Hastalar Risalesi

The Twenty-Fifth Gleam

This section belongs to the major work Lem'alar · View complete Lem'alar (36 sections) →
Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

Ia telah ditulis sebagai balsam, penghibur, dan preskripsi untuk pesakit supaya kita dapat menziarah mereka dan mendoakan mereka agar cepat sembuh. Peringatan Dan Permohonan Maaf Penulisan preskripsi maknawi ini dilakukan lebih cepat daripada seluruh tulisan-tulisan kami yang lain Oleh sebab kesempitan waktu, pembetulan dan pemeriksaan risalah ini juga hanya memakan masa yang singkat sebagaimana penulisannya, tidak seperti risalah-risalah yang lain. Saya hanya sempat memberikan pendapat sepintas lalu sahaja terhadap risalah ini. Oleh itu, risalah ini tetap mempunyai beberapa kekurangan sebagaimana drafnya yang pertama. Kami dapati ia juga tidak memerlukan pembetulan dan pemeriksaan semula terhadap risalah ini kerana segala lintasan-lintasan yang mendatangi hati dalam bentuknya yang fitrah seharusnya tidak dirosakkan dengan usaha yang semata-mata mahu mengindahkan kata-kata sahaja. Saya berharap agar para pembaca terutamanya para pesakit tidak merasa bosan dengan ungkapan dan ayat-ayat keras yang terdapat di dalam risalah ini. Bahkan sebaliknya saya berharap agar mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan buat saya. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Firman Allah SWT: الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”(al-Baqarah: 156) Firman-Nya lagi: وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ - وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ Maksudnya: “Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” (al-Shu’ara’: 79 & 80) Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas rasul yang paling mulia. Risalah ini merupakan penyembuh, penenang, penghibur dan preskripsi ubat maknawi buat para pesakit supaya dapat menziarahi mereka untuk mengucapkan penyembuhan yang segera. Di dalam risalah ini, kami menerangkan secara ringkas dua puluh lima rawatan atau ubatan. Rawatan atau ubatan itu boleh menjadi penghibur hakiki dan ubat sejati kepada mereka yang ditimpa bala dan musibah yang merupakan satu persepuluh daripada jumlah manusia.

§2

Wahai pesakit, janganlah anda gelisah, bersabarlah! Sakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis rawatan. Hal ini disebabkan umur adalah modal seseorang yang sentiasa berkurangan dari semasa ke semasa. Jika tidak dilaburkan, ia pasti akan habis dengan cepat, terutamanya jika ia dihabiskan dengan kerehatan dan kealpaan. Jadi sakit akan memberikan keuntungan yang besar kepada modal yang dimiliki oleh seseorang dan tidak akan membenarkan umurnya dihabiskan dengan segera. Sakit akan melambatkan perjalanan langkah kehidupan, menahannya, memanjangkan umur dan akhirnya berhenti setelah membuahkan hasil. Oleh itu, masa menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga dikatakan: “Aduhai, alangkah panjangnya masa bencana dan alangkah pendeknya masa kemewahan!”

§3

Wahai pesakit yang kurang sabar! Bersabarlah! Sesungguhnya bersyukurlah! Sakit yang anda alami boleh menukarkan setiap minit umur anda bersamaan setiap jam ibadat. Hal ini adalah kerana ibadat terbahagi kepada dua bahagian:Pertama: Ibadah aktif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan melalui solat, doa dan yang seumpamanya.Kedua: Ibadah pasif seperti sakit dan musibah. Dalam hal ini, mereka yang ditimpa sakit atau musibah akan kembali tadarru’ dan meminta perlindungan kepada Allah, Tuhan yang menciptanya, mengharapkan pertolongan-Nya dan memohon bantuan-Nya. Semua ini bertitik tolak daripada perasaannya yang merasakan dirinya lemah ketika berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit dan musibah. Dengan tadarru’ tersebut dia akan memperoleh suatu ibadat maknawi yang ikhlas dan suci daripada sebarang kepura-puraan. Memang terdapat beberapa riwayat sahih yang mengatakan bahawa umur seseorang mukmin yang dilalui dengan sakit adalah dianggap sebagai ibadat , tetapi dengan syarat tidak berkeluh-kesah dan berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Beberapa riwayat yang sahih dan kasyaf yang hakiki telah menunjukkan bahawa dengan hanya satu minit sahaja daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian orang yang bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadat yang sempurna bagi mereka. Sebagaimana satu minit daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian daripada orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan dianggap menyamai satu hari ibadat yang sempurna. Janganlah anda ragu-ragu bahawa satu minit daripada kesukaran yang anda hadapi disebabkan sesuatu penyakit boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan umur anda, bahkan anda hendaklah mensyukurinya.

§4

Wahai pesakit yang tidak mampu bersabar! Tujuan kehadiran manusia ke dunia ini bukanlah hanya untuk bersenang-lenang dengan segala nikmat. Buktinya: Anda dapati setiap yang hidup pasti akan meninggalkan dunia ini. Setiap yang muda akan menjadi tua. Setiap orang pasti akan merasakan kehilangan dan perpisahan dengan orang yang tersayang. Dalam masa yang sama anda dapati manusia ialah makhluk bernyawa yang paling sempurna, mulia dan mempunyai bekalan yang paling mencukupi, bahkan dia ialah khalifah kepada seluruh makhluk yang lain. Namun begitu, pelbagai penyakit dan kesakitan tetap akan menerjah kehidupannya ketika dia asyik memikirkan tentang kelazatan-kelazatan yang diperolehnya pada masa lalu dan bala bencana yang akan dihadapinya pada masa hadapan, lalu dia terpaksa menjalani kehidupannya dalam keadaan kesulitan yang perit dan kacau-bilau seolah-olah dicampakkan ke lembah yang lebih hina daripada kehidupan haiwan.Oleh itu, manusia datang ke dunia ini bukan untuk hidup dengan penuh keselesaan dan kenikmatan, bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperoleh kebahagiaan hidup yang abadi melalui jalan perniagaan, iaitu dengan melaburkan umurnya sebagai modal yang besar. Jika seseorang itu tidak menghidapi penyakit, dia akan hidup dalam kealpaan kerana sentiasa berada dalam keadaan sihat wal afiat. Pada pandangannya, dunia adalah suatu yang indah dan lazat. Pada ketika itu, dia akan ditimpa penyakit lupakan akhirat. Dia menjadi benci untuk mengingati mati dan kubur. Dia mensia-siakan modalnya yang amat berharga itu. Dengan itu, datangnya penyakit dapat membukakan matanya serta-merta. Seolah-olah penyakit itu berkata: “Anda tidak akan kekal hidup dan anda tidak dibenarkan untuk berbuat apa sahaja. Anda mempunyai tanggungjawab, oleh itu janganlah anda sombong. Ingatlah sentiasa Tuhan yang mencipta anda. Ketahuilah bahawa anda akan menuju ke kubur. Oleh itu, persiapkanlah diri anda untuk ke sana!” Maka penyakit berperanan sebagai seorang penasihat dan pemberi peringatan. Lantaran itu, tidak perlulah anda berkeluh-kesah jika penyakit mendatangi anda, bahkan anda patut bersyukur. Jika penyakit yang anda hadapi itu tidak terlalu kuat, maka hendaklah anda bersabar menghadapinya.

§5

Wahai pesakit yang mengadu kesakitan! Ketahuilah bahawa anda tidak berhak untuk mengadu. Anda hanya berkewajipan untuk bersyukur dan bersabar. Hal ini demikian kerana anggota tubuh badan luaran dan dalaman anda, bahkan diri anda sendiri bukanlah milik anda. Anda tidak membuat atau menciptanya sendiri. Anda juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat atau kilang. Oleh itu, pemiliknya sahajalah yang boleh melakukan apa-apa sahaja yang dikehendakinya terhadap barangan miliknya, sebagaimana yang telah diterangkan dalam Kalimah Ke-26 yang khusus membincangkan tentang qadar. Dalam kalimah tersebut dinyatakan bahawa terdapat seorang ahli kraf tangan yang amat mahir dan kaya telah mengupah seorang lelaki miskin untuk menjadi model bagi mempamerkan barangan yang dibuatnya. Untuk menampilkan hasil buatannya yang indah dan pengalamannya yang luas, dia memakaikan lelaki itu pakaian yang berhias dan dilengkapkan dengan pelbagai perhiasan yang ditenunnya dengan penuh teliti dan indah. Dia juga melakukan pelbagai perkara dalam usaha untuk memperindah dan mencantikkan hasil buatannya dengan kemahiran tinggi yang dimilikinya. Dia mula menggunting, menukarkan jenis kain yang digunakan, memanjang, memendek dan sebagainya pada pakaian tersebut. Pada pendapat anda, adakah lelaki miskin yang mengambil upah itu berhak untuk berkata kepada ahli kraf tangan yang mahir itu: “Anda telah menyusahkan dan membebankan saya kerana anda sentiasa menyuruh saya tunduk, berdiri dan duduk.” Adakah anda berhak mengatakan bahawa ahli kraf tangan itu telah merosakkan keterampilan anda kerana selalu menggunting, memendek dan memanjangkan bahagian-bahagian tertentu pada pakaian tersebut? Adakah anda berhak mengatakan yang ahli kraf tangan itu tidak mengasihaninya dan tidak adil? Begitulah juga keadaannya dengan Tuhan al-Musawwir (Yang Maha Menentukan Ben-tuk Rupa Makhluk-Nya) yang telah memakaikan pakaian jasad kepada anda, wahai pesakit! Dia juga telah memberikan kepada anda pancaindera yang bernilai tinggi yang ditatahkan pada tubuh badan anda, seperti mata, telinga, akal dan jantung dengan menukarkan keadaan anda dan mempelbagaikan keadaan anda untuk memperlihatkan kepada anda Asma al-Husna dari al-Sani’ (Yang Maha Pencipta) lagi Zul Jalal (Yang Maha Agung). Sebagaimana anda dapat memahami dan mendalami hakikat pengertian ar-Razzaq (Yang Maha Memberikan Rezeki) melalui pengalaman yang anda lalui ketika menghadapi kelaparan dan kebuluran, maka begitu juga anda akan dapat memahami dan mendalami hakikat pengertian al-Syafi (Yang Maha Menyembuhkan) ketika anda menghidapi sesuatu penyakit. Sebahagian daripada hikmah al-Asma al-Husna akan tersingkap dan terzahir melalui sakit dan musibah yang dihadapi. Ia juga akan memancarkan keindahan kerdipan cahaya yang memaparkan hikmah dan rahmat Ilahi. Ketika hijab tersingkap, maka di sebalik penyakit yang tidak disukai itu, anda akan menemui hakikat, keindahan yang mendalam dan disenangi oleh jiwa anda.

