[Risalah ini merupakan Catatan Ke-16 daripada Kerdipan Ke-17 tetapi oleh kerana risalah ini mempunyai kedudukan yang sangat penting, maka risalah ini diletakkan pada Kerdipan Ke-23. Risalah ini membidas segala gelombang kekufuran yang bersumberkan pemahaman manusia terhadap alam daripada kaca mata ateisme sekaligus menghancurkan akar umbi kekufuran.] PERINGATAN Perbahasan ini menjelaskan sembilan “kemustahilan” yang mengandungi sekurang-kurangnya 90 “kemustahilan” tentang ideologi para naturalis ateis yang tidak praktikal, menyimpang daripada kelaziman, dan merupakan satu khurafat. Untuk meringkaskan perbincangan di sini dan oleh sebab sebahagian daripada kemustahilan ini sudah pernah dijelaskan dalam bahagian lain dalam Risalah an-Nur, maka beberapa langkah dalam penjelasan itu dilangkau atau dipaparkan secara ringkas. Satu pertanyaan yang sering bermain di kepala ialah: Mengapakah para ahli falsafah dan sarjana ternama boleh menerima begitu saja perkara-perkara khurafat yang merupakan pembohongan dan terus-menerus menerimanya sebegitu? Jawapannya adalah kerana mereka tidak nampak akan hakikat sebenarnya. Aku bersedia memberikan penjelasan secara terperinci serta memberikan bukti kukuh dan memaparkan beberapa dalil yang sangat jelas untuk menegaskan perkara itu kepada mereka yang masih ragu akan kemustahilan ideologi yang dipegang oleh mereka. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang. Terjemahannya: “Rasul-rasul mereka berkata, adakah keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi?” (Ibrahim 14:10) Ayat al-Quran berserta dengan pertanyaan yang bersifat penolakan seperti ayat di atas secara tegas dan jelas menunjukkan kewujudan dan keesaan Allah S.W.T. Catatan Sebulum Perbincangan Pada tahun 1338 Hijrah (1922 M) aku mengunjungi kota Ankara. Aku menyaksikan bagaimana kaum mukmin berasa senang dan gembira atas kemenangan pasukan Islam melawan Greece (Yunani). Namun, di tengah-tengah kegembiraan tersebut, aku melihat pengaruh fikiran ateisme mula menyusup masuk dengan racun dan tipu dayanya yang merosakkan minda. “Ya Allah”, aku berkata “Raksasa ini akan menghancurkan asas keimanan.” Pada waktu itu, oleh sebab ayat di atas telah secara jelas membuktikan kewujudan dan keesaan Allah SWT, aku terus memohon pertolongan Allah SWT lalu aku pun menulis sebuah risalah dalam Bahasa Arab yang mengandungi bukti kukuh daripada ayat-ayat di atas daripada al-Quran yang Bijaksana. Aku menulis suatu dakwaan yang kuat dan tajam yang dapat menghentikan arus ateisme tersebut. Risalah tersebut dicetak oleh Penerbit Yeni Gun di Ankara namun sayangnya, orang yang tahu tentang Bahasa Arab sangat sedikit dan yang mengambil perkara ini secara bersungguh-sungguh amat jarang sekali. Tambahan pula, dakwaanku sangatlah ringkas dan dalam bentuk yang singkat. Penjelasan dan hujahku yang sangat kuat itu tidak berhasil melawan fahaman ateisme, justeru risalah itu tidak memberikan kesan seperti yang sepatutnya dan sungguh menyedihkan, arus ateisme semakin deras dan terus memperoleh kekuatan. Pada masa ini, aku terpanggil untuk menulis risalah itu dalam bahasa Turki. Oleh sebab sebahagian besarnya telah ditulis dalam risalah lain daripada himpunan Risalah an-Nur, aku akan menulisnya dalam bentuk ringkasan sahaja di sini. Sebahagian bukti daripada perbincangan yang terdapat dalam risalah lain semuanya akan dijelaskan secara keseluruhan di sini; seolah-olah setiap bukti tersebut merupakan bahagian daripada risalah ini.
Source text is preserved. When a suitable model is available, translation is displayed separately.
Tabiat Risalesi
The Twenty-Third Gleam
Wahai manusia! Ketahuilah bahawa terdapat beberapa ungkapan yang sering digunakan yang di dalamnya terkandung kesan ke arah kekufuran. Golongan mereka yang beriman turut menggunakan ungkapan-ungkapan tersebut tanpa sedar akan implikasinya. Kami akan menjelaskan tiga daripada ungkapan yang paling berbahaya itu seperti berikut: Pertama : “Sebab musabab yang mencipta kejadian ini.” Kedua : “Sesuatu itu terbentuk dengan sendirinya kemudian ia lenyap.” Ketiga : “Ia adalah tabii; Kejadiannya dan penciptaannya adalah secara semula jadi (tabii)” Ya, selama segala makhluk wujud dan tidak dapat dinafikan, dan kewujudannya terjadi dengan penuh hikmah dan kesenian, tidak terkeluar daripada lingkungan masa dan sentiasa diperbaharui, maka yang demikian wahai orang yang menolak kebenaran, kamu pasti akan mengatakan bahawa, makhluk di dalam dunia ini ujud atas sebab-musabab yang berlaku dalam alam. Maksudnya seperti haiwan ini; adakah ia tercipta atas penyatuan beberapa sebab, atau ia membentuk dirinya sendiri, atau bahawa kewujudannya adalah keperluan dan kesan alam semula jadi yang diperlukannya, atau bahawa ia dicipta melalui kekuasaan Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Agung. Oleh kerana akal tidak dapat mencari jalan selain dari jalan keempat-empat ini, jika tiga yang pertama pasti terbukti mustahil, tidak sah dan tidak masuk akal, maka cara yang berlandaskan Keesaan Ilahi, yang merupakan cara keempat, semestinya dan jelas, tanpa keraguan atau syak adalah dibuktikan benar.
Ini untuk membayangkan bahawa pembentukan dan kewujudan sesuatu, makhluk, berlaku melalui penyatuan sebab-sebab di alam semesta. Kami akan menyebut hanya tiga daripada banyak kemustahilannya. Kemustahilan Pertama:Katakan ada sebuah farmasi yang memiliki beratus-ratus botol dan bekas kecil berisi pelbagai bahan kimia. Oleh kerana sesuatu sebab tertentu, satu ramuan kehidupan dan penawar untuk mengubati demam diperlukan. Apabila kita masuk ke dalam farmasi tersebut, kita terjumpa dengan banyak sekali ramuan dan penawar untuk mengubati demam, tersusun daripada bahan yang pelbagai. Kita menganalisis setiap ramuan dan mendapati campuran setiap ramuan itu telah ditentukan daripada pelbagai bahan tetapi dengan sukatan yang tepat dari botol dan bekas kecil berisi bahan kimia, satu gram bahan ini, kemudian tiga gram bahan itu, tujuh gram bahan yang lain, dan seterusnya. Jika setiap sukatan ramuan yang diambil tadi terlebih satu gram atau terkurang sedikit, ramuan tersebut tidak akan menjadi satu ramuan atau tidak dapat menjadi sesuatu yang istimewa. Sekarang, kita lihat pula penawar untuk mengubati demam. Sekali lagi jika diteliti, ramuan yang diambil dari botol dengan sukatan tertentu yang tepat sehingga sekiranya terlebih ramuan diambil tadi atau terkurang dengan sukatan yang sangat kecil sekalipun khasiatnya yang tertentu akan hilang. Sekarang, walaupun botol-botol yang ada melebihi lima puluh, namun bahan yang beraneka macam itu dihasilkan dengan gabungan ramuan yang berbeza sesuai dengan sukatannya yang tertentu. Jika demikian, mungkinkah gabungan ramuan atau bahan kimia yang unsur-unsurnya digabungkan secara tepat itu terbentuk secara kebetulan? Adakah mungkin kesemuanya terbentuk apabila botol-botol bertembung antara satu sama lain akibat angin ribut taufan yang melanda farmasi tersebut sehingga setiap bahan kimia tadi mengalir dengan sukatan tertentu dan saling bergabung, membentuk ramuan berkhasiat? Adakah sesuatu yang lebih khurafat, lebih mustahil dan lebih tidak munasabah daripada ini? Jika seekor keldai yang boleh bercakap berada di sini kaldai pun akan berkata, “Aku tidak boleh menerima idea ini!” dan akan berlalu pergi! Begitulah juga setiap sesuatu yang bernyawa boleh diumpamakan ramuan kehidupan dalam perbandingan tadi. Setiap tumbuhan pula boleh diumpamakan penawar demam kerana tumbuhan tersusun daripada unsur berbeza dan daripada bahan yang beraneka macam sesuai dengan sukatan campurannya yang sangat tepat. Oleh itu, penyamaan penciptaan makhluk bernyawa yang sangat indah itu kepada sebab dan unsur atau penyebab tertentu yang mengatakan kewujudannya disebabkan oleh gabungan penyebab itu adalah tidak benar, mustahil, dan sangat tidak munasabah. Perkara ini sama tidak munasabah apabila dikatakan campuran ramuan penawar penyakit itu terbentuk sendiri setelah tercampurnya bahan-bahan kimia dari botol yang bertembung antara satu sama lain secara kebetulan