Uhuvvet Risalesi

The Twenty-Second Letter

This section belongs to the major work Mektubat · View complete Mektubat (39 sections) →
Source: risaleinur multilingual dataset, risale.site source · Risale-Nur multilingual research corpus
Risale reading plan
§1

بِاسْمِهِ Dengan nama-Nya.وَاِنْ مِنْ شَىْءٍ اِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ “Dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya”. (Al-Isra’: ayat 44) [Maktubat ini terdiri daripada dua bab; Bab pertama menyeru mereka yang beriman kepada persaudaraan dan kasih sayang.]

§2

Dalam Nama Tuhan, Yang Maha Penyayang, Lagi Maha Penyayang. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu”. (Al-Hujarat: ayat 10) “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib”. ( Fusilat: ayat 34 ) “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”; (Ali-Imran: ayat 134) Pertengkaran dan perbalahan di kalangan orang-orang yang beriman, dan ber- partisan, berkeras hati, dan iri hati, yang membawa kepada perasaan dendam dan permusuhan di kalangan mereka, merupakan perkara yang paling menjijikkan, hina, berbahaya dan berdosa, melalui hakikat hikmah dan kemanusiaan yang tertinggi iaitu Islam bagi kehidupan peribadi, sosial dan roh keIslaman. Perkara-perkara ini ringkasnya, adalah racun untuk kehidupan manusia. Kami akan menunjukkan enam daripada aspek-aspek hakikatnya yang sangat banyak.

§3

Perkara-perkara ini adalah zalim dari sudut hakikat yang sebenarnya. Wahai manusia yang zalim yang menyemai permusuhan dan kebencian di kalangan orang-orang yang beriman! Marilah kita menganggap bahawa anda berada di atas kapal, atau di rumah, dengan sembilan orang yang tidak bersalah dan seorang penjenayah. Jika seseorang cuba untuk membuat kapal itu tenggelam, atau menyalakan rumah itu dengan api kerana seorang penjenayah yang berada di dalamnya, anda tahu betapa besar akan dosanya itu. Lalu anda akan menjerit sekuat-kuatnya terhadap perbuatannya itu. Walaupun terdapat seorang lelaki yang tidak bersalah dan sembilan penjenayah di atas kapal, ia adalah bertentangan dengan semua peraturan keadilan untuk menengelamkan kapal itu. Begitulah juga, jika ada di dalam peribadi orang-orang beriman, yang mungkin boleh dibandingkan sebagai kediaman sifat-sifat Rabbani, seperti sebuah kapal Ilahi, bukan sembilan, tetapi sebanyak dua puluh sifat-sifat yang baik seperti keimanan, keislaman dan kejiranan; dan jika anda kemudian memupuk permusahan dan kebencian terhadap satu sifat jenayahnya yang mencederakan dan tidak menyenangkan anda, ketahuilah bahawa percubaan unuk tenggelamkan dirinya, membakar rumahnya, maka anda juga adalah penjenayah dengan melakukan kekejaman yang besar.

§4

Perkara-perkara ini adalah juga zalim dari sudut hikmah, kerana jelas bahawa permusuhan dan kasih-sayang adalah sifat yang bertentangan, sama seperti cahaya dan kegelapan; sambil mengekalkan hakikat sifat masing-masing, mereka tidak boleh digabungkan. Jika cinta benar-benar ditemui dalam jiwa dan oleh sebab-sebab utama punca yang menghasilkannya, maka permusuhan dalam hati itu hanya boleh menjadi metafora, dan diambil alih dalam bentuk belas kasihan. Orang yang beriman seharusnya mencintai saudaranya, dan berasa sakit oleh mana-mana kejahatan yang dilihatnya di dalam diri saudara itu. Dia cuba untuk membaiki saudaranya bukan dengan kekerasan tetapi secara lemah lembut. Atas sebab inilah Hadis Nabi (SAW) yang bersabda, “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari. ”Jika punca-punca yang menghasilkan permusuhan mendominasi, dan permusuhan sejati mengambil tempatnya di dalam hati anda, maka cinta dalam hati itu akan menjadi metafora, dan akan merubah kepada penipuan dan kepalsuan. Wahai orang yang tidak adil! Lihatlah betapa besar dosanya permusuhan dan kebencian terhadap saudaramu yang beriman! Jika anda mengatakan bahawa batu-batu biasa yang kecil itu adalah lebih berharga daripada Kaabah dan lebih besar daripada Bukit Uhud, ia akan menjadi kebodohan yang sangat hodoh. Begitu jugalah, keimanan yang bernilai seumpama Kaabah dan Islam yang mempunyai keagungan seperti Bukit Uhud serta lain-lain sifat keislaman saudaramu menuntut kasih sayang dan kesepakatan. Tetapi jika anda mengutamakan kekurangan saudaramu dan melahirkan permusuhan terhadapnya dari keimanan dan keislaman, yang pada hakikatnya adalah seumpama batu-batu yang kecil, maka anda juga akan terlibat dengan ketidakadilan yang besar, bodoh dan berdosa! Kesatuan keimanan memerlukan juga kesatuan hati, dan ketauhidan keimanan kita menuntut kesatuan dalam masyarakat kita. Anda tidak boleh menafikan bahawa jika anda mendapati diri anda berada dalam rejimen yang sama dengan seorang askar, anda akan membentuk perhubungan yang mesra dengannya; hubungan persaudaraan akan terhasil kerana anda berdua di bawah pemerintah seorang komander yang tunggal. Anda juga akan mengalami hubungan persahabatan ini jika tinggal di bandar yang sama dengan seseorang. Sekarang terdapat hubungan perpaduan, ikatan kesatuan, dan hubungan persahabatan sebanyak nama-nama Ilahi yang ditunjukkan dan dipamerkan kepada anda oleh cahaya dan kesedaran keimanan. Penciptamu, Pemilikmu, objek peribadatan, dan Pemberi Rezekimu adalah satu dan sama bagi anda berdua; Beribu-ribu perkara adalah sama bagi anda berdua. Nabimu (SAW), agamamu, kiblatmu adalah satu dan sama; Beratus-ratus perkara adalah satu dan sama untuk anda berdua. Kemudian kampungmu adalah satu, negerimu adalah satu, negaramu adalah satu; Puluhan perkara adalah satu dan sama untuk anda berdua. Semua perkara ini, satu per satu yang sama ini menuntut kesatuan, perpaduan dan persefahaman, kasih sayang dan persaudaraan, dan sesungguhnya kosmos dan planet-planet yang sama dihubungkan dengan rantaian yang tidak kelihatan ini.Di sebalik semua perkara-perkara ini, jika anda lebih suka perkara-perkara yang tidak bernilai dan fana yang seumpama sarang labah-labah dengan menimbulkan pertikaian, perbalahan dan permusuhan, dan terlibat dalam permusuhan sebenar terhadap orang-orang yang beriman, maka anda akan memahami - melainkan jika hati anda telah mati dan kecerdasan anda telah terpadam - betapa besarnya rasa tidak hormat anda terhadap ikatan perpaduan itu, betapa sedikitnya perasaan anda untuk hubungan kasih sayang dan betapa anda telah melakukan pelanggaran terhadap ikatan persaudaraan!