§6

Wahai pesakit yang sedang mengalami kesakitan! Melalui pengalaman saya pada masa lalu, sekarang saya merasa sangat yakin bahawa penyakit yang dihidapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk rahmat Ilahi dan hadiah Yang Maha Mengasihani .Beberapa orang pemuda telah berjumpa dengan saya pada lapan atau sembilan tahun yang lalu. Mereka meminta saya mendoakan kesihatan mereka daripada penyakit-penyakit yang dihadapi, sekalipun saya bukanlah orang yang layak berbuat demikian. Saya dapati sesetengah daripada mereka itu lebih banyak menghabiskan masa berfikir dan mengingati akhirat. Mereka tidak lagi mabuk dan tenggelam dalam kealpaan masa muda. Bahkan mereka sedikit sebanyak memelihara dan menjaga diri daripada terjerumus ke lembah nafsu kehaiwanan. Oleh itu, saya memperingatkan mereka bahawa penyakit yang masih boleh ditanggung itu sebenarnya ialah pemberian ihsan daripada Allah SWT. Saya berkata: “Wahai saudaraku, saya tidak menentang penyakit yang anda hadapi! Saya juga tidak merasa kasihan terhadap anda sehingga membolehkan saya berdoa untuk anda. Apa yang saya harapkan adalah agar anda terus bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya anda sembuh dan kembali sihat walafiat, kerana selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, Allah al-Khaliq (Tuhan Yang Maha Mencipta Anda) dan al-Rahim (Tuhan Yang Maha Pengasih) itu pasti akan menyembuhkan anda, insya-Allah.” Saya juga berkata: “Sesungguhnya sesetengah pemuda seperti anda sedang menggoncang dan meruntuhkan tiang kehidupan abadinya kerana mahu memperoleh kenikmatan zahir yang sementara di atas dunia ini. Mereka hidup dalam kealpaan kerana kesihatan yang dimiliki. Bagi mereka, kesihatan itu ialah bala sebenarnya. Mereka meninggalkan solat, lupa kepada kematian dan lalai daripada melaksanakan perintah Allah SWT. Akan tetapi melalui penyakit yang dihidapi, anda dapat melihat kubur iaitu tempat persinggahan yang anda sama sekali tidak dapat melarikan diri daripadanya suatu hari nanti. Di samping itu, anda juga dapat melihat segala tempat-tempat persinggahan akhirat yang lain. Oleh itu, segala tindakan dan perlakuan anda adalah berdasarkan apa yang anda lihat itu. Sebenarnya, penyakit ibarat kesihatan bagi anda. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah penyakit buat mereka.”

§7

Wahai pesakit yang mengadu penderitaan! Saya berkata kepada anda: “Fikirkanlah kehidupan anda yang lampau, hari-hari lalu yang bahagia dan penuh kenikmatan serta waktu-waktu yang mencabar dan penuh kesulitan!” Sudah pasti sama ada anda akan menarik nafas lega atau mengeluh mengenangkan waktu-waktu tersebut, iaitu sama ada anda akan menarik nafas lega sambil berkata: “Segala puji bagi Allah dan syukur kepada-Nya.” atau anda akan berkata: “Alangkah sedihnya! Alangkah dukacitanya!” Lihatlah bagaimana penyakit dan bencana yang anda hadapi dahulu, apabila ia terlintas di dalam fikiran, anda akan mengucapkan alhamdulillah dan anda sendiri akan diselubungi kelazatan maknawi (kelazatan rohani). Hal ini disebabkan kehilangan kesakitan atau sembuh daripada penyakit akan melahirkan kelazatan dan kegembiraan. Dengan kesembuhan dan kehilangan penyakit itu, tempatnya diganti atau ditanam dengan kelazatan tersembunyi di dalam jiwa. Apabila sahaja situasi ini diingati kembali, ia membuahkan rasa kemanisan dan kegembiraan yang mendorong kepada kesyukuran dan pemujian Ilahi, kerana kehilangan kesakitan melahirkan kelazatan dan kegembiraan. Malah kehilangan kesakitan dan musibah akan menyebabkan tertanamnya kelazatan tersembunyi di dalam jiwa. Apabila terlintas di dalam fikiran bahawa suatu jiwa telah terkeluar daripada bebanan kesakitan, maka ia akan memperoleh kemanisan dan kegembiraan yang melahirkan pujian dan kesyukuran. Manakala suasana kelazatan dan kejernihan yang anda telah alami dahulu, dan situasi tersebut sedang diliputi debu dan asap kesakitan lalu menyebabkan anda berkata: “Alangkah sakitnya! Alangkah pedihnya!”, maka ia berlaku kerana kehilangan nikmat tersebut yang seterusnya menyebabkan kesakitan tersembunyi yang berpanjangan di dalam roh. Kesakitan ini akan berulang sengatannya jika ia diingati kembali meskipun hanya melalui fikiran yang sebentar terhadap kehilangan nikmat yang diperoleh. Oleh itu, air mata kesedihan dan kedukacitaan akan terhambur keluar. Kelazatan selama satu hari yang diperoleh melalui jalan yang menyalahi syarak, kadang-kadang akan menyebabkan seseorang berada dalam keadaan kesakitan maknawi (kesakitan rohani) selama setahun genap. Begitu juga kesakitan yang terhasil daripada penyakit sementara yang dialami selama sehari akan membuahkan kelazatan maknawi (kelazatan rohani) selama beberapa hari, kerana ia diselangi dengan ganjaran pahala. Ia juga membuahkan kelazatan maknawi (kelazatan rohani) yang lahir daripada kesembuhan penyakit tersebut. Oleh itu, anda hendaklah benar-benar mengingati akan natijah penyakit sementara yang anda alami. Fikirkanlah tentang besarnya ganjaran pahala yang akan terhasil melalui penyakit yang anda hadapi. Bersyukurlah dan bukan mengadu kesakitan Katakanlah: “Wahai jiwa, keadaan ini juga akan berubah!”

§8

Wahai saudaraku yang gundah-gulana akibat penyakit yang disebabkan oleh terkenangkan kelazatan dan kenikmatan dunia! Jika dunia ini memang benar akan kekal selama-lamanya, jika kematian benar-benar dapat dielakkan, jika taufan perpisahan dan kehilangan benar-benar akan berhenti bertiup selepas ini, jika masa hadapan akan melenyapkan musim dingin yang mencengkam, nescaya saya akan turut menyertai anda dan bersedih menangisi keadaan anda. Akan tetapi oleh kerana dunia ini akan mengeluarkan kita daripadanya dengan berkata: “Ayuh, keluarlah!”, dan ia memekakkan telinganya daripada mendengar pekikan dan jeritan meminta tolong daripada kita, maka kita hendaklah meninggalkan perasaan cinta dan keinginan untuk tinggal kekal di dalamnya sebelum ia menghalau dan meninggalkan kita. Caranya adalah dengan kita mengambil bekalan daripada kesedaran yang dibangkitkan oleh penyakit dan berusaha untuk mengosongkan hati dan perasaan kita daripada dunia sebelum dunia meninggalkan kita. Ya, penyakit membisikkan ke dalam sanubari kita dengan berkata:“Binaan badan anda bukan diperbuat daripada batu yang keras atau diperbuat daripada besi, bahkan ia diperbuat daripada pelbagai bahan yang akan binasa. Oleh itu, tidak perlulah anda bermegah. Sedarilah kelemahan anda. Kenalilah Pemilik yang memiliki anda. Fahamilah tugas anda. Pelajarilah hikmah dan tujuan anda datang ke dunia ini.” Lagipun, kenikmatan dan kelazatan dunia ini tidak berkekalan, terutamanya jika ia diperoleh melalui jalan yang haram, ia akan menyebabkan perasaan menjadi sakit di samping mendapat balasan dosa. Oleh sebab itu, janganlah anda menangisi kehilangan nikmat tersebut kerana sakit yang anda hadapi, bahkan fikirkanlah tentang makna ibadat maknawi (ibadat rohani) yang terkandung di sebalik penyakit yang anda hadapi serta ganjaran pahala yang tersembunyi di akhirat kelak. Berusahalah untuk mencapai kenikmatan yang murni lagi indah itu.