akibat ribut taufan. Kesimpulannya: Bahan-bahan utama dalam farmasi berupa alam yang luas ini, yang diperoleh daripada sukatan timbangan qada dan qadar yang dimiliki Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui yang terdapat di alam, hanya boleh wujud melalui kebijaksanaan dan pengetahuan yang tidak terkira jumlahnya serta dengan kehendak-Nya yang mencakupi segala sesuatu.Oleh yang demikian, malang sungguh bagi orang yang menyangka bahawa mereka ialah produk alam yang terjadi secara semula jadi daripada gabungan benda yang bergerak dalam keadaan buta dan tuli; atau ia termasuk sesuatu yang bersifat fitrah, atau ia terwujud akibat ciptaan dan gabungan bahan tertentu yang mengalir seperti air banjir. Mereka yang beranggapan seperti itu merupakan orang yang paling malang dan tidak waras seperti orang gila yang berfikir bahawa campuran ubat penawar yang mujarab itu terbentuk dengan sendirinya akibat botol-botol yang bertembung yang kemudian mengalirkan isinya ke dalam ruangan satu dengan yang lain. Ya, penafian dan kekufuran tersebut merupakan sesuatu yang tidak munasabah dan tidak berasas. Kemustahilan Kedua:Jika penciptaan segala sesuatu itu tidak disandarkan kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Agung dan Yang Maha Esa tetapi disandarkan kepada penyebab-penyebab tertentu, maka itu memerlukan sebahagian besar unsur yang ada di alam semesta ini bertindak antara satu dengan yang lain untuk memberikan pengaruh terhadap kewujudan seluruh makhluk hidup. Padahal, penyebab-penyebab yang berbeza dan bertentangan yang dikatakan penyebab bagi kejadian itu tidak begitu kerana kesemuanya berbeza tetapi tersusun secara sangat teratur dengan sukatan yang sangat tepat seperti organ-organ dalam anggota fizikal makhluk yang kecil seperti lalat. Orang yang mempunyai akal sebesar saiz sayap lalat sekalipun akan menolak pendapat bahawa penyebab-penyebab segala kejadian itu bertembung lalu menjadi makhluk seperti kejadiannya itu lalu mereka akan berkata, “Ini mustahil, tidak benar, dan tidak mungkin!” Alasan mereka ialah, jasad lalat yang kecil itu mempunyai hubungan dengan sebahagian besar unsur alam dan penyebab segala kejadian bahkan jasad lalat merupakan sebahagian daripada alam itu. Jika penciptaannya tidak disandarkan kepada kekuasaan Ilahi yang bersifat mutlak, semua penyebab daripada alam semula jadi harus hadir dan berada secara langsung berdekatan dengan kejadian anggota lalat kecil tersebut ketika lalat tercipta. Bahkan semua penyebab harus masuk ke dalam jasad lalat dan masuk ke dalam sel mata. Ini kerana, jika sebab-sebab tersebut berupa bahan, maka penyebab itu harus berada dekat dan masuk ke dalam benda yang ingin dimasukinya. Akibatnya, semua unsur di seluruh bahagian alam semesta dengan sifatnya yang berbeza-beza harus boleh diterima masuk ke dalam entiti yang dikenal sebagai penyebab tadi, di samping harus boleh bekerja di dalam sel yang sangat kecil dengan mahir dan terampil. Sarjana yang paling bodoh pun malu dengan penerangan ini! Kemustahilan Ketiga:Satu peraturan yang telah diterima pakai ialah “Jika sesuatu entiti itu ada penyatuan, ia hanya boleh dicipta oleh satu kejadian, daripada satu tangan.” Khususnya jika sesuatu mempamerkan kehidupan yang sempurna dalam keteraturan yang sempurna dan keseimbangan yang sensitif dan tepat, itu dengan sendirinya menunjukkan semuanya bukan terwujud dan berasal daripada banyak tangan yang boleh menyebabkan kecelaruan dan pertentangan. Sebaliknya, kejadian itu menunjukkan bahawa semua kejadian berasal daripada satu tangan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Oleh itu, untuk meletakkan sesuatu yang mempunyai kesatuan yang teratur, selaras dan seimbang kepada penyebab-penyebab daripada alam semesta yang tuli, buta, tidak berperasaan, dan tidak berakal, kemudian menganggap penyebab-penyebab tersebut sebagai pencipta segala sesuatu yang mengagumkan, serta menjadikannya sebagai satu pilihan jawapan kepada persoalan kejadian segala sesuatu daripada pelbagai kemungkinan lain yang begitu banyak, bermaksud menerima seratus satu kemustahilan kerana semua itu sangat tidak munasabah. Kita tinggalkan perbincangan tentang kemustahilan ini sebentar untuk melihat pengaruh penyebab-penyebab fizikal yang terjadi kerana adanya pertalian atau hubungan terus. Walau bagaimanapun, hubungan dengan penyebab semula jadi adalah pada luarannya sahaja. Padahal, aspek dalamannya yang tidak tersentuh dan tidak boleh disentuh itu adalah jauh lebih teratur dan lebih selaras malah, penciptaannya lebih halus dan lebih sempurna. Lebih daripada itu, seluruh makhluk hidup yang kecil dan halus yang sama sekali tidak mungkin terjangkau oleh penyebab-penyebab kejadian yang disebutkan tadi, mempunyai pola penciptaan yang lebih menakjubkan daripada makhluk besar. Oleh yang demikian, tidak mungkin penciptaannya disandarkan kepada sebab-sebab alam semesta yang buta, tuli, tidak berakal, keras, dan saling bertentangan kecuali bagi orang yang sangat buta dan sangat tuli.
Cara kedua ini adalah dengan menyatakan bahawa “Segala sesuatu terbentuk dengan sendirinya.” Cara ini berkait dengan banyak kemustahilan. Cara ini tidak dapat diterima akal dan tidak mungkin daripada pelbagai aspek. Kami akan menjelaskan tiga daripada contoh kemustahilan ini. Kemustahilan Pertama:Wahai orang yang ingkar dan keras kepala! Keangkuhanmu yang keterlaluan itu telah membuatkan kamu terjerumus ke dalam kebodohan yang melampau sehingga kamu tidak mahu menerima seratus satu kemustahilan yang jelas. Kamu memang makhluk yang wujud dan bukanlah unsur halus yang tidak bernyawa dan tidak berubah. Kamu itu seumpama mesin besar yang sangat teratur untuk melaksanakan sesuatu perubahan dan ibarat istana yang tersergam megah dan sentiasa berubah. Atom-atom di dalam tubuhmu bekerja tanpa henti. Tubuhmu memiliki hubungan dengan alam semesta, khususnya terkait dengan rezeki dan cara menjaga kelangsungan hidup. Atom-atom yang bekerja di dalam tubuhmu senantiasa menjaga ikatan dan hubungan tadi agar tidak rosak dan tidak terputus. Dalam hal ini mereka sangat berhati-hati. Mereka bertindak selari dengan hubungan tersebut seolah-olah dapat melihat dan menyaksikan semua entiti yang ada agar mengawasi dirimu daripadanya. Kamu hanya perlu mengambil manfaat dan keuntungan sesuai dengan kedudukan atom-atom tersebut serta berasa nikmat dengan segenap perasaanmu baik lahir mahupun batin. Jika kamu tidak percaya bahawa atom-atom di dalam tubuh badanmu itu merupakan kakitanganmu atau pegawaimu yang bergerak selari dengan peraturan Tuhan Yang Maha Berkuasa, atau tentera bersenjata dalam pasukan-Nya yang teratur, atau hujung pena kekuasaan Ilahi, atau tulisan pena kekuasaan Ilahi, maka ini bermaksud pada pandanganmu, setiap atom yang bekerja itu memiliki mata yang lebar hingga dapat melihat semua bahagian tubuhmu. Mata itu pada pandanganmu dapat menyaksikan segala entiti yang berkait dengannya, dapat mengetahui masa lalu dan masa depanmu, serta dapat mengenali asal usulmu, ayahmu, nenek moyangmu, serta keturunan cucu-cicitmu. Selain itu, pada pandanganmu mata lebar itu dapat mengetahui asal usul segala unsur yang membentuk dirimu dan mengetahui kekayaan segala rezekimu.Penyamaan pengetahuan dan kebijaksanaan seribu orang seperti Plato dengan sebiji atom dengan akal orang yang tidak memilikinya seperti dirimu adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan khurafat serta kebodohan yang melampau! Kemustahilan Kedua:Wahai manusia! Dirimu bagaikan sebuah istana besar yang berkubah. Pada setiap kubahnya ada batu-batu yang saling melekat dan bersambung dalam sebuah bangunan tersusun rapi tanpa tiang. Bahkan tubuhmu beribu-ribu kali lebih menakjubkan dari istana tersebut. Ini adalah kerana, istana dalam bentuk anggota tubuhmu sentiasa diperbaharu dengan cara yang teratur dan indah serta sempurna. Jika kita menumpukan perhatian kita kepada roh, hati, dan pelbagai organ halus yang dibawanya sebagai suatu mukjizat tersendiri, seterusnya merenung dan memikirkan satu organ sahaja daripada