Dia, dan oleh kerana itu kami di sini menutup pintu ini.
هُوَ الَّذِىۤ اَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدٰى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفٰى بِاللّٰهِ شَهِيدًا Dialah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama Islam) agar dimenangkan-Nya atas agama yang lain. Dan cukuplah Allah sebagai saksi. (Surah al-Fath: 28) قُلْ يَاۤ اَيُّهَا النَّاسُ اِنِّى رَسُولُ اللّٰهِ اِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِى لَهُ مُلْكُ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ لاَۤ اِلٰهَ اِلاَّ هُوَ يُحْيِى وَيُمِيتُ Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah Yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan… (Surah al-A’raaf: 158) Jendela ini merupakan Jendela Nabi Muhammad SAW, matahari bagi kenabian, bahkan Matahari bagi segala matahari. Oleh sebab ia telah dibuktikan dalam Kitab al-Kalimat, bab Ketiga Puluh Satu iaitu pada Risalah Mi’raj, dan pada Bab Kesembilan Belas, iaitu pada Risalah Kenabian Muhammad SAW, dan juga pada Tanda Kesembilan Belas pada Kitab Maktubat dalam Bab Kesembilan Belas; bahawa betapa bersinar dan nyatanya jendela yang paling terang, besar dan bercahaya ini; maka kita akan memikir dan merujuk kepada kedua-dua Risalah dalam Kitab al-Kalimat, dan juga Kitab Maktubat pada Tanda Kesembilan Belas itu. Buat masa ini, kami hanya akan mengatakan: Nabi Muhammad SAW adalah bukti yang hidup dan merupakan hujah lisan kepada keesaan Ilahi. Baginda telah menunjukkan dan mengisytiharkan akan keesaan Ilahi sepanjang hidupnya melalui dua sayap, iaitu risalah kenabian dan kewaliannya. Hal ini juga dibuktikan dengan kekuatan yang terdiri daripada persepakatan kesemua nabi yang telah mendahului Baginda dan juga persetujuan para wali dan ulama yang suci yang datang selepas Baginda. Baginda membuka sebuah jendela yang seluas, secerah dan seterang Dunia Islam dalam mengenal Allah. Imam al-Ghazali, Imam al-Rabbani, Muhyiddin al-Arabi, Abdul Qadir al-Jailani, dan jutaan ulama suci dan soleh yang lain turut melihat melalui Jendela itu, dan menunjukkannya kepada orang lain. Adakah terdapat sebarang tirai yang mampu menutup Jendela yang seperti ini? Dapatkah orang yang menuduhnya dan tidak melihat melalui Jendela ini dianggap sebagai orang yang berakal? Mari, dan jawablah!
اَلْحَمْدُ ِللّٰهِ الَّذِىۤ اَنْزَلَ عَلٰى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا قَيِّمًا Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab (Al-Quran) dan Dia tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong). (Surah al-Kahf: 1) الۤرٰ كِتاَبٌ اَنْزَلْنَاهُ اِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ اِلَى النُّورِ Alif, Laam, Raa’, Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya engkau mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman... (Surah Ibrahim:1) Anggaplah semua jendela yang lalu sebagai beberapa titisan daripada lautan al-Quran. Kemudian, anda boleh membandingkan betapa banyaknya cahaya tauhid yang terkandung di dalam al-Quran, yang merupakan seperti air kehidupan. Namun, walaupun cara yang singkat dan sangat sederhana di berikan dalam Al-Quran, yang mana merupakan sumber, asal, dan punca kepada semua jendela tersebut, ia tetap menghasilkan sebuah Jendela yang sangat cemerlang, penuh cahaya, dan universal. Untuk melihat sejauh mana pastinya, bercahaya dan bersinarnya jendela ini, kami merujuk anda kepada Risalah I’jaz al-Quran dalam bab Kedua Puluh Lima dalam Kitab al-Kalimat dan kepada Tanda Kelapan Belas pada Bab Kesembilan Belas dalam Kitab Maktubat. Kami memohon kepada Zat Yang Maha Agung, di Singgahsana ar-Rahman yang mengutuskan al-Quran kepada kami dengan berdoa: رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَاۤ اِنْ نَسِينَاۤ اَوْ اَخْطَاْنَا Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah: 286) رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah kepada kami. (Surah ali-Imran: 8) رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ Wahai Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 127) وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ Dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Baqarah: 128)
Insya-Allah, Jendela Ketiga Puluh Tiga daripada bab Ketiga Puluh Tiga dalam Kitab al-Kalimat ini akan memberikan keimanan kepada mereka yang tidak beriman, menguatkan iman bagi mereka yang lemah imannya, mengukuhkan keimanan bagi mereka yang imannya kuat tetapi sekadar bersifat taklid (ikut-ikutan) dan membuka luas ruang keimanan tambahan bagi mereka yang telah kukuh imannya. Manakala bagi orang yang telah luas imannya pula, ia memberikan kemajuan dalam mendapatkan makrifatullah (mengenal Allah) yang merupakan sumber dan asas bagi mencapai kesempurnaan yang hakiki dan membuka pandangan yang lebih bercahaya dan terang untuk mereka. Oleh yang demikian, anda tidak boleh mengatakan: “Satu jendela sudah cukup bagiku”, kerana walaupun akal anda telah berpuas hati, namun hati anda juga mahu mendapatkan bahagiannya. Begitu juga dengan roh anda, bahkan, imaginasi anda juga menginginkan bahagiannya daripada cahaya tersebut. Oleh itu, jendela yang lain juga adalah diperlukan kerana setiap satunya mengandungi manfaat yang berbeza-beza. Dalam Risalah Mi’raj Nabi Muhammad SAW, sasaran utama adalah orang yang beriman, manakala mereka yang tidak beriman berada dalam posisi pendengar. Namun, dalam risalah ini, sasaran utama adalah mereka yang tidak beriman, manakala mereka yang beriman berada dalam posisi pendengar. Hal ini harus difikirkan dan dilihat dengan cara tersebut. Namun sayangnya, atas suatu sebab yang penting, risalah ini ditulis dengan sangat cepat malah masih dalam bentuk draf. Oleh itu, sudah pasti akan ada beberapa ketidakaturan dan kekurangan dalam cara ia disampaikan disebabkan oleh kelemahan diri saya sendiri. Saya memohon kepada sekalian saudara saya untuk melihatnya dengan penuh toleransi, dan membaikinya bagi mereka yang mampu serta mendoakan keampunan buat diri saya. وَالسَّلَامُ عَلٰى مَنِ اتَّبَعَ ال۟هُدٰى وَال۟مَلَامُ عَلٰى مَنِ اتَّبَعَ ال۟هَوٰى Kesejahteraan bagi mereka yang mengikuti petunjuk dan kecaman bagi mereka yang mengikuti hawa nafsu mereka sendiri. سُب۟حَانَكَ لَا عِل۟مَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّم۟تَنَٓا اِنَّكَ اَن۟تَ ال۟عَلٖيمُ ال۟حَكٖيمُ Maha Suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Baqarah: 32) اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّم۟ عَلٰى مَن۟ اَر۟سَل۟تَهُ رَح۟مَةً لِل۟عَالَمٖينَ وَ عَلٰى اٰلِهٖ وَ صَح۟بِهٖ وَ سَلِّم۟ اٰمٖينَ Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan salam kepada orang yang Engkau utuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam, berserta keluarga dan para sahabat Baginda. Amin.