§9

Wahai pesakit yang kehilangan nikmat kesihatan! Sesungguhnya penyakit yang anda alami sebenarnya tidak menghilangkan kelazatan nikmat Ilahi, bahkan menambahkan lagi kelazatannya. Hal ini demikian kerana jika sesuatu itu berterusan dalam keadaan asalnya, ia akan menyebabkan kehilangan rasa dan kesannya. Para ahli hakikat sepakat mengatakan: “Sesuatu itu dikenali melalui perkara-perkara yang bertentangan atau berlawanan dengannya”. Sebagai contoh, jika tidak kerana kegelapan, nescaya cahaya tidak dapat dikenali dan kita tidak dapat merasakan kenikmatannya. Jika tidak kerana kedinginan, nescaya kehangatan tidak dapat dikenali dan kita tidak dapat merasai kenikmatannya. Jika tidak kerana lapar, nescaya kita tidak dapat merasakan kelazatan makanan. Jika tidak kerana kehausan, nescaya kita tidak dapat merasakan kelazatan memuncak ketika menghirup air. Jika tidak kerana penyakit, nescaya kesihatan yang kita alami tidak mempunyai apa-apa kenikmatan. Al-Fatir (Allah Yang Maha Mencipta) dan al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) mahu agar manusia dapat merasai dan mengecapi pelbagai jenis kenikmatan dan kelazatan yang dikurniakan-Nya. Maka Dia menyediakan terlalu banyak peralatan pada diri manusia agar ia dapat merasai dan mengecapinya. Oleh itu, Dia menurunkan pelbagai jenis penyakit sebagaimana Dia juga memberikan pelbagai nikmat kesihatan dan afiat untuk membiasakan dan mendorong manusia agar sentiasa bersyukur kepada-Nya. Saya ingin bertanya kepada anda: “Jika bukan kerana rasa sakit yang menimpa kepala, tangan atau perut anda, adakah anda mampu untuk merasa kenikmatan yang tersembunyi di sebalik kesihatan yang terdapat pada kepala, tangan atau perut anda? Adakah anda dapat merasakan kenikmatan tersebut, seterusnya bersyukur terhadap nikmat Ilahi itu? Sudah pasti, anda tidak akan pernah terfikir berkenaannya, apatah lagi untuk bersyukur. Malah tanpa disedari anda akan menghabiskan kesihatan anda dengan melakukan perkara yang menyalahi syarak dan sia-sia”.

§10

Wahai pesakit yang mengingati akhiratnya! Sebenarnya sakit yang anda alami membersihkan dosa anda umpama tindakan penyucian sebuku sabun. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis sahih bahawa penyakit merupakan penebus dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang muslim yang ditimpa kesakitan, melainkan Allah akan menggugurkan kesalahan kesalahannya, sebagaimana dedaunan yang gugur.” Dosa ialah penyakit yang kronik dalam kehidupan yang abadi, manakala dalam kehidupan dunia ini, ia merupakan penyakit maknawi (penyakit rohani) yang menimpa hati, perasaan dan roh. Jika anda bersabar dan tidak mengadu, maka anda akan terselamat daripada penyakit-penyakit yang mendatang. Jika anda lalai terhadap dosa-dosa anda, lupa terhadap akhirat dan cuai terhadap Tuhan, saya menegaskan bahawa anda pasti akan menghadapi penyakit yang berbahaya, ia lebih besar berjuta kali ganda daripada penyakit-penyakit yang sedang dialami sekarang. Menjeritlah meminta pertolongan terhadap penyakit yang berbahaya itu kerana seluruh makhluk yang wujud di dunia ini mempunyai hubungan dengan hati, roh dan jiwa anda. Malahan juga segala hubungan tersebut akan tercantas oleh pedang perpisahan dan kematian lalu menyebabkan anda mengalami luka yang dalam. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika anda merasakan kematian itu bersifat kekal kerana anda tidak mengenali akhirat. Pada saat itu, anda seolah-olah merasai kesakitan dan mempunyai luka sebesar dunia ini. Oleh itu, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah mencari penawar keimanan bagi merawat pelbagai penyakit dan luka yang tidak terhitung banyaknya itu, maka anda hendaklah memperbaiki dan memperbetulkan keimanan anda. Ketahuilah jalan yang paling mudah untuk mencapai rawatan tersebut adalah dengan cara mengintai dan menjenguk melalui tingkap ‘kelemahan’ dan ‘kefakiran’ penyakit fizikal yang sedang anda hadapi. Dengan itu, anda akan dapat mengenal kekuasaan dan rahmat luas Allah al-Qadir (Yang Maha Berkuasa) lagi al-Jalal (Yang Maha Agung). Orang yang tidak mengenal Allah akan menanggung gundah-gulana dan bala bencana seluas dunia dan segala isinya. Sebaliknya, orang yang mengenal Tuhan, dunianya akan dipenuhi dengan cahaya dan kegembiraan maknawi (kegembiraan rohani). Hal ini dapat dirasakan melalui darjah kekuatan keimanan yang ada pada dirinya. Sesungguhnya penderitaan yang lahir daripada penyakit fizikal yang kecil ini akan lenyap dan tersungkur dihujani kegembiraan maknawi (kegembiraan rohani) dan penawar lazat yang terbit daripada keimanan ini.

§11

Wahai pesakit yang mengenali Penciptanya! Sesungguhnya sebab timbulnya rasa kesakitan, perasaan ketakutan dan gundah-gulana akibat penyakit adalah kerana sesuatu penyakit kadang-kadang boleh membawa kepada kematian. Oleh sebab itu, menurut pandangan mereka yang lalai, kematian pada zahirnya merupakan suatu yang amat menakutkan dan menggerunkan. Maka, penyakit yang mungkin menjadi sebab kematian itu menyebabkan seseorang berada dalam keadaan bimbang dan keluh-kesah. Jadi, hendaklah anda mengetahui: Pertama: Berimanlah dengan penuh keyakinan. Sesungguhnya sesuatu ajal telah ditetapkan dan tidak akan berubah. Banyak kali telah berlaku, orang yang menangisi pesakit yang berada dalam keadaan nazak terlebih dahulu mati daripada orang yang mereka tangisi itu, sedangkan mereka memiliki kesihatan yang amat baik. Akan tetapi, orang yang ditangisi kerana menghidap penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu disembuhkan oleh Allah lalu dia dapat hidup lebih lama. Kedua: Kematian itu sendiri tidaklah menakutkan, sebagaimana yang kita lihat pada zahirnya. Menerusi cahaya yang diberikan oleh al-Quran, banyak bahagian dalam Risalah al-Nur ini kami telah buktikan dengan bukti yang jelas tanpa ada sebarang keraguan dan kekeliruan bahawa kematian bagi seseorang mukmin itu ialah perlepasan dan berakhirnya bebanan daripada tugas kehidupan dan kesulitannya. Ia juga adalah suatu kerehatan buat mereka daripada beribadat yang merupakan satu pengajaran dan latihan di medan dunia yang penuh dengan ujian ini. Kematian juga adalah pintu untuk menemui sembilan puluh sembilan kekasih dan teman rapat yang telah pergi terlebih dahulu ke alam akhirat. Kematian juga ialah cara untuk memasuki tanah air yang hakiki lagi abadi bagi memperoleh kebahagiaan yang kekal. Kematian juga ialah jemputan untuk berpindah dari penjara dunia ke taman-taman dan kebunkebun syurga. Kematian juga adalah suatu masa untuk menerima ganjaran daripada kemurahan Tuhan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta) lagi ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Oleh kerana demikianlah keadaan kematian dari sudut hakikat, maka tidak sepatutnya ia dilihat sebagai sesuatu yang amat menakutkan. Bahkan wajib kita menganggapnya sebagai berita gembira untuk memperolehi rahmat dan kebahagiaan. Sehinggakan ketakutan sesetengah wali Allah bukanlah terhadap kematian yang ganas dan dahsyat itu, tetapi adalah kerana mereka masih ingin memperolehi dan membuat lebih banyak kebaikan dan kebajikan dengan melanjutkan tempoh masa supaya mereka boleh meneruskan tugas kehidupan. Ya! Memang kematian bagi ahli keimanan ialah pintu rahmat. Tetapi bagi ahli kesesatan, ia adalah perigi gelap yang abadi.