banyak organ yang ada pada tubuh badan kita, maka kita akan mendapati organ-organ dan tubuh badan kita itu sama sahaja dengan rumah yang memiliki kubah-kubah. Atom-atom yang terdapat di dalamnya saling bekerjasama, saling berpautan dengan sangat teratur dan seimbang. Atom- atom itu seperti batu-batuan yang terdapat pada kubah-kubah istana itu. Mereka membentuk sebuah bangunan istimewa, ciptaan yang indah dan menakjubkan, serta memperlihatkan satu daripada mukjizat Tuhan yang mengagumkan, contohnya mata dan lisan. Seandainya atom-atom tersebut bukan merupakan pegawai suruhan yang tunduk kepada perintah Tuhan Yang Maha Pencipta, pastilah setiap atom tersebut berkuasa penuh terhadap atom-atom lainnya yang terdapat pada tubuh badan. Sekaligus atom-atom lain bertindak sebagai atom di bawah kuasanya. Kedua-dua pihak adalah sama antara satu dengan yang lainnya. Atom yang dominan dalam kedudukan yang bertentangan juga seharusnya mempunyai sifat-sifat mulia yang hanya dimiliki oleh Allah SWT, serta akan terikat dan bebas secara total dalam waktu yang sama. Sebuah ciptaan teratur dan terselaras yang pasti merupakan satu daripada tanda kekuasaan Zat Yang Maha Esa, maka mustahil bagi Dia Yang Maha Esa diumpamakan atom-atom yang banyak tidak terhingga itu. Pasti perkara ini hanya boleh difahami oleh mereka yang berakal. Kemustahilan Ketiga:Jika kewujudan kamu ini bukan tertulis dengan pena Zat Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa, yang wujud dari Azali, tetapi dibentuk oleh alam semula jadi; pastilah ada pencetak alam sebanyak ribuan atom yang tersusun dan bekerja di dalam anggota tubuhmu yang tidak terhitung jumlahnya, mulai dari sel yang paling kecil sampai cantumannya yang pelbagai yang tersusun dalam bentuk pusaran demi pusaran. Untuk memahami kemustahilan ini, ambil contoh sebuah buku. Jika menurutmu kandungan buku ini disalin dengan tangan, maka untuk menyalinnya cukup diperlukan satu pena saja yang digerakkan oleh pengetahuan penulisnya menggunakan sebatang pen itu sebanyak yang ingin ditulisnya. Tetapi, jika menurutmu kandungan buku tidak disalin dengan tangan dan bukan hasil tulisan pena penulis itu serta terbentuk dengan sendirinya melalui pembentukan semula jadi daripada tindakan alam semesta, ini bermaksud, bagi setiap huruf harus baginya memiliki pencetak atau pena tersendiri. Jumlah pencetak atau pena yang perlu ada, harus sama dengan jumlah bilangan huruf yang ada.Boleh jadi kadangkala satu halaman ditulis dengan satu huruf yang besar yang dalamnya terkandung huruf-huruf lain dengan tulisan kecil dalam satu halaman penuh. Untuk menulis huruf-huruf besar tersebut yang dalamnya ada huruf-huruf kecil, harus ada ribuan pencetak atau cop mata pena kecil. Sekarang bagaimanakah pandanganmu seandainya huruf-huruf tadi saling berbaur secara teratur dengan bentuk seperti tubuhmu? Tentulah setiap bahagian dari ruang masing-masing mempunyai pencetak sebanyak susunan tersebut yang tidak terhitung jumlahnya. Jika keadaan yang sangat mustahil ini kamu katakan mungkin, bermaksud untuk membuat kepingan mata-mata pena itu bagi memproses kerja cetakan dan huruf-hurufnya diperlukan pena, pencetak, dan huruf dengan jumlah yang sama untuk dituangkan ke dalam kepingan pencetak. Sebab, semuanya tercipta secara rapi, serta memerlukan adanya pencipta untuk membuat dan mengadakannya dan membuat seterusnya tanpa henti. Daripada huraian tersebut, kamu boleh memahami cacatnya pemikiran di atas, yang banyak mengandungi kemustahilan dan khurafat setara dengan jumlah atom yang ada di tubuhmu. Wahai pembangkang kewujudan Ilahi yang keras kepala! Malulah dan tinggalkan kesesatan ini!
Penyataan yang bermaksud “alam menuntutnya, maka alam menjadi penyebab kejadiannya” banyak sekali mengandung kemustahilan. Sekadar contoh, kami akan menyebutkan tiga sahaja daripadanya seperti yang berikut: Kemustahilan Pertama:Jika seni dan kreativiti yang berlandaskan pengetahuan dan kebijaksanaan seperti yang kelihatan pada seluruh entiti terutama pada makhluk hidup, tidak dikaitkan kejadiannya kepada pena ketentuan Ilahi dan kekuasaan-Nya yang bersifat mutlak; tetapi kejadiannya dikaitkan kepada ‘alam semula jadi’ dan ‘satu kuasa’ yang buta, tuli, dan tidak berfikir; ini bererti untuk menjadikan segala kejadian, alam semesta harus menyediakan pelbagai cap atau kepingan pencetak dengan jumlah yang tidak terbatas dalam pelbagai bentuk segala sesuatu. Malah dalam segala sesuatu itu terdapat kuasa yang mencipta seluruh alam serta kebijaksanaan yang mengatur semua urusan. Penampilan matahari dan pantulan sinar serta kilau cahayanya dapat dilihat pada permukaan cebisan kaca serta titisan air yang ada di permukaan bumi ini. Jika pantulan dan cahaya tersebut tidak dikaitkan dengan matahari yang sebenar, bererti kita harus yakin wujudnya matahari alam yang kecil, yang memiliki sifat-sifat matahari dan benar-benar ada dalam potongan kaca tadi yang lebih kecil daripada kepala mancis api. Dan walaupun kecil pada saiz tetapi matahari kecil itu mengandung makna dan peranan yang besar. Justeru bererti kita menerima bilangan matahari sebenar wujud sebanyak bilangan cebisan kaca tadi. Dengan cara yang sama, jika kita mengatakan bahawa penciptaan seluruh entiti dan makhluk hidup tidak berkait secara langsung dengan penjelasan nama-nama Allah SWT yang mulia sebagai cahaya yang menyinari langit dan bumi; bererti kita meyakini kewujudan alam semesta dan kewujudan kuasa yang memiliki kekuatan dan kehendak mutlak di samping pengetahuan dan kebijaksanaannya yang juga bersifat mutlak harus ada pada semua entiti yang wujud, terutama pada makhluk hidup. Maksudnya, kita harus meyakini adanya Tuhan pada segala sesuatu kewujudan. Pemikiran menyimpang ini merupakan satu bentuk kemustahilan yang paling tidak munasabah dan paling banyak mengandung kepercayaan yang tidak benar. Orang yang mengaitkan ciptaan Allah SWT yang sangat mengagumkan, dengan alam yang tidak memiliki perasaan dan tidak nyata pasti pemikirannya kurang waras tentang kebenaran sehingga boleh sampai tingkatan yang lebih sesat daripada binatang. Kemustahilan Kedua:Jika seluruh kewujudan segala sesuatu yang sangat teratur dan tepat kiraannya, di dunia yang mengagumkan dan penuh kebijaksanaan ini tidak dikaitkan dengan Zat Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana secara mutlak, lalu dikatakan itu sebagai satu keadaan yang disebabkan oleh fitrah semula jadi alam semesta; maka pada setiap genggam tanah di alam semesta ini harus ada kilang dan mesin percetakan sebanyak yang ada di Eropah agar segenggam tanah tersebut dapat menjadi tempat tumbuh buah dan bunga yang indah. Benih-benih bunga tersebut seterusnya disusun di dalam bekas berisi tanah yang melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebuah pasu bunga. Jelas kelihatan kemampuan bekas dan tanah tadi melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan pelbagai bentuk dan rupa bunga yang berlainan antara satu dengan yang lainnya. Apabila kemampuan tersebut tidak dikaitkan kepada Zat Pencipta Yang Maha Agung dan Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, bererti di dalam segenggam tanah itu terdapat mesin alamiah yang khusus untuk masing-masing menghasilkan bunga. Jika tidak, tidak mungkin pelbagai bunga dan buah muncul ke permukaan bumi. Ini adalah sedemikian kerana, benih-benih itu sama seperti sperma dan telur yang mempunyai kandungan yang sama. Kedua-duanya tidak berbau, tiada bentuk tertentu, berbentuk campuran yang mengandungi oksigen, hidrogen, karbon dan nitrogen. Selain itu, udara, air, suhu panas, dan sinar merupakan unsur-unsur yang tidak mempunyai akal ataupun perasaan. Semuanya mengalir seperti aliran air pada segala sesuatu tanpa ada kawalan. Jadi, pembentukan pelbagai bunga daripada segenggam tanah dalam bentuk yang beraneka ragam dan indah dengan teratur tentu memerlukan kilang hidupan yang banyak agar ia dapat menenun “tenunan-tenunan hidup” yang tidak terhingga banyaknya, serta dapat menghasilkan pelbagai ukiran cemerlang. Sungguh tidak munasabah pemikiran