§5

Selaras dengan maksud ayat: وَلاَ تَزِرُ واَزِرَةٌ وِزْرَ اُخْرٰى “Seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang yang lain”, (Surah Al-An’am: ayat 164), yang menjelaskan hakikat keadilan yang mutlak, dengan memupuk permusuhan dan kebencian terhadap orang yang beriman dengan mengutuk semua sifat-sifatnya yang baik kerana kesalahan tunggal yang terdapat dalam dirinya adalah satu jenayah, dan merupakan satu perbuatan ketidakadilan yang dahsyat. Selanjutnya jika anda menambahkan lagi dengan bermusuhan terhadap semua ahli keluarga seseorang yang beriman kerana kesalahan beliau yang tunggal itu, kemudian, selaras dengan اِنَّ اْلاِنْسَانَ لَظَلُومٌ ayat berikut di mana peserta aktif berada dalam bentuk intensif (Sesungguhnya manusia itu sangat cenderung terhadap perkara yang mungkar, Surah Ibrahim: ayat 34) anda akan melakukan dosa dan pencerobohan yang lebih besar, di mana hakikat, Syariat dan hikmah Islam bergabung untuk memberikan amaran kepada anda. Bagaimanakah anda boleh bayangkan diri anda betul, dan berkata: “Saya di dalam kebenaran”? Pada pandangan yang hak, punca permusuhan dan segala bentuk kejahatan adalah dengan sendirinya satu kejahatan dan padat seperti tanah liat: ia tidak boleh menjangkiti atau disebarkan kepada orang lain. Jika seseorang belajar daripadanya dan melakukan kejahatan, itu adalah persoalan yang lain. Kualiti yang baik yang lahir dari kasih sayang adalah bercahaya seperti kasih sayang; Ia adalah sebahagian daripada tugasnya, untuk disebarkan dan menghasilkan kesannya. Maka atas sebab ini telah wujud satu peribahasa, “sahabat kepada seorang sahabat adalah juga sahabat kita ” dan juga di katakan, “Banyak mata akan di kasihi atas sebab satu mata [rasa kasih terhadap seseorang akan menjadikan rasa kasih terhadap seluruh ahli keluarga dan sanak saudaranya]”. Oleh itu, wahai orang yang zalim! Jika beginilah hakikatnya, anda akan memahami sekarang, jika anda mempunyai keupayaan untuk melihat akan hakikat, betapa besarlah kesalahannya untuk mempelopori permusuhan dengan sesukanya ke atas saudara-saudaramu dan ke atas keluarganya yang tidak bersalah.

§6

Perbalahan di antara orang-orang beriman adalah berdosa dari sudut pandangan kehidupan peribadi. Dengarlah akan empat prinsip berikut yang merupakan asas kepada Aspek Keempat ini.

§7

Jika anda tahu bahawa cara dan pendapat anda adalah benar, anda mempunyai hak untuk mengatakan, “Cara saya adalah betul dan yang terbaik.” Tetapi anda tidak mempunyai hak untuk mengatakan, “Hanya cara saya sahajalah yang betul.” Menurut rasa “Mata orang yang merasa sudah puas itu terlalu kabur untuk melihat kesalahannya; mata seseorang yang marah itu dapat mempamerkan semua yang aibnya وَلٰكِنَّ عَي۟نَ السُّخ۟طِ تُب۟دِى ال۟مَسَاوِيَا pandangan anda yang tidak adil dan pendapat yang tercemar tidak boleh menjadi hakim penentu dan tidak boleh mengutuk kepercayaan orang lain sebagai salah.

§8

Adalah hak anda untuk berkata hanya yang benar, tetapi anda tidak perlu mengatakan semua yang benar. Kerana niat yang tidak ikhlas kadang-kadang akan menerima nasihat yang baik dengan perasaan yang tidak senang, dan bertindak balas terhadapnya secara tidak baik.

§9

Jika anda berniat menyuburkan permusuhan, arahkanlah permusuhan itu ke dalam hati anda, dan cubalah untuk menghilangkannya dari diri anda. Jadilah musuh kepada nafsu amarah anda dan perkara-perkaranya yang keji dan berusahalah untuk mengubatinya, kerana ia memberikan lebih banyak kemudaratan kepada anda daripada segala-galanya. Jangan terlibat dalam permusuhan terhadap orang-orang beriman yang lain akibat jiwamu yang cedera itu. Sekali lagi, jika anda ingin menanam permusuhan, arahkanlah ia terhadap orang-orang kafir dan ateis yang ramai; bermusuhanlah dengan mereka.Dengan cara yang sama bahawa sifat kasih sayang berhak untuk menerima kasih sayang sebagai balasannya, sebagaimana permusuhan layak untuk menerima permusuhan sebagai balasannya. Jika anda ingin mengalahkan musuh, maka bertindak balaslah kepada kejahatannya dengan kebaikan. Jika anda bertindak balas dengan kejahatan, permusuhan akan meningkat, walaupun musuh anda itu secara zahir telah dikalahkan, dia akan memupuk kebencian dalam hati dan permusuhannya akan berterusan. Tetapi jika anda bertindak balas dengan baik kepadanya, dia akan bertaubat dan menjadi rakan anda. اِذَاۤ اَنْتَ اَكْرَمْتَ الْكَرِيمَ مَلَكْتَهُ - وَاِنْ اَنْتَ اَكْرَمْتَ اللَّئِيمَ تَمَرَّدًا Maksud ayat: “Jika anda memberi penghormatan kepada orang yang mulia, dia akan menjadi milik anda; Dan jika anda bermusuhan terhadap orang yang tidak beradab, dia akan memberontak ”, ia adalah tanda bagi orang yang beriman untuk menjadi mulia, dan dia akan menyerahkan dirinya kepada anda melalui tindakan anda yang mulia. Dan walaupun seseorang yang beriman itu kelihatan rendah zahirnya, dia adalah mulia dari sudut keimanannya. Ia sering berlaku bahawa jika anda memberitahu seorang lelaki yang jahat, “Anda baik, anda baik,” dia akan menjadi baik; dan jika anda memberitahu seorang lelaki yang baik, “Anda jahat, anda jahat,” dia akan menjadi jahat. Oleh itu, berpeganglah kepada prinsip-prinsip suci Al-Qur’an ini, untuk kebahagiaan dan keselamatan yang terdapat di dalamnya: وَاِذَا مَرُّوا باِللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا Dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan. وَاِنْ تَعْفُوا وَتصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَاِنَّ اللّٰهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ “Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (At- Taghaabun: ayat 14)