§12

Wahai pesakit yang gelisah tanpa sebab! Anda sebenarnya berasa gelisah terhadap keterukan penyakit anda dan kegelisahan itu hanya akan menambahkan lagi beban sakit yang sudah sedia ada. Jika anda ingin meringankan beban kesakitan yang dialami, anda hendaklah cuba untuk tidak gelisah dengan cara berfikir tentang faedah dan ganjaran yang anda akan peroleh melalui penyakit yang dihidapi. Dengan cara ini anda dapat menghilangkan kegelisahan dan seterusnya menyembuhkan penyakit yang anda alami sehingga ke akar umbi. Ya, memang kegelisahan akan menambahkan kesakitan menjadi dua kali ganda. Hal ini demikian kerana kegelisahan akan menyebabkan penyakit maknawi (penyakit rohani) masuk ke dalam hati di sebalik penyakit fizikal yang anda hadapi. Oleh sebab itu, penyakit fizikal yang anda hadapi akan bertapak dan berkekalan. Akan tetapi, jika anda menghilangkan kegelisahan dan segala bisikan hati yang tidak baik itu dengan berserah kepada Allah dan reda dengan segala ketetapan-Nya, juga dengan mengingati hikmah yang diperoleh melalui sakit yang dialami, maka penyakit zahir anda itu akan menjadi lebih ringan dan sebahagiannya akan hilang. Kadangkala penyakit fizikal yang ringan akan meningkat sebanyak sepuluh kali ganda disebabkan oleh kegelisahan. Namun begitu, jika perasaan gelisah itu dihilangkan, sembilan persepuluh daripada kesan penyakit tersebut akan hilang. Sebagaimana kegelisahan akan menambahkan lagi sakit, begitu juga ia seumpama mengkritik hikmah dan rahmat Ilahi serta mengadu kesakitan kepada Tuhannya al-Khaliq (Yang Maha Mencipta) lagi ar-Rahim (Maha Mengasihani), lalu disebabkan perbuatannya itu menambahkan lagi penyakitnya yang berlawanan daripada apa yang dihajati. Ya, sebagaimana bersyukur akan menambahkan nikmat, maka begitu juga merungut akan menambahkan lagi sakit dan musibah. Selain itu, gelisah itu sendiri ialah penyakit. Rawatan untuknya adalah dengan mengetahui hikmah dan tujuan penyakit yang dialami itu. Jika anda mengetahui hikmah dan faedahnya, anda akan dapat merawat kegelisahan anda itu dan memperoleh kelegaan. Oleh itu, bersyukurlah dengan berkata: “Segala puji bagi Allah terhadap segala perkara”, daripada mengeluh dengan berkata: “Aduh!”.

§13

Wahai saudara pesakit yang tidak sabar! Walaupun penyakit menyebabkan anda menderita serta-merta, namun setelah hilangnya penyakit pada masa lalu sehingga ke hari ini anda akan memperoleh kelazatan rohani dan kebahagiaan yang dapat membangkitkan semula semangat. Ia juga merupakan ganjaran yang diterima setelah anda menanggung kesakitan.Mulai hari ini dan seterusnya, bahkan bermula detik ini, tiada lagi penyakit dan kesengsaraan yang akan wujud. Malah, jika tidak ada penyakit, maka tiada lagi kesedihan yang akan wujud. Anda menjadi tidak sabar disebabkan anda mempunyai sangkaan yang salah terhadap beberapa perkara. Hal ini demikian kerana, penyakit yang lalu telah hilang bersama kesengsaraannya, dan kini yang tinggal hanyalah pahala dan kesenangan. Sepatutnya penyakit memberi anda keuntungan dan kebahagiaan, namun adalah suatu kebodohan jika anda terus memikirkan masa lalu dan berasa sedih serta tidak sabar. Tambahan pula, hari-hari mendatang masih belum tiba. Bukankah suatu kebodohan jika sekarang ini kita menyibukkan diri dengan membayangkan hari yang tidak wujud, penyakit yang belum berlaku dan juga kesakitan yang belum terhasil? Bukankah ia suatu kebodohan jika anda memberikan gambaran terhadap tiga perkara yang belum wujud itu? Oleh sebab waktu sakit yang telah berlalu itu mendatangkan kegembiraan, dan oleh sebab masa akan datang masih belum wujud, maka penyakit dan kesakitan juga dianggap tiada.Janganlah anda membazirkan kekuatan kesabaran yang dikurniakan oleh Allah kepada anda dengan menghamburkannya ke kiri dan ke kanan! Bahkan, himpunkanlah ia dalam menghadapi kesakitan yang anda alami kini dengan berkata: “Wahai al-Sabur (Yang Maha Sabar)!”, dan bertahanlah wahai saudaraku dengan kesakitan itu.

§14

Wahai pesakit yang tidak dapat beribadat dan melakukan wirid-wirid yang lain kerana sakit! Wahai pesakit yang berdukacita kerana tidak dapat melakukannya! Ketahuilah bahawa terdapat di dalam hadis yang mulia , seseorang mukmin yang bertakwa akan terus menerima pahala amalan ibadah yang dilakukannya meskipun ketika dia sedang sakit. Keadaan sakitnya tidak menghalang dia daripada terus memperoleh pahala. Seseorang pesakit yang menunaikan ibadah fardu sekadar kemampuannya dengan penuh kesabaran dan tawakal, maka keadaan sakitnya itu dapat menggantikan seluruh ibadah sunat ketika dia berada dalam keadaan yang amat sakit. Tambahan pula, penyakit juga membuatkan seseorang memahami kelemahan dan ketidakupayaan dirinya, lalu menyebabkan dia berdoa kepada Allah dengan kelemahan dan ketidakupayaannya itu. Allah SWT juga mengurniakan kelemahan dan ketidakupayaan yang tidak terbatas kepada manusia agar dia sentiasa berdoa ke hadrat Ilahi dengan penuh pengharapan dan rayuan. Berdasarkan kandungan ayat suci al-Quran: قُلْ مَا يَعْبَأُ بِكُمْ رَبِّي لَوْلَا دُعَاؤُكُمْ Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya.” (al-Furqan: 77)Oleh sebab penyakit adalah penyebab manusia memohon doa yang ikhlas, maka tidak layak baginya untuk mengeluh bahkan dia wajib bersyukur kepada Allah, dan tidak sepatutnya sumber air bagi doa yang dipancarkan oleh penyakit dikeringkan setelah memperoleh kesembuhan.

§15

Wahai orang yang berdukacita yang mengadu kesakitan! Bagi sesetengah orang, sakit ialah khazanah yang amat berharga dan hadiah yang amat bernilai daripada Ilahi. Setiap pesakit boleh menggambarkan sakit yang dihadapinya seperti ini. Hikmah Ilahi menetapkan agar ajal tidak diketahui ketibaannya bagi menyelamatkan manusia daripada kekecewaan dan kelalaian mutlak, serta bagi mengekalkan manusia agar terus berada dalam keadaan antara takut dan harap, juga bagi memelihara dunia dan akhiratnya daripada terhumban ke dalam gaung kerugian. Ajal akan tiba pada bila-bila masa, jika ajal mendatangi seseorang yang sedang tenggelam dalam kelalaian, maka ajal itu akan menyebabkan dia mendapat kecelakaan yang besar dalam kehidupan abadinya. Maka sakit yang dialami dapat melenyapkan kelalaian tersebut iaitu ia akan membuatkan seseorang itu mengingati akhirat dan menghadirkan keadaan kematian lalu dia memikirkan kematian dan menyebabkan dia dapat bersiap sedia bagi menghadapi kematian tersebut. Bahkan sesetengah penyakit akan memberikannya keuntungan yang besar sehinggakan dia mencapai tingkatan yang tinggi dalam masa dua puluh hari, apa yang tidak mungkin dicapainya dalam masa dua puluh tahun. Sebagai contoh terdapat dua orang pemuda (semoga Allah merahmati kedua-duanya) yang merupakan murid saya. Pemuda pertama bernama Sabri dari kampung Ilama dan seorang lagi bernama Vezirzade Mustafa dari kampung Islamköy. Meskipun kedua-duanya buta huruf, namun saya amat kagum dengan keikhlasan dan khidmat besar mereka terhadap keimanan sehingga saya menganggap mereka sebagai golongan kelas pertama. Pada ketika itu, saya tidak mengetahui hikmahnya, tetapi selepas kematian mereka, saya mendapat tahu mereka berdua menghidapi penyakit kronik. Melalui petunjuk daripada penyakit tersebut mereka menjadi orang yang amat bertakwa dan sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat mulia yang memberikan manfaat kepada kehidupan akhirat mereka, berbeza dengan para pemuda lain yang lalai meninggalkan ibadah fardu. Insya-Allah, dua tahun kesukaran dan kesakitan yang dialami oleh mereka semasa hidup di dunia akan digantikan dengan jutaan tahun kebahagiaan hidup yang abadi di akhirat nanti. Hanya sekarang barulah saya faham bahawa doa saya untuk mereka selama ini agar memperoleh kesembuhan sebenarnya ialah celaan bagi kehidupan dunia mereka semata-mata. Insya-Allah, doa saya itu akan digantikan untuk kesejahteraan mereka di akhirat. Oleh itu, menurut iktikad saya, mereka berdua akan memperoleh keuntungan yang menyamai hasil usaha dan ketakwaan yang dilakukan selama sepuluh tahun .Akan tetapi, jika seperti sesetengah pemuda yang bergantung kepada masa muda dan kesihatan yang baik dengan melemparkan diri mereka ke dalam kelalaian dan dosa, kematian ini sebenarnya telah mencengkam mereka tepat di tengah-tengah kejijikan dosa yang akan menjadikan kubur mereka sebagai sarang kala jengking dan ular, bukannya tempat simpanan cahaya. Oleh sebab penyakit mempunyai manfaat-manfaat ini, maka ia sama sekali tidak patut dikeluhkan, bahkan kita hendaklah bersabar, bertawakal, bersyukur dan mempunyai keyakinan terhadap rahmat Ilahi.