yang dikemukakan oleh kaum naturalis ini. Pemikiran mereka begitu jauh dari munasabah. Walaupun orang-orang yang tidak berakal itu menganggap dirinya pakar dalam bidang sains dengan mengatakan bahawa alamlah yang mencipta segala sesuatu, namun pemikiran mereka begitu jauh dari sains dan logik kemunasabahan. Mereka menjadikan khurafat yang sama sekali tidak benar itu sebagai amalan yang diterima. Maka lihatlah sendiri, tidak hairan jika mereka ditertawakan. Barangkali ada yang bertanya: “Memang benar, banyak sekali perkara-perkara yang mustahil apabila kita mengatakan bahawa alam inilah yang mencipta segala entiti yang ada di dalamnya. Namun apakah masalah ini boleh lenyap kalau kita mengaitkan proses penciptaan tersebut kepada Pencipta Yang Maha Esa? Bagaimanakah sesuatu yang sulit dan rumit itu menjadi mudah?” Jawapannya adalah seperti yang berikut: Sebagaimana telah diterangkan pada kemustahilan yang pertama, paparan dan pantulan matahari mampu menampakkan dirinya dengan sangat mudah pada seluruh benda. Ini dimulai dengan menampakkan diri matahari itu pada benda padat yang sangat kecil seperti serpihan kaca sehinggalah kepada permukaan laut yang luas. Selain itu, matahari juga menampakkan bekas dan pengaruhnya pada segala sesuatu secara sangat mudah. Seandainya semua pantulan tadi tidak dikaitkan kepada matahari, bererti matahari yang hakiki wujud pada setiap atom. Ini sudah tentu tidak boleh diterima oleh akal malah sangat mustahil dan tidak mungkin. Sama seperti sebelum ini, mengaitkan penciptaan semua entiti secara langsung kepada Tuhan Yang Maha Esa sangat mudah diterima bahkan merupakan sesuatu yang wajib diterima. Kita boleh menghubungkan setiap entiti kepada-Nya secara mudah iaitu dengan memaparkan sifat-Nya dalam segala sesuatu. Sebaliknya, jika kaitan itu diputuskan, maka pengabdian, pertanggungjawaban, dan kepatuhan berubah menjadi pembangkangan, dan seterusnya setiap entiti dibiarkan bebas pergi sesukanya, atau dikaitkan kepada alam, maka akan timbul ratusan ribu persoalan yang sulit diterima hingga tingkat mustahil. Contohnya pada penciptaan lalat kecil yang merupakan indeks kecil bagi alam semesta. Jika dikatakan “alam yang buta” ini berkuasa penuh dalam penciptaan lalat, boleh juga ia mencipta seluruh kejadian alam di samping harus memiliki kebijaksanaan yang luas agar dapat mengelolanya. Ini bukan sahaja satu kemustahilan malah beribu kali kali ganda kemustahilannya. Kesimpulan: Tidak mungkin dan mustahil ada sekutu bagi Allah Taala dalam ulhiyyah-Nya. Begitu juga mustahil ada yang turut mencampuri urusan rubbiyyah-Nya atau ikut serta dalam penciptaan-Nya terhadap segala sesuatu. Berhubung dengan kesulitan yang muncul pada kemustahilan kedua, seperti yang kami tegaskan dalam pelbagai risalah, jika penciptaan seluruh makhluk dikaitkan kepada Zat Yang Maha Esa, maka tiada yang susah bagi-Nya. Penciptaan apa-apa pun akan terlaksana dengan mudah. Sebaliknya jika penciptaan segala sesuatu itu dikaitkan dengan penyebab dan kepada alam semesta, maka proses penciptaan sebuah entiti sahaja pun menjadi sulit dan rumit seperti proses penciptaan semua entiti yang ada. Perkara ini telah kami tegaskan dengan pelbagai bukti penjelasan yang kuat, kami akan menjelaskan satu daripadanya secara ringkas sahaja dalam perenggan yang berikut. Jika seseorang mempunyai hubungan dengan sultan kerana kedudukannya sebagai perajurit atau pegawai istana, dia pasti boleh melaksanakan tugasnya dan segala urusannya dengan mudah berbanding jika dia melaksanakannya atas keupayaan dan kemampuan dirinya sendiri. Ini adalah demikian kerana terdapat kekuatan yang wujud daripada hubungannya dengan sultan. Misalnya, dia dapat menawan hati pemimpin atasan atas nama sultan tadi padahal dia hanyalah seorang perajurit. Ketika melaksanakan tugas tersebut, segala kelengkapan dan peralatan dibawakan untuknya dan tidak perlu dia membawanya sendiri. Kemudahan ini tersedia daripada hubungannya dengan sultan. Segala urusannya dapat dilaksanakan seperti melakukan pekerjaan seorang sultan besar dengan pengaruh dan kekuatan yang tidak seperti biasanya tetapi seperti kekuatan pasukan besar padahal dia hanya seorang diri. Dengan tugas dan hubungan seperti itu, “seekor semut” mampu menghancurkan istana Firaun yang kejam serta dengan adanya hubungan tersebut “seekor nyamuk” dapat membinasakan Namrud yang bengis. Selain itu, dengan adanya hubungan tersebut, benih pohon pain yang serupa dengan benih gandum dapat menghasilkan pohon pain yang besar . Seandainya hubungan tadi terputus, atau perajurit tadi diberhentikan daripada melaksanakan tugasnya yang berhubungan dengan sultan, maka dia harus memikul semua peralatan pekerjaannya yang berat sendiri dan dia pun hanya akan dapat melakukan pekerjaan-pekerjaan yang sesuai dengan kekuatannya yang terdaya oleh kudratnya yang terbatas, serta sesuai dengan beban kelengkapan dan peralatan yang ada padanya. Apabila dia diminta untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang tadinya dapat dilaksanakan dengan mudah seperti dalam keadaan yang awal itu, dia pasti tidak berdaya melaksanakannya kecuali jika dia mampu memikul kekuatan seluruh pasukan dan semua peralatan perang negara secara bersendirian. Orang yang mengkhayalkan perkara ini berlaku dengan sendirinya akan tertunduk malu oleh kata-katanya sendiri. Kesimpulannya: Menghubung segala sesuatu kepada Wajib al-Wujud (Allah SWT) yang mempunyai segala sesuatu adalah wajib. Menyandarkan proses penciptaan kepada alam semesta ini pula adalah sesuatu yang sukar diterima akal. Malah, sampai peringkat tidak mungkin dan mustahil. Kemustahilan Ketiga:Kami akan menjelaskan perkara ini dengan dua contoh yang telah kami jelaskan dalam beberapa risalah lain seperti yang berikut: Ada seorang orang kampung yang masuk ke dalam sebuah istana besar yang tersergam indah, bergemerlapan dengan pelbagai perhiasan dilengkapi dengan segala tamadun dan kemodenan. Istana itu dibangunkan di atas padang pasir yang sunyi dan luas. Dia menuju dan menatap setiap sempadan istana itu. Dia terpesona oleh keindahan bangunan istana itu dengan pelbagai ukiran dan kesempurnaan bentuknya. Tanpa berfikir panjang dia berkata, “Pembina istana ini tentu orang yang berada di dalam istana. Dia telah membina seluruh bangunan istana ini tanpa campur tangan orang luar,” lalu dia mula memeriksa. Segala yang dilihatnya di sekeliling istana itu setakat yang terjangkau oleh pemikirannya. Dia mendapati tiada sesuatu pun yang ada dapat diterima oleh akalnya sebagai pencipta yang mencipta segala sesuatu yang ada pada istana tersebut. Tidak lama kemudian dia terjumpa sebuah buku nota yang di dalamnya tertulis catatan berkaitan dengan perancangan terperinci tentang proses pembangunan istana. Selain itu, terdapat catatan di dalamnya tentang perkara-perkara di dalam istana tentang peraturan dan pengurusannya. Buku tadi hanya sebuah buku seperti daftar indeks tanpa tangan untuk bekerja atau mata untuk melihat. Buku itu hanya ada kaitan tetapi tiada kemampuan untuk membangun dan menghias istana namun sesuai dengan isi buku tersebut, dengan jalan dan cara kerjanya serta tanda sunnatullah yang bersifat ilmiah, maka orang dari kampung tadi terpanggil untuk berkata, “Buku inilah yang telah membangun, menyusun, dan membuat istana tersebut dengan indah. Dialah yang telah mencipta dan mengaturnya secara rapi.” Daripada penyataan ini jelas kelihatan betapa singkatnya pemikiran orang itu. Seumpama situasi istana tadi, seorang ateis yang tidak percaya adanya Tuhan dan percaya bahawa alam ini terjadi dengan sendirinya (Naturalis), masuk ke istana alam semesta yang besar ini. Istana alam semesta ini jauh lebih teratur, lebih rapi, lebih indah, dan lebih megah daripada istana perumpamaan yang tersergam megah tadi. Tanpa memikirkan kesemua itu ialah nikmat ciptaan Ilahi, dia mula mencari pencipta alam dalam kalangan para makhluk. Dia menyaksikan pelbagai sunnah Ilahi dan daftar penciptaan Tuhan yang disebut dengan ‘alam’. Selanjutnya dia terus berkata: “Oleh sebab semua entiti memerlukan