§10

Mereka yang menyuburkan permusuhan adalah kezaliman terhadap diri mereka sendiri, saudara mereka yang beriman, dan terhadap rahmat Ilahi. Bagi orang seperti itu mereka menzalimi jiwa mereka dengan azab yang menyakitkan melalui permusuhan dan kebencian itu. Dia mengenakan kutukan ke atas jiwanya setiap kali musuhnya menerima beberapa kurniaan, dan kesakitan daripada ketakutan kepadanya. Jika permusuhannya timbul daripada iri hati, maka ia adalah bentuk kesakitan yang paling dahsyat. Pertamanya iri hati memakan dan memusnahkan tuannya, dan kemudaratan terhadap orang yang di iri hati sama ada sedikit atau tidak wujud. Penawar untuk iri hati: Biarkan orang yang iri hati mencerminkan akibatnya daripada perkara-perkara yang melahirkan permusuhan itu. Kemudian dia akan memahami bahawa keindahan, kekuatan, pangkat, dan kekayaan yang dimiliki oleh saingannya adalah fana dan sementara. Manfaatnya sedikit, dan kebimbangan yang di sebabkan olehnya adalah besar. Adalah persoalan ketinggian peribadi yang akan mendapatkan seseorang pahala di akhirat, ia tidak boleh menjadi objek iri hati. Tetapi jika seseorang itu iri hati di sebabkan olehnya, maka dia sama ada munafik, ingin memusnahkan barangan akhirat di dunia yang fana ini, atau dia membayangkan bahawa salah satu daripada orang yang di cemburui itu menjadi munafik, dengan itu bertindak zalim terhadapnya. Jika dia bergembira dengan musibah yang dialami saudaranya dan berdukacita oleh limpah kurniaan yang diterima saudaranya itu, seolah-olah dia telah tersinggung dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh qadar (ketentuan Ilahi) dan belas kasihan-Nya. Sesiapa yang mengkritik ketentuan Ilahi, dia seumpama mengetuk kepalanya terhadap meja tukang besi di mana kepalanya akan pecah, dan sesiapa yang membantah belas kasihan Ilahi dia akan dilucutkan rahmat- Nya terhadap dirinya. Bagaimana keadilan hakiki dan hati nurani yang suci boleh menerima bahawa tindak balas kepada sesuatu permusuhan yang bernilai tidak sampai sehari harus menjadi permusuhan dan kebencian terhadapnya setahun?Anda tidak boleh mengutuk seorang saudara yang beriman kerana beberapa kejahatan yang anda alami di tangannya atas sebab-sebab berikut: Pertama, penentuan Ilahi mempunyai bahagiannya yang tertentu. Adalah perlu untuk memotong bahagian itu daripada perkongsian takdir dan bertindak balas terhadapnya dengan reda dan berpuas hati. Kedua, bahagian jiwa dan bisikan syaitan juga perlu dipisahkan, dan seseorang itu harus sayangkan lelaki itu kerana telah diatasi oleh jiwanya dan menanti taubatnya dan bukannya menjadi musuh dengannya. Ketiga, lihat kecacatan dalam jiwa anda sendiri yang anda tidak nampak atau tidak mahu melihat; ambil kira untuk itu juga. Bagi sebahagian kecil yang masih wujud, jika anda bertindak balas dengan pengampunan, maaf, dan keluhuran jiwa sehingga ia berupaya menakluki musuh anda dengan cepat dan selamat, maka anda telah dapat melepaskan diri anda dari segala dosa dan kemudaratan. Tetapi jika, seperti seorang yang mabuk dan gila yang membeli serpihan kaca dan ketulan ais seolah-olah ianya adalah berlian, anda bertindak balas terhadap kejadian yang tidak bernilai, fana, sementara, dan perkara yang tidak penting di dunia ini dengan permusuhan yang ganas, kekal, dan berterusan, seolah-olah anda akan kekal di dunia dengan musuh anda untuk selama- lamanya, ia akan menjadi satu pelanggaran yang melampau, dosa, mabuk, dan gila. Jika sebaliknya anda sayangkan diri anda sendiri, jangan benarkan permusuhan dan keinginan ini menjadi berbahaya untuk kehidupan peribadi anda, seterusnya memasuki hati anda. Jika ia telah memasuki hati anda, jangan mendengar apa yang dikatakannya. Dengarlah apa yang di katakan oleh Hafiz Shirazi melalui hakikat penglihatannya: دُن۟يَا نَه مَتَاعٖيس۟تٖى كِه اَر۟زَد۟ بَنِزَاعٖى “Dunia bukanlah barang yang bernilai untuk bertengkar.” Ia tidak bernilai kerana ia adalah sementara dan fana. Jika inilah hakikat dunia, maka jelas betapa tidak bernilai dan tidak penting akan perkara-perkara kecil dunia ini! Hafiz juga berkata: اٰسَايِشِ دُو گٖيتٖى تَف۟سٖيرِ اٖين۟ دُو حَر۟فَس۟ت۟ بَادُوسِتَان۟ مُرُوَّت۟ بَادُش۟مَنَان۟ مُدَارَا “Ketenangan kedua-dua alam terletak pada pemahaman kedua-dua perkataan ini: kemurahan hati terhadap rakan, serta bersikap bertolak ansur terhadap musuh.” Jika anda berkata: “Saya tidak mempunyai pilihan akan cara permusuhan yang terdapat dalam diri saya ini. Saya tidak boleh terlepas pandang mereka yang bermusuhan dengan saya.” Jawapannya: Jika watak jahat dan cara buruk tidak mempamerkan apa-apa kesan, dan anda tidak bertindak dengan niat menyakiti, maka tidaklah ada kemudaratan. Jika anda mengenali kelemahan anda dan memahami bahawa anda bersalah untuk mempunyai sifat sedemikian, ia akan menjadi satu bentuk taubat dan pengampunan untuk anda, dengan itu menjauhkan anda dari kesan-kesan jahatnya. Malah, kami telah menulis satu bahagian dalam kitab Maktubat ini untuk memungkinkan usaha untuk bertaubat memohon pengampunan, untuk membezakan perkara hak dari yang batil, dan untuk mengelakkan permusuhan daripada dipaparkan sebagai perkara yang hak. Satu kes yang layak di ambil perhatian: Saya pernah melihat sekali, akibat daripada sikap partisan, seorang ulama dalam mengutuk seorang ulama lain di mana pendapat politiknya beliau tidak bersetuju dengan memberi pertunjuk bahawa ulama itu sebagai seorang kafir. Dalam masa yang sama beliau turut memuji seorang kafir yang berkongsi pendapat dengannya. Saya terkejut dengan keputusan jahat hasil penglibatan politik ini. Saya berkata: “Saya memohon berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”, dan sejak dari itu saya telah menarik diri dari politik.