§16

Wahai pesakit yang hilang penglihatan matanya! Jika anda mengetahui terdapat cahaya dan mata maknawi di sebalik katarak yang menutupi mata orang mukmin, maka anda akan berkata: “Ribuan kesyukuran buat Tuhan saya ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani).” Saya akan menceritakan kepada anda suatu peristiwa yang akan menjelaskan penawar ini seperti berikut: Pada suatu masa dahulu, Sulaiman dari Barla yang telah berkhidmat untuk saya selama lapan tahun dengan penuh kerelaan dan kesetiaan mempunyai seorang ibu saudara yang telah menjadi buta. Wanita yang solehah itu terlalu bersangka baik terhadap saya melebihi seratus kali ganda apa yang patut saya terima. Beliau mendapatkan saya di pintu masjid dan meminta saya untuk mendoakan agar kesembuhan penglihatannya dikembalikan. Justeru, saya berdoa kepada Allah dengan menjadikan kesolehan wanita beriman itu sebagai syafaat dan penguat doa saya. Saya berdoa kepada Allah dengan penuh tadarru’ dengan berkata: “Ya Allah, ya Tuhan kami, dengan kelebihan kesolehan wanita ini, kembalikanlah penglihatannya!” Dua hari kemudian, seorang doktor pakar mata dari wilayah Burdur datang merawat wanita itu, lalu Allah mengembalikan penglihatannya. Akan tetapi, empat puluh hari kemudian, matanya kembali tidak dapat melihat semula. Saya merasa amat dukacita dan banyak berdoa. Insya-Allah, doa saya itu akan dimakbulkan di akhirat nanti, kerana jika tidak demikian, doa saya itu akan menjadi bencana terhadapnya. Namun wanita itu hanya hidup empat puluh hari sahaja selepas itu, kerana beliau telah kembali menemui Tuhannya. Oleh itu, sebagai ganti kepada kesedihan wanita yang melihat taman Barla dengan mata tuanya, akan mendapat keuntungan melihat taman-taman syurga selama empat puluh ribu hari di dalam kuburnya kerana keimanannya yang amat mendalam dan kesolehannya yang tinggi. Ya, sesungguhnya apabila seseorang mukmin hilang penglihatan matanya dan memasuki kubur dalam keadaan buta, maka dia mampu melihat alam nur yang penuh dengan cahaya berdasarkan darjat dengan pandangan yang lebih luas daripada pandangan ahli kubur yang lain. Sebagaimana kita dapat melihat banyak benda di dunia ini yang tidak dapat dilihat oleh orang mukmin yang buta, maka sekiranya orang mukmin yang buta itu mati dalam keimanan, mereka dapat melihat di kubur lebih banyak lagi daripada ahli kubur yang lain. Seumpama mereka sedang menyaksikan taman-taman syurga menggunakan teleskop yang paling berkuasa tinggi seperti di pawagam, berdasarkan darjat keimanan mereka. Oleh itu, melalui kesyukuran dan kesabaran anda dapat melihat di sebalik hijab mata anda sekarang terdapat mata yang dipenuhi dengan cahaya. Melaluinya juga anda dapat melihat syurga di atas langit ketika anda berada di bawah bumi. Ketahuilah bahawa doktor mata yang dapat membuang hijab mata anda itu agar anda dapat melihat adalah al-Quran al-Karim.

§17

Wahai pesakit yang mengaduh dan mengeluh kesakitan, janganlah anda berkeluh-kesah dengan melihat kepada luaran penyakit anda itu, namun lihatlah pada pengertian di sebalik penyakit tersebut dan bergembiralah! Jika penyakit tidak mengandungi sesuatu pengertian yang indah, nescaya Allah al-Khaliq (Yang Maha Mencipta) lagi ar-Rahim (Maha Mengasihani) tidak akan berikannya kepada hambanya yang paling dikasihi. Disebutkan dalam sebuah hadis:Maksudnya: “Golongan manakah yang paling banyak terkena bala? Maka Nabi SAW bersabda: Mereka ialah para nabi, kemudian para wali, dan golongan yang seumpama mereka dan begitulah seterusnya”. Dengan erti kata lain, “Orang yang paling banyak ditimpa kesusahan dan kesukaran ialah orang yang paling baik dan paling sempurna”. Terutama sekali Nabi Ayyub a.s., para nabi yang lain, para wali, dan para solihin yang telah menganggap penyakit yang dideritai oleh mereka sebagai suatu ibadat yang ikhlas dan hadiah daripada ar-Rahim (Yang Maha Pengasih), bahkan mereka bersyukur kepada-Nya dalam kesabaran. Mereka melihatnya sebagai suatu operasi pembedahan yang dilakukan oleh Allah al-Khaliq (Yang Maha Mencipta) lagi ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Wahai saudara yang menangis dan meratap! Jika anda ingin menyertai kafilah cahaya ini, maka bersyukurlah dalam kesabaran. Malahan, jika anda merungut, maka mereka tidak akan menerima anda. Anda akan terjerumus ke dalam lubang golongan yang sesat dan menempuh jalan yang gelap. Ya, ada beberapa penyakit yang jika ia membawa kepada kematian, ia umpama syahid sehingga mencapai salah satu maqam kewalian. Sebagai contoh, mereka yang mati akibat kesakitan melahirkan anak, penyakit di bahagian perut, lemas, terbakar dan wabak, semuanya itu mati syahid secara maknawi. Terdapat juga banyak penyakit yang dirahmati apabila mengakibatkan kematian, ia akan menyebabkan orang yang menghidapnya memperoleh darjat wali di sisi Allah. Di samping penyakit boleh mengurangkan kecintaan kepada dunia dan keterikatan dengannya, ia juga boleh meringankan perpisahan dari dunia melalui kematian, kerana secara duniawi ia adalah amat sedih dan pedih, malah kadangkala ia diingini.

§18

Wahai pesakit yang mengadu kegelisahan! Penyakit membangkitkan rasa hormat-menghormati dan perasaan kasih sayang yang merupakan suatu perkara yang penting dan mulia dalam kehidupan sosial manusia. Hal ini demikian kerana, ia boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain, yang menyebabkan dia tidak suka bersosial dan tiada perasaan belas kasihan. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran :أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَىٰ ۝ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَيَطْغَىٰ Maksudnya: “Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya”. (al-‘Alaq: 6-7) Nafsu amarah yang merasakan dirinya ‘tidak memerlukan orang lain’ disebabkan kesihatan yang baik dan berpanjangan sehingga tidak akan memberikan penghormatan terhadap saudara yang memerlukannya. Ia juga tidak akan mempunyai perasaan belas kasihan terhadap saudaranya yang ditimpa musibah dan penyakit biarpun mereka layak menerima kebaikan dan simpati. Bila mana dia ditimpa sakit, dia akan memahami betapa lemah dirinya dan betapa dia memerlukan kepada orang lain. Dia akan memberikan penghormatan kepada saudara-saudaranya yang beriman yang layak diberikan penghormatan kerana menjaganya ketika sakit, atau yang menziarahinya ketika sakit. Dia juga akan memiliki perasaan belas kasihan insani yang merupakan suatu sifat keislaman yang penting terhadap mereka yang ditimpa musibah dan bala bencana. Melalui perbandingan keadaan dirinya dengan mereka, dia akan bersimpati dan merasa belas kasihan terhadap mereka dengan sebenar-benarnya. Jika mampu, maka dia akan menghulurkan bantuan kepada mereka. Jika tidak, dia mendoakan atau menziarahi serta bertanya khabar tentang keadaan mereka. Dengan itu, dia telah melaksanakan salah satu sunnah yang dituntut oleh syarak serta memperoleh ganjaran.