adanya pencipta yang menyebabkan sesuatu tercipta, dan yang paling dekat kaitannya dengan penciptaan tersebut ialah buku tadi, maka buku itulah yang mencipta semua entiti di alam semesta ini. Sejujurnya, benarlah akal manusia tidak dapat menerima semua peraturan Tuhan yang bersifat mutlak dikaitkan kepada ‘buku’ yang buta, tuli, dan lemah itu. Tetapi itulah penjelasan tentang kejadian alam daripada apa-apa yang tertulis dalam buku itu kerana aku tidak percaya kepada Tuhan Pencipta Yang Maha Agung.” Kami menegaskan, Wahai orang lalai yang malang! Kelalaianmu mengatasi segala yang dapat dibayangkan. Angkatlah kepalamu dari bawah kubang alam agar kamu dapat melihat Pencipta Agung bahawa semua entiti, dari atom sampai planet dengan bahasa yang berbeza-beza, menjadi saksi atas-Nya. Lihatlah paparan Maha Pencipta Agung yang telah membangunkan istana alam yang megah ini, serta telah menulis perancangan dan segala peraturan-Nya pada ‘buku’ tersebut. Dengarkanlah al-Quran dan selamatkan dirimu daripada segala igauan. Contoh kedua: Seorang yang terbiar tak mengenal adab dan budaya masuk ke istana dan bertembung dengan askar berpakaian seragam lengkap sedang berkawat. Dia memerhatikan batalion, rejimen dan unit-unit askar berdiri tegak dengan selesa dan berkawat serta melepaskan tembakan dengan gerakan sederap dan seragam. Orang yang tidak mengenal budaya dan peradaban itu kehairanan melihat situasi itu. Akalnya tidak mampu memahami kepimpinan seorang panglima dipatuhi sedemikian rupa dan dilaksanakan secara rapi lalu dia membayangkan ada seutas tali yang mengikat setiap perajurit. Kemudian dia membayangkan kehebatan tali khayalan dan terus-menerus dalam kehairanan. Dia meneruskan perjalanan sehingga bertemu sebuah masjid sebesar Aya Sophia. Dia memasuki masjid itu tatkala solat Jumaat sedang didirikan. Dia melihat begitu banyak orang yang solat di belakang imam. Orang-orang itu berdiri, duduk, sujud, dan ruku’ mengikuti gerakan dan seruan seorang imam. Oleh sebab dia tidak mengetahui syariat Allah SWT serta tidak mengetahui aturan yang ada di sebalik perintah-Nya dia beranggapan bahawa kelompok orang yang solat tadi saling diikat dengan tali. Tali itulah yang mengatur gerakan mereka serta, tali itu juga yang membuat mereka bergerak dan diam. Demikianlah. Ia pun pergi dengan memikirkan betapa ajaibnya tali itu. Sama dengan perumpamaan di atas, seorang ateis hadir di suatu alam yang merupakan markas besar para perajurit Sultan Azali dan Abadi sekali gus merupakan masjid yang teratur milik Zat Azali yang disembah. Orang ateis tersebut datang dengan membawa fahaman naturalisme. Dia menganggap hukum-hukum abstrak yang tanda-tandanya jelas kelihatan pada ikatan peraturan alam bersumber dari hikmah kebijaksanaan Tuhan sebagai hukum-hukum kebendaan. Maka, dalam melakukan pelbagai penyelidikan dia dapat berhubung dengan hukum-hukum tadi sebagaimana berhubung dengan bahan-bahan dan benda-benda mati. Dia menganggap hukum-hukum rubbiyyah Allah SWT yang merupakan hukum dan aturan syariat alam milik Tuhan yang bersifat abstrak ini sebagai entiti dan benda. Dia meletakkan hukum-hukum yang bersumber daripada ilmu dan ucapan Ilahi itu seperti Tuhan yang dapat mencipta justeru semua itu disebutnya dengan ‘alam’ sambil menganggap kekuatan yang merupakan satu kewujudan pemaparan kuasa Ilahi sebagai pemilik kekuasaan penuh. Ini merupakan kelalaian yang lebih teruk daripada kelalaian yang dijelaskan dalam perumpamaan sebelum ini! Ringkasnya: Jika alam yang menjadi sandaran kaum naturalis itu memiliki wujud hakiki yang nampak secara zahir, kewujudan itu hanyalah sebuah ukiran, bukan Maha Pengukir. Alam hanyalah ciptaan Maha Pencipta, bukan Pencipta. Alam hanyalah pemaparan sesuatu hukum, bukan pembuat hukum. Alam hanyalah syariat fitriyyah, bukan pembuat syariat. Alam hanyalah tirai yang tercipta, bukan Maha Pencipta. Alam hanyalah objek, bukan pelaksana objek. Alam hanyalah kumpulan peraturan, bukan Zat yang berkuasa yang memerintahkan peraturan serta, alam hanyalah goresan, bukan sumber. Kesimpulannya: Segala entiti di dunia ini benar-benar ada, manakala akal kita hanya mampu memahami empat jalan untuk sampai kepada munculnya entiti tersebut sebagaimana perkara itu telah kami jelaskan dalam pendahuluan. Oleh sebab itu, kita juga telah membuktikan kemustahilan tiga jalan yang secara nyata menunjukkan kemustahilan tiga jalan tadi. Maka dengan itu, kita harus mempercayai kebenaran dengan seyakin-yakinnya bahawa yang benar ialah jalan keempat. Jalan keempat ini ialah jalan keesaan Tuhan dan al-Quran mengatakan,قَالَتْ رُسُلُهُمْ اَفِى اللّٰهِ شَكٌّ فَاطِرِ السَّمٰوَاتِ وَاْلاَرْضِ Terjemahannya: “Rasul-rasul mereka berkata, Adakah keraguan terhadap Allah SWT, Pencipta langit dan bumi?” (Ibrahim [14]: 10) Ayat tersebut dengan tegas menjelaskan kewujudan Wjib al-Wujd (Allah), ulhiyyah-Nya yang menguasai alam, kemunculan segala sesuatu yang berasal daripada kekuasaan-Nya, serta kunci-kunci langit dan bumi yang berada di tangan-Nya. Wahai orang yang menyembah alam dan penyebab segala kejadian! Selagi ciri-ciri sesuatu makhluk kejadian itu bersifat baharu dan terdapat tanda padanya bahawa ia tercipta, serta sebab kewujudan penciptanya dapat dilihat secara zahir sama baharu seperti kejadiannya dan selama kewujudan segala sesuatu itu memerlukan pelbagai kemudahan, perkakasan dan peralatan yang sangat banyak, maka pastilah ada Zat Yang Maha Berkuasa secara mutlak yang mencipta kejadian tersebut pada sesuatu menurut sebabnya yang tertentu. Di samping itu, Zat Yang Maha Berkuasa mutlak tersebut sama sekali tidak memerlukan sesuatu maka tidak ada sekutu yang turut serta dalam proses penciptaan dan pemeliharaan-Nya. Sungguh tidak ada sekutu bagi-Nya. Dialah Zat yang mencipta sebab dan akibatnya sekali gus secara langsung. Untuk memperlihatkan hikmah dan pemaparan nama-nama-Nya, Dia menjadikan satu pertalian antara sebab dengan akibat. Justeru, proses sebab dan akibat itu dijadikan seperti tabir yang menutupi tangan kekuasaan dan keagungan-Nya agar segala kelemahan, kekurangan, kecacatan sesuatu kejadian dikembalikan kepada penyebab yang menyebabkan sesuatu kejadian itu berlaku maka kemuliaan-Nya tetap bersih dan suci. Mana yang lebih mudah dan lebih masuk akal? Seorang tukang jam yang membuat roda gerigi jam, kemudian mengaturnya sesuai dengan susunan geriginya, serta menyeimbangkan gerakan jarum-jarumnya secara sangat cermat, atau tukang jam yang berada di dalam roda gerigi, jarum-jarum, dan pelbagai perkakasan jam tadi untuk diciptakannya sebuah mesin istimewa, seterusnya diserahkannya urusan pembuatan jam tersebut kepada mesin istimewa itu? Pasti perbincangan ini mustahil dibandingkan? Tanya dan biar akalmu memikirkannya dan buat keputusan sendiri tentang persoalan ini, mana satu yang lebih mudah? Adakah lebih mudah bagi seorang penulis menyediakan pen, dakwat, kertas, dan menulis sebuah buku sendiri? Atau adakah lebih mudah baginya mencipta mesin percetakan khusus untuk kertas yang pastinya lebih rumit daripada kertas itu sendiri. Kemudian dia membiarkan mesin percetakan tersebut mencetak kertas dan berkata, “Baik, mulalah menulis pada kertas itu” tanpa ada campur tangan penyebab lain sebelumnya. Bukankah hal seperti ini sulit diterima oleh akal serta beratus-ratus kali lebih rumit berbanding dengan penulisan oleh penulis di atas kertas itu sendiri? Barangkali kamu berkata: Mencipta mesin percetakan untuk mencetak buku tadi memang lebih rumit dan pelik daripada menulis buku itu secara langsung, namun mesin percetakan itu boleh menghasilkan ribuan salinan buku dalam waktu singkat. Ini bermaksud, mesin pencetak itu ialah kemudahan yang memudahkan. Jawapan atas penyataan di atas adalah seperti yang berikut: Dengan kekuasaan-Nya yang mutlak dan melalui paparan nama-nama-Nya pada setiap saat, serta daripada penampilan-Nya dalam pelbagai bentuk, Maha Pencipta telah mencipta penggerak bagi setiap sesuatu. Dengan yang demikian sesuatu makhluk tidak akan sama dengan makhluk yang lain. Itulah yang terbuku daripada tulisan