§11

Berkeras hati dan bersikap partisan sangat berbahaya dalam kehidupan sosial manusia. Jika dikatakan: Ada hadis yang menyebut: “Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah satu rahmat ”, oleh itu perbezaan pendapat menuntut kepada sikap partisan.Sikap partisan juga menyelamatkan orang biasa yang ditindas dari penindas yang elit. Jika orang-orang elit sesebuah bandar atau kampung bergabung bersama, mereka akan dapat memusnahkan orang biasa yang lemah. Jika ada yang bersikap partisan, mereka yang ditindas mungkin mencari perlindungan dengan salah satu pihak dari kumpulan partisan dan dengan itu menyelamatkan diri.Juga dari konfrontasi, pendapat dan percanggahan pandangan akan menjadikan kebenaran zahir dengan jelas sepenuhnya. Jawapannya: Kepada bahagian pertama soalan, kami berkata: Perbezaannya dimaksudkan dalam Hadis adalah perbezaan positif. Iaitu setiap pihak berusaha untuk mempromosi dan menyebarkan kepercayaan mereka sendiri; Ia tidak berusaha untuk meruntuhkan dan memusnahkan kepercayaan yang lain, tetapi untuk memperbaiki dan membuat reformasi ke atas nya. Perbezaan negatif ditolak oleh hadis, kerana ia bertujuan mewujudkan partisan dan permusuhan bagi kemusnahan bersama, dan mereka yang bertikam lidah tidak boleh bertindak positif. Kepada kedua soalan, kita menjawab: Jika wujudnya partisan atas tujuan mencari kebenaran, ia boleh menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang mencari kebenaran. Tetapi bagi partisan yang ada sekarang, yang berat sebelah dan mementingkan diri sendiri, ia hanya boleh menjadi tempat bernaung untuk mereka yang zalim dan menjadikannya tempat memperolehi sokongan. Kerana jika syaitan datang kepada seorang lelaki yang terlibat dalam partisan yang berat sebelah, menggalakkan dia dalam idea-ideanya dan menyebelahinya, dia akan menyeru akan sokongan dan pujian pada syaitan. Tetapi jika pihak lawan disertai oleh seorang lelaki yang bersifat seperti malaikat, maka dia akan mengambil tindakan sehingga menghujaninya dengan kutukan – Ya Allah lindungi kita dari perkara sebegini! Kepada bahagian ketiga soalan, kita berkata: Jika konfrontasi dalam pandangan berlaku atas nama keadilan dan demi kebenaran, maka kebimbangan perbezaan hanya bermakna; Terdapat perpaduan dari sudut matlamat dan tujuan utamanya. Perbezaan pandangan seperti ini melahirkan kebenaran dan keadilan dalam semua aspek. Tetapi apa yang muncul dari konfrontasi pandangan yang partisan dan berat sebelah, dan berlaku demi jiwa yang zalim, daripada nafsu amarah yang jahat, yang berdasarkan egotisme dan mencari kemasyhuran - apa yang muncul dari ini bukan kilatan kebenaran, tetapi api perbezaan. Perpaduan matlamat adalah perlu, tetapi menentang pandangan seperti ini tidak dapat mencari titik persamaan di mana-mana sahaja di bumi ini. Oleh kerana mereka tidak berbeza demi yang hak, mereka membiak dengan tidak ada batasnya, dan menimbulkan perbezaan yang tidak boleh di bawa berunding. Ringkasnya: Jika seseorang itu tidak membuat peraturan yang dimuliakan, iaitu; “Cinta demi Allah, (Al-Qur’an, Ghafir: ayat 12, Al-Qasas: ayat 70, Al-An’am: ayat 57). Tidak suka demi Allah, penghakiman demi Allah ” dengan berpandukan prinsip-prinsip ini sebagai panduan sikap dan tingkah laku seseorang, pertikaian dan permusuhan akan terhasil. Jika seseorang tidak berkata, “Tidak suka demi Allah, menghukum demi Allah” dan mengambil kira prinsip-prinsip tersebut, percubaan seseorang untuk melakukan keadilan akan mengakibatkan ketidakadilan. Peristiwa dengan pengajaran penting: Sayyidina ‘Ali (R.A) pernah menjatuhkan seorang kafir ke tanah. Kemudian beliau menarik pedang untuk membunuhnya, orang kafir itu meludah di mukanya. Lantas, Sayyidina Ali (R.A) terus membebaskan si kafir itu tanpa membunuhnya. Orang kafir itu berkata: “Mengapa kamu tidak membunuhku?”Dia menjawab: “Saya hendak membunuh kamu kerana Allah. Tetapi apabila anda meludah pada saya, lalu saya menjadi marah dan kesucian niat saya telah dilawan oleh kecenderungan jiwa nafsu saya. Atas sebab inilah saya membatalkan hasrat membunuh anda. Orang kafir itu menjawab: “Jika agama kamu begitu murni dan tidak tercemar, ia mestilah agama yang benar. ” Satu peristiwa yang layak diberi perhatian: Apabila seorang hakim menunjukkan tanda-tanda kemarahan semasa memotong tangan seorang pencuri, ketika itu seorang pemerintah yang adil yang berpeluang memerhatikan dia memecatnya dari jawatannya. Kerana jika dia telah memotong tangan