§19

Wahai pesakit yang mengadu kerana tidak dapat menjalankan kerja-kerja kebajikan, bersyukurlah! Penyakit itu boleh membuka pintu kebajikan yang paling tulus. Di samping penyakit boleh membawa pahala yang besar dan berterusan kepada pesakit dan orang-orang yang menjaganya demi keredaan Allah, ia juga merupakan penyebab terbaik doa dimakbulkan. Menjaga orang yang sakit boleh mendatangkan pahala yang besar kepada orang beriman. Begitu juga dengan melakukan ziarah dan bertanya khabar tentang kesihatan pesakit dengan syarat tidak menyusahkan mereka, ia juga merupakan amalan sunnah yang mulia dan dalam masa yang sama boleh menghapuskan dosa-dosa. Selain itu, terdapat juga hadis yang membawa maksud: “Mintalah doa orang-orang sakit, kerana doa mereka mustajab.” , khususnya apabila pesakit itu terdiri daripada kaum kerabat dan ibu bapa malah menjaga mereka merupakan suatu ibadat yang penting dan dalam masa yang sama akan memperoleh pahala yang besar. Menenangkan hati orang yang sakit dan menggembirakan mereka merupakan sedekah yang penting. Alangkah beruntungnya anak-anak yang dapat menenangkan hati ibu bapa ketika sakit dan memperoleh doa mereka yang mustajab. Malah para malaikat juga turut memuji dan melaungkan: “Masya-Allah! Barakallah!” terhadap anak-anak soleh yang setia menjaga ibu bapa ketika sakit. Mereka inilah yang paling layak mendapat penghormatan dan kedudukan tinggi dalam kehidupan bermasyarakat kerana menunjukkan perikemanusiaan yang tinggi. Ya, terdapat kenikmatan ketika sakit yang timbul daripada belas kasihan dan simpati daripada orang-orang di sekeliling pesakit. Hal ini demikian kerana ia dapat menenangkan dan mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit. Makbulnya doa pesakit adalah suatu perkara yang penting. Selama tiga puluh atau empat puluh tahun, saya sendiri telah berdoa agar disembuhkan daripada penyakit Lumbago (sakit sengal otot di bahagian bawah belakang tubuh) yang saya alami. Kemudian barulah saya mengerti bahawa sakit yang dikurniakan kepada seseorang untuk tujuan dia berdoa. Oleh sebab doa tidak boleh dihilangkan dengan doa, iaitu doa tidak boleh menghilangkan dirinya, maka saya telah memahami bahawa natijahnya berbentuk ukhrawi dan doa itu sendiri merupakan sejenis ibadat, kerana melalui penyakit, seseorang akan memahami kelemahannya dan memohon perlindungan ke hadrat Ilahi. Oleh itu, walaupun saya telah berdoa selama 30 tahun agar disembuhkan dan nampaknya doa saya tidak dimakbulkan, namun ia sedikitpun tidak memutuskan semangat saya untuk berdoa. Hal ini demikian kerana sakit merupakan waktu untuk berdoa, manakala sembuh pula bukanlah natijah daripada doa. Jika Allah SWT al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) lagi ar-Rahim (Maha Pengasih) mengurniakan kesembuhan, maka Dia mengurniakannya daripada limpah kurnia-Nya. Tambahan pula, jika doa kita tidak dimakbulkan sebagaimana yang dipohon, maka doa tersebut tidak boleh dikatakan tidak mustajab. Allah al-Khaliq (Yang Maha Mencipta) lagi al-Hakim (Maha Bijaksana) itu lebih mengetahui daripada kita, bahkan Allah SWT memberikan sesuatu yang lebih diperlukan oleh kita. Kadang-kadang Dia mengalihkan doa-doa berbentuk duniawi kita ke akhirat untuk manfaat kita dan menerimanya dengan sewajarnya. Walau bagaimanapun, doa yang mendapat keikhlasan dan yang timbul di balik penyakit, sifat kelemahan, kerendahan hati serta hajat yang khusus amat hampir untuk dimakbulkan. Sakit merupakan asas dan paksi kepada doa yang ikhlas seperti ini. Oleh itu, pesakit dan penjaganya dalam kalangan orang beriman sepatutnya mengambil manfaat daripada doa ini.

§20

Wahai pesakit yang meninggalkan kesyukuran dan bersikap merungut!Rungutan sepatutnya lahir daripada sesuatu hak yang hilang daripada anda, sedangkan pada hakikatnya tiada suatu pun hak anda yang hilang yang menyebabkan anda patut merungut. Sesungguhnya terdapat banyak kesyukuran yang menjadi kewajipan dan hak ke atas anda, namun anda tidak lakukan.Tanpa memberikan hak Allah Yang Maha Agung, dengan cara yang tidak wajar, anda merungut seolah-olah menuntut hak anda. Anda tidak boleh melihat orang lain yang lebih baik tahap kesihatannya daripada anda serta merungut, bahkan anda ditugaskan untuk melihat orang yang lebih rendah tahap kesihatannya daripada anda dengan bersyukur.Anda sebenarnya ditugaskan untuk bersyukur. Jika tangan anda patah, lihatlah kepada tangan mereka yang terputus. Jika anda hanya memiliki sebelah mata sahaja, lihatlah kepada mereka yang buta, yang kehilangan kedua-dua belah matanya dan bersyukurlah kepada Allah SWT. Sudah pasti, tiada seorang pun yang berhak untuk melihat kepada orang yang lebih hebat daripadanya dalam hal kenikmatan dan merungut, akan tetapi ketika ditimpa musibah adalah hak setiap orang untuk melihat kepada orang yang lebih teruk musibahnya agar dia bersyukur. Rahsia ini telah dijelaskan pada beberapa tempat di dalam Risalah an-Nur melalui sebuah tamsilan. Ringkasannya ialah seperti berikut: Seorang lelaki yang bernasib baik membantu seorang yang malang menaiki ke puncak menara. Lelaki itu memberikan hadiah dan ganjaran yang berbeza kepada si malang itu pada setiap anak tangga. Akhirnya ketika sampai di puncak menara, lelaki itu memberikan hadiah yang paling besar kepada si malang itu. Walaupun dia mahukan ucapan terima kasih dan penghargaan bagi kesemua hadiah yang diberikan itu, namun si malang itu telah melupakan hadiah yang diterima di setiap anak tangga, atau menganggapnya tidak penting, bahkan dia tidak mengucapkan terima kasih dan melihat orang yang lebih tinggi darjatnya. Seterusnya dia mula merungut dan berkata: “Kalaulah menara ini lebih tinggi, nescaya saya boleh mendaki lebih tinggi lagi! Kenapa ketinggian menara ini tidak sama dengan bukit di sana atau menara di sebelah itu?” Jika lelaki malang itu merungut sedemikian rupa, maka alangkah besarnya kekufuran nikmat yang dilakukan dan betapa dahsyat kesalahannya itu. Demikian juga halnya dengan kedatangan manusia yang wujud daripada ketiadaan, bukan seperti batu, pokok dan binatang. Akan tetapi, menjadi manusia dan seorang muslim yang selalu mendapat kesihatan yang baik serta darjat kenikmatan yang tinggi. Di sebalik semua ini, dengan merungut dan menunjukkan sikap tidak sabar kerana dia tidak layak menerima sebahagian nikmat-nikmat, atau kerana dia kehilangannya melalui pilihan yang salah atau penyalahgunaan, atau kerana dia tidak dapat memperolehnya, dan untuk mengkritik Rububiyyah Ilahi dengan berkata: “Apakah yang telah aku lakukan sehingga keadaan ini berlaku kepadaku?”, keadaan ini menggambarkan kesakitan maknawi dan musibah yang lebih besar daripada penyakit fizikal yang dialaminya. Umpama seorang yang bergusti dengan keadaan tangannya yang patah, rungutan akan mengakibatkan kesakitannya bertambah parah. Maka seseorang itu dianggap berakal jika dia menepati makna ayat ini: الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah: 156) Lalu dia menyerahkan segalanya kepada Allah dalam keadaan sabar agar penyakit tersebut dapat menjalankan tugasnya, lalu penyakit tersebut akan meninggalkannya.