Ilahi. Setiap makhluk memiliki ciri dan perwatakan yang berbeza untuk menunjukkan keperibadiannya sekali gus membezakannya dengan yang lain. Jika kamu ada mata perhatikan wajah manusia. Kamu akan melihat tanda yang terkumpul pada wajah-wajah termasuk tanda-tanda yang membezakan semua wajah manusia sejak zaman Nabi Adam a.s. sampai kini bahkan hingga selama- lamanya. Tanda yang terdapat pada setiap wajah adalah seperti sebuah buku yang khusus menjadi milik wajah tersebut. Hanya, untuk karya seni terhasil, tentu perlu disediakan bahan-bahan seperti alatulis, susunan dan komposisi tertentu. Kemudian dimasukkan semua unsur yang diperlukan untuk membentuk wajah itu. Semuanya pasti memerlukan kilang atau percetakan sendiri yang khusus untuk wajah masing-masing. Menyedari kemustahilan tersebut, maka alam semesta diumpamakan seperti penerbit. Tetapi selain pengarangan dan penerbitan, yang berkaitan dengan percetakan, terdapat susunan atur letak dalam susunan tertentu yang harus dibuat, iaitu karya kreatif yang harus dibuat untuk setiap buku dengan susunan dan nisbah tertentu. Bahannya kadangkala harus dibawa dari sempadan dunia lain yang jauh. Penyediaan bahan-bahan tersebut dari seluruh penjuru alam dengan perhitungan tertentu dan ukuran yang cermat lalu penyusunannya sesuai dengan keperluan serta penempatannya di balik tangan penerbit buku itu ialah ratusan kali lebih rumit. Untuk melakukan kesemua proses itu, harus ada kuasa dan kehendak yang mencipta penerbit percetakan itu sendiri iaitu Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Berkuasa. Oleh itu, mengandaikan alam sebagai mesin percetakan yang mencipta dan menjadikan segala sesuatu itu adalah tidak benar dan merupakan satu kepercayaan yang tidak bermakna dan tidak dapat diterima akal. Sama dengan contoh tentang jam dan buku di atas, Allah Maha Pencipta Yang Mulia dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu itu mencipta segala sebab dan akibat. Dia juga mencipta kesan daripada sebab dan akibat dengan hikmah-Nya. Dia mengaitkan akibat dengan sebab. Dengan kehendak-Nya, Dia menentukan penjelasan hukum alam dan hukum penciptaan yang mengandungi hukum Ilahi berkaitan dengan pergerakan dan susunan alam semesta dan menentukan segala ciri dan sifat alami segala sesuatu yang merupakan penjelasan dan pantulan hukum-Nya. Dengan kuasa yang ada pada-Nya, Dia mencipta ciri-ciri dan sifat alami segala alam semula jadi yang merupakan ciptaan-Nya dengan mencampurkan satu dengan yang lain menerusi hikmah-Nya yang sempurna.Tidakkah lebih mudah untuk menerima fakta ini yang menyimpulkan segala logik akal dan bukti-bukti nyata yang lain? Tidakkah seseorang harus dapat menerimanya? Atau adakah lebih mudah menyandarkan penjelasan perkara ini kepada entiti yang tidak bernyawa itu sendiri untuk mempersembahkan pelbagai proses dan peralatan yang diperlukan oleh setiap entiti untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan bahawa setiap sesuatu kejadiannya yang didasari oleh hikmah Ilahi? Dengan kata lain, mengaitkan kejadian segala sesuatu kepada apa-apa yang kamu sebut dengan ‘alam’ atau ‘alami’ dan dengan pelbagai sebab yang merupakan benda mati tidak berperasaan dan juga sama-sama makhluk kejadian-Nya? Bukankah ini tidak munasabah dan sama sekali tidak masuk akal? Kami tinggalkan persoalan ini untuk kamu putuskan dengan fikiran kamu yang tidak waras! Penyembah alam yang kufur itu menjawab, “Jika kamu mengajakku untuk berkata jujur, aku mengakui bahawa pandangan sesat yang kami yakini sangat tidak munasabah, berbahaya, dan sangat merosakkan. Orang yang berakal pasti mampu memahami kemunasabahan dan kupasan ilmiahmu yang didasarkan kepada bukti-bukti tadi dengan mengaitkan proses penciptaan harus dan wajib bagi akal untuk menyandarkannya terus kepada Yang Maha Esa. Segala puji-pujian bagi-Nya dan aku percaya kepada-Nya Tuhan Pencipta segala sesuatu tetapi aku masih tertanya-tanya tentang perkara berikut ini: aku percaya Tuhan Yang Maha Agung itu ialah Maha Pencipta, namun apakah cacat atau berkurangan keagungan dan kekuasaan- Nya jika kita juga menghormati dan menyanjung pelbagai sebab atau akibat kecil yang telah mewujudkan pelbagai hal kecil lain yang kecil dan remeh?” Jawapannya, sebagaimana telah kami jelaskan secara tegas dalam beberapa risalah yang lain bahawa tanda kekuasaan adalah dengan menolak adanya campur tangan. Bahkan pemerintah atau penguasa peringkat rendah sekali pun tidak mahu dan tidak akan bertolak ansur dengan campur tangan orang lain hatta anaknya sendiri dalam pentadbirannya. Khalifah sekalipun apabila mengesyaki ada campur tangan dalam kekuasaan mereka, telah tergamak membunuh anak mereka sendiri padahal mereka termasuk penguasa yang bertakwa dan soleh. Ini menunjukkan betapa penolakan terhadap adanya campur tangan dalam pemerintahan yang bijak merupakan dasar penting. Kemerdekaan penuh atas sebuah kekuasaan menolak adanya keterlibatan pihak lain. Perkara ini secara tegas dibuktikan oleh sejarah sepanjang perjalanan umat manusia apabila terdapat dua penguasa atau dua raja di dalam sesebuah negara. Bayangkan manusia yang lemah yang memerlukan bantuan dalam kekuasaan dan kepemimpinannya tetap menolak adanya campur tangan pihak lain, tidak menerima sekutu dalam kekuasaannya dan sangat menjaga kemerdekaannya dan cemburu akan kedudukannya. Jika kamu boleh, cuba kamu renungkan tentang Maha Penguasa Mutlak yang sedang bersemayam di atas singgahsana rubbiyyah-Nya, Maha Pemberi perintah mutlak yang berkuasa dengan ulhiyyah-Nya, Zat Yang Merdeka secara mutlak dengan keesaan-Nya, Zat Yang Maha Kaya dengan kemampuan mutlak-Nya. Penolakan terhadap adanya campur tangan dan keterlibatan pihak lain dalam kekuasaan merupakan keharusan bagi-Nya! Bahagian kedua tentang keraguan yang kamu kemukakan ialah: Apakah pengabdian kepada sebahagian sebab dalam hal-hal yang remeh akan mengurangi ketundukan dan pengabdian seluruh makhluk mulai dari atom hingga planet di angkasa kepada Allah Yang Maha Berkuasa? Jawapannya: Allah Maha Pencipta Yang Maha Bijaksana telah mencipta alam ini seperti sebuah pohon. Dia menjadikan seluruh makhluk yang hidup seperti buah yang sempurna daripada pohon tersebut. Dia menjadikan manusia sebagai buah yang paling sempurna dalam semua ciptaannya. Buah yang dihasilkan oleh manusia yang paling berharga hasil daripada ciptaan-Nya ialah buah alam semesta berupa syukur dan ibadah manusia kepada-Nya. Adakah mungkin Dia Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa lagi Maha Esa yang mencipta seluruh alam dengan begitu tersusun untuk mengenalkan diri-Nya untuk memperoleh cinta daripada ciptaan-Nya lalu membiarkan tujuan ciptaan-Nya dan buah kehidupan dicambah hasilnya diberikan penghargaannya kepada orang lain? Perkara ini berlawanan dengan hikmah penciptaan-Nya. Apakah Allah SWT akan menerima sesuatu yang menyalahi rubbiyyah-Nya dengan membenarkan sebahagian sebab sebagai sasaran pengabdian makhluk-Nya? Padahal Dia telah memperkenalkan diri-Nya untuk ciptaan-Nya semua mengenal dan mencintai-Nya dengan segala kelembutan-Nya di alam ini. Mungkinkah Dia membiarkan makhluk yang paling dicintai-Nya, paling sempurna dalam beribadah, bersyukur dan dalam memberikan pujian, selain daripada-Nya untuk melupakan diri-Nya, setelah Dia menjadikannya. Dia menampakkan tujuan-tujuan-Nya yang mulia di alam ini, iaitu untuk mengenal dan beribadah kepada-Nya? Wahai teman yang telah meninggalkan fahaman naturalisme! Apakah pandanganmu tentang segala yang diperkatakan itu? Dia menjawab dengan berkata: “Segala puji bagi Allah SWT yang telah memudahkan aku untuk mendapatkan jawaban kepada dua keraguanku ini. Kamu telah memperlihatkan kepadaku dua dalil yang sangat kuat dan tidak boleh dibantah tentang keesaan Allah al-Haq dan satu-satunya Zat yang layak disembah. Hanya Dia dan tiada lain selain Dia yang berhak disembah dengan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya justeru, mengingkari dan menafikan-Nya memerlukan kesombongan seperti menafikan perkaitan cahaya matahari dengan waktu siang.”