atas nama Syariah, jiwanya akan merasa kasihan belas ke atas mangsa; dia harus memotongnya dengan cara yang tidak mempunyai kemarahan dan belas kasihan. Oleh kerana kecenderungan jiwanya berkongsi dalam perbuatannya itu, beliau tidak melakukan perbuatan itu dengan keadilan. Keadaan sosial yang dikesali dan penyakit yang besar yang menjejaskan kehidupan masyarakat, sesuai untuk ditangisi oleh jiwa keIslaman: Untuk melupakan dan meninggalkan permusuhan dalaman apabila musuh-musuh asing muncul dan menyerang adalah keperluan terhadap tanggung jawab kebajikan sosial yang diiktiraf dan diperjuangkan walaupun oleh orang-orang yang paling primitif. Apa yang kemudiannya merunsingkan, bagi mereka yang mendakwa berkhidmat kepada masyarakat Islam bahawa pada satu masa apabila musuh-musuh yang tidak terhingga ramainya mengambil kedudukan untuk menyerang, satu demi satu, mereka gagal melupakan permusuhan kecil mereka, dan sebaliknya menyediakan prasarana untuk serangan musuh? Ia adalah satu tindakan ganas yang memalukan, dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap kehidupan sosial Islam. Satu cerita yang mengejutkan: Terdapat dua kumpulan Hasanan, suku kaum nomad yang bermusuhan antara satu sama lain. Meskipun mungkin lebih dari lima puluh orang telah dibunuh pada kedua-dua belah, ketika suku lain seperti Sibgan atau Haydaran keluar melawan mereka, dua kelompok yang bermusuh akan melupakan permusuhan mereka dan berjuang bersama-sama, bahu ke bahu, sehingga puak lawan telah dapat diusir, tanpa pernah sekali lagi mengungkit perbezaan dalaman mereka sebelumnya. Wahai orang-orang yang beriman! Adakah anda tahu berapa banyak puak-puak musuh telah mengambil kedudukan untuk menyerang puak orang-orang iman? Terdapat lebih daripada seratus daripada mereka, seperti satu siri bulatan sepusat. Orang-orang yang beriman wajib mengambil kedudukan pertahanan, masing-masing menyokong yang lain dan memberinya bantuan. Adakah patut bagi ahli-ahli iman dengan sikap partisan yang berat sebelah dan permusuhan memudahkan serangan musuh dan menghempas membuka pintu untuk mereka menembusi wilayah orang Islam? Mungkin terdapat tujuh puluh kalangan puak musuh, termasuk yang sesat, ateis, dan orang kafir, masing-masing berbahaya terhadap anda seperti keganasan dan penderitaan di dalam dunia ini, dan setiap daripada mereka bersikap dengan tamak, kemarahan dan kebencian terhadap anda. Senjata yang kukuh, perisai dan benteng anda terhadap mereka semua tidak lain hanyalah persaudaraan Islam.Maka betapa bertentangan dengan roh dan kepentingan terhadap Islam untuk menggoncang kubu Islam atas sebab permusuhan kecil dan alasan-alasan lain! Ketahui akan perkara ini, dan sedarlah dengan kembali kepada kewarasan anda! Menurut Hadis Mulia Nabi (SAW), orang-orang yang menggerunkan seperti Sufyan dan Dajjal akan datang untuk memerintah ke atas mereka yang tidak berpegang kepada Allah pada akhir zaman, dan mengeksploitasi ketamakan, perbalahan dan kebencian di kalangan umat Islam dan manusia. Mereka hanya memerlukan kekuatan yang kecil untuk menjatuhkan kemanusiaan kepada anarki dan dunia Islam yang luas kepada perhambaan. Wahai orang-orang yang beriman! Jika anda tidak mahu memasuki ke dalam keadaan perhambaan yang mengaibkan, kembalilah kepada kewarasan dan masuk serta berlindunglah di dalam kubu pertahanan: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara” (Al-Hujarat: ayat 10) untuk mempertahankan diri anda daripada penindas yang akan mengeksploitasi perbezaan anda! Jika tidak, anda tidak akan dapat melindungi nyawa anda atau mempertahankan hak anda. Adalah jelas bahawa jika kedua-dua juara gusti sedang bergusti antara satu sama lain, hanya seorang kanak-kanak boleh mengalahkan mereka. Jika kedua-dua gunung seimbang dalam skala, walaupun batu kecil boleh mengganggu keseimbangan mereka dan menyebabkan satunya untuk naik dan yang satu lagi jatuh. Oleh itu, wahai orang-orang iman! Kekuatan anda akan dikurangkan kepada ketiadaan akibat keghairahan dan sikap partisan berat sebelah anda, dan anda boleh dikalahkan oleh kuasa-kuasa yang hanya kecil. Jika anda mempunyai sebarang perasaan dalam perpaduan sosial anda, maka ambil lah prinsip yang disanjung dalam “Orang-orang yang beriman bersama-sama seperti bangunan yang diasaskan dengan baik, satu bahagian menyokong yang lain ” sebagai panduan anda dalam kehidupan! Kemudian anda akan di jauhi dari penghinaan di dunia ini dan kecelakaan di akhirat kelak.