§21

Perkataan al-Asma’ al-Husna yang digunakan bagi menggambarkan semua nama-nama Allah yang maha indah lagi maha mulia menunjukkan bahawa semua nama-nama tersebut adalah indah kesemuanya. Kehidupan adalah cerminan ketuhanan yang paling indah dan paling halus. Cermin kepada sesuatu yang indah adalah indah juga. Cermin yang memancarkan keindahan sesuatu yang indah akan juga menjadi indah. Segala sesuatu yang indah yang mengenai cermin tersebut, akan menjadi indah juga. Oleh itu, dari sudut hakikat, segala yang menimpa kehidupan ini adalah juga indah kerana ia sebenarnya menampil dan memperlihatkan buatan ukiran yang indah bagi nama-nama Allah yang indah itu. Jika kehidupan selamanya berada dalam keadaan sihat wal afiat, nescaya ia akan menjadi seumpama cermin yang tidak sempurna. Bahkan sedikit sebanyak kehidupan akan merasa sempurna tidak wujud, ketiadaan, ketidakwujudan dan akan menyebabkan kita merasa kesusahan dan masalah. Nilai kehidupan akan merudum. Kelazatan dan kesenangan umurnya akan bertukar menjadi kesakitan dan kedukacitaan. Oleh itu, manusia akan beranggapan yang dia akan menghabiskan masa hidupnya dengan cepat, hasil dari perasaan jemu mencampakkan hidupnya dalam perkara maksiat atau berfoya-foya. Ia adalah umpama seorang yang memusuhi umurnya sendiri yang berharga itu lalu membunuh dirinya kerana beranggapan kehidupannya di dunia ini sebagai suatu tahanan di dalam penjara. Tetapi kehidupan yang berlangsung dalam keadaan dipenuhi dengan pelbagai pertukaran dan perubahan serta mengalami keadaan dalam berbagai-bagai bentuk dan peringkat, maka kehidupan itu akan dirasai mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi. Kehidupan seumpama ini akan menatijahkan bahawa umurnya adalah penting dan memberikannya kelazatan yang menakjubkan. Hinggakan anda akan dapati seseorang itu tidak mahu umurnya berlalu meskipun dia mengalami pelbagai jenis kesulitan dan musibah. Dia sedikitpun tidak mengeluh dan menyesalinya. Dia berkata: “Harap-harap, janganlah matahari tenggelam, dan janganlah malam berlalu.” Sebaliknya, anda boleh bertanya kepada seorang lelaki yang kaya yang tidak berbuat apa-apa dan hidup dalam buaian kemewahan. Tanyalah kepadanya: “Bagaimanakah keadaan anda?” Anda pasti akan mendengar jawapan-jawapan yang menyedihkan, seperti: “Aah… Kenapa lambat benar masa ini berlalu? Mahukah anda bersama saya mencari suatu permainan menyeronokkkan yang boleh menghabiskan masa kita ini? Marilah kita bermain terup sekejap!” Atau anda mungkin akan mendengar berbagai-bagai pengaduan yang menunjukkan dia adalah seorang yang cintakan dunia dan mempunyai angan-angan yang panjang, seperti: “Alangkah baiknya jika saya berbuat sekian-sekian…” Tetapi jika anda bertanya kepada seorang fakir yang tenggelam di dalam musibah atau seorang fakir yang giat bekerja: “Bagaimana keadaan anda?” maka jika dia seorang yang waras, dia akan berkata: “Saya berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Saya sedang bekerja. Alangkah baiknya jika matahari tidak tenggelam dengan cepat agar saya dapat menghabiskan kerja saya ini. Waktu amat cepat berlalu. Umur juga begitu. Mereka berlalu dengan cepat. Sudah pasti keadaan adalah susah bagi saya, tetapi ia akan berakhir juga. Semuanya berlalu dengan cepatnya,” Sebenarnya, lelaki fakir ini menyatakan betapa bernilainya kehidupan ini dan betapa kecewanya atas pemergiannya yang cepat. Oleh itu, dia merasai kelazatan dan nilai umurnya dengan melalui kesukaran dan kesulitan. Manakala kerehatan dan kesihatan hanya menjadikan kehidupan ini pahit dan menyebabkan seseorang itu bercita-cita agar kehidupannya dapat berlalu dengan segera. Wahai saudaraku yang sakit! Ketahuilah bahawa punca segala musibah dan kejahatan bahkan punca segala dosa ialah ‘ketiadaan’ sebagaimana telah dibuktikan dengan bukti yang kukuh dan terperinci di dalam Risalah an-Nur. ‘Ketiadaan’ adalah keburukan dan kegelapan.Maka keadaan-keadaan dalam bentuk keadaan kehidupan yang sama selama-lamanya adalah amat menyerupai dengan ‘ketiadaan’ dan ‘kesia-siaan’. Manakala keadaan ‘pergerakan’ dan ‘perubahan’ pula adalah kewujudan dan menjadikan kehidupan itu dirasai kewujudannya. ‘Kewujudan’ adalah kebaikan dan cahaya yang sejati. Oleh kerana inilah hakikatnya, maka penyakit yang berada pada diri anda sebenarnya ia adalah tetamu yang diutuskan kepada anda untuk melaksanakan tugasnya yang banyak. Dia bertugas membersih, menguat dan mempertingkatkan kehidupan anda serta mengarahkan seluruh jentera lain yang berada pada diri anda agar membantu anggota badan anda yang sakit. Dia juga menampilkan ukiran segala nama-nama Allah yang Maha Bijaksana. Tugasnya akan berakhir tidak lama lagi, insya-Allah. Ia akan berkata kepada keadaan kesihatan: “Marilah ke sini sekarang untuk menggantikan tempat saya selamanya. Mulakan semula tugas anda. Inilah rumah anda. Tinggallah di sini dalam keadaan baik.”

§22

Wahai pesakit yang mencari penawar bagi penyakitnya! Ketahuilah bahawa penyakit terbahagi kepada dua jenis. Jenis pertama ialah penyakit hakiki (sebenar) dan jenis kedua ialah penyakit wahmi (disangkakan).Bagi penyakit hakiki, Allah al-Syafi (Yang Maha Penyembuh) dan al-Hakim Zul Jalal (Maha Bijaksana lagi Maha Mulia) telah menyimpan penawar bagi setiap penyakit di dalam farmasi-Nya yang luas di dunia ini. Penawar-penawar itu memerlukan penyakit-penyakit tersebut. Dia telah menciptakan penawar bagi setiap penyakit itu. Anda dibenarkan untuk mendapatkan ubat-ubatan dan menggunakannya untuk rawatan, tetapi anda perlu tahu bahawa kesan dan kesembuhan adalah daripada Allah Yang Maha Agung. Dialah yang mengurniakan kesembuhan sebagaimana Dia memberikan penawar. Malah mengikut saranan doktor yang mahir dan bertakwa merupakan ubat yang paling penting. Hal ini demikian kerana kebanyakan penyakit terjadi disebabkan oleh penyalahgunaan, kurang berpantang, pembaziran, kesilapan, berfoya-foya dan kurang menjaga kesihatan. Bahkan, seseorang doktor yang beriman sudah pasti akan memberikan nasihat dan pesanan dalam batasan yang dibenarkan. Dia juga akan melarang sebarang penyalahgunaan dan berlebih-lebihan, malah turut menghiburkan hati pesakit. Hal ini akan menyebabkan sesuatu penyakit yang ditanggung oleh pesakit akan berkurang kerana nasihat, pesanan dan hiburan yang diberikan oleh doktor itu, bahkan dia akan berasa lega sebagai ganti daripada perasaan sempit dan gelisah. Manakala bagi penyakit wahmi (yang disangkakan), ubat paling mujarab untuknya adalah dengan ‘tidak menghiraukannya’ kerana semakin diberi perhatian, ia akan menjadi semakin tumbuh membesar. Akan tetapi, jika tidak dihiraukan, ia akan berkurang dan menghilang. Ibarat lebah, semakin banyak lebah yang marah semakin banyak lebah mengerumuni kepala seseorang, namun jika tidak dihiraukannya, lebah-lebah tersebut akan berserakan. Jika seseorang sentiasa berkhayal dengan penuh perhatian sebagai contoh dia berkhayal tentang wujudnya seutas tali yang tergantung di dalam gelap, maka khayalannya itu akan menjadi besar bahkan kadang-kadang boleh menyebabkannya melarikan diri seperti orang gila yang ketakutan. Tetapi jika dia tidak ambil peduli terhadap khayalannya, maka pasti dia akan mengetahui bahawa apa yang disangkakannya itu hanyalah seutas tali, bukannya seekor ular yang besar. Lalu dia akan mentertawakan apa yang dikhayalkannya itu. Sekiranya penyakit hipokondria (perasaan bimbang keterlaluan terhadap kesihatan diri) berterusan dalam jangka masa yang lama, ia akan berubah menjadi realiti. Ia adalah suatu penyakit yang teruk untuk orang yang marah dan mereka yang kuat berkhayal, selalunya orang sebegini terlalu risau mengenai masalah kecil tetapi dianggapnya terlalu serius, malah boleh melenyapkan kekuatan maknawinya (kekuatan rohani). Terutama sekali jika mereka bertemu dengan doktor yang ‘separuh’ atau doktor yang tidak adil dan tidak memiliki belas kasihan, ia akan mencetuskan hipokondria pesakitnya itu sehinggakan jika dia seorang yang kaya, dia akan kehilangan kekayaannya, atau dia boleh kehilangan kesihatannya.

§23

Wahai saudaraku yang sakit! Terdapat kesakitan fizikal pada penyakit yang anda alami, akan tetapi anda akan dikelilingi dengan kelazatan maknawi yang bermakna, yang akan menghilangkan kesan kesakitan fizikal anda. Hal ini demikian kerana jika anda mempunyai ibu bapa dan sanak saudara, maka belas kasihan mereka yang paling membahagiakan yang sudah anda lupa sejak kecil akan dizahirkan semula serta anda dapat merasai lagi kebaikan mereka yang telah anda peroleh pada zaman kanak-kanak. Tambahan pula, melalui tarikan penyakit itu juga kasih sayang di sekeliling anda yang dirahsiakan dan disembunyikan akan mula menjengah anda kembali. Maka, kesakitan fizikal yang anda hadapi menjadi semakin tidak terasa. Begitu juga, anda kini akan menjadi tuan kepada tuan-tuan yang telah anda berkhidmat dengan bangga disebabkan sakit yang telah ditetapkan, hal ini disebabkan oleh mereka telah melayani anda dengan penuh kasih sayang. Oleh sebab anda telah dapat menjiwai perasaan kasih sayang sesama insan ke dalam diri anda, maka anda akan menjumpai ramai rakan yang suka membantu dan teman baik. Di samping itu, anda telah menerima arahan daripada penyakit yang anda alami itu agar berehat daripada bebanan tugas yang berat, dan anda sekarang sedang berehat. Oleh itu, sudah semestinya dalam menghadapi kelazatan-kelazatan maknawi ini, sakit anda yang ringan itu sepatutnya mendorong anda untuk bersyukur bukannya mengeluh.