Setelah beriman dan meninggalkan semua pemikiran dan pandangan ateismenya, dia lalu berkata, “Segala puji bagi Allah SWT. Aku bersaksi bahawa semua keraguanku telah lenyap namun aku ada beberapa pertanyaan yang masih bermain-main di kepalaku.” Pertanyaan Pertama: Banyak orang malas dan mereka yang lalai terhadap tanggungjawab menunaikan solat lima waktu bertanya, “Apakah yang diperlukan Allah SWT daripada ibadah kita sehingga di dalam al-Quran Dia memberikan perintah yang keras sekali gus mengancam kita dengan seksaan yang pedih di neraka jahannam? Adakah sesuai dengan gaya bahasa al-Quran yang sederhana, lembut dan adil untuk mempamerkan ancaman keras terhadap kesalahan yang kecil dan tidak signifikan?” Jawapannya: Allah SWT sama sekali tidak memerlukan ibadahmu, malah sedikit pun Dia tidak memerlukan apa-apa daripadamu tetapi kamulah yang memerlukan dan perlu kepada ibadahmu itu. Pada hakikatnya kamu itu sakit, ibadah merupakan penawar yang mujarab yang boleh menyembuhkan luka-luka jiwamu. Perkara ini telah kami jelaskan dalam beberapa risalah yang lain. Kamu mungkin faham jika dikatakan betapa tidak masuk akalnya jika seorang doktor yang sedang merawat pesakitnya lalu dengan penuh belas kasihan dan perhatian dia menyuruh pesakitnya itu meminum ubat yang boleh menjadi penawar penyakitnya lalu pesakit itu berkata kepada doktornya itu, “Apakah keperluanmu kepada ubat penawar ini sehingga kamu terus-menerus menyuruhku untuk meminumnya?” Berkenaan dengan peringatan dan ancaman keras al-Quran terhadap perbuatan meninggalkan ibadah, perkara itu boleh diumpamakan seorang raja yang ingin menyelamatkan hak keseluruhan rakyatnya lalu dia menghukum orang yang melakukan satu jenayah dengan hukuman yang berat. Demikian jugalah dengan Maha Berkuasa Yang Abadi, Dia akan menghukum orang yang meninggalkan ibadah dan solat dengan hukuman yang berat. Ini adalah kerana, orang yang meninggalkan solat atau ibadah tertentu itu dengan jelas telah melanggar hak seluruh entiti yang merupakan makhluk-Nya sekali gus telah menzalimi mereka. Kesempurnaan para makhluk itu boleh dilihat dalam bentuk tasbih puji-pujian dan ibadah mereka kepada Allah Maha Pencipta. Sedangkan orang yang meninggalkan ibadah itu tidak melihat dan tidak mengakui ibadah segala makhluk tadi. Malah dia telah mengingkarinya. Ini sudah tentu merendahkan mereka yang masing-masing merupakan ukiran agung Tuhan yang diukir dengan tanda-tanda ibadah dan puji-pujian terhadap Maha Pencipta. Selain itu, masing-masing entiti tersebut juga merupakan cermin kewujudan nama-nama Allah Yang Mulia maka, dengan sikap ingkarnya itu, orang tadi telah merendahkan kedudukan mereka yang mulia. Dia hanya melihat mereka sebagai sesuatu yang sia-sia yang tidak mempunyai apa-apa tugas. Ia juga menganggap semua entiti itu sebagai sesuatu yang tidak penting. Dengan yang demikian, dia telah menghina dan meremehkan semua entiti, merendahkan kemuliaan dan kesempurnaan mereka, serta menafikan kebertanggungjawaban mereka. Ya, setiap manusia melihat alam dengan kaca matanya sendiri. Allah SWT mencipta manusia dalam ukuran dan skala timbangan bagi alam semesta. Dia telah memberi setiap makhluknya sebuah alam khusus selain alam ini dan menunjukkan warna alam ini sesuai dengan keyakinan kalbu manusia. Manusia yang sedih, putus asa, dan menangis, melihat seluruh entiti menangis. Sementara manusia yang senang dan bahagia, melihat seluruh entiti tersenyum, tertawa, dan bahagia. Demikian juga dengan orang yang melakukan ibadah dan zikir dengan bersungguh-sungguh, penuh perasaan dan perenungan. Dia menyingkap sebahagian daripada ibadah dan tasbih para entiti malah dia melihatnya sebagai sesuatu yang benar dan boleh dibuktikan tetapi bagi orang yang meninggalkan ibadah kerana lalai dan ingkar, dia membayangkan entiti kejadian Allah SWT ini dalam kekeliruan justeru menentang hakikat kesempurnaannya. Orang yang meninggalkan solat, dia telah menzalimi dirinya. Ini adalah kerana, dirinya itu bukanlah miliknya tetapi dia hanyalah hamba milik Tuan dan Penciptanya, maka apabila dia meninggalkan solat yang diamanahkan sebagai tanggungjawab ke atas dirinya, dia telah melanggar hak-hak dirinya. Dengan yang demikian, Allah Pemilik segala makhluk kejadian-Nya mengancam dan memberikan peringatan keras kepadanya agar dia dapat mengambil hak hamba-Nya tadi kembali daripada nafsunya yang memerintahkan keburukan. Selain itu, ketika dia meninggalkan ibadah yang merupakan hasil dan tujuan penciptaannya, dia telah melanggar hikmah Ilahi dan kehendak Tuhan. Oleh yang demikian, atas perbuatannya itu dia dihukum dengan hukuman yang keras. Ringkasnya: Daripada penjelasan ini dapat disimpulkan bahawa orang yang meninggalkan ibadah itu telah menzalimi dirinya, padahal dirinya itu merupakan hamba Allah SWT. Selain itu, dia juga telah melanggar dan menzalimi hak-hak makhluk yang lain. Ini adalah kerana sebagaimana kekufuran merupakan bentuk penghinaan terhadap setiap makhluk, meninggalkan ibadah juga merupakan bentuk pengingkaran terhadap kesempurnaan makhluk yang ada dan pelanggaran terhadap hikmah Ilahi. Oleh hal yang demikian, orang yang meninggalkan solat layak mendapat ancaman keras dan hukuman yang berat. Demikianlah mengapa al-Quran menggunakan bentuk ancaman dan peringatan untuk menggambarkan kelayakan tersebut sekali gus untuk menggambarkan hakikat yang telah disebutkan tadi. Jadi, gaya bahasa tersebut sangat tepat dan sangat sesuai dengan keadaan. Pertanyaan Kedua: Pertanyaan ini daripada sahabat kita yang telah beriman dan meninggalkan fahaman naturalismenya. Menurut beliau, memang benarlah satu kebenaran mutlak apabila setiap makhluk itu bergantung kepada kehendak Ilahi dan kekuasaan-Nya dalam segala aspek tugas. Ini termasuk urusan serta tindakannya terhadap kehendak dan kekuasaan Ilahi yang merupakan suatu kenyataan agung. Oleh sebab luas dan agungnya kekuasaan-Nya itu, akal kita yang lemah ini tidak mampu menjangkaunya. Padahal kita menyaksikan segala entiti yang tidak terhingga banyak jumlahnya dan kemudahan mutlak dalam penciptaan sesuatu. Kemudahan penciptaan merupakan kuasa daripada keesaan Allah SWT yang nampak begitu nyata melalui pelbagai bukti dan penjelasan yang telah dikemukakan sebelum ini. Di samping itu, al-Quran telah menegaskan kemudahan mutlak tersebut secara jelas dalam beberapa ayatnya seperti yang berikut:مَا خَلْقُكُمْ وَلاَ بَعْثُكُمْ اِلاَّ كَنَفْسٍ وَاحِدَةٍ Terjemahannya: “Mencipta dan membangkitkan kamu (bagi Allah SWT) hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa sahaja.”(Luqman [31]: 28)وَمَآ اَمْرُ السَّاعَةِ اِلاَّ كَلَمْحِ الْبَصَرِ اَوْ هُوَ اَقْرَبُTerjemahannya: “Kejadian kiamat itu, hanya seperti sekejap mata atau lebih cepat (lagi).”(Al-Nahl [16]: 77)Di manakah rahsia kemudahan tersebut dan apakah hikmahnya? Jawapannya: Rahsia tersebut telah dijelaskan secara lengkap dan meyakinkan dalam “Surat Ke-20” (dari buku al-Maktbt) dalam penjelasan tentang ungkapan yang berbunyi. وَهُوَ عَلٰى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ “Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” Penjelasannya lebih jelas lagi terutama di bahagian lampiran akhir yang sangat lengkap, luas, dan meyakinkan dengan disokong oleh dalil, bukti, dan hujah yang kuat. Ringkasnya seperti yang berikut: Apabila penciptaan seluruh entiti dikaitkan kepada Maha Pencipta Yang Esa, maka proses penciptaan tersebut menjadi mudah seperti proses penciptaan satu makhluk. Jika ia dikaitkan dengan sesuatu yang banyak, proses penciptaan satu makhluk pun menjadi rumit dengan tingkat kerumitan yang sama seperti penciptaan seluruh entiti. Penciptaan sebuah atom pun menjadi sulit dan rumit sama seperti penciptaan pohon daripada biji benihnya. Namun jika penciptaan tadi dikaitkan dengan Maha Pencipta Yang Maha Benar, persoalannya menjadi mudah sehingga proses penciptaan seluruh makhluk seolah-olah proses penciptaan satu pohon, satu pohon seperti satu atom, syurga seperti musim bunga, dan musim bunga seperti sebuah bunga. Jadi, persoalannya mudah. Di sini secara singkat kami akan menjelaskan satu atau dua dalil antara ratusan dalil yang telah kami sampaikan dengan jelas dalam risalah-risalah yang lain. Dalil-dalil itu menjelaskan pelbagai rahsia dan hikmah tersembunyi di sebalik banyaknya entiti dan di sebalik kemunculannya yang berlaku secara teratur, teliti, dan mudah. Misalnya, kepemimpinan 100 orang askar jika diberikan kepada seorang komandan adalah 100 kali lebih mudah daripada arahan untuk seorang askar diberikan kepada 100 orang komandan. Begitu juga untuk menyediakan sebuah pasukan dengan kelengkapan ketenteraannya dari markas yang sama, dengan peraturan yang sama, dan kilang yang sama, diserahkan kepada seorang panglima. Urusan itu akan terlaksana dengan sangat mudah sama seperti menyediakan seorang askar tetapi penyediaan seorang askar berserta dengan kelengkapan ketenteraannya dari markas yang berbeza-beza dan daripada banyak panglima, akan menjadi sangat rumit, sama rumitnya seperti menyiapkan sebuah pasukan. Contoh lain tentang perkara ini ialah sebuah pohon yang dilengkapi dengan bahan penting iaitu satu akar, satu bekas dan satu dasar untuk menghasilkan ribuan buah. Semua itu dapat terlaksana dengan mudah, seolah-olah pohon itu hanya memiliki satu buah. Perkara ini mudah difahami tetapi jika jumlah yang satu tadi digandakan dengan jumlah yang banyak dan kesemua keperluan pohon tadi dilengkapi oleh bahan-bahan penting yang berasal dari tempat yang berbeza-beza, dan dari akar yang berbeza-beza, maka penciptaan satu buah itu menjadi rumit dan pelik seperti penciptaan pohon itu sendiri bahkan untuk mencipta sebiji benih yang merupakan prototaip daripada pohon tadi pun menjadi sulit seperti penciptaan pohon itu sendiri. Ini adalah kerana, bahan-bahan penting yang diperlukan oleh pohon tersebut juga diperlukan oleh benih tersebut. Terdapat beratus-ratus contoh seperti itu. Semuanya menjelaskan bahawa kewujudan ribuan entiti melalui satu kaedah adalah mudah daripada kewujudan sebuah entiti daripada pelbagai kaedah. Oleh sebab kami telah menjelaskan perkara ini dalam beberapa risalah, kami merujuk pembaca kepada risalah tersebut bagi penjelasan terperinci. Di sini kami hanya menjelaskan rahsia agung yang berkaitan dengan kemudahan tersebut ditinjau dari aspek pengetahuan, ketentuan, dan kekuasaan Ilahi. Rahsia itu dijelaskan dalam perenggan yang berikut. Kamu ialah satu entiti. Jika kamu menyerahkan dirimu kepada Allah Yang Maha Berkuasa mutlak lagi Azali, ketahuilah bahawa Dia mencipta kamu dengan satu perintah dan dengan kuasa yang bersifat mutlak daripada ketiadaan dengan sekelip mata seperti menggores mancis api. Jika kamu tidak menyerahkan dirimu kepada-Nya, sebaliknya kamu mengaitkan kejadianmu kepada penyebab lahiriah dan alam semula, bermaksud kamu menyerahkan dirimu kepada sebab-sebab lahiriah. Dengan cara itu dan pada waktu itu, untuk mencipta dirimu memerlukan sebuah proses yang rumit sebab, kesemua unsur yang ada pada dirimu berasal dari seluruh alam. Unsur harus dicari dari seluruh pelosok alam, harus menggunakan kaedah penyelidikan yang rumit, serta harus diukur secara sangat tepat. Ini adalah kerana kamu merupakan abstrak (tidak dapat dilihat atau tidak dapat dirasa dengan pancaindera tetapi hanya ada dalam fikiran) yang tersusun dari seluruh alam semesta, buah matangnya, indeks miniaturnya, dan anggota badan yang dijadikan dari seluruh isi alam. Oleh itu penyebab lahiriah hanyalah bersifat membentuk dan menyusun sesuatu seperti yang ditegaskan oleh para ilmuwan bahawa penyebab lahiriah itu tidak boleh mewujudkan sesuatu yang tidak ada, maka ia dipaksa untuk mengumpulkan semua unsur yang diperlukan oleh anggota tubuh yang kecil ini dari seluruh alam. Dari sini kamu boleh memahami bahawa terdapat kemudahan mutlak dalam keesaan dan tauhid, sekali gus kamu boleh memahami kerumitan yang terdapat pada syirik dan kesesatan. Kedua, proses penciptaan yang berasal daripada pengetahuan Ilahi, ada kemudahan yang mutlak. Penjelasannya adalah seperti yang berikut: Ketentuan Ilahi (qadar) ialah suatu jenis pengetahuan Ilahi. Dia menentukan ukuran segala sesuatu seolah-olah sebuah acuan yang khusus untuk sesuatu yang diciptakannya itu. Ukuran ketentuan tersebut adalah seperti sebuah pelan reka bentuk atau model baginya. Apabila Allah SWT mencipta, Dia mencipta dengan mudah menggunakan ukuran yang telah ditentukan. Jika segala sesuatu itu tidak dikaitkan penciptaannya dan tidak dikembalikan kepada Zat Yang Maha Mengetahui secara mutlak, iaitu Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Agung, tidak hanya ribuan persoalan yang muncul tetapi juga ratusan kemustahilan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Ini adalah kerana, jika ukuran ketentuan dan pengetahuan Tuhan tadi tiada, ribuan cetakan dan acuan untuk tubuh yang kecil ini perlu disediakan. Dari sini, kamu boleh memahami satu rahsia kemudahan mutlak yang terdapat dalam keesaan dan tauhid serta banyaknya kerumitan yang terdapat dalam syirik. Hakikat mulia ini dijelaskan oleh ayat yang berikut: وَمَآ اَمْرُ السَّاعَةِ اِلاَّ كَلَمْحِ الْبَصَرِ اَوْ هُوَ اَقْرَبُ Terjemahannya: “Kejadian kiamat itu, hanya seperti sekelip mata atau lebih cepat (lagi).”(Al-Nahl [16]: 77) Pertanyaan Ketiga: Seorang sahabat yang dulunya musuh bertanya: Ahli falsafah yang telah banyak membuat kemajuan dewasa ini mengatakan, “Tiada sesuatu yang tercipta daripada ketiadaan, dan tiada yang ada, lenyap menjadi tiada; yang ada hanya penyatuan dan pemisahan, dan peraturan alam ini membuat kilang alam semesta sentiasa bergiat. Betulkah begitu?” Jawapannya: Para ahli falsafah tersebut tidak melihat seluruh entiti dengan cahaya dan pentafsiran al-Quran. Mereka melihatnya dari kaca mata ‘alam’ dan ‘penyebab’. Oleh yang demikian, kewujudan entiti daripada pembentukannya melalui sebab alam dan penyebab-penyebab lahiriah menjadi persoalan yang rumit hingga tahap mustahil seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini. Untuk menjawab persoalan rumit ini para ahli falsafah tersebut terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagian mereka menjadi ahli sarjana yang mencampakkan akal waras yang merupakan keistimewaan yang hanya dimiliki oleh manusia, sehingga mereka terjerumus ke tahap yang lebih rendah daripada haiwan itu sendiri. Mereka bukan sahaja menafikan kewujudan segala sesuatu secara umum, bahkan menafikan kewujudan diri mereka sendiri. Ini pada pandangan mereka lebih mudah untuk diterima akal dan lebih selamat daripada menganggap ‘alam’ dan ‘penyebab-penyebab lahiriah’ sebagai zat yang mencipta sebagaimana yang dikatakan oleh golongan yang satu lagi. Dengan itu mereka menafikan kewujudan mereka sendiri dan alam semesta sehingga terjatuh ke dalam jurang ketidakwarasan yang mutlak. Kelompok yang kedua pula berpendapat bahawa seandainya penciptaan seluruh entiti dikaitkan kepada penyebab lahiriah dan alam sebagaimana yang dinyatakan oleh kaum yang sesat, maka proses penciptaan entiti yang kecil sekalipun, seperti lalat atau benih, banyak mengandungi persoalan dan memerlukan hujah kuat dan hebat yang tidak boleh dibayangkan oleh akal. Oleh itu, ahli falsafah daripada golongan ini terpaksa menafikan kewujudan penciptaan itu sendiri. Menurut mereka, “Sesuatu tidak mungkin tercipta daripada tiada.” Begitu juga dengan melenyapkan sesuatu, bagi mereka juga mustahil sehingga mereka menyatakan bahawa “Sesuatu kewujudan atau sesuatu yang ada tidak mungkin lenyap.” Mereka pun kemudian mengkhayalkan adanya pemisahan dan penggabungan bahan lahiriah sebagai hasil daripada gerakan atom dan pelbagai kebetulan. Perhatikanlah orang-orang yang menyangka dirinya pandai. Mereka terjerumus ke dalam lembah kejahilan dan kebodohan. Dari sini hendaknya kamu belajar bahawa kesesatan mencampakkan manusia yang tadinya mulia ke tahap yang dihinakan! Benar, kuasa mutlak Allah SWT juga yang mencipta langit dan bumi dalam masa enam hari, mencipta 400,000 spesies secara serentak setiap tahun, memberikan kehidupan dunia dalam tempoh enam minggu setiap musim bunga dengan penuh kesenian dan hikmah melebihi dunia itu sendiri. Menafikan penciptaan itu sendiri ialah suatu kebodohan yang amat nyata. Lebih bodoh dan jahil daripada golongan sarjana yang pertama tadi yang tidak menerima cara penciptaan seluruh entiti abstrak yang rancangan dan ukurannya berada dalam pengetahuan Allah SWT sejak azali lagi. Dia menciptakan segala sesuatu dengan mudah seperti mudahnya memperlihatkan tulisan yang tidak kelihatan menjadi nyata hanya dengan menggosokkan bahan kimia padanya. Begitu juga mudahnya Dia mewujudkan sesuatu secara lahiriah. Kaum malang yang berperwatakan seperti Firaun itu sangat lemah dan hanya mampu melenyapkan sesuatu tetapi tidak mampu mencipta atom atau sebarang kejadian apa-apa pun dari tiada. Oleh sebab alam dan penyebab lahiriah yang disembah oleh mereka juga tidak dapat mencipta sesuatu daripada tiada, akhirnya mereka mengeluarkan suatu penyataan, “Benda maujud tidak dapat lenyap dan tidak dapat dicipta.” Mereka berusaha membuktikan kaedah lemah ini terhadap kekuasaan Zat Yang Maha Berkuasa Mutlak. Benar, Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Agung mempunyai dua cara penciptaan:Pertama: Ikhtirá dan Ibdá. Ungkapan ini bermaksud, Allah SWT menjadikan sesuatu kewujudan daripada tiada tanpa perantara. Dia juga menghadirkan sesuatu daripada tiada bagi segala sesuatu yang memerlukan kewujudan kemudian diserahkan kepada tangan yang memerlukan kewujudan tersebut. Kedua: Insh’ dan San‘ah. Ungkapan ini bermaksud, Dia membentuk sebahagian entiti daripada unsur-unsur alam itu sendiri untuk memperlihatkan kesempurnaan hikmah-Nya bagi menjelaskan paparan nama-nama-Nya yang mulia. Kemudian Dia mengirimkan atom-atom dan penyebab-penyebab yang tunduk kepada perintah-Nya melalui pemberian rezeki kepada entiti tersebut. Ya, Tuhan Yang Berkuasa secara mutlak mencipta dengan mewujudkan sesuatu daripada tiada. Dia juga membentuk sesuatu daripada entiti yang ada. Meniadakan entiti dan mencipta sesuatu daripada tiada adalah persoalan yang sangat mudah bagi-Nya. Bahkan ia merupakan hukum-Nya yang berlaku secara sejagat dan tekal. Orang yang menafikan kekuasaan Tuhan yang telah mencipta 300,000 jenis makhluk pada setiap musim bunga dengan berkata, “Dia tidak mungkin dapat mencipta sesuatu daripada tiada,” tentu dia terjerumus ke dalam ketiadaan yang gelap. Orang yang telah meninggalkan fahaman naturalismenya dan menuju jalan kebenaran itu pun kemudian berkata, “Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan taufik kepadaku agar beriman secara sempurna, sekali gus telah menyelamatkanku daripada segala ilusi dan kesesatan. Telah lenyap daripadaku semua keraguan yang ada”. Segala puji bagi Allah SWT atas kurnia agama Islam dan kesempurnaan iman. سُبْحَانَكَ لاَعِلْمَ لَنَاۤ اِلاَّ مَاعَلَّمْتَنَاۤ اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ Terjemahannya: “Maha Suci Engkau! Tiada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah [2]: 32)