§12

Kehidupan kerohanian dan keabsahan ibadah anda akan menderita akibat permusuhan dan pergaduhan, kerana kesucian niat yang menjadi tunjang keselamatan akan rosak.Bagi orang yang berat sebelah, dia akan menginginkan keunggulan dalam amal kebaikannya ke atas musuhnya yang dilakukannya dan tidak akan dapat bertindak semata-mata kerana Allah SWT. Dia juga akan lebih suka, dalam pertimbangan dan urusannya terhadap orang yang menyebelahinya; dia tidak akan dapat berlaku adil. Oleh itu kesucian niat dan keadilan yang menjadi asas segala amal perbuatan yang baik akan hilang atas sebab permusuhan dan pertentangan.Aspek Keenam sangat kompleks, tetapi kita akan memendekkannya kerana di sini bukanlah tempat untuk membesarkannya.

§13

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ “Sesungguhnya Allah s.w.t. Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.” (Zariyat, 58) وَكَأَيِّن مِّن دَابَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah s.w.t. jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Ankabut, 60) Wahai orang-orang yang beriman! Daripada perbincangan dalam kitab “Mektubat” yang telah lalu, anda telah memahami tentang betapa besarnya kemudaratan yang disebabkan oleh permusuhan. Ketahuilah juga bahawa tamak haloba adalah penyakit yang sama seperti permusuhan, bahkan tamak haloba akan menyebabkan kemudaratan dan kemusnahan yang lebih hebat kepada kehidupan Islam. Sesungguhnya, sifat tamak haloba itu adalah penyebab kekecewaan, kekurangan dan kehinaan.Ia adalah penyebab kesengsaraan dan dipinggirkan.Sesungguhnya kehinaan dan kesengsaraan yang diterima oleh bangsa Yahudi kerana sifat tamak haloba mereka yang terlalu taksub mengejar dunia berbanding bangsa-bangsa lain merupakan bukti yang kukuh. Sifat tamak haloba melahirkan kesan buruk bermula daripada lingkungan paling luas dalam alam kehidupan sehinggalah kepada setiap individu. Sebaliknya, usaha mendapatkan rezeki yang diiringi dengan tawakal akan menjadi penyebab kerehatan dan ketenangan serta kesan baiknya akan dapat dilihat di setiap tempat. Sebagai contoh: Segala tumbuhan dan pohon berbuah yang dianggap juga sebagai spesies benda hidup, memerlukan rezeki. Rezeki datang kepada mereka dengan mudah meskipun pohon tersebut hanya terpacak kukuh di atas tanah. Pada zahirnya ia kelihatan seperti bertawakal dan bersifat qana’ah (merasa cukup) tanpa sebarang tanda-tanda yang menunjukkan tamak atau haloba. Bahkan pepohon ini mengatasi haiwan dari sudut bilangan buah-buahan yang dihasilkannya. Sebaliknya, haiwan tidak memperoleh rezekinya melainkan selepas berusaha bersungguh-sungguh dan menempuh pelbagai kesulitan, itu pun kadar rezeki yang diperolehnya amat sedikit dan tidak mencukupi. Hal ini demikian kerana haiwan begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk memperoleh dan mendapatkan rezeki. Jika kita perhatikan alam haiwan, kita akan dapati bahawa haiwan-haiwan kecil menunjukkan mereka amat bertawakal kepada Allah s.w.t. melalui kelemahan dan keadaan mereka, dengan mudah memperoleh rezeki yang baik dan mencukupi daripada khazanah rahmat Ilahi. Sedangkan haiwan ganas, yang menerkam mangsanya dengan penuh tamak haloba tidak mudah memperoleh rezekinya melainkan selepas berusaha keras dan bekerja kuat. Kedua-dua situasi di atas jelas menunjukkan bahawa sikap tamak haloba adalah penyebab kepada tidak memperoleh sesuatu, sedangkan tawakal dan sifat qana’ah (merasa cukup) merupakan wasilah untuk memperoleh rahmat Ilahi.Keadaan yang sama juga dapat diperhatikan dalam kehidupan manusia. Bangsa Yahudi adalah orang yang paling haloba terhadap kehidupan. Mereka lebih mencintai kehidupan dunia berbanding akhirat. Bahkan kecintaan mereka terhadap kehidupan dunia adalah mengatasi segala bangsa lain. Lalu ditimpakan kepada mereka kehinaan dan kerendahan. Di mana-mana sahaja mereka tetap diburu dan dibunuh oleh bangsa-bangsa lain. Semua ini adalah kerana bangsa Yahudi ini memperoleh keuntungan melalui transaksi riba yang haram dan buruk, yang mereka lakukan setelah lama berpenat lelah dan berusaha untuk mendapatkannya. Mereka pula tidak membelanjakannya, melainkan sedikit sahaja, seolah-olah mereka berhasrat untuk menyimpan sebahagian besar daripadanya. Keadaan ini menunjukkan bahawa ketamakan adalah punca kehinaan, kerendahan dan kerugian dalam kehidupan kemanusiaan. Terdapat banyak lagi peristiwa dan kejadian yang menunjukkan bahawa orang tamak sentiasa terdedah kepada kancah kerugian, sehingga ungkapan “orang tamak selalu rugi” telah menjadi peribahasa yang tersebar luas penggunaannya dan semua orang menerimanya sebagai suatu hakikat yang tidak boleh dipertikaikan lagi.Oleh sebab itu, jika anda cintakan harta dengan kecintaan yang besar, maka anda hendaklah mencarinya melalui sifat qana’ah, bukan dengan sifat tamak haloba, kerana hanya dengan demikian sahaja harta akan mendatangi anda dengan banyaknya. Perbandingan antara orang yang bersifat qana’ah (merasa cukup) dan yang bersifat tamak adalah seperti kisah berikut:Terdapat dua orang lelaki menjadi tetamu kepada seorang tuan rumah yang mulia dan baik hati. Salah seorang daripada tetamu tersebut dalam hatinya hanya berharap agar tuan rumah memberikan sedikit perlindungan kepadanya. Dia berkata: “Jika tuan rumah membenarkan saya tinggal di rumahnya seketika, lalu saya selamat daripada kedinginan cuaca di luar, itu sudah mencukupi buat saya. Bahkan, jika dia membenarkan saya duduk di atas mana-mana kerusi empuk yang terdapat dalam rumahnya, itu merupakan suatu kelebihan dan kemuliaan.” Sebaliknya lelaki kedua pula bertindak seolah-olah dia mempunyai hak terhadap orang lain seakan-akan mereka terpaksa menghormati dan memuliakannya. Oleh itu, dengan penuh terpedaya dia berkata dalam hatinya: “Tuan rumah ini mesti menyediakan untuk ku kerusi yang paling empuk dan paling baik.” Lalu dia memasuki rumah tersebut dengan perasaan itu dan melihat serta memerhatikan tempat paling baik di dalam rumah. Pada masa yang sama, hatinya dipenuhi oleh perasaan dengki, hasad dan marah terhadap tuan rumah. Tuan rumah pula hanya memberikan tempat duduk yang paling rendah kepadanya. Sepatutnya lelaki tersebut berterima kasih kepada tuan rumah, tetapi dia mengkritik tuan rumah lalu tuan rumah merasa tidak senang dengannya. Tetapi perkara sebaliknya berlaku kepada lelaki pertama tadi yang memasuki rumah tersebut dengan penuh tawaduk dan hanya mencari tempat duduk yang paling rendah yang tersedia. Tuan rumah berasa gembira dan berlapang dada dengan sifat tawaduk yang terpancar daripadanya, lalu menempatkannya di tempat duduk yang paling tinggi dan baik. Keadaan ini menyebabkan lelaki tersebut bertambah redha dan berterima kasih setiap kali tuan rumah menempatkannya di tempat yang lebih baik dan lebih mulia. Begitulah kehidupan dunia ini. Ia adalah tempat yang Allah s.w.t. guna untuk menyambut dan melayan para tetamu-Nya. Permukaan dunia ini adalah hamparan rahmat dan hidangan Allah s.w.t. yang disediakan buat manusia. Kadar rezeki yang dikurniakan dan martabat nikmat yang diberikan adalah seperti kedudukan kerusi yang bertingkat-tingkat tingginya. Sikap buruk akibat sifat tamak dan kejelekannya pasti dapat dirasai oleh setiap orang sekalipun dalam urusan dan pekerjaan yang paling kecil. Sebagai contoh: Sesiapa sahaja akan merasa berat hati dan tidak selesa jika didatangi oleh seorang peminta sedekah yang terlalu meminta dan mendesak sehingga menyebabkan dia tidak ingin memberikan apa-apa kepada peminta sedekah tersebut. Sebaliknya pendiriannya ini akan berubah dengan berasa belas kasihan terhadap peminta sedekah lain yang hanya berdiam diri, lalu dia memberikan sedekah mengikut kemampuannya. Contoh lain: Jika anda tidak dapat tidur pada suatu malam; anda mungkin dapat tidur sedikit demi sedikit jika anda tidak menghiraukan keinginan yang mendesak untuk tidur. Sebaliknya, jika anda terlalu berkeinginan untuk tidur, dan berasa keluh kesah sambil merungut dan berkata “Bilakah saya dapat tidur?” Akhirnya rasa mengantuk akan hilang dan anda tidak dapat tidur sama sekali. Contoh lain: Anda menunggu seseorang dengan penuh kesabaran. Anda amat ingin bertemu dengannya atas satu urusan yang penting. Anda berasa bimbang dan anda berkeluh kesah, serta berkata: “Kenapa dia belum datang lagi? Kenapa dia lewat?” Akhirnya keinginan anda yang keterlaluan agar dia datang akan menyebabkan anda hilang sabar lalu memaksa diri anda meninggalkan tempat tersebut dalam keadaan kecewa. Sejurus kemudian, orang yang anda tunggu tiba, dengan itu hasil yang diharapkan daripada pertemuan tersebut telah terlepas. Hikmat yang tersembunyi dalam contoh-contoh yang dinyatakan di atas adalah seperti berikut. Kewujudan sebuku roti adalah hasil daripada kerja dan proses yang berlaku di ladang gandum, gudang, tempat pengisar, dapur ketuhar dan sebagainya. Begitu juga kewujudan segala perkara adalah terikat dengan langkah yang berhati-hati dan berperingkat-peringkat. Tetapi orang yang tamak dan haloba tidak akan berhati-hati dalam langkah yang diambilnya dan tidak mengambil kira proses serta langkah yang seharusnya diambil bagi dia mencapai hasil yang diharapkan. Oleh itu, dia mungkin akan mengambil jalan pintas atau melakukan lompatan jauh yang akan menyebabkan dia jatuh tersembam, atau dia meninggalkan salah satu peringkat yang menyebabkan proses menjadi tidak sempurna. Akibatnya, dia tidak dapat mencapai matlamat yang diharapkan. Oleh itu, wahai saudara-saudaraku yang terpedaya dengan keluh kesah kehidupan dunia dan kelabu mata akibat ketamakan yang fana! Bagaimanakah anda sanggup merelakan diri anda ditimpa kehinaan dan kerendahan dengan bersifat tamak haloba, sedangkan di dalamnya terdapat banyak kemudaratan dan bala bencana? Bagaimanakah anda sanggup mengambil apa sahaja harta tanpa memikirkan adakah ia halal atau sebaliknya? Bagaimanakah anda sanggup untuk mendapatkan harta tersebut dengan mengorbankan perkara-perkara utama dalam agama yang amat penting untuk kehidupan akhirat anda nanti? Merelakan diri anda meninggalkan rukun Islam yang penting, yakni zakat, demi menyahut kehendak sifat tamak haloba yang ada dalam diri anda. Sedangkan, zakat adalah pintu besar yang boleh melimpahkan keberkatan dan kekayaan kepada setiap orang, serta boleh mengelakkannya daripada bala bencana dan musibah. Orang-orang yang tidak menunaikan zakat harta, pasti akan kehilangan harta sebanyak zakat yang sepatutnya mereka keluarkan, atau mereka menghabiskannya dalam perkara-perkara remeh yang tidak bermanfaat, atau mereka ditimpa dengan pelbagai musibah yang menyebabkan harta tersebut diambil daripada mereka secara paksa. Saya pernah ditanya dalam satu mimpi hakiki yang menakjubkan tentang satu hakikat yang berlaku pada tahun kelima Perang Dunia Pertama. Pertanyaan tersebut adalah: Apakah rahsia di sebalik kemiskinan dan kefakiran yang menimpa umat Islam? Apakah rahsia di sebalik kemusnahan yang menimpa dan memusnahkan harta benda mereka? Apakah rahsia yang tersembunyi di sebalik kesulitan dan kesukaran fizikal yang mereka alami? Dalam mimpi itu saya telah menjawab soalan tersebut sebagaimana berikut: Daripada rezeki yang dikurniakan kepada kita, Allah s.w.t. memfardukan kita mengeluarkan satu persepuluh daripada beberapa jenis harta, dan mengeluarkan satu perempat puluh daripada beberapa jenis harta yang lain, agar kita memperoleh pahala dan doa-doa ikhlas yang terbit daripada mulut orang-orang fakir miskin, dan juga agar kita terselamat daripada perasaan cemburu dan hasad dengki mereka. Tetapi malangnya kita bersifat kedekut dan tidak menunaikan zakat harta. Lalu Allah s.w.t. bertindak mengambil balik zakat bertimbun yang kita tidak tunaikan itu dengan nisbah tiga perempat dan lapan persepuluh. Perintah Allah s.w.t. meminta kita berlapar kerana- Nya mengandungi tujuh puluh faedah dan hikmat. Allah s.w.t. memerintahkan kita berpuasa sebulan penuh setiap tahun. Tetapi kita merasa sukar untuk melakukannya dan kononnya kita merasa kasihan terhadap diri kita. Kita enggan menghadapi kelaparan yang penuh kenikmatan itu untuk sementara waktu. Lantaran itu, Allah s.w.t. membalas dengan memaksa kita berpuasa dalam keadaan lapar dan dahaga serta menimpakan kepada kita musibah sehingga tujuh puluh jenis musibah dan memaksa kita menghadapinya selama lima tahun berturut-turut. Begitu jugalah halnya apabila Allah s.w.t. meminta kita melaksanakan satu jenis perintah dan arahan Rabbani yang baik, diberkati, tinggi dan murni. Allah s.w.t. memerintahkan kita melaksanakannya dalam tempoh satu jam sahaja daripada dua puluh empat jam yang ada pada kita sehari semalam. Malangnya kita malas daripada melaksanakan solat, doa dan zikir-zikir tersebut, bahkan kita mensia-siakan satu jam tersebut bersama-sama dengan waktu-waktu yang lain. Oleh itu, Allah s.w.t. membalas kesalahan kita dengan memaksa kita menjalani latihan dengan berjalan, berlari, menyerang dan sebagainya dalam masa lima tahun berturut-turut sebagai kafarah. Demikianlah jawapan saya dalam mimpi tersebut. Kemudian saya terjaga, lalu saya berfikir sambil membuat pemerhatian, lalu saya menyimpulkan satu hakikat yang amat penting yang terdapat dalam mimpi itu, iaitu: Kita telah membuktikannya pada “Kalimah Kedua Puluh Lima”, ketika kita membandingkan antara tamadun moden dan hukum-hakam al-Quran, terdapat dua perkataan yang menjadi punca kepada semua keruntuhan akhlak dan kejatuhan nilai yang dialami oleh manusia dalam kehidupan sosial mereka pada hari ini. Kedua-duanya juga menjadi punca kepada seluruh kacau-bilau dan huru-hara yang berlaku. Kedua-dua perkataan tersebut adalah: Perkataan pertama: “Jika saya kenyang, saya tidak peduli akan orang lain mati kelaparan”. Perkataan Kedua: “Awak yang bekerja saya menikmati hasilnya”. Kedua-dua perkataan ini pula disuburkan oleh berleluasanya riba dan keengganan menunaikan zakat. Satu-satunya penyelesaian dan rawatan paling mujarab bagi kedua-dua penyakit sosial ini adalah dengan mewajibkan zakat secara keseluruhan dalam masyarakat serta mengharamkan riba sama sekali. Tambahan pula, dari aspek membina kebahagiaan hidup; zakat adalah rukun yang terpenting bukan hanya untuk beberapa individu atau kumpulan-kumpulan yang khusus bahkan juga untuk keseluruhan manusia. Sebenarnya zakat juga adalah tiang utama yang mengekalkan kehidupan manusia. Hal ini demikian kerana manusia terdiri daripada dua golongan masyarakat iaitu golongan atasan dan golongan biasa. Zakat sahajalah yang akan dapat menanam perasaan belas kasihan dan kemurahan golongan atasan terhadap golongan biasa, dan menanamkan perasaan hormat dan taat daripada golongan biasa terhadap golongan atasan. Jika zakat tidak ditunaikan, maka akan berlaku kezaliman dan penindasan oleh golongan atasan terhadap golongan biasa. Pada masa yang sama, kedengkian dan dendam akan menyala-nyala dalam hati golongan biasa terhadap golongan atasan. Kedua-dua lapisan atau golongan masyarakat ini secara maknawinya akan sentiasa berada dalam keadaan pertarungan dan perselisihan antara satu sama lain, sehingga sedikit demi sedikit bertukar kepada pertembungan fizikal lantaran masalah pekerja dan majikan sebagaimana yang telah berlaku di Rusia. Wahai orang-orang yang pemurah dan mempunyai perasaan!. Wahai mereka yang dermawan dan suka menyumbang!. Jika anda tidak meniatkan sedekah dan sumbangan yang anda berikan seperti zakat yang diikhlaskan kerana Allah s.w.t., maka ia akan mempunyai tiga kemudaratan. Bahkan ia akan hilang begitu sahaja tanpa memberikan sebarang manfaat. Ini adalah kerana jika anda memberikannya bukan kerana Allah s.w.t., tidak syak lagi secara hakikatnya anda memberikannya dengan perasaan mahu disanjung dan dipuja atas pemberian tersebut. Ketika itu, anda sebenarnya meletakkan si fakir dan si miskin yang menerima pemberian tersebut berada di bawah pemberian anda, dan anda mengikatnya dengan belenggu pemberian tersebut. Jika ini berlaku, anda akan terus terhalang daripada memperoleh doa ikhlas yang makbul daripada si fakir itu. Lebih daripada itu, anda juga dianggap mengkufuri nikmat kerana anda menganggap andalah tuan punya harta yang anda sumbangkan itu. Sedangkan pada hakikatnya, anda hanya ditugaskan dan diarahkan untuk membahagi-bahagikan harta milik Allah s.w.t. kepada para hamba-Nya. Tetapi jika anda melakukan sumbangan anda pada jalan Allah s.w.t., atas nama zakat, anda akan mendapat balasan pahala dan ganjaran yang besar, kerana anda telah menunaikan zakat pada jalan Allah s.w.t. Dengan cara tersebut, anda sebenarnya telah memperlihatkan kesyukuran anda kepada Allah s.w.t. terhadap segala limpahan nikmat-Nya ke atas diri anda. Dengan itu, anda akan memperoleh doa yang makbul daripada si fakir yang memerlukan kerana dia tidak perlu lagi bermuka-muka di hadapan anda, berasa bimbang, takut atau malu kepada anda. Ketika itu, maruah dan harga diri terpelihara, lantas doa yang diungkapnya adalah dengan keikhlasan. Anda telah mengeluarkan sejumlah harta yang sama banyak dengan jumlah zakat yang perlu dikeluarkan atau lebih, tetapi ia hanya menyebabkan kemudaratan yang besar apabila timbulnya perasaan riak, hebat, bangga dan untuk dikenali bagi si pemberi dan perasaan hina bagi si penerima. Sebaliknya, pengeluaran zakat dan sedekah serta sumbangan dengan niat mendapatkan keredaan Allah s.w.t., dan untuk melakukan tanggungjawab yang difardukan oleh-Nya, akan menyebabkan seseorang memperoleh balasan pahala yang besar, serta memperoleh ikhlas dan doa yang mustajab daripada si penerima. Bukankah besar sekali perbezaan antara kedua-duanya! Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّم۟ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ نِ الَّذٖى قَالَ «اَل۟مُؤ۟مِنُ لِل۟مُؤ۟مِنِ كَال۟بُن۟يَانِ ال۟مَر۟صُوصِ يَشُدُّ بَع۟ضُهُ بَع۟ضًا» وَ قَالَ «اَل۟قَنَاعَةُ كَن۟زٌ لَا يَف۟نٰى» وَعَلٰى اٰلِهٖ وَصَح۟بِهٖ اَج۟مَعٖينَ اٰمٖينَ وَال۟حَم۟دُ لِلّٰهِ رَبِّ ال۟عَالَمٖينَ

Private reading note

This note stays on this device and is never uploaded to a server.

Up to 1,200 characters