§24

Wahai saudaraku yang mengalami penyakit berat seperti Apopleksi (lumpuh)! Pertamanya saya akan khabarkan berita gembira kepada anda bahawa apopleksi (lumpuh) dianggap sebagai satu penyakit yang diberkati bagi seorang mukmin. Saya pernah mendengar tentang perkara ini lama dahulu daripada para wali yang soleh dan saya tidak mengetahui rahsianya. Sekarang, salah satu daripada rahsianya telah terlintas dalam hati saya, seperti berikut: Sesungguhnya para wali Allah yang ingin sampai kepada Allah SWT bagi menyelamatkan diri mereka daripada bahaya maknawi besar yang datang dari dunia dan bagi menjamin kebahagiaan abadi di akhirat, mereka melalui dua jalan: Pertama: Mengingati mati, iaitu berfikir tentang dunia ini hanya sementara dan bahawa diri mereka seperti seorang musafir yang dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas tertentu, maka mereka bekerja ke arah kehidupan yang kekal abadi melalui cara itu. Kedua: Bagi menghilangkan bahaya nafsu amarah dan perasaan buta hati mereka cuba menghapuskan nafsu amarah dengan melakukan mujahadah dan kezuhudan. Wahai saudaraku yang kehilangan setengah daripada kesihatan badannya! Terdapat dua asas yang pendek dan mudah serta punca pada kebahagiaan telah diberikan kepada diri anda tanpa anda memilihnya. Oleh itu, keadaan diri anda sentiasa mengingatkan anda bahawa dunia ini fana dan manusia ini hanyalah seorang musafir. Ketika itu, dunia tidak dapat melemaskan dan menghalang pernafasan anda serta kealpaan juga tidak dapat menutup mata anda, semestinya nafsu jahat yang memerintah juga tidak boleh memperdayakan nafsu syahwat yang hina bagi menghasut seseorang yang dalam keadaan separuh badan manusia. Oleh itu, dia akan terselamat daripada segala ujian terhadap jiwanya dengan segera. Oleh yang demikian, melalui rahsia keimanan, penyerahan diri dan tawakal terhadap-Nya, seorang mukmin boleh mendapat faedah dalam tempoh yang singkat daripada penyakit yang teruk seperti apopleksi (lumpuh) itu. Semuanya itu adalah seperti ujian yang dahsyat yang diterima oleh para wali Allah. Justeru itu, penyakit dahsyat seperti ini hanyalah akan menjadi perkara yang sangat kecil dan kerdil.

§25

Wahai pesakit yang berdukacita lagi keseorangan dan terasing! Sekalipun jika kesunyian anda dan pengasingan yang bersama dengan penyakit anda itu akan menyebabkan timbulnya perasaan simpati terhadap anda dalam hati-hati yang keras yang dapat menarik kebaikan dan belas kasihan, maka dapatkah ia menggantikan sifat Pencipta anda yang Maha Pemurah (ar-Rahman) itu? Sepertimana Dia bentangkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim-Nya pada permulaan surah-surah al-Quran. Begitu juga, dengan satu kerdipan cahaya kasih sayang-Nya dapat membuatkan kesemua ibu akan mengasuh anak-anak mereka dengan kasih sayang yang amat menakjubkan. Begitu juga dengan satu manifestasi rahmat Ilahi terdapat pelbagai kenikmatan yang memenuhi permukaan bumi pada musim bunga. Begitu juga melalui salah satu manifestasi rahmat Ilahi adalah adanya kehidupan abadi di syurga berserta dengan pelbagai keajaibannya. Oleh itu keimanan dan perlindungan anda di bawah naungan-Nya melalui lisan anda yang lemah terhasil daripada penyakit yang anda alami, serta pengharapan dan tadarru’ anda kepada-Nya, menjadikan penyakit, keseorangan dan kesunyian yang anda alami sebagai suatu matlamat dan wasilah yang mendatangkan pandangan rahmat-Nya, kerana ia mengatasi segalanya.Selagimana Dia wujud dan Dia memandang kepada anda, maka segala sesuatu yang lain juga wujud bagi anda. Orang-orang yang sebenarnya keseorangan dan kesunyian ialah orang yang tidak mempunyai hubungan keimanan dan penyerahan diri kepada-Nya, atau tidak mengendahkan hubungan tersebut.

§26

Wahai kalian yang menjaga kanak-kanak maksum yang sakit atau orang-orang tua yang seakan kanak-kanak maksum! Di hadapan anda terdapat perniagaan akhirat yang amat penting. Anda hendaklah merebut perniagaan ini dengan rindu dan ghairah. Penyakit yang dialami oleh kanak-kanak adalah suntikan-suntikan tarbiah rabbani bagi tubuh badan mereka yang masih lembut dan lemah, agar mereka membiasakan diri dengannya agar mereka dapat menghadapi segala kesulitan kehidupan pada masa akan datang. Penyakit-penyakit itu juga mengandungi pelbagai hikmat dan faedah untuk kehidupan mereka di dunia. Sebagaimana ia juga dapat menyucikan kehidupan orang-orang yang sudah dewasa dengan menghapuskan segala dosa yang dilakukan. Maka penyakit-penyakit itu merupakan suntikan peningkatan maknawi (rohani) kanak-kanak bagi kepentingan mereka pada masa akan datang atau di akhirat nanti. Pahala yang terhasil daripada penyakit-penyakit seumpama ini akan dicatatkan di dalam lembaran amalan kedua ibu bapa, terutamanya di dalam lembaran amalan kebaikan ibu yang lebih mengutamakan kesihatan anaknya daripada kesihatan dirinya sendiri kerana rahsia perasaan kasih sayang yang terdapat pada dirinya, sebagaimana telah dapat dibuktikan di sisi ahli hakikat. Menjaga dan mengambil berat terhadap orang-orang tua yang sakit pula menjadi paksi kepada memperoleh pahala yang besar, terutamanya jika orang tua itu ialah ibu bapa kita sendiri. Ia juga akan menyebabkan seseorang memperolehi doa mereka, di samping itu hati mereka akan gembira jika perkhidmatan yang diberikan kepada mereka dilakukan dengan penuh kesetiaan dan ikhlas. Ia juga menyebabkan seseorang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ini sebagaimana terbukti di dalam banyak riwayat yang sahih dan peristiwa sejarah. Oleh itu, seseorang anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya yang lemah, anak-anaknya juga akan memberikan ketaatan yang sama kepadanya suatu hari nanti. Sebaliknya, anak derhaka yang sentiasa menyakiti ibu bapanya, akan sentiasa dihukum dengan pelbagai bencana di dunia dan di akhirat nanti. Apa yang dimaksudkan di atas bukanlah hanya penjagaan terhadap orang-orang tua yang lemah dalam kalangan kaum kerabat terdekat sahaja. Bahkan jika seseorang mukmin terjumpa seorang tua yang sakit dan memerlukan penjagaan maka menjadi kewajipannya untuk memberikan perkhidmatan dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, selagimana terdapat tali persaudaraan yang sejati melalui rahsia keimanan. Inilah yang dituntut oleh Islam.

§27

Wahai saudara-saudaraku yang sakit! Jika anda mahukan satu rawatan suci yang amat bermanfaat dan kelazatan yang hakiki maka mantapkanlah keimanan anda! Iaitu dengan melakukan taubat, istighfar, solat lima waktu dan ibadat yang dilakukan dengan penuh keimanan merupakan penawar yang suci dan rawatan yang timbul daripada keimanan itu. Sesungguhnya orang-orang yang alpa dan lalai kerana kecintaan mereka terhadap dunia dan kebergantungan mereka yang teramat terhadapnya menjadikan seolah-olah mereka sedang mengalami sakit tenat, yang penyakitnya sebesar dunia ini sendiri. Kami telah buktikan dalam banyak bahagian Risalah an-Nur bahawa iman menyembuhkan kewujudan penyakit maknawi anda yang sebesar dunia itu yang telah dicederakan dan dihentak oleh pukulan-pukulan kematian dan perpisahan kepada jasad dan menyelamatkannya daripada luka-luka dan seterusnya menyembuhkan sepenuhnya. Saya meringkaskan perbincangan di atas supaya tidak menjemukan anda . Rawatan keimanan jelas akan memperlihatkan kesannya dengan melakukan perkara-perkara fardu semampu yang boleh. Manakala kealpaan, perbuatan yang melanggar syariat, mengikuti hawa nafsu dan hiburan yang haram boleh menghalang keberkesanan rawatan tersebut.Oleh kerana penyakit boleh menghilangkan kealpaan, memotong nafsu makan, menghalang ke atas kenikmatan-kenikmatan yang haram; maka ambillah manfaat daripadanya. Gunakanlah rawatan daripada cahaya keimanan ini dengan bertaubat, istighfar, doa dan pengharapan agar Allah SWT menyembuh dan menjadikan penyakit anda sebagai penghapus dosa. Amin… Amin… Amin… Maksudnya: Mereka berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya). Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran.” (al-A’raf: 43) Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Anda (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Anda ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Anda jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah: 32) اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ طِبِّ ال۟قُلُوبِ وَ دَوَائِهَا وَ عَافِيَةِ ال۟اَب۟دَانِ وَ شِفَائِهَا وَ نُورِ ال۟اَب۟صَارِ وَ ضِيَائِهَا وَ عَلٰى اٰلِهٖ وَ صَح۟بِهٖ وَ سَلِّم۟

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters